May 24, 2012

Saudaraku Seorang Yang Berbau!

Pening. Itu yang saya rasa bila bahu kami berlaga dan hujung jari kaki kami bersentuhan. Kembang-kempis hidung menahan aroma sambil dada pun rasa sesak tiba-tiba.

Aduhai saudaraku, awak tak tercium ke bau yang mencucuk-cucuk itu?

Oh, lupa. Itu bau badan awak. Wajarlah awak tak bau. Hidung awak dah sebati dengan baunya!

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Al-A'raf 31).

Berhias bukan bererti memakai barang kemas. Bukan juga membawa maksud memakai pakaian yang mahal-mahal. Tetapi berhias bermaksud mengelokkan penampilan, baik dari segi kekemasan mahupun kebersihan. Kerana antara sunnah Rasulullah, Baginda tidak akan mendatangi solat sebelum baginda bersiwak (bersugi). Sunnah lain yang juga besar ialah mandi, dan memakai haruman.

Memakai haruman sebelum solat ialah satu sunnah yang besar, tapi sudah dianggap kecil, remeh dan tidak penting. Sedangkan dengan sedikit calitan minyak atar, bau badan kita dapat ditutup. Mutiara keringat yang mengering juga dapat dihilangkan baunya. Bahkan, haruman ini dapat menjentikkan kesegaran dan tenaga kepada badan kita yang lesu.

Kerana ia sunnah yang besar, para ulama dahulu mewajibkan diri mereka untuk berwangi-wangian semata-mata mahu beribadah dan menuntut ilmu.

Tapi kita mengabaikan pula sunnah yang mudah ini. Bukan apa, saya geram dengan sesetengah manusia yang mahu melakukan ibadah, tetapi menganggu orang lain. Saya tak boleh fokus bila yang berdiri di sebelah saya ialah 'bawang putih' dalam bentuk seorang manusia!

Alang-alang saya menegur para pencinta rumah Allah yang mengabaikan kebersihan dan kekemasan, maka saya mengambil sedikit ruang untuk bercakap tentang hal yang sama, terhadap golongan wanita.

"Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina" (Abu Dawud, Tirmidzi)

Ini namanya berlebih-lebihan. Dan perbuatan berlebih-lebih ini bukan lagi perbuatan orang yang tak solat, orang yang tak tutup aurat, tetapi para muslimah yang bertudung dan baru keluar dari pintu surau juga melakukan 'zina' begini!

Hati-hati saudariku. Jangan berlebihan sangat dalam memakai haruman. Saya bukan suamimu. Bahkan, lelaki-lelaki yang kembang-kempis hidung mereka mencicip kelazatan syahwat itu juga bukan suamimu!

Jadi mengapa perlu melampau, hingga menarik perhatian?

Calitlah sekadarnya. Buat lindungan pada aroma busuk yang bergantungan, agar tidak memalukan diri. Janji ya jangan buat lagi!
  


May 21, 2012

Bertenanglah Dalam Melangkah.


Manusia memang terburu-buru. Fitrah kejadiannya memang begitu. Aku dan kamu, sama-sama mahu segera. Jika boleh, kita mahu segera berjaya. Jika mampu, kita mahu segera bahagia. Tapi hakikatnya, bukan semua yang segera itu hasilnya bagus.

Bahkan, seringkali kejayaan itu datang daripada usaha yang panjang. Begitu juga dengan bahagia.

Apa yang kita fikir, selalunya tak selari dengan apa yang Allah aturkan. Memanglah. Kita hamba Dia. Kita tak tahu apa rencana-Nya. Tak perlu nak dipandang pada perkara yang jauh dan besar-besar, apa yang kita bakal makan esok pun kita belum pasti. Bahkan, hidup atau mati kita esok pun kita tak tahu. Jadi, bagaimana mungkin kita tahu apa yang dihamparkan di depan itu, ialah yang terbaik untuk kita?

Seringkali berlaku, 'short term gain but long term loss'.

Menikmati seketika, tapi kehilangan buat selama-lamanya.

Benar sekali kata Allah...

"Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu bertabiat terburu-buru". al-Israq ayat 11.

Bila kita mahukan sesuatu, kita benar-benar berusaha kepada itu. Benar. Berusaha ialah suatu yang dituntut. Tapi berusahapun janganlah sampai melenyapkan ruang dan peluang yang lain.

Bahkan ada kalanya kita berdoa, "Ya Allah, walau macam manapun, aku tetap nak yang itu!"

"Aku tetap nak yang ini, Ya Allah!"

Nak sangat? Allah akan campak. Allah akan beri. Tapi kerana ada desakan dan 'paksaan', adakah kita yakin apa yang Allah beri itu, ia adalah yang terbaik buat kita?

"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya...." al-Baqarah ayat 216.

Fikiran kita terbatas. Kita ialah manusia yang fikiran kita berpaksikan kepada zahir. Kita jarang-jarang mampu menilai sesuatu yang disembunyikan. Kita hanya ada kekuatan dan kebolehan menghubungkan realiti dengan apa-apa yang tersurat. Jarang kita mampu memandang pada yang tersembunyi dan yang tersirat.

Oleh itu, janganlah terburu-buru. Apa-apa keputusan yang nak diambil pun, ingatlah bahawa kita punya Allah untuk kita ‘runding’ dahulu. Istikharahlah. Jangan lupa bahawa terburu-buru itu warisan syaitan, sedang tenang itu kurnianya Allah..

Buat keputusan bersama hikmah. Jangan lupa bahawa setiap tindakan kita akan ditanya oleh Allah!
       

May 19, 2012

Berambus!

Seorang menteri wanita pernah berucap, "Kepada orang-orang yang kutuk kerajaan, sila keluar saja dari FELDA. Ramai lagi yang mahu masuk FELDA. Orang macam ni tak diperlukan disini".

Kata-kata yang berbaur emosi itu memang tajam. Ia sebuah ugutan yang wajar ditakuti, kerana ia bukan keluar daripada mulut seorang penoreh getah sebaliknya daripada mulut seorang menteri yang memegang tampuk pemerintahan ketika ini.

Lalu, saya terfikir. Apa akan jadi jika sekiranya kata-kata bernada begitu, tidak lagi diucap oleh manusia sebaliknya daripada Allah yang Maha Berkuasa?

"Sesiapa yang melawan Aku, silakan keluar dari bumi-Ku. Manusia yang ingkar, yang derhaka seperti kamu tidak diperlukan di atas muka bumi-Ku!"

Jika Allah beremosi sebegitu, lalu bagaimana? Boleh dan mampu lagi tak kita tersenyum?

Jika di dunia kita dihalau, kita boleh jadi seperti pembunuh Altantuya. Sudah terang melakukan jenayah, mengupah orang untuk menembak dan mengebom mayat mangsa dengan bom C4, pun ada 'tangan ghaib' yang mampu menghalang hukum bunuh. Lelaki yang mengupah itu sepatutnya dihukum gantung sampai jadi 'bangkai', tetapi dia dibuang negeri pula. 'Tangan ghaib' membantu dia lepas!

Itu hukum dunia. Tak dapat duduk Malaysia, boleh duduk Indonesia. Tapi jika hukum Allah, bagaimana?

Kita pastut bersyukur. Kita banyak maksiat. Kita banyak melawan Allah. Allah kata haram, kita main bedal, asal boleh. Allah kata wajib buat, kita lambat-lambat sahaja menyahut seakan-akan suatu perintah dari-Nya itu rendah nilainya.

Kita patut insaf. Jangan tunggu Allah murka, kerana bila Allah murka, itu tandanya kita sudah terbinasa hingga tiada yang tersisa!
 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails