July 24, 2011

Transit

Tanganku dilurus ke atas. Ah… terasa senang sekali hari ni. Jarang-jarang dapat menikmati hujung minggu dengan tenang seperti hari ini. Tipulah kalau aku katakan bahawa kerjayaku sebagai seorang doktor pelatih itu tidak mencabar. Aku pernah sekali dihimpit rasa putus asa. Mujur bukan putus nafas. Tapi itu dulu. Heh! Yang dulu tu… kata orang, sudah jadi sejarah. Dan kalau sudah jadi sejarah, maknanya tak perlu dikenang-kenang lagi? Betulkah? Atau aku kena kenang untuk jadikan pengajaran yang berharga dalam hidup aku yang masih berbaki?

Mataku yang berpisat, aku larikan ke arah timbunan buku-buku yang berususun di meja kayu empat segi, tempat aku 'bertapa' dengan bahan bacaan. Buku medik, novel, majalah fiksyen dan majalah perubatan berselerak di sudut meja. Aku capai, susun ikut jenis dan saiz lalu aku angkat sedikit-sedikit. Benda-benda tu lebih kemas jika aku letak di rak buku yang baru kelmarin aku beli di IKEA. Itupun sebab ada promosi. Jika tak, entah bila aku akan punya rak yang khusus untuk buku-bukuku. Buku agama aku letak paling atas. Kemudian buku medik dan perubatan, diikuti novel-novel dan juga majalah. Penamat, surat khabar lama. Awesome!
 
“Pap”

Ada sesuatu terjatuh masa aku sibuk memunggah buku-buku dan menyusunnya di rak. Aku tunduk mencapai kad putih itu. Oh, itu gambar kelas kami. Gambar bersaiz 4R itu mengabadikan wajahku bersama teman-teman aku masa sekolah dahulu. Ada Muz, Ayap, Ismeth, Danial, Amir, Ajay, dan Meon. Semua tengah senyum lebar sampai telinga, sambil saling memegang bahu di depan bola buruk, dengan berkaki ayam. Aku tak sedar sejak bila bibir aku dah mengulum senyum. Hei! Aku rindu diriku yang disemadikan dalam gambar tu. Itu gambar kami masa bermain bola sepak. Berkaki ayam di tepi blok akademik. Haru betul!

Gambar yang jatuh dari balik-balik timbunan buku tu aku tatap dengan rasa yang seribu. Sedar tak sedar, sudah hampir sedekad kami bawa haluan masing-masing. Muz, Amir dan Meon sekarang kat Eropah. Seorang kat Amerika, lagi dua kat England. Buat phD dan masters. Yang lain pula duduk merata negeri, berselerak di seluruh Malaysia. Semua sedang membina karier, membina masa depan. Ayap kalau tak silap aku, dah nak kahwin dengan seorang gadis Pontian. Heh. Aku gembira untuk dia. Ajay pulak, dengar-dengar cerita, tengah merangkak dalam bisnes di negeri kelahiran dia, Perak. Bisnes jual jersi bola sepak. Aku tak tahu lebih-lebih tapi aku tahu dia memang ada minat dengan berniaga dan minat main bola sepak. Orang lain pun sama. Masing-masing sedang menapak, berlalu meninggalkan masa sekolah, menjejak alam kerja sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Yang penting, Ayap kawin dulu! Haha. Eh? Aku tergelak sorang-sorang di sofa, sambil tangan pegang gambar. Tak ke haru?

Melihat diri sendiri di masa silam, dan melihat diri yang sekarang, buatkan aku rasa macam tengah bermimpi. Ya Rab. Betullah… rasa macam baru semalam saja aku buat benda-benda jahat dengan kawan-kawan aku yang 7 orang tu. 7 orang yang merangkap geng satu kepala- walaupun Muz selalu dikecualikan sebab dia pengawas. Buat jahat sama-sama, buat baik, pun sama-sama tidak. Hehe. Masa sekolah, memang masa yang seronok. Tak sedar, aku kembali tenggelam dalam kenangan. Dalam kanvas sejarah hidup. Dalam warna-warni kehidupan.

“Malam ni fly?”

On!

“Main 'Counter Strike' jom!”

Set!

“Hisap rokok tepi semak nak?”

Jom!

Fly gi layan burger Abang Din nak?”

Layan!

“Tengok filem XXX nak?”

Er… pandang kiri kanan, sebelum angguk

Benda-benda tu kembali dimainkan oleh otak sedar. Rasanya dah jadi macam-macam. Rasa nak ketawa sorang-sorang. Rasa nak senyum sorang-sorang. Tapi paling terasa ialah rasa nak menangis… seorang diri.

“Kau ni bila nak solat?”

Aku buat-buat tuli. Bibir sudah dimuncungkan, tanda protes. Apa hal nak solat pun ajak orang? Hei. Itu hak individulah nak buat atau tidak. Okey?

“Baca Quran ni. Kau tu liat betul nak baca Quran…”

Aku balas, “Huh, membosankan. Aku tak rasa nak baca…”

“Qiamullail?”

Huh? Buang masa. Buang tenaga. Buang karen je…

Habis tu, apa aku buat?

Mata dah terpejam. Aku tak boleh nak ingat apa benda baik yang aku buat. Bukan sebab aku lupa, tapi sebab aku rasa aku tak ada. Tak ada koleksi benda baik yang aku rasa macam nak cerita kat mak ayah aku. Tak ada cakap-cakap macam, “Mak, saya dulu masa selalu jadi imam masa solat” atau “Mak, saya selalu mengaji selepas solat maghrib” sebab kalau betul nak cakap, aku akan cakap, “Mak, saya tak pernah jadi imam kat sekolah. Solat berjemaah pun saya selalu ponteng” ataupun “Mak, saya tak pernah mengaji al-Quran pun kat sekolah, kecuali masa kelas pendidikan islam”

Otak dah jadi macam pemain DVD yang memutar kembali kenangan masa di sekolah dulu. Masuk-keluar bilik disiplin sebab jenayah ponteng, belasah budak, kantoi mencuri di kantin sekolah, dan kurang ajar pada guru. Banyak kan? Tapi entah macam mana, aku masih boleh bertahan sampai SPM di sekolah tu. Dan paling dasyat, aku boleh score straight A’s pulak! Dan-dan pula dapat tawaran buat kursus perubatan di University Aberdeen, Scotland.

Betullah kata orang. Selagi kita tak tahu kita ni salah, selagi tu kita tak akan rasa nak berubah. Aku tak pernah rasa bersalah buat benda jahat. Aku rasa macam biasa aje. Setakat tak solat, aku rasa benda-benda tu macam… “Banyak benda lain yang lebih patut fikir”. Mak dan ayah aku memanglah selalu jaga pasal solat aku. Kalau di rumah, tiap-tiap hari mereka akan kejut aku bersolat subuh dan akan terus ketuk pintu dan melaung namaku, sampailah aku masuk bilik air, keluar dengan kepala, tangan dan kaki yang basah.

Kononnya wuduk lah. Heh, aku tak rasa hipokrit pun masa tu- solat sebab mak ayah.

Ayah dan mak memang sudah memberi didikan agama yang cukup kepadaku. Kalau aku ni lembu, aku yakin dia dah lama seret aku ke masjid bersama mereka tiap-tiap hari. Dan di kampung juga, aku belajar cara menajamkan otak aku dengan membina alasan-alasan. Setiap hari satu alasan aku buat- untuk elak diri aku daripada sama solat di masjid dan dengar ceramah agama. Hoh, bosan benar tu! Pot-pet pot-pet, habis sejam dua tadah telinga aja. Ya Rab… teruknya aku dulu. Tapi aku tak boleh salahkan mak dan ayah langsung dah, sebab mereka sudah berbuat yang terbaik. Mereka telah mendidik aku, sampai aku sempat khatam al-Quran sebelum masuk asrama. Mereka sudah nasihat aku, sudah bebel aku, sudah piat telinga aku, sudah tengking aku, dan sudah mendoakan aku. Buat drama sedih dengan aku pun pernah! Tapi entahlah… aku tak tahu kenapa aku liat sangat dulu. Sampailah aku jumpa dengan dia…

Nafas berat aku lepas perlahan. Kepalaku disandar pada sofa sambil didongak sedikit ke atas siling. Dua ekor cicak kejar-mengejar sebelum hilang di balik almari. Cis! Patutlah bersepah najis cicak di rumah ni. Sekejap, ruang bilik aku sunyi. Hanya terdengar bunyi deru angin yang datang daripada bilah-bilah kipas siling yang berputar laju.

Dia…

Excuse me. Malaysian?”, bibirnya melentur senyum kepadaku sambil tangannya memegang beberapa biji buku.

Bulat biji mataku ditegur  begitu. Di tengah-tengah Aberdeen ni ada orang tanya soalan cepu emas macam tu. Aku senyum segaris. Teruja. “A’ah. Orang Malaysia juga?”

Dia sudah ketawa kecil sebelum menarik kerusi, menjadi temanku studi di Queen Mother library petang itu.
Pertemuan kami memang pertemuan yang tak dijangka-jangka. Masa itu, aku sedang membuat ulang kaji seorang diri di perpustakaan universiti. Memang di sini, pelajar Malaysia tidak pun sampai ratus. Jadi memang di sini kami semua belajar cara nak survive. Heh, memang bila kita sudah berada di tempat orang, kita sebenarnya sedang belajar a lesson of survivor. Dia pelajar perubatan juga, tapi senior kepadaku setahun. Pertemuan kami di perpustakaan berlanjutan hingga ke luar. Macam dah lama kenal- itulah yang aku rasa masa kami berbual buat pertama kali. Dia jenis yang ramah. Dia juga jenis yang ambil peduli. Dalam diam, aku rasa gembira dan bersyukur sungguh dapat kenal dengan dia. Paling tidak, jaringan kenalan dah makin bertambah. Kurang-kurang pun kalau ada masalah, aku boleh minta tolong kepada dia. Itu pun kalau dia nak tolong, dan dia memang dah banyak tolong aku. Terlalu banyak.

Akiff Mukhlis. Aku cuma panggil dia Akiff. Orang negori Sembilan. Akiff dengan aku banyak persamaan. Kami minat muzik. Kami minat bola sepak. Kami suka cabaran. Dan paling ketara, kami masing-masing ambil medik sebab terpaksa, dan bukan sebab kami minat sangat dengan medik. Heh, mati-mati aku ingat aku akan 'lingkup' seorang diri di bumi Scotland ini, sebab tak dapat nak catch up dengan subjek yang aku tak berapa nak minat ni. Tapi syukur, Akiff memang banyak membantu aku dalam study. Dia mentor aku secara sukarela. Dia juga murabbi aku secara 'paksarela'. Rasa nak ketawa tiba-tiba, bila teringat cerita lama. 

Senyum di bibir aku biar terukir lama. Oh, kalau orang lain nampak aku senyum sorang-sorang sambil duduk atas sofa, mesti diorang fikir aku tengah berangan pasal….

“Amboi… apa senyum sorang-sorang ni? Berangan ha?”

Aku rasa macam nak tercampak ke depan disergah begitu. Heh, kan aku dah kata tadi! Belakangku, Akiff tengah ketawa mengekek. Mungkin lucu melihat aku melatah begitu. Tapi mujur yang keluar dari mulut aku kalimah “Allahuakhbar”, kalau keluar perkataan, “Celaka kau”… tak ke haru tu?

Aku hanya menggeleng. Geramnya! “Kau ni kan….”

Akiff masih lagi ketawa. “Sorry.. Sorry..”. Dia dah mengambil tempat di sofa, sebelahku. “Apa kau duk fikir tu? Ditenung kipas tu macam nak kasi tertanggal aje kipas dari siling tu?”

Aku senyum nipis. Tak jadi nak marah dah. “Tak fikir apa-apa”

Akiff memandangku, tak puas hati. “Hello Dr. Adam Johari… aku bukannya baru kenal kau satu hari. Dah dekat lima tahun dah ni. Kau ada masalah ke? Share la dengan aku…”

Aku hanya membalas dengan senyum. Inilah dia Akiff. Pantang tengok kulit muka aku berkerut sikit, dah mula sibuk nak tanya dan nak bantu. Dia memang sahabat yang sangat mengambil berat akan kawan-kawan dia. Hinggakan dia sanggup susah semata-mata mahu kami senang. Ya Allah… Istimewanya dia. Semenjak dahulu, aku dan semua kawan-kawannya senang dengannya. Dia sahabat terbaik kepada kami. Dia- seorang pendengar yang setia, seorang teman yang membahagia, seorang pakar motivasi pada masanya, juga seorang superhero pada situasinya. 

Aku tak boleh lupa, bagaimana kali pertama dia ajukan soalan yang hampir-hampir buat jantung aku tercabut. 

“Jo, kalau kau mati kejap lagi… apa yang akan kau kesalkan?”

Muka dia serius. Aku angkat bahu, “Entah. Tak ada apa-apa kot”

Dia angguk. Perlahan, dia menuturkan, “Tidak ke kita patut menyesal kalau-kalau kita mati sekarang… dalam keadaan kita tak kenal pun siapa Tuhan kita. Kau dah kenal siapa itu Allah?”

Dan aku hanya mampu telan air liur sebab tekak dah terasa payau.

Daripada Akiff, aku terjaga daripada mimpi-mimpi yang aku corakkan dahulu. Aku kembali tersedar tentang matlamat kewujudanku di dunia ini. Aku kembali ingat syahadah (ikrar) yang aku lafazkan di depan Allah masa alam roh dulu. Aku juga dah boleh ingat balik bahawa aku ni cuma dalam transit- singgah di dunia yang maha kesejap, sebelum kembali bertemu Allah untuk hidup yang tiada noktah. Heh, buat pertama kali dalam sejarah hidupku, aku mengalirkan air mata atas sebab yang aku tahu, aku perlu menangisi diriku.

Ya Allah. Semua berlaku bagai mimpi. Akiff kembali ajar aku bagaimana untuk membaca al-Quran. Padahal sebelum aku ke Aberdeen ini pun, mak dan ayah selalu pesan, “Johari jangan lupa baca Quran. Jangan lupa solat. Jangan lupa berdoa. Jangan lupa mak, ayah, adik-adik. Jangan lupa tanggungjawab” na-na-na-na… aku jadi lupa semuanya! Aku lupa solat! Aku lupa nak jelling-pandang al-Quran. Aku lupa nak bertanya khabar akan keluarga tercinta. Aku lupa tanggungjawab aku sebagai hamba kepada Tuhan. Aku lupa semua! Ya Allah…

Tapi syukur. Ada tangan Akiff yang memegang tangan aku. Aku yang seperti orang mabuk, diberikan teh panas. Lambat-lambat, aku singkir rasa mabuk itu dan aku kumpul kewarasan. Pernah beberapa kali sahabat-sahabat lamaku mengejek. “Jo dah insaf sekarang. Hipokrit saja tu…”. Telinga aku panas. Kerinduan nak ‘pukul budak’ datang balik, membuak-buak tapi bisikan lembut Akiff umpama air sejuk yang mengalir dari balik setiap pembuluh darahku. Aku pernah beberapa kali hampir putus asa. Jalan yang lurus ini, walaupun lurus tapi sebenarnya memang sukar untuk kita telusuri. Sungguh!

Keinginan aku untuk buat dosa, buat maksiat, dan jadi macam dulu bukan pernah berhenti menggelegak dalam diri. Nafsu bro.. nafsu… Tapi Akiff pernah cakap, “Berubah daripada jahat kepada baik itu bukannya satu pilihan, tapi ia suatu kemestian. Nak tak nak, kita tetap perlu berubah. Berat atau ringan, kita tetap perlu buat perubahan. Kita dah makin dekat dengan mati… dapat bayangkan tak macam mana kalau nanti kita mati dalam keadaan kita tak kenal siapa diri kita? Kita tak kenal siapa Allah? Masa tu tak ada sesiapa pun yang akan rugi, kecuali diri kita seorang…”

Ya Akiff. Ya. Aku tahu. Aku faham itu. Dan aku pegang betul-betul kata-kata kau.

Tanpa sedar, mataku berair. Akiff yang dari tadi menunggu jawapan aku jadi kalut. “Jo, kenapa ni?”. Dapat aku kesan air mukanya berubah 180 darjah. Dapat juga ku kesan, suaranya dah bergetar. Heh, mamat seorang nil ah…

Aku geleng. “Taklah. Aku cuma teringat masa jahiliyyah aku je Akiff. Aku bersyukur Allah datang kau kepada aku untuk bawa aku kembali kepada cahaya. Aku dah selesa dalam kegelapan, hingga aku lupa kepada cahaya islam. Aku tak tahu macam mana hidup aku kalau kau tak bimbing aku. Mesti sekarang ni aku dah jadi macam bina….”

“Ish!”, dia memotong cakapku. “Dah. Jangan diungkit benda tu. Aku sebenarnya lebih-lebih patut bersyukur, melihat kau sudah kembali kepada paksi islam. Aku tak membimbing kau, tapi akulah yang perlu dibimbing. Kita sendiri sedang perlu sama-sama berusaha”

“Aku setuju”

“Kita ada matlamat, kan?”

Angguk. “Mardhatillah”

Dia senyum. “Ya. Kita perlu cari redha Allah…”

Sepi kembali menguasai. Masing-masing melayan perasaan. Aku kembali teringat, akan benarnya kata-kata Imam Syafie, ‘Orang yang berkawan dengan penjual minyak wangi, walaupun tak dapat minyak wangi, paling tidak dia dapat bau-bauan yang wangi tadi. Orang yang berkawan dengan tukang besi, walaupun tak dapat haba dari besi, tapi setidak-tidaknya terkena juga abu dan debu kotoran besi’

Sangat ketara bukan?

Aku lahir daripada keluarga yang beragama. Ayah dan ibu memang ada beri didikan agama. Aku diajar solat, diajar mengaji dan dibawa ke kuliah agama di kampungku. Hingga hari-hari terakhir aku sebelum berangkat dari Malaysia ke Aberdeen, mak dan ayah masih tetap beri nasihat dan galakan kepada aku untuk jadi hamba Allah yang soleh. Ibu dan ayah, rasanya tak putus-putus berdoa. Kak Long dengan Abang Ngah pun, aku rasa. Tapi entah di mana silapnya, aku tak jadi manusia seperti yang mereka mahu.

Sebaliknya, suasana persekitaranlah yang membentuk diriku. Itulah… kalau betul nak berubah, dan nak jadi orang baik, paling kecil usaha kita yang aku rasa… ialah dengan berkawan dengan orang baik. Kemudian, mula menjauhkan diri daripada berkawan rapat dengan orang-orang yang tak baik. Takut terpalit dengan habuk dan abu besi tadi…

“Akiff…”

“erm”

“Terima kasih”

Dan senyum di bibir Dr. Akiff Mukhlis aku semadikan dalam-dalam. Moga kami berjiran di syurga-Nya. Aminn…

July 23, 2011

Layar Kasih

Lama saya peram soalan-soalan tu. Bukannya ia mampu jadi jeruk pun, tapi tetap saya rasa keberatan untuk menjawab. Maaf yang tulus, saya pinta kerana berlengah-lengah dan beralasan, untuk menyelesaikan satu-satu urusan kaum muslimin yang lain.

Secara mudah, saya akan jawab empat-empat soalan cinta ini dengan satu skema jawapan sahaja: "Tunggu buku Dia Yang Kunikahi keluar, beli, dan baca (sementara menunggu berbuka puasa atau sahur)." Subjek cinta cinta, telah  saya garap menjadi sebuah cerita. Ya. Ia sebuah cerita yang sama seperti saya pernah 'beri' secara percuma kepada kalian satu ketika dulu. Tetapi, yang itu.... saya belum sunting dan edit. Tapi yang ini, sudah diberikan nilai-nilai tambah, hingga sebahagian besar kandungan, mengalami proses 'evolusi'.

Ah, kalau setakat ini... baik saya tak menulis artikel ni! Kan?

Baiklah. saya mahu jawab soalan... yang akhir dan yang kedua akhir. Soalan lima minggu lepas!

Apa rasionalnya kahwin ketika study? pandangan enta mengenai isu ini?
Untuk ini, saya rasa anda perlu baca pautan ini. Kahwin Muda. Saya noktahkan jawapan saya, kerana kalau saya perlu menulis pun... isinya akan sama juga. Sekadar dua benda yang berulang juga :D
Assalamualaikum, iqbal. boleh cerita x yang iqbal pernah bercinta atau tak?bila dan siapa? macam mana boleh jatuh hati dan lain lain lagi la. then, kenapa boleh putus. tq. harap dapat bg input sikit :)
Secara peribadi, saya sebenarnya teringin untuk kenal dengan tukang tanya soalan ini- trivia semeter ini!

Saya pernah bercinta. Berapa kali? Oh! yang penting bukan sekali.
Bila? Selepas UPSR, masa di tingkatan tiga, masa di tingkatan empat, dan masa di tingkatan lima, dan dua kali selepas habis sekolah. Oh, saya dah menjawab soalan di atas lah!
Macam mana boleh jatuh hati?
Saya akan katakan bahawa ia adalah kerana kerendahan nilai moral saya, juga nipisnya iman saya; bagai disiat seribu. Rasa sayang, kasih dan cinta itu benda yang lahir tanpa saya ada 'suis'. Jika empangan cinta saya itu satu pili, boleh saya selenggara dan kawal limpahan cinta saya... tapi yang pasti, itu bukan perbuatan saya. Saya sendiri tak tahu, apa yang membuatkan saya 'cinta'. Cinta dengan monyet, atau 'cinta monyet' (?)
Kenapa saya jatuh cinta?
Kerana saya ingat... saya mahu memperisterikan 'mereka'
Kenapa boleh putus?
Saya takut Allah. Sungguh. Saya tak fikir ada sebab lain kecuali selepas saya mengesan betapa saya telah mengheret diri saya untuk melalui lorong-lorong yang menuju perzinaan hati. Tipu! Bohong! Gebang kalau seseorang itu mengatakan betapa dia mampu mengawal hati dan fikirannya daripada ditusuk rasa yang bukan-bukan, seperti rasa mahu bersenda-gurau, berbalas senyum, bertemu muka, dan yang lebih daripada itu.

Memang kita sesekali tak boleh melabel orang lain sebagai melakukan zina hari, kerana sifat hati... ia tidak mampu dibongkar selain oleh si pemilik hati dan juga di peminjam hati. Hanya kita, dan Allah sahaja yang tahu akan apa yang terkandung di balik otot-otot lembut ini. Orang lain sama sekali tak punya autoriti untuk membuat 'audit' pada hati kita dengan meletakkan tag: "Enta sedang zina hati"

TETAPI, ia juga suatu kebohongan jika ada orang mampu mengaku yang dia terlepas dan bebas daripada dibayangi oleh zina hati. Anda takkan faham apa yang saya katakan, jika anda belum terjebak. Dan saya berdoa, anda tidak terjebak.

Saya belajar dengan cara 'manis', tapi 'bisa'... dan saya telah dan akan tinggalkan 'manis' itu, selagi ada 'bisa'. Ya! Allah kan ada... dan itu sudah cukup untuk saya berfikir berkali-kali, betapa cinta saya kepada Dia masih goyah; apakah layak untuk cinta hamba-Nya, saya gapai?

Sesungguhnya, jodoh dan ajal adalah selari. Keduanya telahpun ditentukan oleh pencipta yang sama. Jika kita sibuk mencari jodoh, kita tidak akan bertemu juga dengan jodoh, melainkan dia itu ialah hamba yang memang 'disimpan' oleh Tuhan kepada kita. Jika bertemu, kita gembira... bahagia. Tetapi jarang-jarang kita perasan, bahawa selangkah kita dekat dengan jodoh, bermakna selangkah kita mendekati ajal. Ya, seperti yang diulang-ulang kepada si kelana dunia, kita dijanjikan dengan sebuah kematian... tetapi tidak kepada sebuah perkahwinan. Ada manusia yang tidak bernikah, tapi tiada manusia yang tidak mati!

Maka, dalam rangka diri mahu bersiap menerima jodoh, seharusnya saraf-saraf pemikiran kita terlebih dahulu dialirkan dengan nuasa-nuasa kehidupan abadi, agar tidak terlalai hidup kita.

Kita, hakikatnya mahukan jodoh yang baik-baik, juga perkahwinan yang membahagiakan. Tetapi, bukankah yang lebih aula dari segala, ialah kematian yang baik-baik, kepulangan yang membahagiakan?

Saya tidak 'berkongsi' kisah jelek saya untuk sekadar dibaca dengan rasa yang bercampur aduk oleh sidang pembaca sekalian, tetapi saya menulis kisah saya, agar yang bernyawa... mampu mengambil pengajaran, bahan separuh perkataan.

Saya tak kisah jika 'hormat' kalian merundum, kerana kisah lampau saya... tapi jangan lupa, kalian pun ada 'kisah gelap' yang saya tidak ingin pun nak baca!

 Sama-sama kita bertaubat, menyesali nota semalam.

Astaghfirullah...
Astaghfirullah...
Astaghfirullah...
    
Tuhan, jadikanlah sauh cinta kami berlabuh di bawah iradat-Mu
    

July 20, 2011

Tegurlah saya dengan hikmah

Jika saya diberi peluang untuk mencipta 'dunia', maka saya akan gunakan segerap kudrat dan upaya saya untuk mencipta dunia yang seluruh manusia taat hanya kepada Allah. Tiada yang berbalah, langsung tidak yang bermasam muka, jauh sekali yang berpatah arang. Tapi nyata 'permusuhan', hanyalah satu perkataan yang akan dinafikan kewujudannya bila kita dan sekalian manusia berada di dalam syurga.

Hari ini, saya dengan kepala yang berat... hanya mampu mengela nafas panjang, sambil kepala digeleng sedikit. Seikat rasa persaudaraan, nyata makin longgar dalam hati-hati manusiawi kita, umumnya. Saya katakan, dan saya benar-benar memaksudkan.

Sejarah telah membuktikan, betapa perbalahan sesama anggota, ialah punca yang membawa kepada keruntuhan sesebuah tamadun jiwa. Berbalah sesama sendiri, juga bergaduh sesama satu rumpun!

Dewasa ini, permusuhan yang berlanjutan antara sesama kita nyata belum tamat. Apinya masih marak. Bahangnya masih membakar. Debunya juga masih hitam, pekat. Saya kecewa, kehilangan rasional bagi sebuah persoalan yang saban hari saya nantikan kewujudan jawapannya- "Sampai bila kita akan berpecah?"

Saya baru selesai menonton video di lama sesawang seorang sahabat, yang mengutarakan perbezaan pendapat antara dua figur ilmuan islam. Seorang menyokong pemerintah yang zalim, dengan hujjahnya- "Wajib taat kepada pemerintah" dan seorang lagi ilmuan cuba untuk menjernihkan fahaman yang ekstrem itu.

Saya terkilan. Mungkin saya seorang pro-pembangkang- saya tidak letak noktah pada pernyataan saya itu, kerana perkataan 'mungkin' sudah cukup untuk menjelaskan pegangan saya dalam siasah. Tapi, saya cukup terkilan dengan kemunculan ilmuan islam (sengaja saya tidak menggunakan perkataan 'ulama' kerana ulama ialah gelaran yang suci- diiktiraf oleh Allah dalam al-Quran sebagai manusia yang takut kepada-Nya sahaja) yang tidak lain, menggalakkan perpecahan dan pembantaian keatas umat manusia, khususnya Malaysia.

Perbezaan ulama seharusnya kita raikan sebagai satu bentuk perkara furu'. Perlu saling menghormati. Tapi ia tidak berlaku kini. Yang berlaku ialah sebaliknya- aktiviti sela menyela.

Mengapa al-Quran dan hadis, yang sama dipegang... hanya difahami separuh-separuh hingga wujud golongan yang mengorek dalil, untuk kepentingan diri?

Saya bercakap sedikit tentang politik. Dan saya harap, tiada wajah yang akan berkerut geram. Saya tiada kepentingan, jauh sekali tapak dalam dunia yang penuh kesulitan ini. Saya berkecuali. Sama seperti Blog Kereta Mayat, yang telah dihujani dengan kritikan keras kerana cuba menyelam ke dasar masalah politik ini.

Tapi yang pasti... saya mahu merakamkan rasa kecewa saya, dengan harapan... cambak satu titik sedar dalam hati murni kita, untuk sama-sama mencari jalan- bagaimana mahu bersatu?

Bagaimana, bila kita mahu bersatu?

Saya cukup bimbang. Saya risau, bila gajah bergaduh... yang tersepit di tengah-tengah ialah si jahil seperti kita. Dan lebih saya bimbangkan, bila wujud seorang yang ekstrem, maka ia akan mencambahkan kekeliruan, langsung menjadi hijab kepada anak-anak muda yang menggagau mencari jalan kebenaran.

Sungguh, saya sedang keliru.

Dan sungguh... ramai yang masih keliru!

Anda semua, tolong jangan politikkan agama, tetapi agamakan politik!

Kerana itu, saya menulis artikel ini. Dengan harapan, jika saya melakukan kesalahan dalam bicara dan penulisan saya, anda tahu di mana mahu menegur saya. Dengan mata pena, waima mata pedang! (metafora kepada teguran cara lembut, dan cara atau bahasa yang kasar)

Ini emel saya: iqbalsyarie@gmail.com

Jika ada yang anda tidak suka pada saya, jangan menyela saya kerana mungkin saya sedang berada di pihak yang benar. Sebaliknya, jujurlah dengan menegur cara peribadi.
     

July 12, 2011

His Little Mosque, In Remembrance

Saya tak tahulah saya ni sahabat jenis apa... hinggakan selepas hampir setahun, baru perkhabarab duka daripadanya singgah menyapa akal sedar saya. Di zaman yang serba maju, dengan berbagai sumber dan medium komunikasi, saya terhimpit di anjung malu sendiri. Sahabat jenis apakah aku ni!

Terkejut- apa yang saya rasa, bila pertama kali berita duka itu dicerna oleh kepala. Saya benar-benar tidak menyangka bahawa dia sudah tiada. Dia sudah pulang, bertemu Tuhan!

Al-Fatihah kepada Saudara Paan Lee, yang diambil usianya dalam bulan Ramadhan, 17 September 2010.

Secara peribadi, antara kami... belum pun pernah bersua muka, juga tak pernah bertukar-tukar bicara kata. Pun begitu, dia punya banyak pengaruh kepada saya yang hina ini. Dialah antara orang yang paling awal saya kenal, dalam dunia blog ini!

Dia jugalah orang yang 'memaksa' saya menulis blog. Masa blog ini masih hijau dan mentah, dialah orang yang memberi kata-kata semangat kepada saya. "Tulis saja Iqbal. Jangan copy-paste banyak sangat"

Heh, semua orang tak tahu, bahawa masa awal-awal kewujudan blog ini, saya suka untuk plagiat, dan menulis suatu yang mengarut. Mengarut: bagi saya, tetapi tidak bagi dia! Dia mengajar saya untuk 'belajar' menulis, dengan cerita tentang kehidupan saya, antara yang kerap saya paparkan untuk jadi bahan 'pengasah' kepada skil menulis. (Usah cari entry-entry itu, kerana telah bertahun saya delete)

Pernah sekali saya meluahkan kebimbangan saya kepada Allahyarham Paan Lee, "Bagaimana kalau saya menulis, tapi saya tak jujur dengan penulisan saya?"

Allahyarham berpesan, "Kita menulis, untuk diri kita. Mengapa perlu berasa tak jujur?"

Lalu Allahyarham menyambung ceritanya dengan bercerita tentang perkataan 'my selfish journey begins' yang menjadi description bagi blog Allahyarham, My Little Mosque.Katanya, sedari awal, dia menulis perkataan 'selfish' yang mana dia benar-benar memaknakannya! Dia benar-benar menulis untuk kepuasannya, lalu dia tidak peduli langsung dengan serangan peribadi yang ditujukan oleh anonymous-anonymous keatasnya.

Oh ya. Blog dia ialah blog yang menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar, dan seringkali isi kandungan dan bahan-bahan bacaan yang ditulis olehnya berkait dengan isu agama, sosial, dan kehidupan. Ada banyak perkara yang saya belajar daripada Allahyarham. Ada yang sudah, dan ada yang baru saya belajar.

Yang baru, saya belajar untuk 'menyesal'. Saya kesal sangat-sangat, kerana walaupun sudah sekian lama kami bersahabat di laman sosial Facebook, saya seakan-akan gagal mengesan dia. Saya seperti melupakannya terus! Melupakan dia, yang banyak jasanya kepada pembentukan blog ini.

Seorang sahabat tak sepatutnya melupakan sahabatnya... tapi saya.... sudah melupakan dia. Hampir setahun, baru saya 'terjaga' dengan hakikat pemergiannya. Yes. He has done with his 'selfish' journey... to Almighty.

Saya juga banyak belajar tentang 'persahabatan' daripadanya. Nyata kalimah sahabat itu sangat keramat, dan saktinya ada pada lelaki yang cuma tua tiga tahun daripada saya itu. Dia mengajar saya erti kasih kepada sahabat. Seringkali, kami bertukar cerita. Dia suka bercerita tentang keluarganya, juga tentang kehidupannya. Bagaimana... dia bersahabat dengan kaki minum, kaki perempuan, dengan pelacur... dan segala bagai jenis manusia, baik yang 'putih' mahupun yang 'hitam', termasuk juga warna kulit.

"Mereka baik", "Mereka terpaksa", "Mereka ada peluang bertaubat", "Mereka sedang tunggu masa saja"

Itu antara tanggapan-tanggapannya kepada setiap rakannya yang 'buruk' pada mata awam. Siapa yang tahan berkawan dengan pelacur, dengan menjaga kemurnian tanggapan dirinya kepada si pelacur itu? Beliau mampu! Dia benar-benar ikhlas bersahabat dengan mereka, kerana dalam masa yang sama... dia tak akan lokek dengan nasihat, sekadar termampu.

Dia sangat optimis. Itu sangat jelas pada saya. Melewati perbualan-perbulan kami (di Yahoo Messenger), dia tetap tak pernah menganggap hina sahabat-sahabatnya itu. Bahkan dia memuji sikap sahabat-sahabatnya yang 'kaki minum' dengan mengatakan betapa hubungan antara mereka (geng-geng kaki minum) adalah sangat akrab. Bagaimana ya, orang yang pendosa... boleh memahami konsep ukhuwwah, lebih hebat daripada saya dengan rakan tarbiyyah, faham?

Mereka boleh saja berkongsi suka dan duka. Tapi kami, sesama rakan terbiyyah, masih terasa ada jurang yang memisahkan. Entahlah... mungkin kerana masing-masing punya ego. Ah, itu bukan persoalan, kerana persoalan utama, ialah Allahyarham telah banyak kali membuka mata saya. Dunia, nyata terlalu indah untuk kita tidak lihat ia dengan mata sebelah...

Allahyarham ialah seorang yang baik. InsyaAllah, saya pasti akan hakikat itu. Keinginannya untuk menjadi hamba yang soleh dan lebih baik, sangat terserlah walaupun dia cuba bersembunyi dengan lagak 'remaja biasa', yang layan muzik dan juga filem. Dia sangat inginkan kebaikan kepada diri, juga kepada rakan-rakannya yang dia sayangi: tak kiralah yang sedia baik, ataupun yang sedang dalam landasan yang gelincir.

Allah... saya teringat akan sebuah hadis, bagaimana Rasululallah memuji manusia yang bergaul dengan orang yang rosak, dan bersabar dengan mereka, dengan Baginda menyatakan bahawa orang sebegitu... adalah lebih baik daripada orang-orang yang tak mahu bergaul, dan tak pula mahu bersabar. Heh, rupa-rupanya... sedang diri kita ini banyak amal wajib dan sunnat, juga banyak menghafaz nas dan dalil Quran-Sunnah, tetap kita jauh ketinggalan dengan seorang anak muda bernama Farhan Zailani, yang mana dia bergaul dengan kelompok-kelompok yang kita kata 'tak nak' dan mampu pula bersabar dengan mereka. Sabar- kerana sayang. Sabar... kerana kasih. Sabar... kerana kasihan! Ah, alangkah bagusnya jika sahabatnya semua mengerti.

Mari bersama, kita sedekahkan bacaan surah al-Fatihah dan surah al-ikhlas kepada Allahyarham Farhan Zailani yang telah menemui Allah dalam keadaan matinya sebagai manusia yang soleh, yang sedang transit kearah lebih baik, juga dalam keadaaan mengharapkan kebaikan kepada dirinya, juga kepada sahabat yang dia cintai.

Sesungguhnya, pada diri Allahyarham... tidak saya temui apa-apa, melainkan sebuah sifat 'cinta' yang dia tarah kepada setiap yang bergelar sahabat.

Ayuh para da'ei... jangan canggung untuk 'memujuk' dan bersahabat... sambil 'bersabar'!
   

July 8, 2011

Mengapa Menulis?

Mengapa menulis? Soalan yang saya tanya ini kiranya bukanlah dalam kategori soalan-soalan yang mencabar minda pun, tapi tetap kita mengambil masa juga untuk soalan yang mudah sebegini dijawab, kan?

Baiklah. Sekarang, sila jawab. Mengapa menulis?

Kerana minat? Berkongsi info-info terkini? Mencari sahabat baru? atau untuk berdakwah?

Semuanya tak jadi kesalahan. Ia hak individu. Saya tak mahu komen, kerana saya tak mahu mencabul hak kalian untuk menulis. Saya cuma rasa terpanggil untuk bercakap tentang dakwah melalui penulisan. Isu ini rasa saya, sudah lapuk dan berhabuk pun. Sudah dibincangkan panjang lebar, dan kata sepakat juga telah diambil. Betul?

Tapi saya nak juga menulis, sekadar pandangan peribadi saya. Kalau rasa tak minat membacanya, saya tak apa-apa.

Hari itu (dah lama dah), saya terbaca satu pandangan peribadi seorang (InsyaAllah ia adalah pandangan peribadi, dia seorang sahaja) anggota jemaah tabligh yang menyela tindakan dakwah melalui muzik. Kata beliau, "Nabi dakwah cara jumpa manusia, pintu ke pintu. Kalaulah dakwah tu dengan muzik, pasti Nabi akan jadi pemuzik dan buat lagu saja"

Saya tersedak, kerana saya terfikir satu benda: dakwah penulisan!

Kiranya, kalau dikiaskan dengan pendapat orang yang sama tadi, "Nabi dakwah cara jumpa manusia, pintu ke pintu. Kalaulah dakwah tu dengan tulis buku@blog, pasti Nabi akan jadi penulis buku@ blogger saja"

Saya tak mahu melabel orang itu sebagai apa-apa. Tapi yang jelas, dia nampak 'tidak mengetahui' dan 'tidak jujur dengan ilmu'.

Jika... kita selidiki sirah, pada zaman Rasulullah S.A.W, ada seorang sahabat yang bernama Hassan Bin Tsabit r.a. Beliau ialah seorang penyair Rasulullah. Syair dengan nyayian, kan tak banyak beza. Dua-dua ialah seni, dan dua-dua ialah berkaitan dengan lirik atau kandungan dalam puisi dan lagu tu.

Saya tak memaksudkan muzik-muzik dan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh wanita, tapi saya memaksudkan tentang lagu nasyid, yang dinyanyikan oleh lelaki. Sebagai contoh, lagu Iktiraf daripada kumpulan Raihan. Menurut anggota tabligh yang seorang itu, nasyid bukanlah dakwah. baiklah. Saya tak mahu bertekak. Siapa yang setuju dengan dia, silakan. Saya cuma... tidak bersetuju.

Jika di zaman rasulallah syair itu berdosa, maka mengapa Hassan bin Tsabit mendapat pengiktirafan Rasulullah. Mari sama-sama kita merenung maksud firman Allah dalam surah Asy-Syua'ra' mulai ayat 224 hingga ayat 227. Dalam ayat 227, Allah meletakkan perkataan "kecuali". Siapa yang Allah kecualikan daripada 'merayau-rayau tak tentu hala' tu?

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali. Asy-Syua'ra ayat 227.

Buka sikit minda. Jika betul "penyair" itu haram terus, mengapa perlu dibeza-bezakan antara yang beriman dan tidak beriman?

Samalah dengan 'pemuzik'. Jika benar pemuzik itu haram terus, mengapa perlu ada 'pemuzik islamik' dan 'pemuzik tak islamik'? ini bukannya macam minum arak. Minum arak ialah dosa dan haram terus. Maka, tak wujud istilah 'peminum arak islamik' dan 'peminum arak bukan islam'. Wujud ke?

Saya tertarik dengan sebuah hadis, bagaimana Rasuluallah menggambarkan kita semua ini sebagai setiap sudut dalam agama. Maknanya, setiap daripada kita punya 'saham' dan punya potensi yang perlu kita arahkan untuk perkembangan dan pemesatan islam. Tak bolehlah semua orang nak 'ketuk pintu' sebab bagi orang yang tak ada pintu, bagaimana mereka mahu menerima islam?

Masih tak faham maksud saya?

Kalian tahu tak... bahawa setiap daripada kita ni, wajib menjadi pendakwah. paling tidak, kita jadi pembantu kepada usaha dakwah. tapi paling-paling teruk pun, kita kena jadi orang yang didakwah.

Begini. Islam tak akan maju, tanpa 'hijrah' dan 'nusrah'. Islam berkembang pun sebab ada dua elemen ini. Masa hijrah ke Habsyah, islam tak berkembang pun sebab yang ada cuma 'hijrah', tapi tiada 'nusrah' daripada masyarakat. Nusrah itu ialah sokongan dan bantuan. Mana ada orang-orang Habsyah membantu menyebarkan islam. Tidak.

Tapi, masa hijrah Rasulullah dan para sahabat ke Madinah, dua elemen ini bersatu akhirnya. Ada proses hijrah (delegasi dari Mekah ke Madinah) dan ada nusrah (daripada ansar, kepada muhajirin). Lalu, apa kaitan dengan hadis 'sudut-sudut' agama tadi?

Kaitannya ialah... kita saling memerlukan, dan saling perlu membantu. Jika saya menulis, awak kena baca dan sebarkan. Kalau nak suruh saya tulis... lepas tu saya sebarkan pula, maka tak akan bergerak juga dakwah dari mata pena ni. Yang perlu, seorang daripada kita buat pengorbanan (tulis, cipta lagu, nyanyi) dan satu pihak pula untuk nusrah (cth: baca, sebarkan... dan sebarkan lagi).Ada orang pandai main muzik.

Macam abang Syam Kamikaze. Saya pernah jumpa dia di Masjid Airport. Kagum saya dengar ceramah dia. Kata Abang Syam, dia mahu menumpukan tentang dakwah... melalui muzik. Ada orang pandai muzik, maka buatlah muzik keagamaan. Mungkin bagi 'orang yang suka rumah dia diketuk orang', dia takkan dengar muzik islami, tapi orang yang memang suka muzik... pasti akan teruja untuk mendengar. Bila dah dengar, dapatlah mesej-mesej yang cuba disampaikan. InsyaAllah sikit-sikit... lama-lama jadi banyak!

Sama macam ulat buku. Antara mereka, pasti ramai yang tak suka 'pintu rumah mereka diketuk', dan tak suka mendengar muzik. Lalu, dakwah kepada mereka nak disalurkan dengan cara yang macam mana? Dengan buku, majalah dan novel lah. Boleh faham tak apa saya nak cakap ni?

Juga sama kepada peminat filem. Bagi kaki filem, mereka terang-terang tak suka pintu rumah mereka diketuk, juga tak berapa suka baca buku-buku agama, juga tak minat dengar muzik nasyid, tapi tentu mereka akan suka menonton apa-apa jenis filem. Filem seperti Ketika Cinta Bertasbih, Sang Murabbi, Sang Pencerah dan drama-drama seperi Nur Kasih, Hani, Kitab Cinta, dan lain-lain, bukan dakwah ke? Bukankah secara tak langsung, bila mereka menonton filem-filem begini, mereka akan disuntik sedikit demi sedikit dengan kesedaran islami?

Kalau tak betul apa yang saya cakap ni, mengapa ada ulama ahli muzik? -Abu Bakar Muhammad Ibn Yahya al-Saigh al-Tujibi al-Andalusi al-Samqusti atau dikenali sebagai Ibn Bajjah.
SUMBER
Kalau tak betul juga, macam mana dengan Imam Ghazali yang menyampaikan dakwah dengan menulis?

Saya geram juga, bila ada orang meremehkan usaha orang lain sedangkan sama-sama bekerja untuk islam. Sedang sama-sama berikrar untuk komited dalam dakwah, pun masih berlaku aktiviti sela-menyela.

Saya nak pesan satu. Dakwah bukan usaha individu, tapi ia usaha kolektif. Setiap kita, ada sudut-sudutnya. Kita ada posisi, ada konsesi. Kita ada peranan. Kita perlu jadi satu bahan radioaktif, yang mengeluarkan radiasi iman. Radiasi dari badan kita, hendaklah cukup kuat... agar orang sekitar kita dapat dipengaruhi, dan diubati. Caranya? Kita perlu 'menyebarkan' radiasi itu!

Kesimpulan.
Saya perlukan anda. Anda perlukan mereka. Mereka perlukan saya. Kitarannya tak putus-putus. Kalau rasa blurr, baca balik ayat saya tadi.

P/S- saya baru habis menulis novel. Saya tak tahu ia novel dakwah atau tak. Tunggulah bulan Ogos ni untuk yang sulung lahir, dan tunggulah lagi... sebab yang nombor dua baru sahaja 'dikandung'
    

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails