September 28, 2011

You can lead a horse to water, but you can't make it drink

Dalam dunia ni, ada beberapa perkara yang kita tak boleh beli dengan duit. Sebagai contoh, kita tak boleh beli kebahagiaan. Kita tak boleh beli nyawa. Kita tak boleh beli umur. Kita juga tak boleh beli cinta sejati. Bahkan, kita juga tak boleh beli hidayah.

Kita abaikan dahulu topik bahagia, nyawa, usia dan cinta sejati. Sebaliknya, kita tumpukan kepada hidayah  terlebih dahulu. Saya mahu bercakap berpaksikan realiti.

Kalian kenal tak dengan seorang figur, Sham Kamekazi? Takkanlah tak kenal kut. Kalau tak kenal pun, tak apa. Bolehlah saya kenalkan dia. Tapi saya tahu, abang Sham bukanlah mahu pun saya kenalkan dia, kerana dia bukan jenis orang yang mahu dikenali oleh penduduk bumi, kan Abang Sham?

Saya pun kenal dia melalui beberapa klip video di lama Youtube. Jika dahulu, saya tahu dia seorang pemuzik. Sekarang, saya kenal dia sebagai seorang pendakwah, di samping pemuzik juga. Tetapi, untuk seseorang itu menongkah arus, hiburan kepada islami... sudah tentu ia bukan suatu keputusan yang mudah, bukan? Lalu, bagaimana Abang Sham mampu untuk mencapai yang demikian? Saya yakin... untuk gejolak dalaman, kita terjemahkan dengan perubahan yang dinamik... campur tangan dari langit pasti berlaku. Itulah dia hidayah.

Hidayah ialah kembar kepada cinta. Ia adalah tenaga. Ia adalah kekuatan. Ia adalah misi. Ia adalah obsesi. Ia adalah graviti dan ia adalah paksi.

Orang yang Allah berikan hidayah, bermakna Allah memberinya kekuatan untuk menjadi watak putih dalam dunia yang serba hitam ini. Seperti Abang Sham juga...

Saya tertarik nak bercerita tentang dia, bukanlah kerana saya kenalan dia. Tak kenal langsung pun! Tapi saya pernah mendengar ceramahnya dalam satu forum bersama Ustaz Nazri Din, di masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. Tak silap saya, masa bulan 4 atau bulan 5 begitulah...

Abang Sham bercerita tentang zaman gelap beliau. Kata beliau, dirinya yang dahulu sangat jauh dengan Allah. Rasanya, benda yang dia pernah cakap itu kita boleh dengar semula dalam rancangan 'Ini Kisahku' di TV al-Hijrah. Di you-tube pun ada...

Antara yang Abang Sham sebut, dahulu dia tak bersolat. Lebih-lebih lagi waktu subuh. Dia boleh tahan mata daripada lelap, tapi tak mampu nak menggerakkan sendi-sendi untuk ke tempat wuduk. Suara muazzin yang melaungkan azan pun cuma mampu menyapa telinganya, tapi tidak hatinya. Dia boleh berbual dan melepak di restoren mamak, dalam keadaan masjid dan surau hanya beberapa tapak sahaja daripada lokasi dia berada saat itu.

Kalau nak tanya saya, saya sendiri akan kata itu memang jahat! Sebab apa? Sebab dia ada peluang nak buat baik masa itu, tapi dia memilih untuk tidak.

Tetapi itu dulu...

Saya teringat, Abang Sham pernah muncul di kaca TV dalam rancangan 'Assalamualaikum' di TV al-Hijrah semasa musim raya yang lalu. Dia ditanya, "Sham kesal tak dengan masa silam Sham?"

Saya sebenarnya menjangkakan jawapannya ialah "Saya kesal sangat-sangat". Ternyata jawapannya bukan begitu. Abang Sham, dengan tenang telah menjawab, "Saya tak menyesali masa lampau saya, kerana dengan itulah saya tersedar... insaf... dan tahu, betapa saya telah melakukan suatu kesilapan dan kerugian. Kerana itu, saya bersyukur Allah beri saya peluang untuk berubah"

Ya Rabb. Kisah Abang Sham sebenarnya ialah kisah saya juga, dan kisah sahabat saya- Abdullah.

Pastinya Abdullah ialah nama samaran. Dia ialah hamba Allah. Sesuai benar saya beri dia nama samaran sebagai Abdullah.

Saya mengenali Abdullah selama 3 tahun. Saya yakin, tiga tahun ialah satu tempoh yang cukup panjang untuk membuatkan kita mengenali seseorang itu, luar dan dalam. Lebih-lebih lagi, orang itu ialah orang yang kita makan bersama dengannya, dan tidur setempat dengannya. Hari-hari wajah itu juga yang kita tatap. Mananya tak kenal... kan?

Abdullah yang dahulu, bagi saya... ada telinga tapi macam pekak. Saya guna perkataan 'semacam' kerana dia bukan pekak. Dia cuma tidak mendengar. Itu saja.

Kerana dia yang dahulu, bila orang ajak kepada solat berjemaah... pasti akan mengelak dengan alasan yang pelbagai. Sekalipun tika itu, dia tidak berbuat apa-apa, sekadar memandang ke luar jendela, hatinya tak terdetik pun untuk menyahut seruan solat berjemaah. Pelik sungguh. Seakan-akan ada pagar ghaib yang menjadi penghalang dia daripada meneruskan langkah kakinya ke masjid.

Inilah dia contoh manusia yang pada pandangan saya, Allah belum beri pentujuk berupa hidayah taufik. Mengapa saya kata begitu?

Kerana pada diri orang itu, tidak wujud takwin way'ul islami lagi. Individu muslim sebegitu, belum diberikan Allah kepadanya keinginan dan kekuatan untuk menjalani kehidupan seorang muslim yang sepatutnya. Buktinya jelas melalui cara dia menerima seruan islam.

Bila diajak kepadanya kearah kebaikan... ia disambut dengan sangat dingin.

Jika dinasihat, orang begini akan diam tak berkutik. Seulas pun cakna tidak berputik dalam diri.

Dibebel, dimarah, ditengking? Uh... alamatnya kitalah yang macam nak cari musuh!

Tapi hakikatnya memang begitu. Bila hidayah tu Allah tak berikan pada seseorang itu, hatinya juga jasadnya tak mampu untuk datang kepada sebuah ketaatan. Macam Abang Sham semasa zaman gelapnya, juga seperti Abdullah di zaman jahiliyyahnya.

Dia, Abdullah, bukan jenis orang yang membaca al-Quran. Seminggu sekali pun, rasanya susah. Jika ya dia membaca pun, apa yang dilontarkan daripada dua ulas bibirnya penuh dengan kesilapan dan tersekat-sekat gagap. Tapi ya... itu dahulu.

Sekarang...

Dia umpama wali. Saya tak tipu. Pada kaca mata kami, teman serumah... dia beribadah seperti wali. Mula-mulanya, seorang sahabat cuma bergurau dengan menggelarnya 'wali'. Kami berdua ketawa, tetapi lama... saya berfikir sendiri. Tanpa saya sedar, hati saya mengiyakan gurauan sahabat saya tadi. Ibadah Abdullah selepas dia menerima hidayah... umpama wali!

Dia solat tahajjud tiap-tiap hari tanpa gagal. Saya yakin dia bangkit seawal jam 5 pagi kerana saya tak pernah berjaya bangun lebih awal daripada dia, setakat hari ini. Dia juga ialah orang yang paling awal yang akan meninggalkan rumah untuk solat berjemaah. Sepuluh atau lima belas minit sebelum setiap waktu solat fardu, dia sudah siap berpakaian lengkap dengan songkok dan kopiah. Sedangkan saya masih di depan skrin komputer.

Abdullah yang sekarang, yang saya kenal... ialah seorang yang sudah tidak kenal marah. Jika dahulu, emosinya turun naik, tapi sekarang... ia stabil. Ceria dan suka, sentiasa terpancar. Teringat saya kepada Abang Sham. Masa saya berpeluang menatap wajahnya secara berdepan di masjid airport tempoh hari, memang ada sinar ketenangan pada seruas muka itu. Tampak jernih dan bercahaya sahaja.

Betullah... kita boleh nampak peribadi seseorang itu dengan air mukanya sahaja. Kadangkala, memang hipotesis saya itu boleh dipakai. Setuju?

Saya kagum sekali dengan perubahan Abdullah. Jika dahulu... dia diajak tapi sekarang, dia pula yang mengajak!

Yalah. Inilah dia hidayah taufik. Orang yang Allah belum berikan dia hidayah taufik, hatinya dan jasadnya takkan sanggup untuk bergerak walau seinci pun untuk redha Allah. Saya melihat buktinya pada Abdullah. Anda pula boleh lihat pada orang-orang seperti Abang Sham.

Abang Sham yang dahulu, jangankan nak bersolat berjemaah... hendak solat fardu lima kali sehari pun celam-celum! Tetapi bila Allah kurniakan dia hidayah taufik, hatinya sudah dirantai dan dikunci pada sepanjang jalan ini- jalan dakwah!

Solat berjemaah ialah penyejuk mata dan hatinya.

Dakwah pula ialah profesion utamanya.

Dan dia juga tak kesal kerana pernah melalui jalan gelapnya!

Saya kira, sahabat saya... Abdullah juga merasai rasa yang sama- bersyukur kerana ditunjukkan kesedaran dan jalan pulang kepada cahaya Dia.

Benarlah pesan Rasulullah kepada Ibnu Abbas, 'Kalau semua makhluk di bumi ini mahu memberi kebaikan kepada seseorang itu... dia tak akan mampu mendatangkan kebaikan walaupun sedikit, melaikan dengan izin Allah'

Sangat jelas bukan?

Benarlah pepatah inggeris... "You can lead a horse to water, but you can't make it drink."

Kita boleh tunjukkan dia apa yang dia patut buat dan apa yang dia tak boleh buat. Tapi hujung-hujung, dia sendiri yang memilih untuk buat atau tidak.

Bila saya fikir-fikir kembali, saya ingin kalau-kalau hidayah taufik itu ialah barang yang boleh dibeli. Nanti, akan saya belanjakan seluruh harta saya untuk membelinya dan dengan itu, saya akan sebarkan kepada semua orang dikeliling saya. Kiranya... begitulah...


Tapi yang pasti...
Kita sendiri yang mencipta jalan kita sendiri.
Syurga atau neraka?
We choose!
 

September 25, 2011

Sanah Helwah akhi...

Assalamualaikum akhi.
Pertama sekali, ana nak ucapkan selamat hari lahir buat enta. Tahniah, kerana hari ini enta sudah pun bergerak kepada satu lagi titik usia yang lebih. Enta sudah 21 tahun ya? Subhanallah! Cepat benar masa berlalu. Rasanya macam baru semalam enta menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 20. Rasa macam baru semalam juga enta menulis entry tentang azam dan objektif enta untuk umur 20 tahun. Jadi, macam mana akhi?

Dapat tak capai apa yang enta nak tu?

Akhi...
Seingat ana, tahun lepas enta menyatakan kekaguman enta kepada seorang ikhwah, Hilal Asyraf. Enta kata enta mahu mengikut jejak langkah dia dalam dunia tarbiyyah dan dakwah mata pena. Macam mana akhi? Sukses?

Apapun, tahniah atas kelahiran novel sulung akhi, Dia Yang Kunikahi. Ana sudah baca, dan ana perhatikan banyak lompong-lompong kesilapan yang enta boleh perbaiki. Banyak juga benda yang enta perlu dalami. Banyak juga skil dan kemahiran yang enta perlu tajamkan. Tapi apapun, tahniah akhi atas usaha enta. Ana harap sangat enta tak riak dan ujub. Ana berdoa agar enta ikhlas berkarya. Sungguh-sungguh ana doakan kerana jika enta menulis kerana mahukan populariti, percayalah... enta takkan dapat apa-apa ganjaran pun di sisi Allah! Rugi akhi... rugi!

Akhi, dalam peluang yang sedikit ini... ana mahu mengingatkan enta akan satu hakikat. Enta sebenarnya seorang fityah. Enta tahu kan apa itu fityah? Enta bukan syabab... enta bukan rijal... tapi enta ialah fityah! Ana tahu, ramai pembaca enta belum tahu apa itu fityah. Ana harap nanti enta kongsikanlah tentang fityah dengan para pembaca enta kerana ia adalah satu tajuk yang penting juga untuk difahami. Berkongsilah akhi... berdosa untuk orang yang ada ilmu jika dia tak menyampaikan. Boleh ya akhi?

Akhi...
Ana lihat... enta sebenarnya ada peluang yang sangat besar untuk dakwah. Seakan-akan Allah telah membetangkan satu jalan yang khusus buat enta untuk berdakwah. Cuma enta sahaja yang perlu tempuhi jalanan itu. Allah beri enta kelebihan untuk menulis. Maka, sampaikanlah mesej-mesej daripada Quran dan hadis dalam tulisan enta. Lebih-lebih lagi, orang kenal enta sebagai penulis novel. Siapa tahu selepas ini enta boleh mula memberi ceramah-ceramah pula, kan? Dan tidak menghadkan dakwah dengan tulisan sahaja. Bagaimana akhi? Belum cuba belum tahu.

Akhir kata, ana cuma nak pesan... supaya enta selalu tajnid niat enta. Jalan yang sedang enta tempuhi ialah satu jalan yang hangat dan panas. Allah pasti akan menguji kesungguhan enta dalam dakwah yang enta laung-laungkan. Ana berdoa sangat agar enta thabat dan tidak tersungkur di tengah pendakian. Allah akan tapis orang-orang yang mahu serius dengan dakwah, dengan Dia mengekalkan hamba-hambaNya yang benar-benar ikhlas sahaja. Kerana itu, ana harap enta ikhlas!

Moga Allah meredhai usia enta. Salam ulangtahun.

Yang mencintaimu kerana Allah,
Adam Johari Bin Hamzah.
Terima kasih Akhi Adam Johari...
InsyaAllah...
Saya sudah mendengar seru-Nya!
 

September 24, 2011

Pendirian saya tentang hiburan (muzik dan filem)

Melewati artikel-artikel saya yang terdahulu, saya seringkali menegaskan betapa saya cukup tidak bersetuju dengan cara orang islam di Malaysia bereaksi terhadap hiburan. Yang saya maksudkan ialah para pelakon, penyanyi, penganjur dan juga penonton, semuanya. Industri hiburan sama sekali tak boleh  lari daripada 5 lembayung hukum fiqah. Kalau caranya betul, maka boleh jadi industri yang 'panas' ini berpahala. Tetapi kalau dilihat secara keseluruhan, saya akan katakan betapa sukarnya untuk manusia menjana pahala daripada bidang ini.

Dan dalam sebuah artikel, saya menyanjung usaha Maher Zain dan Opick, juga memuji para produser dan tenaga kerja orang indonesia yang berjaya mewujudkan filem dan siri Ketika Cinta Bertasbih. (link)

Sebelum saya pergi lebih jauh, suka untuk saya menyatakan pendirian saya berhubung dengan isu hiburan. Kawan rapat saya, seorang ahli jemaah tabligh yang komited dengan usaha tabligh, pernah menguji pendirian saya. Pernah sekali saya menyatakan kehampaan saya tentang Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang gagal melaksanakan amanah yang dipikul mereka untuk menapis dan mengharamkan filem-filem yang buruk. Pada pandangan remaja islam yang berusia 21 tahun seperti saya ini... saya memandang betapa terlalu banyak kerosakan yang wujud daripada filem-filem tempatan, yang dilakonkan oleh orang islam, dan diarah oleh orang islam sendiri.

Saya tak berhajat untuk mengulas isu Zizan yang celupar, juga tak berhajat untuk bercerita tentang Ahmad Idham yang tidak merasakan dirinya jahil agama. Tidak! Sebaliknya saya mahu bercakap tentang pendirian saya dalam hiburan.

Artikel ini pada asalnya bertujuan untuk bercerita tentang Abang Syam Kamikaze, tetapi selepas beberapa baris, saya rasa elok jika cerita tentangnya saya simpul dalam satu artikel berasingan. Mungkin artikel selepas ini.

Baiklah. Berbalik kepada debat kecil antara saya dengan sahabat saya itu, dia berpendirian bahawa apa-apa filem pun sebenarnya tak bagus. Dia bawakan contoh filem Ketika Cinta Bertasbih (KCB) dengan hujjah- "haram untuk kita memandang wanita ajnabi".

Dia tak salah! Apa yang dia katakan itu betul. Memang pun hukum asalnya ialah 'haram' tetapi terdapat pengecualian padanya iaitu untuk urusan perniagaan, urusan pembelajaran, dan juga untuk melihat bakal isteri.

Jadi, sekadar menonton filem KCB... memanglah nampak tidak bermanfaat dan tidak berpahala dan mungkin juga berdosa (baginya).

Tetapi...

Saya melihat betapa setiap inci masyarakat, muda ke tua... semuanya suka menghabiskan masa mereka menonton televisyen. Dan kalau dah menonton tu... takkanlah tak terkeluar kut muka perempuan ajnabi? Padahal banyak sangat gambar model pengiklanan wanita di kaca televisyen!

Maka bagi saya... saya tidak menghukum sebagai tidak boleh- kerana saya melihat kepada potensi.

Kalau kita mahu berbual dengan pelajar madrasah di ceruk pendalaman yang terjaga daripada kerosakan dunia akhir zaman, maka boleh sangatlah kalau kita nak cakap 'haram' tetapi masalah sekarang ialah kita sedang berbicara dengan generasi serba baharu, dan serba rosak.

Rosak perlu diperbaiki dan bukannya perlu diletakkan tekanan yang baharu!

Saya tak tahu ada berapa ramaikah lagi orang yang tak menonton televisyen dan filem... tetapi saya mahu mengajak anda berbuat satu benda sahaja!

Kita perlu tapis apa yang kita tonton!
Itu sahaja yang saya minta.

Kepada yang bergelar ibu dan bapa- tolong jaga anak-anak anda daripada menonton cerita-cerita yang luar alam. Dulu, saya pernah jadi pelik bila mahu menonton Astro di rumah abang sulung saya kerana siaran 104, Astro Ria tidak boleh ditonton. Sebaliknya, abang saya perlu memasukkan kod terlebih dahulu, dan barulah kami boleh menonton. Saya yang masa itu masih tidak faham hanya diam. Dan kini, barulah saya faham. Abang saya mahu menjaga anak-anaknya daripada menonton cerita-cerita yang buruk! Mengapa saya kata buruk? Kerana dalam siaran itu, rata-rata rancangannya dilakonkan oleh orang islam tetapi hampir dalam segala sudut agama, mereka gagal!

Dan saya tahu abang saya takut dan runsing sekiranya anak-anaknya keliru dengan hakikat islam hingga membesar menjadi orang yang ingat dia betul, tapi sebenarnya salah. Faham maksud saya?

Televisyen memang seringkali memberi gambaran islam yang mengelirukan kepada kita... maka tak hairanlah generasi muda ini mudah terpesong- sebab mereka banyak menonton televisyen juga!

Saya tak ajak anda semua untuk berhenti menonton filem atau mendengar lagu dan saya juga tak akan cakap begitu dengan kawan-kawan saya yang kaki download movie. Saya tak kata kepada mereka, "Kau tak tahu tengok movie ni sia-sia... haram..."

Sebaliknya saya selalu pesan, "Kalau nak tengok pun, janganlah sampai terlalai daripada solat. Masuk waktu, kita turun surau dulu"

Dan mereka memang akan turun. Betul.

Juga, kepada yang suka mendengar muzik... Saya juga meminta anda menapis apa benda yang mengalir masuk ke dalam telinga anda kerana takut-takut benda yang tak elok itulah benda yang masuk dalam hati nanti!

Wallahua'lam. Saya cuma menyatkan pendirian saya- dan saya yakin pendirian saya tak mustahil suatu pendirian yang salah. Kalau tak tengok lagi baguslah, kan?
   

September 20, 2011

Ikhlas, A.K!

Saya mulakan ayat-ayat pertama dalam artikel ini dengan senyuman. Kalau ada orang bertanya apa maksud senyuman saya, jawabnya ialah saya senyum kerana dalam artikel ini, saya mahu 'mengutuk' sebuah novel karya seorang sahabat, Nirrosette.

Saya cakap saya nak kutuk kan? Jadi, sila jangan mengharap yang saya akan membuat ulasan pada novel ini. Oh! Kejamnya!

Tidaklah. Saya rasa saya tak perlu pun nak komen novel dia, kerana hari-hari saya lihat ada saja orang yang memuji karyanya! Betullah. Memang novel Ikhlas, A.K ialah sebuah novel yang berkualiti. Tahniah kepada si manis dari Singapura, Nirrosette.

Tetapi...

Saya cuma nak 'kutuk' Adam Khalis. Bukan kutuk sebenarnya- cuma seurat benang daripada kotak pemikiran saya sahaja.

Tapi saya bermula dengan watak utama- Nur Kasih Kaisara. Kaseh ialah seorang gadis yang moden, hidup mewah, dan bersosial. Nirrosette memperkenalkan Kaseh sebagai seorang gadis yang cukup sempurna pada lahiriah, tetapi sifar pada pengamalan dan penghayatan agama. Teruknya Kaseh hinggakan dia tak tahu bahawa perbuatan meminum arak itu ialah satu dosa yang besar.

Baiklah. Di sini saya sudah mula angkat kening sendiri. Benarkah ada umat islam yang tidak tahu dan jahil... sampai macam itu sekali? Entahlah. Jika jawapannya 'ada', maka itu sudah jadi satu masalah yang sangat besar! Masalah yang perlu ditangani oleh semua kelompok dan tingkatan sosial masyarakat.

Tapi sebenarnya memang tidak hairan manusia sebegini boleh wujud. Banyak sebab. Dalam novel Ikhlas, A.K... Kaseh lahir daripada sebuah keluarga yang kaya-raya. Seringkali, kekayaan menyebabkan manusia lupa kepada Allah. Benda ini disebutkan pada banyak tempat di dalam al-Quran, terutamanya dalam surah At-Taubah. Dalam ayat 14 surah Ali-Imran juga ada disebutkan.

Memang kekayaan ialah satu benda yang membuatkan manusia lupa Allah, lupa Rasulullah. Bahkan, manusia yang menghambakan diri kepada dunia juga akan lupa untuk menyayangi dan mengasihi anak-anak mereka. Macam ibu dan bapa Kaseh jugalah!

Kaseh juga membesar menjadi orang yang 'super jahil', mungkin kerana tiada didikan daripada ibubapa. Saya suka jika kita melihat kepada sebuah hadis riwayat Imam Muslim, berkenaan dengan fitrah. "Setiap anak Adam lahir dalam keadaan fitrah (sudi akidah). Maka, ibu dan bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi"

Kalau kalian perasan... Rasulullah tidak pun menyebut "...atau menjadikannya islam". Kerana apa?

Jawabnya mudah- kerana setiap bayi yang lahir sudahpun islam. Cuma atas didikan ibu dan bapalah yang akan menentukan apa pengangan agamanya dewasa nanti. Samalah macam Kaseh. Dia memang tak pernah dididik dengan agama. Maka sudah tentu dia akan membesar menjadi orang yang tidak mengetahui tentang agamanya. Kasihannya Kaseh!

Ketiga, saya akan mengatakan betapa persekitarannya terlalu banyak memberi pengaruh. Kaseh berkawan dengan kawan-kawan yang 'tak elok'. Sebab itu dia pun jadi tak elok. Tapi itu cabang. Saya tetap akan mengatakan dan meletakkan ibu dan bapa di tempat pertama untuk disalahkan kerana sedikit kecuaian mereka... yang terkesan bukan hanya dia, tapi juga anaknya.

Saya nak kita sama-sama melihat ragam ibubapa masa kini. Anak kecil yang masih merangkak... sudahpun diajar untuk menyanyi dan menari. Baiklah... kalau setakat menari dan menyanyi, tidak menjadi kesalahan. Tetapi yang mengerikan, kanak-kanak yang sekecil empat atau lima tahun sudahpun dibawa ke pentas hiburan, memperdagangkan suara dan memperagakan kelincahan menari.

Heh! Ibubapa akan bangga jika anak-anak mereka boleh jadi penyanyi hinggakan dalam sebuah rancangan realiti TV, ditayangkan wajah seorang bapa yang lengkap berkopiah... tersenyum bangga. "Anak aku sudah jadi artis!"

Salah ayah dan ibu, definitely.

Tetapi seperti yang saya katakan tadi... persekitaran juga banyak 'sahamnya'. Pertama, sahabat. Hadis banyak menyebutkan pasal adab bersahabat. Kedua, media massa. Saya memandang televisyen dan akhbar sebagai sebuah medium yang terpaling berkuasa untuk membentuk pola pemikiran manusia, terutamanya kanak-kanak.

Sebab itulah kalau Yahudi nak menjatuhkan sesebuah tamadun, mereka akan mula-mula mengusai pemerintah dulu. Dengan sebab pemerintah itu sudah mengikut acuan, mereka (pemerintah) pula akan menguasai rakyat dengan media massa yang dikawal oleh mereka. Kalaulah seorang budak kecil sejak kecil sudah diajar dengan televisyen untuk membenci ulama, maka memang pasti dan pasti... dia akan membenci ulama bila sudah besar!

Dalam artikel berasingan, akan saya terangkan dengan lebih berkenaan dengan ghazwul fikri.

Kemudian, kita diperkenalkan pula dengan Adam Khalis- hero di dalam novel ini.  Di kulit belakang buku, Adam Khalis dikatakan sebagai 'stok budak masjid'.

Hmm... pada pandangan saya, saya tak rasa yang Adam Khalis itu seperti 'budak masjid'. Bagi saya, Adam Khalis cumalah seorang lelaki biasa, yang baik. Ya. Dia seorang lelaki biasa, yang baik... dan juga penyabar. Kalau nak kata dia tu 'stok budak masjid', maka saya rasa tidak berapa kena. Mungkin 'budak masjid' yang Nirrosette cuma cerminkan di sini ialah orang sekelilingnya, tapi pada sudut kaca mata saya... lain.

Saya menghabiskan banyak masa dengan 'budak masjid' dan saya akan utarakan beberapa ciri 'budak masjid'. Mereka ini ialah watak realiti, bukan lagi watak virtual. Mereka wujud, bernafas, dan hidup seperti kita.

Budak masjid... pertama sekali, ialah 'budak'. Maknanya, mereka masih lagi remaja. Macam Adam Khalis. Kedua... masjid. 'Stok budak masjid' yang saya kenal ialah orang yang dengan sedaya upayanya mahu menghidupkan solat berjemaah tak kisahlah di rumah ataupun di pejabat. Dan mereka juga akan bersolat di awal waktu. Mungkin Adam Khalis boleh beralasan, "saya kerja" untuk menjawab soalan "kenapa awak tak solat berjemaah" tetapi setakat yang saya nampak, banyak syarikat yang mengizinkan pekerjanya untuk mengambil masa 5-10 minit untuk solat. Tetapi ingat, kalau tak boleh nak solat berjemaah di tempat azan dilaungkan dan di awal waktu... setidak-tidaknya mereka akan segera solat sesudah ada peluang itu.

Tetapi Adam Khalis banyak kali juga 'terlalai' hinggakan dia terpaksa bersolat pada masa-masa kecederaan. Mungkin ini juga habit kita. Maka saya mahu menegur... betapa perbuatan melambat-lambatkan solat secara sengaja (tanpa sebab), hukumnya ialah berdosa! Ha... jangan ingat tak solat sahaja yang berdosa, tahu?

Selain itu, tiada lagi yang saya boleh komen. Yang pasti... jalan ceritanya sangat menarik, dan sangat sweet! Dan pada saya, kekuatan novel Ikhlas AK ini memang terletak kepada plot ceritanya yang berombak-ombak.

Sepuluh jari saya angkat. Dan saya yakin buku ini akan meletup kerana 90% pembaca di Malaysia ialah wanita... dan wanita memang suka cerita-cerita macam ni, kan? kan?

(Saya ketawa)
   

September 18, 2011

Zuhud

Pertama sekali, saya nak minta maaf kerana lama benar tak menulis. Dan kedua, saya minta maaf kerana saya lambat menjawab satu soalan yang ditanya oleh teman penulis, Nirrosette. Soalannya bukanlah sesukar mana pun. Dengan satu dua baris ayat, keraguannya boleh dirungkai dan tanda soalnya boleh diroboh. Tetapi, antara menulis untuk dia dengan menulis untuk semua, saya pilih untuk menulis untuk semua. Dan adat menulis, perlu 'cantik' supaya nanti orang baca. Dan kalau nak menulis yang cantik-cantik, itulah yang sukar. Dan syukur. Hari ini, jari-jemari saya sudah boleh 'berseni' kembali di atas papan kekunci komputer. Terima kasih kepada-Nya.

Saya bukanlah orang yang terbaik untuk diajak berbicara tentang zuhud. Pertama dan utama, kerana zuhud itu ialah satu sifat, daripada sifat-sifat terpuji yang patut dipamer oleh setiap muslim. Tapi masalahnya, sifat ini belum tumbuh kukuh dalam diri saya.

Tetapi bukankah pesan Rasulullah jelas, 'sampaikanlah walau satu ayat'. Dan saya tidak bercadang untuk menulis satu ayat sahaja. Harap kalian sabar membaca.

Pernah saya tertanya-tanya, apa maksud sebenar zuhud?

Pada awalnya, saya beranggapan... zuhud itu ialah meninggalkan dunia. Saya selesa dengan anggapan saya, sehinggalah saya melihat pada beberapa orang ahli agama yang hidupnya selesa. Ada kereta besar, ada rumah yang selesa. Cuma belum mampu dilabel sebagai mewah sahaja.

Lalu saya bertanya kepada murabbi saya- zuhud itu bagaimana?

Jawabnya, zuhud itu bukanlah kita menolak dunia. Bukan juga kita meninggalkan dunia. Jauh sekali, kita memakai pakaian yang compang-camping, yang buruk-buruk. Tetapi zuhud yang sebenar ialah tidak meletakkan dunia di dalam hati, sebaliknya di tangan sahaja. Dengan itu... dunia ini mampu dikawal olehnya. Sebaliknya, orang yang tidak zuhud dengan dunia- akan dikawal oleh dunianya!

Refleksi yang paling baik untuk kita melihat kut-kut kita sudah memiliki sifat zuhud ialah dengan layanan kita kepada takdir. Apa yang terjadi, sekiranya rezeki yang ada pada kita ditarik? Contoh, wang kita hilang. Adakah kita akan berasa kecewa yang mendalam, dan adakah kita mampu bersabar? Orang yang zuhud dengan dunia, akan memujuk hatinya dengan berkata, 'semuanya milik Allah'. Bukankah Allah mengajar kita untuk melafazkan kalimah innalillahi wa innailahi raaji'un? (surah al-Baqarah ayat 156)

Kalau begitu maksud zuhud, adakah dengan kita berkereta mewah, makan di tempat-tempat mewah, berpakaian yang berjenama... itu melanggar sifat zuhud?

Bagi saya, ia terpulang. Terpulang kepada penerimaan hati kita pada kurnia Ilahi yang itu. Ada ramai ustaz yang ada kereta mewah. Pergi berceramah naik kereta tu. Pergi berdakwah naik kereta tu. Pergi surau masjid pun naik kereta tu. Jika kita tanya padanya, dia akan katakan yang dia mahu islam itu dipandang sebagai sebuah agama yang tidak pernah menghalang penganutnya untuk maju. Baguslah kalau begitu!

Tapi masalahnya sekarang ialah... bilamana orang yang ada kereta mewah, tetapi seinci pun tayar keretanya tidak berganjak untuk ke tempat solat! Bahkan, makin lalai dia dengan kurnia Allah itu!

Nah! Inilah dia asas zuhud, bagi saya- iaitu hati!

Di sungai buloh, ada seorang ulama yang rumahnya besar macam istana. Sungguh! Kalau ikut bahasa moden, besar gila! Dan kebiasaan rumah-rumah yang besar ialah ia akan meriah dengan hiburan, parti, dan segala macam benda-benda yang songsa. Tapi aneh. Rumah besar miliknya meriah dengan zikir, bercahaya dengan kuliah dan kelas pengajian agama, bahkan bercahaya dengan rahmat Allah.

Dan timbul persoalan yang sama- adakah pemilik rumah besar ini tidak zuhud?

Kerana itulah, para ulama sufi sering menegaskan bahawa maksud 'dunia' ialah segala sesuatu yang tidak memberi keuntungan untuk kehidupan di akhirat.

Kalau kereta mewah itu dapat membantu memulihkan pandangan songsang masyarakat kepada agama, maka di sana sudah ada pahala yang besar. Jika dengan kediaman mewah dan luas, boleh dimanfaatkan untuk aktiviti tarbiyyah yang jitu, maka di sana ada pahala yang besar. Dan sekiranya dengan pakaian berjenama mampu menjadikan seseorang itu lebih dekat dengan Allah, maka... silakanlah!

Tetapi... jangan lupa...

Dalam kitab Fikh al-aulawiyat karangan Syeikh Yusuf al-Qardhawi, beliau membawa kita untuk melihat kepada satu fenomena yang berlaku pada zaman ini dimana ada sesetengah kelompok manusia yang mampu untuk pergi haji dan umrah pada setiap tahun, tetapi bagaimana pula dengan tetangganya dan ummahnya?

Haji dan umrah memanglah satu ibadah yang sangat besar pahalanya, tetapi bagi mereka... itu bukanlah cabang utama dan bukan juga keutamaan baginya. Sebaliknya, keutamaan baginya ialah untuk bersedekah.

Perkara yang sama ditekankan dalam kitab bertajuk 'ibadah dalam islam', kalau tidak silap saya... penulisnya ialah Syeikh Yusuf al-Qardhawi juga. Kata beliau, setiap daripada kita punya keutamaan masing-masing. Bukannya kita nak kata ibadah yang lain itu tidak wajib dan tidak penting, tetapi pada keutamaannya... ada sedikit yang tersilap. Sebagai contoh, bagi seorang parajurit dan pejuang di medan perang. Ibadah-ibadah asas seperti solat dan puasa itu memanglah wajib, tetapi keutamaan bagi mereka ialah untuk mengalahkan musuh. Bagaimana kalau di medan perang, para syuhada' ini tidak membawa senjata sebaliknya membawa pen dan buku kerana mereka fikir, pahala untuk orang yang belajar itu besar?

Sama halnya dengan orang yang mengajar. Seorang ustaz contohnya, tetap wajib untuk solat, puasa, zakat dan haji. Tapi, keutamaan ibadahnya ialah untuk mengajar anak-anak kecil ini supaya mengenali Allah. Bagaimana lagaknya jika seorang murabbi yang seharusnya mengendong buku, terjun ke medah jihad?

Sama juga dengan orang kaya. Mereka wajib untuk beramal tetapi keutamaan bagi mereka ialah untuk bersedekah, membelanjakan harta itu di jalan Allah!

Nampak tak kaitannya antara kereta besar, rumah mewah, makan sedap-sedap, dan pakaian berjenama... dengan 'keutamaan' ?

Memang tak salah bersenang-senang dan memanjakan diri dengan dunia, tetapi itulah... bukankah lebih patut harta itu dibelanjakan untuk suatu yang lebih menjaminkan?

Tetapi bagi saya, kalau benar-benar kita ada lebihan duit... memang tak jadi masalah untuk kita memanjakan diri sedikit. Ya, sedikit! Cukuplah sedikit... kerana dalam ayat terakhir surah Ad-Dhuha, ada perintah Allah- 'dan atas nikmat Tuhanmu, hendaklah kamu nyatakan' (tafsiran 'nyatakanlah' itu bukan hanya dengan kita display tetapi mesti dengan bersyukur)

Maka, tak salah bukan?

Kalau kita perasan, sahabat-sahabat Rasulullah semuanya zuhud. Antaranya ialah Abdul Rahman Bin Auf, Saidina Usman, Saidina Umar, Saidina Abu Bakar, dan ramai lagi. Banyak kisah yang dipertontonkan kepada kita. Sebagai contoh, peristiwa perang tabuk yang mana mereka semuanya tanpa lengah dan keberatan, menyedekahkan harta-harta mereka untuk jalan Allah. Saidina Usman membelanjakan suku hartanya. Saidina Umar, separuh. Manakala Saidina Abu Bakar, semua hartanya termasuklah sebatang jarum yang sudah patah disedekahkan. Dia hanya meninggalkan kepada dirinya dan anak isterinya Allah dan Rasul-Nya sahaja.

Tekad dan yakinnya beliau dengan janji Allah!

Kita juga jangan lupa... bagaimana pahala yang diraih oleh Saidina Abu Bakar nanti adalah sangat besar! Hinggakan dikatakan nanti di timbangan mizan, pahala Saidina Abu Bakar itu adalah lebih besar daripada jumlah pahala yang terkumpul oleh segenap manusia daripada zaman Nabi Adam lagi!Fuhhh!

Salah satu sebabnya ialah dakwah. Daripada sepuluh orang sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga, enam orang daripadanya diislamkan oleh Saidina Abu Bakar. Itu satu.

Dan lagi satu, kerana tapak kepada Masjid Nabawi di Madinah adalah didirikan atas tanah yang dibeli oleh Saidina Abu Bakar daripada anak-anak yatim (saya lupa nama mereka). Dengan tanah yang dibeli oleh beliaulah, masjid nabi dibina. Umum telah mengetahui akan keutamaan ibadah di masjid nabi berbanding beribadah di masjid biasa. Sudahlah ibadah di sana pahalanya diganda, bahkan masjid itu juga tak pernah surut dengan kunjungan manusia yang beribadah di dalamnya, siang dan malam!

Ini adalah satu daripada yang disebut sebagai 'amal jariah yang berterusan pahalanya sampai ke liang kubur'.

Satu lagi, berkenaan dengan harta juga... saya pernah mendengar satu syarah hadis qudsi, berkenaan dengan tiga golongan manusia- syuhada', ulama, dan hartawan. Di depan Allah, dailog antara mereka terjadi. Orang yang mati syahid ini memohon untuk dimasukkan ke syurga terlebih dahulu berbanding dengan ulama dan dermawan ini. Katanya, "Aku mati kerana agamaMu". Lalu, ulama itu pula berkata dan memohon permintaan yang sama, untuk masuk syurga terlebih dahulu berbanding dua golongan itu. Katanya, "Orang yang mati syahid ini pun terjun ke medan perang kerana mereka menimba ilmu daripada kami. Kami yang mengajar mereka dan memotivasikan mereka" lalu orang ketiga, dermawan itu pula berkata, "Aku yang patut masuk syurga lebih dahulu kerana dengan harta yang telah aku sedekahkan inilah, mereka belajar... dan dengan dengan sebab itu jugalah, mereka mampu mengajar, dan dengan sebab itu juga... para syuhada' dapat berjuang dan mati syahid di jalan-Mu"

Dan Allah memasukkan orang kaya yang dermawan itu terlebih dahulu.

Saya suka membawa kita untuk merenung sebuah firman Allah dari dalam surah al-Anfal ayat 36-"Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi manusia dari jalan Allah, mereka tetap membelanjakannya. Kemudian harta yang dibelanjakan itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan ingatlah orang-orang kafir itu akhirnya dihimpunkan dalam neraka jahanam."

Orang kafir pun ada yang bersedekah, tahu! Tapi orang islam... oh! cukup kedekut!

Saya bukan mengata siapa-siapa, tapi mengata diri saya sendiri. Mengapa ya orang kita lebih suka makan di Mc Donald atau KFC sekurang-kurangnya sekali sehari, tetapi untuk membantu ekonomi orang islam, kita jadi teragak-agak?

Kita mengeluh yang ekonomi umat islam teruk! Mundur! Tetapi... kita sendiri yang tak mahu menyokong ekonomi orang kita. Jadi, salah siapa?

Oh ya. ada sebuah novel bertajuk Sigaraning. Kita patut baca, biar terbuka sikit biji mata...

Akhir sekali, saya mohon agar Allah selamatkan saya daripada sifat kedekut, dan Allah bantu saya untuk meletakkan dunia di tangan saya, bukannya di hati saya.

Doa yang sama saya panjangkan kepada kalian yang membaca, dan yang utama... kepada orang yang meminta saya menulis tentang ini :)

Oh ya! Sebelum saya terlupa, kalau anda mahu 'menambah' dan 'memperbetulkan', maka silakanlah.
       
 

September 16, 2011

Dari satu sudut, saya gembira kerana pembaca blog dan pembaca novel saya cuma sedikit. Kerana, jika saya tersilap tulis seperti mendatangkan fakta palsu dan memfitnah individu, kesannya tidaklah seburuk dan seteruk mereka-mereka yang menulis di dada-dada akhbar dan media arus perdana yang kerjanya cuma mencari untung. Oh, sebelum saya terlupa... sebenarnya masih ramai lagi wartawan, kolumnis, dan penulis yang menulis dengan adil.

Ya Allah...
Saya harap tulisan-tulisan saya tidak menjadi sekatan untuk saya meraih keampunan-Nya.
  

September 7, 2011

Awan Diana (Bab 23)

Sedikit pencerahan, melalui secebis garapan pena
Kuliah maghrib Syeikh Anuar al-Farobi tamat betul-betul sejam selepas masuk waktu solat isyak tadi. Tamat sahaja, Syeikh Anuar terus ke depan menjadi imam untuk solat. Usai berdoa sendiri, Fatihin dan Syafiq sedikit berkejar ke gerai yang terletak beberapa tapak saja daripada pintu pagar masjid. Kebab daging menjadi habuan buat perut yang sedang berdemonstrasi lapar.

Mereka duduk di sebuah kerusi kayu, bawah pohon kurma. Samar-samar sahaja tempat itu disimbah oleh cahaya daripada lampu jalan. Orang ramai mundar-mandir. Hari masih awal untuk kota Cairo lelap.

“Fiq…”

“Erm”, Syafiq sedang menggunyah kebab daging unta hanya membalas acuh.

“Aku nak minta pendapat kau ni”. Tangan Fatihin yang memegang makanan diturunkan. Matanya dibawa menyoroti biji mata sahabat, merangkap saudara dan juga pusat rujukannya.

“Apa dia?”, balas Syafiq. Riaknya masih belum berubah.

“Aku nak tanya. Is it okey for me to stay close with Diana?”

“Who? Diana?”, dia berhenti menyuap.

“Alaa… Diana. Kawan aku kat Scotland tu”, rendah suara Fatihin.

“Apa kau tanya ni? Apa masalahnya? Kenapa? Kau jatuh suka dekat dia ya…”, Syafiq senyum penuh makna. Dia ketawa kecil di hujung-hujung ayat. Bahunya dirapat.

“Ish. Bukanlah. Begini… tadi dia bercerita tentang masalah dia kat aku”

“Okey. Aku tak nampak kaitannya. Apa kena mengena antara kawan, okey ke tak… dengan bercerita masalah?”, Syafiq dah menyampuk dulu.

Fatihin geleng. “Kau ni, aku tak habis cakap pun lagi”

“Asiff”, Syafiq sengih macam kerang buruk.

“Dia cerita masalah dia dekat aku. Dan sekarang, aku pula yang bermasalah! Dia minta aku bimbing dia”

Tanpa sedar, Syafiq sudah ternganga, riaksi spontan orang yang terkejut. “Advance giler! Kau dengan dia… nikah?”

Fatihin senyum nipis. “Nikah kau la! Ish… kau ni kan Fiq… Diana tu, kalau kau nak tahu… jahil sangat. Aku cuma boleh cakap yang dia sekarang dalam krisis akidah. Dan sekarang, Allah sedang menyelamatkan dia. Dia sedang dalam proses untuk insaf, taubat, dan kembali mencari jati diri. Dia sedang baru nak berjinak-jinak kembali kepada Allah…”

Orang arab yang lalu lalang di hadapan mereka sesekali memandang, mungkin aneh melihat orang berbual dengan bahasa melayu dengan suara yang agak lantang.

Syafiq kembali menala matanya ke kebabnya. Satu lagi suapan, sebelum kebab itu menjadi separuh. “Erm, kiranya bimbing tu bukan nikah la?”

“Bukanlah…”, pantas Fatihin menafikan. “Tapi lebih kepada tanggungjawab”, sambungnya.

Syafiq angguk tanda faham. “Jadi, bimbinglah dia”

“Ha.. itulah masalahnya. Boleh ke untuk kami terus-terusan contact melalui YM dan Skype? Tidakkah nanti berlaku pula ikhtilat alam maya?”

“Erm. Tak sure. Tapi… as long as i’m concern… better kalau kau lend her kepada mana-mana akhawat”

“Ish. Tak boleh! Tak boleh!”

“Kenapa?”, kedua belah kening Syafiq terangkat. Kenapa Fatihin serius benar?

“Sebab dia selalui cakap pada aku yang dia cuma percayakan aku seorang saja. Dia ada banyak cerita yang buruk-buruk. Dia hidup dalam nightmare. Sejarahnya penuh dengan air mata dan darah. Semua benda tu dia simpan seorang, dan dengan aku. Aku tak boleh mungkir amanah…”, Fatihin serba salah. Wajahnya jelas mendung. Dia keliru. Dalam hal ini, dia perlu segera mencari jalan tengah- jalan penyelesaian.

“Then, do your responsibility. Guide her”, matanya memandang tepat. Serius.

“Tapi…”

“Istafti qolbak!”

Senyum Syafiq mewarnai malam yang gelap itu sekejap. Istafti Qolbak bermaksud ‘minta fatwa hati’. Sangat bertepatan dengan fenomena fitrah hati ciptaan Allah- yang merasa aman dan tenang dengan kebaikan tetapi rasa keluh-kesah dan serba-salah kepada dosa. Makanya, jika hati rasa okey dan tenang, maka insyaAllah itu tanda kepada sahih perbuatannya. Tetapi jika hati rasa gundah gulana dan resah atas sebuah tindakan atau pilihan, maka ia bermakna pilihan itu pilihan yang salah dan batil.

“Jazakallah Fiq. Aku harap dia tidak akan hilang kepercayaan kepada aku. Betul lah cakap kau hari tu… kalau ada orang dah terbuka hati mahu berubah, tak salah kalau kita layan dia macam raja dan ikut aja kehendak dia kerana meraikan keinginannya untuk berlepas diri daripada cengkaman dosa jahiliyyah. Erm, doakan aku… dan doakan dia. Boleh?”

“InsyaAllah. Allah akan bantu orang yang membantu agama-Nya”, senyuman Syafiq datang bersama sekeping doa. Sambutlah sahabat! sahutlah sahabat! Peluang dakwah terbuka luas, khusus untuk kau!
   
******
Ini ialah Bab ke 23 dalam Novel Awan Diana. Kalau nak tahu cerita pasal Diana, tentang cintanya... tentang jiwanya... tentang deritanya... tunggulah. Saya pun sama menunggu :)
           

September 4, 2011

Syawal

Adakah saya sudah terlambat? Oh! Saya rasa tidak. Dalam kesempatan ini, saya mahu mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, bersama titipan ikhlas; moga segala amal kita diterima-Nya, dan semoga salah laku dan silap percaturan daripada diri saya yang dangkal ini, dimaafkan oleh anda semua… dan diampunkan olah Allah Subhanahuwwata’ala.

Saya tak berhajat untuk menulis suatu yang ‘berat’ sebaliknya cukup jika saya kongsikan pengalaman saya. Sebenarnya, sejak hari pertama saya berada di rumah (27 Ramadhan), ada banyak perkara yang menarik yang saya teringin untuk kongsikan.

Erm… pertama sekali, tahun ini ialah pertama kali saya drive sendiri balik ke kampung saya di Felda Jengka. Oh! Itu pun nek beritahu ke? Mestilah! Pengalaman tu…!

(Booo… tak menarik langsung!)

Sedikit pasal raya... saya sebenarnya agak kecewa dengan khutbah raya di kampung saya. Adakah patut imam berpesan, "Pakailah baju melayu, kerana ia adalah baju kebangsaan". Bukankah lebih patut khatib menggunakan peluang untuk bercakap kepada khalayak ramai dengan ucapan nasihat? Lagi-lagi... ada seorang pak cik yang usai solat sunat aidilfitri, dia mencapai mikrofon dan bercakap. Katanya, "Kita nak minta sumbangan RM500 daripada setiap keluarga, kerana kita mahu membina menara masjid. Masjid kita tak ada menara". Saya hairan sendiri, dan ramai juga orang yang hairan. Apa rasionalnya bina menara masjid, RM 100,000? Seratus ribu tu! Lagi-lagi... orang yang 'meminta' itupun jenis yang datang masjid seminggu sekali saja!

 Allahurabbi. Jangan kita terlalu mengagungkan syiar islam, jika syariat kita pijak-pijakkan!

Tahun ini juga, saya banyak sekali menonton televisyen selepas tiga tahun saya alergi dengan idiot box itu. Sebabnya… di Astro sekarang sudah ada TV al-Hijrah! Oooohhh! Dalam satu perkataan, saya akan katakan stesen televisyen itu sebagai ‘DaBOM’. Kalau orang yang tak tahu DaBOM tu apa, sila belek muka belakang novel DYK. DaBOM ialah tagline yang saya reka- ‘DAkwah Buat Orang Muda’

Saya suka sangat dengan program-program yang dipertontonkan. Segala dakwah, kuliah agama, dan program ilmiah dipersembahkan dengan cara yang sangat santai.

Oh, sebelum saya terlupa… saya sebenarnya jenis manusia yang menonton bukan hanya dengan mata tapi dengan akal. Saya tak suka apa-apa yang dijamah oleh mata saya, menjadi suatu yang tidak ada hasil yang bakal menguntungkan saya. Tidak!

Bukankah kita dituntut untuk melihat? Al-Quran menekankan peranan ‘memerhati’ dengan diiringi dengan peranan hati dan akal untuk menterjemah. Betul, bukan?

Saya petik satu babak dalam novel DYK.
Memang pada pandangan peribadinya, dia melihat bahawa punca kerosakan akhlak remaja ialah paling banyak berpunca daripada televisyen. Lepas satu demi satu drama yang tidak bermoral disajikan kepada masyarakat, muncul pula drama berunsur Islam yang membuat tafsiran yang salah terhadap ajaran Islam sendiri. Drama yang melambangkan orang-orang beragama, akan sentiasa dibenci, difitnah, dimaki, dan mundur. Secara tak langsung, ia membuatkan para ibu ayah merasa takut untuk menjadikan anak-anak mereka sebagai cerdik pandai agama. Ini kerana peranan televisyen yang sering mengaitkan orang agama dengan kemiskinan dan penindasan. Sebaliknya, rancangan-rancangan berbentuk hiburan pula yang mendapat liputan yang lebih. Lebih ditakuti, rancangan-rancangan nyanyian dan hiburan kanak-kanak pula semakin meningkat. Macam cendawan tumbuh lepas hujan, ibu ayah berpusu-pusu mahu anak mereka jadi artis.

Nasuha beristighfar panjang. Dalam diam, dia tahu uminya sengaja membiarkan televisyen itu usang tidak berganti sebagai salah satu usaha daripada uminya untuk mendidik anak-anaknya agar tidak menonton televisyen. Jika dibuang terus, ia tidak membantu bahkan akan mengeruhkan lagi kefahaman mereka.

Orang kata, televisyen mempunyai manfaat.

Nasuha tidak menafikan kata-kata itu. Tetapi dalam masa yang sama, mudarat yang ada adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan manfaat yang disediakan di televisyen. Ah! Jika mahu dilihat dengan cara itu, arak juga dikatakan ada manfaat. Kononnya untuk menghangatkan badan. Tapi nyata mudaratnya jauh lebih banyak.

Bagi Nasuha lagi, dia lebih selesa untuk membaca bahan-bahan di Internet sahaja untuk membantunya peka dengan keadaan sekeliling. Menonton berita di televisyen bukanlah suatu yang Nasuha gemar kerana dia sedar, banyak fitnah dan penyelewengan terkandung di dalamnya. Eh, macamlah sumber daripada Internet semuanya bagus?

Heh… pandai-pandailah memilih, kan?
Sejujurnya, memang saya memandang kotak televisyen ini sebagai punca kerosakan akhlak anak-anak muda kita. Daripada kanak-kanak seusia 4 tahun, sudah ada rancangan hiburan khusus buat mereka. Ini ialah ghouzul fikri. Ghouzul Fikri akan saya hurai dalam artikel yang berasingan. Saya cuma mahu menekankan peranan ‘akal’ dan ‘hati’ untuk menapis bahan-bahan yang dijamah oleh mata dan telinga kita, lebih-lebih lagi televisyen.

Satu program yang menyentuh hati saya ialah program ‘studia muallaf’. Oh! Saya terkesima dengan kewujudan program seumpama ini. Sejujurnya, saya kagum dengan ‘mereka’ yang bercita-cita tinggi… mahu menjernihkan tanggapan buruk masyarakat non-muslim kepada orang islam. Saya rasa bukan saya sahaja yang perlu malu, tapi semua kita patut malu dengan para muallaf ini. Kenapa?

Kita ini sebenarnya ‘banyak tangan’ dan ‘banyak mulut’. Sebab mulut dan tangan kita ini banyaklah… maka perbuatan kita dan perkataan-perkataan kita, telah membuatkan islam nampak ‘kotor’ dan ‘berpenyakit’ pada kaca mata orang bukan islam.

Kalau kita tengok statistik, yang buang bayi itu bukannya siapa-siapa… tapi anak orang islam! Anak siapa? Anak kitalah!

Yang terjebak dengan najis dadah? Kita juga!

Yang jadi pelacur atau dalam istilah masyarakat bersosial rendah, bohsia. Anak orang islam!

Yang rempit? Anak orang islam.

Yang rasuah? Anak orang islam. Ops… ‘bapak’ sebenarnya.

Yang apa lagi? Yang gagal dan dibuang IPT? Oh! Anak orang islam juga yang menjadi pendominasi.

Dan saya pernah menonton rancangan Majalah Islam di Tv al-Hijrah. Dalam sebuah temu bual, seseorang telah berkata, “Di Kemboja, masyarakat islam mundur kerana mereka ialah golongan minoriti. Hampir semua tempat di dunia ini golongan minoritinya akan ditindas. Tetapi di Malaysia, kita ini majoriti tapi tidak pula maju berbanding golongan minoriti. Ada banyak sebab, antaranya ialah kerana perpecahan politik”

Lebih kurang macam itulah kata-kata orang itu.

Ia membuatkan saya terfikir. Kenapa orang islam banyak berpecah ya? Nampaknya akan jadi panjang kalau saya tulis di sini, jadi biar saya tulis lain kali sajalah dalam artikel tentang siasah. InsyaAllah.

Kita fokus balik kepada golongan muallaf ini. Saya sebenarnya hairan juga kadangkala. Antara kita dengan mereka… siapa sebenarnya yang muallaf ini? Kita pasti takkan mengaku kita ini muallaf kerana kita sudah 10, 20, 30, 40 tahun hidup sebagai si fulan BIN si fulan. Ada perkataan ‘bin’ yang menjadi indikator yang paling popular, kononnya kita islam. Tapi… kita ini macam tin kosong. Tahu tin kosong? Kosonglah… nampak aja islam, tapi ‘dalam’ ialah ‘kosong’. Jiwa kita kosong daripada menghayati perjuangan islam. Jiwa kita kosong daripada amal islam. Jiwa kita sifar daripada akhlak islam. Oh, kita sebenarnya muallaf itu… anehnya!

Saya tak ajak anda untuk buat benda yang besar-besar seperti mendesak kerajaan wujudkan hukum hakam jinayat islam. Tidak! Itu benda besar yang perlu kekuatan yang besar dan kesedaran yang besar. Tapi saya cuma mengajak anda untuk hayati islam. Jadi seperti golongan muallaf yang saya sebut tadi… yang bangga dengan name tag islam. Yang Bangga dengan islam. Yang bangga menjadi islam!

Kita? Adakah kita berbangga dengan islam?

Jika ‘ya’, kenapa…

Kita tak dakwah?

Kenapa kita sembunyi-sembunyi dan takut-takut dalam buat benda baik? Tak mahu ajak orang?

Kenapa kita tak mahu berbual-bual tentang topik yang ada hubung kait dengan islam?

Dan kalau betul kita berbangga dengan islam… kenapa kita tak teringin nak pergi majlis ilmu, duduk mendengar di dalam majlis taklim? Dan kemudiannya, membebaskan diri daripada rantai-rantai kejahilan?

Saya tinggalkan persoalan ini untuk dijawab oleh hati kita, masing-masing. Saya dan anda, semua sekali.

Selain daripada menonton, saya juga ada menulis manuskrip untuk novel ketiga. Syukur alhamdulillah… dapat juga saya bawa pulang novel-novel DYK dan diserahkan (sebenarnya dihadiahkan) kepada adik beradik saya. Syukurlah, setitis usaha saya ini dihargai. Saya sedang sabar menunggu novel kedua, Awan Diana pula untuk mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak Jemari Seni. Mudah-mudahan, ada rezeki… adalah.

Dan yang baru berlaku, semasa memandu pulang… tayar kereta saya pecah. Kerana ia pengalaman pertama saya, dan juga kereta orang (mak saya, saya pinjam), jadi saya jadi kelam-kabut tak tahu apa mahu dilakukan. Jadi saya jalan punya jalan… mencari telefon SOS lebuhraya. Dan alhamdulillah… ada seorang abang ni berhentikan keretanya untuk membantu. Niat tulus dan murninya jelas. Saya kaget. Dalam keadaan keretanya penuh dengan penumpang, isterinya sanggup duduk di kerusi belakang untuk memberi ruang saya duduk. Dia menghantar saya ke telefon kecemasan. Malangnya… telefon yang itu tak berfungsi. Macam mana ni? Saya senyum tawar. “Kalau telefon yang lagi satu, macam mana?”. Abang tu menjawab, “jauh tu..”. Saya tahu. Memang jauh pun! Sebab dari tempat kereta saya tersadai dengan telefon yang ini pun dah jauh… telefon lagi satu mesti lagi jauh!

Dipendekkan cerita, segalanya selamat alhamdulillah. Saya berlari-lari anak jugalah sikita semasa nak ke kereta saya. Penat jugalah. Dan akhirnya, saya teringat tentang prosedur pertama- ‘tukar tayar!’. Ya Rabb. Saya lupa nak tanya mak saya pasal tayar, dan dia cakap… ada je tayar spare! Laaahhh! Memang ada pun dekat kompartmen belakang, tapi tersembunyi!

Ohhh!

Tapi tak apalah. Pengalaman ini mahal. Mahal sangat, tapi bernilai.

Saya tak sempat nak tanya nama abang tu. Sebenarnya bukan tak sempat… tapi tak tertanya, sebab saya terlebih kalut, cemas dan entah apa-apa entah lagi. Merepek aje saya ni, kan? Saya harap abang-yang saya-tak-tahu-nama tu baca entry ini. Saya cuma nak kata, saya berterima kasih atas keprihatinan abang. Kalau masuk cerita ‘cubaan’ Astro Oasis mesti best punya! Hehe. Tapi serius... saya kagum dengan seorang abang, yang dalam keretanya penuh dengan muatan, dan jauh destinasinya... untuk berhenti di lebuh raya, semata-mata mahu membantu!

Subhanallah...

May Allah bless you, anda your family, abang-tak-tahu-nama. (saya baru 21 tahun, jadi tak de masalah saya panggil dia abang)

:P
       

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails