February 28, 2012

Celupan.

         
Siapa kenal dengan Michael H. Hart? Saya yakin ramai yang tak kenal. Tapi jika saya beritahu tajuk buku yang dia karang, pasti kita tahu. Beliau ialah penulis buku The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History yang mana di dalam buku ini, beliau menyenaraikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai manusia yang paling hebat, paling berpengaruh, dan paling berkarisma.

Itu dia, seorang yang bukan islam. Menurut beliau, Nabi Muhammad bukan sahaja berjaya dalam sudut keagamaan, tetapi Baginda berjaya memahat kejayaan- mengeluarkan gelap daripada matahari hingga sinarnya melepasi awan kemurungan sebuah tamadun jiwa.

Orang arab di zaman Baginda dikenali sebagai Jahiliyyah bukanlah kerana mereka bodoh. Mereka tak jahil. Dalam kalangan mereka, ada ahli muzik, pemidato, penggiat seni, pedagang, dan berbagai. Tapi jahiliyyah mereka tercermin pada perilaku mereka. Anak perempuan dibunuh. Judi dan arak sebagai kemegahan. Peperangan dan permusuhan sebagai warisan. Merompak dan menyamun sebagai pekerjaan. Gadis sunti sebagai alat mainan. Ah, pendek kata mereka ialah kalangan manusia yang rosak!

Tapi, kedatangan Rasulullah berjaya mengubah alam gelap menjadi bercahaya, indah tanpa peri. Bahkan, sinarnya berjaya lolos pada jaring angkasa hingga bertebaran cahanya menerangi pelusuk buana, hari ke hari. Dan dari mana kejayaan ini datang? Jawapannya cuma satu; ittiba'ir rasul. Mengikuti jejak langkah Rasulullah S.A.W.

Saban tahun, kita menyambut maulidurrasul. Kita memuja, kita menyanjung. Tetapi kita sering terlupa bahawa Baginda bukan diutus untuk kita puji dan kita puja semata. Baginda tak diutus untuk kita sanjung dan kita junjung juga. Sebaliknya peranan Baginda adalah jauh lebih besar. Baginda diutus untuk kita turuti, kita contohi. Jika hanya untuk disanjung-sanjung dan dipuja-puja, cukuplah dengan Allah ciptakan pemain bola sepak atau artis sahaja. Tapi itulah.... Rasulullah ialah seorang manusia yang mutlak menjadi pemimpin kita; tanpa ternafi lagi.

Saudara semuanya.
Kita maklum bahawa setiap jiwa yang mengucap syahadah... mereka semuanya sedang memintal janji untuk menjadikan Allah sebagai satu-satunya sembahan, dan dalam masa yang sama, mengulum sepakat untuk menjadikan Muhammad Bin Abdullah sebagai ikutan; yang mana setiap satu yang dilakukan olehnya, turut sama kita lakukan.

Tapi dalam dunia ini, memang wujud satu golongan manusia yang bersyahadah tetapi taknak ikut Rasulullah. Syahadahnya kosong daripada penghayatan dan pembuktian. Yang ada cuma kalimah-kalimah yang terbentuk daripada liang-liang nada sahaja. Siapa mereka ini?

Mereka ialah golongan munafik. Apa yang Rasulullah suruh mereka buat, mereka taknak buat; cuba bersembunyi dibawah kelambu alasan. "Rumah kami terbuka dan tak dijaga", "Kami tak larat", "Panas terik", "Aku takut nanti aku terjerat dalam fitnah perempuan Rom yang cantik-cantik", dan macam-macam.

Mengapa berlaku penafian atas arahan? Jawabnya, kerana disana ada keraguan. Dan bagaimana keraguan ini mengikat sendi tubuh daripada mendakap ketaatan? Jawabnya, kerana tika itu, imannya telah rosak. Telah mereput.

Kerana yang pasti, jika sekiranya kita ini orang yang yakin dengan Rasulullah, maka kita pasti akan ikuti Baginda. Saya ulang, kita pasti akan!

Allah terangkan dalam ayat 31 surah ali-Imran bahawa sesiapa yang mencintai Allah, maka dia hanya tinggal dengan satu pilihan sahaja untuk dia jujur dalam cintanya, iaitu dengan mengikuti Rasulullah! Tak ada cara lain lagi.

Adapun orang kafir Quraisy, mereka mahu mendekatkan diri dengan Allah dengan cara yang salah, serong, dan songsang. Allah rakamkan dalam ayat 3 surah Az-Zumar. Orang kafir ini... saat mereka ditanya mengapa perhambaan diri mereka suburkan kepada patung-patung... mereka pun menjawab; "Kami tidak menyembah patung berhala ini melainkan agar kami semakin dekat dengan Allah"

Cara mereka salah, langsung tertolak. Dusta! Batil! kerana yang hanya tertinggal, ialah ikut Rasulullah. Maka, kita dah jelas dengan sejelas-jelasnya bahawa mengikuti Rasulullah bukan lagi sunat, bukannya kita boleh pilih nak buat atau tidak... sebaliknya ia adalah kewajipan dan kemestian; jika sekiranya kita benar-benar mahukan syurga!

Yang tak faham... akan beranggapan: Tak perlulah nak ikut semua...
Habis? Kalau kita tak ikut Nabi, kita nak ikut siapa?
Jawablah. Kita nak ikut siapa?

Dan siapa lagi yang tinggal padanya syafaat untuk kita tagih, tali dan pelampung untuk kita menjengah syurga?

Saudaraku,
Disaat Allah memerintahkan kita sesuatu perkara, kita kena ingat... bahawa setiap suruhan Allah, padanya wujud kejayaan dan keuntungan. Tiada satu yang merugi. Tiada satu yang mengurangi! Sama dengan bab ittiba'ir rasul. Bila Allah perintahkan kita untuk mengikuti nabi-Nya, maka sudah tertanam mata pena, bahawasanya Dia akan memberikan kita dua bentuk kebaikan; Kebaikan di dunia yang fana, juga kebaikan di akhirat yang abadi.

Di dunia, Allah akan beri kita lima kebaikan utama:

•Cinta dari Allah (مَحَبَّةُ اللهِ)
•Rahmat dari Allah (رَحْمَةُ اللهِ)
•Hidayah dari Allah (هِدَايَةُ اللهِ)
•Kemuliaan (اَلْعِزَّةُ)
•Kemenangan (اَلْغَلَبَةُ)

Dan di akhirat, Allah akan berikan kita juga lima kebaikan utama:

1.Mendapatkan Syafaat (اَلشَّفَاعَةُ)
2.Keceriaan Wajah (نُضَارَةُ الْوَجِهِ)
3.Mendampingi Rasulullah (مُجَاوَرَةُ الرَّسُوْلِ)
4.Bersahabat dengan Orang-orang Soleh (مُصَاحَبَةُ)
5.Kemenangan (اَلْفَلاَحُ)

Saya akan ulas satu persatu, dari masa ke masa. Buat masa ini, tanamkan azam. Bulatkan niat. Kukuhkan kemahuan. Jangan lupa menggigit cita-cita, ikut Nabi!
          

February 27, 2012

Satira Untuk Jiwa.

Saya perasan yang baru-baru ini, ramai orang asyik bercakap-cakap tentang mimpi bertemu Rasulullah. Saya tak tahu dari mana isu ini berbangkit, tapi kalau melihat di laman Facebook sahaja, ramai sungguh orang berkongsi tentang cara untuk mendapatkan mimpi berjumpa Rasulullah. Memanglah ia satu fenomena yang sihat, yang baik, tetapi saya akan berasa tak selesa jika mimpi bertemu Rasulullah, kita pandang dengan satu lapis sahaja.

Saya tak ingat siapa hamba Allah ini, tapi saya tahu bahawa beliau ialah seorang manusia yang hebat! Setidaknya, hebat di mata Allah! Beliau pernah ditanya, jika sekiranya dia berpeluang bertemu Rasulullah, apa yang beliau akan lakukan?

Spontan sahaja, tanpa perlu berfikir panjang, beliau menjawab, "Aku akan menyorok daripada Baginda Rasulullah"

Kita pun terkejut. Sebab kalau orang lain, mereka akan kata, "Saya nak minta agar Rasulullah mendoakan saya", atau "saya nak minta Rasulullah nasihatkan saya" dan mungkin juga, "Saya nak minta agar Rasulullah bawa saya ke syurga!"

Ya Allah. Mudahnya!

Tapi lelaki itu (saya lupa siapa dia) tidak meminta yang itu dan yang ini, sebaliknya mahu untuk bersembunyi. Tapi mengapa?

"Kerana aku malu dengan Rasulullah! Baginda sangat mulia, sedang aku masih banyak kotor dan cela"

Kita tak fikir macam tu, sebab kita fikir kita dah layak. Kita ingat kita dah cukup baik; walaupun kerana kita join usrah, join tarbiyyah. Kita jadi tak kenal siapa Khabbab Bin Arat r.a. hingga kita assume yang kita dah cukup 'disiksa' hingga layak meminta itu dan ini?

Ukurlah baju di badan sendiri...

Dalam hadis, Nabi kata bahawa syaitan takkan menyerupai Baginda dalam mimpi. Maka, kalau kita mimpikan Rasulullah, maka memang Baginda ialah yang kita nampak tu.

Tapi jangan lupa. Syaitan boleh menyerupai orang lain dan kemudiannya claim bahawa dirinya ialah Rasulullah. Sebab kita ingat hadis tu, yang kata syaitan takkan menyerupai Rasulullah, maka kita pun anggap sosok tubuh yang kita lihat dalam minda luar sedar kita tadi ialah Baginda. Padahal kita sendiri tak tahu!

Inilah yang saya nak kata. Mimpi Rasulullah bukanlah ultimate goal kita.

Sebenarnya kalau kita faham tips-tips yang ulama kata sebagai cara-cara mahu mimpi bertemu Rasulullah, maka kita takkan nampak satu lapis, tapi berlapis-lapis pengajaran. Mereka (para ulama) kata, diantara amalan dan cara mahu Rasulullah hadir dalam tidur kita ialah dengan banyak berselawat, banyak berdoa, dan banyak amalkan sunnah baginda.

Jadi, orang-orang yang lurus bendul ini pun kerana mahu sangat berjumpa dengan Rasulullah, maka mereka akan buatlah seperti apa yang ulama itu pandukan. Padahal, diri seseorang itu pun masih belum jelas dengan kedudukannya sebagai umat Rasulullah.

Begini. Berselawat dan amalkan sunnah itu bukan sahaja jalan untuk mimpi bertemu Rasulullah, tapi juga sebenarnya adalah tuntutan kepada kita!

Sayanglah jika ada orang nak jumpa Rasulullah dalam mimpi, tapi taknak jumpa Rasulullah dalam syurga.

Kenapa?

Sebab Nabi kata; Setiap orang akan masuk syurga, kecuali orang yang enggan. Semua sahabat yang ada di sisi baginda kehairanan. Ada juga ek orang yang taknak masuk syurga? Gila bodoh! Ya, cakaplah bodoh ke... gila ke... apa ke... tapi hakikatnya tetap macam itu. Kalau hari ini tersentak, esok lusa 'hu-ha' semula. Kalau minggu ini 'tersedar', minggu depan 'terlena' semula.

Oh ya, dah tahu siapakah golongan yang tak mahu masuk syurga tadi? Itulah dia orang yang tak mahu ikut Rasululullah. Dia sendiri yang membuat pilihan untuk tidak mengikut. Ikut apa? Ikut bagaimana?

Dalam artikel akan datang kita perkemaskan topik ini; Ittiba'ir Rasul.

Cuma untuk artikel kali ini... saya mahu menekankan satu perkara- Kita tak pernah jumpa Nabi di alam realiti. Maka kita tak tahu fizikal Baginda yang sebenar. Tambahan pula, kita ni jenis yang malas nak baca kitab hadis yang menceritakan tentang fizikal Rasulullah. Tambah-tambahlah lagi kita tak tahu.

Lepas tu bila kita mimpi seseorang yang kita tak kenal, yang macam baik-baik lalu terus kita cenderung nak kata itu ialah Nabi- sebab kita tahu syaitan takkan menyerupai Rasulullah yang mulia itu. Sedangkan dalam masa yang sama, kita terlupa bahawa tipu daya syaitan itu sebenarnya sangat licik!

Jadi, jadikanlah hasrat mahu bertemu Rasulullah sebagai perkara samping dalam kita beramal. Sebaliknya, beramallah kerana mahu menghidupkan Rasulullah kerana di sana ada jaminan untuk bersama dengan Baginda di dalam syurga.

Sayanglah kalau setakat jumpa di dalam mimpi, tapi tak mampu berjumpa di dalam kehidupan abadi.
     

February 21, 2012

Brader parut berapi dan berotot macam kereta kebal.

assalamualaikum..apa pendapat saudara iqbal mengenai solat di awal waktu secara bersendirian dengan solat bkan di awal waktu berjemaah..mana satu yang lebih bagus sebenarnya?
Waalaikumussalam. Memang ada satu hadis sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Ibnu Mas'ud pernah bertanya kepada Rasulullah, "Apakah dia amalan yang paling baik?" Lalu Rasulullah menjawab; Solat diawal waktu, kemudian berbakti kepada ibubapa, dan kemudian berjihad di jalan Allah."

Kalau baca satu hadis ini sahaja, memanglah kita akan kata yang solat diawal waktu itu ialah utama. Tapi jangan lupa, hadis yang menyatakan tentang kepentingan solat berjemaah adalah lebih banyak. Antaranya, ialah hadis yang menceritakan tentang kambing dan serigala. Jika tidak wujud falsafah berjemaah dalam segala aspek; ibadah mahupun kemasyarakatan, maka yang berlaku ialah kambing tu akan diterkam oleh serigala. Dan serigala bagi manusia ialah syaitan.

Sejujurnya, saya bukanlah orang yang belajar secara khusus tentang hadis. Saya orang awam, bukan orang khusus. Saya tukang baiki kapal terbang, bukannya ustaz yang berkuliah di Mesir atau Jordan, apatah lagi Madinah. Tapi setakat yang saya belajar (hadiri kuliah, baca kitab hadis, dan tanya ustaz), saya tak pernah nampak yang solat berjemaah ini suatu yang ringan. Tak pernah!

Sampaikan nabi sendiri pernah kata; Aku teringin mahu membakar rumah orang-orang tidak menunaikan solat berjemaah, hanyalah kerana aku kira kanak-kanak dan mereka yang uzur di dalamnya.

Tak adalah sampai bakar rumah, tapi terasa seakan-akan mahu sahaja. Sebenarnya, Nabi Muhammad, iaitu Nabi yang sama kita selawatkan kepadanya, yang kita sambuti tarikh kelahirannya, yang kita kata kita umatnya... (ya! Nabi yang sama!) mahu kita memandang besar pada solat berjemaah!

Masa soalan ini diterima oleh saya, saya cuba mahu berbincang dengan sahabat saya. Dia orang tabligh. Bukan sekadar itu, dia juga ahli jemaah tabligh yang sangat komited dengan jemaah. Kalau ikut jawapan dia, mudah sahaja.

"Rasulullah pernah bersolat sendirian tak? Dalam perang, solat berjemaah (solat khauf). Dalam kesibukan, solat berjemaah. Dalam bermusafir, solat berjemaah. Dalam kesenangan. solat berjemaah. Dalam sakit, solat berjemaah. Hanya ketika nazak (hampir wafat), disaat Baginda dah tak mampu untuk bangkit dari berbaring, ketika itulah baru Baginda mewakilkan Abu Bakar untuk menjadi imam, juga bagi solat berjemaah!

Bahkan dikatakan Rasulullah hanya bersolat sebanyak 6 kali sahaja secara tidak berjemaah. Hanya enam kali!

Rasanya kita tak perlu bincang benda ini dengan ilmiah. Sebab makin banyak kita bercakap tentang ilmu, makin berat kita mahu berpegang dengan pendapat Imam Syafie' yang tidak menghukum wajib bagi solat berjemaah (hanya fardu kifayah). Sebab itu, tak perlulah kita pergi lebih dalam.

Tapi saya cuma nak kata satu. Kita kata kita sayang nabi... kata sayang agama... kata sayang saudara seagama kita... kata nak masuk syurga... nak hidupkan sunnah... dan kata macam-macam lagi! Jadi, kenapa memilih untuk solat sendiri?

Saya bukan orang pertama, dan takkan jadi orang terakhir yang akan berbicara tentang solat berjemaah beserta kepentingannya. Cuma saya nak tanya, buat apa anda baca artikel ini, jika anda tak terasa nak sahut perintah Allah?

"... dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk"- al Baqarah ayat 43.

Pautan: Hati kami keras, lebih keras daripada batu. Jadi tak perlu nak cakap lagi dah. Kami dah tahu...

------------------------------------------
macamana kita nak bina keberanian dalam diri untuk amar ma'ruf nahi mungkar?
Mintalah kepada yang memiliki kekuatan tu. Siapa? Allah :D

Saya suka dengan tadabbur surah al-Muzammil, surah ke 73. Dalam surah itu, Allah perintahkan Rasulullah untuk bangun- solat malam dan juga membaca al-Quran.

Okey. Dah dapat jawapan?

Solat malam, baca Quran. Solat malam...baca Quran. Tahajjud... tilawah. Bangun solat malam... baca al-Quran. Ulang dan teruskan ulang. Kerana Rasulullah yang kita cintai, disaat Baginda menerima wahyu, baginda tidak terus diperintahkan untuk menyampaikan dakwah, tetapi baginda diperintahkan untuk membina kekuatan dalaman atau spiritual, dengan bangun solat malam.

Biar ada hubungan yang cantik, indah, jelas, dan kemas dengan Allah!
Dan disanalah baru dapat kekuatan; terus daripada Tuhan Yang Maha Perkasa!

Pun begitu, saya mengakui bahawa amar makruf nahi mungkar itu bukanlah benda yang mudah nak dibuat. Ia hanya mudah dicakap. Bila tengok muka brader, tengok parut dia, tengok muscle dia, kita nak tegur, "Bang, dah maghrib ni..." pun akan jadi serba salah. "Kalau aku tegur dia marah tak?"

Jadi macam mana? "Instead of kata kata dia, "Bang, melepak apa lagi maghrib-maghrib ni? Pergi balik rumah! Solat!"... kita boleh kata, "Bang, surau jom?". Abang tu mesti akan senyum macam kerang busuk. Dalam hati, dia akan kata, "Kau ni bangang ke apa? Aku pakai seluar pendek... peluh-peluh ni... kau ajak ke surau? Berilah aku keringkan badan aku dulu, mandi-mandi dulu ke..."

Lepas senyum, kita angkat tangan, kita beri salam dan belah ajalah. Nak tunggu apa lagi. Brader ganas tu akan pandang kita dengan pandangan yang membunuh, tapi lepas bayang-bayang kita hilang dari surau, maka dia pun akan terfikir, "Er... betullah. Dah maghrib. Nak kena solat pula lepas ni."

Kita kena ingat. Manusia ni suka 'melihat' dan barulah mereka boleh 'percaya'. Orang zaman sekarang bukan macam orang zaman nenek moyang kita. Apa ustaz kata, mereka angguk saja percaya. Orang zaman sekarang, kalau ustaz tu kata 'betul', dia nak tengok ustaz tu buat tak apa yang dia kata.

Kalau ustaz tu kata haram, ustaz tu buat juga tak yang haram tu. Samalah dengan pendakwah.

Seperkara, kekuatan tu datang melalui kretiviti dan kepetahan kita. Cuba kalah kita kata, "Assalamualaikum bang. Akak dengan abang ada masa tak? Saya tak berniat nak kacau abang dengan akak, tapi ada benda yang saya berminat nak kongsi dengan abang dan kakak petang ni. Maafkan saya ya/ Boleh tak saya nak tanya? Abang dengan akak dah nikah?"

Aku pandang kau. Kau pandang aku. "Er... belum lagi dik."

"Eh ye ke? Saya ingat abang dengan akak dah kawin. Saya nak kongsi dengan abang dengan akak fasal nikah kawin. Bahagia orang yang nikah kahwin ni bang. Saya baru baca kat internet... orang yang dah nikah kawin ni... Allah beri bla...bla... bla..., dapat elak zina...bla...bla..bla... sebab zina ni mudah sangat terjadi...bla..bla..bla... Selain itu bang, akak... orang yang bernikah kahwin ini juga Allah beri beri jaminan rezeki... bla...bla...bla..."

Pendakwah! Ingat. Kalau nak approach orang awam yang kita tak kenal, jangan direct sangat. Pusing-pusing, lenggang-lenggok dulu, biar dia tak nampak kita macam nak kata, "Kau salahlah bodoh! Orang islam mana boleh dating! Mana boleh berdua-duaan! Zina! Dosa besar! Neraka!!"

Biar dia nampak, "Ooo... rupa-rupanya salah kami buat ni. Sepatutnya kami nikah... sepatutnya kami bla...bla...bla..bla..."

Dan paling utama- jangan lupa senyum! Kerana senyum bukan sahaja memberi kekuatan kepada kita, tetapi memberi kekuatan kepada orang yang kita nak tegur.

Walaupun dia kata, "Kau bodoh!", kita senyum saja. "Ya, saya memang tak cerdik. Maafkan saya. Tapi bang... bla...bla..bla...." (sambung ceramah).

Dan kalau dia dah bengang, barulah kita blah. Tapi sebelum berambus dari pandangan dia, jangan lupa untuk meminta maaf. Mana tahu hati dia akan tercuit. Apa kita fikir orang yang muka jenis samseng jalanan ni tak ada hati, tak ada perasaan? Mereka manusia juga! Kita berlalu secara aman, kerana lain kali kalau kita berselisih dengan dia, kita boleh cuba lagi dakwah dia! :D

Orang takkan marah kalau kita dakwah dia dengan lembut, dengan hemah, dengan sopan. PERCAYALAH!
   
Orang cuma akan berasa jengkel kalau kita berdakwah dengan 'bergaya'. Jangan sesekali fikir yang orang yang mendakwah itu lebih baik daripada orang yang didakwah. Then only kita boleh faham apa saya maksudkan dengan 'bergaya.'

   

February 19, 2012

Buku-buku saya.

Seorang ustaz (namanya saya rahsiakan) pernah memberitahu, bahwa dia pernah menerima bayaran sebanyak RM1500 untuk satu sesi kuliah maghrib di suatu kawasan orang kaya-kaya (tempatnya juga saya rahsiakan). Kata ustaz itu juga, "Sekali itu saja saya berkuliah di sana kerana datin-datin di sana telah awal-awal lagi pesan pada saya, jangan cakap tentang aurat; kami sensitif. Saya tak suka jadi ustaz yang dicucuk hidung. Orang suruh cakap A, kita cakap A. Tak ada maruah. Sebaliknya kalau benda itu haram, kita cakaplah haram. Kalau dosa, kita beritahulah dosa."

"Tapi, duit RM1500 tu tetap saya ambil. Lepas tu saya cakaplah kepada datin-datin tu; 'maafkan saya datin. Saya dah tak boleh berkuliah di sini kerana rosak hati saya datin. Datin semua carilah ustaz lain, yang mengajar agama ikut telunjuk datin".

----------------------------------

Banyak benda yang saya tertarik dengan cerita ustaz ini. Pertama, tentang prinsip. Yang betul, kita cakap betul walaupun orang tak suka, walaupun orang benci. Yang salah, kita cakap sahaja salah. Tak perlu nak dicucuk hidung, nak ditungggang-tunggang.

Kedua, saya tertarik dengan ucapan kedua ustaz itu. "Duit RM 1500 tu tetap saya ambil. Dah orang bagi, ambil sahajalah." Kenapa ustaz itu ambil wang tadi, sedangkan dia tak berkenan dengan datin-datin yang memilih dalam beragama?

Kerana saya nampak, bahawa duit sebenarnya ialah satu elemen yang penting dalam agama. Tanpa duit, dakwah pun tumpul. Jadi, ustaz tadi... bila dia mengambil RM 1500, upahnya berceramah... dapatlah dia gunakan amaun yang besar tadi untuk memperbaiki kehidupannya, dan juga memperbaiki masyarakat. Wang yang diberi, dia gunakan sebagai satu lagi bentuk dakwah, selain dengan dakwah lisannya.

Allah berinya potensi dan kelebihan dalam memberi ucapan umum. Sedang setiap kelebihan manusia kan bervariasi.
---------------------------------------------

Saya juga melihat wang sebagai elemen yang penting. Penting; dalam meneruskan kelansungan hidup, ibadah, dan dakwah.

Dan ini juga ialah salah satu sebab saya menulis novel. Baik Transit Cinta, mahupun Dia Yang Kunikahi; kedua-dua saya tulis kerana dakwah. Kerana saya cintakan dakwah, tetapi saya tidak ada sesuatu apapun yang boleh saya laburkan untuk jalan ini, melainkan sedikit kebijaksanaan dalam mengarang cerita!

Maka, terlahirlah blog ini, dan terlahirlah dua novel saya.

Orang bertanya, "Kalau novel tu untuk dakwah, kenapa tak beri free sahaja?"

Maka, situasi saya sama dengan situasi ustaz tadi. "Kenapa nak ambil upah bila berceramah?"

Jawabnya, kerana apa-apa yang kami terima bukan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk jalan dakwah ini juga.

Dahulu, blog saya pernah diletakkan iklan nuffnang. Lama jugalah, sehingga ada orang tegur: "Iqbal, blog awak islamik, tetapi ada iklan-iklan yang berasaskan produk yahudi (nestle), dan ada gambar-gambar seksi (iklan pusat peranginan). Jadi saya fikir, tak patut untuk blog dakwah dan blog islam turut sama mempromosikan benda-benda begini."

Saya terima cadangan beliau. Saya hentikan iklan. Tapi tak pernah orang nak tahu mengapa saya pasang iklan nuffnang. Allah sebagai saksi- Saya mahu wang yang diterima, digunakan untuk agama ini. Saya dapat sedikit sahaja; lebih kurang RM82. Dan syukur, duit kita (hasil pageview dan klik anda pada iklan), telah saya lorongkan kepada pembinaan sebuah sekolah agama (atau madrasah, saya sendiri tak ingat) dan duit itu, yang syubhah, kita gunakan untuk binaan-binaan yang ada hubung kait dengan maslahat awam (contoh; tandas atau jalan raya di sekolah atau madrasah tadi).

Bab rezeki, saya rasa saya dah cukup. Saya tak memerlukan duit nuffnang, sampaikan saya nak anggap duit itu sebagai sumber rezeki saya pula! Itulah yang saya hairan dengan masyarakat kita- katanya mahu islam tertegak, tetapi tak ada sumbangan pun pada agama ini. Disaat para mudir menyeru, "Kami sedang membina maahad tahfiz di bla...bla...bla... jadi kami mohon sumbangan daripada tuan-tuan untuk kita sama-sama membantu perjuangan islam bla...bla..bla..."

Tapi kita sedekah berapa? RM1. Bukan saya nak mempertikai, tetapi kenapa untuk agama, kita sumbangkan 'tahi kuku' tetapi untuk kepentingan diri sendiri, kita menunjal ke awan?

Itu satu.

Seperkara, memang kalau saya kaya... saya akan hadiahkan setiap seorang yang saya rasa perlu, novel-novel saya. Ya! Saya akan beri percuma. Tetapi saya tak kaya. Saya tak mampu nak beri semua. Sebab itu saya suruh anda beli.

"Tapi nanti kita kayakan syarikat, bukannya akan untungkan agama pun!"

Saya tegaskan disini; bahawa setiap kali anda membeli buku-buku saya, 7.5% daripada harga buku anda (harga semenanjung Malaysia), ialah royalti bagi saya. Kiranya, jika anda membeli satu naskah novel DYK, saya mendapat kurang lebih RM 1.425 sen (atau mudah kira, RM1.50) dan jika anda membeli satu naskah Transit Cinta, saya juga akan mendapat RM1.50 juga bagi setiap naskah. Banyak?

Tak banyak. Sedikit.

"Jadi sebab tu kami tak nak beli, sebab kalau Iqbal guna duit royalti untuk dakwah pun, cuma RM1.50 sahaja daripada wang kami tu yang digunakan untuk dakwah. Baik kami gunakan untuk benda lain."

Lihat cara orang 'miskin' berfikir. Melihat kepada sesuatu yang dekat. Baiklah, saya akan jernihkan kekeruhan ini. Mohon kita berlapang dada.

Pertama, inilah sebabnya saya menulis untuk JS Adiwarna. Istimewanya syarikat ini, kami tidak mengkayakan boss-boss syarikat hingga ada yang bergelar Datuk, Datin, atau apa-apa. Syarikat Jemari Seni, dan sekutunya, JS Adiwarna (yang saya sedang menulis dengannya sekarang) ialah salah satu syarikat penerbitan yang berbakti kepada masyarakat. Salah satu program kami ialah, "Sayang nak buku" yang mana kami akan pilih beberapa sekolah yang kami kira layak untuk kami sumbangkan buku-buku kami. Kerana itu, ada buku-buku kami yang boleh ditemui di kutubkhanah sekolah, kerana bagi kami, pemilihan bahan bacaan yang berkualiti kepada generasi muda adalah sangat penting.

Dan pepatah arab ada berkata, "Hanya orang yang memiliki sahaja yang mampu memberi." Nampak hubung kaitnya?

Saya juga ialah penulis jenis kedua- yang menulis untuk menyampaikan mesej dan dalam masa yang sama, meraih sedikit royalti. Saya boleh sahaja menulis dengan syarikat X, kerana syarikat X ialah syarikat buku yang tersohor di negara kita ini! Paling bayak di gedung buku! Boleh sahaja, tapi saya yang tak hendak. Kenapa? Kerana saya tak nak kayakan Datuk X. Saya nak memberi kepada masyarakat, bukan kepada individu!

Saya sebenarnya terkilan bila orang duk minta buku free sahaja. Terkilan tapi saya tak zahirkan (sampailah malam ini). Apa kalian kira saya menulis sehari? Saya tak buat rujukan? Saya tak penat, tak lelah? Ingat mudahkah mahu kaitkan nas-nas agama dengan situasi yang saya reka? Tak mudah. Kerana tak mudahlah saya jadi pasif dalam bab mahu mengkritik karya orang. Sebab saya sendiri dah merasa peritnya, maka saya tahu juga perit hati kita bila hasil kerja kita dikritik- untuk menjatuhkan!

Kritikan membina ialah satu hal yang lain.

Saya, saya tak mampu untuk berceramah... untuk mendatangi pintu ke pintu... tapi saya cuma mampu menulis. Harapan saya besar di sebalik karya-karya saya: untuk kembali merubah cara kita memandang agama.

Saya tak tahu berapa jauh karya saya boleh pergi, tetapi saya cuma tahu satu perkata- saya memerlukan sokongan kalian!

Jangan berkira sangat untuk beli buku-buku saya. Anda tak mengkayakan saya pun. Anda juga tak mengkayakan syarikat yang menerbitkan buku-buku saya, JS Adiwarna. Mereka cuma ambil cukup-cukup makan sahaja untuk teruskan hidup, yang mana pada akhirnya, disumbangkan kembali kepada masyarakat.

Simbiosis. Sinergi.

Kita perlu ingat, manusia itu sifat dan minatnya tak sama. Ada suka kopi, ada suka teh. Ada suka strawberry, ada suka ceri. Tapi yang pasti, kita semua ada titik persamaan. Salah satunya ialah minat yang sama; iaitu novel. Dan perlu diingatkan juga, bukan semua perkara boleh kita sampaikan dalam bentuk tulisan ilmiah. Ada beberapa situasi dan keadaan, benda-benda ilmiah ini tersangat berat dan sukar dihadam oleh akal kita yang dangkal ini. Jadi, ia memerlukan contoh. Dan untuk contoh itu hadir, kita tak boleh menggadaikan prinsip agama dengan cara melakonkan di layar perak. Tidak.

Mungkin mesej sampai jika ada lakonan atau pementasan, tapi disana, agama kita tergadai. Ada adengan buka aurat, ada adengan pegang tangan, dan lain-lain. Tetapi jika ia disusun dalam kisah yang memikat, mengikut acuan imaginasi penulis, dengan izin Allah, mesej akan sampai dengan jelas. Kali ini, ia terus memukul tembok hati!

Sekali lagi, belilah. Saya memang tak kaya mana tapi saya tak kebulur dengan duit royalti. Cuma saya memandang tinggi pada nilai-nilai yang saya cuba terap dan perjuangkan dalam karya saya. Mesej-mesej saya dan pesan-pesan saya... segalanya adalah lebih bernilai daripada sekeping cek yang diatasnya tertera nama saya.

Jika anda berat nak membaca, apa salahnya belikan untuk adik-adik anda, sepupu-sepupu anda, atau kawan-kawan anda?

Kita boleh beli macam-macam untuk anak-anak kita. Kita hadiahkan benda-benda mahal, tapi kadangkala tidak bermanfaat; tidak ada untung akhirat, bahkan merosakkan pula anak-anak kita. Apa salahnya kita ubah tradisi? Kita beri buku?

Tapi perlu diingat- bagi remaja yang jauh dengan agama, agak mustahil mereka mahu mencapai buku agama, tetapi novel tarbiyyah yang berselindung di balik 'cover' cinta, insya-Allah ia mampu menarik kembali mereka!

Saya mahu 'menyerang pemikiran' anak-anak kita, sebagaimana kita telah biarkan Yahudi telah menyerang pemikiran anak-anak kita!

Tapi saya perlukan kalian. Kita ubah adat kita.
Wake up!
              

February 18, 2012

Dari balik kantung emel.

Saya jarang menerima emel daripada pembaca. Tapi baru-baru ni, ada juga yang sudi menghantar emel, yang mana isi kandungannya saya rasa berbaloi untuk dikongsikan kepada semua pembaca Bayyinat.
------------------------
assalamualaikum wbt (^.^)

maaf kalau tiba-tiba inche iqbal menerima emel mengejut ini. jangan terkejut banyak-banyak ye. memandangkan kita sebaya berdasarkan tahun kelahiran, maka sy tak tahu nak panggil apa sebab nanti takut inche iqbal tak selesa pula. jangan risau, sy tak pandai mengorat orang. *macam yg kat entry tu*
Saya tak terkejut pun. Saya juga selesa kalau orang panggil saya Iqbal, bukannya gelaran-gelaran atau nama-nama yang selain daripada Iqbal.
sy baru je terbaca blog anda baru-baru ini dengan izin Allah. sy juga tiba-tiba rasa seronoknya membaca kisah anda yg telah mendapat pencahayaan beberapa tahun yg dulu itu. kiranya, memperbaiki diri dengan jalan yg lebih selamat dan istiqamah.

oleh itu, sy nak tanya la kan, macam mana mula-mula nak mendalami islam dengan sedalamnya seperti sekarang? bukan hanya sekadar melakukan yg wajib tp memperbaiki lg yg wajib itu. 
Alhamdulillah. Senang dan ringan rasa hati saya bila ada hamba Allah yang menganggap tulisan saya ada nilai. Saya, hakikatnya menulis kepada diri saya. Mahu menasihati diri saya seterusnya mendidik jiwa saya. Syukurlah bila tempias itu terkena kepada orang ramai juga. 

Berkenaan dengan soalan bagaimana saya mendalami islam, saya boleh jawab tetapi saya tak boleh jawab dengan detail kerana sebagai orang yang beriltizam dengan jalan ini, berahsia itu penting. Berhati-hati pula ialah perisainya. Hilang sifat berhati-hati, maka mudahlah musuh menyerang. Jadi, sebagai jawapan mudah; nak mendalami islam memerlukan kepada prinsip ini- "...tanyalah kepada orang yang tahu, jika sekiranya kamu tidak mengetahui." (al-Quran, surah Al-Anbiya ayat7).

Kalau sekadar belajar dengan Tuk Guru YouTube, Tuan Haji Google, Ustaz Blog, tak jadi. Nak dalami agama, perlu kepada hubungan dan komunikasi dua hala. Banyak kali saya diingatkan agar berguru dengan manusia, bukan berguru dengan internet atau apa-apa selain manusia. Kerana alasan mereka mudah lagi benar; Bukan semua bahan yang kita baca dan tonton itu betul dan benar. Jadi sangat penting untuk kita perkukuhkan agama dengan bimbingan orang-orang yang dipercayai kebenaran agamanya. Bergurulah. 

Saya sebenarnya mana pernah ada guru yang betul-betul. Cuma saya suka mendengar ceramah agama (antara maghrib dan isyak). Bila ustaz dah nak habis ceramah, saya pun akan angkat tangan dan bertanya. Nak malu apa? Nak takut apa? Yang jahil itu kita, bukannya ustaz tu. Dan kerana sudah selalu sangat approach ustaz-ustaz, hubungan kami makin erat dan makin erat. Hingga dapat bertukar-tukar nombor telefon pula. Macam ni lagi mudah- kalau ada curiosity, boleh consult ustaz (walaupun tanya ustaz, tapi tak masuk TV9).
Boleh ya?
sy sedang belajar di IPTS tapi malangnya kat tempat sy belajar memang kurang aktiviti seperti ceramah-ceramah berkaitan islam. kadang-kadang jeles tengok mereka yg dah lama ditarbiyah.hehe
Ya. Saya tak nafikan bahawa kurangnya aktiviti keagamaan di IPT sebenarnya ialah suatu kekurangan atau suatu kerugian yang amat besar. Jika anda mampu, apa kata anda sendiri yang kejutkan orang atasan atau paling tidak, persatuan pelajar yang memegang urusan agama di IPT anda. Mereka mungkin sedang tidur, tak nampak kerugian atas kelewahan mereka daripada menggenggam peluang yang ada pada mereka.

Tapi kalau tak mampu, penting untuk anda mencari lubang-lubang lain bagi mendalami agama. Salah satu caranya ialah dengan memanfaatkan sepenuhnya internet ini. Saya pun banyak mendapat perincian daripada internet. Bila ada ustaz menyebut tentang satu perkara yang saya tak farmiliar, saya akan cuba cari di internet. Kalau tak dapat, bulan depan (sebab kuliah bulanan), saya akan tanya semula (jika ada peluang, selalunya ustaz zaman sekarang ni sibuk. Habis ceramah, terus nak balik).
so, macam mana permulaan yg dilakukan anda waktu permulaan dulu?
boleh tak bagi beberapa rutin harian yg wajib dilakukan bagi mengukuhkan lagi iman kita?
Kita tak sama. Saya lelaki dan anda perempuan. Sebagai lelaki, masa saya mula-mula sedar, saya mulakan perubahan saya dengan menanamkan kecintaan kepada solat berjemaah dan kepada masjid atau surau. Segala apa yang hubungan rapat dengan surau, saya akan turut sama terlarut mencintanya. Daripada itulah saya tersedar bahwa ilmu agama juga penting dan saya mula memandang besar pada agama.

Tentang rutin harian, memang tidak ada lain; solat berjemaah. Itu sahajalah yang masih mengikat saya. Tapi saya lelaki. Lelaki memanglah dituntut gila-gila (baca: sangat-sangat) untuk solat berjemaah di masjid atau surau. Tetapi wanita, anda mungkin perlu mulakan rutin dengan memperbaiki solat (daripada segi rukun dan khusyuk) dan mendalami al-Quran. Baca teks arab, dan baca terjemahannya bersama. Di sana, hati kita akan terbuai (jika niat kita ikhlas mahu dekati Dia). Kerana al-Quran ialah kata-kata Allah, maka al-Quran adalah sebaik-baik bahan untuk kita baca, jauh lebih mulia dan utama daripada blog-blog agama.
lagi satu, agak-agak available lagi tak kalau nak baca "antara dua bidadari"? tu pun baru terbaca penawaran di blog inche. mungkin boleh tambah lagi ilmu. hehe.
Erkkk.. tu cerita lamalah cik. Saya dah novelkan dah pun, dengan tajuk Dia Yang Kunikahi. Terbitan JS Adiwarna. Dan sekarang, anda boleh dapatkan novel itu dengan novel terbaru saya, Transit Cinta. Situasi dan jalan cerita Transit Cinta rasanya sangat sesuai dengan anda. Ya, tak ternafi lagi. Cocok benar!
akhir kata, terima kasih kalau inche iqbal terbaca emel ini dan sangat lah berbangga sekiranya inche sudi membalas emel ini. sy hanya mencuba nasib, kalau Allah redha, mungkin akan mendapat maklumbalas yg baik Insha-Allah.
jzkk :)
Allah... bila baca part ni, saya seperti merasakan yang anda terlalu menyanjung saya. Jangan! Saya takut. Saya bukannya ulama atau para jundullah yang sibuk dengan dakwah, yang matanya tak memandang selain jalan ini. Saya lelaki biasa. Ada masa tulis blog. Ada masa baca blog. Dan ada masa juga untuk mengarang novel. Saya, Iqbal Syarie yang biasa-biasa saja. Saya takut bila anda atau sesiapa sahaja mengangkat saya lebih daripada orang biasa. Tersegan saya bila membaca kisah Imam Ghazali yang tanpa ragu-ragu melepaskan jawatan rektor Universiti Al-Azhar apabila orang ramai menyanjung-nyanjungnya.

Saya mahu lama kekal menjadi penulis, jadi saya perlu bantuan kalian untuk tidak praise saya, tapi pray untuk saya.
                     

February 15, 2012

Maafkanlah dan lupakanlah!

assalammualaikum..saya ade seorg kwn baik..saya rasa dia membenci saya dlm diam..prlukah saya menjauhkn diri saya agar kehidupannya lbih sng?
Pernah dengar ungkapan, "You can run, but you cannot hide."

Memang tak kena pun, sebab saya main petik je. Benda yang kebetulan terlintas dalam kepala otak saya saja, tapi saya faham bahawa setiap masalah, perlu kita selesaikan dan bukannya kita lari. Nak lari, boleh. Tapi masalah tu takkan selesai. Mungkin bertambah buruk pula jadinya nanti!

Berkenaan dengan kawan tu, boleh tak kita define apa maksud kawan baik?

Kalau dah membenci, benci dalam diam pula tu... adakah masih boleh kita panggil dia sebagai kawan baik?

Begini nasihat saya. Kita rujuk balik kepada satu pesanan Rasulullah; "Seorang muslim itu ialah cermin bagi saudaranya."

Dalam hadis yang lain, Rasulullah berkata tentang sahabat sejati, "Mahukah kamu aku beritahukan mengenai orang baik di kalangan kamu?" Para sahabat menjawab, "Ya, wahai Rasulullah..." Lantas Baginda bersabda, "Apabila kamu memandang kepada mereka, kamu teringat kepada Allah."

Saya suka nak highlight perkataan ini- "Apabila kamu memandang kepada mereka, kamu teringat kepada Allah."

Nampak tak? Kawan baik dan kawan yang baik ialah mereka yang mendekatkan kita kepada agama, dengan Allah. Tak seharusnya dia pelajar ijazah agama di UIAM, tak juga seharusnya pelajar master jurusan agama di KUIS, atau ustaz muda di sekolah pondok, atau mungkin juga penulis blog islamik! Tidak. Yang penting ialah, setakat mana sahabat itu membawa kita kepada dekatnya dengan Allah, maka setakat itulah kita wajar berdamping dengannya.

Kan hadis pertama tadi menyatakan bahawa sahabat itu cermin. Jika kawan kita baik, maka kita akan turut menjadi baik secara berperingkat. Dan jika sebaliknya, dia jahat... maka kita juga akan sama terpalit dan berpaling ke polar binasa. Dan ia sangat bahaya!

Jadi, nasihat saya... kalau dia sahabat yang baik, jangan lepaskan dia! Tapi jika dia sahabat yang merosakkan, maka biarkanlah dia. Sila faham betul-betul. Membiarkan bukan bermakna kita biarkan dia terbinasa, hanyut, lalai, bahkan mereput. Tidak!

Membiarkan bermaksud, tidak berdamping. Dalam al-Quran... dalam surah At-Taubah, Allah isytiharkan kepada umat manusia, bahwa teman sejati manusia ialah Allah, Rasul-Nya, dan kaum muslimin yang bertaqwa. Di tempat lain, Allah tinggalkan persoalan untuk kita membuat koreksi diri, "Adakah wajar bagi hati kita, untuk condong kepada orang yang zalim? Dan adakah patut, kita jadikan orang-orang yang tak beriman dan beramal soleh ini sebagai pendamping kita, yang kita jadikan idola... jadikan ikutan?"

Jelas. Jika sahabat anda orang yang baik, maka usahakanlah memujuknya. Muhasabah diri- apakah aku ada berbuat salah dengannya? Atau, aku melukai hatinya, dalam sepi dan tidak ketahuan?

Wallahua'lam.
-----------------------------------------
Salam.. Macam mana nak redhakan hati dgn dugaan Allah.Contohnye,dah maafkan org yang kecewakan kite.tp hati masih rasa sakit bile teringat.
Dalam bab memaafkan orang, kita takkan dapat menafikan hakikat bahawa manusia yang paling pemaaf ialah Rasulullah. Dalam beberapa peristiwa yang disemadikan dalam sirah, Rasulullah pernah menyimpan kesedihan dan rasa seakan-akan mahu membalas dendam terhadap kematian bapa saudara yang dia cintai, Hamzah Bin Abdul Mutalib hingga Allah datangkan wahyu kepada Baginda berupa teguran, agar baginda tidak membalas dendam.

Nampak sangat Baginda cinta dan sayangkan Hamzah, dan nampak sangat... Baginda bersedih dan kesal, kepada pembunuhnya- Wahsyi.

Wahsyi, kita kenali dia sebagai bekas hamba yang dimerdekakan oleh tuannya, Hindun binti Uthbah kerana berjaya membunuh Hamzah. Tak lama, Wahsyi menerima hidayah. Dia bertemu Rasulullah, menyatakan keislamannya. Baginda menerima, bahkan memaafkan, walaupun Wahsyi ialah orang yang telah membunuh Hamzah. Tetapi pinta Baginda, Wahsyi jangan muncul di depan Rasulullah secara terang-terangan.

Ditanya kepada Baginda, adakah baginda tidak memaafkan Wahsyi, si pembunuh insan yang dia cintai. Lalu jawab baginda, "Aku gembira, bangga dan bahagia dengan keislamannya. Cuma aku akan bersedih dan teringat kepada Hamzah setiap kali aku memandang wajah Wahsyi. Oleh itu, janganlah dia berada di hadapanku."

Perkara yang sama berlaku pada Hindun. Hindun, termasuk dalam beberapa orang yang perlu dibunuh kerana kecabulan, kerosakan, dan permusuhan yang dia nyalakan kepada kaum muslimin sebelum fathul makkah (pembebasan mekah), tetapi Allah berikan dia hidayah. Dia masuk islam, dan Rasulullah menerimanya dengan hati yang terbuka. Betapa pemaafnya Baginda, segala kekejamannya di zaman jahiliyyah dimaafkan, termasuklah perbuatannya merobek dan memamah hati Penghulu syuhada', Saidina Hamzah Bin Abdul Mutalib!

Kita boleh rujuk dalam al-Quran, Allah berfirman: "(Orang-orang bertaqwa itu ialah) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik waktu lapang maupun waktu sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan (ihsan)."

Boleh rujuk surah ali-Imran ayat 134.


Juga, dalam peristiwa hadisul ifk (fitnah yang dilemparkan oleh munafikun kepada Saidatina Aisyah r.anha), di mana salah seorang yang terlibat dalam penyebaran fitnah itu ialah Ummu Misthah. Ummu Misthah ialah antara seorang kerabat Saidina Abu Bakar dan kehidupannya selama ini disara oleh Saidina Abu Bakar. Lalu, kerana keterlibatannya dalam penyebaran fitnah terhadap anak tercinta, Saidina Abu Bakar mahu memotong bantuan tersebit, lalu Allah menurunkan firman-Nya:

"Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani"

Kalau rasa susah sangat nak memaafkan, sila baca susunan perkataan daripada kitabullah yang telah saya bold diatas. Jika kita mahu dimaafkan, kita sendiri perlu memaafkan. Jika kita mahu disayangi, kita sendiri perlu menyayangi!

Now, we must forgive... and forget!

Tapi ingat, seorang muslim takkan terjatuh dalam lubang yang sama dua kali!

Wallahua'lam.
----------------------------------------------
Assalamualaikum Makin lama saya makin tak suka dengan kerjaya saya. adakah disebabkan saya tidak beristikharah sebelum membuat keputusan menerima kerja ini menjadikan saya sentiasa mahu berhenti. Bila difikirkan hutang perlu dibayar, saya masih bertahan
Waalaikumussalam.
Kerja apa? Kerja yang halal dan baik-baik saja, kan? Jadi, terpulanglah. Kalau rasa tak suka, carilah kerja lain. Tapi kalau bimbang hutang tak terlansai, maka bertabahlah. Ubah rutin kita di tempat kerja, selalulah tersenyum, memesrai (bersahabat dengan) rakan sekerja,  berfikiran positif, dan sentiasa berdoa kepada Allah, agar Dia mudahkan dan cantikkan hari-hari kita.

Kalau nak kata sebab tak buat istikharah, hmm... boleh jadi juga! Sebab tak minta petunjuk Allah dahulu. Tapi kita umat islam wajib percaya, segala-galanya sudah tertulis. Jadikan pengajaran. Moga hubungan kita dengan Allah akan jadi tambah akrab, kerana Dia sudah menjadi 'konsultan' kita :)

Wallahua'lam.
------------------------------------------

Ada beberapa soalan lagi, tapi saya mengantuk (penat). InsyaAllah nanti saya jawab lagi, mana-mana yang saya tahu. Yang tak tahu, saya biar dululah ya.
 

February 13, 2012

Istimewa, Sang Kekasih.


Dengan nama Allah, Tuhanku dan Tuhanmu.

Allah telah berfirman dengan jelas, "Dijadikan indah pada pandangan manusia berupa kecintaan kepada apa yang dia inginkan, berupa perempuan-perempuan (pasangan), anak-anak, harta benda yang bertompok dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan, dan sawah ladang. Pun begitu, ia hanyalah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah sahajalah tempat kembali yang baik."

Wahai kaum muslimin,
Di tempat yang lain, Allah berfirman, "Dan berilah peringatan, kerana peringatan itu bermanfaat kepada kaum muslimin"

Demi Allah, Tuan punya alam...
Saya menulis kerana terdetik rasa mahu menegur, dan memberi peringatan.
Bukan mahu menempelak.
Bukan mahu menyindir.
Cuma menegur, kerana kasih.

Wahai kaum muslimin,
Saya melihat ada yang tak kena pada diri kita. Kita semuanya.
Pandangan kita dan cara kita melihat agama... serong. Senget, dan berpisat-pisat. Kita akur bahawa islam itu sempurna dan kita juga akui, bahawa sebagai penganut agama ini, kita berkewajipan untuk mendakap islam dengan sempurna.

Kita bertanggungjawab untuk islam dalam seluruh aspek kehidupan. Islam yang penuh, bukan suku, bukan separuh. Islam ialah primer, dominan. Tapi yang saya lihat, kita lebih menumpukan pada soal cinta dan perasaan dalam agama ini.

Adakah islam itu hanya semata-mata kerana cinta, kasih sayang, jodoh, berpapasan, atau baitul muslim semata-mata? Adakah jika kita tidak mendekati couple, islam dalam diri kita sudah elok dan sempurna?

Dan pernah tak kita menjumpai mana-mana nas yang menyatakan syarat masuk syurga ialah dengan tidak bercinta dengan lelaki atau perempuan sebelum nikah? Atau, tidak bercouple?

Tapi masalahnya, kalian seolah-olah faham begitu. Dan tadi, saya cuma mengambil masa 10 minit untuk status cinta saya mengumpulkan 'like' sebanyak 15 kali. Dan saya mengambil masa 30 minit untuk status tarbiyyah saya di'like', juga sebanyak 15 kali. Nampak tak di sana ada masalah?

Saya yakin, tujuan anda subscribe Facebook saya ialah untuk manfaat anda. Saya juga yakin, tujuan anda 'add as friend' pada saya juga untuk kebaikan anda. Jadi, atas nama kebaikan, saya menegur. Islam itu sempurna dan menyempurnakan. Jangan pandang dengan satu lapis pandangan. Jangan faham dengan satu urat kefahaman. Islam yang sempurna, seharusnya dinilai secara penuh... sempurna. Dalam agama ini, ada keutamaan-keutamaan, juga ada nilai tambahnya yang tersendiri.

Jangan keliru. Nombor satu dan nombor dua, kan ada beza.

Tak ramai penulis yang berani menulis tentang ini. Saya terkecuali, kerana saya yakin, anda tsiqah (percaya) dengan saya. Saya tak takut kehilangan pembaca, kerana saya tak mencari populariti. Juga, saya bukan mahu menjatuhkan air muka kalian jauh sekali menghina dan memperlekehkan kalian. Sebaliknya saya mahu mengangkat kalian. Mengangkat jiwa dan nilai pandang kalian! Oleh itu, buka hati kalian dan fahamilah hakikat sebenar.

Pernah dahulu, seorang pemuda mendatangi Saidina Ali. Ketika itu Saidina Ali ialah khalifah. Pemuda tadi bertanya, "Ya Amirul Mukminin, mengapa di zaman khalifah sebelum kamu, keadaan tidak runcing, kacau, dan gawat seperti zaman pemerintahanmu?" Lalu jawab Saidina Ali, "Kerana pada zaman mereka menjadi khalifah, pemuda-pemuda di zaman itu ialah pemuda seperti aku, sedangkan di zaman aku menjadi khalifah, pemudanya seperti kalian!".

Satu bahasa yang cukup mendalam maknanya. Gunakan hati kita untuk menterjemahnya.

Wahai kaum muslimin,
Adakah kita pemuda yang seperti Saidina Ali, atau adakah kita pemuda seperti pemuda yang hidup di zaman Saidina Ali menjadi khalifah? Saya pasti kita tidak upaya untuk mengatakan "Kita semua lebih bagus daripada pemuda di zaman Saidina Ali." Tidak mungkin! Apa lebihnya kita? Bahkan kita jauh terkebelakang dalam sisi kehidupan beragama. Akhlak kita tidak menepati KPI (key performance index) yang Allah mahu. Ibadah, ilmu, keterampilan, bahkan hubungan kita dengan alam sendiri sudah sasar.

Kita akui itu. Bahkan pemimpin negara kita lagikan melaung, "Kembalilah kepada islam." Tetapi apakah pelan dan tindakan? Ya, memag ada. Tapi mudah sahaja ia dicantas oleh aroma jahiliyyah yang tak sirna sejak dahulu.

Wahai kaum muslimin,
Saya ditugaskan untuk mengajak serta menyampai, bahwa kita semua perlu kepada perubahan. Perubahan yang dimulai dengan mengubah cara kita memandang agama dan diakhiri dengan perjuangan kita. Saya tak menafikan bahawa remaja dan cinta ialah seperti irama dan lagu. Kata mereka, irama dan lagu tak mampu dipisah. Tetapi saya sendiri tak meminta ia dipisahkan! Remaja dan cinta tidak perlu dicantas. Keduanya selari dan malar. Tetapi, remaja dan cinta itu bukannya puncak. Puncaknya ialah remaja dengan Tuhannya!

Mengapa kita terlalu berminat dengan persoalan cinta, dengan kita jadi hilang minat untuk mendalami subjek akidah, dakwah, ilmu, dan akhlak?

Saya, bila menulis tentang cinta, maka beribu membaca.Saya, orang yang sama, bila menulis tentang selain cinta, maka separuh daripada ribu juga tak tentu.

Orang bertanya, "Ada apa dengan like dan share?"

Yalah. Ada apa? Tak ada apa-apa melainkan aa cuma menunjukkan komitmen kita, kebanggaan kita, dan benang pemikiran kita. Beringatlah... Agama ini luas. Sudutnya juga luas. Jangan sempitkan agama hanya dengan nilai cinta sahaja. Ilmu agama bukan hanya kepada cinta.

Islam takkan tertegak dengan hanya kita melahirkan generasi pemuda yang tidak bercouple.Islam juga takkan utuh di bumi Melayu ini, jika generasi pemudanya hanya sibuk dalam berperang dengan nafsu sendiri. Berperang dengan nafsunya. Saban hari, saban bulan, saban tahun. Tak selesai-selesai. Pemuda yang sebaya dengan kita, di bumi terik dan kontang sana sudah lama berperang dengan musuh, tapi kita masih kaku... berperang dengan syahwat. Mereka gugur syahid, kita gugur hina.

Jangan sempitkan maksud hidup kita untuk benda-benda yang sempit. Sebaliknya besarkan jiwa kita untuk agama ini. Bermimpilah, kerana Umar r.a juga menganyam mimpi agar rumah itu dipenuhi dengan peribadi seperti Abu Ubaidah ibn Jarrah serta Muaz Bin Jabbal.

Dan saya juga bermimpi, agar kita juga punya keberanian untuk menjadi menegakkan agama ini- bukan hanya menegakkan pendirian untuk tidak bercinta sebelum nikah!

Kerja agama memerlukan kepada jiwa yang besar. Jadi, jika anda terasa kecil hati dengan surat terbuka ini, maka itu adalah petanda yang kurang baik. Moga Allah pimpin saya, dan kalian.

Jika rasa ia bermanfaat, sebarkanlah kerana kita tak tahu amalan kita yang manakah yang Allah terima.
-------------------
13 Feb 2012
12:13 AM.

Iqbal Syarie,
Penulis blog Bayyinat,
Dan pengarang novel Dia Yang Kunikahi dan Transit Cinta.

February 11, 2012

Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga.

memandangkan tak boleh taip panjang2, terus pd soalan. apa pdpt ttg "llk yang soleh lbh baik berkahwin dgn wanita biasa dan wanita solehah berkahwin dengan lelaki biasa. minta jelaskan lebih pd keadaan yang ke2, bagaimana wanita mampu membimbing suami?
Saya suka mengulang-ulang sebutan orang tua kita dulu-dulu; "Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga."

Maksud peribahasa itu ialah; Kalau tidak cukup syarat, jangan dibuat apa yang tidak terdaya!

Samalah dalam pernikahan. Saya kira, hadis tentang 'memilih pasangan berdasarkan kriteria agamanya' sudah cukup jelas. Dalam hadis itu, Rasulullah kata; "Carilah yang beragama", kerana hakikatnya... yang beragama itu akan membahagiakan.

Satu perkara yang kita selalu tak faham, kita bayangkan 'orang beragama' itu sebagai orang yang hafaz al-Quran 30 juzuk, orang yang berceramah di masjid dan surau, orang yang ambil ijazah dalam jurusan fiqh atau usuluddin, atau juga orang yang dicanang-canang padanya gelaran ustaz atau ustazah.

Tak. Tak semestinya begitu.

Yang benar, yang tepat... ialah bagaimana dia mahu agama. Tak seharusnya dia fakeh. Tak semestinya dia perlu alim. Tapi yang perlu ialah, dia punya kesungguhan dan keupayaan untuk menggerakkan iman kita ke hadapan.

Kembali kepada persoalan isteri bimbing suami, saya suka nak bertanya; Yakinkah kita mampu membimbing? Atau mungkin ombak dan badai alam rumah tangga, memusnahkan niat murni kita tadi, hingga kita sama terdorong kepada kemelut iman?

Saya bukan mahu merendah-rendahkan orang wanita, tapi jelas... Allah menyatakan bahawa kaum lelaki ini sebagai pelindung kepada wanita, atas kelebihan lelaki yang Allah sediakan secara fitrahnya. Rujuk surah An-Nisa ayat 34.

Yang berlaku, bukannya sedikit orang perempuan yang murtad kerana jatuh cinta dengan lelaki kafir!

Mesti perempuan-perempuan melayu yang bercinta dengan lelaki cina kristian tadi, pernah berfikir: "Aku nak islamkan dia nanti sebelum kami kahwin."

Tapi ia tak berlaku. Kerana jelas, perempuan tak cukup kuat untuk melawan ego, tipu daya, dan pujuk rayu lelaki. Lelaki berkulit buaya, banyaknya!

Jadi, jawapan saya bagi soalan ini ialah: Ukurlah baju di badan sendiri. Jika yakin yang kita akan dakwahkan dia, dan bukannya dia yang akan 'dakwahkan' kita, maka terpulanglah. Tapi jangan lupa untuk berfikir panjang dan meminta petunjuk Allah melalui rintih sayu kita pada dinihari.

Tolong jangan buat sesuatu keputusan menggunakan akal yang pendek. Lebih saya takutkan, anda membuat keputusan yang besar, menggunakan perasaan yang sudah penuh dengan cinta. Cinta yang tak jelas, tapi telah menjadi kabus yang menutup logik!

Jangan begitu.
Anda ada Tuan punya takdir. Tanya Dia.

------------------------------------------
macam mana nak jaga ikhtilat dalam facebook?
 Nak jawapan yang pendek atau yang panjang?

Yang pendek- deactivate Facebook anda, atau unfriend dengan lelaki-lelaki, sahabat anda.

Tapi kalau jawapan ini yang saya beri, jelaslah tahap intelektual saya menghampiri sifar. Tak bernas langsung!

Tapi begitulah. Susah nak jaga pergaulan di alam maya, hingga ramai yang terbabas. Saya suka nak menggunakan beberapa dalil daripada hadis 40 susunan Imam Nawawi.

Ada satu hadis yang berbicara tentang hati. Pertama, dalam hadis ke-11, Rasulullah S.A.W bersabda, "Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu."

Kedua, hadis ke-27, Rasulullah S.A.W bersabda; "Dari Nawwas bin Sam’an r.a dari Rasulullah saw baginda bersabda : “Kebaikan adalah akhlak yang baik, dan dosa adalah apa yang terasa mengaggu jiwamu dan engkau tidak suka jika diketahui manusia “ Riwayat Muslim. Dan dari Wabishah bin Ma’bad r.a dia berkata : Saya mendatangi Rasulullah saw, lalu baginda bersabda: Engkau datang untuk menanyakan kebaikan?, Saya menjawab, "Ya." Baginda bersabda : Mintalah pendapat dari hatimu, kebaikan adalah apa yang jiwa dan hati tenang karenanya, dan dosa adalah apa yang terasa mengganggu jiwa dan menimbulkan keraguraguan dalam dada, meskipun orang-orang memberi fatwa kepadamu dan mereka membenarkannya.

Dan dalam surah al-hujurat, Allah katakan, "...Allah menjadikan hatimu benci kepada kekufuran..."

Jadi, nak jaga ikhtilat ialah dengan berasa 'tidak suka diketahui orang'. Bagi saya, ia terpulang kepada individu. Ada sesetengah orang (seperti saya), memang ada contact atau berhubung dengan wanita. Wanita yang bukan mahram saya. Dia update status, saya komen. Tak pun, saya like. Kadangkala, tak ada isi tarbawi pun. Tujuan saya cuma mahu mengurangkan 'ruang' atau 'gap' yang menghalang mereka daripada mendekati agama.

Sebab, orang lelaki atau perempuan... mana-mana sahaja, dan sesiapa sahaja... mereka akan mencari orang yang mereka senang, apabila mereka dalam kekusutan atau dalam masalah. Dan sekiranya penasihat mereka ialah orang yang salah, maka masalah kedua dan ketiga akan timbul. Dan paling kita takut, mereka akan jadi makin jauh dengan agama!

Dan inilah yang berlaku bila orang agama nampak terlalu 'singa' pada mereka. Hingga bila ada kemelut peribadi, setiap yang berpisat dari benang pemikiran mereka akan diluahkan kepada orang yang salah. Jika kita meminta nasihat daripada orang yang salah, apakah kita mengharapkan mereka akan memberi jawapan yang betul?

Tak. Saya sendiri terkilan, bila ada yang pandang serong pada saya. Saya belajar agama, insya-Allah saya faham dan tahu batas-batas saya. Saya ada bergurau di Facebook, ada melawak di Facebook, dan ada bertukar komen juga!

Kerana saya nak orang faham, orang dakwah bukannya singa. Orang dakwah ialah manusia. Ya, spesis yang sama. Dan paling utama, orang dakwah boleh didekati, dimesrai, dan boleh diminta pertolongan.

Dan saya mendakap rapat fatwa hati saya. Bila saya rasa tak kena, rasa serba salah, dan rasa gusar bermukim, saya akan tinggalkan perbualan saya di Facebook dengan wanita. Kerana bila dah sampai pada tahap itu, saya yakin memang saya dah nak sampai limit!

We do have a limit. Dan limit itulah yang menjaga ikhtilat di alam maya.

Wallahua'lam. Ini pendapat peribadi saya. Cuba anda tanya Inche Gabanna, kerana dia pun ramai pembaca wanita juga.

----------------------------------------

salam, sy sngat suka usrah, but then , kdg2 usrah tu ambil masa sngat lama, smpai sy jd boring n asyik ingat nk balik je. mcm mana ye? hati pun da jadi x ikhlas
Ada dua masalah disini. Masalah anda, dan masalah murabbi anda.

Tapi saya lebih nampak kepada masalah murabbi anda.

Sepatutnya murabbi contohi cara Rasulullah mentarbiyyah para sahabat. Rasulullah punya banyak metodologi yang berbeza-beza. Ada kala baginda suruh sahabatnya berimagenasi (imagine). Kadangkala, baginda melukis (seperti di atas tanah). Kadangkala, baginda mengajak sahabat berfikir. Kadangkala, memberi kuiz (seperti dalam hadis pokok kurma). Kadangkala, membawa sahabat berjalan-jalan. Dan kadangkala, baginda tak mengajar apa-apapun!

Murabbi, tak perlulah tiap-tiap minggu nak beri bahan. Kadang-kadang, tayanglah video-video pendek. Tadabbur video. Kadang-kadang, tadabbur novel. Jadilah lebih kretif. Jangan kerana anda ghairah mahu 'membina peribadi Abu Ubaidah Ibn Jarrah r.a atau peribadi Muaz Bin Jabbal r.a, anda hilang seni berdakwah.

Dan bagi anda pula (yang bertanya), kalau cepat sangat bosan, cuba buat nota. Bila murabbi anda cakap, anda salin. Dah kalau duduk dan pasang telinga sahaja, memanglah cepat bosan!

Dan paling utama, saya nampak niat anda tu seperti ada sesuatu yang tak kena. (Jelas sekali saya tak tahu apa yang ada dalam hati anda. Saya cuma meneka). Jika anda hanya mahu seronok, maka memang wajarlah untuk kebosanan segera menggigit.

Tarbiyyah bukanlah aktiviti untuk mendatangkan rasa seronok atau terhibur. Rasa seronok ialah perkara sekunder (secondary) dan ia dicapai, bukan kerana kita mencari melainkan Allah yang memberinya.

Sebaliknya tarbiyyah ialah aktiviti untuk mendapatkan rasa hidup bertuhan. Dan apakah ada perkara yang lebih indah daripada kita merasa kita ada Tuhan? Tuhan yang sebenar-benarnya, dan bukannya tuhan yang mengalir daripada celah bibir!

Wallahua'lam. Bersihkan niat. Moga kita sama-sama dipilih oleh Allah untuk membawa cahaya agama-Nya.
            

February 10, 2012

Mintalah Kepada Yang Memiliki

Sesiapa yang bersungguh-sungguh mencari jalan hidayah dan taufik, Allah akan sediakan baginya jalan yang banyak untuk dia terokai, dalam rangka dia mencari redha Tuhannya. Yang penting, kesungguhan! Sungguh-sungguhlah berusaha, kerana janji-Nya, Dia akan menyediakan jalan hidayah untuk kita telusuri. (Boleh rujuk ayat terakhir surah al-Ankabut, surah ke 29)

Berikut ialah antara cambahan pendapat yang dapat saya perah daripada artikel lepas, Kenapa Saya Jadi Macam Ni?
Assalamu'alaikum

Bila kita nak solat, kita kena letakkan ihtisab (janji2 Allah)kat depan. InshaAllah akan rasa lebih bermotivasi nak solat. Solat ni nak kene latih. Mula2 paksa diri nak solat. Memang berat sbb bila dah selalu sgt tak solat, badan mmg jadi sangat malas. 2 rakaat subuh tu rasa mcm sejam nak abis. Bila baca pun nak laju2 je. Lama2 inshaAllah Allah akan bantu kalau nampak usaha paksa diri kita tu.

Kelebihan org yg jaga solat dia (kesimpulan hadis ni! =)):
1. Masa hidup dapat keberkatan rezeki.
2. Dalam kubur, diangkat seksa kubur.
3. Kat Padang Mahsyar dapat buku catatan amal dgn tangan kanan.
4. Kat titian sirat, akan dpt lintas sepantas kilat.
5. Paling best :Dapat masuk syurga tanpa hisab.

Cara nak dapatkan rasa rajin nak solat ni :
1. Selalu cakap pasal kelebihan solat pada diri sendiri dan org lain. Kalau belum nak solat pun, rajin2 je cakap. Moga Allah bantu nnt.
2. Selalu ingat janji2 Allah untuk org yg jaga solat. Usaha untuk solat sambil bayangkan janji2 Allah tu.
3. Doa banyak2 mintak Allah masukkan kerajinan nak solat tu dalam hati kita. Mintak mak ayah tlg doakan sekali (doa mak ayah ni takde hijab daripada Allah. Hebat tu =)).
4. Kalau dah selesai solat, SYUKUR banyak2 cakap ALHAMDULILLAH YA ALLAH, BAGI AKU YG LEMAH NI TAUFIQ NAK TUNAIKAN SOLAT. Sebab apa kene syukur? Sebab ramai lagi org kat luar sana tak tunaikan solat, tapi Allah pilih kita nak solat.
5. Bila2 ada masalah cepat2 tunaikan solat sunat 2 rakaat, mintak bantuan Allah. InshaAllah nanti yg fardhu tu jadi super rajin nak buat.

Cuba la ni. InshaAllah. Saya tak tujukan pada adik yg bertanya tu je. Tapi utk diri saya sendiri, adik tu dan pada semua org yang malu nak mengaku dia pun ada masalah yg sama. Sekurang2nya adik ni berusaha nak cari penyelesaian bagi masalah dia ni. Maka tak perlula kita nak cakap benda2 nasty pada dia. Life ni mcm roda. Anytime yg atas boleh turun ke bawah. Jadi, utk diri kita sendiri, kita mintak Allah jangan tarik taufiq yg dia dah bg kat kita utk tunaikan solat tu. Solat kita pun xderla sempurna mana. Solat pun Allah bagi markah out of 10. Kan ada hadis dia tu. Solat cincai2, Allah campak balik kat muka kita mcm kain buruk.

Sama2 doa hidayat utk umat. InshaAllah.... =)
Saya baca-baca semula luahan adik saya tadi, dan saya jumpa hujung perkataannya- "sy ingin berubah tp saya selalu kalah.."

Kalah dalam perubahan?

Saya tak panggil ia sebagai fenomena luar biasa.

Saya percaya, iman manusia lagaknya seperti pantai. Ada pasang, dan ada surutnya. Cuma yang pasti, tiada kering, kerana jika iman kering, maka itu bererti nurani kita sedang kekeringan daripada limpahan cairan iman.

Ada masanya, kita teringin sangat nak jadi baik. Tapi, tak mampu. Adikku, saya akui itu. Kita nak sangat solat dengan sempurna, tapi sendi tubuh kita mengeras, begitu juga dengan hati kita yang sama keras.

Rasa malas yang mencengkam seluruh urat saraf, membuatkan kita terduduk sendirian dan hanya membiarkan masa berlalu. Lama, iman yang bermukim di balik relung hati akan terhiris pedih, "Arghh... Allah. Kenapa aku macam ni?"

Saat itu, rasa kesal akan kembali menjentik. Dan roda masa berputar, hingga mimpi yang pilu kembali berulang.

Saya alaminya. Saya insan yang punya banyak cita-cita. Besar-besar. Tetapi jiwa saya tidak sebesar cinta, dan impian saya. Terkadang, apa yang terlintas dalam hati tidak sama dengan apa yang diterjemah dalam perbuatan.

"Aku tak sepatutnya buat benda tu", dan ia adalah kata-kata yang selalu sangat saya ulang, selepas benda tu saya buat.

Jadi, apa saya buat?

Kita cantas kepala, jangan pukul ekor.

Nak bunuh ular, jangan pukul ekor. Mungkin ia akan lemah seketika, tak melawan dan tak menyengat. Tapi selepas kekuatannya pulih, ia akan kembali membinasa. Jadi, nak membunuh ular berbisa perlu kepada kita menyerang kepala. Lenyek, hingga ia terbinasa!

Sekarang adikku...
Lihat kembali kepada 'punca' yang membuatkan adik malas nak solat. Setiap kemalasan ada puncanya.

Mungkin kerana adikku, anda kurang yakin dengan dosa atau akibat meninggalkan solat?
Atau kerana kurang rasa diperhati?

Jika begitu, adik tulis pada kertas kosong, "Allah memerhatikan aku!". Tulis besar-besar dan jelas-jelas. Dan letakkan di satu tempat yang adik akan sentiasa memandangnya, contohnya pada cermin.

Saya tak jamin keberkesanannya. Tapi boleh cuba, sesuai dengan kehendak-Nya iaitu kita berusaha.

Selain itu, kita juga boleh menghancurkan kemalasan bersolat dengan cara kita 'alert' dengan waktu solat. Sebelum datang malas tu, kita terus solat. Yang selalu terjadi, bila kita suka sangat 'drag' solat... maka kita akan kata, "kejap lagi", dan kemudian, "kejap lagi", dan seterusnya... "kejap lagilah..." dan begitulah yang berlaku hingga dah dekat nak habis waktu solat, kita pun kata, "Hmm.. dah habis waktu... lain kalilah."

Malas ni bukan perasaan yang perlu kita layan, kerana kekuatan malas akan makin bertambah dengan bertambahnya peluang dan ruang yang kita hulurkan kepadanya. Sebaliknya satu-satunya cara nak menghapuskan kemalasan ialah dengan menutup ruang yang mula-mula sekali itu!

Tahu agama dengan faham agama, dua benda yang tak sama.

Mudah, saya yakin semua orang tahu yang pahala solat berjemaah ialah 27 kali ganda sedangkan pahala solat sendirian cuma 1 pahala dan berkemungkinan besar menjadi kosong (kerana terlalu banyak cacat cela dalam perbuatan solat). Tapi persoalannya, ramai sekali yang tidak bersolat berjemaah. Adakah mereka tak tahu ganjaran yang besar Allah sediakan? Mereka tahu. Tapi, kenapa tak buat?

Kerana mereka tak faham.

Tahu boleh kita capai dengan belajar. Belajarlah dengan sejuta tuk guru pun, daripada blog apapun, tapi yang kita dapat hanyalah pengetahuan sahaja.

Saya juga boleh memberi pengetahuan (dengan izin-Nya) tapi saya tak mampu memberi kefahaman.

Kerana kefahaman dalam beragama ada hubungan rapat dengan Allah- iaitu hidayah, taufik, petunjuk, serta rahmatNya.

Maka, mahu atau tidak, kita perlu kembali kepada-Nya.

Adikku, kamu bertanya kepada saya "Kenapa saya jadi macam ni?", maka inilah jawapan saya.

Dan adikku, jika kamu bertanya kepada Tuhanmu, "Kenapa saya jadi macam ni?", maka akan ada jawapan-Nya.

Anda sedang meminta kepada yang tak memiliki, jadi saya tak mampu memberi apa yang anda miliki.

Tapi jika anda meminta kepada yang memiliki semuanya, jelas... hanya Dia yang mampu memberi. Dan ketahuilah, apa yang kita perlukan ialah taufik dan hidayah.
  
Mungkin, kita sama-sama perlukan sedikit peransang: Cerita 1 dan Cerita 2
   

February 8, 2012

Bila ikhwah jatuh cinta.

Ikhwah kita dari Pakistan. Gambar ehsan dari devianart.com
Awal pagi tadi, seorang sahabat yang cukup saya sayang, menyapa, "Ba... semalam aku jumpa seorang ustazah masa di LRT."

Dia senyum. Ustazah yang dia maksudkan bukanlah guru agama yang mengajar di sekolah pun. Kerana terma kami, golongan muda... ustazah merujuk kepada penampilan.

"Dia tak cantik pun, tapi bila aku pandang dia... hmm... sejuk hati aku.", dia menyambung.

Saya turut teruja. "Oh ye ke?"

Dia angguk. "Ba... macam mana ya nak mengorat orang macam tu?", soalnya seraya ketawa kecil. Mungkin dia bergurau.

----------------------------------------------

Pertama, saya tak pandai dalam mengorat-ngorat orang ni. Tanyalah saya, pasti anda akan hampa. Sebab kalau saya pandai, sudah tentu saya ada girlfriend. Saya tak ada, tandanya memang saya tak pandai.

Kedua, orang perempuan yang bertudung litup, memakai stokin lengan, dan berbaju longgar, saya yakin mereka bukanlah manusia yang suka untuk 'dimengorat'. Saya pasti mereka bukan golongan wanita yang suka jika orang lelaki tersengih-sengih menggoda mereka.

Ketiga, kalaulah saya reti mengorat orang perempuan, adakah ini bermakna saya perlu mengajar orang cara nak mengorat? Tidak juga. Perlu buat kira-kira dulu. Saya tak mahu wanita-wanita yang 'baik-baik' ini jadi kurang baik. Bukan semua lelaki ikhlas nak berkenalan dengan wanita, walaupun wanita itu baik-baik. Tapi kalau lelaki itu memang betul tak mahu main-main, tak salahkan kalau kita jadi orang tengah?

Keempat, saya memang sejak dahulu memandang tinggi kepada wanita yang menutup aurat mereka dengan sempurna ini. Bila terserempak pun, saya akan jadi terlalu malu dengan mereka. Malu dengan solehahnya penampilan mereka.

Kelima, kerana saya memandang tinggi pada mereka, seharusnya mereka jangan menghampakan orang-orang yang memandang tinggi kepada mereka. Sekali, bila ada desas-desus yang mengatakan seorang saudari, junior saya, terjebak dengan virus pink (kantoi berdating), saya jadi hampa. Saya tak kenal siapa gerangan gadis itu, tetapi menurut cerita orang... dia seorang yang cukup menjaga aurat, selalu ke majlis agama, dan mengikuti usrah. Malangnya, dia bercouple dan berdating. Bila gadis gaya ustazah begitu pun ada dating-dating, walaupun hanya di kedai makan, saya jadi hampa. Saya harap cerita tu tak sahih- hanya persangkaan. Kalau saya jadi murabbi dia, memang kena 'basuh' dah. (Mujurlah anak buah saya sekarang tak terkena virus pink).

Keenam, memang dalam pemilihan isteri, salah satu ciri yang harus kita cari ialah cantik. Tetapi, cantik itu pun perlu diperincikan juga. Bagaimana cantik itu? Cantik yang sebenar ialah bila kita memandangnya, sejuk mata dan hati kita. Kat bumi ni, ramai perempuan yang cantik-cantik. Gebu dan putih lagi. Tapi adakah cantik begitu dapat menitipkan ketenangan dalam hati kita? Kerana perkahwinan, bukannya untuk sehari dua... maka aspek 'sedap mata dan hati bila memandang' juga perlu dititik beratkan. Tapi semua itu jelas berlaku selepas kita yakin dengan keelokan agamanya.

Ketujuh, kalau rasa umur baru 21 tahun nak masuk 22 tahun, masih belajar dan belum berpendapatan tetap, mengapa mahu mengorat perempuan? Mahu membuka pintu kepada couple, seperti orang-orang lainkah? Couple bukan budaya orang islam, sedang orang mengaku islam wajib ada identiti muslimnya.

Kelapan, kalau rasa seram sejuk... takut dan bimbang hati kita cepat sangat terpaut kepada orang, jadi buat apa kita memandang-mandang? Bukankah dari mata turun ke hati, maka jika bukan mata yang mula-mula jatuh suka, bagaimana hati boleh jatuh suka? Suka saya ingatkan kisah Fadl bin Abbas (sepupu Rasulullah, dan juga abang kepada Abdullah bin Abbas) yang memandang kepada jemaah wanita yang mengerjakan haji. Dia memandang sampai terteleng kepalanya, lalu Rasulullah menolak wajahnya. "Jagalah pandanganmu, nescaya kamu akan mendapati kemanisan beribadah." Cerita ini unik, kerana Rasulullah bukan menghalang dia memandang kepada orang buka aurat, tetapi memandang kepada orang perempuan yang sedang mengerjakan haji. Tahu bagaimana pakaian orang perempuan yang sedang dalam ibadah haji? Jika tak tahu, boleh google gambar tu. Betapa orang yang begitu sempurna dia menutup aurat pun, Rasulullah halang kita daripada sembarangan memandang... inikan pula orang yang pakainya tak sesempurna jemaah haji wanita.

Kesembilan dan kesepuluh, kalau dah rasa diri tu memang suka sangat dengan perempuan tu (dalam keadaan diri langsung tak kenal siapa dirinya), maka berdoalah kepada Allah agar Allah pusing-pusingkan suratan takdir, dengan memberikan beberapa pertemuan lagi yang diakhiri dengan pernikahan. Macam cerita novel juga. Bukankah orang yang haram disentuh dengan tangan, boleh disentuh dengan doa?

Sweetnya! Buat ikhwan yang telah jatuh cinta, pesan saya... makin anda panasaran, makin wajib untuk anda dekati Tuhan!
 
Macam murabbi saya, makin nak kawin... makin dia jadi warak hingga nak ajak lepak kedai makan pun dia kata. "Ana perlu banyak bermuhasabah."
 

February 7, 2012

Kenal Inche Gabanna? =.='

a reminder to myself first and foremost insyaALLAH.,macammana untuk melakuka perkara ini ???
Wallahu'alam. Tak tahu saya. Tapi apa yang saya buat, saya ingat yang setiap kali kita memberi nasihat, kita punya telinga adalah yang paling dekat dengan bibir kita. Bukan setakat telinga, bahkan hati kita juga lebih dekat dengan bait-bait perkataan yang meluncur daripada bibir kita. Kerana itu, orang yang memberi nasihat sewajarnya lebih-lebih lagi memperagakan apa yang dia nasihatkan.

Kita rujuk ayat kedua dan ketiga daripada surah As-Saff, Allah menegur tindakan orang yang menasihat, tapi diri sendiri tak berusaha untuk mencapai apa yang dinasihatkan. Ini bukannya masalah tergelincir, tapi ini masalah bantut dalam usaha. Makna... orang yang melaksanakan amar makruf nahi mungkar kepada orang, dan melupakan usaha itu kepada diri sendiri. Seru manusia untuk jauhi taghut, sedang diri sendiri mendakap bayang-bayang taghut.

Kan Allah kata, "berilah peringatan, kerana peringatan itu bermanfaat kepada orang yang beriman". Ini ialah ayat perintah. Allah menyuruh kita berikan peringatan, kerana ia bermanfaat kepada semua. Tentang manfaat dan mudharat, Allah pasti lebih tahu. Jika Dia katakan bahawa 'reminding ourselves and people around us' sebagai perbuatan yang bermanfaat, jadi apa lagi? Jelaslah bahawa ia adalah lunas-lunas yang Allah sediakan kepada kita untuk menguatkan iman kita dan keyakinan kita.

Wallahu'alam. Pasang niat bila beri nasihat, kita nak ubah dan ubati diri kita. Jika niat kita kerana orang, maka kita silap. Kerana dalam surah al-Quran, Allah kata bahawa yang memberi hidayah dan petunjuk ialah Allah, sedang kita tak hanya terhad kepada usaha.

--------------------------------------------

salam akh. boleh ceritakan tak kisah Nabi Sulaiman yg dimaksudkan dlm Surah Saba' ayat 14 tu.. boleh rujuk surah mne eh?? syukran ;)
Tak boleh. Sebab saya sendiri tak tahu secara detail kisah jin ifrit yang tunduk dan taat kepada Nabi Sulaiman. Ketaatan yang ditarah kerana ia fikirkan bahawa Nabi Sulaiman sedang memerhati, walhal ketika itu Nabi Sulaiman sudah wafat. Hanya kerana jasad para nabi tidak dimamah masa, dan dipelihara oleh Allah, ifrit menyangka Baginda masih hidup sehinggalah bila anai-anai memakan tongkat Nabi Sulaiman, jasad Baginda pun terkulai. Di saat itu, ifrit baru tahu bahawa Nabi Sulaiman sudah wafat, dan dia pun kembali kufur. Wallahua'lam.

-----------------------------------------------------------
bertemu jodoh ketika belajar? your respons? setuju dengan kahwin semasa belajar?
Saya tak ada jawapan yang konkrit; ya atau tidak. Kerana ia berkait rapat dengan individu. Mungkin ada orang yang saya setuju, dan ada juga orang yang saya tak setuju. Saya sudah terlalu banyak berbicara tentang ini. Insya-Allah, boleh rujuk post-post lama saya. Yang pasti, berkahwin bukan semata-mata nak elak zina, kerana nak jaga nafsu itu solusinya ialah berpuasa. Berkahwin ialah suatu yang besar. Perlu kira banyak perkara.

Wallahua'lam.
--------------------------------------
Assalam Iqbal, bleh kupas tentang nafkah zahir kewajipan suami dlm konteks sekarang - di mana isteri berpendapatan tinggi drpd suami dan suami bekerja sendiri (kdg2 untung ada rezeki, kdg2 rugi, tak de rezeki) ?
Kebetulan, masa saya membuka kitab hadis Imam Muslim, saya terpandang pada sebuah hadis berkenaan dengan sedekah. Dimana seorang sahabiah bernama Zainab (isteri seorang sahabat yang bernama Abdullah), datang bertanya kepada Rasulullah: "Apakah memadai jika kami bersedekah kepada suami kami masing-masing dan kepada anak-anak yatim yang berada di bawah pemeliharaan kami?", Jawab Rasulullah, "Masing-masing mendapat dua pahala; pahala kerana mengeratkan hubungan kekeluargaan dan pahala kerana sedekah."

Lagipun dah banyak kali saya dengar ceramah dan kuliah yang menyebut bahawa tugas suami ialah untuk menafkahi keluarga. Gaji suami, ada bahagiannya ialah milik isteri. Sedang gaji isteri, milik isteri semata-mata. Sebaliknya, jika isteri mahu membantu suami dalam menguruskan kewangan rumahtangga, ia adalah perbuatan yang sangat mulia, asal sahaja pekerjaan isteri ialah pekerjaan yang baik; yang menjaga ikhtilat dan maruah diri, serta menjaga adab-adab pergaulan terutamanya dengan lelaki yang bukan mahramnya.

Isteri, niatlah untuk bantu suami. Kerana di situ, ada pahala yang subhanallah... sangat besar Allah sediakan buat kalian!

Wallahua'lam.
---------------------------------------------------------------
salam perkenalan..:) nak tnya macam mana nak hantar novel atas karya yang kita hasilkan ye..?
 Hantar dekat Jemari Seni atau JS Adiwarna. Boleh emel kepada mereka.

Tapi saya nak ingatkan... jika niat menulis novel, kerana mahu terkenal atau mahu duit... maka sila ubah niat anda. Benar. Menulis novel memang menguntungkan. Royalti bagi satu buku boleh sampai beribu-ribu juga. Tapi jika niatnya begitu, maka itulah yang dapat. Hanya itu sahajalah. Dan saya juga menyeru, agar sahabat sekalian yang ada bakat dalam penulisan... jadikan penulisan sebagai satu wadah untuk menyebarkan nilai murni dan keindahan agama ini.

Biar warna-warni cinta, bertebaran. Kerana daripada sudut sastera, islam harus tertonjol. Sayanglah sekiranya kita biarkan bidang yang rapat dengan remaja ini kosong dengan tarbiyyah. Inilah yang diperjuangkan oleh Allayarham Prof Hamka. Selama sedekad lebih dia diboikot oleh ulama di Indonesia, kerana menulis novel cinta hingga akhirnya, agamawan sendiri sedar bahawa ada cabang sastera dalam agama, dan cabang ini sebenarnya sangat berharga untuk kita terokai dengan roh tarbiyyah.

Saya menulis untuk mentarbiyyah, bukan untuk glamor. Kerana itu saya berharap, kita semua menulis dengan hati. Kerana apa yang datang daripada, ia akan tumpah ke hati juga. Pasung niat kerana Allah. Moga-moga setiap kata-kata kita, dikira berpahala.

Wallahua'lam.
----------------------------------------------------------------
salam. bagaimana nak khusyuk dalam solat akhi?
Saya taknak bawa kita melihat benda yang jauh, tapi sekadar mahu mengajak kalian melihat kepada benda yang berada di depan mata.

Adakah kita membaca zikir dan membaca doa... atau adakah kita berzikir dan berdoa?

Ada beza. Bezanya ialah kefahaman. Jika kita sendiri tak faham apa yang kita lafazkan dalam solat, maka memang mustahil kita boleh capai hakikat khusyuk. Sedangkan setiap rukun qawli (pecakapan) di dalam solat ialah zikir dan doa kita kepada Dia.

Jadi, sila fahamkan maknanya. Jika selepas tahu makna, tapi tak khusyuk juga... boleh tanya soalan ni sekali lagi.

Wallahua'lam.
--------------------------------
Kenal Inche Gabanna? hensem tak beliau?

=.='

Soalan ni pun nak tanya?

Saya kenal. Dia form 5 masa saya form 2. Hensem? Semestinya. Tapi sudah masuk lima tahun saya tak bertentang mata dengan dia, jadi saya tak tahu rupa dia sekarang. Adakah berjanggut dan berjambang seperti Taliban? Atau berambut panjang seperti Ustaz Akhil Hayy? Atau seperti Mawi, botak?

Apapun, dia memang seorang yang soleh. Tak salah saya katakan bahawa saya rindukan dia. Encik AE, bila mahu ketemu ya? :D

---------------------------
bagaimana nak bersabar dgn sikap bapa sendiri yg suka maki hamun ank2nya walaupun buat kesilapan kecil.sy dah tak tahan, hubungan sy dgn bapa sy pun dah makin renggang.iqbal tlg bagi nasihat buat sy T_____T.

Sudah pasti bukan dengan maki dia balik. Tidak. Oh.. tidak. Apa yang kita boleh buat, kita balas tahi dengan bunga. Setiap caci maki itu, kita balas dengan akhlak mulia kita. Kita menyantuni mereka. Biarkan sahaja mereka tembak kita dengan caci maki. Memang hati pedih, tapi sabarlah. Ingat... mereka hidup tak lama lagi. Jadi tahan sahaja. Kerana hakikatnya, Allah sedang uji kesabaran kita.

Tanggungjawab kita kepada ibubapa ialah sebesar-besar tangungjawab kita sesama manusia. Jadi, untuk elakkan hubungan yang renggang bertambah renggang... elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang dia tak suka. Walaupun benda itu, kita suka.

Dan, banyakkan berdoa kepada Allah. Allah yang pegang hati ibubapa kita. Dan saya pasti, Allah juga yang akan lembutkan hati mereka untuk kita.

Wallahua'lam. Jangan putus asa. Kalau tak tahan sangat pun, pastikan kita tak melawan. Nak menangis, menangislah. Cuma jangan sampai kita biadab dengan mereka.

Wallahua'lam.
-------------------------------------------
macam mana nak buat kalau orang selalu buli kita? maksud saya, org ambil kesempatan atas kebaikan kita? mcm mana nak buat? selain dari bersabar. ada cara lain?
Nabi kata, takdir manusia akan berubah kerana doa. Jadi, berdoa dengan ikhlas. Soal mengambil kesempatan atau tidak... itu urusan dia dengan Allah. Yang utama, kita jadi baik. Baik dengan Allah, dan baik dengan orang tu.

Tapi selepas peluang demi peluang kita beri untuk dia berubah, kita boleh bertindak tegas dengan orang tu. Bukankah dalam hadis, Nabi katakan bahawa muslim itu takkan terjatuh dalam lubang yang sama dua kali?

Jika bersabar ialah solusi, maka bersabar. Jika merasakan makin kita sabar, makin dia besar kepala, maka bertegaslah. Kita juga ada maruah. Tak boleh biarkan orang pijak kita sesuka hati juga, kan?

Wallahua'lam.

February 5, 2012

Salam, ya Rasulullah.

Maulidurrasul. Satu hari yang sangat sinonim dengan umat islam di Malaysia. Sebuah temasya, majlis keramain, dan hari yang disambut dengan meriah. Dan falsafah bagi sambutan ini ialah untuk memperingati tarikh kelahiran Baginda Rasulullah S.A.W.

Tahun ini, saya mahu mengajak para pembaca Bayyinat yang sangat dekat dengan hati saya ini, untuk menonton video pendek ini-


Sudah tonton?

Pertama kali saya menonton video ni, saya rasa ada sebuah perasaan yang aneh mengalir membasahi hati. Saya terdiam sendiri.

Dan kali pertama video itu saya pertontonkan kepada 'adik-adik' saya, saya juga mengesan riak wajah mereka yang berubah. Semua terdiam pada hujungnya, bahkan semua seakan-akan tersentak.

Saya teringat pada sebuah ayat di dalam al-Quran, yang sering kita baca... sering kita ulang-dengar... dan mungkin telah kita pahat dalam otak kita. Sebuah ayat yang berbunyi, 'Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam islam secara total.'

Total dan menyeluruh, sebuah gambaran bahawa agama ini ialah suatu pakej yang unggul. Pakej yang tak boleh kita buraikan, kita sekularkan dengan kita ambil mana-mana yang kita suka lalu meninggalkan sisi-sisi yang kita tak suka. Begitu juga, kita tak boleh mendakap ajaran ini dalam situasi-situasi tertentu.

Adapun, dalam skop maulidurrasul... kita, hakikatnya gemar berbohong. Kita memperagakan kecintaan kepada Baginda pada satu hari sahaja; iaitu 12 Rabiulawal. Kerana kita fikir, itu ialah hari kelahiran ar-Rasul. Sedangkan ulama sendiri berbeza pendapat, dengan pendapat yang ramai mengatakan tarikh sebenar ialah 1 Rabiulawal. Wallahu'alam. Artikel ini tak bertujuan untuk berhujah tentang benda furuk dan cabang, sebaliknya bertujuan untuk menjamah hati agar ia mampu melihat kepada benda pokok dan utama- perangai kita.

Seorang sahabat Rasulullah bernama Abdullah bin Salam meminta kepada Rasulullah agar malam-malamnya, dia diizinkan untuk beramal dengan kitab taurat. Rasulullah murka hingga merah padam wajahnya.

Lalu, perbuatan kita yang memperingati, berselawat, mencintai Rasulullah hanya pada satu hari yang khusus, menjadikan Rasulullah suka?

Pesan saya kepada kalian yang kononnya mengaku cintakan Rasulullah; jangan jadi penipu besar. Di sisi Allah, apa nilai selawat yang meniti di bibir, jika sekiranya ia hanya terlontar atas sebab 'orang lain pun buat'.

Kan hakikat kita begitu. Ada orang buat, kita pun nak buat. Hinggakan maulidurrasul sendiri pun perlu kepada campur tangan media atau televisyen. Tahun ini, TV3 meriah dengan iklan sempena maulid nabi, tapi adakah satu hari khusus memperingati Rasul, berupaya menanam dan menelan seluruh hari yang berlalu dengan memperolok-olok golongan yang Rasul cintai?

Orang tanya saya, bagaimana yang buktikan kecintaan kita kepada Rasul.

Jawab saya, buat apa-apa yang Rasulullah suka. Dan sekarang tanya diri sendiri. Sebenarnya apa sunnah Rasulullah S.A.W yang kita paterikan dalam peribadi kita. Dakwah dan tarbiyyah? Ada tak kita wakafkan kehidupan kita untuk itu?

Atau, adakah cinta kita kepada Rasulullah ialah cinta yang bermusim dan terhad kepada beberapa hari utama dalam kalendar islam sahaja?

Teruskanlah bermain wayang jika begitu.

Kerana cinta perlukan pengorbanan!
   

February 4, 2012

Kenapa Saya Jadi Macam Ni?

Salam. saye ada masalah dlm diri & perlukn sedikit penjelasan. saye seorang yg begitu menjaga aurat dan pergaulan. tp xdelah smpi berpurdah. kwn2 yg kenal angp saye baik, sopan, wanita contoh. tp hakikatnya sy tidak solat. solat pura2. knp saye jd mcm ni?
Pelik tapi benar. Kali pertama soalan ini saya baca, saya seperti hilang kata. Tak tahu apakah perkataan yang paling sesuai untuk menjelaskan perasaan saya. Terkejut, pastinya ada. Sedih, pastinya ada. Tapi yang paling utama, saya rasa bersyukur kerana soalan ini termuntah daripada peti masuk akaun Formspring saya. Maksudnya, ada yang sedang dalam masalah ini yang sedang mencari solusi bagi permasalahan imannya itu.

Sejujurnya, saya tak menafikan bahawa golongan begini wujud. Sebabnya mudah- orang sudah mulai nampak nilai agama. Agama, sudah dipandang sebagai benda yang ekslusif. Tapi cara kita memandang tag ekslusif pada agama memanglah serong. Maksud saya?

Pada sudut pandangan masyarakat, orang yang ada kait dengan agama... adalah kelihatan lebih mulia berbanding orang yang tidak ada kait dengan agama (secara lansung). Contoh; seorang yang mendapat gelaran ustaz, dengan seorang yang alim tapi tidak dipanggil ustaz, yang bergelar ustaz akan lebih dimuliakan. Sedangkan dalam banyak keadaan, yang digelar ustaz sendiri lebih banyak masalahnya berbanding orang yang faham agama, tapi tanpa 'tittle' ustaz.

Contoh lain, artis nasyid dengan artis biasa... artis nasyid lebih disegani (walaupun mungkin bukan lebih popular berbanding artis biasa).

Pelakon-pelakon yang bersahsiah tinggi dan lebih berakhlak adalah lebih dihormati dan disegani berbanding pelakon-pelakon yang tenggelam dalam skandal dan gosip liar (walaupun mungkin mereka tidak sepopular pelakon-pelakon yang liar itu).

Dalam skop yang lebih kecil pula, seorang anak muda yang pasif, yang tak terlajak dalam bersosial, yang kurang melayan arus zaman yang tidak sihat, adalah lebih dihormati dan disayangi berbanding dengan anak muda yang 'huha-huha' dan berakhlak buruk.

Bukankah memang begitu- yang nampak lebih beragama, itulah yang lebih dihormati. Walaupun 'agama' yang dia miliki hanya pada gelaran ustaz, atau pada huruf 'i' pada nama universiti, atau mungkin islam pada pakaian, atau mungkin juga islam kerana menumpang gengsi bapa; bapa seorang Imam, atau bilal masjid.

Orang begini cuma satu; mahu dipandang sebagai baik, dipuji-puji, dan disegani. Kononnya dengan begitu, dia akan mendapat kebahagiaan lahiriah yang luar biasa!

Beragama dengan tidak ikhlas.

Bagi saya, inilah satu-satunya punca atau masalahnya. Beragama dengan tak ikhlas. Atau kita boleh faham sebagai, beragama dengan tujuan mahu merawat penyakit fizikal dengan agama.

Benar, kita memang nampak cantik dan sihat dengan agama. Tapi tanpa ikhlas, kita takkan mampu merawat hati dan rohani, sedangkan fungsi agama yang utama ialah untuk membimbing dan membangunkan rohani. Bila jiwa sudah sihat dan dirawat, dengan sendirinya jasad akan terpelihara sedangkan jika kita mencantikkan luaran dengan agama, belum tentu hati kita akan terpelihara.

Maaf. Saya sebenarnya buntu. Apa jawapan yang paling wajar untuk saya berikan, sedangkan saya sendiri pun masih tak dapat nak menyelami masalah anda?

Jadi, saya rasa mungkin perkara ini dapat saya kongsi sedikit- iaitu dengan muraqobah.

Apa maksud muraqobah? Maksudnya ialah kita sentiasa merasai diperhatikan dan diawasi oleh Allah. Elemen ini juga disebut sebagai ihsan. Merasai bahawa setiap tindakan kita baik yang elok mahupun yang buruk-buruk, senantiasa diawasi dengan penuh teliti oleh Allah.

Bila insan memiliki sifat ini, maka mustahil dia akan memiliki rasa mahu impress orang sahaja. Mustahil jiwanya akan terdorong untuk solat bila orang tengok, atau menutup aurat kerana orang tengok, atau apa-apa sahaja amalan yang didorong oleh perasaan 'orang tengok'.

Buat apa? Buat apa kita nak impress orang? Buat apa kita nak mulia depan orang? Adakah orang yang terkagum dengan kita, akan memberi kita pahala? Adakah telah ada lunas-lunas dalam agama, yang mengajar kita; setakat mana orang rasa kita baik, maka kita akan baik. Tak. Kerana hakikat penilaian sebenar ialah Allah.

Maka, yang utama untuk kita impress ialah Allah sendiri. Kenapa wujud istilah impressing Allah? Kerana dalam sebuah hadis, dikatakan bahawa Allah kagum dengan golongan pemuda yang taat kepada-Nya. Kekaguman ini dilontarkan kepada seluruh penduduk langit, lalu orang muda yang taat dan soleh ini, hidupnya bahagia.

Bahagia yang bukan kerak! Luar dan dalam, bahagia. Sedangkan orang yang menjadikan agama sebagai saduran hidupnya sahaja, dia hanya akan bahagia pada luarannya sahaja! Dalaman, dia tak merasa hakikatnya bahagia.

Wallahua'lam. Saya kira, orang begini perlu banyak berfikir dan bertaubat. Kita perlu malu dengan Allah, dan mula menyoal diri sendiri- sampai bila aku memperagakan syurga yang aku sendiri jauh darinya?

    

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails