November 29, 2011

Doa dan nasihat.

Dalam hadis 40 susunan Imam Nawawi, ada sebuah hadis yang berbunyi, "Agama itu nasihat." Hadis itu menyenaraikan bentuk-bentuk nasihat itu; iaitu kepada siapa. Salah satunya ialah kepada orang awam seperti kita.

Dan hari ini, kita telah melangkah ke tarikh 4 Muharram 1433 Hijrah. Maknanya, sudah masuk hari yang keempat kita diberikan ruang dan peluang untuk bernafas di tahun yang baharu. Terima kasih kepada Allah.

Pertama sekali, artikel kali ini ditulis bukanlah untuk memecah belahkan masyarakat. Jauh sekali untuk saya membawa kalian kepada terjebak ke dalam perpecahan. Pun begitu, saya berada dalam keadaan separuh terpaksa untuk menulis artikel ini walaupun saya sedar, di sebalik kebaikannya, ada juga nilai-nilai yang kurang enak, terutamanya bertitik tolak kepada kesatuan ummah. Maka, saya merayu dan memohon dengan merendah diri agar kalian membaca susunan ayat ini dengan jiwa yang besar juga hati yang basah dengan mahabbah.

Saya mahu berbicara tentang satu isu cabang; doa akhir tahun dan doa awal tahun, sunnahkah?

Sejak saya masih di bangku sekolah hingga kini, di pelantar kerjaya... saya sudah terdedah dengan amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun. Dan pada hemat saya, ia memang satu amalan yang bagus. Tetapi... ada beberapa perkara yang bersabit dengan amalan ini yang seharusnya kita ambil sedikit masa kita, tarik nafas... dan kemudiannya sama-sama bermuhasabah.

Di dalam islam, asal kepada setiap perkara yang bukan ibadah ialah harus melainkan ada dalil yang mengharamkannya. Sebagai contoh; makan. Kita boleh makan apa-apa sahaja yang kita suka, kecuali bahan-bahan yang tertera dalil (bukti) pengharamannya, seperti babi, bangkai, darah, harta anak yatim, harta riba... dan lain-lain. Senarainya boleh tahan panjang juga tapi tetap... yang halal itu jauh lebih banyak untuk kita pilih mengikut selera kita.

Dan di dalam islam juga, asas kepada ibadah ialah haram, melainkan ada dalil (bukti) yang membenarkannya. Sebagai contoh; ibadah solat. Di mana dalilnya? Senaraikan sahaja. Dalam al-Quran ada... dalam hadis dan perilaku sunnah Baginda juga ada.

Tapi, untuk amalan membaca doa awal tahun dan doa akhir tahun, ada dalil tak?

Entahlah. Setakat yang saya belajar, saya bertanya, dan saya membaca... dalilnya ada. Cukup konkrit juga, iaitu pada ayat 60 surah Ghafir. Kata Allah, "Berdoalah kepada-Ku. Nescaya Aku akan perkenankan permintaanmu".

Juga pada ayat ke 186, surah al-Baqarah... Allah berfirman, "Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaku"

Nah! Dua dalil pun sudah cukup bukan? Tetapi... yang disebut ialah berdoa. Ya. Tidak disebut pula perkataan akhir tahu atau awal tahun? Aneh ya. Jadi... wujud atau tidak amalan membaca doa di awal tahun dan akhir tahun ini?

Saya tiada jawapan. Allah lebih mengetahui. Tetapi bagi saya, berpegang dengan kedua-dua ayat al-Quran di atas... saya cenderung untuk mengatakan bahawa tidak ada masalah sekiranya kita mahu membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun. Lebih-lebih lagi, para ulama silam di nusantara sendiri telah lama mengamalkan amalan ini bahkan mewariskan pula dari satu generasi ke generasi yang datang kemudiannya. Kebaikannya jelas terpampang; iaitu kita tak terlupa bahawa kita sedang melangkah ke tahun islam yang baharu... walaupun di saat-saat dan ketika yang lain, kita terdorong untuk lebih mengingati tahun masihi dan melupakan langsung tahun hijrah; tahun islam. Ada benar atau tidak kata-kata saya?

Cuba hadam.

Maka, dengan sendirinya kita tak boleh meletakkan sebarang hukum kepada amalan membaca doa akhir tahun/awal tahun ini. Pertama sekali, Allah menyuruh kita untuk memperbanyakkan doa. Dalam hadis bahkan disebut bahawa doa itu senjata muslim. Tetapi itu bukanlah dalil yang menyatakan bahawa kita wajib melafazkan doa akhir tahun dan doa awal tahun!

Sebabnya mudah. Tidak ada dalil yang khusus tentang itu. Bahkan, tahun islam itu sendiri mula disusun di zaman pemerintahan Umar al-Khattab, dan tidak pula direkodkan dalam mana-mana riwayat bahawa beliau, atau Saidina Usman, atau juga Saidina Ali ada mengamalkan doa khusus akhir tahun dan awal tahun. Tiadak bukan? Jika anda ada bertemu dengan dalilnya, silalah lampirkan. Saya sangat-sangat mengalu-alukannya.

Oleh sebab itu... sudah terang lagi bersuluh bahawa amalan berdoa itu ialah suatu yang dituntut sepanjang masa, tidak kiralah pada remang-remang akhir tahun atau di sayup-sayup awalnya tahun baharu. Lalu, timbul persoalan. Antara berdoa dengan tidak berdoa, mana yang lebih baik?

Jawab saya, berdoa adalah lebih baik DENGAN SYARAT... anda tidak hanya berdoa di awal tahun dan di akhir tahun sahaja. Selepas daripada melafazkan dua doa itu, anda sepi, membawa diri dengan rasa cukup... seterusnya membawa diri anda kepada satu makam yang tinggi- 'Aku tak perlu berdoa. Tak ada sebab aku perlu berdoa!'

Inilah dia masalahnya. Dan bagi sesetengah orang... ini masalah kecil yang membawa kepada perpecahan masyarakat. Tapi bagi saya, ia bukan perkara kecil dan ia juga bukan perkara yang membawa kepada perpecahan, asal saja kita faham agama ini. Islam bukannya agama tradisi- sebaliknya ia adalah agama yang sudah sempurna; ditinggalkan oleh seorang Rasul yang terakhir, al-Quran yang tak pernah silap dan sunnah-sunnah yang tak pernah tidak releven.

Saya cuma ditugaskan untuk membuka mata kalian, sebagaimana Nabi Ibrahim bertugas untuk membuka mata kaumnya. Saya mahu kita semua sedar semula, mengapa pada sebuah amalan yang tidak ada dalil yang jelas... kita berebut-rebut dan bersungguh-sungguh benar untuk melaksanakannya? Sedangkan pada amal-amal yang ada dalil yang jelas seperti tahajjud dan lain-lain, kita mundur dibelakang?
Berdoa ialah amalan sepanjang masa; tidak terhad kepada masa dan tempat. Berdoalah di mana-mana sahaja dan bila-bila sahaja. Dan awas! Jangan sesekali kita melatakkan hukum wajib kepada amal ini (iaitu amalan membaca doa awal tahun/akhir tahun) kerana sekiranya kita meletakkan hukum wajib atau haram pada sesuatu yang Allah dan Rasul-Nya tidak mewajib dan mengharamkan, maka kita telah 'menggubal' agama ini. Dan kita pada ketika itu telah berbuat kemaksiatan dan kerosakan yang sangat besar.
Itu bahan pertama. Dan ini pula ialah bahan kedua- Saya nak membawa kalian menilai antara dua komen ini.

salam. Silapnya kita, apabila sakit bertanyakan penyakit pada pharmacist. Apabila ingin mendapatkan maklumat tentang ubat, kita persoalkan pada doktor. Sepatutnya, apabila perlukan sesuatu hukum tanyalah pada pada yang pakar dlm syariah dan usul fiqh dan sumbernya dr yang pakar hadis. begitulah disiplin ilmu yg sebenrnya. para ilmuan kini lebih sibuk berbicara yg furuk yg tiada dlm mengharamkannya secara qat'i tanpa adanya disiplin. dan yg baru mengarang snaskah buku sibuk yg itu xboleh, yg ini tak boleh... tp tanggal 31disember, hampir tiada yg berbicara kenapa perlunya anak muda kita terlompat2, terkinja2 di dataran merdeka, di hampir semua stesen Tv. Tidakkah itu masalah akidah yg perlu dijauhi kerana meraikan tahun kristian?"

Ini komen kedua...

akh Iqbal Syarie, bagi azam yg faqir ini, dengan penuh hormat,adalah kurang baik menyebarkan video ini...takut menimbulkan perbalahan dan pecah belah.. sedangkan dalam buku Indahnya Hidup Bersyariat oleh Ust Ismail Kamus pun ada ditulis amalan ini... ianya amalan para ulama.. insyaAllah kheir.. hatta walau ianya bid'ah, ianya termasuk dlm bid'ah hasanah yg menepati usul syariat insyaAllah..kurang sopan jika nisbahkan amalan ini kpd syi'ah.. wallahua'lam.. peace =)
Kedua-dua komen ini ialah respon kepada sebuah video yang saya kongsikan di internet. Kalau teringin nak menonton, anda boleh menontonnya di sini. Dan kedua-dua komen adalah berkait rapat dengan mukaddimah artikel ini iaitu berkenaan dengan nasihat.

Komen pertama datang daripada seorang kenalan jauh saya. Entah mengapa, nasihatnya sangat tersasar. Sudahlah dia bertindak tergopoh-gapah tidak membaca komen-komen di atasnya, di mana sebelum beliau komen... saya dan teman-teman yang lain sudahpun selesai berbincang dan menemui kata putus, sebagaimana artikel yang baru anda baca di atas tadi.

Dan hamba Allah ini, dengan tidak memerhati (membaca), terus komen dan pada saya, komennya sangat kurang ajar. Mengapa perlu dia menyatakan 'baru karang senaskah buku sudah kecoh itu tak boleh, ini tak boleh'. Heh. Di mana kaitannya? Sejak bila saya jadi seperti golongan 'itu' yang sedikit-sedikit.... "ini tak boleh!", "ini bida'ah semua ni"... dan seumpamanya. Sejujurnya, ada tak saya begitu? Saya bukan ekstremis agama (insyaAllah) yang tugas saya seperti polis yang hanya tahu 'menghukum' orang. Saya bukan SB, jauh sekali penguatkuasa ISA yang tangkap orang tanpa bicara!

Inilah kali pertama saya bercakap tentang benda furuk, terus saya dilabel sebagai '...kecoh itu tak boleh, ini tak boleh'. Sedihnya!

Dan yang menambah garam pada luka ialah bilamana dia mengatakan 'tp tanggal 31disember, hampir tiada yg berbicara kenapa perlunya anak muda kita terlompat2, terkinja2 di dataran merdeka, di hampir semua stesen Tv. Tidakkah itu masalah akidah yg perlu dijauhi kerana meraikan tahun kristian?'. Soal saya, adakah pada matanya... saya begitu? Seakan-akan saya 'memilih' kemungkaran untuk dicegah. Semacam saya tak cegah semua, saya cegah benda-benda terpilih sahaja.

Sedih itu memanglah. Dan pada awalnya, saya tak mahu pun menulisnya disini. Saya mahu kambus, dan tutup rapat-rapat masalah ini hingga busuknya pun tak berbau. Tetapi ada sebabnya saya kongsikan di sini. Sebentar lagi anda akan tahu.

Berkenaan dengan komen kedua, walaupun adik saya Azzam Husni ini juga meninggalkan komen selepas perbincangan di Facebook kami menemui kata putus, tetapi saya berasa sangat sejuk di hati bila membaca kata-katanya. Mengapa?

Kerana saya boleh membaca kesopanan dan kejujuran adik Azzam ketika menulis komennya. Dan ia sebenarnya ialah satu elemen yang sangat penting iaitu hikmah. Dan inilah sebabnya saya membawa isu ini disini. Untuk kita nilai sendiri bagaimana bentuk-bentuk nasihat yang baik dan bagaimana pula bentuk-bentuk nasihat yang baik pada isinya, tapi buruk pada cara pemberiannya.

Dan saya tahu benar, bahawa walaupun sebaik manapun nasihat yang kita beri.... jika dicemari dengan kekasaran, salah faham, tidak benar, tidak jujur, dan lain-lain... maka orang tidak akan ambil peduli. Lebih menakutkan, ia juga boleh mengundang kepada rasa marah untuk bermukim di hati si penerima nasihat, seterusnya boleh membawa kepada tercetusnya perang dingin. Dan inilah salah satu sebab mengapa dakwah kita tak berkesan- iaitu kerana kita bodoh dalam seni memberi nasihat.

Berilah nasihat dengan lemah lembut. Cakaplah perkara-perkara yang berkaitan sahaja. Rendahkanlah diri anda semasa memberi nasihat. Jangan sesekali menaikkan diri anda. Dan paling utama, elakkan daripada bercakap tentang perkara yang tidak benar kerana ia adalah elemen fitnah yang terbesar. Bimbang-bimbang nasihat yang berpahala pada hukum asal... dikira berdosa pula selepas ia terlontar keluar dari balik dua kelopak bibir kita.

Dan peristiwa ini sangat besar pengajarannya kepada saya.
Terpulanglah kepada anda bagaimana mahu memahami artikel panjang ini kerana saya tak menulis untuk menjauhkan anda daripada Allah.
:) 
     

November 24, 2011

Ukhwah Fillah al Islamiyyah

Pertama kali bertemu dengan mereka, hati ini rasa dipagut untuk berbicara tentang ukhuwah. Entah mengapa, tapi saya yakin itu ialah rencana-Nya sedang saat dan tika itu, saya langsung tidak bersedia dengan point, idea dan buah fikir. Namun, bila memandang wajah-wajah jernih mereka, benar... hati ini sangat dipanggil.

Ikhwah fillah sekalian.

Bagaimana kalian mendefinasikan makna persaudaraan di dalam islam?

Saya memaknakan ia sebagai sebuah hubungan istimewa yang terjalin antara jiwa-jiwa manusia yang luhur, untuk saling mencintai kerana Allah, dan membenci juga kerana Allah.

Maksudnya apa?

Mudah. Kamu menyayangi saudaramu kerana Allah mencintainya dan kamu membenci dia sekiranya saat dan tika itu dia sedang dibenci oleh Allah.

Dua elemen ini perlu wujud- cinta dan benci. Ramai yang keliru dengan pra syarat kedua iaitu membenci kerana Allah. Maksudnya di sini ialah membenci setiap benih-benih maksiat yang dia cuba semaikan dalam hatinya, tetapi dalam masa yang sama kita dilarang untuk membenci dia kerana 'dia ialah dia'. Tuntasnya, yang dibenci itu ialah maksiatnya bukannya peribadinya.

Berbicara tentang cinta dan benci sebagai tunjang ukhwah, saya teringat kisah Abdul Rahman bin Auf yang pernah ditawarkan dengan separuh harta dan salah seorang isteri sahabat Ansar bernama Saad bin Rabi'. Apa yang membuatkan Saad Bin Rabi' begitu kasih akan Abdul Rahman Bin Auf... sedangkan antara mereka, tiada pertalian darah?

Jawapannya dipateri pada ayat 10 surah al-Hujurat yang bermaksud, "Sesungguhnya setiap muslim itu bersaudara"

Sekalian mereka mengerti bahawa untuk melakukan kejernihan perhubungan persaudaraan sesama muslim, itu adalah sebuah kewajipan sama seperti perintah-perintah Allah yang lain. Oleh kerana mereka mengerti ia adalah perintah Allah yang bermakna wajib untuk diimplimentasi, maka mudah bagi mereka untuk segera taat. Itu mereka, kita bagaimana?

Dalam kitab ahya ulumuddin, Imam al-Ghazali menggariskan bahawa tingkatan ukhuwah yang paling rendah ialah kita mampu untuk berlapang dada sesama saudara. Mengapa berlapang dada?

Perhatikan ayat Allah dalam ayat yang sama, sambungannya... "Maka perbaikilah hubungan saudaramu yang berselisih"

Fikirlah, jika pada seseorang individu muslim itu tiada padanya sifat berlapang dada, maka dari celah manakah dia mampu untuk memperbaiki dan memperelokkan hubungan? Tidak. Nescaya kita tidak akan mampu.

Saya teringat kata-kata seseorang kepada saya, tentang orang Yahudi. Katanya... pada orang Yahudi yang Allah laknati mereka itu, sebenarnya ada satu sifat yang sangat-sangat terpuji yang patut kita contohi- iaitu sifat membantu. Sesama mereka, mereka sangat membantu. Seolah-olah kata-kata Rasulullah bahawa muslimin ialah umpama binaan yang saling melengkapi itu ditujukan kepada mereka!

Kita boleh lihat bagaimana ukhuwah fillah al-islamiyyah mengajar kita untuk saling membantu dan menyokong. Dalam peristiwa hijrah sendiri, bilamana Abdul Rahman Bin Auf memulakan perniagaannya di pasar Madinah yang pada saat dan ketika itu dimonopoli oleh kaum Yahudi... dengan tempoh yang singkat sahaja, perniagaan beliau berkembang maju. Pesat sekali! Puncanya ialah kaum muslimin membantunya. Mereka tidak memilih barangan Yahudi sebaliknya memilih barangan muslim?

Ini ialah suatu peringatan sinis buat kita yang suka bertawaf di pusat beli belah milik kaum kuffar. Ini juga nasihat santai buat para penggemar syarikat makanan yang dinaugi oleh kaum kuffar. Tidak salah lagi- ekonomi umat islam mundur kerana kita sendiri yang tidak membantu bahkan kitalah yang menjatuhkannya!

Padah bakal menanti kaum muslimin yang tidak memahami prinsip ukhuwah kerana nanti dia akan menjadi ejen perosak! Dialah orangnya yang akan menjatuhkan semangai saudaranya. Dan dialah yang akan memandulkan impian saudaranya!

Saya memang bukan orang yang terbaik untuk berbicara perihal ukhwah tetapi saya cuma faham satu.

Kita ialah ummat terpilih. Kita diberikan hidayah islam. Kita ada saudara. Jika bukan kepada saudara kita, kita mahu sayang... lalu kepada siapa? Kerana antara kita sedar atau tidak, saudara kita inilah yang akan menjadi jiran kita di akhirat nanti. Jika kita tidak mula menyayangi saudara kita, bimbang-bimbang nanti kita tidak akan bersama-sama mereka. Sebaliknya kita akan berkumpul bersama-sama dengan fasikin, munafikin dan kafirin. Padanlah, kerana dahulu kita mengangkat mereka menjadi saudara! Nauzubillahi min zaalik.

Ala kulli hal,
Ana sayang antum :)
   

November 20, 2011

rant- sibuk.

"Aku sibuk lah"

"Sibuk apanya?"

"Ni! Tak nampak ke aku tengah buat apa ni?"

"Kau sedang online. Jadi?"

"Jadi aku sibuklah!"

"Sibuk berfacebook?"

"Silap tu! Main game dan facebook. So, sila ajak orang lain ya"

Orang-orang begini masih tak faham maksud sibuk. Oleh itu, satu ayat Allah nampaknya sesuai benar- "Setiap orang dari mereka pada hari itu (iaitu hari kiamat) mempunyai urusan yang menyibukkannya"- surah 'Abasa ayat 37.

Jadi kalau kita rasa kita sudah sibuk hingga tak ada masa nak cari akhirat, maka itu petanda awal yang kita akan sibuk di akhirat- sibuk mencari jalan untuk menyorok daripada azab Ilahi.
 
Tapi, mampukah?
 

November 17, 2011

Short note 2

Tahun-tahunku yang berlalu ialah seumpama sebatang pokok, bulan-bulannya ialah dahan, rerantingnya ialah minggu-mingguku, dan hari-hariku ialah dedaunnnya. Manakala setiap hembusan nafasku ialah buahnya. Jika buah dari pokok ini ialah ketaatan, maka rasanya adalah manis dan sedap. Namun, jika buah daripada pohon ini ialah keingkaran, maka rasanya sangat pahit dan menjelekkan. Kehidupanku ialah masa aku menanam, manakala akhirat nanti ialah masa untuk menuai hasil buah kehidupan- manis atau buruk.

Makanya, usahlah kita mempersia-siakan sisa masa kita dengan banyak bermaksiat kerana semua kita seringkali meminta ganjaran yang manis, bukan?

Jika kita sudah meminta yang begitu, mengapa tidak perlu berusaha seperti yang begini?
        

November 14, 2011

Short note 1

Saya terfikir, Rasulullah tak pernah menyuruh para sahabat untuk melakukan sesuatu, sebelum baginda sendiri yang terlebih dahulu berdiri dan melaksanakan perbuatan itu. Dan Baginda juga tak pernah melarang para sahabat daripada melakukan sesuatu sebelum baginda sendiri yang meninggalkan perbuatan itu.

Lalu, kita pula bagaimana?

Saya yang 'pom pam' sini sana rupa-rupanya seorang yang gagal.

Maafkan daku, Ya Rasul.
 

November 8, 2011

Bahana Nafsu

Sudah terang lagi bersuluh, memang terdapat banyak punca yang membawa manusia kepada jalan neraka. Dan dalam yang banyak-banyak itu, kita boleh mengklasifikasikan dan pecahkan ia kepada dua kumpulan utama. Yang pertama, kerana kita terlalu mengikuti hawa nafsu kita dan yang kedua, kerana kejahilan kita.

Sesungguhnya, jika seseorang itu mampu untuk melawan atau mengusai hawa nafsu serta meroboh tembok kejahilan, maka dengan sendirinya hijab atau penghalang bagi dirinya untuk mencintai Allah akan terbuka. Seluas-luasanya. Subhanallah!

Kita lihat punca yang pertama dan utama, iaitu kerana hawa nafsu. Nafsu yang diciptakan oleh Allah ini punya sejarah yang sangat unik. Diriwayatkan, selepas Allah menciptakan akal, Allah perintahkan akal untuk datang mengadap. Lalu ditanyakan kepada akal, “Siapa kau dan siapa Aku?”. Lalu dijawab oleh akal tadi, “Kau ialah Tuhan dan aku ialah hamba-Mu”. Kemudian, Allah memanggil pula nafsu. Ditanyakan kepada nafsu soalan yang sama yang ditanyakan kepada akal sebentar tadi. “Siapa kau dan siapa Aku?”. Dengan sombongnya nafsu menjawab, “Kau ialah kau dan aku ialah aku”. Allah jadi murka dan Dia siksa nafsu ke dalam neraka untuk satu tempoh masa yang panjang. Kemudian Dia memerintahkan malaikat untuk mengadapkan nafsu kepada-Nya, dan diajukan kembali, “Siapa kau dan siapa Aku?”. Masih berkeras, nafsu menjawab, “Kau ialah Engkau dan aku ialah aku!”. Sekali lagi dia dimasukkan dalam neraka utuk satu tempoh masa yang panjang. Dan sesudah itu, Allah sekali lagi memanggil nafsu dan bertanya soalan tadi. Walaupun sudah diazab dalam neraka, nafsu masih lagi bongkak dan memberi jawapan yang sama seperti. Lalu, kali ini Allah memasukkan nafsu ke dalam neraka sejuk. Dibiarkan nafsu kelaparan untuk tempoh masa yang panjang lagi. Selesai, lalu Allah bertanya kepada nafsu yang sudah tidak lagi bermaya itu. “Siapa kau dan siapa aku?” Kali ini, nafsu yang sudah lesu itu menjawab, “Kau ialah Tuhan dan aku ialah hamba”

Kisah ini menunjukkan betapa nafsu yang Allah selitkan dalam diri kita ini adalah tersangat degil. Oleh kerana Allah Maha Mengetahui akan sifat makhluk ciptaan-Nya, maka Allah telah ciptakan akal untuk menjadi pembimbing dan pengawal kepada nafsu itu tadi. Maka, wajarlah jika saya umpamakan nafsu itu sebagai kuda perang yang liar dan gagah. Jika tidak ia dikawal oleh jeneral yang soleh, maka kuda perang itu akan digunakan untuk membunuh rakyat marhaen yang tidak berdosa. Tetapi jika Jeneral yang mengawal kuda perang itu ialah hamba Allah yang soleh, maka pasti ia akan digunakan untuk menegakkan kebaikan.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan manusia menjadi tewas dan tunduk kepada nafsu jahat mereka. Tetapi sebelum itu, saya hendak menekankan bahawa hawa nafsu bukanlah ‘jahat’ tetapi yang jahat itu ialah nafsu yang tidak dikawal atau dididik. Ini adalah penting kerana saya tidak mahu timbul dalam hati kita perasaan mempersalahkan ciptaan Allah, kerana yang sebenarnya, kesalahan itu adalah terpikul pada pundak kita- “Mengapa tidak mahu mendidik nafsu?”

Bukankah ulama telah meletakkan tahapan nafsu kepada 3 jenis, walaupun ada yang mengelaskan kepada 5, bahkan ada juga 7. Bagi ulama yang berpendapat bahawa tahap-tahap nafsu ada 3, mereka mengatakan bahawa nafsu-nafsu itu adalah seperti nafsu amarah, nafsu lawwamah dan nafsu mutmainnah.

Secara ringkasnya, nafsu amarah ini adalah golongan nafsu yang paling jelek, paling hina, paling rendah dan juga paling terkebawah. Ini adalah kerana manusia sebegini sememangnya telah dikawal penuh oleh nafsu. Tindak-tanduknya hanyalah semata-mata kerana keinginan. Dirinya lupa terus kepada halal dan haram, dosa-pahala dan juga syurga-neraka. Orang-orang seperti ini ibarat haiwan, walaupun dia mungkin seorang yang beragama islam pada kad pengenalannya.

Golongan kedua yang bernafsu lawwamah ialah golongan yang ‘kadangkala menang, kadangkala kalah’. Mereka ialah golongan yang sering berperang. Adakalanya apa yang dibisikkan oleh nafsu itu dapat dia sanggah namun ada kalanya, mereka tersungkur juga dengan ajakan nafsu tadi. Lalu, disatu masa, dia akan berasa bersalah dan mulai mencela dirinya diatas perbuatannya yang salah itu. Bagi saya, majoriti kita memiliki nafsu tahap ini. Kita sentiasa berperang. Berperang dengan diri sendiri. Namun yang pasti, orang yang memiliki nafsu tahap ini adalah berganda lebih baik daripada golongan awal tadi, yang mana diri mereka langsung tidak berkeinginan kepada rahmat Allah. Setidak-tidaknya, jika kita banyak beristighfar dan memohon ampun, maka Allah Maha Menerima Taubat. Bukankah begitu?

Nafsu yang paling tinggi darjatnya ialah nafsu mutmainnah. Orang yang memiliki nafsu begini, akan menikmati hidupnya dengan jalan yang Allah redhai. Dirinya tidak sesekali berkeinginan untuk melakukan maksiat atau keingkaran kerana hati mereka telah dipenuhi oleh cinta kepada Allah. Apa-apa saja yang Allah suka, maka diri mereka tidak punya masalah untuk penuhi dengan penuh ikhlas, redha dan cinta. Golongan yang memiliki nafsu semacam ini adalah sangat istimewa. Merekalah insan-insan terpilih yang dikurnikan rahmat daripada kalangan para anbia. Masya-Allah!

Punca pertama yang menyebabkan manusia itu mudah dikawal oleh nafsu, seterusnya disesatkannya ialah kerana banyak bermaksiat. Maksiat, dalam bahasa mudah bererti setiap satu-satu perkara yang dilakukan, yang melanggar tegahan-Nya dan melacurkan perintah-Nya. Tiap-tiap kali kita melanggar tegahan dan mengingkari suruhan-Nya, maka kita akan dikira sedang bermaksiat dan dibebankan dengan dosa. Yang menggetarkan jiwa kita ialah orang yang bermaksiat ini akan ditutupkan hati-hati mereka. Dalam sebuah hadis, diceritakan betapa setiap kali kita berbuat satu maksiat (dosa), maka akan timbul satu tompok hitam pada hati kita. Jika kita bertaubat, maka tompok itu akan hilang. Demikianlah jika satu per satu dosa kita perbuat, maka sedikit demi sedikit, hati yang jernih bertukar kelam dan kelibut, seterusnya menghalang cahaya iman daripada menerosok amal perbuatan kita.

Firman Allah dalam ayat 14, Surah al-Mutaffifin: “Sesekali tidak! Bahkan apa yang mereka kerjakan itulah yang telah menutup hati mereka!”

Apa yang terjadi kepada hati yang ditutup? Analoginya, hati ini cermin kaca. Kalaulah ia hitam, bagaimana cahaya mahu menerobos masuk ya?

Dalam surah Al-Jasiyah ayat 23, Allah berfirman : “Maka pernahkan kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan lalu Allah memberikannya sesat menurut pengetahuan-Nya, dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya, serta meletakkan tutup atas penglihatannya. Maka, siapakah yang mampu untuk memberikannya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat)? Mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?”

Menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhan dapat kita fahami dengan maksud ‘mengikuti telunjuk nafsu’. Saya kira orang sebegini adalah di kasta yang paling malang kerana Allah sendiri tidak mengkehendaki kebaikan kepadanya lantas dibiarkan orang itu sesat. Bukan sedikit manusia yang menolak kebenaran walaupun telah diketahui bahawa dirinya telah sesat. Bukan sedikit manusia yang berbangga dengan maksiat, walaupun telah diceritakan kepadanya bahawa perbuatannya itu ialah dosa. Bahkan, bukan sedikit manusia yang terang-terang melakukan maksiat, tanpa rasa malu dan segan walaupun seluruh rakyat jelata mengejek dan membenci, tetapi kerana hatinya telah terkubur daripada rasa insaf dan ihsan, maka segala nasihat orang alim dipinggirkan. Berdoalah agar diri kita, keturunan kita, jiran tetangga kita, dan pemimpin negara kita tidak menjadi golongan seperti ini. Golongan yang Allah sendiri kunci hati mereka. Nauzubillah.

Faktor kedua yang membawa manusia kepada mempertuhankan nafsu ialah kerana sifat sombong yang mencambah dan mekar dalam diri. Pekerti yang jelek dan sifat yang keji ini adalah sifat yang sangat-sangat dibenci oleh Allah.

Dalam sebuah hadis qudsi, diceritakan bahawa Allah berfirman bahawa kesombongan itu ialah selendang-Nya dan kemegahan itu ialah pakaian-Nya. Sesiapa yang mahu memiliki salah satu daripada keduanya, maka akan dicampakkan dia kedalam neraka.

Astaghfirullah… lihatlah! Betapa Allah membenci dua sifat ini. Sifat sombong dan takabbur ini sangat merbahaya. Kerananya, betapa ramai manusia yang telah mengangkat dirinya menjadi Tuhan. Kita boleh lihat bagaimana firaun yang memiliki sifat sombong, telahpun mengangkat dirinya menjadi Tuhan. Dia memiliki batalion tentera yang sangat ramai. Dia memiliki takhta yang besar. Dia memiliki tampuk pemerintahan yang kukuh. Dia memiliki harta kekayaan yang melimpah ruah. Dengan pemberian Allah itulah dia bertindak kufur. Dia sombong kepada nabi Musa a.s dan saudaranya, Nabi Harun a.s disaat utusan Allah itu datang menyampaikan peringatan oleh Allah.

“Dan sesungguhnya Kami telah menujukkan kepada Firaun tanda-tanda kebesaran kami kesemuanya (berupa mukjizat Nabi Musa). Ternyata dia berdusta dan enggan menerima kebenaran”- Taha ayat 56.

Apabila manusia memiliki sifat sombong dan megah, maka dia tidak akan hendak atau berkeinginan untuk menerima nasihat daripada orang lain. Walaupun dia tahu bahawa dia berada di pihak yang salah, tetapi kerana sifat sombong yang menyelimuti diri, dia bertindak untuk ‘menegakkan benang yang basah’. Berbagai alasan dikemukakan olehnya. Kita sendiri boleh lihat, apabila kita menasihati seseorang dengan lemah lembut, “Dik… orang perempuan punya aurat ialah semua, kecuali muka dan pergelangan tangan sahaja…”

Lalu, kita akan mendengar, “None of your businees!”

Atau, “Kubur lain-lain! Kau sibuk apahal!”

Atau mungkin juga, “Biarlah. Yang penting hati aku baik”

Tetapi jarang kita dengar, “Saya tahu saya salah. InsyaAllah saya akan pakai tudung nanti”

Ada banyak beza antara ketiga-tiga contoh jawapan dengan contoh jawapan keempat itu. Ramai mana sangatlah manusia yang sanggup untuk merendahkan ego, lalu mengakui kesalahan diri? Sedangkan mengakui kesalahan diri sendiri itu ialah langkah pertama yang membawa kepada rasa insaf untuk berputik. Walaupun mungkin orang itu tidaklah berubah lagi, namun setidak-tidaknya dia sudah menanam azam untuk berubah. Maka, sudahpun ada sinar-sinar pengembalian kepada Allah, menuju syurga yang kekal.

Maka, perkara pertama yang akan saya nasihati manusia yang mahu berubah ialah untuk kita mengakui kesalahan kita. Sukar! Bahkan terlalu sukar! Kerana diri kita sering melihat kepada siapa yang menegur. Jika si penegur atau penasihat itu ialah dari kalangan orang yang bagi kita, lebih hina atau lebih lemah dari kita, maka kita akan cenderung untuk menolak walaupun ia sebuah hakikat. Maka, ibubapa ialah golongan yang paling layak untuk menegur anak-anak, tetapi sayangnya, ibubapa zaman ini adalah lebih perlu untuk diberikan nasihat pula. Tidakkah itu aneh?

Cuba kita letak diri kita dalam situasi dimana seorang kanak-kanak melihat kita membuang sampah merata-rata. “Abang… tak boleh buang sampah merata-rata. Tong sampah ada dekat situ”, sambil jari telunjuknya menunjuk kearah tong sampah, tidak jauh daripadanya.

Kita mungkin senyum, mungkin berlagak selamba, atau mungkin menyiga kepada kanak-kanak itu. Berapa ramai yang akan tunduk, mengutip sampah itu dan membuangnya kedalam tong sampah tadi? Dan daripada itu, berapa ramai pula yang akan mengucapkan terima kasih? Tetapi, berapa ramai pulakah yang akan mengherdik kanak-kanak itu? Atau paling tidakpun, bertindak seperti tidak mendengar nasihat kanak-kanak itu.

Inilah dia sombong. Kita sombong dengan segala makhluk Allah sedangkan Allah telah datangkan kanak-kanak itu untuk membetulkan diri kita. Sama halnya apabila ada sahabat atau saudara kita yang menegur kesalahan kita. Kita dengan terburu-burunya akan menuduh tukang tegur itu sebagai ‘penyibuk’, ‘outsider’, ‘bajet bagus’ dan macam-macam gelaran yang buruk. Sedangkan Allah datangkan mereka kepada kita untuk memperbetulkan kesilapan kita. Bukankah itu tanda Allah kasihkan kita? Gamak kah kita untuk melayan kasih-sayang yang Allah tunjukkan dengan kata-kata kesat dan caci maki?

Jika kita pernah melayan ‘kasih sayang’ Allah dengan carut-marut kita, maka beristighfarlah sekarang. Moga-moga Allah tidak jemu untuk menunjukkan kasih-Nya lagi, dan Dia sememangnya Maha Suci daripada sifat jemu.

Seterusnya, seseorang itu juga akan tercampak kearah nafsu durjana kerana memiliki sifat suka berdusta. Ini dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 10, “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakitnya dan mereka mendapat azab yang pedih, kerana mereka berdusta”

Berdusta itu boleh difahami dengan membuat cerita-cerita tanpa sokongan atau dalil yang kukuh. Perbuatan membuat berita palsu, bahkan menyebar-nyebar suatu informasi yang salah ini akan membuatkan si pembuat berita palsu itu semakin jauh daripada kebenaran. Di saat itu, dirinya akan menjadi keliru sendiri, sehingga apa yang haq dikatakan batil dan yang batil dirasakannya sebagai al-haq pula.

Saidina Ali pernah meriwayatkan, “Demi Allah! Jika sekiranya aku jatuh dari langit pun, itu adalah lebih baik bagiku daripada aku berdusta dengan nama Allah”.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, “Sesiapa yang berdusta dengan namaku (iaitu Rasululullah S.A.W ), maka hendaklah dia bersiap-siap untuk ke neraka”.

Perbuatan dusta seumpama ini adalah perbuatan orang-orang kristian, melalui perbuatan rahib-rahib dan paderi-paderi mereka. Allah telah mencela perbuatan para pengikut dan para rahib yang menyeleweng, yang melakukan dusta dengan firman-Nya dalam surah At-taubah ayat 31: “Mereka menjadikan orang alim (Yahudi) dan rahib-rahibnya, (Nasrani) sebagai Tuhan selain Allah, dan juga al-Masih putera Maryam, padahal mereka disuruh untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada tuhan selain-Nya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.

Kita boleh melihat kepada ayat sebelumnya, (at-taubah ayat 30) sekiranya kita mahu mengetahui bagaimana mereka telah melakukan dusta yang pada akhirnya, pendustaan mereka menyebabkan hati mereka merasa puas bergelumang dengan kesesatan yang mereka buat. Tidak lain dan tidak bukan, orang yang berdusta ini hanyalah melakukan dusta untuk mendapat habuan dan kepuasan di dunia, dan tanpa ternafi, di akhirat nanti mereka akan binasa. Pasti!

“Dan orang-orang Yahudi berkata, ‘Uzair itu putera Allah’ manakala orang-orang Nasrani pula berkata, ‘Al-Masih putera Allah’. Itulah ucapan-ucapan yang keluar dari mulut mereka. Mereka meniru ucapan-ucapan orang kafir yang terdahulu. Allah melaknat mereka! Bagaimana mereka sampai berpaling?”- At Taubah ayat 30.

Selain itu, dusta juga ialah sifat orang munafik. Kita akan berbicara tentang munafik dalam tajuk yang lain, tetapi sebelum itu, kita perlu melihat kepada bagaimana dusta itu menjadi asam garam dan perisai pada golongan yang dijanjikan neraka paling kebawah sekali ini. Orang munafik menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai. Dalam istilah orang melayu, ia dipanggil sumpah laknat tetapi saya memanggilnya sebagai sumpah palsu, kerana perbuatannya mirip benar dengan sumpah palsu orang munafik. Firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 2 :”Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai lalu mereka menghalang-halangi manusia dari jalan Allah. Sungguh, betapa buruknya apa-apa yang telah mereka kerjakan itu”

Pepatah melayu juga ada menyebutkan, “Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri”. Ternyata orang-orang tua sangat kretif dan kritis. Bahasa mereka indah, dan punya maksud serta pengajaran yang tersirat bahkan sangat indah juga.

Sememangnya dusta itu rupa-rupanya ialah satu jalan awal yang membawa kepada kerosakan diri. Kerana menyedari betapa berdusta itu membawa manusia kepada dosa yang melarat dan berjela-jela, serta kunci yang awal kepada binasa, saya menyeru kalian supaya meninggalkan dan menjauhi sifat berdusta ini. Ada yang keliru dengan kewujudan istilah ‘tipu sunat’. Konon-kononnya kita menipu untuk kebaikan orang, sedangkan ia sama sekali bukan ajaran islam. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Tirmizi, Rasulullah S.A.W bersabda yang membawa maksud, hanya dalam 3 situasi sahaja berbohong itu dibenarkan iaitu untuk memulihkan hubungan dua orang saudara yang berkelahi, untuk mengorek strategi perang pihak musuh dan akhir, untuk menjernihkan hubungan suami isteri.

Jika diri tersepit, maka bertindak jujurlah dan jadilah kretif. Jangan berbohong, tetapi gunakanlah strategi yang dinamakan “double-meaning”. Sebagaimana Rasulullah S.A.W pernah bergurau dengan seorang wanita tua. Baginda berkata kepada wanita itu, “Sesungguhnya syurga itu tidak akan dapat dimasuki oleh orang tua”. Lalu, wanita tua itu menangis hiba. Rasulullah pun senyum lalu menerangkan bahawa memang ahli syurga itu semuanya sebaya, tidak tua dan sentiasa muda.

Dan punca yang terakhir yang membawa kepada nafsu yang menggila ialah zalim. Zalim diertikan oleh syarak sebagai meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Allah telah berfirman dalam surah As-Sajadah ayat 22, “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhan nya, kemudian dia berpaling darinya? Sungguh, Kami akan memberi balasan (azab) kepada orang-orang yang berdosa”

Itu baru zalim dalam menerima peringatan. Ada manusia zalim dalam menerima nikmat. Zalim juga boleh diertikan dengan membuat aniaya, sama ada kepada dirinya sendiri atau juga kepada orang lain. Contohnya, dalam ayat 42 daripada surah asy-Syu’ra, “Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa mengendahkan kebenaran. Mereka itu mendapat azab yang pedih”.

Kezaliman seringkali dikaitkan dengan orang yang berkuasa atau orang yang memengang jawatan atau tampuk pemerintahan semata-mata, sedangkan yang sebenarnya, zalim itu boleh berlaku kepada semua orang. Kita juga tidak lari daripada menganiaya makhluk lain, seperti haiwan. Saya ambil contoh seperti itu kerana ia lebih dekat dengan kita. Sekiranya kita menzalimi bintang (contoh: pukul), maka kita merasakan betapa diri kita megah saat itu. Kita merasa besar, merasa gagah, merasa hebat kerana ada makhluk Allah yang lebih hina dan lebih lemah daripada kita. Maka, dengan sendirinya, rasa sombong berputik, dan rasa seronok berbuat kerosakan mulai bercambah, seterusnya menjadikan nafsu itu sebagai matlamat dan pendorong hidup.

Secara simpul, segala punca yang mendorong nafsu untuk bertindak liar dan menguasai diri kita ialah berkisar pada keseronokan. Disaat kita sukakan maksiat, cintakan kemegahan, serta seronok dengan kesusahan orang lain, maka hati kita akan menjadi gelap hingga bisikan iman yang dipacu oleh akal yang hening tidak lai diendahkan.

Jadi, bagaimana harus kita mengelakkan diri daripada tergelincir daripada menjadi hamba kepada hawa nafsu?

Sudah pastilah jawapannya ialah dengan menjauhi maksiat, memadamkan bahang kesombongan, meninggalkan pendustaan, dan menjauhi kezaliman. Namun, kesemua itu hanya dapat menjadi realiti dengan satu perkataan yang mengandungi 9 huruf rumi.

M-U-J-A-H-A-D-A-H.

Bermujahadah, dalam erti kata yang lain, kita menanam sepenuh-penuh keazaman yang jitu untuk mencapai redha Allah. Ia adalah suatu kesungguhan yang tiada tolok banding, yang mana kekuatan itu kita sandarkan terus kepada Allah. Dengan penuh rasa kehambaan dan pengharapan, kita memohon agar Allah menyalurkan kekuatan kepada kita untuk menjauhi dan meninggalkan apa-apa yang Allah tidak suka, walaupun nafsu kita berkehendak akan perkara itu.

Mujahadah ini ialah satu ibadah. Allah memandang usaha kita, tidak kepada hasil. Ini adalah kerana ‘memberi hasil’ ialah perbuatan Allah sedangkan perbuatan manusia ialah ‘berusaha’. Dalam konteks ini, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhi dosa, dan Allah akan menilai tahap kesungguhan kita dan akan memberi kejayaan atau sebaliknya, masing-masing sebagai nikmat dan ujian.

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah bersama-sama dengan orang-orang yang berbuat baik”- Surah al-Ankabut ayat 69.

Mujahadah ialah tugas kita. Mujahadah ialah tanggungjawab kita. Mujahadah ialah peperangan kita! Jika benar kita bersungguh, maka tanamkan azam. Betulkan niat, perhalusi niat. InsyaAllah… jika benar-benar kita telah berusaha, Allah pasti akan menangkan kita kerana janji-Nya dalam surah Ar-Ra’du ayat 13, “…Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri…”

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. InsyaAllah.

                        

November 2, 2011

Fitrah


Ada satu hadis yang ringkas dan sering kita dengar… sebagaimana sabda Nabi SAW yang diriwayat oleh Imam Bukhari : “Tiada (seorang anakpun) yang dilahirkan kecuali ia dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua orang tuanyalah yang menyebabkan ia menjadi Yahudi, atau menjadikannya Nasrani atau menjadikannya Majusi (penyembah api).”

Ada banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari hadis yang pendek ini. Pertama, kita boleh lihat Allah tak sebut pun kalimah “...au yaslima ni hi...” yang bermaksud, “atau menjadikannya islam”. Persoalan mengapa, sebenarnya telah terjawab pada awal hadis itu iaitu ‘fitrah’.

Islam ialah agama fitrah. Ia adalah agama yang Allah jadikan sesuai dengan sifat semulajadi manusia, lalu manusia akan menerimanya sebagai suatu yang benar. Kerana itu, jika berlaku kematian kepada kanak-kanak yang belum mencapai usia baligh, Allah akan masukkan mereka ke dalam syurga. Walaupun jika yang meninggal dunia itu ialah anak orang bukan islam, tapi kerana dia belum lagi baligh, dia mati dan terus ke syurga. Indah bukan?

Dalam hadis tadi juga, kita perlu lihat bagaimana Rasulallah mengatakan ‘mengyahudikan’ dia. Cuba selidik. Adakah agama Yahudi itu, boleh kita anuti? Jawapannya tidak. Yahudi ialah agama untuk orang yahudi sahaja. Ia tidak boleh dianuti oleh orang yang bukan Yahudi. Orang islam, takkan boleh masuk agama Yahudi. Bahkan, orang lain pun sama. Ia agama yang khusus untuk bangsa Yahudi sahaja.

Lalu, apa maksud yang sebenar hadis ini?

Yang lebih tepat... ibubapa lah manusia yang bertanggungjawab untuk mencorak hidup kita samada kita akan mengikut telunjuk, cara dan sikap orang Yahudi, Nasrani dan Majusi. Heh... itulah yang parah!

Masa saya kanak-kanak, ibu saya akan ajar saya mengaji. Tiap-tiap malam kecuali jika dia uzur. Saya sebenarnya sangat bertuah. Pertama, saya tak pernah minta lahir daripada rahim seorang muslimah. Kedua, saya pun tidak pernah isi borang untuk diberikan didikan agama yang lengkap secara percuma. Semuanya rencana daripada Allah yang sangat sulit untuk dibongkar. Kesyukuran ini tidak seharusnya hanya berlegar kepada saya, kerana kalian juga bertuah kerana lahir dari rahim seorang ibu yang menganut ajaran islam. Bersyukurlah kerana ada orang mengeluh...

“Kamu untunglah... mak dan ayah saya lain. Mereka tak mengajar saya agama”, keluh seorang sahabat.

Saya hanya mampu senyum. Kita semua bersetuju bahawa islam ialah agama yang paling betul kerana ia datang dari Allah. Tapi, jika ada non-muslim bertanya tentang itu, kita akan jadi mati akal. Mati akal, tidak tahu bagaimana mahu bercerita bahawa islam itu agama yang sejati dan agama yang sebenar. Saya melihat kegagalan ini ialah kerana kita tidak bijak dalam melihat dan memahami maksud fitrah itu.

“Tetapi jika benar ia agama fitrah, mengapa ada orang islam yang murtad?”

Baiklah. Kita akan berbincang dan melihat kepada 2 punca pokok yang membawa kepada gugurnya iman itu tadi. Tapi buat masa sekarang, saya mahu memberi jawapan kepada maksud fitrah.

Pertama, prinsip islam ialah prinsip menjaga. Islam bersifat menjaga. Pada setiap umat islam, ada hak hamba kepada Tuhan dan ada hak hamba kepada dirinya. Islam datang dengan penjagaan yang lima (saya pernah sebut sebelum ini) iaitu menjaga akidah, menjaga diri, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta.

Setiap larangan Allah, segalanya ada kebaikan kepada manusia. Iya. Manusia menyukai hiburan, dan islam datang sebagai penjaga. Islam tidak halang manusia berhibur, tetapi untuk mendapat nikmat yang betul, islam menghalang manusia daripada berlebihan.

Ada remaja merungut kerana ibubapanya melarang dia berdansa di kelab-kelab malam. Ibubapa jenis yang faham agama, memang tidak akan teragak-agak untuk menghalang. Natijah atas larangan itu, si anak terselamat daripada budaya negetif. Si anak tidak merosakkan tubuh. Pernah kita bayangkan, mengapa islam melarang arak? Arak, dadah dan segala benda yang ‘lalok’? Ini adalah kerana jika manusia hilang kawalan keatas diri, maka dia terdedah kepada bahaya. Bukan sedikit manusia mati di jalan raya, dalam dirinya mabuk. Sama, bukan sedikit manusia yang tersungkur di tebing kematian, kerana mengambil dadah.

Bagaimana pula dengan kebaikan? Ada sesetengah kebaikan, dipandang oleh umat islam sebagai bebanan. Contoh yang paling dekat ialah solat dan menutup aurat. Dalam bab solat, bukan sedikit orang lelaki (mungkin kita, mungkin adik beradik kita) yang dengan tanpa rasa bersalah meninggalkan solat atas alasan, ia membuang masa, mengurangkan produktiviti, bahkan ada yang mengatakan bersolat itu sebagai buang masa.

Sedangkan dalam sains sendiri telah dibuktikan bahawa orang yang rajin bersolat, maka dirinya makin sihat. Solat ialah satu bentuk senaman yang memberi kerehatan kepada minda dan jasad. Dikala kita penat, kita berwuduk dan bersolat. Maka, ketika itu diri kita sedang mengumpulkan kembali cas-cas dalam badan yang telah hilang selepas seharian bekerja.

“Aku solat, tetapi tak sihat?”

Yang ini terletak kepada kejahilan kita dalam bersolat. Ada yang solat macam patuk ayam. Lagu semacam. Solat sebegitu memang telahpun Nabi S.A.W reject, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis. Ada pula orang yang solat secara main-main. Khusyuknya tiada langsung. Dalam sedang solat, fikirannya masih tidak dipisahkan dengan dunia. Masih dirinya memikirkan soal kerja, dan hal dunia. Kerana itu, otaknya tidak punya ruang dan peluang untuk berehat. Bagaimana ia hendak sihat?

Bahkan, ada juga manusia yang memang dirinya tidak menjaga diri. Perutnya makan segala benda. Mulutnya minum segala benda. Ini selalu berlaku kepada ‘geng masjid’ sendiri. Iyalah... tok imam, tok siak dan jemaah masjid itu kan sering dipanggil untuk bertahlil, doa selamat dan seumpamanya. Saat disajikan dengan makanan, mereka makan tanpa peduli. Akhir, diri ditimpa sakit.

Orang awam yang jahil dan pesimis dengan orang agama akan berkata sinis, “See... tok imam pun banyak kena penyakit. Padahal merekalah yang mengewar-warkan yang solat berjemaah itu membawa kepada kesihatan”

Nampak macam tidak masuk akal, tetapi hakikatnya... manusia sebegitu memang wujud.

Dalam bab menutup aurat, banyak benar hikmah yang Allah kurniakan. Bagi wanita, ia dapat melindungi rambut-rambut mereka, kerana dalam sains, hasil kajian menunjukkan bahawa sel rambut wanita itu lebih terdedah kepada kerosakan berbanding lelaki. Maka, islam datang sebagai menjaga kesihatan wanita dan menjaga maruah wanita daripada nafsu lelaki. Atas alasan apa lagi untuk wanita menolak kewajipan menutup aurat?

Fitrah Allah akan terus kekal di dalam suara hati kecil. Kerana itu, setiap kali kita bertemu dengan dua pilihan (baik dan jahat) maka hati kecil kita dua-dua akan berbalah. “Jangan buat begini”, “Buat saja!”

Kedua-dua suara itu ialah suara nafsu yanng ditunggang oleh syaitan dan suara fitrah yang diperkasakan oleh iman. Hanyalah kerana iman kita lemah, maka kita akan seringkali gagal dan dengan automatik, kita akan menangkan nafsu! Kita menangkan kekufuran! Kita belakangkan kata hati fitrah, dan kita belakangkan kata iman kita.

Jika nak tahu bagaimana, cuba pasang jam pukul 5 pagi. Niatkan dalam hati untuk bertahajjud. Maka selepas tersedar jam 5 pagi, kita akan mendengar dua bisikan itu. “Sambunglah tidurmu. Masih awal lagi” atau “Bangunlah... solatlah.. mohon ampunan-Nya”.

Ini satu contoh fitrah juga, kerana memang dalam surah al-Hujurat ayat 7 Allah katakan bahawa manusia diciptakan untuk menyukai kebaikan dan keimanan dan membenci kekufuran dan kajahatan. Maka, ia secara tak langsung menjawab persoalan mengapa industri makanan halal berkembang pesat di negara China padahal ia negara majorit non-muslim. Ia juga menjawab persoalan mengapa rakyat Sweden berdemonstrasi menentang kezaliman Zionis yang membunuh umat islam, sedangakan mereka non-muslim. Ia juga menjawab soalan mengapa masyarakat Eropah yang majoriti bukan islam mulai menyokong sistem kewangan islam. Kerana fitrah manusia... cintakan ajaran islam. Walaupun mulut mereka tidak menyatakannya, tapi hati mereka mengakui dan perbuatan mereka membuktikannya.

Namun yang demikian, satu persoalan telah timbul. “Mengapa ada orang islam murtad, jika benar islam agama yang fitrah?”

InsyaAllah. Saya akan jawab, dengan izin-Nya. Biiznillah.

   

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails