October 31, 2011

Terima kasih :D

Subhanallah, walhamdulillah, wallahuakhbar.

Saya tak tahu bagaimana saya mahu bermula. Cuma sedikit, tentang ekspo buku islam pada hari sabtu lepas.

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada para pembaca DYK, dan pada pengunjung booth Jemari Seni dan JS Adiwarna.
Dari kiri; Kak Nawwir, Kak Nashmin, saya dan Encik Pingu Toha
Saya sebenarnya ada memberi talk pada jam 2 petang hingga hampir 2.30 petang. Saya bercakap tentang DYK- tentang sebab saya menulis DYK. Saya juga ada menyentuh beberapa isu kemasyarakatan dan sosial. Tentang kebanjiran novel cinta, ancamannya kepada pola pemikiran remaja, tentang peranan ibubapa, tentang dakwah, dan beberapa perkara lain yang tak kalah pentingnya. Terima kasih Allah atas peluang ini.
Pingu Toha jadi MC. Haruuuu!
Alhamdulillah. Walaupun gagap dan banyak point yang saya tak terkeluar daripada mulut, tapi saya berpuas hati. Setidak-tidaknya, saya mampu membina sedikit rasa konfiden. Hamdan lillah.

Juga, saya sempat memberi 'buah tangan' kepada pengunjung-pengunjung booth. Dan saya bahagia melihat mereka menerima dengan senyum.

Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih.
May Allah bless all of us. Especially 'you'...
  

October 26, 2011

Ekspo Buku Islam

Assalamualaikum.

Sedikit hebahan. InsyaAllah, saya akan berada di Ekspo Buku Islam, di KL Sentral pada sabtu ini (29/10/2011) mulai jam 2 petang hingga jam 5 petang.
Dan insyaAllah, saya akan membawa bersama buah tangan dari saya untuk 60 orang pengunjung gerai Jemari Seni. Anda tak perlu membeli novel Dia Yang Kunikahi (DYK) pun. Cuma, belilah apa-apa buku pun (dari pukul 2 hingga 5 petang hari sabtu) dan anda akan saya beri buah tangan sebagai tanda penghargaan dan persahabatan :)

Mungkin akan ada orang yang tak suka kalau saya bercakap pasal novel, lagi. Tapi percayalah, ada banyak benda yang kita tak boleh sampaikan melalui cara lain selain daripada dengan menulis novel. Dan sebab itu jugalah, saya teringin nak mencadangkan anda mencari beberapa buah novel terbitan JS yang bagi saya, sangat-sangat bermanfaat dan membina.

Antaranya ialah novel Langsir Biji Remia, Jaja & Din, Sigaraning, Seikat Kembang Merah, Nuansa Kota Merah, Ikhlas A.K, Quartet, dan banyak lagilah.

Apapun, jumpa sabtu nanti ya :)
Berharap agar kita boleh bertaaruf dengan lebih baik.
    

October 21, 2011

Insan (bacalah dengan perlahan-lahan)

Saya yakin, ada antara kita yang masih belum faham tentang hakikat diri kita ini. Hakikat manusia, sebenarnya hikayat yang penuh rahsia. Manusia yang punya sifat yang berbeza, sikap yang tidak serupa, dan tabiat yang tidak sekata… hakikatnya hanyalah makhluk. Ya. Hanya makhluk. Selama-lamanya manusia tidak boleh menganggkat dirinya daripada taraf itu.

Pun begitu, Allah sayangkan manusia lebih daripada makhluk yang lainnya. Allah jadikan manusia, sebagai makhluk-Nya yang paling baik sekali, sepertimana firman-Nya dalam surah At-Tin ayat 4 : “Sungguh! Kami telah menciptakan manusia itu dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.

Sebagaimana yang saya telah sebutkan sebelum ini, istimewa manusia ini terletak kepada keberadaan akal fikirannya yang menyeimbangi nafsu. Kerana itu jugalah, layak tanggungjawab dan taklif dibaringkan atas pundak mereka. Namun, selepas kita tahu bahawa manusia itu berada bentuk penciptaan yang paling baik, Allah menyambung firman-Nya dengan ayat 5 dan 6 : “Kemudian, kami kembalikan mereka ke tempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan. Mereka itu akan mendapat pahala yang tidak putus-putus”.

Dalam tempat yang lain, (surah al-Bayyinah ayat 7), Allah menyatakan; “Sungguh, orang-orang yang beriman serta mengerjakan kebajikan, mereka itulah sebaik-baik makhluk”.

Selepas kita mengetahui bahawa manusia juga makhluk, maka kita perlu tahu juga pada manusia itu, wujud banyak persamaan dengan makhluk yang selain manusia. Antaranya ialah ‘fitrah’. Fitrah, dalam kata lain ialah sifat semulajadi. Kita boleh lihat kepada surah Ar-Rum ayat 30: “Maka, hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (islam), sesuai dengan fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan kamu tidak mengetahui”.

Ya! Manusia ada fitrah. Maha Suci Allah. Allah telah jadikan agama islam itu sebagai agama yang sesuai dengan fitrah kita. Apa yang islam suruh, sebenarnya benda-benda itu sesuai dengan kita. Saya sesekali tidak percaya tohmahan dan buah fikir manusia dangkal yang mengatakan bahawa agama islam tidak sesuai di zaman ini. Sampai bila-bila pun saya akan bangkang dan sangkal. Kerana sesungguhnya setiap prinsip dan nilai islam tidaklah bercanggah dengan fitrah manusia.

Saya ambil sebuah contoh, berkenaan fitrah ataupun sifat semulajadi. Kita boleh rujuk surah Taha ayat 50. Saat Firaun bertanya kepada Nabi Musa a.s :”Siapakah Tuhan kamu berdua, wahai Musa?”. Lalu Nabi Musa a.s menjawab, “Tuhan kami ialah (tuhan) yang telah memberi bentuk kejadian kepada segala sesuatu dan kemudiannya Dia memberikan ia petunjuk”.

Yang dimaksudkan dengan petunjuk itu ialah dengan memberinya naluri, sifat atau juga dikenali sebagai fitrah. Sebagai contoh, kita makan tengahari. Lalu kita berkata kepada perut kita, “Wahai perutku, janganlah kamu lapar lagi!”. Kemudian tunggulah beberapa jam berikutnya. Adakah perut kita akan terus kenyang? Tidak! Kita akan lapar kembali, walaupun kita tidak mahu lapar dan telahpun kita ‘suruh’ perut kita untuk tidak lapar.

Persoalannya, mengapa?

Kerana… Allah telahpun menetapkan bahawa fitrah perut ialah untuk kenyang selepas makan, dan lapar selepas makanan tadi diserap oleh badan. Sama dengan rambut kita. Kita tidak boleh menghalang ia daripada tidak tumbuh. Seperti kuku jari tangan kita juga. Selepas kita potong kuku kita hari jumaat yang lepas, adakah minggu ini, kita tidak perlu potong sudah?

Tidak! Kita masih perlu… kerana sifat kuku itu ialah ia akan memanjang kembali. Sama dengan manusia. Manusia juga ada fitrahnya, dan fitrah manusia tetap sama pada setiap orang. Selain memerlukan perkara-perkara asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan hiburan, kita sebenarnya inginkan Tuhan.

Ramai yang cuba berbohong, berpaling dan menipu diri. Slogan “Aku tak perlukan Tuhan” ternyata membuatkan diri mereka dilumuri fitnah- Hasil membelakangkan fitrah.

Hebatnya Allah, Dia menjadikan manusia itu mencintai kebaikan dan keimanan tetapi membenci keburukan, kekufuran dan kedurhakaan. Ini telah dinyatakan dalam ayat 7 surah al-Hujurat. Dan islam datang sebagai agama yang sesuai dengan fitrah manusia.

Apa yang manusia suka?

Makan? Islam datang dengan konsep makanan halal. Kerana konsep penjagaan islam terdiri daripada lima prinsip. Pertama, menjaga akidah. Kedua, menjaga diri. Ketiga, menjaga akal. Keempat, menjaga harta dan kelima, menjaga keturunan.

Apa yang saya cuba sampaikan ialah, agama islam datang sebagai satu cara hidup atau sistem kehidupan yang menjaga umat islam dan orang bukan islam daripada mereka merosakkan diri, merosakkan akal, merosakkan harta mereka dan juga merosakkan keturunan mereka.

Fitrah menyukai iman dan membenci kekufuran juga bererti manusia yang manganut islam, dirinya akan dicampakkan rasa tenang, selesa dan rasa seronok. Hidup ini akan terasa indah. Begitulah…

Selain daripada diciptakan dengan binaan fitrah, Allah juga menjadikan manusia itu sebagai satu makhluk yang mempunyai kehendak. Ini telah dijelaskan dalam ayat 15 daripada surah Fatir. Firman Allah, “Wahai manusia, kamulah yang memerlukan Allah! Sedangkan Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu apapun), dan Maha Terpuji”.

Saya akan coretkan dengan lebih bila sampai ke muka surat yang berikutnya.

Manusia juga jahil dan lemah. Iya! Itu hakikat yang tiada siapa akan sangkal kerana mata kita sendiri sebagai saksi, melihat seorang bayi yang lahir ke dunia, tanpa kudrat apa-apa. Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 28, “…manusia itu bersifat lemah”

Kita menyedari bahawa kita ini diciptakan. Kita mengetahui bahawa kita ini dilahirkan, dengan diri kita lemah tanpa upaya. Kita tahu bahawa sehingga kita mampu berdikari, terdapat banyak tangan-tangan manusia yang membantu kita. Kita sedar, bahawa diri kita ini memerlukan banyak benda. Kita tahu bahawa diri kita ini perlukan banyak perkara. Dan sudah cukuplah perkara-perkara itu menyedarkan kita, bahawa kita ialah makhluk yang hina... sehinggalah… Allah memberi kita kemuliaan!

“Dan sungguh Kami telah memuliakan anak cucu Adam, dan kami angkut mereka di darat dan di laut, dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dari banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna”, Surah Al-Israk 17;70.

Allah juga telahpun menundukkan segala makhluk buat kita. Kita dipinjamkan kuasa. Kita berkuasa untuk menggunakan hasil-hasil yang Allah sebarkan di pelusuk bumi. Setiap hasil bumi, ada manfaatnya kepada manusia. Allah telah melarang pepohon untuk kedekut daripada memberi buah-buahan untuk manusia makan, memberi teduh untuk meredakan kepanasan, memberi sumber kayu untuk tujuan pembinaan, dan lain-lain. Hanya pada sebatang pokok yang Allah tundukkan untuk manusia, kita telah beroleh juta macam kebaikan. Belum lagi pada laut. Belum lagi pada tanah. Dan seterusnya.

“Dan Dia telah menundukkan apa yang berada di langit dan yang berada di bumi untuk kamu semua (sebagai rahmat) dari-Nya. Sesungguhnya dalam hal yang demikian itu punyai tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang berfikir”- Surah Al-Jasiyah 45; 13.

Saya rasa tertarik untuk berbicara tentang asal-usul manusia dari sudut biologi. Suatu yang cukup indah dapat kita lihat terkandung dalam islam, iaitu berkenaan ketulenan ajaran islam hinggakan sains terpaksa bersetuju dengan islam. Sebelum saintis dapat membuat penemuan tentang kronologi penciptaan manusia, Allah S.W.T sendiri telah menceritakan tentang hakikat kejadian manusia dari sejak dalam perut ibu lagi.

Sila buka surah al-Mukminun ayat 12 hingga ayat 14. Daripada air mani, ia bertukar kepada darah, kepada daging nan segumpal, lalu ia kepada tulang yang dibungkus oleh daging itu, dan dengan itu, ia berubah menjadi bentuk manusia. Dalam hadis juga bercerita tentang hal yang sama, iaitu berkenaan dengan tempoh 40 hari bagi satu fasa berganjak ke fasa seterusnya. Dan hebat! Sains terpaksa akur.

Bagi saya, itu cukup untuk membuat saya yakin bahawa sains tanpa al-Quran bererti ‘berbohong’ kerana yang pasti, sains hanya akan benar jika al-Quran mengesahkannya. Sebagaimana teori Charles Darwin versus al-Quran surah al-Baqarah ayat 65.

Darwin berkata, manusia berasal dari monyet. Sebagai manusia yang meraikan pendapat manusia lainnya, saya akan kata bahawa hanya beliau sahaja yang berasal dari bangsa monyet. Kerana yang Al-Quran kata, monyet itu rupanya berasal dari kaum Yahudi yang ingkar pada perjanjian mereka dengan Tuhan. (sebahagian ahli tafsir menafsirkan bahawa ayat 65 surah al-Baqarah itu sebagai ‘menjadi monyet’ dan ‘sesetengah mereka berperangai seperti monyet’).

Kita membaca sejarah. Kita sama-sama menyaksikan bagaimana puak Zionis menyembelih umat islam Palestin. Segalanya dilakukan sembereno, seakan-akan yang disembelih dan dilapah itu bukan lagi manusia. Apa beza pembunuh dengan yang dibunuh?

Kedua-duanya rumpun yang sama, iaitu manusia. Manusia, yang asalnya air mani yang jijik. Tapi selepas Allah jadikan air mani itu kepada manusia, terus ia jadi lupa diri! Selepas beberapa usia saya mencecah dua dekat, saya sudah mula mengenali setiap sudut sisi manusiawi. Hakikatnya, manusia sering lupa bahawa dia berasal dari air mani yang kotor. Dia lupa bahawa dia lahir tanpa seurat benang. Dia lupa bahawa dia lahir tanpa sekeping dinar. Dia lupa bahawa dia lahir tanpa sepatah bicara. Dia lupa dia lahir tanpa upaya. Dia lupa bahawa Allah menjaganya! Dia lupa bahawa Allah telah mencampakkan rasa kasih ibubapanya kepada dia. Dia lupa bahawa Allah izinkan dia hidup! Dia terlupa… semuanya! Hinggalah dia dewasa, dan dia mula mahu ‘menggulingkan’ Tuhan.

Astaghfirullah.

Layakkah manusia yang hina seperti kita ini untuk menjadi Tuhan?

Kita yang hina, selepas dijadikan Allah sebagai makhluk yang paling baik… ditundukkan pula makhluk lain kepada kita… tetapi akhir, kita memilih untuk hidup bercanggahan dengan fitrah (ketentuan) yang Allah sediakan dalam islam.

Jika di dunia, kita ini ibarat seorang anak yatim. Kita dipungut untuk masuk ke pusat perlindungan. Di sana, kita diberikan makanan, tempat tinggal dan pakaian. Pusat perlindungan itu punya undang-undang. “Tidak boleh merokok”.

Lalu, kita buat tidak peduli. Dengan sengaja, kita merokok. Pertama kali ditangkap, kali kedua, kali ketiga…. Kali yang ke seterusnya… dan akhir, kita diminta untuk berpindah. Untuk orang semacam itu, kita akan katakan dia sebagai “Tidak kenang budi”, “Tidak pandai bersyukur”, “Orang jahat” dan macam-macam.

Dan orang itu sebenarnya bukanlah orang lain, tetapi diri kita sendiri. Selepas segala kebaikan Allah beri, mengapa kita tegar membalas kebaikan itu dengan maksiat?

Allah beri kita buat pilihan. Antara iman atau kufur. Antara taat atau ingkar. Antara patuh atau melawan. Tetapi balasannya juga jelas. Antara dua itu, ada syurga dan ada neraka. Lalu, selepas kita melawan dan ingkar, Allah masih berlaku baik kepada kita. Tidakkah masa untuk kita melafaz ‘maaf’ dan ‘taubat’ itu masih terbuka… sebelum pintu neraka Dia buka untuk kita?
    

October 10, 2011

Istiqomah.

Memang saya berhajat untuk menulis tentang program Ustazah Pilihan dan Solehah, tetapi saya sendiri belum pernah menonton hatta satu episod pun. Jadi rasanya sungguh tak adil untuk saya memberi penilaian kepada sesuatu yang saya sendiri belum pernah tonton. Maaf. InsyaAllah, saya akan tulis selepas saya berjaya menonton sekali.

Jadi, untuk kali ini... saya mahu bercakap tentang istiqomah.

Dah lama sangat saya tak membuat ulangkaji pada tajuk ini. Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk menulis berkaitan dengan istiqomah, kerana dalam masa saya menulis... saya dapat kembali mengkoreksi diri, dan seterusnya memperbaharui ilmu dan niat. Mudah-mudahan!

Sepertimana yang telah kita sedia ketahui, sesungguhnya istiqomah itu ialah satu perintah dan satu kewajipan kepada setiap individu muslim. Dalilnya... setiap hari jumaat, khatib berpesan; "Janganlah kamu mati melainkan kamu ialah seorang muslim"

Ayat itu bermula dengan 'ya ayyuhallazii' yang bermaksud, satu seruan daripada Allah kepada setiap manusia yang beriman untuk bertaqwa dan jangan mati selain daripada kematian sebagai seorang muslim.

Yang jelas, kita takkan mampu untuk mengelakkan diri daripada diburu kematian tetapi kita boleh sahaja untuk bertaqwa dan menjadi muslim. Maka, perintah yang sebenar ialah supaya kita istiqomah menjalani penghidupan sebagai muslim dan mati, sebagai seorang daripadanya.

Kiranya, ia tugasan yang mudah tapi hakikatnya ia sukar sekali. Sangat sukar kerana ada syaitan dari kalangan jin, dan syaitan dari kalangan manusia... sedang menjerat kita! Itu belum lagi kerana campur tangan nafsu serakah dan fitnah duniawi yang berleluasa. Oh! Teringat pesan Imam Ghazali; sesiapa yang tidak merasa risau yang akidahnya sedang diancam, maka itu petanda bahawa akidahnya memang sedang diancam.

Ironis bukan? Sesiapa yang sudah merasa cukup selamat, dialah yang sebenarnya sedang terancam!

Kembali kepada tajuk... Seperti yang kita dah lama tahu, maksud 'amal yang terbaik' ialah amal yang sedikit tetapi dilakukan secara berpanjangan dan konsisten. Ada hadis berkenaan dengan itu, sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina Aisyah r.anha.

Saya sebenarnya seringkali memerhati, betapa manusia... termasuklah saya, sangat gagal dalam bab hendak konsisten melakukan kebaikan. Contoh mudah, bulan ramadhan. Jika semasa bulan ramadhan ini, kita boleh bersolat sehingga 20 rakaat sehari secara berjemaah, tetapi mengapa di luar ramadhan... kita liat sangat hendak datang kepada solat berjemaah? Kalau bulan ramadhan, kita boleh bersedekah, kenapa di luar ramadhan, tangan kita kejang untuk menghulur?

Sangat ironi!

Jadi, bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan istiqomah?

Pertama- kita perlu memperbanyakkan bacaan doa-doa khusus.
Kalau saya, saya lebih suka membaca doa di dalam bahasa melayu saya memang bodoh dalam bahasa arab. Tak faham. Jadi baik saya berdoa dalam doa yang saya faham. Kerana bagi saya, doa ialah pengaduan, pengharapan, dan rintihan kepada Allah. Seseorang takkan merayu dan meminta untuk sesuatu yang dia sendiri tak tahu... kan? Samalah. Berdoa sebenarnya bukannya nak paksa Allah tunaikah permintaan kita. Tidak! Siapa kita hendak memaksa Allah tunaikan kehendak kita! Tetapi berdoa sebenarnya ialah lambang kehambaan supaya kita berasa nilai kita, berasa hina, berasa harap kepada Allah.

Kedua- Berteman dengan orang yang baik-baik.
Kawan kita ialah diri kita yang satu lagi. Mereka akan mempengaruhi kita, luar dan dalam. Kerana itulah kita perlu memilih kawan-kawan yang baik. Sifirnya mudah sekali; kawan yang baik pasti akan mengajak kita kepada kebaikan manakala kawan yang tak baik, akan membawa kita ke jalan yang sebaliknya. Harus diingat juga bahawa antara kawan baik dengan kawan yang baik, wujud satu dinding yang utuh dan besar. Tak semestinya kawab baik itu baik, kerana ramai sahaja manusia yang jadi jahat sebab kawan! Dirosakkan oleh kawan sendiri!

Ketiga- Memperbaharui azam dan matlamat setiap hari.
Antara sebab lain mengapa orang islam ramai terkandas ialah kerana mereka tak punya keinginan yang bulat untuk kekal berada dalam kebaikan. Ini ialah tanda kita tak bersungguh-sungguh dan percayalah... tiada siapa yang rugi dengan sikap sambil lewa kita itu, melainkan kita sendiri yang rugi!

Keempat- Meraikan kejayaan untuk istiqomah.
Kalau syaitan boleh bergembira dengan kejayaan mereka menghalang-halang kita daripada jalan Allah, mengapa kita enggan bergembira dan bersyukur jika perangkap-perangkap mereka, berjaya kita patahkan? Salah satu sebab kenapa kita tak berasa seronok berbuat amal soleh juga ialah kerana kita tak mahu meraikan kejayaan membuat amal. Bila hati dah rasa tak seronok... tak suka... macam mana nak istiqomah?

Kelima- Sering bermuhasabah diri.
Yang ini penting. Kita perlu periksa diri kita. Takut-takut ada riak atau ujub yang tumbuh kerana daripada maksiat hati inilah, terbuka ruang dan peluang untuk syaitan memerangkap kita seterusnya menjauhkan kita daripada ketaatan kepadanya.

Keenam- Bayangkan ganjaran amal soleh.
Kita ingat satu saja. Allah tak berhajat kepada makhluk. Tetapi jika kita patuh kepada Dia, pasti kita akan bahagia tetapi jika kita tak mahu patuh, Allah tak rugi. Sebaliknya yang menyesal nanti itu kita!

Sudah selesai mengulangkaji. Jadi yang tinggal ialah mengulang amal sahaja.

Mudah-mudahan saya dapat istiqomah. Kalian juga, semua pembaca.
   

October 8, 2011

Sudah jahil, malas pula.

Beberapa minggu kebelakangan ini... banyak betul perkara yang telah terjadi pada dunia islam, terutamanya di Malaysia. Ada dua isu yang paling besar iaitu tentang hudud dan juga tentang program realiti TV, Ustazah Pilihan. Antara dua, yang mana satu saya perlu tulis dahulu ya?

Saya tak campak dadu. Jadi saya pilih untuk bercerita tentang hudud dahululah.

Saya sebenarnya sedih dengan apa yang berlaku. Kerana sebuah keputusan daripada Allah, manusia jadi makin berpecah. Sepatutnya, bila datang sebuah ketetapan daripada Allah, manusia jadi makin bersatu! Tetapi yang berlaku kini ialah yang sebaliknya.

Saya memandang punca utama yang menyebabkan berlakunya perpecahan ini adalah kerana masalah akar; tunjang iman!

Baiklah. Sebelum kita berbicara dengan lebih lanjut, molek rasanya jika kita melihat kepada situasi sebenar di Malaysia. Di Malaysia, telah wujud dua kelompok muslim yang paling besar. Satu kelompok yang berkeras mahukan hukum hudud dilaksana dan ditegakkan, dan satu golongan lagi, menolak dengan seribu satu macam alasan.

Malangnya, golongan yang menolak itu golongan yang sedang memegang tampuk pemerintahan di negara ini.

Saya, ada beberapa perkara yang mahu komen. Pertama, berhubung dengan pendirian PAS yang mahukan hudud dilaksanakan. Pelik juga, mengapa dalam keadaan umat islam di Malaysia ini jahil tahap kosong, mereka melatakkan hudud sebagai benda yang perlu capai dengan segera?

Saya teringat, sebuah kisah tentang seorang sahabat Rasulullah S.A.W yang datang berjumpa Rasulullah dan mengadu kepadanya.

"Ya Rasul. Si fulan bin si fulan (seorang pemuda) itu bersolat, tetapi dia mencuri"

Lalu jawab Rasulullah, "Suruh dia bersolat, kerana nanti, solatnya akan mencegahnya daripada mencuri lagi"

Menarik sekali bila kita berpeluang untuk merenung ayat al-Quran pada surah al-Ankabut ayat 45: "...Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar..."

Jadi, dengan ayat yang satu ini, sudah terjawab persoalan kenapa malaysia ini ialah negara maksiat. Sebab daripada pemimpin, sampailah kepada kuli... ramai yang mengabaikan solat. Dan kalau bersolat pun, celam-celum sahaja! Berjemaah pun tidak. Bahkan, selalu di akhir-akhir waktu sahaja.

Saya suka untuk mengingatkan, betapa dalam beberapa situasi, manusia tidak diazab dengan perbuatan yang besar-besar, tetapi mereka diazab dek kerana perbuatan yang kecil sahaja. Antaranya ialah perbuatan melambat-lambatkan solat dengan sengaja!

Baiklah. Saya bukannya orang yang alim. Tetapi tahu juga, bahawa kewajipan untuk menegakkan hukum hudud ialah kewajipan umat islam sejagat. Pemerintah wajib melaksanakan, dan rakyat pun wajib menyokong!

Maknanya, kerajaan BN-UMNO wajib melaksanakan, dan PAS hanyalah wajib menyokong.

Tetapi kerana politik dan kuasa, hukum ini seperti sudah dimain-mainkan oleh tangan-tangan yang curang. Sebab apa?

Pertama, untuk apa kita meminta BN untuk melaksanakan hudud, jika mereka sendiri yang membuka ruang untuk rakyat melakukan dosa?

Pusat hiburan berleluasa. Hiburan melalaikan bahkan digalakkan. Sistem sekuriti yang lemah longlai. Rakyat tidak disuruh untuk bersolat. Majlis ilmu disekat. Wang dan sumber negara berputar pada golongan atasan. Arak dijual dimana-mana. Dan budaya songsang dari Eropah dan pelusuk bumi, dibiarkan tanpa sekatan.

Lalu, bagaimana mungkin PAS boleh meminta BN untuk melaksanakan hudud sedangkan hudud berada di hujung senarai yang saya sebut tadi?

Malaysia ini penuh dengan orang jahil. Selepas itu, penuh pula dengan orang pemalas. Malas nak belajar. Malas nak membaca. Dan malas nak berfikir. Selepas malas, Malaysia penuh dengan orang yang banyak bercakap. Dengan sesuka hati, mereka bercakap.

Dan akhir sekali, Malaysia penuh dengan orang yang keliru dan lalai.

Mengapa sampai kita perlu melangkaui step?

Kalau betul mahu hukum Allah dilaksana, maka kita perlu terlebih dahulu laksanakan pengisian jiwa dan otak. Dalam suasana masyarakat kita jahil tahap ayam, mengapa perlu ditakut-takutkan dengan hudud?

Bukannya kita tak tahu peranan akhbar Utusan Melayu terutamanya, yang suka sekali menjadi ejen perpecahan dan ejen kekeliruan. Oh! Risaunya saya jika ada ahli keluarga saya bekerja sebagai wartawan atau kartunis di dalam akhbar itu. Tetapi seperti biasa, bukan semua isi dalam akhbar itu merosakkan dan merbahaya, ada sesetengah sahaja... terutamanya yang berkaitan dengan islam. Kerana mahu 'mencantikkan' kerajaan BN, islam dimanipulasi sendiri. Saya ulang- sesetengah krew sahaja!

Sekarang, apa dah jadi?

Orang jahil dah ingat hukum hudud ini ialah hukum yang kejam. Bila mereka kata hudud ni kejam, automatik mereka jadi kafir! Kita hari ini, macam sengaja nak buat orang islam jadi kafir pula! Kafir... dalam keadaan mereka sendiri taj tahu mereka sudah kafir.

Dalilnya apa? Jika seseorang tak mahu melakukan satu kewajipan kerana dasar malas dan tak mahu, maka dia berdosa sahaja. Dosa boleh terampun dengan taubat. Tetapi kalau sudah sampai dia mempertikaikan kewajipan itu, maka akidahnya sudah gugur!

Manakala, golongan non-muslim pula sudah kata hukum hudud ini hukum yang kejam. Dan akhirnya, mereka menyimpulkan, "islam ialah agama yang kejam"

Padahal berderet step dan procedur yang perlu kita ambil sebelum kita mula menghukum. Saya ambil sedikit. Dalam pelaksanaan hudud, saksi dan bukti perlu 100%. Kalau di mahkamah sekarang, hakim tak menghukum dengan bukti yang 100% tetapi hakim cuma menghukum dengan bukti yang 'beyond reasonable doubt'. Kalau dalam islam, tiga orang saksi yang berserban kata 'ya dia berzina' tetapi seorang lelaki yang tak fasik tapi tak sampai tahap sufi kata 'belum', maka hukum yang disabitkan itu akan gugur. Samalah macam kalau hari ini, kereta kita hilang dan esok... kita nampak kereta itu depan rumah si fulan, maka tak boleh kita sesuka hati heret orang itu untuk dipotongkan tangannya. Boleh jadi orang itu dikhianat dan dianiaya! Buktinya belum ada. Banyak benda seperti 'kesilapan kerana membiarkan penjahat terlepas adalah lebih baik daripada kesalah menyebabkan orang tak bersalah dihukum' harus digunapakai. Juga, hudud bukan hukum untuk mencari-cari kesalahan orang! Kalau dia mengaku dia buat dosa dan mahu dihukum pun, banyak benda perlu ditilik. Adakah dia betul-betul waras masa mengaku?

Banyak! Islam tak kejamlah sayang... yang kejam itu undang-undang kita sekarang ni.

Uh! banyak lagi, tapi cukuplah sampai ini.

Sekarang... saya nak ulang kembali sejarah masa pemerintahan Umar bin Abdul Aziz. Sepertimana yang kita tahu, semasa pemerintahan khalifah Umar Bin Abdul Aziz, rakyatnya hidup dalam keadaan yang sangat-sangat baik! Hinggakan duit zakat, tiada siapa yang layak untuk menerimanya... kerana barakah yang Allah kurniakan kepada corak pemerintahan yang dikepalai pemimpin yang soleh- Umar Bin Abdul Aziz.

Tetapi beliau tidak implement hudud dengan sepenuhnya lagi hinggakan anaknya bertanya, "Wahai ayah, mengapa kau belum mahu melaksanakan hukum hudud lagi?"

Lalu Umar Bin Abdul Aziz menjawab, "Masanya belum sampai. Aku bimbang kalau aku tegakkan ia sekarang, maka ramai rakyat kita yang tak dapat menerimanya"

Dan perkara yang sama berlaku di Malaysia. Di saat hiburan berleluasa, orang ramai tak solat, orang ramai makan rasuah, kita nak menjerit minta hudud dilaksana? Untuk apa?

Kita tak belajar fiqah aulawiyat kut? Kita tak nampak kut keutamaan-keutamaan dalam islam kut?

Kalau nak bina rumah, kita kena bina tiang dulu. Hudud ialah umpama pagar. Pagar yang mencegah kita daripada ancaman dari luar rumah. Tapi kalau ada pagar sahaja, tak jadi rumah. Tiangnya mana? Oh! Tiangnya tiada sebab memang umat islam di Malaysia ini memang........ ah! tak sanggup saya nak habiskan ayat sendiri.

Saya memang sedang beremosi dan saya memang sudah sedia tahu, seorang yang profesional tak mungkin akan terbawa dan hanyut bersama emosinya saat menulis. Tapi saya tak profesional lagi.

Saya cuma seorang pemuda 21 tahun yang mahukan islam berada di tempat paling atas. Kalau caranya dengan hudud, maka saya akan sokong seratus-peratus! Tetapi saya tak nampak yang islam akan tertegak jika hudud dilaksanakan sekarang, kerana yang pasti... jutaan lagi umat islam yang jahil tahap ayam... yang tak nak mengaji... yang lalai dengan hiburan... dan ia disokong oleh pemimpin sendiri.

Kalau PAS ialah parti bapak saya, saya akan suruh PAS untuk minta BN untuk wajibkan rakyat solat berjemaah di awal waktu, dan wajibkan mereka belajar agama, selain daripada haramkan mereka mengunjungi pusat hiburan dan dalam masa yang sama, melakukan sekatan hiburan di televisyen dan internet. Jika semua itu sudah berlaku, barulah sampai giliran untuk hudud.

Tapi itulah... PAS bukannya parti bapak saya.
   
Ustazah pilihan, artikel lain. InsyaAllah.
       

October 4, 2011

Kerana aku lemah, aku menulis.

Hidayah, ibarat cahaya; ia tak menyapa kamar yang tidak dibuka jendelanya.
Dengan nama Allah, aku bermula dan dengan nama-Nya, aku berakhir. Segala puji hanya buat-Nya, dan segala harap, ku pusatkan buat-Nya. Apa yang bakal kalian baca sebentar lagi mungkin akan membuatkan darah kalian menggelegak, mungkin juga membuatkan jantung kalian berkocak. Bisa saja, mata kalian bertukar merah dan urat merih kalian timbul menyirat.

Yalah. Kita ini manusia biasa. Kita pasti takkan senang hati jika ada orang bercakap tentang yang buruk-buruk tentang kita. Biarlah perbuatan kita itu, sudah ditukarkan nama sebagai kritikan membina, nasihat, atau teguran... berilah apa saja nama pun, hati kita tetap takkan mampu untuk positif secara keseluruhannya.

Kerana itulah sifat kita, sifat aku juga. Aku sendiri tidak meletakkan harapan yang mencecah awan. Aku juga tak menggambarkan apa yang aku tulis ini sebagai nasihat. Tetapi cukuplah untuk Allah tahu, aku mencuba belajar bersyukur atas suatu yang Allah beri kepadaku, yang mungkin belum Allah beri pada kalian. Dan sahabat, maaf... aku mungkin terlalu segan untuk berbicara tentang cinta dengan setiap daripada kalian, tapi tahulah... sungguh hatiku ikhlas mencintai kalian, kesemuanya! Cinta sesama lelaki, hakikatnya lebih jujur dan lebih berpetunjuk, asal saja Allah menjadi tempat di mana sauh kita dilepaskan.

Sahabatku semuanya.

Aku teringat, ada sebuah hadis yang diceritakan oleh Muawiyyah r.a sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, tentang peristiwa yang pernah berlaku di masjid Nabawi, di Madinah. Suatu ketika, Rasulullah s.a.w masuk ke dalam masjid. Di sana, ada satu kelompok kecil para sahabat sedang duduk dalam satu bulatan, seakan berbincang. Lalu, Baginda mampir dan bertanya kepada mereka.

"Atas sebab apakah kalian berkumpul?"

Lalu jawab para sahabat Rasulullah yang berada di situ, "Tidak ada apa-apa, wahai Rasulullah. Kami cuma duduk mengingat-ingat akan masa silam kami... masa kami belum dapat hidayah dahulu"

Rasulullah kembali mengulang soalannya. "Bernarkah sebab itu sahaja?"

Jawab mereka lagi, "Benar ya Rasululullah. Kerana ini sahaja"

Lalu Baginda menyambung bicaranya, "Sungguh, aku tak meminta kalian untuk bersumpah dengan nama Allah, atas prasangkaku kepada kalian. Tetapi sebenarnya tadi, Jibril a.s telah datang kepadaku dan mengkhabarkan bahawa Allah sedang berbangga tentang kalian dihadapan para malaikatnya"

Kalian faham apa yang aku faham?

Aku faham, betapa nikmat hidayah itu besar nilainya... mahal juga harganya. Kita tak boleh rasuah Allah untuk mendapatkan hidayah, tetapi kita boleh melobi Allah untuk diberikan hidayah. Jangan berhenti membaca, nanti kalian akan salah faham pada penyataan aku tadi.

Begini...

Orang selalu kata, "Ah... belum sampai seru", atau "Nak buat macam mana... belum dapat hidayah lagi". Kalau dipandang pada layer yang pertama, "betul juga apa aku kata tadi", tapi kalau dilihat kepada layer yang berikutnya, pasti kalian akan menelan hadam kembali kefahaman dangkal kalian tadi. Maaf kerana menggunakan perkataan dangkal. Tapi hakikatnya, memang begitu pun.

Hidayah perlu dicari! Kita perlu faham, bahawa hidayah ini ialah karbohidrat bagi jiwa. Sebagaimana jasad kita perlukan tenaga untuk bergerak, jiwa kita dan iman kita juga perlu diberikan tenaga agar ia punya kekuatan untuk berperanan seperti yang sepatutnya.

Sebenarnya, apa peranan iman kepada kita?

Ramai yang tak tahu, apa peranan iman. Ramai juga belum tahu, apa pula peranan kita, manusia di muka bumi ini! Adakah kita, Allah ciptakan untuk score 4 flat? Adakah kita, Allah ciptakan untuk jadi engineer, kumpul duit dan aset bernilai satu semesta? Atau, adakah Allah ciptakan kita untuk menjadi ahli sukan yang terkenal, atau apakah Allah ciptakan kita untuk menjadi artis atau menjadi public figure?

Pasti jawapannya tidak. Fungsi ultimate kita ialah untuk menjadi hamba Allah- beribadah dan taat kepada segala perintah dan petunjuknya, juga menjadi pengaman, pentadbir, dan pemakmur alam buana ini.

Baiklah. Benda itu mungkin terlalu besar untuk kita.

Tapi, kita perlu tahu yang segala-galanya bermula dengan hidayah. Aku teringat kata-kata Ibn Athoillah dalam kitab al-Hikam, pada pesanan ketujuh.

"Apabila Allah telah membukakan salah satu jalan makrifat (mengenal Allah) bagimu, maka jangan hiraukan mengapa ia terjadi, walaupun amalmu saat itu masih sangat sedikit. Allah membukakan pintu itu bagimu hanyalah kerana Dia ingin memperkenalkan diri kepadamu. Tidakkah engkau mengerti, bahawa makrifat itu merupakan anugerah-Nya kepadamu? Sedang engkau mempersembahkan amal-amalmu kepada-Nya? Maka, apalah ertinya apa-apa yang engkau persembahkan kepada-Nya itu, dengan apa apa yang dianugerahkan oleh Allah kepadamu"

Kata ulama tersohor, Ibn Athoillah... mengenal Allah ialah suatu keperluan asasi; seperti oksigen bagi manusia, seumpama air bagi ikan, dan seperti tanah bagi tumbuhan. Dan... peluang dan kekuatan untuk mengenali Allah (makrifat) itu pula ialah anugerah Allah yang paling agung!

Sebab itu, aku suka untuk mengajak kalian semua kenal Allah. Dan caranya, inilah yang mahu aku sebarkan. Harap kalian sudi sebarkan kepada yang selainmu. Ingat, tadi aku bercakap soal melobi Allah. Adakah wajar dan berupaya, untuk hamba hina umpama kita... melobi Allah?

Pasti jawapannya tidak. Allah Maha Suci daripada sifat-sifat makhluk yang punya kelemahan.

Sebenarnya, aku sedang bercakap tentang cara menarik hidayah dari tingkat langit, agar buah dari langit itu dapat kita tanam dan semai dalam dada hamba.

Sahabat, mari kita semak amal ibadah kita. Aku tak ajak kita untuk melihat pada amal sunat, kerana gagal ialah suatu yang berkemungkinan besar menanti kita sebagai jawapannya. Tetapi, lihatlah bersama akan solat kita. Bagaimana solat kita?

Berjemaah, atau sendirian? Kita bersolat dengan ilmu, atau sekadar ikut-ikutan?

Kita tak sedar... betapa kita perlu ada ilmu dalam setiap amal dan perbuatan kita. Ilmu ialah fondusi. Ilmu ialah nyawa dan roh kepada amal kita. Kalau kita beramal tanpa ilmu, kita cuma membuat kerangka tanpa isi.

Tapi masalahnya, kita tak suka menuntut ilmu! Masalah kita, tunjangnya ada di sana. Kita sendiri ialah masalah kepada masyarakat, dan pasti... kita sendiri ialah petualang keatas kegoblokan diri kita sendiri. Kita malas, kita berasa serba cukup, dan entah apa-apa lagi sebabnya.

Sahabatku...

Aku tak tahu dengan ayat apa lagi aku perlu bercakap, dengan struktur bahasa yang bagaimana lagi, jariku boleh menaip tetapi cukuplah kalau selepas artikel yang panjang (sebenarnya ialah luahan rasa) ini, kalian dapat menangkap satu atau dua point utama, yang cuba aku sampaikan- iaitu hidayah perlu dicari.

Untuk kehidupan dunia, kita cari makanan... kita cari wang... kita cari, segala macam perkara. Tetapi untuk kehidupan akhirat, kita tak berkeinginankah untuk mencari redha Allah?

Keinginan itu takkan terbit, tanpa ada hidayah yang menyentuh ulu hati kita. Sungguh!

Dan hidayah itu takkan membijik tumbuh, tanpa kita sendiri yang berusaha untuk mendapatkannya.

Dekatilah masjid surau. Bila orang azan, itu tandanya Allah sedang mengajak kita kepada hidayah, maghfirah, makrifat, dan hikmat. Penuhilah ajakan solat berjemaah. Dan bila diumumkan ada majlis agama, ambillah masa dan duduklah sebentar. Siapa tahu, dalam sela masa yang kalian habiskan dengan online, tengok movie, dan segala macam perkara itu... Allah tarik nyawa ibu bapa kalian?

Kita susah untuk membayangkan kita mati. Rasional- kita muda. Walaupun muda pun boleh mati, tapi kesan pada hati remaja pasti tak sama. Maka, mari kita ingat bersama tentang ayah dan ibu kita.

Tidakkah ibu bapa kita mahu kita jadi manusia yang berguna? Ingatlah itu. Ibu bapa kita akan bangga jika anaknya mahukan agama, sebab agama sudah menjadi suatu yang jarang diluahkan pada mulut mereka... tapi hati mereka takkan boleh berhenti berbicara rasa tentang kita.

Aku, kalau terasa sisi gelap aku memanggil-manggil, aku akan ingat balik kepada mak dan ayah aku. Tidakkah aku perlu jadi orang baik?

Dan kalian...
Maaf kiranya apa yang aku tulis ini mengganggu. Layanlah aku seperti biasa, kerana aku akan layan kalian seperti aku tidak ada menulis apa-apa pasal ini. Aku senyum, dan aku harap kalian sudi membalas senyuman aku itu.

Maaflah kerana bukan semua benda aku boleh sampaikan dengan bahasa mulut. Aku tak kuat. Aku bacul, penakut dan pengecut. Sebab itu, aku berharap kau semua boleh mendengar bahasa tulisan, sebab ini ialah suara aku!

Salam kemaafan. Walaupun pahit, kita tetap kawan. Tetap bersaudara.

     

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails