August 25, 2011

Kerana Dia Imaen



Dalam arena penulisan terutama penulisan novel… seringkali kelibat kaum Adam kabur. Lebih tepat rasanya, kaum lelaki dikaburkan oleh kehebatan penulisan kaum wanita. Susah nak mencari penulis lelaki yang kena dengan selera saya. Tambahan, memang bilangan mereka ini jarang. Oh!

Tapi ada seorang penulis, dalam keramaian… yang saya cukup minati karyanya. Siapa? Dialah Imaen. Abang Imaen yang saya kenal di dalam tulisan, dan juga di luar tulisannya, sama-sama mengkagumkan saya!

Setakat hari ini, saya cuma baru membaca tiga buah karya beliau. Sebuah novel kompilasi- Vandetta, Blues Retro dan Seikat Kembang Merah. Dan ketiga-tiga tulisannya, bagi saya… sangat dekat dengan hati, sangat tepat dengan selera saya.

Jadi, apa kata saya tentang Vendetta?

Mudah dan ringkas- Saya menyukai cerita ini, termasuk juga aksi-aksinya.

Apa kata saya tentang Blues Retro?

Saya rasa, buku ini sangat ‘jantan’. Dan tidak teragak-agak untuk saya kata, buku begini sangat sesuai untuk lelaki muslim- bukan pondan, bukan bapuk, tetapi tegas pada tempatnya juga lembut pada keadaannya. Banyak perkara yang dirangkum di dalam novel ‘kuning’ ini. Tiada helah politik, melainkan semuanya hanyalah suatu garapan pena yang meniti dari satu huruf, menjadi satu perkataan, seterusnya satu ayat… yang pada saya, sangat mengkagumkan!

Ghazi- lelaki itu seperti ‘hidup’ dalam realiti. Dia seorang anak desa yang dhaif, tetapi kaya dengan maruah diri sendiri. Ghazi ialah seorang melayu. Lebih melayu daripada segelintir pejuang melayu. Sungguh!

Dia punya ketetapan hati- yang mana tekadnya tidak boleh diperdagang. Ghazi juga punya prinsip, yang tak juga diperjual beli. Dan Ghazi jua punya semangat, yang tidak surut.

Abang Imaen menggambarkan Ghazi sebagai lelaki yang tidak alim, tidak juga warak, tapi sederhana pada wataknya… juga sederhana pada peribadi. Pun begitu, dia bijak menilai yang mana benar dan yang mana salah, juga tidak gentar untuk memperjuangkan apa yang benar itu. Ironinya, ramai antara kita yang terlebih alim daripada Ghazi, orang miskin… juga lebih warak daripada beliau, tapi mereka kudung daripada satu nilai- keberanian untuk memperjuangkan kebenaran!

Sejujurnya, saya akan katakan betapa orang lelaki selamanya akan mulia, jika dia berani. Harus difahami betul-betul konteks berani itu! Berani kerana benar- dan tiada bentuk keberanian yang mulia, selain daripada itu.

Bagi saya, Blues Retro memang cukup bagus- tapi saya hanya mampu fokus kepada watak Ghazi sahaja. Yang lain-lain, tak banyak saya boleh ulas.

Apa kata saya tentang novel Seikat Kembang Merah?

Saya jatuh cinta dengan novel ini, bukan hanya dengan jalan cerita tetapi serba-serbi di balik 495 muka surat ini!

Watak utamanya, Gary ialah seorang yang jahat. Takrif jahat yang sahih- dia menyeluduh, minum arak, clubbing, dan lain-lain. Tetapi yang menariknya, kejahatannya hanyalah berkisar kepada Tuhan. Dosanya dia buat, hanya melibatkan dirinya sendiri. Orang lain di sekelilingnya, terselamat daripada kejahatan dirinya.

Tapi Allah beri dia hidayah. Caranya unik. Gary, satu hari… mabuk, dan sakit perut. Melilau juga dia mencari tandas dan akhirnya, hanya satu tandas yang ada- tandas surau! Lalu dia pun melepaskan hajat di tandas surau itu.

Selasai, dia terjumpa satu cebisan mukaddam. Satu kertas carik, yang terkoyak… berada di atas lantai. Hatinya berfikir sendiri, “Ish! Tak boleh ni. Kalau orang terpijak kertas yang ada nama Allah, macam mana…”

Lalu dia pun kutip cebisan kertas itu lalu disimpan di dalam poketnya.

Hanya satu perbuatan yang sangat minimal dan kecil. Tetapi dia telah berjaya menarik perhatian Allah. Dia telah berjaya membuatkan Allah suka kepada dia lalu Allah memberinya hidayah dengan jalan yang sangat unik. Dia terjumpa dengan Nur Tahani, seorang gadis bertudung labuh.

Secara peribadi, saya melihat watak Nur Tahani sebagai gadis yang biasa-biasa sahaja, di sebalik tudungnya yang lebar itu. Dia bukan jenis wanita yang…”Kau lelaki! Haram aku cakap dengan kau!” bukan juga jenis wanita yang… “Aku perempuan! Aku kena duduk rumah saja!”

Tidak. Nur Tahani faham konsep wassatiyyah. Konsep islam, agama yang sederhana. Tahani tak ekstrem, dan tidak juga longgar. Dia di tengah!

Gary… bila sudah jatuh suka dengan Tahani, terus saja merancang segala macam strategi dan gerak kerja untuk memikat gadis idamannya ini. Semuanya gagal- kecuali selepas dia berlakon menjadi hero. Dan tika itu, hati gadis tudung labuh tu pun cair untuk berkawan dengannya.

Seorang sahabat saya, bila sampai babak Tahani berkawan dengan Gary, dia terus tutup buku. Katanya, “Aku tak suka perempuan tudung labuh kawan dengan lelaki”. Saya hanya boleh diam tidak komen, sedangkan dalam hati saya… tercetus juga rasa, “Eleh… kau tu… ikhtilat di alam maya… dengan perempuan-perempuan, tak pula nak kecoh?”

Astaghfirullah.

Benar! Tahani, di dalam novel itu memang sentiasa diburu rasa bersalah sebab sudah beberapa kali dia berjumpa dengan Gary atas tiket sahabat. Mereka berbual dan makan-makan, di tempat yang terbuka dan aman daripada fitnah. Tapi, apa yang dia buat itu bukan semata-mata kerana ‘mahu’ tapi sebenarnya kerana dia ada agenda tersendiri- mahu dakwah Gary!

Tolong jangan jumud sangat, dengan terus-terusan meletakkan noktah kepada hubungan lelaki-wanita. Tidakkah kita tahu, bahawa hukum asal pergaulan lelaki-wanita ialah haram, kecuali ada sebab yang memerlukan mereka berhubung?

Tak tahu? Okey. Sekarang kita sudah tahu.

Dan bagi situasi Gary dan Tahani, mereka ada sebab untuk berhubung iaitu kerana Gary hanya ada dua orang sahabat sahaja- Joe dan Nina. Kedua-dua mereka ialah kaki kelab, kaki togok arak dan kaki lepak. Kehadiran Nur Tahani, tidak lain dan tidak bukan hanyalah berfungsi sebagai alkali kepada asid, dan asid kepada alkali- mahu menutralkan Gary.

Dan dia pun berjaya. Bukan dia sahaja berjaya, tapi Gary pun berjaya. Gary berjaya membuatkan Tahani suka kepada dia, dan Tahani juga berjaya mencuit hati Gary untuk bertaubat. Dan ‘pap!’ Nina pun campur tangan.

Nina ialah pengemis cinta Gary. Anak jutawan yang sanggup melepaskan segalanya, semata-mata mahukan cinta lelaki itu namun dalam hati Gary, sudah tiada ruang untuk gadis genit bernama Nina itu.

Dan situasinya bertambah buruk dengan campurtangan bapa Nina, dan seterusnya, Datuk Kazar sebagai ‘bapak penjahat’ dan adengan tembak-menembak yang real… dan macam-macam lagi!

Saya tak mahu tulis panjang sangat, nanti orang tak beli buku… tapi baca ulasan saya sahaja.

Saya cuma nak fokus kepada Gary dan Nina, dia watak hitam yang menjadi putih. Untuk seorang kaki kelab malam dan pencandu arak, bagaimana mereka mahu meninggalkan tabiat yang maha buruk itu?

Pasti, campur tangan dari langit adalah suatu yang pasti wujud!

Allah menjadikan perbuatan ‘angkat cebisan mukaddam yang ada nama Allah dari lantai’ sebagai asbab hidayah taufik kepada Gary. Sama macam Nina juga (Nina sebab CD bacaan al-Quran)

Dengan sebab itu, Allah campakkan dalam hati Gary rasa suka kepada Tahani. Dan Allah pilih Tahani untuk menjadi manusia yang mengubah kiblat Gary, dari kelab malam kepada masjid.

Kita memang tak nampak link atau kaitannya, tapi percayalah… ia benar-benar belaku. Seorang abang pernah menegur saya. Kami berborak, selepas sama-sama menunaikan solat sunat rawatib, “Kita kadang-kadang buat usaha dakwah, kita tengok… tak ada kesan apa-apa. Tapi percayalah, sebab usaha kita, orang lain akan dapat hidayah”

Kalau dalam novel saya, DYK... Ameena yang pernah menjadi teman sebilik Aisyah, sentiasa berusaha untuk mengajak Aisyah berubah. Tapi dakwahnya tak berkesan di UK kerana sampailah Aisyah balik, Aisyah tetap Aisyah yang sama. Hanya selepas beberapa bulan di Malaysia, dia disampuk oleh hidayah taufik. Maka, siapa boleh cakap usaha Ameen itu sia-sia? Yang jadi isu hanyalah lambat atau cepat, kerana yang pasti… kesannya tetap akan ada!

Hidayah ini sebenarnya ada dua bentuk. Pada mulanya, Gary hanya diberikan hidayah dholalah. Hidayah dholalah ialah hidayah yang Allah beri kepada semua, tak kira dia kafir atau beriman. Sebagai contoh, dalam isu arak. Islam kata ia haram tapi orang kafir cakap, ia aktiviti tak sihat. Zina… islam kata haram, orang kafir pula cakap tak bermoral. Buka aurat… islam kata haram, orang kafir pula kata tak sopan.

Asasnya, hidayah bentuk ini… semua orang ada. Kata kuncinya- Setiap orang dapat tahu dan membezakan antara yang baik, dengan yang buruk!

Tapi tahu sahaja tak cukup. Nak jadi orang beriman, perlu kepada hidayah yang kedua iaitu hidayah taufik. Secara mudah, hidayah taufik bererti kekuatan. Macam Gary. Dia tahu dia salah. Dia tahu dia lalai. Dia tahu minum arak tu tak bagus, haram, dosa. Tapi dia tak mampu tinggal sebab Allah belum beri dia hidayah taufik.

Hidayah taufik bagi Gary, datang selepas dia jatuh cinta kepada Tahani… lalu cinta itu menjadi inspirasi dan sejambak kekuatan baginya untuk meninggalkan not-not dosa yang dia lakukan dahulu, tanpa had. Dia sedar, dan dia cukup kuat untuk melunaskan kata hati kecilnya yang tersedar.

Dan hidayah taufik ini kita perlu cari. Saya akan terangkan dalam artikel yang berasingan.

Pembaca yang tercinta sekalian… tentu pernah dengar cerita seorang pelacur yang Allah ampunkan dan masukkan dalam syurga, kerana perbuatannya memberi minum pada anjing yang kehausan, dengan kasutnya. Perbuatan itu pada kita, kecil. Sangat kecil. Tapi di sisi Allah, ia dapat menyukakan Allah. Bila Allah suka, Allah beri rahmat. Bila dapat rahmat, kita akan selamat.

Sama macam apa yang Gary buat. Dia cuma kutip cebisan mukaddam yang ada nama Allah sebab dia rasa bimbang kalau-kalau orang terpijak kalimah Allah, dan perbuatannya yang kecil itu… Allah pandang!

Kekuatan novel Seikat Kembang Merah, bagi saya… terletak pada konsep hidayah ini. Maka, saya harap sangat supaya kita tidak memandang ringan pada satu amalan yang mungkin kecil dan ringan pada pertimbangan kita kerana siapa tahu, itulah dia tempat di mana pandangan rahmat Allah berlabuh!

Dan… saya sudah jatuh cinta dengan gadis seperti Tahani, dan saya cukup gatal untuk berdoa agar Allah temukan saya dengan gadis seperti Tahani. Heh, apapun… tak salah untuk saya meminta kepada Allah begitu, bukan? :P

August 22, 2011

Tunjang Ramadhan.

Dengan ramadhan yang berbaki, saya rasa saya tak mampu untuk lari daripada memperkatakan tentang taqwa. Tahun 2011 ialah tahun ketiga saya ber Ramadhan. Tahun ketiga? Nak tahu kenapa? Kerana selepas 18 tahun, barulah saya mula ‘memeluk’ agama islam secara ‘sedar’.

Kita tinggalkan dahulu isu ‘islam dalam sedar’ dengan ‘islam luar sedar’ itu. Ada masa, ada ketetapan, ada takdir, saya akan tulis juga tentang itu. Cuma pastikan anda sentiasa keep updating and waiting for latest entries, okies?

Matlamat Ramadhan, tak kiralah dari mana pun kita mula, akhirnya tetap akan sama. Sama visi, sama misi, sama obsesi- taqwa. Ini telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Baqarah dalam ayat yang menyatakan kewajipan puasa. Di hujung, dinyatakan bersama matlamat puasa itu- iaitu agar kita menjadi hamba yang bertaqwa.

Kita selalu dengar, baik melalui ceramah… ataupun artikel agama, bahawa taqwa itu ertinya takut. Memang pun begitu. Tapi masalahnya, kita perlu takut apa?

Pertama, takut untuk bermaksiat kepada Allah. Itu sudah cukup untuk membuatkan kita jadi orang yang bertaqwa. Takut bermaksiat…

Takut murka-Nya. Takut neraka-Nya.

Tak perlu skema sangat dalam mentafsir erti taqwa. Betul saya cakap ni. Kalau kita serius sangat cakap pasal taqwa, kita akan rasa nak jadi orang taqwa itu susah. Yakah susah? Kalau betul-betul susah, kenapa di masa sebelum wafat, Rasulullah boleh melahirkan ‘generasi terbaik’ yang terdiri daripada 124 000 lebih orang sahabat, yang mana mereka semua ini adalah manusia yang baik-baik?

Susah? Tak juga. Tapi mungkin kerana kita sendiri yang rasa susah…

Baiklah. Saya mahu bertanya. Apa beza antara menyanyi dengan penyanyi?

Seorang penyanyi, dia menyanyi. Suara dia sedap lalu dia dibayar dengan upah yang lumayan. Sebaliknya, ‘menyanyi’ ialah satu perbuatan. Setiap orang boleh menyanyi ; tak kisahlah suara dia sumbang macam katak puru pun… tapi selagi tak bisu, dia tetap boleh menyanyi.

Sama macam taqwa. Setiap orang boleh menjadi orang yang bertaqwa, selagi dia manusia. Siapa boleh kata… si &%$# itu tidak boleh jadi orang bertaqwa walaupun dia telah bunuh orang, rogol anak dara orang, rompak wang orang, dan macam-macam lagi? Peluang tetap ada, sebab dia ialah ‘manusia’.

Jadi, kita sudah clear… setiap orang ada potensi nak jadi orang bertaqwa.

Lalu, dia perlulah ‘menyanyi’. Kalau penyanyi, dia takkan dibayar kalau naik stage, dia buat lawak. Tak jadi- konsert kalau dia melawak. Kan? Samalah macam taqwa ni! Nak atau tidak, kita tetap perlu buat perbuatan orang bertaqwa.

Apa?

Puasa.

Puasa ialah satu daripada yang mula-mula kita perlu buat, kalau kita mahu jadi orang yang bertaqwa.

Ingat! Kita belum jadi ‘penyanyi’ lagi. Kita baru ‘menyanyi’ je ni. Jadi, macam mana nak upgrade?

Iaitu kita kena ada mutu dan kawalan suara, faham teknik-teknik, dan… macam-macam lagi. Kalau nak tahu lebih, jangan baca artikel ni tapi baca artikel pasal nyanyian lah. Saya taknak jadi cikgu muzik tak bertauliah *ketawa*

Ops! Terkeluar landasan sekejap. Fuhh… (tarik nafas). Oh, baiklah. Kita kena tahu, mengapa ‘puasa’ itu disebut-sebut oleh Allah sebagai suatu yang boleh mecambahkan sifat taqwa. Agak-agaknya, kenapa puasa?

Solat, haji, zakat, macam mana?

Hakikatnya semua. Tapi prinsip paling asas taqwa, ada dalam puasa. Apa dia?

“Menahan diri”. Skop kanak-kanak ribena yang baru faham agama, puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta apa-apa yang membatalkan puasa. Betul! Tiada yang salah pada definasi puasa yang itu. Tapi… kita masing-masing sudah berjanggut, sudah matang, sudah baligh. Takkan kita mahu guna definasi puasa yang adik-adik kita faham?

Kita tak nampak ke… bahawa Rasulullah pernah bersabda sebagaimana yang Imam Muslim pernah nukilkan- “Dunia ini ialah penjara bagi orang mukmin tapi syurga bagi orang kafir”

Apa kaitannya? Ek! Saya buat anda pening kepala ke? Maafkan saya, wahai pembaca tercinta. Saya akan terangkan.. slow-slow.

Saya faham prinsip puasa ialah “menahan diri”. Tahan diri daripada benda yang harus di bulan lain (iaitu makan minum dan bersama isteri) dan saya juga faham bahawa di dunia, kita sedang dipenjara. Penjara ghaib ini ialah satu simbolik kepada kita ditahan daripada menikmati dunia dengan cara yang tak betul.

Ada nampak kaitannya?

Puasa= tahan diri. Penjara= tahan diri juga. Jadi, Puasa= Penjara= Tahan diri.

Tahan diri! Inilah dia core kepada taqwa. Orang yang bertaqwa (ikut formula atas-atas tadi, ‘penyanyi’ dengan ‘menyanyi’) ialah orang yang sudah dan sedang menahan diri. Sedang perbuatan ‘asas’ ialah usaha untuk menjadi taqwa.

Sebab itu kalau dalam versi arab, Allah menyebut perkataan ‘la’alla’ yang bermaksud ‘mudah-mudahan’. Mudah-mudahan itu tanda ada kemungkinan… terjadi, dan ada kemungkinan juga tidak terjadi.

Dalam surah al-baqarah ayat 2, Allah sebut… ‘…hudallil muttaqin’ yang bermaksud, petunjuk kepada Orang Yang Bertaqwa. Nah! Kita lihat apa ciri yang Allah sebut pada ayat berikutnya.

Pertama-beriman kepada yang ghaib
Kedua- mendirikan solat
Ketiga- infak harta mereka (yang memang Allah beri pada mereka pun sebenarnya)
Keempat- beriman dengan al Quran dan kitab-kitab terdahulu
Kelima- yakin dengan adanya kiamat

Eh, puasa mana?

Falsafah puasa sebenarnya sudah ada dalam 5 benda yang baru anda baca tadi.

“Tahan diri!”

“Tahan diri!”

“Tahan!”

Sabarlah saudara dan saudariku…

Kita bukan diciptakan untuk dunia, tapi kita perlukan dunia untuk kehidupan akhirat. Sebab itu, ambillah apa-apa yang Allah sediakan di dunia ini sekadar cukup-cukup. Jangan melampau, dan jangan gelojoh. ‘Puasa’ lah daripada seronok-seronok…

Sekarang kita fikir. Kita boleh tahan diri daripada buat benda yang harus seperti makan dan minum, tapi kenapa kita tak boleh tahan diri daripada buat benda maksiat yang Allah murka?

Heh, nampaknya kita tak bersungguh-sungguh nak ke syurga.

Dengar cakap saya- Saya ajak kalian… “Mari kita sama-sama berpuasa daripada nikmat dunia yang berlebihan, dan kita berbuka di syurga”, InsyaAllah.

Saya doakan, dalam damai dan permai Ramadhan…
              

August 18, 2011

Dia Yang Kunikahi

Alhamdulillah. Saya layangkan sebujuk rasa cukup kepada Yang Maha Esa kerana memberi saya ruang dan peluang untuk terus mencoret sesuatu di laman hati saya, kepada kalian yang dekat di hati.

Saya bersyukur kepada Allah dan saya berterima kasih kepada anda semua. Sebabnya ringkas, kerana daripada segala ini, lahirlah sebuah novel ‘biasa’- Dia Yang Kunikahi.

Sepatah dua kata daripada saya-

Saya menulis novel ini selama kurang lebih dua bulan. Saya tak punya alasan yang kukuh pun untuk menulis novel sebenarnya. Sungguh, sepertimana yang ditulis di kulit belakang novel Dia Yang Kunikahi (DKY), saya memang tak pernah terlibat langsung dengan mana-mana bengkel penulisan. Saya tak pandai mengarang; sangat tak pandai. Tetapi, ada dua perkara utama yang membuatkan jari-jemari saya menari di papan kekunci komputer jenama Compaq saya ini.

1- Ramai yang meminta saya menulis novel. Sangat ramai (menurut takrif saya). Dan tak salah jika saya kata, saya menulis kerana anda! Kerana anda yang sentiasa dekat di hati saya.

2- Saya melihat ada ruang untuk saya menitipkan satu dua pengajaran daripada al-Quran melalui sebuah cerita yang dikarang. Al-kisah, saya tengok… ada junior saya yang menggunakan masa rehat mereka untuk membaca novel. Masa rehat yang setengah jam itu mereka habiskan dengan menatap muka per muka novel yang saya baca tajuknya… Oh! Novel cinta. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ia sebuah novel cinta bertajuk klise, dan saya pasti sangat… isi kandungannya ialah kisah cinta yang ‘biasa’.

Lalu timbul di fikiran saya. Mengapa saya tak cuba menulis novel. Kurang-kurang pun, boleh juga ‘masuk jarum’ pada kaki novel. Mungkin boleh menuetralkan mereka. Manalah tahu, ada yang terlebih asid. Manalah tahu juga, ada yang terlebih alkali. Jadi saya harap novel saya boleh menuetralkan jiwa kita. Apapun, semuanya biiznillah (dengan izin Allah)

Bagaimana ya saya menulis?

Sejujurnya, saya memang tidak banyak membaca novel. Tidak keterlaluan juga saya kata… saya ‘menulis dulu, baca kemudian’. Selepas habis semua bab saya karang, barulah saya mula membaca novel-novel orang. Antaranya novel Hlovate dan kak Su. Dan daripada hasil pembacaan saya, saya cuba ubah dan sunting secara berperingkat-peringkat. Tapi malangnya, manuskrip itu sudahpun berada atas meja puan editor saya- Kak Noor Suraya!

Lebih menarik, manuskrip saya ini bukannya saya hantar… tapi manuskrip ini dilamar! Bagaimana? Ingat tak dahulu… saya pernah buat ulasan tentang novel Jaja&Din. Ha! Masa itulah. Saya tak sangka penulis novel itu, Kak Noor Suraya akan memuat turun manuskrip saya (masa itu saya buat jadi e-novel). Sungguh saya tak jangka!

Saya sengaja buat e-novel kerana bagi saya, ini ialah eksperimen saya sahaja. Ya. Saya sekadar mahu cuba-cuba. Tak punya hajat yang mendalam pun untuk mengirimkan kepada mana-mana syarikat penerbitan. Dan kerana itu juga, saya bersikap acuh masa menyunting dan mengedit karya sendiri.

Oleh sebab itu, saya yakin amat… bahawa setiap orang yang ada memuat turun e-novel saya yang lama akan berasa kecewa. Masa itu, nama e-novel itu ialah ‘Antara Dua Bidadari’. Jujur saya katakan, manuskrip itu ialah bahan mentah yang belum disunting hatta oleh saya sendiri.

Saya cuma serius menacapkan DYK hanya bila Kak Noor Suraya menghantar satu mesej pada laman sosial Facebook saya. Dia ceritakan dengan telus niat syarikat JS Adiwarna; mahu membukukan e-novel itu. Saya pula… umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Maka, tanpa lengah saya pun setujulah.

Saya sendiri rasa sayang… sayang amat kalau-kalau apa yang saya tulis itu, pembacanya hanya 100 orang dan kurang. Tak berbaloi. Tetapi untuk dibukukan, saya pun rasa ‘kurang’ berkenan juga.

Sebab itu, saya pernah berkata kepada kawan saya, saudara Normen. Kata saya, “Kalau pun aku nak bukukan manuskrip aku, aku akan bukukan pada Jemari Seni. Kalau tak, aku kasi free saja”

Dan memang! Saya beri free… free untuk dimuat turun (versi belum sunting) dan sekarang, sudah ada versi yang lebih baharu, lebih berkualitas, lebih mutu, lebih perasa, lebih berkilau… ops! Terpuji novel sendiri pula. Maaf! Tapi hakikatnya, saya memang bersyukur kerana orang yang sunting novel saya bukannya calang-calang orang tetapi seorang penulis hebat- Noor Suraya.

Heh! Siapa tak kenal Kak Su? Siapa yang tak setuju kalau saya kata… Kak Su sudah masuk dalam barisan penulis terhebat abad ini.

Akhir kata, saya mengembalikan rasa gembira saya kepada Allah kerana saya sedar, segala ilham dan kekuatan ini datangnya daripada Allah. Buku saya ‘berat’… dan kerana itu, saya serahkan kepada Allah juga kepada sambutannya.

Saya tak harap sangat pembaca yang ramai, tapi saya sangat berharap… pengajaran yang saya cuba titipkan, boleh dimanfaatkan. Pertama sekali, kepada diri saya sendiri kerana melalui hasil tulisan saya ini, saya belajar seribu satu perkara yang takkan saya dapat jika saya tak menulis novel ini.

‘Ya Allah, berkatilah mereka yang membaca buku ini’- saya mendoakan kalian, dengan harapan yang menggunung agar ada manfaatnya.

Oh ya! Sebelum saa terlupa; ramai yang sudah membaca novel DYK melemparkan komen sebegini- “Buku ni besttttt! Tapi bila baca ending, rasa macam nak koyak-koyak aje buku ni!”

Saya tahu sebabnya! Tapi saya tak boleh ubah endingnya sebab memang ceritanya tamat begitu. Saya senyum dan ketawa sendiri sahaja. Harapan saya juga, janganlah ada yang koyak-koyak buku tu ya nanti bila dah habis baca :D

Sekarang, apa kata kalian tentang buku ini?
    

August 16, 2011

Apa kata saya tentang novel Quartet?

Pertengahan Ogos- saya teruja. Oh! Semestinya saya akan teruja, kerana novel pertama saya akan mula dipasarkan. Segala puji bagi Allah yang memberi ruang dan peluang untuk ia dibukukan. Dalam rasa yang kembang kuncup dalam dada, saya tahan-tahankan dahulu rasa yang satu itu. Saya tidak merancang untuk menulis sesuatu yang berkaitan dengan novel Dia Yang Kunikahi. Belum lagi. Saya akan tulis tentang itu di lain ketika. Tapi buat masa sekarang, ada suatu yang lebih utama yang mahu saya tulis dan kongsikan dengan para pembaca yang saya kasih bangat ini :)

Saya tak tahu sama ada anda sudah membaca atau belum novel ini- Quartet, tulisan Saidatul Saffaa. Pernah? Jika pernah, saya yakin apa yang sedang saya tulis tidak akan banyak beza dengan apa yang sudah anda tulis. Apa yang kita nikmati sepanjang pembacaan kita mungkin sama- jika frekuensi kita dalam range yang sama.

Saya baca novel ini di bulan Ramadhan dan saya tamatkan pembacaan saya usai solat tarawih, malam ramadhan. Dalam kesibukan, sempat juga saya memerhati dan memetik beberapa elemen yang cukup cantik, cukup sifat, cukup sempurna… dalam novel ini.

Pujian yang tulus dari nurani, saya basahkan kepada penulis atas kejayaan dan kejernihan ilham dalam menulis novel yang bagi saya, sangat bermutu. Tahniah, Saidatul Saffaa!

Ini kisah Misa. Kisah yang digarap daripada sisi wanita. Saya lelaki. Tapi saya tak berasa sebarang kecanggungan dalam membaca peribadi seorang wanita- Misa.

Ini kisah transit seorang gadis, daripada kehidupan yang ‘luar biasa’ kepada sebuah kehidupan yang ‘biasa’.

Eh, bukan sepatutnya daripada biasa kepada luar biasa?

Bagi saya tidak. Pada islam- yang ‘biasa’ itu ialah hamba Allah yang taat kepada-Nya. Itu biasa. Manakala yang ‘luar biasa’, inilah kita… kebanyakannya. Perbuatan banyak bermaksiat, sebenarnya itu ialah luar biasa! Luar biasa bagi seorang hamba, luar biasa juga kepada fitrah dan asal usul.

Berbalik kepada tema. Tema yang cuba ditampilkan oleh pengarang, saya terjemahkan sebagai sebuah cinta. Bukanlah cinta itu cinta lelaki-wanita, tetapi sebenarnya cinta seorang wanita dalam mencari Allah.

Ada banyak tempat dalam novel ini, penulis berjaya membuatkan hati saya melompat. Oh! Hiperbola. Tidak. Hati saya sebenarnya benar-benar ‘melompat’ hingga terlontar ke dalam satu dimensi lain yang asing.

Persoalan hati, monolog hati, juga ketetapan hati… itulah antara isunya.

Hati manusia, Allah yang pegang. Tiada siapa nafikan itu. Daripada ibu Misa, Puan Hannah… hinggalah kepada kawan-kawan sebiliknya, Azra dan Milah… semua mereka punya rasa runsing dengan keadaan Misa yang ‘biasa’ (mengikut takrif ‘biasa’ yang saya tulis diatas). Selepas beberapa tragedi, akhirnya hati Misa jadi lunak. Di sana sudah terpampang fungsi seorang sahabat fillah- yang mana dia setia dan sabar. Hati manusia ini sebenarnya sangatlah lembut bila dia sedang dalam masalah. Dalam keadaan bersedih itulah, hati manusia itu paling dekat dengan Allah. Tapi tak ramai yang tahu. Tak ramai yang ingat bahawa dia masih ada Allah. Tak ramai yang sedar, dia masih mempunyai tempat penggantungan.

Oleh sebab itu, sahabat yang baik takkan jemu menitipkan kata-kata yang baik (seperti dalam surah Ibrahim) untuk memujuk. Dengan kata-kata yang baik, keyakinan kepada Allah boleh berakar umbi semula. Sungguh!

Syukur, Misa bertemu dengan keinginan untuk pakai tudung. Tapi, dia masih pakai T-shirt saiz S dan M?

Masa tu, Bilal sudah bernikah dengan gadis idamannya. dan Misa pula sedang di Malaysia, di kampung neneknya dan tinggal bersama ibu saudaranya, Mak Su Bib. Di sini titik perubahan kedua Misa. Di kampung yang permai inilah, Misa ‘tersinar’ semula. Kelibat Ustaz Mustaqim dirasanya seperti... ustaz Din! Siapa Ustaz Din? Mungkin tak perlu saya cerita lebih-lebih. Carilah novel Jaja&Din ya :D

Oh. Sambung cerita pasal Ustaz Mustaqim pula…

Kali ni, Misa mula menekankan kepada kita tentang keperluan berusaha. Saya tahu, penulis sedang mahu menegaskan- “takdir itu berada di hujung usaha”

Betul! Saya saya pun berpegang dengan prinsip itu. Berusaha, kemudian bertawakkal. Macam kisah tongkat Nabi Musa. Macam cerita Maryam goncang pokok kurma. (Panjang untuk saya huraikan sekarang. Doakan saya panjang umur, nanti saya hurai lagi)

Dalam masa yang sama juga, Misa mula berkira-kira sendiri, “Aku ni… okey ke?”

Timbul keinginan dalam hati dia untuk jadi lebih ‘biasa’. Daripada baju saiz M dan S, dia memilih baju yang tak lagi menampal kulit. Tudung pun sudah ditukar kepada yang makin labuh, makin besar.

Wonder why al-Quran takes 23 years to complete?

Allah turunkan al-Quran di baitul izzah, sebelum ia turun berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Kenapa ya 23 tahun? Kenapa tidak sekaligus?

Dalam islam, perubahan ekspress itu bukanlah satu yang bagus. Saya memahami ini dengan pengalaman dan pengamatan saya. Ramai yang berubah sekali gus; berubah dengan sangat-sangat drastik. Akhirnya, dia akan drastik juga untuk kembali kepada sisi asalnya (kembali jadi tak baik). Sebab itu, istiqomah penting dalam perubahan. Jadilah macam Misa… berubah sikit-sikit, satu step kepada satu step seterusnya, tetapi berterusan dan konsisten!

Oh ya. Ustaz Mustaqim juga bukannya pilihan hati sebenarnya :)

Habis, siapa? Oh! Si encik penggali tanah tu ya?

Yang ini paling hebat membuatkan hati saya ‘melompat’. Habis lepas pagar sedar saya. Iaitu cerita perkenalan antara Misa dengan Irfan, sebab ia berlaku di alam maya. Mereka berkenal-kenal mulanya daripada Friendster (saya punya dah takde kot)… kemudian blog… dan seterusnya YM… dan akhirnya…couple?

Oh! Mujur tidak. Tidak berlaku adengan berkapel di dalam cerita ini. *tepuk tangan*

“Tapi… kalau ditanya soalan yang sama 4 atau 5 tahun lagi, pasti akan ada jawapannya. InsyaAllah”, kata Irfan saat hatinya cuba diselongkar mencari sekeping cinta buat Misa.

Penulis mahu mengajar kita tentang ‘adab bercinta’. Gambaran yang lebih jelas dicerminkan pada tindakan Irfan yang dengan ‘hati kering’ pergi berjumpa ibubapa Misa. (bagi saya, hati kering. Fuh!! Memang berani. Saya? Oh. Tak berani. Kejap, saya nak jumpa siapa? Tak ada siapa pun)

Memang itu sifirnya. Suka anak dara orang, cakap dekat wali dia…

Dan satu lagi, berkenaan dengan ikhtilat ataupun pergaulan di alam maya. Bab ini, rasanya bukan kena atas batang hidung saya ja, tapi seluruh batang tubuh ni kena hempap dengan persoalan ini- ‘kau lulus tak dalam bab ikhtilat ni?’

Ya Rabb. Saya beristighfar sendiri dan mula merancang sesuatu. Ya. Penulis, Saidatul Saffaa memang sudah menyedarkan saya tentang isu ikhtilat di alam maya kerana di alam realiti, memang saya lulus (insyaAllah) tapi di alam maya……… =.=’

Apapun, saya angkat novel ini sebaris dengan novel novel Jaja&Din dan Contengan Jalanan. Penulis wanita memang hebat! (selingan sahaja). Yang akhir, selepas menamatkan pembacaan dan mula mengkoreksi diri, cepat-cepatlah buat pembaikian! Saya yakin, tiada seorang pun penulis Jemari Seni yang menulis untuk suka-suka, tetapi sebenarnya lebih mahu agar ada manusia yang mengambil manfaat daripada tulisan mereka. Saya harap Saidatul Saffaa bersetuju dengan pernyataan saya.

Apapun, moga Allah merahmarti usaha beliau. InsyaAllah, selesai dengan buku pertama daripada beliau. Saya nak baca yang lain pula… kalau ada masa.
      

August 14, 2011

Half-time Ramadhan

Ramadhan sudah menghampiri separuh- half time. Itu berita gembira, atau duka?

Saya senyum bersama jawapan saya. Biarlah saya senyapkan saja jawapan saya.

Pejam celik, sudah hampir separuh. Ertinya, sudah hampir separuh bulan juga, hari-hari saya disulami dengan tazkirah yang bersiri-siri. Selepas satu, satu episod tazkirah. Begitulah bercahayanya malam-malam di Selangor ini. Teringat saya pada satu hadis berkenaan dengan majlis zikir (ilmu) dimana para malaikat di langit melihat cahaya-cahaya yang terang benderang cemerlang dari sana. Mereka tertanya-tanya apakah cahaya itu? rupanya seperti bintang- bersinar dan indah. Lalu, didapatinya, di situlah majlis tazkirah, majlis zikir, majlis ilmu. Oh! siapa perasan, rupanya negeri Selangor sudah bertukar menjadi satu negeri yang sangat 'bercahaya' pada mata para malaikat sepanjang bulan ini. Moga-moga bukan hanya sampai 1 syawal sahaja.

Teringat juga saya dengan sebuah lagi hadis yang menceritakan tentang fasa-fasa Ramadhan. Sepuluh terawal ialah rahmat, sepuluh yang berikutnya ialah keampunan dan baki ialah pelepasan daripada azab api neraka Allah.

Jika kita jenis yang bijak memerhati, maka pemerhatian yang sambil lalu sahaja pun sudah cukup sebenarnya untuk menterjemah situasi di sini. Malaysia- pada awal Ramadhan, sambutan pada ibadah sangatlah luar biasa. Banjir! Masjid dan surau mengalami kebanjiran ahli jemaah hinggakan mereka-mereka yang tak pernah-pernah pun berjemaah, akhirnya terdorong untuk turun walaupun sekadar mahu tunjuk muka.

Bukankah itu bukti rahmat Allah? Ego dilunturkan. Maka berbondong-bondong datang ke rumah Allah. Jika sebelum Ramadhan, tuan nazir masjid mengeluh tiada jemaah, pada bulan ramadhan ini mereka mengeluh dengan kebanjiran jemaah pula. Heh, lucu!

Hari berganti hari, jumlah kehadiran pun merosot. Analisa saya cuma satu- tak ramai manusia yang peduli dan obses mahu meraih keampunan Allah. Makanya, urusan ibadah sudah menjadi sisi dan bukan lagi agenda utama.

Masuk saja fasa terakhir, pembebasan api neraka- maka yang tinggal hanyalah 'orang sama' yang sudah melabuhkan sauh cinta mereka kepada rumah Allah. Sangat sedikit bilangannya dan inilah dia golongan yang konsisten. Saya menyimpulkan, orang islam di Malaysia tak ramai yang benar-benar teringin untuk melepaskan diri daripada azab neraka.

Baiklah. Saya andaikan mereka tak tahu nilai syurga, dan tak jelas dengan derita neraka.

Dalam bahasa pendek, syurga ialah satu tempat yang saya idamkan. Tempat tinggal yang sempurna! Tidak ada lagi penat lelah. Tidak perlu lagi amal ibadah dan tak perlu lagi mujahaddah. Semuanya hanya tinggal menikmati sahaja.

Dan neraka, dalam satu ayat... saya petik kata-kata seorang ustaz- "Disebutkan dalam kitab, jika seorang ahli neraka itu diazab dalam neraka lalu dimasukkan ke dalam api dunia, maka dia akan tertidur di dalam api dunia"

Maknanya apa?

Allah berfirman dalam al-Quran, 'mereka tidak hidup, dan tidak pula mati'. Itulah kejadiannya dalam neraka. Siksa ditanggung oleh segenap saraf dan otot, tanpa rehat. Tanpa jeda, kita menanggung derita sampaikan jika Allah beri peluang untuk api dalam neraka ditukar dengan api dunia, maka kita akan terlena kerana berasa... lega? Huh. Pernah merasa daging anda dijilat api dunia? Tak sakit?

Sahabat yang saya cintai kerana Allah.

Ramadhan bukanlah satu pesta. Saya sokong kata-kata Syeikh Yusuf al-Qordhawi dalam sebuah pesanannya- 'janganlah kita menjadi hamba Ramadhan'. Atas apa-apa landasan pun, teras bagi setiap amal kita ialah kerana Allah. Orientasikan redha Allah.

Tetapi saya tak terlupa dengan kata-kata Ibn Athoilah dalam kitab al-Hikam; Petanda hati mati ialah bila seseorang itu berpeluang berbuat kebaikan, dia ego dengan peluang itu.

Saidina Ali juga pernah berkata: Orang yang paling jahat ialah orang yang ada peluang untuk membuat baik tetapi dia kekal dalam kejahatan.

Kita sebenarnya tunggu apa lagi? Peluang apa lagi?

Saya pernah 'terikut' satu closing MLM (sebenarnya diperdaya hingga terpaksa duduk mendengar). Kata si penceramah dengan penuh semangat dan keyakinan- 'Peluang ada di depan mata! Jangan jadi orang yang bodoh dengan membiarkan peluang itu berlalu begitu sahaja!' lalu dia memetik kata-kata HAMKA yang berkenaan dengan 'peluang'. Ya. Peluang tak datang bergolek, dan ia tidak akan kekal. maka, wajar kita bersegera. Betul- saya setuju.

Maka, kita tunggu apa? Tidakkah tawaran amal wajib, pahalanya diganda jadi 70 kali itu tidak cukup menyelerakan? Adakah tawaran pahala ibadah sunnat disamakan dengan pahala ibadah wajid di bulan-bulan lain itu tidak menggiurkan? Dan adakah tawaran doa-doa mudah untuk dimakbulkan itu, suatu yang tidak menjentik ghairah dalam nurani kita?

Jika tiada tindak balas dalaman, ada kemungkinan hati kita sudah mati. Mati tanpa dikafankan. Mati dalam bernyawa.

Saudara dan saudari yang saya cinta kerana Allah.

Mudah-mudahan, kita tak termasuk dalam kategori manusia yang rugi bahkan celaka. Allah melaknat golongan ini, dengan Rasulullah pun mendoakan kebinasaan bagi golongan manusia sebegini yang mana mereka melalui bulan Ramadhan, tetapi tiada satu apapun yang dapat dituai, untuk ditempa menjadi perisai daripada api neraka.

Saya harap kita tak tertipu. Sungguh! Masuk syurga itu tak mudah. Bukan dengan amal kita ke syurga, tapi kedudukan kita dalam syurga ditentukan oleh amal kita. Ibadahlah kepada Allah dengan ikhlas tanpa riak dan tanpa bermuka-muka. Moga Allah cinta pada ketaatan kita. Ya! Moga Allah redha.

Saya mendoakan, dalam damai... dalam permai Ramadhan..
    


August 13, 2011

Remuk


‘Hati yang remuk, hati itulah yang paling dekat dengan Allah’

Kalian pernah come across with this quotation? Saya cuba menterjemahkan dengan bahasa saya, dan saya dapati hati saya tidak meragui kesahihannya kerana sungguh, saya sedang merasakan begitu.

Remuk!

Entahlah. Saya pun tak pasti atas dasar apa saya perlu merasakan begitu. Logiknya juga tidak konkrit. Alasan untuk saya kecewa nampaknya hanya satu yang saya cipta untuk memujuk diri.

Biarkanlah. Jika jari yang luka, saya sapu dengan minyak gamat tapi yang luka ini hati, maka saya serahkan kepada Dia, kerana Dia Maha Menyembuhkan.

Oh ya. Bahagian ‘sapu luka di tangan dengan minyak gamat’ itu saya dapat daripada novel Quartet- Saidatul Saffaa. Membacanya separuh isi hari ini membuatkan jiwa saya memberontak rindu. Saya rindukan blog saya- Bayyinat.

Sepanjang ramadhan yang sudah berlalu ini, saya cuma boleh menggeleng melihat telatah sendiri. Nisbah antara nikmat dengan syukur, nyata keduanya jauh ibarat langit dengan bumi. Makam syukur saya nyata cetek berbanding nikmat Ilahi yang saya kuncup saban jarum panjang yang berpusing.

Setiap malam, diri ini dilimpahkan dengan peringatan demi peringatan. Tazkirah yang bersiri-siri tidak pernah gagal menembusi gegendang telinga tetapi nampaknya masih belum benar-benar gagah untuk menembusi hati. Entahlah. Hati saya yang bermasalah- mungkin itu.

Dan rasanya aneh sekali begini. Rasa gembira dan lega bila kembali dapat menulis di blog ini. Maafkan saya blog. Saya banyak banyak menghabiskan masa menulis novel, dan kerana cita-cita yang bercampur itu, saya terpaksa melupakan blog ini buat seketika walhal inilah dia ‘taman’ saya.



….

…jelas sekali bila kita kacau, maka tulisan kita pun sama kacau. Heh!

Rasanya cukuplah sekadar ini sahaja coretan pertama saya pada Ramadhan Kareem tahun ini. Moga luka di hati ini cepat terubat, kerana saya mahu berkongsi rasa tentang novel DYK yang baru sahaja keluar daripada ‘oven’ siang tadi.

Doa saya kepada mereka-mereka yang khusus, moga setiap berita gembira yang kalian terima, gembira itu menjadi satu darjat kegembiraan yang kudus- yang nilainya tidak pudar hingga akhirat.

Jika kalian dapat memahami doa saya itu, baguslah :)

InsyaAllah. Bila novel DYK masuk pasaran nanti, saya akan kembali menulis di Bayyinat. Buat masa sekarang, saya mahu membelek-belek artikel lama kerana saya sungguh amat merindukan diri saya yang dahulu.

Dan saya benar-benar memaksudkannya bila saya kata saya rindu. Noktah.

August 8, 2011

Fatwa Hati (3)


Pagi itu, sejuknya luar biasa bahana hujan lebat sebelum subuh tadi. Yazid mengawal motosikal. Dia menunggang dengan penuh hati-hati. Jam sembilan, farmasi As-Syifa akan dibuka dan dia perlu menjadi antara yang terawal sampai. Tapi sekarang, dia mahu bersarapan terlebih dahulu. Baru malam tadi, seleranya pulih. Itupun dia belum mampu untuk makan banyak, kerana perutnya masih memberontak bila diberi makanan yang lebih.

Dan pagi tadi juga, seawal jam lima dia sudah terjaga. Terjaga, dengan erti kata lain… dia sudah tak boleh menyambung lena. Mata sudah kehilangan mengantuk. Maka, dengan separuh hati dan langkah kaki yang berat, dia menapak masuk ke bilik air. Berwuduk, dan menunaikan solat-solat sunat yang dia tahu. Cis! Yazid ini rupa-rupanya bukannya jenis orang yang baik-baik sangat pun. Dia masuk dalam kategori orang biasa. Dia bukannya ahli ibadah, jauh sekali geng dakwah. Tapi malam tadi, dia rasa terdorong untuk melakukan solat sunat. Dan lebih aneh, kakinya betu;-betul rasa sengal masa dia memaksa diri untuk berbaring, tetapi bila dia ke bilik air, rasa sengal tadi beransur hilang dan selepas dia berdiri untuk solat, rasa itu hilang serta merta! Aneh. Betul-betul aneh kerana inilah kali pertama kakinya ‘berlakon’.

Motosikalnya diletak di satu petak kosong. Dengan langkah yang tidak tergesa-gesa, Yazid melangkah ke sebuah restoren mamak. Restoren yang dibuka 23 jam sehari itu tidak penuh seperti kebiasaan sebuah hujung minggu. Yazid menanggalkan topi keledar, sebelum dia mengambil tempat di satu meja kosong.

Tidak lama, seorang lelaki datang mengambil pesanan. Tutur bicara jelas menunjukkan dia bukan orang tempatan. Mungkin dari Bangladesh atau India. Yazid memesan sekeping roti telur dan segelas teh tarik. Hanya sepuluh minit, makanan yang dipesan sudah terhidang di depannya dengan wap panas terangkat ke atas.

Saat mahu menyuap makan, rasa sengal tu datang lagi! Kini, pada rahang. Roti canai telur yang sudah dikerat dengan tangan, kembali diletak pada pinggan. Tangan kiri yang masih bersih meraba-raba rahang yang rasa sengal-sengal.

“Bacalah bismillah dulu”, satu suara menegur.

Yazid tersentak. Kepalanya terus diangkat. Spontan biji matanya terbeliak saat terpandang wajah itu.

“Rezeki ni Allah yang beri. Mengapa kita perlu jadi sangat kedekut untuk menyebut nama-Nya sebelum rezeki-Nya, kita jamah? Mengapa perlu jadi sangat gelojoh, hingga lupa kebaikan-Nya?”

Yazid diam tak berkutik. Pelik yang bertandang, mematikan seleranya seketika.

“Awak ni siapa sebenarnya?”, tanya Yazid perlahan. Di sekeliling, bunyi bising dari peti televisyen nampaknya sudah cukup untuk memenuhi ruang kedai dua deret yang bercantum ini.

“Awak sudah tahu nama saya bukan?”, pertanyaan Yazid dijawab dengan satu soalan juga.  Lelaki tampan berjubah putih, berserban jejalur merah itu duduk tanpa menarik kerusi terlebih dahulu.

“Awak ni manusia atau apa?”, lanjut pertanyaan Yazid.

Lelaki dihadapannya cuma ketawa kecil. “Saya makhluk Allah, sama macam awak”

“Baik awak cakap siapa awak”, suara Yazid sudah diangkat. Pun begitu, lelaki di depannya hanya ketawa kecil. Langsung tiada tanda dia seakan-akan cuak dengan ketegasan Yazid. Sebaliknya, bibirnya dijuih ke sebelah. Yazid menoleh. Baru dia perasan, betapa dia sedang menjadi perhatian orang ramai di kedai makan ini. Segan dan malu berputik lalu kepalanya ditunduk. Dia cuba berlagak biasa semula. Lalu, dia mencapai kepingan roti canai telur yang sudah semakin hilang hangatnya. Sebelum mencecah mulut, bibirnya terlebih dahulu merakamkan ucapan basmallah tapi tidak diketahui dia ikhlas atau hanya separuh rela.

“Tak perlu bercakap dengan keras. Jika awak berbisik pun saya sudah boleh dengar. Hatta awak berbisik dalam hati pun, saya boleh tahu”, lelaki itu masih senyum. Wajahnya tenang, putih bersih dan bercahaya seperti tadi.

Yazid mengunyah lambat-lambat. Tekaknya betul-betul rasa sudah hilang selera, tapi jika terus dibiar makanan di depan tidak terusik, dia akan membazir. Tidak mahu, maka dia menyuap dan mengunyah jua.

“Awak sebenarnya apa?”

Soalan yang sama diaju, dengan separuh bisik. Tak mahu dia menjadi bahan tumpuan seperti tadi.

“Oh, sudah tukar ‘siapa’ jadi ‘apa’ ya?”, balas lelaki di depannya sinis.

“Awak siapa, dan apa?”, Yazid mengubah struktur ayat. Matanya tepat menikam mata lelaki di depannya. Aneh, mata hitam itu nampak berkilau tapi tanpa bayang, seperti manusia biasa.

“Saya Ahmad. Saya ialah awak dan awak ialah saya”, jawab lelaki itu lancar.

Terlopong Yazid di tempat duduknya. “Apa maksud awak?”

Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Ahmad itu senyum manis. Gulanya lebih daripada tadi. “Bukankah Allah menciptakan setiap makhluknya berpasang-pasang? Saya ialah pasangan awak”

“Maksud awak?”

“Sebagaimana seekor ikan boleh mati tanpa air, awak juga akan mati tanpa saya. Saya ialah oksigen awak. Saya ialah hati awak. Hati yang bening, jernih dan luhur. Saya ialah penasihat awak. Saya ialah awak dan awak ialah saya”, panjang lebar jawapan itu dilontar keluar dari bibir basah Ahmad.

Lama Yazid terdiam. Kepalanya sarat dengan soalan-soalan yang bertunjangkan keanehan. Tapi lidahnya pula tiba-tiba terasa kelu untuk terus bertanya.

“Awak nak tanya apa lagi?”, kali ni Ahmad pula menyoal. “Makanlah. Jasad awak perlukan makanan…”

Yazid memandang Ahmad tepat. Dengan teragak-agak, dia kembali meneruskan makan. Sambil makan, dia bertanya, “Awak tak makan?”

“Saya makan benda lain”, jawabnya pendek.

“Benda lain? Apa yang awak makan?”

“Amal soleh, ilmu agama, dan sifat hamba kepada Allah”

Hampir tersedak Yazid di situ. Terasa roti canai telur yang sudah dikunyah, berhenti di kerongkong. “Awak ni…”, dia tak mampu meneruskan kata-kata. Kehabisan tatabahasa!

“Pelik?”

Lambat-lambat Yazid angguk, mengiyakan.

“Saya dah beritahu kan? Yang saya ini bukan manusia tapi saya ialah awak. Saya ialah hati awak”, terang Ahmad buat kali yang keduanya.

“Sungguh?”, Yazid memandang dengan dahi yang berkerut. Ya Allah, apa ni? Takkanlah aku boleh bercakap dengan hati aku sendiri kot?

“Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap perkara. Jangan sesekali meragui kekuasaan-Nya. Awak seorang yang istimewa Yazid. Sangat istimewa, hingga hijab awak untuk nampak saya, diangkat. Yazid… sudahlah. Jangan buat reaksi pelik begitu lagi. Bukankah selama ini, kita selalu dan sering berinteraksi? Bukankah selama ini, kita sering berkomunikasi? Yang beza sekarang hanyalah kerana saya sudah berada dalam bentuk yang begini. Ada jirim yang zahir yang boleh dilihat dan disentuh, tetapi oleh awak seorang sahaja”

“Saya seorang sahaja?”

“Ya. Orang lain takkan nampak saya kerana saya ialah awak, dan awak ialah saya”, Ahmad senyum manis lagi.

Yazid kembali teringat peristiwa semalam. Oh! Patutlah muka Asiyah berubah sungguh masa itu. Memanglah dia hairan dan terus-terusan berkata yang Yazid ini bercakap seorang diri macam orang tak betul. Rupa-rupanya memang dia tak nampak Ahmad ini.

“Boleh saya tahu satu perkara?”, tanya Yazid dengan suara yang rendah.

“Ya?”

“Kenapa saya boleh nampak awak? Kenapa awak datang dalam bentuk begini kepada saya?”

“Kerana satu misi sahaja”, jawab Ahmad serius. Senyuman manisnya sudah ditukar dengan riak yang tegang.
“Misi apa?”, tanya Yazid. Dadanya berdebar. Misi apa? Ya Rab. Benda semua ni memang tak masuk akal!

“Selamatkan manusia”

Yazid rasa macam nak ketawa. Dengan penuh sinis, dia membidas. “Heh. Awak nak saya jadi superhero lagi? Nak saya kejar perompak dengan tangan kosong? Tak saya kena tembak lagi?”

Ahmad tidak sedikit pun terkesan, jauh sekali terasa dengan kata-kata berbaur sindiran itu. Sebaliknya dia menyambung dengan penuh semangat, “Ya. Kita akan selamatkan manusia. Kita akan selamatkan manusia daripada kekufuran!”

“Huh?”

August 6, 2011

Fatwa Hati (2)

“Assalamualaikum, hero!”

Yazid mengeleng-geleng kepala sebelum salam yang dituju kepadanya dijawab.

“Dah sihat? Dah keluar wad?”

“Tadi. Aku dah sihat. Alhamdulillah. Kak Tas cakap dah boleh masuk kerja balik dah esok.”, Yazid senyum nipis. Kesan luka di rusuk kirinya sudah makin menyembuh. Alah. Cuma luka kecil. Peluru tu berlanggar dengan kulitnya. Tidak pun menembusi badannya. Kalau tembus, alamatnya memang tamatlah riwayat seorang Yazid, dan cerita ini pun tidaklah akan wujud. Kan?

“Asiyah…”, Yazid menyeru nama gadis di depannya. Mereka berdua sedang duduk dalam Farmasi As-Syifa’. Titik pertama, bagi episod ‘kejar-mengejar’. Episod wira yang mengejar perompak bersenjata dengan hanya ‘bersenjatakan’ wang baki! 

“Erm..”

“Kenapa awak biar mereka panggil saya hero? Awak pun tahu kan, saya kejar lelaki india tu sebab nak pulangkan wang baki dia…”, mata hitam Yazid merenung wajah lembut gadis didepannya. Bukan siapa-siapa pun, tapi kawan sekolahnya juga. Sebaya, dan sama kawasan perumahan dengannya. Jirannya sendiri, anak Pakcik Helmi.

Asiyah ketawa panjang sebelum tangannya menutup mulutnya daripada terus mengeheret tawa. “Kenapa? Tak suka ke orang panggil kau hero?”
“Tak ada sebab orang nak panggil aku macam tu”, rendah Yazid menutur kata. “Aku pun bukannya tahu yang mamat tu sebenarnya perompak. Kalau aku tahu, gila apa aku nak pergi kejar dia”

“Hah. Sebab itulah kau jadi hero kau tahu. Kalau kau tak kejar, tak ada punyalah polis dapat tanggap dia. Kau tahu, dia tu memang dah banyak kes dan dah lama dikejar oleh polis tau. Alih-alih, kau juga yang dapat tangkap dia”, senyum lebar Asiyah menghiasi wajahnya yang sedia manis.

“Ialah tu…”, gumam Yazid rendah. Dia baru mahu berpaling ke luar, sebelum matanya menangkap bayang satu sosok tubuh. Ya, sosok yang sangat dia kenal!

“Ahmad!”

Asiyah menjegilkan biji mata, kehairanan. Ahmad? Siapa dia Ahmad?

“Ahmad! Tunggu sekejap!”. Yazid sudah mengangkat punggung dari kerusi. Dia melangkah deras, menuju ke pintu sebelum tangannya yang kasar, menolak daun pintu.

“Tunggu saya!”, Yazid sedikit termegah-mengah berlari-lari anak mendapatkan lelaki yang berjubah putih bersih yang sedang berjalan perlahan di depannya. Lambat-lambat, lelaki itu menoleh kearahnya seraya melemparkan sebuah senyuman lebar, penuh manis.

“Awak jumpa saya…”, kata lelaki itu lembut.
Yazid menyedut nafas dalam-dalam. Dadanya masih terasa berat, akibat banyaknya asid laktid yang terkumpul dalam sendi dan ototnya.

“Awak sebenarnya siapa?”

“Kan tadi awak dah panggil nama saya”

“Tapi awak ni… apa?”

“Zid!!”

Yazid menoleh kearah suara yang memanggil namanya keras. Kelihatan, Asiyah melangkah laju kearahnya dengan muka yang cemas. Dia nampak semput sedikit bila dia berdiri di tempat yang sama dengan berdirinya Yazid.

“Awak ni kenapa?”, tanyanya dengan nada yang penuh curiga.

“Kenapa apa?”

“Awak cakap dengan apa? Tiba-tiba saja menjerit-jerit, berlari dan sekarang… bercakap seorang diri?”

“Seorang diri apanya? Saya tengah bercakap dengan dia….”

Kepala kembali  dipusing ke hadapan dan zass… lesap! Sudah tiada sosok tubuh tegap dalam jubah putih. Sudah tiada si serban berjejalur merah. Dan sudah tiada senyum lebar pada wajah tampan itu! Langsung!

Yazid memandang sekeliling. Bersusah-susah mencari hingga kerut pada wajah Asiyah, daripada sebaris, jadi berbaris-baris. “Awak cari siapa Zid?”

“Lelaki tadi. Lelaki yang cakap dengan saya tadi. Lelaki yang saya kejar!”

“Lelaki mana? Mana ada lelaki di sini. Awak saja yang terkejar-kejar ke sini, berdiri tengah panas… sambil bercakap seorang diri”, Asiyah mengecilkan kelopak mata. Raut wajahnya mencerminkan pra sangka yang bermukim dalam hati. “Awak berkelakukan pelik la Zid.. awak okey tidak?”

Yazid merengus perlahan. Dia tak ambil pusing dengan lontaran soalan dari gadis di hadapannya itu kerana tumpuannya hanya terarah kepada Ahmad. Bagaimana Ahmad boleh muncul tiba-tiba, dan ghaib daripada setiap inci pandangannya, sekelip mata juga? Manusiakah? Atau…

“Yazid!”, Asiyah nampak risau. “Awak tak apa-apakah?”

“Saya okey”, balas Yazid lemah. Lemah bercampur hampa, digandakan pula dengan rasa pelik yang bertingkat-tingkat. Ah, peliknya!
“Jomlah masuk farmasi dulu”, Asiyah mengajak. Gadis yang bertudung hitam itu sudah pun memulakan langkah perlahan, kembali ke kedai.  Dari sini, dia sudah perasan kelibat Abang Muiz, senior di tempat kerja sementaranya itu memandang penuh minat, mungkin penuh curiga juga.

“Tak apalah Asiyah. Saya ingat saya nak balik rumah sajalah”, balas Yazid dengan kekuatan yang sama lemah macam tadi. Dia benar-benar rasa tak bermaya. Bukan jasad, tapi hati dan jiwanya jadi kecamuk. Risau, bimbang dan aneh. Tiga perasaan itu umpama satu kombo yang menghenyak-henyak tembok tenangnya.

“Kalau macam tu tak apalah. Awak jaga diri ya Yazid. Saya balik farmasi dulu ya. Bising Abang Muiz nanti…”, ujar Asiyah.

“Okey”, balas Yazid sepatah, sebelum kakinya diangkat berat meninggalkan tempat dia terbaring dengan berlumuran darah petang itu. Tanpa dia sedar, Asiyah memandangnya dengan ekor mata sambil tergeleng sedikit.

Yazid! Awak ni kenapa?


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails