March 26, 2012

Cermin.


Jujur.

Cermin sakti, hakikatnya hanya wujud dalam dunia Cinderella. Cermin yang bila ditanya, "Siapa yang paling cantik atas dunia ini?" maka akan dijawab oleh cermin sakti tadi, "Cinderella yang paling cantik." Itu fiksyen, sedang realitinya tak begitu. Mana ada cermin yang berkata-kata, tapi setiap cermin baik yang petak ataupun yang bulat, tetap jujur. Kalau kucing yang menghampiri, imej kucinglah yang terpantul. Tak jadi harimau. Kalau putih yang melihat, maka putihlah yang keluar. Tak jadi biru. Samalah, jika kita melihat cermin, kita akan melihat wajah kita dibaliknya, dan bukannya wajah orang lain.

Fasik.

Saya pernah bertanya kepada Tuan Guru Nik Radhi Nik Mat, "Ustaz, apa hukum kita berimamkan dengan orang fasik?"

Jawapannya, memang kita maklum. Makhruh. Tapi soalan saya tidak terus dijawab, sebaliknya dia melemparkan pula satu soalan kepada saya, "Kat dunia ni, siapa yang tak fasik?"

Wajahnya tersenyum penuh makna. Tempelaknya mengena!

Cerminlah Diri.

Kata Allah, manusia yang takut kepada Allah ini hanyalah golongan ulama (surah Fatir ayat 28). Adakah setiap ulama, takutkan Allah? Tak semestinya kerana dalam al-Quran juga, Allah ada menghina satu kelompok orang berilmu, dengan menggelar mereka sebagai anjing yang terjelir-jelir lidahnya sebagaimana yang terpatri pada ayat 175 dan 176, surah al-A'raf.

Sesebuah ilmu, hakikatnya ialah bermanfaat. Jika ia tak memberi manfaat, kata ulama... itu bukan ilmu, tapi suatu pengetahuan. Ilmu ialah cahaya, dan cahaya ialah suatu yang bersifat menerangi serta menunjuk. Ia melenyapkan kegelapan, dan ia juga menjadi pembeza antara yang kelam dengan yang cerah. Yang hitam dengan yang kelabu!

Saya suka dengan sikap Tuan Guru Nik Radhi. Dia menggunakan ilmunya, sebagai cermin. Jika berbicara tentang fasik, dia meletakkan satu cermin di hadapannya. Cermin yang ghaib, terbina daripada lantera jiwanya, untuk dia menilik diri sendiri.


Awal surah As-Saff.

Dalam ayat dua dan tiga surah As-Saff, Allah menegur manusia dengan satu teguran yang menggetarkan jiwa. "Apakah layak bagi kamu wahai orang beriman, memperkatakan sesuatu yang kamu sendiri tak buat? Ah, amatlah buruk dan besar kemurkaan Allah atas perbuatan kamu itu. Cakap tak serupa bikin!"

Kenali watak kita.

Secara asas, terdapat tiga golongan di dalam al-Quran. Pertama, orang yang beriman. Kedua, orang yang kafir dan ketiga, golongan yang berada di antara kedua-duanya, iaitu orang yang ragu-ragu. Beriman boleh, kafir pun boleh. Munafik, tuntasnya. Dalam kita menelusuri kehidupan ini, kita sering bertemu dengan tiga golongan ini. Kita sendiri bahkan, boleh berubah taraf kita. Sekejap kita golongan pertama, dan sekejap, jadi yang ketiga.

Hakikatnya, yang selamat hanyalah kumpulan pertama sahaja. Munafik itu ialah pecahan daripada kafir (bahkan lebih buruk daripada orang kafir sebenarnya). Bagaimana nak menjadi golongan pertama, dengan ilmu?

Perlu ada cerminlah! Bila kita nasihat orang, kita perlu segera membuat pusingan reflek, untuk menilai diri. Bila bercerita tentang orang fasik, datangkan dalam kepala, "Aku ke?" dan jangan datangkan dalam kepala, "Fasik seperti si fulan". Bila bercakap tentang sabar, segera lihat diri kita, "Aku ni cukup penyabar tak?" Jika bercakap tentang syukur, segera memandang diri, "Aku ni sudah bersyukur ke belum?"

Begitulah seterusnya. Bila membaca tentang ayat azab, dalam al-Quran, seharusnya rasa takut menyelinap masuk. Takut jika sekiranya yang Allah maksudkan dalam kalam-Nya itu ialah kita. Kalau membaca tentang nikmat, runsinglah sekiranya kita tak layak untuk mencium aroma kenikmatan syurga sebagaimana yang kita baca itu. Seharusnya begitulah!

Jangan jadi orang berilmu yang hanya ada teori, tapi tiada akhlak. Hanya tahu nak 'pangkah' orang. Hanya tahu nak hukum orang. Hanya nampak aib orang, tapi kelabu matanya daripada memerhati aib diri sendiri. Dikaburi oleh pementasan amal!

Kesimpulan.

Ubahlah cara kita memandang orang. Kerana cara kita memandang orang ialah cermin kepada hati kita. Jika pada mata kita, orang lain serba tak kena... maka itu tandanya, hati kita juga serba tak kena. Seharusnya, jika kita nampak keburukan orang lain, hati kita secara sendiri nampak keburukan kita. Kerana keburukan orang lain, adakalanya berpunca daripada keburukan kita.

Sebagai contoh. Kita rasa sakit mata melihat aanak-anak muda berpelukan atas motosikal. Hati kita panas dan mula menyumpah. Tapi, apa sebenarnya kita dah buat? Ada kita 'approach' mereka? Nasihat mereka? Tiada! Jadi itu bukti bahawa hati kita sebenarnya dah rosak, kerana kita nampak kesalahan orang, tapi kita tak nampak kesalahan kita yang lebih besar dan lebih dasyat- iaitu kita meninggalkan dakwah, walaupun dakwah dengan 'memandang dengan cinta' dan mendoakan mereka!

Moga bila kita tengok orang, kita nampak diri kita, nampak kesalahan kita.
  

March 22, 2012

Pasrah

Memaknakan pasrah.


Pasrah menurut kamus dewan edisi 4 bermaksud menyerah. Di dalam agama islam, salah satu komponen iman ialah pasrah, dimana kita menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Setiap sendi kekuatan, setiap derap usaha, setiap orak perubahan, segalanya diserahkan urusannya kepada Allah S.W.T.

Orang yang pasrah ialah orang yang membiarkan dirinya terbenam dan larut dalam ketetapan Allah. Bila kesukaran, dia akan berdoa. Bila disenangkan, dia akan bersyukur. Bila kekurangan, dia akan bersabar. Bila berlebihan, dia akan berundur.

Manusia yang pada dirinya tiada sifat pasrah, akan terdorong kepada sifat melawan. Tak dapat menerima kenyataan, mudah putus asa, sering berkeluh kesah dan sering bersangka buruk dengan Allah.

Pasrah ialah tamaddun, yang mana daripada tamaddun yang hebat inilah... islam bersinar dengan gemilangnya!

Pasrah Dalam Kekurangan.

Semasa peristiwa hijrah Rasulullah bersama Abu Bakar ke Madinah, para penduduk Madinah telah bersedia dan menunggu dengan sabar akan ketibaan rombongan dua manusia hebat ini. Tanpa diketahui masanya dan tarikhnya, mereka setia menunggu dengan rasa teruja dan gembira.

Dan tiba masanya, dua sosok manusia ini tiba pada destinasi yang dituju dan disambut oleh penduduk Madinah dengan gemilang dan gembira. Mereka melantunkan syair-syair, mengalu-alukan kedatangan Rasulullah yang akan diangkat untuk menjadi pemimpin mereka.

Dalam kalangan penduduk Madinah yang beratur, berarak, menyambut ketibaan Rasulullah, antara mereka ada yang kaya dan ada pula yang miskin. Setiap daripada mereka menjemput Rasulullah untuk singgah atau bertamu di rumah mereka. Bahkan, ada yang sampai mendesak hinggakan menarik sendiri tali unta baginda. Betapa mereka merasakan suatu kemuliaan apabila manusia agung, Muhammad S.A.W sudi menjadi tetamu mereka untuk singgah berehat, berteduh, dan menjamu di rumah mereka.

Baginda, di saat menerima jemputan dan pelawaan yang tulus daripada sahabat-sahabatnya, hanya menjawab dengan sabdaannya, "Biarkanlah untaku. Jangan halangi jalannya, kerana ia hanyalah menjalankan perintah daripada Tuhannya"

Unta Rasulullah terus berjalan melalui perumahan Bani Bayadhah, lalu ke perkampungan Bani Saidah, sebelum melewati perkampungan Bani Harits Ibnul Khazraj dan kemudiannya di perkampungan Bani Adi Bin Najjar dan akhirnya berhenti di rumah Bani Malik bin Najjar. Unta Rasulullah itu bersimpuh, dan terus tetap, tidak berganjak lagi.

Rasulullah kemudian turun dari unta yang ditungganginya dan saat itu, datang seorang sahabat kepada Baginda dengan wajahnya yang berseri-seri, gembira. Sahabat itu ialah Abu Ayyub al-Ansori. Dia telah Allah muliakan dan berikan penghormatan kepadanya, untuk menjadi tuan rumah yang mana tetamunya tika itu ialah seorang nabi dan seorang manusia yang paling hebat dan agung!

Abu Ayyub al-Ansori r.a, seorang lelaki yang telahpun berbai'ah kepada Rasulullah dalam perjanjian Aqobah kedua, ialah seorang lelaki yang miskin. Ya, kerana kemiskinannya, hatinya pasrah. Dia, seperti semua saudaranya di Madinah... yang mahu kiranya Rasulullah bertamu di rumahnya, hanya pasrah. Dia tidak meminta-minta, tidak juga mendesak-desak agar Baginda bertamu ke rumahnya. Dia pasrah bahkan berserah semata. Berserah, kerana dia tahu dirinya miskin dan papa. Lalu, kerana sikapnya yang terpuji ini, Allah muliakan beliau.

Pasrah Dalam Memberi.

Seorang sahabiah, namanya Ummu Sulaim. Sepertimana orang lain yang bercita-cita dan berkeinginan untuk menyumbang kepada kelancaran dan kelansungan dakwah islamiah di kota Madinah, dia juga mahu memberi. Tetapi, dia tak punya apa-apa kecuali satu, yang mana yang satu-satunya inilah yang dia cinta... dan yang satu-satunya inilah yang dia pasungkan harapan.

"Ya Rasulullah... aku juga mahu menyumbang untuk agama ini! Tetapi aku tak punya apa-apa. Aku cuma ada seorang anak yang masih kanak-kanak. Terimalah dia, untuk menjadi khadammu, wahai Rasulullah"

Anak yang diberkati itu, namanya Anas Bin Malik. Dan berkat kepasrahan ibunya, Anas Bin Malik telah menjadi permata yang gemerlapan dan cemerlang sinarnya, yang mana cahanya bukan sahaja menyuluh kebatilan tetapi memberi kemuliaan yang tiada taranya kepada ibunya!

Kecintaan Rasulullah kepada anak ini terlalu besar hingga beliau didoakan oleh Rasulullah dengan empat perkara, iaitu diberikan harta yang banyak... dikurniakan umur yang panjang... diberikan zuriat yang ramai, dan dimasukkan ke dalam syurga!

Berkat kepasrahan seorang ibu dalam memberi, kedua-dua mereka... ibu dan anak, mendapat kemuliaan!

Pasrah Dalam Kehilangan.

Ummu Salamah telah kehilangan suaminya yang gugur sebagai syuhada' dalam perjuangan islam. Sepeninggalan suaminya, hidupnya sering sahaja diselaputi kesedihan. Semasa awal-awal kewafatan suaminya, Abu Salamah... Rasulullah ada berpesan kepadanya, "Barang siapa yang ditimpa suatu musibah, maka ucapkanlah sebagaimana yang telah dperintahkan oleh Allah, ‘Sesungguhnya kita milik Allah, dan kepada-Nyalah kita akan dikembalikan. Ya Allah, karuniakanlah bagiku dalam musibahku dan berilah aku ganti yang lebih baik daripadanya, maka Allah akan melaksanakannya untuknya."

Ummu Salamah pasrah dengan ketetapan Allah. Dia menerima pemergian suaminya dengan rela. Dan sebagaimana orang lain, bilamana seorang wanita itu menjadi janda, yang mana suaminya meninggal kerana syahid, maka sahamnya akan naik mendadak. Ramai para sahabat Rasulullah berkehendak untuk menjaga janda para syuhada.

Maka, datanglah Abu Bakar untuk meminang Ummu Salamah. Ditolak. Kemudian, datang pula Umar, juga ditolak. Dalam masa yang sama, beliau masih dirundum kesedihan. Rasulullah menziarahinya, dan memberinya nasihat, "Seringlah berdoa kepada Allah agar Dia gantikan untukmu, suami yang lebih baik."

Lalu Ummu Salamah bertanya, "Adakah sesiapa yang lebih baik daripada Abu Salamah?"

Tak lama, datanglah pinangan daripada orang yang lebih baik daripada seluruh manusia di muka bumi ini, iaitu Rasulullah sendiri. Pun begitu, pada awalnya Ummu Salamah keberatan. Ada tiga perkara yang menyekatnya untuk memberikan persetujuan.

"Ya Rasulullah, aku ni seorang yang sudah tua"

Rasulullah menjawab, "Aku juga sudah tua"

"Ya Rasulullah, aku ini punya banyak anak"

Rasulullah membalas, "Aku juga punya ramai anak"

"Ya Rasulullah, aku ini seorang yang mudah cemburu"

Lalu dijawab oleh Rasulullah, "Jika begitu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia hilangkan cemburumu"

Dan ya, antara semua isteri Rasulullah, Ummu Salamah ialah wanita yang paling tidak mencemburui madu-madunya.

Berkat kepasrahan dan ketundukan jiwa, menerima berita kehilangan tiang untuk bersandar, Allah muliakannya dengan memberinya pengganti suaminya, dengan sosok manusia yang teragung, yang mana manusia ini jugalah yang mendoakannya agar dikurniakan jalan keluar bagi kemelut jiwanya.

Kesimpulan.

Seharusnya, dalam setiap nafas kita, ada ikatan dan ada hubungan kita dengan Allah. Agar, kita tak lari daripada penyarahan kepada-Nya. Jalanilah kehidupan dengan penuh pengharapan. Agar nanti, jalan keluar bagi setiap tribulasi akan sentiasa tebuka, kerana lantera jiwa kita tidakkan kelam.
 

March 19, 2012

Kita yang berdosa

Kita yang berdosa,
Lelah. Lemah. Letih.
Tenat!
Lapis-lapis lumpur dosa,
Titis-titis peluh maksiat,
Menyapu suci dunia,
Memadam lantera  jiwa.

Kita yang berdosa,
Terkapai-kapai menagih udara,
Antara timbul yang sering tenggelam,
Kita larut dalam nanah dunia,
Bergelut menggenggam nyawa.

Kita yang berdosa,
Masih punya hari,
Masih punya matahari,
Yang padanya ada kepulan masa,
Yang kita kait dan anyam,
Menjadi satu lembaran putih,
Lalu atasnya,
Seteguk warna kita tabur,
Hitam dan putih pada asasnya,
Mencorak maksiat antara makruf.

Kita yang berdosa,
Sudah punya segalanya,
Tapi hilang semuanya,
Kerana segalanya tanpa Dia,
Bererti semuanya,
Tanpa jiwa.

Kita yang berdosa,
Ratahlah maruah diri,
Lemparlah jati insani,
Kerana hidup yang dicaturkan,
Ialah buah yang realiti,
Syurga atau neraka.

Kita Yang berdosa,
Kembalilah dan pulanglah,
Kerana janji Rabb pasti,
Kuat dosamu tidakkan setanding kuatnya ampun-Nya.

Bertaubatlah dengan taubat nasuha.
     

March 12, 2012

Antara Nur Hidayah dan Nurul Izzah.

Apa maksud hidayah?

Hidayah ialah petunjuk; guidance.

Daripada siapa, melalui siapa, dan kepada siapa?

Allah berfirman dalam ayat 52 surah As-Syura: "Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,"

Mudah nak faham, begini. Kita nak bermusafir ke Perlis. Dari Kuala Lumpur, ada banyak papan tanda yang menujukkan jalan ke sana. Kita membuat pilihan. Kiri atau kanan. Orang yang faham bahwa yang dituju ialah Perlis... maka dia takkan ambil jalan yang membawanya ke Johor.

Bagitulah hidayah. Hidayah ialah petunjuk, yang menunjukkan dan melorongkan kita kepada jalan-jalan yang membawa kita kepada destinasi atau matlamat kita. Kita inginkan syurga, kita inginkan bahagia. Maka, dalam kehidupan seharian kita... Allah sediakan 'papan-papan tanda' di sepanjang derap langkah dan hembusan nafas kita, untuk kita ambil dan manfaatkan; supaya kita bertemu dengan ultimate goal kita iaitu redha Allah... dan seterusnya terselamat daripada godaan syaitan dan dunia.

Kemuliaan.

Hidayah dan kemuliaan ialah dua perkara yang datang seiring. Berpasangan, berpapasan. Jika kita menjalani kehidupan atas landasan taqwa, dengan hidayah sebagai engin yang memacu, maka kehidupan kita akan jadi mulia, harmoni dan tersusun.

Jangan terpedaya dengan apa yang mata kasar kita cerita. Jangan tertipu dengan nafsu kita rembeskan. Tiada kemuliaan dari balik kolam emas. Tiada kemuliaan daripada segedung permata. Tiada kemuliaan di balik segunung ilmu. Kemuliaan bukan suatu yang didapati melalui banyaknya aset mahupun tingginya ilmu. Bahkan kedudukan sosial juga bukan kayu ukur. Sebaliknya kemulian ialah sesuatu yang didapati melalui agama.

Buktinya?

Maruah seorang muslim ialah hartanya yang paling berharga. Orang yang mampu membeli matahari pun, dia takkan mampu membeli maruah seseorang melaikan orang itu sendiri yang menjualnya!

Jika kita katakan bahawa kemewahan ialah kemuliaan, kita lihat Arab Saudi. Negara mereka kaya. Bumi mereka Allah bajai dengan sumber minyak (petroleum). Pak-pak arab disana kaya raya. Kaya raya sampai tak tahu nak buat apa dengan duit mereka sampaikan mereka boleh beli kelab-kelab bola sepak, boleh bercuti di London, Las Vegas, Hawaii... boleh berpoya-poya dengan gadis yang umppphhhh! sampaikan boleh pula membida nombor pendaftaran kereta mewah mereka dengan harga berjuta-juta!

Tapi, adakah mereka kelompok yang mulia?

Saya tak nampak begitu. Kerana mereka banyaknya menjadi boneka Yahudi dan Amerika. Disuruh tidak membantu rakyat Palestin, mereka sami'na wa atoina. Disuruh jangan membantu umat islam di luar negara mereka, mereka juga sami'na wa atoina.

Muliakah begitu bila hidup ditunggangi musuh Allah?

Baiklah. Kita katakan ilmu yang menjadikan manusia mulia. Jika begitu, kita boleh lihat kepada Mesir. Mesir ada Universiti al-Azhar yang merupakan matahari bagi penduduk bumi. Pelbagai cabang agama diajar dan dikaji di sini. Tetapi adakah ini menjadikan Mesir sebagai negara yang mulia?

Dahulu, sepanjang musim pemerintahan Hosni Mubarak, keadaan tak menunjukkan begitu.

Tetapi kini, beransur baik insyaAllah. Tetapi tak lama dahulu, dunia dikejutkan dengan peristiwa rusuhan yang tercetus kerana bola sepak yang menumpahkan darah pekat. Darah hanyir berlendir yang menjadi saksi betapa kosongnya fikiran anak muda bila mereka sanggup menyahut seruan jahiliyah; berperang kerana bola sepak dan mati kerana sukan!

Muliakah? Nampaknya tidak begitu.

Jika kita katakan juga bahawa agama ini menjanjikan kemuliaan apabila umatnya ramai... maka kita boleh mengerling sekilas kepada negara jiran kita, Indonesia. Dibuktikan oleh fakta... Indonesia ialah negara yang menampung umat islam yang paling ramai. Tapi jika disoroti pola pergerakan alam di sana, keadaannya tidak jauh berbeza dengan di Malaysia. Tidak menjanjikan kemuliaan sebagaimana yang diwar-warkan oleh sebahagian kecil kita, kononnya kemuliaan ialah kerana ramainya anggota, ramainya jemaah!

Ittiba'ir Rasul.

Baik hidup dengan basah bermandi hidayah, mahupun hidup dengan hangat diselimut kemuliaan... kedua-duanya hanya akan terlaksana apabila kita mengikut Rasulullah. Jika ada impian, tapi tiada tindakan, maka ia adalah retorik cetusan Mat Jenin versi diri sendiri.

"Sungguh, yang paling mulia dalam kalangan kamu ialah orang yang paling bertaqwa"- Al hujurat ayat 13.

"Padahal kekuatan (dan kemuliaan) itu hanyalah bagi Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahu"- Al munafikun ayat 8.

Sisi Pandang.

Allah ada cara menilai hamba-Nya dan manusia juga ada cara menilai saudaranya. Allah menilai melalui ketaatan manusia, sedang manusia ada sejuta macam cara mereka menilai.

Jika kita mahu puaskan hati setiap orang, maka kita akan gagal dengan segagal-gagalnya. Kita takkan mampu membuatkan setiap jiwa berasa lapang dan senang dengan kita.

Sebaliknya jika kita mahu puaskan Allah, mahu sukakan Allah... maka di sana ada sosok seorang Muhammad S.A.W untuk diteladani yang padanya tidak ada selain daripada kejayaan!

Ingatlah. Jika manusia suka, tapi Allah murka... maka sia-sia hidup ni!

Sebaliknya jika manusia murka tapi Allah suka... maka kehidupan ini telah pun menjadi miliknya!
   

March 6, 2012

Rahmatullah.

 رَحْمَةُ اللهِ :Apa yang dimaksudkan dengan rahmat Allah?

Kita masih lagi berbicara tentang kesan-kesan dan akibat, jika kita mengikuti Rasulullah S.A.W dalam sisi kehidupan kita, sehari-harian.

Rahmat bererti kasih sayang, belas ehsan, keutungan, dan segala yang baik-baiklah. Dalam ayat 132 surah Ali-Imran, Allah berfirman: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat"

Kisah seorang abid.

Rasanya ramai yang dah dengar kisah ni. Saya tak dapat mencari sumber atau sandanya, tetapi saya rasa bagus untuk kita berkongsi pengajarannya. Mudah-mudahan hati kita akan segar apabila teringat akan cerita ini, selalu.

Ada seorang abid, yang hidupnya hanya untuk ibadah. Siangnya, malamnya... semuanya dihabiskan dengan beribadah kepada Allah. Dia tinggal di dalam gua, dan dihadapan gua itu, ada sebatang pohon dan punca air. Apabila dia berasa penat, lapar atau dahaga kerana lama beribadah, maka dia akan ke pintu gua. Lalu, buah daripada pohon yang tumbuh di muka gua pun gugur, sedia untuk dimakan oleh ahli ibadah tadi. Selepas makan, dia akan ke punca air yang juga berada di muka gua, dan meminumnya hingga terasa kembali segar. Sesudah itu, dia pun kembali larut dalam ibadahnya.

Selama 500 tahun, inilah rutinnya. Tak perlu ke mana-mana. Tak perlu meminta-minta. Hanya ibadah. Hanya taat!

Sampai ajalnya, lalu Allah matikan ahli ibadah ini. Oleh kerana lelaki ini subur dengan ketaatan, Allah berkehendak untuk memasukkannya ke dalam syurga. Lalu Allah memerintahkan kepada malaikat, "Demi rahmat-Ku, masukkanlah lelaki ini ke dalam syurga."

Tiba-tiba lelaki, si ahli ketaatan ini bersuara. "Ya Allah, aku memohon kepadamu supaya Kau masukkan aku ke dalam syurga-Mu, dengan sebab amalanku."

Amalan soleh, 500 tahun yang mana satu saat pun dalam tempoh itu tak berlalu dengan maksiat dan noda. Hanya ada ketaatan, ada ketundukan!

Lalu apa Allah kata? Allah memerintahkan malaikat-Nya untuk menimbang segala pahala ketaatannya. Ketaatan, sebelah neraca. Dan nikmat Allah berupa sebelah mata, di sebelah yang lain. Dan selepas ditimbang antara dua, kurnia Allah dengan ketaatan hamba, ternyata kurniaan Allah berupa sebelah mata sahaja... itupun sudah jauh lebih berat dan besar nilainya berbanding dengan ibadah selama 500 tahun! Sebelah mata, bukannya sepasang biji mata! Orang yang ada mata sebelah pun boleh memandang lagi. Tapi nampaknya nikmat itupun sudah terlalu besar!

Rasulullah juga berharap.

"Sesungguhnya setiap orang akan masuk syurga kerana rahmat Allah"

"Engkau pun, ya Rasulullah?", para sahabat bertanya. Terkejut.

Rasulullah angguk. "Ya. Aku juga berharap kepada rahmat-Nya".

Anak kunci syurga.

Dalam hadis, Rasulullah banyak menyebutkan tentang amalan-amalan yang membawa kita ke syurga.

Sedekah, amalan yang membawa ke syurga.
Puasa, amalan yang membawa ke syurga.
Haji, amalan yang membawa ke syurga.
Jihad fi sabilillah, amalan yang membawa ke syurga.
Solat, amalan yang membawa ke syurga.
Berakhlak mulia, amalan yang membawa ke syurga.
Berbuat baik kepada ibubapa, amalan yang membawa ke syurga.
Dan banyak lagi yang akan menolak kita ke pintu syurga.

Tetapi, semua ini hanya berlaku apabila Allah redha, dan mengizinkan rahmat-Nya keatas kita. Kerana sesungguhnya, rahmat Allah itu ialah umpama oksigen yang mencetus kehidupan.  Rahmat Allah umpama anak kunci, yang membuka ruang dan dimensi; syurga Ilahi!

Bagaimana mahu meraih rahmat Allah?

Ikut Nabi. Kerana dengan kita mengikuti Baginda Rasulullah s.a.w, kita telah mengikuti setiap gerak langkah dan panduan wahyu. Setiap perbuatan, percakapan, persangkaan, pemikiran... semuanya bergaris, berpagar. Semuanya ada had, ada disiplin.

Tak payah kita cakap banyak-banyak. Kerana selagi kita tak menjadikan Rasulullah sebagai ikutan, kita takkan mampu untuk berakhlak dengan akhlak islam, tak mampu untuk beribadah dengan ibadah yang soheh, tak mampu untuk beriktikad dengan akidah yang sejahtera, dan juga tak mampu untuk menjadi khalifah, apa lagi abid.

Dan kerana rahmat Allah jugalah, saya mampu menulis. Dan dengan rahmat daripada pencipta yang sama, anda mampu membaca. Jika di dunia ini pun kita sudah amat memerlukan dan mengharapkan rahmat Allah, apakah nanti di akhirat, kita akan merasa cukup dan berdikari?

--------------
Bahan bacaan yang baik: Mencari Rahmat Allah.
    

March 5, 2012

مَحَبَّةُ اللهِ

Mahabbatullah مَحَبَّةُ اللهِ

Ada seorang tabi'en (saya lupa namanya. Sesiapa yang ingat, boleh kongsikan di ruang komen) pernah berkata: "Jika kamu ditanya, apakah kamu mencintai Allah, maka diamlah kerana jika kamu berkata 'ya', kamu telah berbohong. Sebaliknya jika kamu berkata 'tidak', kamu telah kufur".

Mencinta Allah dan dicintai Allah ialah satu hubungan dua hala. Orang yang mencintai Allah, pasti akan dicintai oleh-Nya. Dicintai oleh Allah ialah sebuah anugerah yang agung; kurnia terindah. Orang yang memiliki cinta daripada Allah, dirinya tak punya seinci pun ruang untuk bersedih kerana dirinya, pada ketika itu... sudahpun mempunyai segala-galanya!

Ya. Orang yang memiliki cinta Allah, dia sudah memiliki segala-galanya yang dia perlukan, walaupun mungkin tidak mendapat semua yang dia mahu.

Apakah Yang Lebih Besar Daripada Cinta Allah?

Dincinta Allah dan dicintai seluruh manusia. Manakah yang lebih hebat?

Sudah tentu cinta Allah. Kerana cinta Allah ialah cinta tanpa sempadan, tanpa sebab. Manusia, jika mahu menghulur cinta, dirinya punya sebab. Mungkin ada habuan dunia yang dia mahu. Mungkin ada ganjaran batin yang dia tagih. Tapi Allah... Allah ialah dzat yang tidak berharap kepada makhluk. Jika Dia mencintai hamba-Nya, maka Dia benar mencintai, tanpa sebab, tanpa berharap.

Kelebihan Orang Yang Mendapat Cinta Allah.

Kita boleh rujuk hadis ke-38 daripada Hadis 40 Susunan Imam Nawawi.

Dari Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhya Allah ta’ala berfirman: "Sesiapa yang memusuhi waliku maka Aku telah mengumumkan perang dengannya. Tidak ada taqarrub seorang hamba kepada-Ku yang lebih aku cintai kecuali dengan beribadah dengan apa yang telah Aku wajibkan kepadanya. Dan hamba-ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnah diluar yang fardhu) maka Aku akan mencintainya dan jika Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepadaku niscaya akan aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku niscaya akan Aku lindungi "- hadis riwayat Bukhari.

Subhanallah. Betapa dekatnya kedudukan seorang hamba dengan Tuhan, bila terbina jambatan cinta pada hati si hamba kepada Tuannya!

Bagaimana Mahu Memahat Cinta?

Siapa kata sukar untuk mendapat cinta daripada Allah?
Tak sukar. Kerana Allah kan dzat Yang Maha Mencintai!

Mahu mendapat mahabbatullah, maka jalannya ialah dengan mengikuti Rasul. Ittiba'ir rasul!

Firman Allah jelas: "Sesiapa yang cinta Allah, wajib untuk dia ikut Muhammad S.A.W" (rujuk ayat 31 surah 3)

Kita nak isteri kita sayang pada kita. Apa kita buat? Kita akan cakap lembut dengan dia. Kita akan 'entertain' dia, akan ikut apa dia cakap, akan suka apa yang dia suka, dan juga akan benci dengan benda yang dia benci.

Samalah dengan hamba yang mahu meraih cinta Allah. Dia perlu ikut telunjuk manusia yang paling Allah cinta- iaitu Muhammad S.A.W, patuhi segala suruhan, jauhi semua larangan, laksanakan perkara yang disukai Tuhannya, dan benci dengan perkara-perkara yang Allah benci!

Tak sukar, dan tak mudah. Cuma ingat... adakah yang lebih sweet daripada cinta Allah?
  
   

March 3, 2012

Transit Cinta

Ini ialah cerita tentang cinta yang sejati- yang melahirkan persahabatan, perjuangan, perpaduan, persamaan, dan juga perkongsian cita-cita dan impian.

Kerana cinta, dua manusia yang berlainan kiblat bersatu.
Kerana cinta, dua sahabat yang berbeza manhaj berkasih.
Kerana cinta, dua jiwa yang berlainan akidah berteduh.
Kerana cinta, dua insan yang berlainan gender, bersama.

Saya tak pandai menulis. Dan saya pun tak pandai nak merayu, agar orang baca novel saya. Saya akui, dengan nampak perkataan 'cinta' pada cover buku, orang dah mula fikir bukan-bukan. Macam seorang Pak Haji di tempat kerja saya. Tanpa memegang buku tu, terus sahaja dia berkata dengan suara yang lantang, "Apa tulis novel cinta ni? Cuba tulis buku agama..."

Saya tersenyum tawar. "Haji... tu buku agamalah tu."

Jangan terpedaya dengan perkataan 'cinta' pada kulit buku. Saya tidak menulis novel cinta yang tanpa matlamat. Saya bukan memperjuangkan cinta tanpa syariat!

Kedua, perkataan Si Manis 17 sendiri menyebabkan orang beranggapan yang buku ini ialah buku remaja, buku budak sekolah menengah. Percayalah, buku ini sesuai untuk semua. Mak cik-mak cik, kakak-kakak, adik-adik, semua sesuai. Orang lelaki, tambah-tambah lagi sesuai.

Kerana ia menyentuh banyak isu, banyak perkara. Antaranya, isu kristianisasi. Bagaimana anak-anak yang lahir daripada rahim wanita muslimah, boleh menjadi seorang kristian dan Yahudi. Transit Cinta ialah satu penjelasan kepada artikel fitrah saya.

Ia juga menyentuh tentang dakwah. Bagaimana dan apa yang terjadi kepada seorang pengerusi surau bilamana dia terpaksa berkongsi bilik dengan seorang lelaki yang tidak bersolat. Bagaimana dia memahami dan mendakap kemas tanggungjawab dakwah. Juga ialah penjelasan ataupun penerangan bagi artikel dakwah dan cara-cara serta pendekatan-pendekatan yang sesuai dengan sasaran dakwah.

Saya juga menekankan tentang cinta yang mengikut lunas-lunas syarak. Transit Cinta ialah perincian bagi artikel Abang Ben dan Kak Long di mana lorong masa yang terhampar sebelum ijab kabul, digunakan dengan sehabis baik untuk memperbaiki aspek lahiriah dan agama; agar nanti, rumahtangga yang dibina atas tarikan cinta, kekal berseri di bawah payung Ilahi. Lihatlah bagaimana cara mereka menyampaikan rasa hati, dan saling menjaga hati walaupun dalam tempoh yang panjang. Cinta yang berputik untuk Ilahi, takkan tergadai dengan fitnah masa dan tempat.

Saya juga menekankan tentang persahabatan; peranan dan ciri-ciri sahabat sejati. Nilai yang dipotretkan oleh Akiff dan Ben, yang mana merupakan perkara yang paling saya mahu ketengahkan, lebih daripada elemen cinta sebenarnya!

Ada juga seruan dan peringatan tentang dinamik sebuah kehidupan.
Dan ya... ada banyak lagi, yang mana tak terdaya untuk saya lukiskan di dalam blog. Bacalah, dengan hati. Kerana hati sahaja yang mampu menghadam semua nilai-nilai yang saya ekstrak daripada al-Quran dan hadis.

Seperkara, Transit Cinta dan Dia Yang Kunikahi, walaupun tema dan konsepnya sama... tetapi gaya bahasanya tak sama. Ada yang membaca DYK dan tidak menyenangi gaya bahasa yang tidak memenuhi selera pembaca remaja, lalu tawar hatinya untuk membaca Transit Cinta. Terpulanglah :)

Apapun, kepada yang sudah membaca dan baru hendak memulakan pembacaan, suka saya ingatkan sekali lagi... bacalah dengan hati. Kerana jika tanpa kehadiran hati, yang kita nampak nanti hanyalah lapisan pertama sahaja- iaitu kisah cinta dua gender. Jangan begitu! Kerana hakikatnya saya menulis tentang perjuangan, tentang tanggungjawab!

Moga Allah ampunkan saya, seorang penulis yang hina.
   

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails