October 30, 2010

Buat Kalian Yang Sedang Exam

Risaunya berasas
Satu hari, ibu menelefon saya. Lama kami berbual. Di hujung-hujung perbualan, sempat ibu berpesan, "Jangan 'taksub' sangat menulis. Kalau ada exam, berhenti la dulu. Jangan terlalu fokus pada blog. Berehat lah sesekali".

Kerisaun seorang ibu yang sangat berasas. Apa tidaknya, saya masih belajar. Ditaja pula. Pastilah ibu risau. Risau kalau-kalau anaknya ini gagal dalam study. Kerisaun yang sama juga dizahirkan oleh seorang sahabat. Pernah satu hari beliau menegur, "Selalu update blog ni, tak study ke?"

Hehe.. dah tahu, bertanya pula. Kalau dah saya sedang update blog, pastinya tika itu saya tidak study.

Saya Bukan Budak U.
Saya tak pernah masuk universiti. Sekadar berada dalam kawasan, pernahlah. Maka, sistem pembelajaran saya dengan anda semua sangat berbeza. Tersangat lain. Tapi dalam banyak-banyak perbezaan, tetap wujud banyak persamaan. Saya ada exam. Saya ada cuti. Saya ada program. Tapi mungkin tidak sehebat program di universiti kalian.

Di Facebook dan blog, rata-rata sahabat sedang menghadapi peperiksaan. Ada yang sampai gugur rambut belajar. Tanda stress. Kasihan buat kalian. Moga-moga, dalam kesulitan kalian mengulangkaji, saya dapat menyelit, memberi sedikit motivasi buat kalian.

Mudah-mudahan kita sama-sama sedar, bahawa belajar itu wajib. Wajib, walaupun subjek itu bukan subjek agama. Kerana apa? kerana amanah.

Ya, kita memikul amanah. Apa kita kira bahawa kita belajar ini, tanpa ada tujuan? Kita punya matlamat. Kita punya tanggungjawab. Kita menghabiskan bertahun-tahun untuk belajar. Hasilnya, sebuah pekerjaan menunggu. Dengan itu, kita mampu membina kehidupan sendiri, tanpa menyusahkan orang lain.

Tapi ia tidak terhenti disitu.

Kita punya tanggugjawab yang lebih besar iaitu membangunkan islam melalui potensi yang kita ada. Bukan hanya kehidupan dunia yang harus dikejar, bahkan kehidupan akhirat juga perlu. Malah, ia lebih utama. Kejar akhirat, sebelum 'ia lari'.

Stress.
Bosan.
Pening.

Itu simptom yang saya alami. Sedang dan pernah dialami. Kerana itu, seorang sahabat yang sama berpesan, "Tidakkah kamu mahu menjadi orang yang berbakti kepada agama? Kerana itu, jangan malas. Jangan bersikap lemah. Dan jangan manja". 

Oh! Saya pernah terlupa, bahawa perjuangan islam ini bukan untuk orang 'lemah' iaitu orang yang putus asa, orang yang malas, dan orang tidak rela bekorban.

Saya suka melihat budaya seorang sahabat ini. Dia bakal doktor. Selalu sibuk, tapi ada masa untuk mengikuti program-program keagamaan. Dalam kepadatan program, dia punya masa untuk membelek-belek buku perubatan yang dia bawa. Susah payahnya hanyalah kerana sebuah tanggungjawab, iaitu menjadi doktor yang berpegang dengan islam.

Sama halnya, dengan seorang sahabat lain, yang membawa tutorial bersama ketika mengikuti program keagamaan. Selesai program, orang lain ada yang berbual dan ada yang beribadah, tapi dia tidak. Otak dan tangannya bekerja.

Saya cemburu dengan mereka. Mereka punya masa, yang mana dengan masa itu mereka mampu melaksanakan dua kewajipan iaitu kewajipan belajar untuk kehidupan dunia dan kewajipan belajar untuk kehidupan kekal (akhirat).

Saya juga punya masa yang sama, 24 jam. Tapi apabila dekat saja dengan exam, maka saya seperti terpaksa melupakan sebentar kehidupan akhirat. Pernah, hari esoknya exam tapi malam ni ada usrah. Saya tinggalkan usrah untuk belajar. Wajar?

Pasti akan ada perbezaan pendapat. Ada yang kata ok, ada yang kata tidak. Lalu, timbul persoalan, kewajipan terhadap amanah atau kewajipan terhadap ilmu akhirat, mana lebih utama?

Maka, saya tampil dengan sebuah konklusi, 'kenapa tak mahu ambil dua-dua?'

Dalam islam, Time management bukanlah suatu yang remeh. Bahkan ia adalah sesuatu yang sangat berat dan diaggap 'berat' dalam islam. Dalam banyak hadis, Rasulallah menekankan tentang keperluan kita untuk bergera dalam beramal. Dan dalam al-Quran juga, Allah sebut فَاسْتَبِقُواْ الْخَيْرَاتِ- Berlumba-lumbalah kalian dalam mengerjakan kebaikan.

Kita harus cepat! Maka, tidak perlu kita study last-minute, bukan? kerana kita sudah faham, bahawa study itu juga satu ibadah.

Kesimpulan
Sejujrnya, saya kagum dengan semangat kalian. Sungguh! Dan.. ambillah semangat itu, letakkan ia dalam urusan akhirat kalian. Moga-moga, kita bukan hanya sekadar bersungguh-sungguh ulang kaji buku pelajaran, tapi tetap bersungguh-sungguh 'ulang kaji' al-Quran. Bukankah kematian itu peperiksaan yang paling besar?

Dan bukankah, SPM (sijil padang mahsyar) itu akan menentukan arah hidup kita untuk kehidupan yang kekal?

Ayuh! Kita study kerana Allah, dan kita jawab exam pun kerana Allah. Allah tak marah kalau kita gagal exam dunia, tapi Allah marah kalau exam di akhirat nanti kita gagal.

GOODLUCK SEMUA!

repost : Sakit Itu Nikmat Atau Musibah ?

Tahun 2008
Hari itu saya demam, tapi saya gagahi juga untuk ke kelas. Biasalah orang demam, mestilah senyap. Tapi, seorang kawan berkata, 'Demam ye?banyak dosa la tu'.

Kes kedua, semasa saya bersolat jumaat di Lembah Subang, selipar seorang sahabat telah hilang. Kami pun sibuklah mencari seliparnya. Tanpa sedar, kami diperhatikan oleh seorang pakcik lalu dengan selamba dia berkata, 'Hilang selipar ye? ni mesti sebab tak bayar zakat'.

Banyak lagi kejadian yang serupa, tapi cukuplah 2 contoh itu. Sikap manusia, sentiasa terburu-buru. Seringkali mulut yang ini bercakap tanpa ditimbang oleh rasional akal. Saya tak faham apa rasionalnya mengaitkan antara demam dengan banyak dosa dan apa logiknya selipar hilang dengan tak bayar zakat?

Sabar Orang Sakit.
Benar, memang ada hadis menceritakan- tidak akan ada satu orang, yang sekiranya pada malam harinya dia sakit lalu dia bersabar dengan sakitnya itu kecuali Allah akan mengampunkan dosa-dosanya. Hadis ini kerap didengari dan diulang-ulang. Tapi, sesekali tidak ia menyatakan tentang berapa banyak dosa kita.

Mengaitkan sakit dangan kafarah (penghapusan) dosa itu ada benarnya. Namun mengaitkan sakit dengan dosa, sangatlah pelik!! Apakah hanya orang yg berdosa yg sakit? Ketahuilah, Firaun pun tidak pernah sakit seumur hidupnya. Kerana itu, dia berani mengaku sebagai tuhan. Manusia yang banyak dosa macam dia, tak ditimpa sakit pun?

Atau mungkin kita fikir sakit hanya untuk orang yang berdosa? Ketahuilah, Rasulallah s.a.w sebelum kewafatannya diserang oleh sakit yang teruk hingga menyebabkan Baginda tidak mampu berdiri memimpin solat. Baginda maksum, tapi tetap sakit.

Maka,pemahaman kita bahawa sakit ialah musibah atau bala adalah kurang tepat. Kerana sesungguhnya sakit itu ialah nikmat daripada Allah. Zahirnya, orang yang terlantar diatas katil pasti tidak akan mampu melangkah kakinya ke pusat hiburan dan tempat maksiat. Sedetik pun dia tidak akan bermimpi untuk buat jahat, kerana dia hanya menginginkan sihat.

Manusia yg sakit akan lebih mengingati Allah! Itu pasti. Hatinya akan mengingati dosa lampaunya, menimbulkan keinsafan, dan taubat. Kalau mati sempat taubat, bukankah itu satu pengakhiran yang membahagiakan?

Sakit itu nikmat! 
Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita seluas langit dan bumi ini, sekiranya kita bersabar diuji dengan sakit. Lihatlah Nabi Ayub a.s, sakitnya yang bertahun-tahun, tidak sesekali menyebabkannya lupa kepada Allah. Sebaliknya, sabarnya itu telah meningkatkan darjatnya hinggalah diiktiraf oleh Allah di dalam Quran sebagai hamba yang penyabar.

Sakit juga satu bentuk peringatan daripada Allah. Di dalam Surah As-Sajadah ayat 21, Allah berfirman bahawa Dia pasti akan menurunkan 'siksa yang dekat' di dunia ini sebelum siksaan yang sebenar di akhirat dengan harapan semoga orang fasik dan kafir kembali kepada kebenaran. Betapa Allah menginginkan agar kita terselamat daripada neraka yang pedih.

Orang yang sakit juga akan 'menikmati' kasih sayang dan perhatian yang lebih. Hubungan kekeluargaan akan menjadi kembali erat. Hubungan silaturrahim juga akan semakin kuat. Bermaaf-maafan, bertukar-tukar doa dan juga nasihat. Bertepatan dengan satu sabdaan Baginda tentang tanggungjawab seorang muslim terhadap saudara muslimnya yang lain. Salah satunya ialah dengan menziarahi orang sakit.

Seperkara lagi, doa orang yang sakit ini sangat dimakbulkan. Mungkin orang yang tak berfikir panjang akan kecewa kerana mungkin sudah lama berdoa dan berubat namun tidak juga sembuh. Harus diingat! tidak semestinya doa kita ni Allah jawab di dunia. Mungkin Allah akan beri diakhirat nanti dan itu lebih baik kerana saat itu, kita masing-masing helpless. Harta sudah hilang nilai, yang bernilai cuma amal soleh, tapi amal soleh sangat sedikit! Mudah-mudahan, doa ini akan 'topup' pahala kita.

Allah tidak menyusahkan kita.
Ujian-ujian untuk kita diberikanNya sesuai dengan kemampuan kita. Saat sakit ini, kita perlu banyakkan taubat, bermuhasabah dan berdoa, supaya kita terselamat daripada neraka. Rasionalnya? Lebih baik terselamat daripada neraka daripada terselamat dari menghidap mati kanser.

Sebabnya?
Bukankah, kalau bukan kerana kanser pun, manusia tetap akan mati?
Lebih utama, takutkan neraka. Bukan takut diserang kanser.

Yang pasal selipar hilang tu lagilah pelik! Mana pakcik tu tahu sahabat saya tak bayar zakat? Dia bayar la pakcik!Hish pakcik ni...mudah sangat membuat andaian.

Dalam Surah Al-Hujurat ayat 12; Allah melarang kita daripada berprasangka.Sungguh, buruk prasangka betul lah pakcik tu. Silap-silap, boleh bergaduh kalau yang dituduh tu bukan orang yang penyabar!

Kesimpulan
Sementara diri tengah sihat, tidakkah diri rasa terpanggilkah untuk beramal?

nota : Jangan salah faham. Artikel ini bukan membicarakan tentang 'perlu sakit' sebaliknya ia lebih kepada 'jambangan bunga' kepada orang sakit. Dan harus diingat, kita wajib menjaga kesihatan.

October 29, 2010

Islam Untuk Orang Lemah ?

(Berperang dengan nafsu nyata lebih sukar)
Pernah...
Pernah satu ketika, islam dilihat sebagai satu agama yang sangat lemah. Penganutnya terdiri dari kalangan hamba. Bilangan pengikutnya sedikit, bahkan tersangat lemah. Sentiasa mereka dihina, disiksa, diberi tekanan dan ditindas. Namun, bantuan Allah datang dari sumber yang tidak disangka-sangka. Bermula dengan hijrah ke kota Madinah, islam mula menapak. Mengembangkan sayap keamanan ke seluruh pelusuk bumi arab, hingga satu masa, 2/3 dunia dipenuhi oleh manusia yang menunaikan solat dan berzikir.

Itu kisah lama. Ya, itu sejarah. Dan sejarah jugalah yang menyaksikan bagaimana kerajaan islam di Sepanyol runtuh. Sejarah jugalah yang merakamkan bagaimana empayar islam di Turki musnah. Dan jika tidak berhati-hati, kita akan menyaksikan musibah yang sama di bumi kita.

Jika diawal-awal dakwah Rasulallah, islam banyak dianuti oleh orang lemah, adakah sekarang pun islam masih dianuti oleh orang-orang yang lemah?

Saya tertarik dengan realiti. Jika dulu, manusia-manusia seperti Abu Jahal dan sekutunya seringkali 'membuli' orang islam kerana mereka lemah, ternyata zaman sekarang suasana yang sama berlaku. Cuma bezanya, Abu Jahal dan sekutunya kini sudah memiliki I.C bertulis 'islam' sebagai agama.

Tidak, Islam bukan untuk orang lemah.
Orang selalu bising. "Islam tu jumud" "Menyekat kebebasan" "Menghalang kemajuan" "Mundur" dan macam-macam lagi salah faham. Pemahaman yang dilontarkan melalui pemerhatian melulu dan pemikiran yang mundur ternyata merugikan kerana mereka terhalang daripada memahami hakikat islam.

Saya teringat. Saya pernah mengikuti satu program yang bertajuk "Menjauhi perkara Mubah". Dan saya bersama seorang sahabat, ditugas untuk membentangkan satu kertas kerja ringkas berkaitan dengan alatan teknologi- Bagaimana mahu besederhana dengan alat teknologi. Saya dan sahabat ternyata terburu-buru. Kami membahaskan tentang keburukan teknologi hingga kepada konklusi bahawa kita patut mengurangkan penggunaan teknologi kerana dalam kaedah feqah-Saddu al-Dzara’ik membawa makna kita harus menutup peluang kepada maksiat. Maka, kami labelkan teknologi sebagai 'tidak baik'. Lalu seorang sahabat bertanya, 'Tidakkah dengan menjauhi penggunaan teknologi, membuatkan islam dipandang sebagai jumud, ketinggalan dan tidak berkembang?'

Tersentak. Kami ubah pendirian dengan pendirian baru bahawa 'tangan yang mengawal teknologi itulah yang akan mengawal hasil teknogi itu, baik atau buruknya'. Inilah yang para ulama sufi gambarkan tentang dunia. Dunia bagi mereka ialah apa-apa saja yang tidak punya kebaikan kepada kehidupan akhirat. Maka, jika teknonogi digunakan sebaiknya, maka itu bukan lagi 'duniawi'. Ia tidak sia-sia. Bahkan, ia gedung pahala.

Saya memberi contoh mudah. Saya sebagai penulis, saya sedaya upaya menggunakan medium blog ini sebagai medan saya memperbetulkan diri saya (khasnya) dan anda, saudara seagama saya. Kerana teknologi inilah, apa yang saya tulis di Malaysia boleh dibaca hingga di Mesir. Tapi yang paling penting, ada sebuah hadis yang diceritakan oleh Abu Hurairah yang sangat meneyentuh hati saya.

Membiak
Hadisnya berkisar tentang 'tangan'. Hadisnya membawa maksud jika kita mengajar kepada suatu kejahatan, maka kita akan mendapat dosa orang yang kita ajar dan jika kita mengajar kebaikan, maka kita akan dapat pahala yang sama jika orang yang kita ajar buat kebaikan itu. Mungkin susah nak difahami, maka izinkan saya menggunakan bahasa Facebook.

Jika kita 'share' video kuliah ustaz Kazim Elias, lalu 5 orang sahabat kita menonton lalu mereka beramal, maka kita beroleh pahala sama seperti setiap orang daripada mereka kerjakan. Dan jika setiap orang dari mereka 'share' dan lagi 5 orang tonton dan beramal, maka kita dapat pahala yang sama, dan sahabat kita pun dapat. Seterusnya, jika yang 5 orang tu share lagi dan kali ni 10 orang pula yang beramal, maka kita dapat lagi pahala 10 orang. Maknanya, pahala ini akan terus 'beranak'.

Sama halnya dengan kita mengajar maksiat. Kita 'share' satu artikel umpat, lawak lucah atau video maksiat, maka dosa yang kita dapat juga akan 'beranak' mengikut berapa jauh bahan itu tersebar.

Maka, saya sama sekali tak kisah jika anda semua nak share artikel saya bahkan saya gembira. Mudah-mudahan Allah beri anda pahala yang berlipat kali ganda.

Kembali kepada topik asal... kita tidak lemah.

Jika dahulu, saya hanya faham bahawa hanya ustaz yang faham islam tapi kini ia berubah 100 peratus. Ternyata, telah ramai golongan profesional yang faham dan beramal dengan islam. Antaranya ialah murabbi saya sendiri. Saya kagumi beliau. 

Tapi, bilangan manusia yang seperti Abu Jahal tetap masih ramai. Mereka semua hebat. Kedudukan tinggi dalam masyarakat. Ada yang jadi pemimpin, bahkan ada yang jadi ahli perniagaan dan golongan profesional, tapi mereka tidak punya kerja lain kecuali menindas golongan yang mahu kepada agama. Alasannya, islam menghalang kemajuan? Sejauh manakah kebenaran tuduhan ini.

Jawapannya, ia sama sekali tidak benar kerana islam tidak pernah menghalang umatnya maju, bahkan islam galakkannya pula.

Kerana itu, pakar bedah dibenarkan untuk menjamak solat jika dia terlibat dalam pembedahan sedang waktu solat sudah tamat.

Kerana itu, islam membenarkan umatnya bersolat dalam kenderaan, bagi golongan yang tidak terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas.

Saya pasti, islam itu mudah. Sama sekali tidak membebankan. Cuma sikap kita yang membelakangkan islam ternyata menjadikan kita lemah.

Jika di Tunisia, mantan presiden, Habib Bourguiba menghalang rakyatnya berpuasa di bulan Ramadhan kerana kejatuhan mendadak produktiviti dan mutu kerja, di Malaysia pula tidak banyak bezanya.

Sikap beberapa orang pemerintah yang memandang sebelah mata kepada islam, bagi saya cukup menjengkelkan. Ada majikan yang menghalang pekerja daripada bersolat. Bahkan, tidak sedikit orang lelaki yang tidak dibenarkan menunaikan solat jumaat kerana dia 'kuli'. Bukankah ini adalah bentuk-bentuk tekanan daripada Abu Jahal suatu ketika dulu? dan kini diteruskan oleh orang islam sendiri.

Dan terbaru, Program Transformasi Ekonomi (ETP) seperti yang dinyatakan oleh pemimpin. Kita dapat lihat bagaimana islam itu dilihat sebagai sesuatu yang bersifat 'menghalang' dan 'terlalu ringan'.

Bilakah masanya orang-orang yang sensitive kepada agama mahu membangunkan negara dengan meletakkan redha Allah sebagai yang utama?

Kesimpulan
Kitalah agen perubahan. Itu pasti. Kita harus berhati besar. Kita punya kebolehan, cuma perlu usaha. Ayuh, kita menjadi golongan profesional yang beriman dan bertaqwa. Golongan yang sedikit sekali berhibur tapi banyak belajar. Kita jadi salah seorang daripada ratusan ribu hamba-Nya yang menggunakan jawatan, kuasa, harta dan pengaruh kita untuk menjadikan islam kembali dilihat sebagai kemajuan, bukannya penghalang kemajuan.

Diatas segala kecuaian dan sikap kita yang acuh serta tidak menonjolkan ciri-ciri ajaran islam hingga bangsa luar melihat kita lemah, kita pohon... mudah-mudahan Allah ampunkan.

Kita Bukan Hipokrit !

"Eleh, kau pakai tudung pun bukannya ikhlas. Hipokrit!"

"Bajet baik la konon nak nasihat aku! Munafik la weyh!"

"Eh, sejak bila jadi pak lebai ni? Dah pandai cakap halal haram ni? Munafik betul!"

Sakit telinga mendengar. Sakit lagi dalam hati. Kerana itu, ramai yang tersungkur. Hasrat mahu berubah, terkubur hanya kerana 'suara keldai' ini. Inilah cabaran orang yang mahu berubah. Pasti dia akan terdengar cakap-cakap buruk dari manusia sebangsa dan seagama dengan mereka ini.

Persoalan saya, adakah orang yang mahu berubah itu orang hipokrit?

Tidak! Sama sekali bukan munafik orang yang mahu berubah. Sebaliknya, tindakan untuk berubah itu tindakan orang bijak dan berani.Maka, izinkan saya menyatakan penghargaan saya kepada anda yang sedang berusaha untuk berubah. Anda seorang wira! Anda seorang pejuang! Dan anda seorang yang cantik di mata Tuhan.

Janganlah berhenti.
Dalam banyak tempat dalam Al-Quran, Allah menyatakan bahawa manusia akan diuji. Diuji, dan terus diuji hingga diyakini, siapa yang dalam kalangan kita yang benar-benar 'bulat' hatinya untuk mencari wajah-Nya.

Ujian ini Allah timpakan kepada kita seperti tangga. Selepas kita memanjat satu tangga, kita akan memanjat satu lagi. Kemudian, satu lagi, dan satu lagi. Hinggalah kita mencapai puncak iaitu wajah redha-Nya. Antara ujian yang paling berat ialah penerimaaan masyarakat, ahli keluarga dan kawan-kawan kita. 

Bagi yang lemah, pasti mereka akan berhenti memanjat hanya kerana label munafik atau hipokrit yang diberikan orang. Tuduhan yang tersangat salah!
Saya tertarik dengan satu hadis.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis” - Hadis riwayat At-Tabrani.

Saya paling tertarik dengan perkataan 'buat-buatlah menagis'. Bukankah pada zahirnya, 'buat-buat' tu bererti berlakon? Adakah kita mahu menipu Allah? 

Tidak. Sama sekali tidak. Sesungguhnya Allah itu Maha Tahu dan Paling Faham akan manusia. Dia tahu, bahawa untuk manusia menjadi hamba yang baik, dia tidak akan dapat terus jadi baik. Dia harus melalui proses yang panjang. Sedikit demi sedikit, perubahan akan berlaku. 

Allah tahu segalanya. Dia tahu bahawa kita ada limit atau batasan. Kita tidak akan mampu terus berubah dengan mendadak. Kita hanya akan mampu berubah, sedikit demi sedikit. Kerana itu, Allah tak memberatkan kita dengan 'mesti menangis', sebaliknya Allah sediakan kita keringanan, jika kita tak mampu, buat-buatlah menangis.

Dengan erti kata lain, jika kita tidak mampu jadi manusia yang terbaik, maka kita latihlah diri menjadi manusia yang baik! Lama kelamaan, pasti kita akan dapat jadi yang terbaik. Bukankah mentol yang ada pada hari ini adalah hasil daripada ratusan kegagalan Thomas Edison? Saya pasti, kalau Thomas Edison berjiwa kecil, pasti dia akan putus asa apabila dicaci.

Untuk mencapai kesempurnaan iman, jangan takut mencuba menerima cacian.

Kesimpulan
Jangan peduli cakap orang. Bukankah kita mahu berubah kerana Allah? Allah pasti akan suka,jika kita mahu berubah. Cuma syaitan saja yang tak suka. Jadi, rasanya tidak melampau jika saya kata manusia yang menghalang orang buat baik, dia tu macam syaitan. Ada bantahan?

Selepas ini, jika ada lagi orang kata 'kau munafik', maka balaslah, "So what?"

October 24, 2010

Biarkan saya menyalak

Sedih. Satu perkataan, tapi cukup untuk menggambarkan perasaan saya apabila sesetengah manusia menafsirkan artikel saya yang tersiar di iluvislam sebagai satu bentuk penghinaan kepada agama yang saya cintai ini.

Sesekali bukan niat saya untuk menganjurkan maksiat, apatah lagi menghalalkan dosa. Cuma yang terlintas dalam hati saya ialah bagaimana saya mahu menyediakan 'jalan keluar' bagi sahabat-sahabat, saudara-saudara seagama saya yang bertungkus lumus melawan nafsu sendiri.

Bukankah saya sudah terangkan, bahawa manusia ada 4 golongan. Golongan kedua ialah golongan manusia yang sentiasa berperang dan sering juga kalah melawan nafsunya. Golongan inilah yang paling ramai.

Semua artikel yang saya tulis ini, saya tulis untuk bacaan manusia. Bukan malaikat. Mungkin ada sesetengah 'ulama' tidak tahu beza antara manusia dengan malaikat. Izinkan saya yang 'menyalak' ini melontar sesuatu.

Sifat mustahil bagi malaikat ialah ingkar kepada perintah Allah. Jika Allah suruh dia sujud, maka malaikat akan sujud sampailah kiamat. Sesekali mereka tidak akan langgar.

Manakala, sifat mustahil bagi manusia ialah tidak pernah berbuat dosa. Mustahil jika manusia itu tidak pernah ingkar. Tiada manusia yang maksum selain Rasulallah. Selain Baginda, semua orang pernah melakukan dosa. Tapi, banyak juga yang melakukan dosa berulang-ulang. Yang bagusnya, mereka mahu berubah. Niat ada! Keinginan ada! Tapi..mereka perlukan bimbingan.

Ya, perlukan bimbingan! Bukan 'hentaman'. Saya tak faham, kenapa harus 'bimbingan' saya disalah ertikan?

Kita harus sedar, bahawa kita sedang berada di zaman yang sangat jauh daripada zaman Baginda. Saya tertarik dengan kisah seorang pemuda yang menangis teresak-esak di depan masjid. Bilamana Umar ra. melihat dan mendengar kisahnya, maka dia turut sama menangis. Lalu pemuda ini dibawa kepada Rasulallah lalu dalam tangisnya dia bercerita bagaimana dia telah menzinai mayat seorang wanita yang baru dikebumikannya. Sedang dia mahu berlalu, mayat itu bangkit dan melaknatnya.

Rasulallah apabila mendengar, Baginda mengatakan bahawa nerakalah tempat yang layak bagi pemuda itu. Dengan penuh kekecewaan, pemuda ini berlalu dan terus menangis memohon taubat lalu berkat kesungguhan taubatnya, Allah ampunkan.

Timbul tanda tanya dalam diri saya, masih wujudkah manusia seperti pemuda itu pada zaman ini?

Apa yang saya perhatikan, yang banyak wujud ialah pemuda yang jika 'dipangkah' , maka dia akan semakin 'liar'. Dia akan putus asa untuk bertaubat jika kita 'pangkah' dia. Tidak sedikt yang berfahaman 'alang-alang buat jahat, biar puas'. Saya bercakap tentang orang ramai, bukan orang yang segelintir. Benar, mungkin wujud manusia apabila berbuat dosa, dia akan beruzlah bertaubat sungguh-sungguh.

Tapi zaman ini, malam menangis taubat sesungguh-sungguhnya, tapi siang pergi kelas, pergi kerja, terus lupa dengan taubat malam semalam. Jumpa kawan-kawan, berbual-bual, terus lupa yang dia sedang dalam taubat.

Mungkin saya salah seorang daripada kebanyakan manusia yang macam ini. Kerana itu, 'saya' perlukan bimbingan, bukan 'hentaman'. Saya 'manja'. Pengaruh jahat di sekiling saya lebih banyak daripada pengaruh yang baik-baik. Hei!! Saya duduk di Malaysia lah! Bukan di masjidil haram ! Banyak pengaruh tak baik sekeliling saya! tarik tangan saya, bimbing saya! Jangan buat saya putus asa dengan Allah kerana sekali saya putus asa, akan ada sejuta tangan yang akan sedia menghulur, menarik saya bangkit kembali tapi ke dalam jalan yang lebih sesat.

Mahu itu terjadi?? Mahukah anda bertanggungjawab di depan Allah kerana sikap anda yang terlalu menghukum, membuatkan saya makin jauh dari-Nya? Dimana hikmah yang Nabi ajar? Dimana?!!!

Kesimpulan
Jika anda yang taraf ulama nak pangkah saya, saya rasa baik anda lupakan saja. Sebaiknya, anda anggap saja saya sebagai kudis. Saya kudis. Busuk, hina, buruk dan jijik. Tapi jangan lupa, ada yang lebih teruk daripada kudis iaitu kanser. Kanser ini ialah orang-orang yang tanpa henti cuba menghancurkan umat islam. Tanpa penat, cuba menyesatkan umat islam. Kanser ini kita tidak nampak, bukan seperti kudis. Tapi kanser ini akan membawa mati, tetapi kudis tidak.

Maka, rawatlah kanser. Tentang lah kanser, jangan sibuk sangat nak tentang kudis. Silap-silap, sedang anda semua sibuk 'melawan dan bergaduh' dengan kudis, diri anda atau mungkin adik beradik anda 'mati' kerana kanser.

Saya harap anda faham. Saya tidak menulis untuk malaikaat seperti sesetangah daripada anda yang tidak pernah berbuat dosa. Sebaliknya, saya menulis untuk manusia yang tidak maksum, tapi sentiasa berusaha menjadi maksum.

Fahami dengan pandangan cinta.
Maka, anda akan faham apa tujuan saya menulis.

Tiada sedikit pun dalam diri saya redha maksiat mereka. Tapi saya faham, bahawa meninggalkan maksiat itu sukar. Dan saya juga faham bahawa setiap orang akan ada 'turning point' masing-masing. Bila? InsyaAllah dalam masa terdekat. Allah tahu kesungguhan kita...

Sebelum saya lupa, sama mahu memetik kata-kata Imam Malik bin Anas -"Setiap perkataan manusia boleh diterima atau ditolak, kecuali kata-kata Rasulallah"

Maka, sila abaikan artikel ini jika saya silap.

Sila tegur saya juga, tapi biarlah dengan hikmah...
Dengan hikmah...
Dengan hikmah!

Ya Allah, kasihilah sahabat-sahabat yang membaca artikel ini dan juga sahabat-sahabatku yang tidak membaca, kerana Kau sebagai saksi bahawa Aku mencintai mereka kerana Mu.

October 23, 2010

Jenayah Geng Surau ?

Saya belek kitab shahih Bukhari mencari hadis yang menceritakan tentang kelebihan dan keutamaan geng surau. Ternyata sangat banyak hadis itu. Saya petik satu sahaja.
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulallah bersabda: Sesiapa yang bersegera pergi ke masjid, pagi dan petang, Allah akan menyediakan tempat baginya dalam syurga setiap kali dia pergi, pagi atau petang.
Geng masjid sangat dekat dengan Allah. Itu hakikat. Dalam artikel sebelum ini, saya sebenarnya mahu membuka mata kalian untuk kembali menjadi 'segelintir manusia' yang kembali menghidupkan masjid. Tapi ternyata, itu bukan mudah kerana tidak sedikit 'jenayah' berlaku di dalamnya.

Mari membaca dengan hati yang bersih daripada rasa mahu 'memangkah'. Terimalah teguran jika ia realiti yang berlaku.

Antara jenayah yang paling berat:

1-Mengumpat.

" Kau tahu Man, si Abu tu datang semayang pun sebab nak makan kenduri tahlil ni"

 "Tadi masa aku nak datang surau ni, aku tengok si Ali tu selamba je tanam pokok lagi. Memang jenis manusia yang tertutup hati la dia tu"

Saya tertarik dengan apa yang Imam Nawawi kata dalam kitab riyadus saliheen, dalam bab mengumpat. Jika ada orang meminang jiran kita yang jahat, maka kita boleh kata 'umpat' jiran kita kepada orang yang meminang, dengan menceritakan peribadi sebenar jiran kita.

Imam Nawawi menggariskan,yang boleh diumpat ialah apa berkaitan akhlak, perangai dan sikap orang itu. Contoh, si A itu suka melawan orang tua. Itu boleh. Tapi jika si A tidak bersolat, itu tidak boleh kerana ia tidak masuk dalam kategori sifat, akhlak dan perangai buruk. Tutup aurat juga sama. Ia tidak masuk dalam kategori akhlak buruk. Kalau jenis banyak boyfriend, ya ia masuk.

Maka, saya jadi gelisah sendiri. Apabila pakcik-pakcik ni selamba bercakap tentang keburukan pak mat, pak ali, makcik ani, makcik timah, abu, ahmad (semua hanya contoh). Mereka mahu meminang orang-orang ini kah? Untuk apa mereka diumpat?

Tidak dinafikan bukan semua, cuma segelintir geng masjid yang suka mengumpat. Sikit sangat. Tapi yang sikit inilah suaranya kuat, itu sebab saya terpaksa tulis. Moga kita membesar menjadi geng masjid yang tidak mengumpat.

2-Sombong
Sombong kerana merasakan bahawa kita ni baik. Mana tak baiknya, orang lain tengok berita TV3, kita duduk dalam kuliah ilmu. Baiklah tu. Tapi untuk menjadi sombong, itu bukan suatu yang lagi diperlukan. Jika diajak untuk meluruskan saf, bahu bertemu bahu, hujung jari bertemu hujung jari, tumit separas dengan tumit, kita tidak mahu, bukankah ini tanda kita sombong?

3-Tidak kasih
Orang tua mahu dihormati. Tapi kadangkala, mereka menjadi sangat demand hingga lupa bahawa mereka juga perlu menyayangi orang muda. Sudah 2 tahun, boleh kata kenal hampir semua pakcik-pakcik tu, tapi saya masih dipangggil 'hoi', 'yop' 'syeikh' 'adik' dan lain-lain. Nama saya Iqbal. Susah sangat nak ingat ke?

Bukan saya dan kawan-kawan nak dikenali, cuma cukuplah sekiranya kami ini dihormati dan dihargai. Adakah itu tanda kasih? jika nama pun tak tahu. Apakah pula bertanya khabar?

Ini bukan luahan perasaan. Sebaliknya sebuah teguran. Masjid ialah tempat kita berkenal-kenalan. Maka pergaulilah semua orang.

4-Makan Harta Anak Yatim
Yang ini bukan saya timbulkan. Ustaz Zubir Embong yang timbulkan dalam kuliahnya dan membuatkan saya berfikir panjang. Orang masjidlah yang paling kuat makan harta anak yatim? Bagaimana?

Kenduri tahlil. Dalam banyak tempat, masyarakat menjadi sangat jahil hingga sanggup menjamu orang makan kenduri tahlil dengan wang si mati. Sedangkan si mati meninggalkan anak-anak yang masih belum baligh. Sepatutnya, wang peninggalan si mati ini sudah menjadi milik ahli rumahnya, tapi ia digunakan untuk buat kenduri. Yang makan? Ahli surau lah. Orang luar jarang-jarang dijemput.

Sepatutnya, kita gunakan wang kita. Isteri, boleh gunakan wang simpanan peribadi dia. Anak-anak pun boleh guna wang mereka. Jangan guna wang si mati. Takut-takut si mati ada hutang, maka bolehlah gunakannya untuk membayar hutang.

5- Sudah habis...
Sudah tiada yang buruk, semuanya baik-baik belaka. Hanya jika teguran saya ini dapat diterima dengan hati yang terbuka, saya pasti masjid pasti akan dapat menerima kedatangan lebih ramai 'pelancong'. Hati mana yang tak terasa mahu menjadi baik? Cuma tembok ego saja yang menyebabkan kita belum bersedia menyahut seruan Allah- 'Mari menuju kejayaan'. Solat berjemaah, lambang kejayaan umat islam.

Kesimpulan
Jika tidak dapat jadi tujuh, mari kita jadi salah satu. Tujuh golongan yang akan diaungi oleh Allah pada hari tiada naungan selain naungan-Nya adalah: 1) Pemimpin yang adil, 2) pemuda yang kehidupannya sentiasa beribadah kepada Allah, 3) seorang lelaki yang hatinya bertautan dengan masjid, 4) dua lelaki yang saling cinta mencintai hanya kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana-Nya, 5) seorang lelaki yang dirayu oleh perempuan kaya lagi cantik untuk berzina, kemudian dia berkata: Sesungguhnya Aku takutkan Allah, 6) seorang yang mengeluarkan sedekah secara sembunyi(ikhlas) sehingga tangan kirinya tidak mengetahui, 7) seorang yang bermunajat kepada Allah di tempat sunyi sehingga mengalir air matanya”-Riwayat Bukhari dan Muslim.

Wallahua'lam.
Bercakap memang mudah, melaksana itu sukar...

October 22, 2010

Geng Surau

Gelaran kaki surau/masjid pada satu ketika adalah satu gelaran yang mulia di mata masyarakat. Namun, zaman berubah. Gelaran 'kaki surau' ini sudah tidak lagi dipandang mulia. Sebaliknya, tidak sedikit yang memandang si kaki surau sebagai seseorang yang ketinggalan zaman, seolah-olah tinggal di dalam gua. Apa puncanya?

Mari menghayati masalah ini dengan kaca mata seorang remaja.

Secara asas, remajalah golongan yang paling sedikit terikat dengan masjid atau surau. Mana-mana tempat pun sama, kecuali di madrasah-madrasah. Golongan remaja memang kurang berminat dengan masjid.

Terlalu banyak punca dan sebab, tapi yang paling utama ialah kerana masjid dan surau tidak menjanjikan keseronokan. Fitrah remaja yang baru berjinak-jinak mengenal dunia, kita sukakan keseronokan. Dan tempat terakhir yang menjanjikan keseronokan dan hiburan adalah masjid. Itu pandangan kita, tidak semua tapi kebanyakan.

Salah!

Sejak dari dulu, kita berfikir begitu. Sebenarnya, masjid lah tempat yang paling menyeronokkan di dunia ini jika kita faham. Institusi masjid pada suatu masa dahulu, berfungsi seperti sebuah pusat pemerintahan kerajaan. Segalanya dilaksanakan di masjid, dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara, dibincang dan kebanyakannya dilaksanakan di dalam kawasan masjid itu juga.

Tapi itu beratus tahun dahulu. Jika sekarang, pastinya tiada. Masjid sudah berada di antara tempat terakhir dalam senarai 'mesti kunjung', sebelum kubur atau neraka.

Saya jadi pelik sendiri. Manusia pandai berkata-kata. 'Saya cinta Allah !' 'Saya cinta Rasulallah !' 'Saya mahu jadi ahli syurga! '

tapi...kita tidak mahu jadi 'kaki surau'. Bukankah ada suatu hadis dari Abu Said al-Khudri- "Sesiapa yang mencintai masjid, Allah pasti mencintainya"- riwayat at-Tabrani. Kita bukan kanak-kanak, yang tak faham erti 'cinta masjid'. Pastinya 'cinta' ini tidak membawa maksud kita cium masjid. Cinta membawa pengertian, kita 'menghidupkan' masjid. Kita melazimi datang ke masjid dan melazimi ibadat di dalamnya.

Untuk bercakap secara teori, memang mudah. Tapi untuk melaksana, itu persoalan yang lain.

"Saya tiada masa!"  "Jauh!"  "Sama saja saya solat dirumah dengan di masjid!"  "Hey, at least i solat tau!"

Penat kalau kita melayan alasan orang. Alasan sibuk dan jauh itu sudah biasa. Jika sibuk, mustahil sepanjang minggu sibuk. Hari cuti, datanglah jenguk-jenguk juga. Kalau jarak jauh, bukannya tiada kereta. Berkira? Ketahuilah bahawa setiap langkah anda ke masjid, dibalas Allah dengan satu pahala, diampun satu dosa dan dinaikkan satu darjat. Kalau naik kereta? Sama! Allah balas juga!

"Solat di rumah sama saja!"

No! Tidak sama. Sama sekali tidak sama, kerana masjid sudah menjadi satu tempat untuk kita berjemaah. Bukan hanya solat berjemaah, tapi juga hidup dalam jemaah. Tempat kita berkenal-kenal, bertanya khabar, melaksanakan tanggungjawab sesama muslim dan bersilaturrahim. Jika tidak di masjid, mahu bertemu dimana lagi?

Salah satu punca kenaikan kadar jenayah tidak lain adalah kerana kita menjadi kera sumbang. Bagaimana tidak jadi kera sumbang nya, orang lain datang masjid, dia menyorok bawah ketiak isteri. Sombong!

"At least i solat".
 Ok..ok.. at least u solat juga kan, baguslah. Tapi i nak tanya u, dalam banyak-banyak orang, kenapa u nak ikut orang yang macam tu? Orang yang taknak solat berjemaah, tapi suka solat sorang-sorang. Kan ramai orang yang nak dan suka solat berjemaah, kenapa tidak mahu ikut? I tahu u tak tahu, sebab tu i nak bagitahu.

Yakinkah kita solat kita diterima? Siapa yakin, maka dia hebat. Boleh jadi wali, insyaAllah. Tapi wali band lah. Tipulah, jika kita kata kita dapat khusyuk 10 minit tanpa sedikitpun hati kita terdetik kepada benda lain. Saidina Ali r.a pun kalah dengan kita kalau macam tu!

Pernah suatu hari, Rasulallah membuat pengumuman, sesiapa yang dapat solat dengan khusyuk dari awal hingga akhir, akan dihadiahkan sesuatu. Lalu sahabat semuanya pun solat sunat 2 rakaat, tapi seorang pun tidak mampu solat dengan khusyuk dari awal sampai akhir. Lalu tiba giliran Ali r.a, beliau berwuduk dengan baik dan solat. Setelah selesai, Rasulallah pun beritahu bahawa Ali solat dengan khusyuk hinggakan baginda menyangka bahawa hadiah berupa baju perang itu akan menjadi milik Ali, tapi ketika di akhir-akhir solat, semasa dekat-dekat bagi salam, Ali terfikir apakah hadiah Rasulallah nak beri, lalu terus hilang khusyuknya. Sikit lagi!

Ketahuilah, solat yang tak khusyuk termasuk dalam kategori orang-orang yang lalai dalam sembahyang dan celaka. Bukti? Quran, Surah Al-Maun ayat 4 dan 5. Sebaliknya, jika kita solat berjemaah, insyaAllah Allah terima kerana peranan jemaah itu sendiri untuk menampung kecacatan yang ada. Banyak hadis menceritakan bahawa solat berjemaah diterima Allah dengan mudah, berbeza dengan solat sorang-sorang.

Bagi remaja, saya sangat galakkan kita mendaftar nama sebagai 'geng surau' kerana dengan itu, ada satu 'tali' yang akan mengikat kita daripada kita jatuh. Hidup ini seolah-olah berjalan di tepi gaung. Kalau kita tersilap pijak, boleh jatuh. Maka 'tali' inilah yang berperanan menghalang kita daripada jatuh.

Boleh lihat sendiri, bagaimana sikap orang yang jauh dengan masjid. Walaupun rumah sebelah masjid saja, tapi hidupnya tidak akan tenang, tidak akan bahagia, tidak diberkati dan sentiasa dalam masalah. Kerana, Allah tidak mencintainya, kerana dia tidak mencintai rumah-Nya.

Jangan tunggu, sampai orang cina masuk masjid, baru kita nak masuk masjid. Sebab takut tunggu punya tunggu, masjid pun roboh dimakan anai-anai. Anai-anai lebih warak, kerana tinggal dalam masjid. 24 jam, tapi malang jadi anai-anai, Allah tak akan hisab.

Kita Allah akan hisab, tapi masih kita 'malu' mendatangi rumah-Nya! Fikir-fikirkanlah. Sampai bila kita mahu memusuhi rumah Allah ?

InsyaAllah, dalam artikel selepas ini, saya akan membangkitkan isu jenayah ahli masjid. Tunggu, insyaAllah.

October 19, 2010

Mari Menjadi Manusia

Saya tak pernah bosan menjadi pendengar yang setia. Mendengar masalah orang, membuatkan saya tambah bersyukur kerana Tuhan tidak menguji saya dengan ujian sebegitu. Antara yang banyak diluahkan ialah tentang soal ketenangan serta matlamat hidup. Apa yang saya (kita semua) harus usaha untuk mencapai, supaya kita punya matlamat dan tujuan hidup.

Mari menjadi manusia. 
Bercakap memang mudah. Benar, kita manusia tapi belum tentu kita ada kemanusiaan. Manusia dan kemanusiaan, hakikatnya dua benda berbeza. Manusia diciptakan Allah, bukan untuk bermain-main atau tiada tujuan. Ramai manusia kabur dan tidak nampak apa tujuan dia hidup. Maka, dia mudah berputus asa. Hidupnya sukar, penuh dengan duka, tidak kenal erti ketenangan dan tidak bahagia. Jiwanya kosong, tercari-cari matlamat hidup. Faktor utama ialah kerana tidak tahu.

Moga-moga artikel pendek ini berjaya merubah keadaan kita yang 'tidak tahu' menjadi 'tahu'.

Firman Allah dalam surah Al-Mukminun ayat 115- "Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu bermain-main (tanpa ada maksud) dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Suatu ayat sindir, Allah tujukan kepada kita untuk kita sama-sama muhasabah diri.

Secara asasnya, manusia diciptakan Allah dengan 3 komponen, iaitu Hati, Akal dan Jasad. Ketiga-tiga komponen ini ada tugas dan peranan. Peranan hati ialah untuk membuat pilihan. Firman Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 29- " ... maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.."

Manusia diberi pilihan. Pilihan samada untuk merendahkan pandangan atau tidak apabila gadis tudung labuh berlalu, membuat pilihan sama ada mahu bercakap atau diam apabila azan, membuat pilihan samada mahu tinggal atau lari apabila mendengar orang mengumpat, dan lain-lain. Siapa kata dia tiada pilihan, maka dia pembohong. Pilihan sentiasa ada, cuma kekuatan saja yang kadang ada kadang tiada. Kerana itulah wujud 'dosa terpaksa' .

Peranan Akal pula ialah untuk berfikir. Berfikir akan baik buruk sesuatu benda. Memikirkan kesan dan akibat dan memikirkan bagaimana mahu Tuhan redha kepadanya. Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 36 -"Dan janganlah engkau mengikut sesuatu yang kamu tidak tahu. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu akan ditanya tentang apa yang dilakukannya"

Sangat jelas, peranan akal untuk berfikir dan menilai sesuatu, sebelum bertindak. Jika aku tinggal solat, apa kesannya kepada aku? Jika aku ber couple, apa kesannya kepada aku? Jika aku tengok filem tu, apa kesannya kepada aku? Semua persoalan ini harus dinilai oleh akal.

Akhir sekali, peranan jasad iaitu untuk beramal. Tipulah jika kita mengaku iman, tapi tanpa amal. Tipulah jika kita mengaku 'berhati baik' tapi tidak dibuktikan dengan perbuatan. Rasanya tidak perlu huraian yang panjang bagi amal. Cukuplah kita faham bahawa kita tidak dikira beriman selagi kita belum melaksanakan tuntutan iman.

Dengan wujudnya 3 komponen penting ini dalam diri manusia, layaklah manusia menjadi sebaik-baik makhluk, berbeza dengan haiwan. Namun, kerana anugerah hati, akal dan jasad ini, Allah telah memberi kita amanah yang diwajibkan sejak kita baligh hingga mati. Amanah yang memerlukan kepada pengorbanan dan perjuangan.

Apakah amanah-amanah itu?

Ia adalah Ibadah dan Menjadi Khalifah.

Firman Allah dalam surah Adz-Zariyat ayat 56 : "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku". Tiada persoalan, tiada bantahan. Jelas.

Selain ibadah, kita juga ialah khalifah. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah dalam ayat ke 30 dalam surah al-Baqarah ; "Aku hendak menjadikan khalifah dimuka bumi ini". Sesuatu yang kita harus hayati ialah bagaimana untuk kita melaksanakan dua perkara dalam satu masa, iaitu beribadah dan menjadi khalifah.

Secara teori, ia mudah kerana menjadi khalifah itu sendiri ialah ibadah. Kita diperintah oleh Allah untuk memakmurkan bumi. Maka, jika orang tanya saya apa matlamat hidup saya, saya akan jawab saya mahu menjadi manusia yang bermanfaat.

Matlamat hidup,tujuan hidup dan apa yang saya kejar di dunia ini hanyalah apa yang Allah suruh- iaitu menjadi manusia yang bermanfaat dan sentiasa beribadah kepada-Nya. Kerana itulah, Bayyinat ini diwujudkan, untuk saya 'memberi' dan 'menerima'.

Akhir sekali, selepas kita diberikan amanah, Allah menyediakan balasan kepada kepada kita. Jelas, orang-orang yang berusaha menunaikan amanah, Allah sediakan syurga dan bagi manusia yang tidak tahu, tidak mahu dan tidak peduli dengan amanah ini, Allah beri neraka. (Nauzubillah).

Penutup
Saya juga masih mencuba-cuba untuk menjadi manusia. Manusia yang ada 'fungsi', ada matlamat dan ada tujuan. Ia memang tidak mudah, tapi cukuplah jika Allah tahu saya berusaha dan akan terus berusaha sehingga saya mati. Usaha. Itu sahaja yang membezakan...

October 17, 2010

Ahad, Ahad, Ahad

"Hoi si hitam! Bodoh sungguh kau! Aku tahu engkau telah mengikut agama yang dibawa oleh Muhammad. Aku mahu kau keluar dari agama itu!"

"Tidak! walaupun kau ialah tuan aku, kau hanya berhak keatas jasad dan kudrat aku sahaja. Kau sesekali tiada hak atas pegangan hatiku ini !"

"Apakah kau telah dirasuki syaitan Muhammad hingga kau sanggup keluar daripada agama nenek moyang kita?! Keluarlah kau dari agama Muhammad, jika tidak kau akan aku siksa dengan siksaan yang amat berat!"

'Tidak! Jika aku terpaksa mati pun, aku takkan meninggalkan agamaku ini!'

Bilal Bin Rabah r.a ialah seorang hamba kpd Umayyah bin Khalaf. Apabila Bilal r.a telah masuk islam, Umayyah bin Khalaf sangat marah dan dia telah menyiksa Bilal r.a dengan sangat teruk sekali.

Bilal r.a telah disiksa dengan siksaan yang kejam. Dia diseret dengan kuda ke sekitar kota Mekah. Dia dipakaikan tali di lehernya dan diperlakukan seperti seekor binatang! Siksaan demi siksaan diberikan oleh tuannya dgn harapan agar Bilal r.a akan kembali kepada agama asalnya mereka iaitu meyembah berhala.

Namun ternyata Bilal r.a seorang yg tabah! Melihatkan keengganannya untuk murtad, Umayyah telah memakaikan Bilal dengan sepasang baju besi. Dia dibaringkan di atas padang pasir yang membakar kepanasan lalu diletakkan batu yang berat ke badannya. Setiap saat, mulutnya menyebut 'Ahad, Ahad, Ahad'...mengisbatkan Allah. Mengdengarnya, bertambah marahlah Umayyah. Diriwayatkan bahawa ketika disiksa dengan batu itu, kulit Bilal r.a melecur teruk sehingga mengalir keluar lemak-lemaknya sehingga dagingnya melekat pada baju besi itu!

Siksaan itu berterusan sehinggalah dia ditebus oleh Saidina Abu Bakar r.a lalu dimerdekakan. Bilal Bin Rabah r.a terkenal dengan sifat jujur, soleh dan rendah hatinya. Walaupun rupanya hodoh dan hitam legam, beliau telah dimuliakan oleh Baginda Rasulallah dgn melantiknya sebagai muadzzin setiak kali masuk waktu solat. Bilal Bin Rabah r.a wafat pada usia 60 tahun,pada tahun 20hijrah. Beliau dimakamkan di Damsyik.
***

Sebenarnya, kisah para sahabat r.a ini bukanlah sekadar untuk diceritakan di kedai kopi, dimuatkan ke dlam buku sejarah atau diceritakan kepada anak kecil sebagai hiburan sebelum tidur. Tidak! Bahkan cerita-cerita mereka inilah pembakar semangat bagi jiwa-jiwa yang kering, ketandusan tarbiyyah dan mujahadah.

Kini,masih ramai yg ditindih atas dada dan mengucapkan 'ahad', tapi mereka bukan ditindih batu sebaliknya ditindih bantal. Kalimah 'Ahad' bukannya merujuk kepada Allah sebaliknya merujuk kepada hari ahad. Ya. Ramai yang terlepas solat subuh kerana hari Ahad boleh bangun lambat, cuti!

Jauhnya iman kita dengan iman para sahabat...

Kita bukan lagi kanak-kanak, yang tiada kewajipan dan amanah.

p/s- ada exam hari selasa ni. Futur. Doa-doakan ya :-)

October 15, 2010

Dakwatuna

Pernah saya ditegur.
kalau sudah beritahu bende betul, then orang tu tak dapat nak ikut. Lantak biar kat dia saja la kan. betul tak? *sendiri mau igt. :)
Itu bagi saya biasa saja, tapi ayat berikutnya lebih penting.
bukan putus asa. cuma awk tuh. skg da alim. dah pndai menegur. tp xperlu la lbh2. nnt org lain xsuke. antaranya sy. sy xsuke cara awk tgur org. awk pressure org tuh. smpai ble pon org tuh xnk dgr nasihat awk. no offence. just telling the truth. :)
Saya terlalu menekan? Benarkah? Biar anda saja yang jawab.Anda boleh jadi anonymous untuk menjawab persoalan ini. Oh ya, ini juga mesej kiriman seorang saudara anonymous di formspring saya, maka saya tidak tahu dia siapa. Cuma dia gunakan perkataang 'sekarang' yang menunjukkan bahawa dia kenal masa silam saya. Ah, dia pun tahu bahawa manusia perlu berubah untuk hidup di sisi Tuhan.

Kita tinggalkan sebentar persoalan itu.

Dakwah itu wajib. 
Tiada bantahan saya kira. Terlalu banyak ayat-ayat Al-Quran serta hadis-hadis yang menceritakan tentang kefarduan sebuah dakwah. Saya sebenarnya mahu bercakap soal dakwah, tapi alhamdulillah saya telah bertemu dengan sebuah artikel karangan Ustaz Hilal Asyraf. Artikelnya bagi saya sudah cukup lengkap, jadi saya tinggalkan link saja di sini sebagai reading pleasure kalian.


Sekarang, izinkan saya menulis sesuatu yang ada kaitannya dengan dakwah.

Jangan dakwah ialah jalan yang tidak akan sunyi daripada ujian dan cabaran. Mahu jadi pendakwah, bukan saja perlukan ilmu serta akhlak yang mulia, tapi perlu juga kuat. Dalam sebuah kitab karangan Maulana Zakariya rah., katanya jika seseorang itu tidak pernah dibenci atau dicemuh jirannya, maka dia harus melihat ke belakang sebentar, mungkinkah dia telah meninggalkan dakwah?

Untuk dipandang serong, itu biasa. Untuk mendapat layanan yang kasar, itu juga biasa. Tapi harus di ingat, kita tidak berdakwah supaya dia ikut, tapi kita berdakwah kerana sebuah tanggungjawab. Jika si dia sudah diperingatkan berkali-kali tapi masih tidak mahu ikut, maka ucaplah alhamdulillah kerana firman Allah dalam surah Al- Araf ayat 164 -

Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "Agar kami punyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertaqwa".

Moga-moga Allah terima sebagai satu bentuk usaha. Jangan jadi manusia yang terlalu ekstrem hingga sanggup meninggalkan kawan atau putus sahabat hanya kerana ini. Ingatlah, manusia yang sabar dengan sahabat yang bermaksiat adalah lebih mulia daripada manusia yang tidak bersahabat , dan tidak sabar dengan mereka !

Maaf, sedikit terbabas dari tajuk asal.

Setiap usaha mendekati Tuhan, pasti akan ada halangan. Dan bagi manusia yang menyeru orang lain berbuat kebaikan, dia juga akan menerima 'habuan dan ganjaran' yang sama- ujian! . Secara kasarnya, halangan dan ujian ini akan datang daripada 4 golongan manusia.

Golonga pertama
Orang yang jahil. Mereka ini ialah golongan yang paling mudah sebenarnya untuk menerima kebaikan. Mereka ini menolak, kerana mereka tidak tahu. Selepas diberitahu, maka mereka akan menerima dengan syukur. Golongan ini hanyaperlu diberi tahu.

Golongan Kedua
Mereka adalah orang-orang yang kalah melawan tuntutan nafsu. Mereka tahu apa yang mereka buat itu salah, tapi mereka tidak boleh berhenti dan melawan kehendak itu. Sebagai seorang saudara yang cakna, kita perlu mendampingi serta close monitor dia. Nasihat yang berpanjangan juga perlu. Di samping itu, kita juga perlu bijak. Menyediakan alternatif dan jalan keluar kepada masalah dia itu.

Sebagai contoh, jika dia mengadu kepada kita tentang tabiatnya yang suka menonton filem lucah. Kita boleh sediakan alternatif seperti on9 di tempat awam atau c.c . Terpulang kepada kretiviti anda. Golongan ini hanya sedikit lebih sukar daripada yang pertama.

Golongan Ketiga
Merekalah manusia yang melakukan kerosakan kerana mempunyai kepentingan di sebaliknya. Apa yang saya dapat ambil contoh ialah orang yang bekerja di kilang-kilang arak. Mereka tahu haram, tapi cukup benci jika ditegur dan dinasihat kerana mereka ada kepentingan iaitu punca pendapatan. Pastinya tidak halal.

Maka, sebagai saudara yang peduli, kita juga perlu sediakan alternatif kepada dia ini. Hujjah-hujjah yang bijaksana juga perlu untuk meleburkan rasa kebergantungan mereka kepada selain Allah. Golongan ini susah untuk diubah melainkan jika kita terus bersabar mencari peluang, iaitu ketika si dia mula rasa ragu-ragu dan putus asa dengan perkara yang dirinya ada kepentingan diatasnya.

Contoh lain, perempuan yang menjadi perempuan simpanan kerana harta. Jika perempuan itu merasa putus asa terhadap lelaki itu (mungkin si lelaki menyimpan perempuan lain) maka, saat inilah saat yang terbaik untuk kita memujuk dia kembali kepada rahmat Tuhan.

Golongan Keempat
Ini yang paling susah. Iaitu manusia-manusia yang menolak islam kerana 'isme-isme' perjuangan mereka. Ada yang menentang kebaikan kerana ia bercanggahan dengan fahaman/ideologi hedonism mereka.

Itu hanya contoh. Realiti sebenar, manusia memang banyak menolak islam kerana kononnya dia memperjuangkan bangsa. Atau kononnya dia memperjuangkan sistem ekonomi paling sempurna, atau kononnya dia sedang memperjuangkan sistem politik paling sempurna. Dusta semata-mata!

Bagi mereka ini, cara kasar adalah lebih berkesan. Tapi, sebelum itu, kita kena faham bahawa sumber kekuatan mereka adalah datang daripada golongan 1, 2, dan 3. Jika ketiga-tiga golongan ini dapat kita ubah, nescaya golongan 4 juga tidak punyai kekuaatan dan sokongan lagi. Maka, ubahlah golongan 1, 2 dan 3 dahulu!

Kesimpulan
Saya masih belum terkeluar daripada keempat-empat golongan manusia ini. Saya sedia didakwah, anda?


p/s- sebuah artikel dari saya tentang dakwah pernah tersiar di iluvislam. Berminat nak baca? Dai atau Daki?

October 14, 2010

Berhias Bagi Wanita, Bagaimana?

Seorang saudara (mungkin saudari) bertanya soalan tentang berhias di hari perkahwinan. Siap beri link video lagi. Saya sudah tonton, maka saya download dan upload di Bayyinat. Moga kalian dapat turut sama menontonnya.

video

Video berkisar tentang aurat wanita. Saya lelaki, tapi banyak kali saya diajukan soalan berkaitan wanita. Sejujurnya, ilmu saya terhad. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan fiqah wanita. Jadi, saya akan jawab sekadar termampu.

Secara mudah, make up ini boleh kita sebut sebagai perhiasan. Ia masuk dalam hiasan tambahan. Bergerak kepada soalan, bolehkah wanita berhias semasa majlis perkahwinannya?

Dalam video ini, ustaz pun ada sebut, nak jadi  pengantin memanglah kena cantik, tapi...  Sebentar! Ada perkataan 'tapi' selepas itu, menunjukkan bahawa ada syarat yang harus dipenuhi. tapi apa? .. tapi mestilah kecantikan itu hanya untuk tatapan suaminya sahaja.

Pengantin wanita perlu dihias, supaya nampak cantik, berseri, elok dan jelita tapi tidak boleh kepada khalayak umum. Ia hanya perlu dipertontonkan kepada si suami. Tujuannya tidak lain hanyalah untuk mengembirakan si suami. Maka, jika anda berhias cantik-cantik, tapi untuk tatapan umum, maka ia boleh membawa kepada haram.

Dalam ceramah ini juga, ada penonton membawakan kisah Saidatina Aisyah r.anha dihias cantik oleh Asma' bin Yazid, semasa menyambut kedatangan Rasulallah. Maka, saya tertarik untuk berbicara soal hukum wanita berhias.

Boleh! wanita boleh berhias. Bukankah fitrah manusia terutamanya wanita mahu kelihatan cantik? Tapi, dalam keadaan 'boleh' itu, ada 'tapi' nya juga. Syaratnya, wanita itu hendaklah menutup auratnya. Hiasannya juga hanya kepada suami tercinta dan ahli keluarga yang dibenarkan syarak sahaja.

Kepada yang selain daripada golongan yang dibenarkan syarak, apakah masih boleh berhias?

Berhiaslah, tapi jangan melampau. Jika sedikit bedak untuk lebih berkeyakinan, boleh. Jika secalit minyak wangi, untuk menghilangkan bau badan, itu pun boleh. Jika selapis gincu, untuk menyembunyikan pucat bibir, itu juga boleh!

Bukan semua benda tidak boleh, tapi semua benda harus ikut peraturan. Islam itu mudah.

Wanita adalah lebih terdedah kepada fitnah. Maka, sangat perlu anda berhati-hati terutama dalam hal  perhiasan. 2 perhiasan wanita, iaitu perhiasan asli (tubuh) dan perhiasan tambahan (gelang, rantai dan sebagainya) tidak boleh ditayang kepada khalayak umum kecuali kepada suami dan ahli kelurga terdekat sahaja. Pakailah pakaian yang longgar-longgar dan berwarna tidak garang, supaya ia tidak menarik perhatian. Pakailah jam jika mahu, tapi jangan terlalu besar hingga menarik perhatian orang. Bawalah handbag jika mahu, tapi janganlah coraknya menarik perhatian orang. 

Dan suka saya mengingatkan, bahawa aurat wanita bukan hanya kepada pakainnya, tapi yang lebih utama ialah akhlaknya...Wallahua'lam

Sesiapa nak tambah, silakan. Saya alu-alukan sebarang bentuk perkongsian :-)

Maaf kepada yang bertanya, saya terlewat satu hari untuk memberikan jawapan. Sibuk sikit.

October 12, 2010

Saya Ayah Pin ?


'Ko ni dah macam ayah pin! '

Satu tuduhan melulu dilempar kepada saya, melalui formspring saya. Saya tak marah, juga tidak terkejut. Cuma saya terasa mahu mencoret sesuatu, menjelaskan yang samar dari dalam benang-benang pemikiran manusia yang suka melulu.

Saya ayah pin?
Satu persoalan saya tujukan kepada kalian. Dari bahagian mana dalam Bayyinat ini kalian rasa saya seperti ayah pin? Saya jadi aneh sendiri. Lebih tepat, saya mencari-cari punca. Oh, mungkin formspring saya yang 'bermasalah', bukan Bayyinat.

Mengapa harus begitu lantang dan melulu?

Saya bukan Ayah Pin. Pengikutnya pun juga bukan. Ayah Pin kafir, maka menuduh saya Ayah Pin, sama seperti menuduh saya kafir. Dan, menjatuhkan hukum kafir kepada seseorang tanpa sebab menjadikan si penuduh itu sendiri boleh jatuh kafir. Ini kerana Allah telah berfirman dalam surah Maryam ayat 70 - Sesungguhnya Kami sungguh lebih mengetahui orang yang (seharusnya) masuk ke dalam neraka.

Menghukum kafir tanpa sebab, menyebabkan 'kamu' telah menjadikan diri kamu seolah-olah seperti Tuhan, yang mengetahui perkara-perkara yang hanya layak untuk Dia saja tahu. Bertaubatlah. Berfikirlah sebelum menuduh.

Soalan yang bermasalah
Dalam formspring, saya pernah diajukan soalan, " Bolehkah lelaki dan wanita ber sms ? sebagai contoh, dalam bertanya khabar " . Saya jawab, 'Boleh. Tapi harus dijaga tertib, adab, dan syariat '.

Lalu seseorang cuba 'membetulkan' saya dengan berhujah bahawa dalam apa jua keadaan pun, sms antara lelaki dan perempuan adalah haram!

Terima kasih mencuba, tapi ternyata 'kamu' belum benar-benar faham apa itu zina hati. Zina, semua orang faham. Tapi 'hati' orang tak faham. Apa yang ada dalam hati, itu hanya kita dan Allah sahaja yang tahu. Untuk kita mengatakan sahabat kita sedang zina hati, adalah satu tuduhan, kerana kita bukannya ahli nujum yang mampu membaca hati. Cuma kita boleh mengatakan perbuatannya seperti zina hati, bukan dia sedang berzina hati. Nampak bezanya?

Maka, kerana ia adalah 'hati', yang dapat mengatakan kita betul atau salah hanyalah hati kita sendiri. Maka, islam meletakkan kawalan dan batas. Jika merasakan sms itu membawa kepada perbualan yang tidak sepatutnya, maka berhentilah. Bukankah ketenangan itu tanda baik, dan resah gelisah itu tanda dosa? Mintalah fatwa hati.

Saya menjawab soalan manusia, bukan soalan malaikat. Kerana itu saya dahulukan 'Boleh', kerana saya mahu menunjukkan kepada anda, bahawa islam itu mudah dan tidak menyusahkan, tapi dalam masa yang sama, islam itu sifatnya menjaga. 'Aslim taslam'- masuk islam (ikut ajaran islam), maka kita akan selamat !

Dalam kaedah Feqah sendiri, ada satu kaedah iaitu 'asal sesuatu perkara itu harus kecuali ada dalil menyatakan yang sebaliknya' .Saya cuba mencari dalil berkenaan 'sms lelaki-perempuan'. Yang banyak saya temui ialah panduan seperti merendahkan pandangan, menjaga akhlak dan sebagainya. Kerana itu, saya lebih cenderung mengatakan 'tidak berdosa' sekiranya kita menjaga batas-batas.

Bayangkan, jika sepasang tunang yang hampir berkahwin tidak dibenarkan ber sms kerana pandangan 'kamu' yang ekstrim ini, maka pening juga ya. Jika mahu berbincang, tidak boleh sms. Kena datang rumah. Mungkin praktikal, tapi jika lelaki di Johor, wanita di Perlis. Bagaimana?

Jika seorang sahabat tidak dibenarkan sms sahabat lelakinya yang ditimpa musibah, maka bukankah itu bererti kita menolak suatu ajaran islam- mengambil berat urusan saudara.

Jika kerana perbezaan pendapat kita, 'kamu' tuduh saya Ayah Pin, maka saya tidak boleh terima. Bukankah Imam Syafi'e dan Imam Hambali juga berbeza pendapat. Saya sendiri berbeza pendapat dengan Imam Syafi'e dalam satu hal sahaja, iaitu berkenaan hukum memasukkan air ke dalam hidung semasa berwuduk. Jika Imam Syafi'e katakan ia sebagai sunat, saya mengambil ia sebagai wajib kerana saya mengkaji dan bertemu dengan pendapat yang bagi saya, lebih tepat. Saya telah talfiq (ikut pandangan mazhab lain) kerana saya mengkaji, bukan kerana suka hati saya. Diulangi, saya mengkaji, bukan suka hati. Kita dibenarkan talfiq hanya jika kita mengkaji. Tidak boleh ikut sebab nak mudah saja, macam ada sesetengah orang buat.

Oh, persoalan ini terlalu panjang untuk dibahaskan. Cukuplah saya simpulkan bahawa dalam islam, ada perbezaan pendapat tapi dalam perkara yang furu' iaitu perkara cabang.

Jadi, tidak layak saya dituduh sebagai Ayah Pin hanya kerana pendapat kita berbeza.

Dan jika 'ko macam Ayah Pin' itu suatu peringatan kepada saya supaya tidak memandai-mandai dalam agama, maka saya ucap terima kasih. Saya sudah lama sedar, tahu dan hati-hati. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berdusta atas namaku, maka dia telah menempah tempat di neraka" Hadith mutawatir, muttafaq alaih. Saya tahu itu!

Kesimpulan
Islam menyuruh kita berhati-hati dengan suatu berita. Dalam surah al-hujurat ayat 6- Allah suruh kita selidik kesahihan suatu berita yang dibawa kepada kita. Dan dalam ayat yang lain, al-Baqarah ayat 217- Allah menegaskan bahawa kesan fitnah (membawa berita yang salah) itu lebih berat daripada membunuh. Maka, hati-hati 'meluahkan perasaan'. Moga selepas ini kita, hamba-Nya yang beriman belajar sesuatu dari artikel ini.

Saya sebenarnya gembira ada orang 'ambil berat' pada saya. Cuma selepas ini jangalah samakan saya dengan Ayah Pin lagi :-) 

October 11, 2010

Wanita solehah, jangan runsing

( Wujudkah kesempurnaan dalam cinta? )

Saya nak tanya kamu. Betulkah perempuan-perempuan yang tak cantik tak laku? Saya lihat kawan-kawan saya yang cantik-cantik semuanya ada boyfriend.
Mesej dari YM itu saya tatap lama-lama. Berfikir. Saya tidak nafikan. Saya juga perasan yang lelaki menyukai wanita cantik. Dengan penuh hati-hati, setiap urat persoalannya saya jawab. Moga dia berpuas hati. Kali ini, izinkan saya berkongsi dengan anda, para warga Bayyinat tercinta.

Rasulallah s.aw bersabda : 'Perempuan itu dinikahi kerana 4 perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama. Nescaya kamu akan bahagia'- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Allah ciptakan makhluknya itu berpasangan. Ini disebutkan dalam Surah An-Naba' ayat 8- 'Dan Kami ciptakan kamu berpasang-pasangan'. Lelaki pasangannya wanita. Maka, menjadi suatu yang normal sekiranya lelaki menyukai wanita, dan wanita juga tertarik kepada lelaki.

Suka-Suka atau Suka?
Satu soalan perlu kita tanya kepada diri kita. Adakah tarikan ini, kerana suka atau kerana mahu bersuka-suka?

Dalam diri seorang wanita, ada 4 perkara utama yang menarik lelaki. Ini disebutkan dalam hadis diatas. Lelaki akan menyukai wanita kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Semuanya bermotif dan ada kepentingannya.

Lelaki yang mencari gadis kaya, mereka kadangkala hanya mahukan harta gadis itu. Lelaki yang mencari gadis yang berasal dari keluarga berada, kadangkala ada niat politik dan kepentingan peribadi disebaliknya. Sama juga dengan wanita cantik. Lelaki secara umumnya mahukan wanita yang cantik, kadangkala sekadar untuk dia bersuka-suka, bermegah-megah, dan menunjuk-nunjuk.

Tapi..
Percayalah cakap saya, bahawa lelaki yang baik, yang soleh dan yang benar-benar jujur mencintaimu (para wanita), tidak akan melihat bagaimana rupamu. Mereka juga tidak kisah dengan hartamu. Dan mereka juga tidak peduli dengan status keluargamu.

Mereka lebih mencintai kesederhanaan daripada kekayaanmu.

Mereka lebih mengkagumi keramahan dan kasih sayang dalam keluargamu, daripada status keluargamu.

Mereka lebih mengimpikan kecantikan akhlakmu, daripada kecantikan rupamu.

Semua ini datang daripada agamamu.

Kecantikan manusia, boleh luntur. Jika ditakdirkan Tuhan, kamu eksiden lalu berparut muka, adakah si dia akan masih menyintaimu lagi?

Kekayaan harta, boleh habis. Jika suatu hari, kamu dilanda masalah kewangan, adakah dia akan masih setia?

Keturunan juga begitu. Jika ditakdirkan Tuhan, keluargamu difitnah orang dengan fitnah yang menghinakan. Lalu setiap orang memandang hina keturnanmu. Adakah si dia akan bersamamu lagi?

Tapi jika dia memilihmu kerana agamamu, InsyaAllah kamu bahagia. Kerana dengan agama, kamu memiliki segalanya. Harta yang sedikit sudah terasa cukup. Hidup yang sederhana sudah terasa sempurna. Wajah yang biasa-biasa juga sudah terasa cukup menenangkan.

Kesimpulan
Jangan risau. Mungkin kamu tidak cukup menarik untuk cinta monyet, kerana Tuhan mentakdirkan bahawa cintamu milik hambaNya yang Dia kasih. Jadilah hamba-Nya yang soleh/solehah. Itu lebih utama.

 Saya cuma nak cakap, bahwa saya juga ialah salah seorang lelaki yang meletakkan syarat 'agama' sebagai yang teratas.

October 10, 2010

Salam Taaruf

Saya pasti masih ramai yang belum mengenali saya. Acap kali soalan ditanya tentang saya, dan acap kali juga saya mengelak untuk menjawab secara terus. Moga dengan pengenalan diri ini, cukup untuk membongkar kotak teka-teki di minda kalian.

Saya saudara kalian, yang mengkagumi kalian dari jauh. Saya saudara kalian, yang mencintai kalian dengan pautan iman.

Nama saya Iqbalsyarie Bin Shaari. Saya lahir pada 25 September 1990. Saya lahir dan membesar di Pahang. Jika lebih diperinci, saya membesar di sebuah tanah FELDA iaitu di Jengka 5, Maran Pahang.

Pendidikan terawal pastinya daripada ibubapa saya, sebelum dihantar ke tadika dan sekolah kebangsaan Jengka 5. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh. Sekolah bintang, bak kata senior saya, Inche Gabanna of Angel Pakai Gucci. Lima tahun saya di tempat orang, memang banyak mengajar saya selok-belok kehidupan.

Selesai 5 tahun di sana, saya pulang ke kampung halaman. Hampir satu tahun berada di rumah tanpa berbuat apa-apa. Keputusan SPM yang kurang memberansangkan menyebabkan saya terpaksa teliti dalam membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran. Syukur, satu tawaran biasiswa penuh daripada FELDA saya terima untuk melanjutkan pelajaran ke dalam bidang penerbangan. Dan kini, sudah genap 2 tahun saya berada di Malaysia Airlines Engineering Training Center (METC).

Bidang yang sama sekali tidak pernah saya impikan. Mengenggam awan Tuhan, kini tidak lagi hanya fantasi.

Seperkara, saya bukan bakal pilot, saya hanya sekadar orang yang akan memastikan kapal terbang berada dalam keadaan yang baik untuk pilot kendali. Mungkin saja saya boleh dipanggil sebagai 'doktor'. Doktor merawat kapal terbang.

Pengajian agama? Bila anda tanya tentang sejarah pengajian agama saya, saya jadi malu sendiri. Saya tidak senasib sesetengah dari kalian. Saya tidak pernah bersekolah agama, sekadar sekolah rendah agama sahaja. Jika itu anda kata cukup, maka saya kata yang sebaliknya.

Saya tidak pernah masuk sekolah pondok, bahkan saya hanya mula mempelajari agama kurang 2 tahun yang lepas. Sebelum itu, boleh saja saya katakan bahawa saya seperti kebanyakan manusia. Tidak tahu dan tidak peduli untuk belajar agama.

Minat dan keinsafan yang timbul menyebabkan saya yakin dalam melangkah. Melangkah meninggalkan sejarah gelap untuk menuju kepada realiti cahaya. Pengalaman kelmarin banyak membantu saya untuk terus melangkah.

Saya hanya belajar agama melalui kuliah-kuliah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz di masjid-masjid. Saya menyalin nota sendiri. Alhamdulillah, sudah ada 3 buku nota catitan saya tentang kuliah-kuliah para ilmuan. Saya tidak malu membawa buku nota dan pen, menulis perkara-perkara yang saya tidak tahu walaupun orang lain sedap bersandar di tiang-tiang masjid, melayan fantasi barangkali.

Saya juga tidak peduli jelingan manusia apabila saya menyalin teks khutbah. Selain dapat ilmu, mengantuk juga pergi. Tidak mudah untuk belajar, cuma syukur kepada Allah kerana dia memberikan saya minat dan motivasi ini. Belajar agama yang tidak lain hanyalah untuk di amalkan.

Sedikit demi sedikit, saya berusaha mengamalkan apa saja yang saya sedia tahu. Anda juga begitu, saya pasti.

Dalam banyak perkara, saya seringkali merujuk kepada ustaz-ustaz dan naqib saya tentang beberapa persoalan agama yang bermain di minda. Maka, banyak juga pandangan ustaz-ustaz yang saya simpulkan lalu diselitkan dalam Bayyinat ini.

Minat menulis juga hanya timbul selepas saya mengenali islam, buat kali kedua. Minat ini timbul kerana rasa mahu memberi dan berkongsi. Saya tahu dan pernah merasa hidup sebagai manusia yang tiada matlamat, tiada target dan tiada batas. Hidup yang sunyi dari hidayah. Maka, atas rasa kasih itulah saya berusaha mengajak kalian untuk sama-sama meredah belukar, dan dilukakan lalang-lalang tajam yang menjadi pengalang kepada redha Tuhan.

Hidup saya yang sekarang dengan hidup saya yang dulu berbeza. Dulu hidup lebih mudah, tapi tidak menenangkan. Kini, hidup lebih mencabar, tapi kasih tuhan sentiasa dapat dirasa.

Moga saya menjadi penulis yang baik. Kerana Rasulallah pernah bersabda bahawa manusia yang terbaik ialah manusia yang paling banyak manfaatnya. Ya, saya mahu jadi yang bermanfaat !
Me back in 2009, the early days i joined tarbiyyah.


Me, 2013. Not much different physically. Tambah janggut je.
Akhir sekali, salam perkenalan dan salam persaudaraan saya hulurkan. Saya budak baru belajar, masih banyak selok-belok kehidupan yang belum saya teroka. Maka, kehadiran kalian sebagai pembimbing yang memberi kritikan, nasihat dan motivasi adalah sesuatu yang saya harapkan dan hargai.

Salam ukhuwwah islamiyyah.
 

October 8, 2010

Jika Ia Boleh Diwarisi

Saya teringat sebuah lagu nasyid nyanyian kumpulan raihan.

Iman tak dapat diwarisi,
dari seorang ayah yang bertaqwa,
ia tak dapat dijual beli,
ia tiada di tepian pantai.

Harta Yang Abstrak
Jika kita kanak-kanak, adakah wang penting? Pasti mereka akan menjawab ya. Cuba kita beri beberapa keping duit syiling kepada mereka, pasti mereka akan tersenyum menerima. Hanyalah kerana mereka tahu bahawa dengan sedikit wang beberapa sen itu, mereka boleh membeli gula-gula atau mainan kegemaran mereka.

Antara wang dengan iman, ada beberapa persamaan. Iman dan wang, sama-sama berharga. Wang perlu untuk membeli dunia, manakala iman perlu untuk menebus harga syurga. Tapi, wang boleh ditukarkan hak miliknya. Tidak seperti iman, yang tidak boleh ditukar-tukar, diwariskan atau disedekahkan.

Sifat iman itu terlalu individu. Ia bukanlah sesuatu yang boleh dikongsi, apatah lagi ditukar ganti.

Individu
Setelah memahami bahawa iman itu tidak boleh dikongsi, maka kita juga harus faham bahawa iman kita adalah tanggungjawab kita. Kita bertanggungjawab untuk memastikan bahawa iman kita ada setiap masa.

Saya sengaja menggunakan perkataan 'ada' bagi menggantikan perkataan 'tinggi' kerana pada zaman ini, bagi seseorang hamba, untuk dia mati dalam iman itu adalah lebih sulit daripada dia hidup dalam iman. Ini adalah kerana pelbagai faktor yang terlalu panjang untuk dihuraikan dalam satu artikel. Pastinya, sesuatu yang berharga pasti di cemburui dan mahu dicuri.

Jika manusia jahat mahu mencuri wang, syaitan pula mahu mencuri iman.

Iman Tidak Boleh Diwarisi
Iman tak boleh diwarisi. Seorang suami yang soleh, belum tentu isterinya solehah. Seorang ayah yang beriman, belum tentu anaknya tidak kufur. Begitulah sebaliknya. Di dalam Al-Quran sendiri menyatakan perkara ini -

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً لِّلَّذِينَ كَفَرُوا اِمْرَأَةَ نُوحٍ وَاِمْرَأَةَ لُوطٍ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئاً وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ
 Allah mengemukakan satu perbandingan bagi orang-orang kafir, iaitu  perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut. Keduanya berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami. Dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)".

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً لِّلَّذِينَ آمَنُوا اِمْرَأَةَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِندَكَ بَيْتاً فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِن فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan kepada orang-orang mukmin, iaitu perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga, dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim"

Kedua-dua ayat ini adalah dari surah At-Tahrim ayat 10 dan 11.

Jika kita lembaran sirah juga, kita dapati kisah Abdul Rahman bin Auf r.a yang beriman, tapi ibunya kafir. Ibunya mogok tidak mahu makan selagi Abdul Rahman tidak mahu kembali menyembah patung berhala. Oh, anak siapa yang mahu melihat ibunya menderita. Namun, kecintaanya kepada Allah menyebabkan dia lebih rela kehilangan ibu, asal tidak kehilangan iman.

Banyak lagi kisah mereka. Cukup sekadar ini.

Alasan
'Saya mahu jadi baik, tapi ibubapa saya tak menyokong saya begini'

Ada segelintir manusia terburu-buru menyalahkan suatu pihak atas ketidak upayaan mereka. Alasan keluarga sebagai penghalang untuk dia mengamalkan islam adalah suatu alasan yang cukup tidak munasabah dan tidak masuk akal pada perkiraan saya.

'Dia anak imam. Hebat!'

'Dia anak ustaz, jadi biar saja lah dia menjadi imam hari ni'

'Kau gila ke nak suruh budak sekolah agama tu jadi imam? Kau bukan tak tahu yang ayah dia tu tak pernah datang masjid ! '

Pernah dengar bisik-bisik sebegini?

Terkilan.
Saya terkilan dengan cara kita memahami konsep iman, taqwa dan ihsan. Kita faham bahawa jika seorang anak itu anak ustaz, maka dia terus jadi ustaz. Kita juga faham bahawa jika seseorang itu anak seorang yang lelaki yang 'tak menonjol keimanannya' maka dia juga sama, tidak beriman.

Terlalu terburu-buru hingga hampir sahaja kita melakukan fitnah.

Yang beriman itu bukan dia. Yang hebat itu bukan dia. Yang jahat itu juga bukan dia!

Bukan dia! Kerana dia adalah dia yang berada di mata Tuhannya. Berhentilah melabel. Kita perlu faham dengan teliti bahawa iman itu pilihan individu. Dia boleh memilih untuk beriman, dan dia juga boleh memilih untuk tidak beriman.

Belum tentu anak imam akan sama menjadi imam. Kadangkala membesar tidak jadi manusia. Belum tentu anak penjenayah akan membesar jadi penjenayah. Mungkin dia akan jadi imam besar.

Benar, peranan ibubapa dalam mendidik dan membentuk anak-anak adalah suatu peranan yang tersangat signifikan dan penting. Tapi harus juga diingat peristiwa anak nabi Nuh, yang tidak mahu mengikut ayahandanya. Ingat juga peristiwa anak Nabi Adam yang tidak sama imannya seperti ayahnya.

Ingat jugalah anak kepada tokoh munafik, Abdullah bin Ubay. Anaknya ialah sahabat Rasulallah s.a.w, yang sangat kuat imannya juga sangat besar kecintaannya kepada Allah dan Rasul-Nya. Sangat berbeza dengan ayahnya!

Ah, bagaimana lagi harus katakan. Iman itu terlalu individu. Jika kita beriman, maka kitalah yang untung. Jika kita tidak beriman, maka kita jugalah yang rugi.
Kesimpulan
Belum tentu anak yang lahir daripada pasangan suami isteri yang fasik, akan kekal fasik. Maka, menjadi tanggungjawab setiap individu itu untuk berusaha atas imannya. Saya dan rakan-rakan, hanya mampu menunjukkan jalan dan jika terdaya, memberikan contoh. Sekarang terpulang kepada diri kita sendiri, adakah kita mahu rugi atau untung.

Usaha atas iman. Suatu kewajipan setiap manusia.

Moga Allah kabulkan keinginan kita untuk mati dalam iman.

October 6, 2010

Insaf Sekejap

Buat sahabat-sahabat yang saya cinta, artikel ini untuk kalian.

" Iqbal, thanks for this entry. Insaf, tapi sekejap saja. Huhu :( "

Benarkah wujud istilah 'insaf sekejap'?

Ya, ia wujud. Ramai sahabat mengadu, bahawa mereka mengalami sindrom insaf sebentar. Sebagai contoh, insaf selepas mendengar tazkirah tapi 10 minit selepas itu, rasa insaf itu lenyap dan dia kembali kepada keadaan asal.

Saya juga tidak terkecuali.

Kisah Hanzalah
Saya teringat sebuah hadis riwayat Muslim, berkenaan dengan seorang sahabat Rasulallah yang bernama Hanzalah bin Ar Rabi'. Beliau telah bertemu dengan Abu Bakar r.a lalu dia berkata, 'Hanzalah telah munafik!'.  Abu Bakar terkejut lalu bertanya mengapa Hanzalah berkata begitu. Lalu jawab Hanzalah, " Ketika berada bersama Rasulullah s.a.w , Baginda selalu mengingatkan tentang syurga dan neraka seolah-olah aku melihatnya, lalu ketika aku keluar dari hadapan Rasulullah, aku disibukkan oleh isteri, anak-anak dan mencari nafkah, maka aku menjadi lupa peringatan Baginda!

Abu Bakar terdiam lalu dia berkata, "Demi Allah, aku juga begitu". Lalu kedua sahabat itu sepakat mahu bertemu dengan Rasulallah untuk mengadu akan masalah ini. Lalu Rasulallah bersabda, "Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)"


Manusia Biasa
Kita manusia biasa. Iman kita yazid wa yanqus. Ia kadangkala naik, dan ia juga kadangkala turun. Dalam mendefinasikan perkataan insaf, saya cenderung untuk menyatakan bahawa insaf itu ialah taubat kerana di dalam sebuah keinsafan, ada suatu elemen yang dipanggil 'kesal'.

Orang yang insaf ialah orang yang menyesal. Dia menyesal kerana mengerjakan perkara yang tidak sepatutnya dia kerja. Dan kesal ini adalah hakikat taubat !

Maka izinkan saya menggantikan perkataan insaf dengan perkataan taubat.

Taubat Yang Berulang
Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulallah bercerita perihal betapa besar dan luasnya pintu keampunan Allah. Ada seorang hamba, dia melakukan dosa, lalu dia bertaubat. Tidak lama, dia melakukan dosa lagi, dan kembali bertaubat. Berulang-ulang kali. Lalu, sampai bila Allah mahu mengampunkan? Jawabnya ialah sampai hambanya jemu untuk memohon ampun!

Ya, Allah sama sekali tidak jemu untuk memberi ampun, tapi hanya manusialah yang jemu untuk bertaubat dan memohon ampun!

Mahu Kekal
Setiap orang, tempoh 'sekejap' mereka adalah berbeza-beza. Ada orang yang 'insaf sekejap' nya ialah beberapa hari dan ada juga yang 'insaf sekejap' nya cuma beberapa minit. Antara lain adalah kerana faktor persekitaran yang sangat mempengaruhi. Jadi, bagaimana kita mahu memanfaatkan tempoh yang sebentar cuma ini?

Firman Allah dalam surah al-maidah ayat 39-
 
فَمَن تَابَ مِن بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ إِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ  

Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani

Setiap taubat harus diikuti dengan pembaikian diri, atau amal soleh. Sebagai contoh, jika kita insaf kerana terbaca satu artikel yang sangat menyentuh hati dalam keadaan kita masih belum melaksanakan solat, maka segera menunaikan solat dan berdoalah supaya Allah mengurniakan kita keinsafan yang berpanjangan. Ya, harus banyak berdoa!

Kesimpulan
Insaf sementara adalah suatu yang sentiasa berlaku dan akan berterusan berlaku kepada kita. Cuma apa yang kita pastikan ialah kita gunakan tempoh yang singkat ini untuk kita lebih mendekati-Nya dan paling penting, kita perlu berusaha supaya 'sekejap' ini tidak akan selamanya sekejap. Mudah-mudahan ia akan berpanjangan kelak.

October 4, 2010

Saya Mahu Hilang

"Kebaikan ialah apa yang menjadikan hati dan jiwamu tenang, sedangkan dosa pula ialah apa yang menjadikan dirimu gelisah dan ragu-ragu"-riwayat Imam Ahmad.

Hanya satu perkara yang saya mahu lakukan buat masa sekarang, iaitu ber uzlah. Melarikan diri seketika dari alam maya. Terlalu banyak persoalan yang perlu saya soalkan kepada diri saya. Terlalu banyak perkara yang perlu saya kembali bermuhasabah dan terlalu banyak juga perkara yang perlu diri saya perbetulkan.

Seumpama sedang melakukan suatu jenayah berat, saya diburu rasa bersalah. Bersalah kepada diri saya sendiri, kerana dengan kelemahan diri ini, saya telah mengkhianati diri saya. Benar kata anda, kadangkala saya terlalu menegur, juga berdakwah hingga saya lupa bahawa diri saya seharusnya yang mula-mula dan pertama sekali ditegur, didakwah dan diperbetulkan.

Bersyukur saya kepada anda semua yang sedia memberikan motivasi, nasihat dan kata-kata semangat.

Saya mahu hilang sebentar...

Banyak persoalan yang mahu saya fikir. Semuanya menyesakkan dada ini. 

Saya mahu kembali tenang. Saya mahu 'pulang'...

Bila mana seorang sahabat berkata, "Si X tu, di  alam maya cukup sempurna, tapi di alam realiti dia cukup celaka!. ". Saya terdiam. Ya! saya harus lakukan sesuatu kerana mungkin saya ialah Si X itu.

Doakan saya. Saya mahu menjadi hamba-Nya yang praktikal.

 ( Jika mahu mati sebagai pejuang, maka harus melangkah dengan langkah kaki seorang pejuang! )

semoga apa yang ada dalam blog ni, menjadi suatu perkara yang boleh dimanfaatkan walaupun sedikit cuma.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails