July 30, 2012

Terima kasih kepada Ramadhan (Bahagian 1)



Alhamdulillah, segala puji dan syukur saya layarkan kepada Allah, Tuhan yang Maha Memberi. Moga Allah berkenan untuk menerima pujian daripada hamba-Nya yang hina ini.

Ramadhan kareem!
Allahu akram!


Saudara, mari kita sama-sama berterima kasih kepada Allah kerana masih diberi usia yang panjang untuk menumpang nafas dan meneguk kehidupan, di dalam atmosfera mulia Ramadhan. Kita bimbang, jika lafaz syukur ini bukan menjadi perkataan yang diluah dalam nada sedar setiap hari, kita akan lupa bahwa hidup ini ialah anugerah dan kita akan lupa, bahwa Ramadhan ini satu nikmat. Takut-takut, sel-sel di otak kita akan mentafsir Ramadhan sebagai adat dan kebiasaan.

Ada banyak amal khusus di samping amal-amal umum, yang sangat dituntut sepanjang bulan ini. Insya-Allah, dengan keizinan Tuan punya alam, juga tuan sebenar jari-jari ini, akan saya lakarkan dua daripada empat amalan yang sangat dituntut oleh Rasulullah S.A.W di kolum ini. Mudah-mudahan, yang membaca akan beroleh manfaat: diamalkan dan disebarkan kepada umum pula. Mudah-mudahan.

Pertama, yang Rasulullah S.A.W galakkan umatnya untuk lazimkan di sepanjang bulan mulia ini ialah mendendangkan zikir kalimah toyyibah. Apa itu kalimah toyyibah? Kalimah itu ialah kalimah yang paling agung. Paling mulia, dan juga yang paling istimewa. Ia adalah lafaz Lailahaillallah.

Zikir, baik di luar Ramadhan sendiri pun, merupakan satu amalan yang sangat-sangat dituntut. Boleh saja saya lampirkan satu per satu hadis yang menyebut tentang keutamaan zikir. Tapi, izinkan saya untuk tidak berbuat begitu kerana saya tak mahu artikel ini menjadi satu artikel ilmiah. Yang saya mahukan ialah ia menjadi satu peransang kepada kita. Oleh itu, besar harapan saya agar lidah kita basah dengan zikir, bukan hanya selepas solat fardu tetapi di sepanjang masa, disetiap hela nafas. Insya-Allah.

Kata Imam Ghazali, beza antara orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir, ialah umpama orang yang mati dengan orang hidup di sisi Allah Jalla wa a’la. Sudah tentu ada beza antara mayat dengan manusia. Besar sekali bezanya! Maka, begitu jugalah besarnya beza antara manusia yang berzikir dengan yang tidak, kerana zikir ialah oksigen kepada hati.

Oleh itu, orang yang tidak memberi hatinya bekalan oksigen, maka tidak hairanlah hatinya mati. Mati hati, sebenarnya itu adalah kematian yang paling ngeri. Mengapa?

Kerana jika seseorang itu hatinya mati, maka dia sudah takkan mampu untuk menolak tarikan-tarikan ke gerbang neraka. Walaupun di bulan Ramadhan sendiri pun, jika hati kita mati, kita pun takkan mampu untuk mendekat kepada ampunan Allah. Jauh sekalilah untuk mendapatkan dari kelepasan api neraka. Orang yang tak buat zikir harian, akan hilang darinya sensitiviti terhadap dosa. Bukan dosa orang, tapi dosa dia sendiri!

Bila mengumpat orang, dirinya tak rasa apa-apa pun. Bila membuka aib orang, dirinya rasa biasa. Bila mendedahkan aurat, dirinya terasa istimewa. Tiada sekelumit pun rasa bersalah menghimpit, kerana rasa itu telah awal-awal lagi dibunuh oleh kuasa nafsu yang telahpun berjaya mendominasi diri kita. Hati ialah ketua kepada kerajaan diri. Jika hati sudah mati, maka kepimpinan itu sudah dirampas oleh nafsu. Dan apabila nafsu merajai kita, maka kesannya akan dapat kita lihat dengan begitu ketara sekali!

Lailahaillah, kata Rasulullah, apabila berjaya berbunga di hujung percakapan manusia sebelum dia mati, maka wajib baginya syurga. Kerana itu menjadi sunnah kepada kita untuk mentalkinkan di hujung telinga orang yang nazak, kalimah Laailahailallah.

Berlaku jujur dengan saya. Sepanjang kita hidup, berapa ramai orang mati yang kita lihat atau kita dengar kisah mereka, mati dalam keadaan mulutnya sibuk mengucap kalimah ini? Berapa ramai?

Wallahua’lam. Jika ditanya kepada saya, saya sendiri tak pernah. Tak kenal pun siapa-siapa yang mendapat tiket jaminan itu. Kerana sudah tentu bukan calang-calang orang yang bakal mendapat ganjaran sebesar ini!

Analoginya begini. Sebuah lori, dimuat dengan durian hingga penuh muatannya dengan durian. Tiba di lebuhraya KL-Karak, lori itu kemalangan. Apakah yang akan tercampak keluar daripada lori itu?

Manggis? Cempedak? Oh, sudah tentu tidak. Pasti yang akan terjatuh dan terkeluar nanti ialah durian. Mengapa durian? Kerana lori itu diisi dengan durian. Bukan manggis. Bukan juga cempedak.

Begitulah kita sebelum mati. Jika hati ini kita isi dengan Laailahailallah, maka di hujung kematian nanti, yang akan keluar ialah Laailahailallah jugalah. Mana mungkin seseorang yang hatinya penuh dengan Justin Bieber, dengan Maher Zain, atau juga dengan Ustaz Don pun, matinya nanti akan keluar kalimah Laailahailallah? Tak akan, kerana semasa hidup, tidak dilazimi ia.

Zikir ialah penghubung kita dengan Allah. Sama seperti solat, kita akan didekatkan sedekat-dekatnya kepada Allah dengan dua amalan ini. Jika kita jatuh cinta kepada seseorang, maka sudah tentu orang itulah yang paling mendapat perhatian kita, kan? Namanya, seringkali kita sebut. Jika dia ada Facebook, maka setiap minit kita akan tengok wall dia. Apalah dia nak update?

Begitulah mabuk cinta hamba kepada Tuhan. Jika dia mencintai Allah, dia tentu akan selalu menyebut-nyebut nama kekasih yang dicintai. Akan sering teringat. Akan sering terbayang. Maka, segala yang disuruh, dibuat. Segala yang dilarang, dijauh. Sungguh hebat cinta!

Zikir dan solat, antara keduanya zikir lebih fleksible. Jika solat memerlukan kepada beberapa kondisi dan syarat, zikir pula tidak bersyarat. Dalam keadaan hadas besar pun boleh zikir. Atas motosikal pun boleh zikir. Tengah tulis manuskrip pun boleh berzikir. Boleh sangat-sangat. Pembezanya ialah kesedaran. Jika kita ada kesedaran, maka insya-Allah kita boleh buat. Tapi jika kita tidak ada kesedaran, pasanglah CD zikir pun, lidah kita dan hati kita akan kaku dan membiarkan alunan zikir itu berlalu. Setompok pun tidak singgah ketenangan itu.

Saya takut, jika kita masih terlalu kurang berzikir, maka kita akan jatuh dalam kelompok munafik. Sebab terbukti, orang munafik ialah orang-orang yang sangat-sangat tidak ingat kepada Allah. Walaupun dalam ibadah pun, mereka masih tak ingat Allah. Ibadah yang kaku dan kosong daripada zikir itu, akhirnya ditanam atas tanah riak. Maka, perhatian manusialah yang ditunggu sedang perhatian daripada Allah, segalanya sampah bagi mereka.

Nauzubillah. Moga setidak-tidak dan sekurang-kurangnya, 33 kali Subhanallah, 33 kali alhamdulillah dan 33 kali Allahuakhbar dapat menjadi rakan karib kita di setiap kali kita menunaikan solat. Itu paling minima!

Sebelum saya terlupa, saya mahu berkongsi kepada sidang pembaca, tentang sira, pati, dan intisari zikir Lailahailallah yang kita ungkapkan. Tapi saya cuma akan berkongsi secara ringkas.  Ini penting, kerana jika kita gagal untuk memahami dengan sesungguhnya akan apa yang meluncur di celah dua bibir kita, maka takut-takut kita tak boleh menikmati ganjaran dan manfaatnya secara optimum.

Pertama, bila kita berkata Tidak Ada Tuhan Selain Allah, kita sebenarnya sedang berkata kepada dunia, "Ketahuilah! Tidak ada pencipta yang sebenar, kecuali Allah!"

Kedua, kita juga sedang memberitahu, "Tidak ada pemberi rezeki yang sebenarnya kecuali Allah". Sebab itu kita jangan risau lebih-lebih dalam bab rezeki. Kuat macam mana pun usaha kita, tapi kalau Allah benci, Allah marah, Allah geram, maka rezeki itu hilang berkatnya. Bila hilang berkat, maka hilanglah makna rezeki itu. Kosong.

Ketiga, kita sedang berikrar, "Tidak ada pemilik yang sebenar kecuali Allah". Dengan itu, kita akan sedar bahwa atas dunia ini, segalanya bukan hak milik kita. Kita cuma pinjam. Kita mengemis harta dan kurnia daripada Allah. Jadi, kita faham bahwa adat meminjam, bila pemilik sebenar barangan yang kita pinjam itu mahu barangnya semula, maka kita tak ada hak untuk halang. Tak ada hak untuk marah. Belajarlah untuk berterima kasih, atas apa-apa yang dipinjamkan.

Keempat, kita perlu meyakini bahwa Lailahailallah juga bermakna, "Tidak ada yang berhak membuat hukum kecuali Allah". Kerana itu, kita perlu yakin dengan keyakinan yang utuh, bahwa segala hukum, undang-undang, ketetapan, dan pantang-larang yang ditetapkan dalam agama ini, segalanya adalah untuk manfaat kita. Ketepikan keupayaan akal kita yang terbatas ini. Akal hanya mampu melihat lapisan pertama dalam kepingan-kepingan realiti. Tapi Allah, apabila Dia menetapkan sesuatu, maka ketetapan itu bukan hanya untuk keuntungan dan manfaat hari ini tetapi juga untuk manfaat hari-hari yang mendatang. Bukan hanya untuk kehidupan ini, tapi juga kehidupan yang kekal dan mendatang.

Kelima, kita akan berseru kepada jiwa-jiwa yang basah dengan cinta, "Tidak ada yang lebih layak memberi perintah dan memimpin, melainkan Allah". Ini soal loyalitas. Soal ketundukan, kepatuhan dan soal kedaulatan Allah sebagai Tuhan. Kita tinggal di bumi, ciptaanNya. Bumi yang ditadbir oleh-Nya. Maka, adalah sangat kurang ajar dan perlu dihukum sekiranya kita lebih mentaati manusia yang tempang dan bongkok, berbanding taat kepada Allah yang A'la. Yang Maha Tinggi kekuasaannya!

Keenam, dengan menyatakan Allah sebagai satu-satu dan sebenar-benar Tuhan, kita akan tersenyum dalam bicara, "Tidak ada yang dicintai melebihi Allah". Cinta ialah perasaan yang mendamaikan. Dengan cinta, datang tenteram dan aman. Tapi lebih utama daripada itu, daripada cinta datang pengorbanan. Tapi kerana cinta itu telah merasuk seluruh pembuluh darah dan mengalir di seluruh urat bicara, maka kita takkan gentar untuk berkorban kerana di sana, kita sudah takkan merasa pahit. Kita hanya mengenal rasa manis, walaupun dirobek-robek tubuh ini. Maka, bersedialah untuk berkorban untuk agama ini!

Ketujuh, kita yakin bahwa, "Sungguh! Tak ada yang ditakuti dan diharap lebih daripada Allah". Takut dan harap perlu bergerak seiring. Allah tak minta kita takut kepada-Nya, seperti kita takut harimau. Takut harimau, kita lari. Tapi jika takutkan Allah, kita perlu harapkan ampunan, kasih sayang, dan belas kasihan Allah. Kita perlu lena dalam dakapan ibadah. Kita perlu jaga, juga dalam pakain ibadah. Berdirilah dalam jasad manusia kerdil, agar berasa betapa lemahnya dan kecilnya diri walaupun di depan makhluk ciptaan-Nya.

Kelapan, kita berteriak, "Tidak ada pemberi manfaat dan peraih mudharat kecuali Allah". Ini kita faham benar. Kerana itu, bila kita mahu meminta, maka mintalah dengan Allah. Kita minta dengan manusia pun, Allah juga yang memberi dengan izin-Nya. Kita meminta dengan jin pun, Allah juga yang beri. Sebab semua itu dibawah kawalan Allah. Allah kata "Tidak", maka bersepakatlah kita dengan seluruh umat dunia untuk memberi manfaat, tapi ternyata jawapannya tetap Tidak. Samalah. Jika Allah kata "Ya", maka jika kita dan seluruh penduduk dunia menghalang dan menolak pun, ia tetap akan berlaku. Kerana memberi dan menolak, itu hak Allah sahaja. Hak kita, meminta dalam kelembutan. Dalam pengharapan.

Kesembilan, apabila kita berkata Allah itu Tuhan, maka kita kena faham yang tak ada yang menghidup dan mematikan, kecuali Allah. Maka, berjaga-jagalah. Kita boleh berusaha untuk kekal hidup, tapi 'hidup' itu sendiri berlaku kerana Allah menyuruh kita hidup. Sampai masanya Allah kata 'mati', maka kita takkan dilewatkan walau sesaat. Sebab itu kita kena takut. Takut kalau Allah matikan kita dalam keadaan kita sedang buat maksiat. Kita takkan tahu itu. Sebab itu perlunya kita selalu berdoa agar mati dalam iman. Tapi jangan doa sahaja, sebaliknya kita lebih patut untuk hidup dalam keimanan.

Terakhir, maksud ungkapan yang kita gagahi menyebutnya itu juga ialah, "Tidak ada yang dimintakan perlindungan dan pertolongan, kecuali Allah". Benar. Sekuat manapun perlindungan yang kita cuba buat, Allah boleh musnahkan perlindungan itu sekelip mata saja. Tentera Allah ramai. Ribut, tentera Allah. Puting beliung, tentera Allah. Hujan, petir, banjir, belalang, katak, urunium, radioaktif, ah... semua itu tentera Allah. Allah boleh binasakan kita dengan apa-apa cara. Takutlah dengan Allah. Dengan itu, barulah kita akan hanya meminta tolong daripada-Nya, kerana kita tahu, "Seseorang takkan mampu memberi apa-apa yang dia tak miliki". Anda boleh minta saya RM 5000. Tapi saya mustahil akan beri anda RM 5000 itu. Bukannya kerana saya kedekut, tapi kerana saya tak memiliki apa yang anda minta itu. Begitulah kita. Kita nak minta pertolongan, maka mintalah dengan Allah. Allah pemilik semua di dunia ini. Dia akan bantu kita, dengan apa-apa sahaja hingga kita dipukul tanda tanya dan kehairanan pabila melihat betapa bijaksananya Allah!


Baiklah. Selepas panjang lebar, saya harap sangat apabila kita berzikir dan menyebut kalimah suci itu, kita akan ingat kepada makna-makna yang telah saya sebutkan di atas tadi.

Amalan kedua yang saya mahu kongsikan kerana ia amat digalakkan oleh Rasulullah khususnya dalam bulan Ramadhan, ialah amalan istighfar. Tahu istighfar tu apa?

Mohon ampun kepada Allah. Ya, anda tahu. Pandai. Alhamdulillah.

Dalam bulan ini, Allah benar-benar membuka pintu keampunan dan pintu syurga-Nya, seluas-luasnya. Ia adalah motivasi, agar kita rasa terdorong untuk memintal bebenang keinsafan seterusnya bertaubat kepada-Nya.

Kita banyak dosa. Tipulah kalau saya kata kita ini kurang dosa. Lebih mengerikan, sudahlah banyak dosa, sikit pula pahala. Jadi, apa yang kita nak buat untuk memadam kembali dosa-dosa yang banyak ini? Istighfar. Ya, terus-terusan meminta ampun kerana Allah Maha Pengampun. Tapi awas, Allah juga Maha Adil dan Maha Keras siksanya. Namun begitu, Allah tetap akan memberi peluang kita bertaubat selagimana kita punya nafas. Punya nyawa, hinggalah ke kerongkong.

Rasulullah, kita maklum, bahwa Baginda ialah seorang yang maksum. Tidak melakukan dosa. Tetapi kita juga baca dalam hadis, bahwa Baginda menyatakan bahwa Baginda juga istighfar memohon ampun sebanya 70 hingga 100 kali sehari. Begitulah juga para sahabat Nabi. Para sahabat ialah golongan yang tidak dijamin terlepas daripada dosa. Mereka tak maksum, benar. Tapi mereka juga bukan golongan yang melakar dosa. Tapi kerana tolakan dan desakan iman, mereka sendiri merasa berdosa dan lantas basah mata mereka dengan permohonan-permohonan untuk keampunan.

Sangat berbeza dengan kita: yang banyak dosa, tapi tak merasa berdosa. Yang kurang amal, tapi merasa banyak.

Saya bukan mengatakan kepada siapa-siapa. Saya kata tentang diri saya sendiri sebenarnya. Saya takut, sayalah orang yang rugi dengan dua kali ganda rugi. Pertama, saya tak nampak dosa saya sendiri. Kedua, segala amalan saya (seperti tazkirah ini) langsung tak bermanfaat kepada diri saya.

Nauzubillah. Cukuplah dua saja untuk hari ini. Lain masa, akan saya kupas tentang yang lagi dua. Suka untuk saya ingatkan: "Jika seseorang itu keluar daripada Ramadhan dalam keadaan dirinya tidak diampuni, maka celakalah dia".

July 28, 2012

Harapan saya cuma untuk masuk syurga


       
"Korang nak masuk syurga ke neraka?", soal seorang ustaz di pentas ceramah. Lirikan matanya penuh dengan maksud yang tersirat. Entah apa yang difikirkannya.

"Syurga", bergema isi dewan solat. Tentulah. Siapa yang tak mahu masuk syurga?

"Amalan korang ni amalan ahli syurga ke?"

Dan saat itu, semua menelan jawapan masing-masing.

Seakan-akan itulah yang berlaku di kariah saya, semalam. Pujian memang perlu saya lontarkan kepada ustaz yang agak keras itu. Entahlah. Bagi sesetengah orang, mereka tak boleh terima ustaz-ustaz yang keras. Tapi bagi saya, sudah tiba masanya untuk para ustaz tidak lagi menjadi 'lelaki lembut' yang hanya tahu bercakap tentang sunnah bersiwak, makan kurma, habbatussauda', dan bercakap menurut arahan orang. Sebaliknya, saya kekal merasakan bahwa para ustaz perlu by-pass orang atasan, dan tak perlu gentar dengan orang-orang yang mencela.

Soalan ustaz tentang amalan saya, membuatkan saya jadi malu. Kerana saya ada cita-cita. Saya ada keinginan. Saya ada impian.

Saya bercita-cita untuk masuk syurga tanpa hisab. Mengapa tanpa hisab? Kerana saya takut jika Allah melakukan hisab, saya takut saya akan binasa. Orang-orang yang saya sakiti, sedar dan di luar sedar, sudah tentu akan menagih-nagih pahala yang mana jika habis, saya akan memikul pula dosa mereka. Itu yang saya takutkan. Benar-benar takut. Sudahlah pahala hilang, dosa orang pula yang saya akan tanggung!

Saya ada cita-cita, mahu bersembang, beramah mesra dan berada dekat dengan Rasulullah S.A.W. Walaupun saya tahu kecintaan saya kepada Baginda langsung tak sama seperti kecintaan yang ditunjukkan oleh Ibnu Umar r.anhuma. Anak kepada Saidina Umar itu, pabila melalui satu jalan, dia tunduk. Orang bertanya, "Kenapa kamu tunduk sedangkan mana ada apa-apa?". Lalu dijawab oleh beliau, "Dahulu, pernah ada pokok di sini. Rasulullah apabila melalui jalan ini, dia akan tunduk. Lalu, aku teringat yang Rasulullah pernah berbuat begitu jadi aku pun mahu meniru apa yang Rasulullah buat".

Sehingga begitu dia mahu ittiba' Rasulullah. Maka sudah tentu sunnah yang biasa, seperti solat malam, makan dengan tangan kanan, selalu baca doa-doa harian, masuk tandas kaki kiri, cover kepala masa buang najis, dan lain-lain sunnah, menjadi suatu yang sebati.

Bukan hanya Ibnu Umar r.anhuma, Anas Bin Malik r.a juga begitu. Semasa orang arab badwi datang dan bertanya kepada Rasulullah tentang kiamat, dijawab dengan soalan oleh Baginda, "Apa persediaan kamu untuk kiamat?" dan dijawab oleh arab badwi itu, "Aku tak banyak beramal tetapi aku benar-benar mencintaimu". Lantaran itu, Baginda bersabda, "Seseorang akan bersama dengan orang yang dia cintai".

Anas Bin Malik memberitahu, "Tidak ada hadis yang lebih para sahabat suka dan cinta melebihi hadis ini!"

Mengapa? Kerana para sahabat yakin yang mereka akan bersama nabi, bermodalkan cinta dan kasih sayang yang bukan retorik, yang mereka miliki terhadap Rasulullah.

Saya cintakan Rasulullah. Tapi saya hairan dengan diri saya sendiri. Mengapa saya tak banyak ikut sunnah Baginda? Pakaian, percakapan, dan perbuatan, ternyata banyak sangat yang masih saya tidak tiru. Malu... sangat malu.

Sebab itulah apabila keluar di TV al-Hijrah program 'Lau kana bainana', hos yang bertanya, "Jika Rasulullah masih ada, apa yang kamu nak buat atau perkatakan kepada Rasulullah?", saya terbayang-bayang sendiri jawapan versi saya.

Para respondan itu menjawab, "Aku nak peluk. Aku nak cakap terima kasih kepada Baginda. Aku nak Baginda doakan aku. Aku nak Baginda bawa aku pergi". Macam-macam. Tapi jika tanya saya, saya akan jawab, "Sebenarnya, Rasulullah sudi tak untuk bertemu aku?"

Bila fikir-fikir balik, memang tak layak orang yang teruk macam saya untuk bertemu Rasulullah. Hendak bermimpi pun sebenarnya sudah tak layak. Baginda manusia paling mulia. Kewafatan Baginda, ditinggalkan ajaran-ajaran dalam bentuk sunnah yang praktikal. Tetapi saya masih dibelit bermacam alasan dan halangan untuk mengikut sunnah-sunnah peninggalan Baginda. Sungguh, saya ummat yang tak tahu malu. Ingin bertemu Nabi tapi banyak sunnah yang tak dibuat!

Saya ada impian, mahu melihat islam kembali berada di puncak. Saya mahu menjadi salah seorang yang termasuk dalam golongan yang memperjuangkan islam. Saya mahu menjadi orang-orang yang membina empayar islam. Yang walau sedikit, tapi ada jasa. Ada bahagian dan ada peranan, walaupun sebesar kuman. Tetapi melihat diri saya, saya sedih. Nak jadi watak atom pun saya tak mampu. Inikan pula nak menjadi dinding atau tiang dalam rumah kita ini?

Saya nak jadi pendakwah. Walaupun saya bakal LAE di syarikat MAS, tapi saya nak jadi pendakwah. Kerja engineer lumayan, tapi kerja pendakwah tetap yang paling lumayan ganjarannya. Saya mahu ajak kawan-kawan, rakan sekerja, adik-adik, dan semua orang untuk ke syurga. Saya nak tarik orang daripada terus berjalan masuk ke lubang neraka. Tapi kadangkala, saya sendiri yang berjalan senget. Saya sendiri yang pusing pergi ke jalan neraka. Tak layak untuk saya menjadi pendakwah, walaupun saya benar-benar mahu menjadi pendakwah. Lidah saya tak fasih. Nak bawa usrah yang ada 10 orang adik junior pun saya masih kelam-kabut, inikan pula untuk berceramah. Saya kecewa dengan diri saya. Allah sudah hantar 10 orang remaja untuk saya didik dan bentuk tapi saya mungkin kurang bersungguh hingga bilangan itu berkurang. Allahurabbi. Saya ialah pendakwah yang sangat teruk.

Tapi saya tak mahu putus asa. Saya mahu mati mulia. Hidup mulia, itu bonus dan hanya persepsi masyarakat. Mereka kata, jadi engineer barulah mulia. Gaji besar. Tapi bagi saya, cukuplah kalau dapat hidup sebagai seorang islam, memang itulah kemuliaan sebenar. Jadi orang yang ada prinsip. Jadi orang islam, nah, mulia!

Tapi bagaimana mahu mati mulia jika hidup tak mulia. Masih malu-malu untuk memberitahu dunia, "Aku seorang muslim!". Masih segan menegur orang buat maksiat dan kekufuran terang-terangan. Masih berbolak-balik.

Kadangkala saya segan dengan umat islam di luar negara. Di eropah, atau di mana-mana selain Malaysia. Mereka diancam. Bukan hanya moral, tapi nyawa mereka juga diancam. Saat itulah iman akan terasa indah dan enak. Saya di Malaysia, suasananya tak macam di luar. Bersenang-senang, membuatkan iman tak terasa enak. Taat tak terasa seronok.

Bagaimana kalau saya katakan saya mahu mati syahid? Layakkah, kerana adakah jalan Allah, memerlukan lelaki cuai, lalai, dan perasan seperti saya?

Saya dah lama tahu, bahwa kerja islam ialah kerja pilihan Allah. Allah sendiri akan memilih hamba-Nya untuk menjadi orang yang berjuang. Kerana itu, saya minta Allah pilih saya. Saya harap, saya boleh menjadi sebutir pasir yang ada bahagian dalam kebangkitan islam ini. Besar-kecil, itu urusan Allah. Allah berjanji akan memasukkan orang yang beramal ke dalam syurga, jadi tugas saya ialah untuk beramal dan bekerja. Insya-Allah.

Buat masa sekarang, saya rasa sayu. Rasa teringin sangat untuk masuk syurga. Bukan kerana nak bidadari, nak sungai, nak mahligai, tetapi kerana saya sedar kalau tidak syurga, manalah lagi tempat untuk saya tuju. Sudah tak ada. Yang ada cuma neraka. Jika tidak ke syurga, maka nerakalah alternatifnya.

Neraka, kata Nabi, ialah seburuk-buruk tempat. Apinya ganas menyambar jin dan manusia yang jahat. Saatnya dibakar, saya akan memohon untuk mati. Kerana sakitnya yang tak tergambar, saya minta untuk mati. Tapi saya akan berada di tengah-tengah mati dan hidup. Tak sempat mati, kulit dan segala organ yang sudah cair dan hangit itu kembali sembuh. Dibakar lagi, berulang-ulang sampai beribu tahun. Penduduk neraka juga akan dahaga. Lalu meraung-raung minta air. Apa Allah bagi? Allah bagi air yang mendidih. Tahu dah mendidih, tapi kerana dahaga sangat-sangat, tetapi diteguk air mendidih itu hingga terburai isi perut sedangkan dahaga itu tidak berkurang sikit pun. Ditambah pula dengan buah zaqum yang berduri, yang menjadi santapan. Menyiksakan sekali apabila duri-durinya merobek kerongkong. Tapi tak juga kenyang walaupun sudah hancur kerongkong ini menelan buah neraka itu.

Saat itu, orang-orang yang bekerja untuk kehidupan akhirat, memandang-mandang dari istana mereka dan berkata, "Bukankah aku sudah beritahu kamu tentang ini?"

Benar. Demi Allah, kamu sudah beritahu. Kamu sudah cakapkan. Kamu sudah ucapkan. Tapi, saya tak tahu mengapa saya masih degil. Benarlah, Allah tak pernah zalim. Saya sendiri yang zalim.

Saya takut masuk neraka. Saya takut sangat-sangat tapi saya tak boleh menipu bahwa saya sangat banyak dosa. Sangat sedikit pahala. Sangat banyak tersasar dan sangat banyak terlajak.

Besar harapan saya, agar Allah tunaikan impian saya untuk masuk syurga. Tapi sebelum itu, saya berharap sungguh-sungguh, saya mampu hidup sebagai ummat Rasulullah. Umat sebenar, yang merindui dan dirindui Baginda. Bukan hanya umat pada air liur, dan bukan juga muslim pada air liur.

Allah, hidupkan aku sebagai muslim kerana jika Engkau tidak hidupkan aku sebagai muslim, sudah tentulah aku akan mati sebagai kufur.

 
 
 


July 25, 2012

Kempen "Jom Jadi Hipokrit"

Ayuh! Jom! Mari! Saya bersungguh-sungguh mahu mengajak diri kita menjadi hipokrit. Ya, saya tak main-main. Saya tak segan dan saya juga tak rasa bersalah. Saya nekad. Kita perlu mula jadi hipokrit. Tapi, jangan berhenti membaca di perenggan ini sahaja ya!

Alhamdulillah. Anda masih membaca. Baiklah, pertamanya saya kalungkan ucapan terima kasih sebagai tanda kasih kepada anda kerana sudi mencambahkan perasaan mahu tahu akan apa yang bakal kita bincangkan. Terus kepada isu- hipokrasi.

Bukan sekali, kala saya dan rakan-rakan melakukan satu kewajipan mengajak manusia kearah kebaikan, kami akan ditepis oleh satu alasan yang muktamad: "Takpelah. Hipokritlah kalau aku buat juga". Geleng kepala kami, sedang dalam hati, sudah tersusun-susun pedang kata-kata yang jika dihunus, memang boleh merobek alasan mereka tapi sengaja tidak dihunus kerana ia juga akan merobek keperibadian, akhlak, dan adab kami juga.

Jujur, saya memang rasa nak marah bila orang guna alasan “Tak mahulah. Hipokritlah kalau aku pakai tudung. Hipokritlah kalau aku ikut kau pergi solat berjemaah. Hipokritlah kalau aku ikut kau dengar ceramah Ustaz tu. Hipokritlah aku kalau bla…bla..bla…”

Seakan-akan, mereka lebih takut menjadi hipokrit berbanding menjadi munafik. Mulianya sungguh? Takut jadi hipokrit, tetapi tak takut jika Allah membenci dan memarahi batang tubuh mereka.

Saya menyimpulkan, “Tak mahu jadi hipokrit” ialah satu alasan semata-mata. Tercetus daripada senaman otak yang licik. Didandankan pula dengan beberapa kerat ayat agama seperti ‘tidak ada paksaan dalam agama’, dan dikomersialkan akhirnya oleh para figur yang diangkat sebagai wira-wirawati sosial.

Saya bertepuk tangan, mengucap syabas dan mengkagumi kejayaan para pelakon dan penyanyi yang berjaya mencontohkan kepada golongan muda, bagaimana untuk membina alasan yang efektif untuk menolak kewajipan daripada Allah. Tahniah juga kepada media yang mengangkat dan melariskan isu, juga menjadi percikan api yang menambah besar nyalaan yang membunuh ini.

Tahniah!

Jika Yahudi dan Nasrani, dalam merosakkan moral dan fizikal umat islam, mereka umpama irama dan lagu yang sering berpapasan dan bersefahaman, maka dua golongan yang saya kagum itu boleh jadi salah satu Yahudi, salah satu Nasrani. Ya, boleh-boleh saja terjadi begitu kerana kesan yang dipertonton, jelas disapu pandangan kita. Kita melihatnya sebegitu. Nak kata apa lagi?

Saudara sidang pembaca.

Alasan aku tak mahu hipokrit, saya rasa sama bodoh dengan alasan bodoh lelaki itu- Jadd Bin Qais. Saatnya perang Tabuk, umat islam akan berdepan dengan musuh yang hebat iaitu empayar Rom. Lelaki itu, Jadd Bin Qais berdebar-debar hatinya. Tak keruan. Akhirnya, dia mendatangi Nabi Muhammad S.A.W dan berkata, “Wahai Rasulullah. Aku mahu ikut berperang sebenarnya. Tetapi engkau pun tahu, bahwa dalam kalangan kita, aku ini jenis yang mudah terpikat dengan wanita. Jadi aku meminta kepada kau kelepasan daripada turut berada dalam legasi pejuang iman ini, kerana aku takut tercampak dalam fitnah. Tahu-tahu sahajalah, perempuan Rom itukan cantik-cantik belaka”.

Rasulullah memalingkan wajahnya yang mulia daripada lelaki itu, seraya mengizinkan. Lalu, turunlah satu ayat al-Quran sebagaimana yang kita jumpa dalam Surah at-Taubah ayat 49;

Dan di antara mereka ada yang berkata: “Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah”. Ketahuilah, mereka telahpun tercebur kedalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab jahannam meliputi orang- orang yang kafir. (at-Taubah, 49)

Orang munafik, tak ada rasa malu pada mereka. Walaupun terpaksa membuat alasan bodoh, mereka sanggup. Bahkan paling ketara, mereka sedaya upaya cuba berdandan dengan maskara, gincu, bedak dan apa-apa sahajalah asalkan mereka nampak baik!

Dalam kes Jadd Bin Qais, dia mahu nampak baik kononnya kerana dialah orang yang paling menjaga mata dan takut terhadap godaan wanita!

Dalam kes kita, kitalah manusia yang paling baik kerana sangat-sangat takut untuk jadi hipokrit! Amboi, mulianya!

Pernah tidak dalam musafir hidup kita, kita berbahadapan dengan kata-kata ini:

“Sesiapa yang meninggalkan amalan kerana takut riak, maka itulah dia riak”.
Kata-kata mahsyur yang dipercayai tercetus daripada buah fikir Imam Ghazali itu, terlalu mendalam maksudnya. Tak keterlaluan jika saya kata, orang yang ada otak sahaja boleh memikirkan. Yang kosong otaknya dengan akal, ya… mungkin bertahun membaca pun tak akan faham-faham. Jadi, tak perlulah nak dipersalahkan orang yang tak faham, kerana kapasiti dan kapabiliti otak (akal) kita kan berbeza.

Mari melihat, bagaimana takut riak boleh menjadi riak. Kerana, orang itu bukan sahaja telah ditipu syaitan, tetapi dia juga telah terang-terang melawan Allah, dan dalam keadaan lawan Allah dan dipeluk syaitan itu, dia pula merasa diri dia mulia. Baik dan bagus, kerana dia sudah berjaya meninggalkan riak yang mana orang selain dia, yang beramal itu… semuanya telah riak. Kerana dia seorang sahaja yang tak beramal, maka dia seorang sahaja yang tak riak. Dialah hero! Hidup hero! Hidup hero!

Cukup-cukuplah saudaraku. Usah bersembunyi di bawah alasan. Kita diciptakan oleh Allah, bukan kerana Dia mahu bermain-main. Tak macam kita buat mainan patung daripada plastisin. Tak sama. Allah, kerna Maha Hebatnya Dia, Dia menciptakan kita kerana bersebab. Pertama, agar kita beribadah. Ikut apa yang Dia suruh dan tinggalkan apa-apa yang Dia larang. Keduanya, agar kita memimpin dunia dan alam semesta ini dengan panduan al-Quran dan teladan Nabi Muhammad. Sekarang tahu, apa tugas kita?

Sudah tentu bekerja itu juga tugas. Beranak bini juga tugas. Semuanya harus. Semuanya boleh. Tetapi jika ada kata-kata ‘jangan’ daripada Allah, maka disanalah kita perlu dirikan ketegasan untuk berkata ‘tidak’.

Nak datang kepada Allah bukannya mudah. Syaitan, nafsu sendiri, bahkan manusia keliling juga banyak yang akan menarik kita daripada letak punggung kita tadi. “Jangan masuk syurga”, kata mereka. Kerana itu, mereka akan cuba sedaya upaya untuk pujuk kita supaya jangan dekati Allah. Jangan dekati masjid surau. Jangan dekati majlis agama. Jangan tutup aurat. Jangan jaga perhubungan lelaki dan perempuan yang ajnabi. Jangan macam-macam! Tapi sebenarnya dalam masa yang sama, mereka sedang berteriak di telinga kita, “Jom masuk neraka!”

Akhirnya, kitalah yang akan membuat keputusan muktamad. Nak masuk syurga atau biar sahaja diri diheret oleh kawan kita, syaitan kita, dan nafsu kita, masuk dalam hotel neraka. Satu hari nanti.

Benarlah kata-kata seseorang, ketaatan itu memang bermula dengan rasa terpaksa. Terpaksa melawan nafsu, melawan pujuk rayu kawan-kawan, melawan syaitan khususnya, dan melawan juga celaan orang yang Allah ciptakan khas untuk mencela orang yang nak buat baik. Jangan marahkan mereka, kerana mungkin memang orang yang suka menyindir tu Allah cipatakan memang untuk menyindir orang buat baik. Tak perlu balas, kerana kita akan balas di akhirat nanti, di saat kita memandang ke bawah dan bertanya, “Eh, panas tak kat bawah tu?”

Sekarang, jom kita cantas dan tebas lalang-lalang alasan itu!

------------

Satu artikel saya bertajuk "persepsi tentang kebaikan" telah diterbitkan di portal JS Adiwarna. Berziarahlah ke sana :)

  

July 23, 2012

Ilmu: Sejauh mana ia bermanfaat?

Picture from deviantART.
Sudah banyak kali saya diminta untuk menulis tentang isu ini. Saya keberatan, kerana jika saya menulis juga, bermakna saya seakan-akan sedang menyeret batang krayon ke dahi saya. Jika jemari saya berkata-kata juga, bermakna ia sedang menghujankan partikel-partikel air liur ke udara, di mana akhirnya ia membasahi wajah hina ini sendiri juga. Memang, bila berbicara dengan lebar berkenaan dengan subjek ini, saya takkan mampu untuk lari daripada menunding jari ke muka sendiri, walau sejauh manapun saya cuba larikan kenyataan itu.

Tapi, adalah ia menjadi suatu yang berganda-ganda manfaatnya jika jiwa kecil kita berdendum dengan kata-kata, "Damn! Mamat ni tengah sindir aku ke?" kerana kita risau, jika nuansa sebegitu, bening... ia akan bertukar menjadi satu rintihan, "Ya Tuhan kami. Sungguh! Kami sudah menyesal. Maka izinkan kami pulang semula ke atas dunia, untuk kami beramal dengan apa-apa yang kami ketahui". Tapi kala itu, dunia sudah diselimutkan. Tiada jalan dua hala.

Baik. Pertamanya, molek jika kita meneliti apa maksud ilmu itu sendiri. Imam Ghazali, dalam kitabnya yang tersohor, Ihya Ulumuddin, menjelaskan bahwa definasi sebenar ilmu ialah apa-apa yang membawa manusia untuk dekat kepada Allah Jalla wa A'la. Ini bertepatan dengan satu firman Allah;

Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya hanyalah para ulama (Fatir; 28)

Ilmu, segalanya berasal daripada Allah. Kerana Allah ialah Al-a'lim. Kerana itulah, Allah memperingatkan kita kepada sebuat hakikat, 

Sesungguhnya hanya kepada Allah ilmu tentang hari kiamat; dan Dia menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui dengan jelas akan apa yang akan dikerjakannya esok. Dan tidak ada seseorang pun yang akan mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Mengenal (Luqman; 34)

Kerana ilmu, setiap urat bicaranya ialah berlegar dalam pengetahuan Allah, maka sewajarnya manusia yang meminjam lalu menggunakan ilmu itu juga perlu mengurusnya dengan gugusan yang dikehendaki oleh tuan punya ilmu itu- Allah!

Tapi yang berlaku, ialah sebaliknya. Malang, bahkan tak keterlanjuran jika saya katakan... terlalu malang bagi umat islam, kerana ramai antara kita yang memperagakan ilmu yang dimiliki sebagai satu pakaian kemegahan semata-mata. Sedangkan, ia tidak menjadi benang-benang taqwa, yang mana benang inilah yang akan menjadikan libasun taqwa... pakain taqwa. Allah Yang Maha Bijaksana, di dalam nota-nota cinta-Nya, menitipkan kepada semua bahwa taqwa ialah satu pakaian. Sebagaimana yang kita tahu, pakaian ialah benda yang melindungi tubuh badan kita. Itu fungsi utamanya, sedang estetikanya, pakain berfungsi untuk mengindah dan mencantikkan kita. Nah! Begitulah seharusnya ilmu, kerana ilmu ialah sumber ketaqwaan!

Orang yang berilmu, ada bermacam kelompok. Ada yang dominan tapi ada juga yang terpinggir. Terasing. Terpinggir, kerana golongan ini ialah golongan yang tidak menonjolkan diri. Kerana mahu menjaga satu wasiat nabawi berkenaan dengan 'zuhud', mereka menidakkan kepada masyarakat: Aku perlu jujur dengan ilmu!

Adapun, ada satu golongan itu, mendapat tempat yang istimewa di dalam satu pertubuhan, satu institusi, bahkan satu negara, kerana 'kebijaksanaa' dia mendatangkan nas-nas agama untuk menghitamkan suatu yang putih, dan memutihkan suatu yang hitam! Luar biasa!

"Apabila engkau selesai daripada mencari ilmu yang bermanfaat dan selesai daripada memperbaiki dirimu pada zahir dan batin...", kata Imam Ghazali dalam Bidayatul Hidayah tulisannya, "...dan jika masih ada baki daripada waktumu, maka tidak mengapa engkau gunakan untuk menuntut ilmu mazhab (Ilmu Masail Khilafi) supaya engkau dapat meneliti cabang-cabang dalam mazhab feqah dan permasalahan yang timbul diwaktu engkau beribadat, supaya engkau mengetahui jalan tengah di antara segala permasalahan yang diperselisihkan oleh orang ramai ketika mereka sedang dikuasai hawa nafsu di dalam pertengkaran mereka. Itupun selepas kamu menuntut ilmu yang fardu kifayah. Tetapi...", Imam Ghazali menegaskan, "...tetapi, jika nafsumu seringkali mendorongmu untuk meninggalkan bacaan wirid dan zikir yang telah kami sebutkan (dalam kitab ini- Bidayatul Hidayah), dan merasa berat untuk melaksanakannya, maka ketahuilah bahwa syaitan telah berjaya mempermainkan engkau dan berjaya menanamkan dalam hatimu kecintaan kepada harta benda dan pangkat"

Masya-Allah! Betapa Imam Ghazali, runsing dengan keruncingan iman kita. Sebagai orang tua yang mahu melihat anak-anaknya berjaya, Imam Ghazali sudah awal-awal lagi memberi amaran kepada kita tentang onar yang bakal dicipta oleh hati manusia yang bersimpang-siur, tanpa keimanan yang jelas. Mereka menuntut ilmu, tapi kaki mereka, mata mereka, otak mereka, bahkan hati mereka, dikawal oleh nafsu! 

Kerana itu, adalah suatu yang sangat biasa jika kita melihat, seseorang itu boleh belajar ilmu yang hebat-hebat, tetapi untuk berzikir yang mudah-mudah, dia tak mampu. Akhirnya, ilmu yang ditimbanya, digunakan untuk mencantas orang lain. Ilmu yang dipikulnya, tidak lagi membuatkannya mulia... tetapi membuatkannya menjadi mirip kepada iblis. Sombong!

Saudaraku, ketahuilah bahwa sombong itu ialah bilamana kita meremehkan kebenaran dan kita merendah-rendahkan orang lain.

Itulah penyakit orang alim. Ustaz Zahazan di ceramahnya dalam stesen radio IKIM seringkali berpesan kepada kita bahwa ego, takabbur dan sombong, terlalu mudah untuk terbias kepada jiwa orang berilmu. Mengapa? Kerana ilmu itu membuatnya berasa besar. Kerana ilmu itu membuatnya berasa mulia. Kerana ilmu itu membuatnya berasa, "Aku betul!"

Sedangkan, ilmu itu dirapatkan oleh Allah dengan zikir. 

Dan tanyalah kepada ahli zikr, jika kamu tidak mengetahui (Al-anbiya; 7)

Satu hubungan yang sangat istimewa dapat kita lihat, antara ilmu dan zikir kerna dalam ayat itu, ahli zikr yang digambarkan oleh Allah itu sebenarnya merujuk kepada ahli ilmu. Orang-orang yang punya ilmu, yang dianugerahkan dengan ilmu, dan yang dimuliakan oleh Allah, dengan ilmunya.

...dan nescaya Allah akan mengangkat darjat orang yang beriman di antaramu, dan orang yang berilmu, beberapa darjat. (al-Mujadilah; 11)

Orang berilmu ialah orang mulia. Tetapi, ada yang hanya mulia di mata manusia, tapi hina di kaca mata Yang Maha Pencipta. Siapa? 

Maafkan saya. Sebenarnya, adalah tidak layak untuk saya mengatakan 'dia itu hina. Dia itu keji' kerana saya takut, saya juga hina dan keji. Tetapi memandangkan ada sandaran daripada agama ini, maka saya petik satu watak yang kekal hidup dalam kanvas sejarah, potret yang mengajarkan kita agar memaknakan ilmu yang Allah anugerahkan dengan cara yang benar.

Lelaki itu namanya Bal'am. Peribadinya diceritakan dengan detail, sebagaimana Bal'am Bin Ba'ura' itu, walinya Allah. Lelaki yang dikasihi Allah. Disayangi Tuhan. Doanya, Allah mustajabkan, sesuai dengan apa yang kita pelajari dalam hadis 40 Imam Nawawi. 

Kerana penduduk kampungnya semuanya kufur, maka Nabi Musa dan pengikutnya mahu memerangi kaum yang kufur ini. Sudah tentu, bukannya Bal'am kerana lelaki itu soleh. Ketakutan, lantas penduduk kampung itu meminta untuk Bal'am mendoakan agar Nabi Musa dan legasi dakwahnya tersesat di gurunan pasir, melilau dan merayau. Pada peringkat awalnya, sebagai orang soleh, Bal'am enggan untuk mendoakan yang buruk sebegitu.

Tetapi selepas dipujuk rayu hingga dalam riwayat yang lain, dipergunakan isterinya untuk menggodanya, memujuknya, dan merayu kepadanya, akhirnya Bal'am terjelupuk juga. Ternyata watak kewalian juga boleh terbinasa kerana seorang wanita. Ah, itulah ujiannya, dan buat lelaki itu, dia kandas. Ilmunya dan kewarakannya tak menjaminkan kesejahteraan imannya.

Lalu, Nabi Musa dan pengikutnya pun tersesat. Subhallah. Betapa Allah makbulkan doa Bal'am, hingga para ahli iman itu tersesat selama 40 tahun lamanya!

Tetapi, kerana ilmu dan setiap anugerah itu digunakan dengan cara yang songsang, maka... nah!

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya Dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika Engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika Engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang Yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (Al-A'raf; 176)

Bal'am, seorang wali pada awalnya, ditarik imannya dan dimatikannya dalam keadaan sebagitu.

Ini mengingatkan saya kepada satu lagi ayat al-Quran, sebagaimana yang seringkali kita baca, kita bincang, dan kita kupas. Satu ayat yang sudah sangat dekat dengan bibir kita. Sudah sangat akrab dengan kita. 

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Ibrahim; 7)

Saudaraku, sungguh ilmu itu ialah anugerah. Ia bukan suatu yang datang dengan hukum 'mesti'. Tidak. Adi Putra, kanak-kanak itu pernahkah meminta semasa dia kanak-kanak, untuk menjadi genius matematik? Mungkin dia akan jawab tidak, dan memang seharusnya itu jawapannya.

Kita, yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai satu-satu cabang ilmu. Adakah segalanya dapat kita kuasai? Tidak. Tidak semua yang ada dalam buku, ada dalam otak. Tidak semua yang ada dalam nota, ada dalam memori. Kerana ilmu, ialah satu pemberian yang diagih-agih sesuai dengan usaha kita juga dengan rencana dari-Nya.

Mungkin, yalah... mungkin saja, kita belum puas dengan kisah Bal'am. Kata hati kecil, "Ah, dia itulah wali. Belum tentu alim. Kan abid dengan alim, beza-beza".

Jika begitu, apa kata kita menyelak sekali lagi tirai zaman dan kembali kepada lorong masa sezaman Nabi Musa dan lelaki itu, Musa Samiri.

Musa Samiri ialah orang yang bijaksana daripada pengikut Nabi Musa. Dia ialah orang terhormat kerana kononnya, dia dijaga oleh Jibril A.S. Tetapi, sebijak-bijak beliau, dialah bapa kekafiran kaumnya, bilamana dia mencipta patung lembu yang mengeluarkan bunyi lalu dengannya, ia disembah oleh para pengikut Nabi Musa, semasa Nabi Musa bertemu dengan Allah. Kisah ini mahsyur, dimana kita tahu pada hujung-hujung cerita, Nabi Musa pulang dan berang melihat kefasadan yang berlaku dan dia menarik janggut saudaranya Nabi Harun yang diamanahkan untuk menjaga kesejahteraan akidah umat itu.

Buntu. Entah bahasa apa lagikah yang paling tulen, yang boleh saya gambarkan betapa buruknya dan tercelanya golongan manusia yang berilmu tapi tidak mengaplikasikan ilmu. Lebih menjadi nanah, bilamana ilmu-ilmu itu diurai urat-uratnya satu per satu, menjadi perisai diri; menepis segala kewajipan dan menjadi magnet yang menarik segala kejahatan.

Malang sekali.

Adalah tidak keterlaluan jika saya ibaratkan orang begini dengan sifat orang kafir Quraisy. Tenang! Tenang! Saya tidak menuduh kita kafir. Sudah tentu tidak. Nauzubillah. Tapi, jika kita bermain-main dengan ilmu yang ditanam dalam pendar jiwa ini, tanpa seinci piston tenaga ini digerakkan untuk merealisasi tuntutan-tuntutan ilmu itu, maka....


Kafir Quraisyh, mengapa mereka menyembah patung berhala? Adakah kata mereka, patung-patung bisu itu Tuhan? Adakah kata mereka, Allah itu tiada?

Mereka percaya, Allah wujud. Mereka percaya, Muhammad itu Rasul-Nya. Mereka bahkan yakin, patung sembahan mereka itu bisu. Statik. Objek pegun!

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Luqman; 21)

Mereka tahu, ada Allah sebagai Tuhan sebenar. Tetapi mengapa masih mereka perlukan para patung-patung bisu itu?

Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya" (Az-Zumar; 3)

Mereka, ada pengetahuan tentang keesaan Allah. Kebenaran atas apa yang dibawakan oleh Nabi Muhammad. Mereka tahu. Mereka terima. Tetapi, syahwat mereka meronta-ronta meminta dipuaskan. Perut mereka meraung-raung minta dikenanyangkan!

Lalu, kebatilan juga yang dipilih sedangkan kebenaran sudah disertakan, sejelas-jelas. Seizin-Nya.

Allahu rabbi.

Kita, adakah kita manusia yang dihancurkan itu?

Ada ilmu, tetapi menunggu.
Ada ilmu, tetapi statik.
Ada ilmu, tetapi menjadi pedang yang memecah jamaah.
Ada ilmu, tetapi menjadi perisai yang memelihara mungkar.
Ada ilmu, tetapi menjadi asbab kepada kemunafikan!

Saudaraku, takutlah kita kepada Allah. Setiap ilmu yang Allah berikan kepada kita, by hook or by crook, perlu kita cuba warnakan dalam tindakan. Ilmu ialah cahaya, sedang dalam prisma cahaya itu, wujud tujuh warna cinta yang kita gelar sebagai pelangi. Kesemuanya saling memberi, saling menerima. Kesemuanya saling memancar, menceriakan jiwa manusiawi.

Fahamilah, bahwa ilmu ibarat air yang jernih. Jika dibiarkan hanya bertakung tanpa mengalir, yang jernih akan bertukar busuk kelama-lamaan. Yang cerah akan bertukar hitam, kelama-lamaan! Begitulah ilmu. Jika ilmu, dikafankan, dimasukkan dalam keranda memori, maka ia akan membusukkan bukan sekadar peribadi, tetapi juga alam kelilingnya.

Lihatlah sendiri. Betapa ramainya orang berilmu, tetapi berapa ramai pula orang yang bermanfaat kepada orang lain?

Sungguh, merpati ini tidak akan terbang kepada siapa-siapa kerana penulis surat itu tidak menitipkan secara jelas, jiwa siapakah yang perlu dipukul. Sebaliknya, jika rasa terpukul, maka segera mengalihkan punggung yang berlemak kerana sudah lama berenak-enak dengan kesaratan ilmu, tapi kering dengan penghayatan.

Setiap ilmu ialah nikmat. Jika kita tidak mahu bersyukur, Allah dengan izin-Nya, boleh menambah dan boleh mengurangkan, sesukaNya, tetapi satu amaran keras: Inna azaabi lasyadid! 

Salam Ramadhan, sidang pembaca Bayyinat. Moga kita akan keluar sebagai salah satu produk taqwa. Insya-Allah!
     

July 14, 2012

Moga Allah ampunkan saya.



Saya teringat, minit sebelum saya turun untuk ke surau, sempat tangan saya dipanjangkan untuk mengemaskini ‘status’ Facebook saya. Kata saya tadi, “Ya Allah, salurkanlah kerinduan ini kepada Rasul-Mu. Ya Allah, lorongkanlah ingatan ini kepada perjuangan para sahabat Rasul-Mu. Pilihlah aku ya Allah. Pilihlah aku Ya Allah. Pilihlah aku Ya Allah...”

Subhanallah. Ternyata, ujian Allah itu cepat. Jawapan balas daripada Allah, sangat segera. Turun-turun saja tangga apartment, langkah pertama saya tenggelam. Tenggelam dalam emosi yang kelat. Dua mata ini merakam sosok dua orang gadis melayu yang maafkan saya kerana saya terpaksa katakan disini, seksi. Ya. Seksi yang menyiksa. Dan bersama dua anak gadis kita itu ialah kumpulan remaja lelaki yang saya kira bilangannya dalam lima atau enam orang semuanya. Nah! Kau minta Allah pilihmu untuk dakwah atas nama-Nya, sekarang itu satu kelompok adik-adikmu untuk engkau bawakan!

Tapi, saya tak mampu. Astaghfirullah. Saya mengenali mereka. Saya menghafal wajah-wajah mereka. Tiap kali kami berpapasan, saya senyum menyapa. Sekadar menukar salam dan mengajak, "Eh, jom. Surau?" dan mereka akan angguk dan tersenyum. Sekadar itu. Hanya itu yang saya mampu lakukan, hingga mungkin kerana sudah terlalu kerap, beberapa mereka jadi sakit hati. Nampak kelibat saya dari kejauhan, salah seorang yang kelihatannya, ketua mereka bercakap dengan nada mengejek. Nadanya tinggi. "Dah. Dah. Jom kita pergi surau. Jom". Dan, mereka ketawa. Terbahak-bahak sesama mereka. 

Allah... Betapa saya tahu mereka memang mahu menyindir saya. Memang terasa suatu dalam hati ini tapi saya gagahkan diri untuk senyum dan mengakat tangan kepada mereka. Sejak hari itu, tiap kali saya melalui mereka, saya akan senyum dan angkat tangan. Jika sempat, cuma berkirim salam saja. Masih menunggu peluang untuk mengajak mereka ke surau. Dengan harapan kali ini, sikap berhati-hati dan sabar menunggu peluang, membuatkan jiwa mereka lebih lunak dan hati saya dan hati mereka juga lebih terjaga. 

Tapi, hari ini... saya benar-benar sedih. Jujurnya, ini bukan kali pertama dan saya jamin, bukan juga kali terakhir saya akan melihat ada anak gadis kita yang berpakain seksi. Cuma, banyak perkara yang berlegar dalam kotak fikiran hingga tanpa sedar, mata ini sudah gerimis. Ia adalah rasa yang sama bila masa saya menonton satu video yang tersebar di Facebook. Video yang merakamkan aktiviti tak bermoral remaja kita di depan gerbang Pavilion. Video pendek yang menceritakan  sebuah tamadun kelam itu diakhiri dengan adengan peluk dan cium mulut! Sedih sangat bila kali pertama melihat klip itu.

Rasa yang sama, bila melihat dua anak gadis ini bertitik tolak kepada beberapa persoalan tentang tanggungjawab. Di mana tanggungjawab ibubapa yang seharusnya, si bapa menjadi wali kepada anak gadisnya. Wali, ialah mandat. Wali, ialah tugas. Wali, ialah kemuliaan. Ia adalah satu amanah yang sangat berat di sisi Allah. Ah, tidakkah bapa-bapa itu perlu risau tentang anak mereka terutamanya yang berjantina perempuan? Di hujung siang, masih melepak bersama teman-teman?

Allah. Saya sedih, kerana menjaga wanita ialah salah satu wasiat terakhir Rasulullah sebagaimana yang terpatri dalam khutbah terakhir Baginda semasa haji 'selamat tinggal'.

Tambah menyedihkan, bilamana saya merenung kembali kepada relung realiti. Melihat kepada cermin peribadi. Saya!

Saya... hanya mampu berdoa. Menyedihkan! Ya Allah, betapa hinanya saya. Betapa saya kerdil. Betapa hari ini, kejadian ini, membuatkan saya berasa sangat kerdil. Kerdil di sisi Maha Pengasihnya Allah.

Saya, yang banyak memberi nasihat. Yang meminta untuk dipilih menjadi penyeru manusia untuk jalan syurga, akhirnya diuji dengan satu ujian yang ringan, tapi saya hanya mampu bersimpati dan memanjangkan doa sahaja. 

Teringat pada satu hadis yang sudah fasih, akrab, dan mesra dengan lidah ini. "fai'llam yastati' fabii qalbi Waza lika adhaful imaan... barang siapa yang tak mampu (nak cegah dengan tangan dan dengan lisan), maka hendaklah dia mencegah (kemungkaran itu) dengan hati. Dan itulah selemah-lemah iman.

Sudah tentu saya tak mahu menjadi muslim yang iman lemah. Tapi hakikatnya, itulah saya, hari ini. Saya hanya mampu mencegah dengan hati yang paling pilu. Oh adik-adikku... mampukah kamu memahami?

Satu perkara yang saya terkilan. Mencegah dalam hati, diterjemah sebagai membenci dalam senyap. Itu masalah besar kepada yang membenci dan kepada yang dibenci. Ia suatu kesalahan besar, kepada perjuangan dan kepada kelestarian sunnah. Adakah kita dituntut untuk membenci dengan seni yang begitu?

"Tengoklah. Rosak!"

"Apa nak jadi dengan budak-budak zaman sekarang ni?"

"Bodoh! Tak ada guna satu sen pun!"

Ini antara lontaran kata-kata yang jauh lebih berdosa daripada dosa-dosa mereka. Kerana, kita mendahului menghukum daripada membetulkan. Perhatikan rangkap akhir hadis tadi. Ia hadis sahih, daripada periwayatan Imam Bukhari dan Muslim daripada susur galur seorang sahabat yang mulia, Abu Said al-Khudri.

"Jika kamu melihat kemungkaran, hendaklah kamu cegahnya", kata Rasulullah. Baginda tidak hanya menyatakan apa yang kita perlu buat, tapi baginda juga sediakan jalan-jalannya untuk kita melakukan apa yang Baginda perintahkan, dengan kata-kata sambungan daripada Baginda, "Cegahlah dengan tanganmu. Jika tak mampu, dengan lisanmu. Jika itupun tak mampu, cegahlah dengan hatimu. Dan yang terakhir itu ialah iman yang paling rendah yang ada padamu".

Kata kuncinya ialah mencegah. Perbuatan ini, sehebat manapun, harus ada hasilnya iaitu tertebasnya lalang maksiat yang dizahirkan di hadapan kita. Tapi yang berlaku, lebih banyak mulut yang menghina dan mencaci maki berbanding bibir-bibir yang memuliakan kalimah Rasulullah ini dengan logan cinta.

Saudaraku, suka untuk aku beritahumu bahwa cinta ialah warna asas dalam agama ini. Merahnya cinta, membuatkan Allah membekalkan petunjuk demi petunjuk kepada manusia untuk melangkah ke jalan syurga. Segarnya cinta, membuatkan sang Rasul tak kekang ingatannya dan kerinduannya kepada umat Baginda, walaupun kepada si fulan yang terakhir dilahirkan. Tegasnya cinta, hingga kita diajar untuk membancuh warna benci daripada asas cinta. Bagaimana?

Lihatlah kepada Hindun Binti Uthbah. Dia wanita ganas. Tak keterlaluan jika saya katakan dia ialah wanita yang agresif. Tapi itu dahulu. Dahulu, sebagaimana yang dipahat dalam sejarah, perbuatannya membelah dada Saidina Hamzah dan melapah keluar hati bapa saudara Rasulullah itu. Tak cukup dengan itu, dendamnya kepada Hamzah mendorongnya untuk bertindak lebih buruk iaitu menggigit jantung Hamzah. Tapi dia tak mampu menelannya lalu dia pun ludahkan keluar. Kejam! Ya, perbuatannya mengundang keluar air mata daripada kelopak mata Baginda hingga keluar satu perasaan mahu membalas dendam dalam hati Baginda tapi segera ditegur oleh Allah.

Hindun binti Uthbah, namanya termasuk dalam senarai 10 orang yang akan dibunuh semasa Fathul Makkah. Dibunuh bukan kerana dendam, tetapi sebagai balasan atas api-api permusuhan yang dinyalakan dan dimarakkan lagi oleh mereka. 

Tapi akhirnya, wanita yang membuatkan Rasulullah sangat-sangat sedih itu, bilamana dia memeluk islam, dia dimuliakan. Begitulah juga Khalid al-Walid. Hijau, segar dalam ingatan kita bagaimana tentera islam bergelimpangan mati dipanah oleh tentera kafir dalam perang uhud dalam satu peristiwa dimana mereka bertebaran pergi mengutip ghanimah dan mengabaikan pesanan Rasulullah agar bersiap siaga di tempat kawalan mereka. Siapa dalang di sebalik kematian-kematian itu? Khalid lah. Itulah lelaki yang dikenali sebagai 'pedang Allah' di zaman gelapnya, zaman jaliyyah sebelum islamnya.

Tapi selepas islam, semasa dia hijrah ke Madinah, dia disambut dengan cinta. Dengan takjub, dia berkata, "Tidakkah kalian marahkan aku dan membenciku kerana membunuh bapa-bapa dan suami-suami kalian?"

Dijawab dengan penuh lembut oleh para ahli iman di Madinah, "Khalid, sungguh kami telah memaafkan kamu. Kami tak membencimu."

Inilah kebencian yang wajar dicontohi. Benci kerana mahu meruntuhkan jahiliyyah. Benci, kerana mahu memupuk iman. Dan sudah tentu kebencian ini hanya kepada subjek dan bukan kepada objek. Dalam situasi saya, subjek ialah kelalaian anak remaja sedangkan objeknya ialah  anak remaja itu.

Kita diizinkan membenci. Sekadarnya, cumalah pada perbuatannya. Sudah tentulah dengan memukul mereka dengan kata-kata 'rosak, jahat, sebagainya bukanlah benci yang dituntut dalam mencegah mungkar. Ini kecurangan!

Tidak. Benci yang disulam cinta, satu syaratnya ialah menghadirkan doa.

"Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab. Di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah. Setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim)


Pernah, seorang manusia yang berhati suci mengadu kepada saya tentang kerunsingannya tentang sahabat-sahabatnya yang jauh daripada paksi agama. Benar, mereka masih bersolat. Cuma, mereka juga melazimi maksiat dan kedurjanaan dalam terang-terangan. Jadi, dia minta pandangan saya, dengan akhir kata-katanya, dia menjelaskan, "Saya tak mampu nak berdebat dengan mereka. Kalau nanti bertekak juga, mesti saya akan menangis".

Jawab saya mudah. Doa. Tidakkah itu jelas satu kelebihan, untuk kita menangis di dalam sujud rayu kita, berdoa kepada Allah agar diberikan hidayah kepada sahabat-sahabat ini. Sebutlah nama mereka seorang demi seorang, sebagaimana Rasulullah berdoa meminta Allah teguhkan islam dengan salah seorang daripada dua Umar. Umar al-Khattab, ialah jawapan Allah kepada doa nabi Muhammad itu.

Itulah pengajaran, daripada kisah yang panjang ini. Sengaja saya mahu membawa anda melalui jalan penceritaan yang panjang, walau pengajarannya cuma seteguk doa. Hari ini, kita terlajak dalam membenci. Terlajak dalam bersangka buruk. Terlajak dalam memandang serong. Padahal, kita gagal dalam meletakkan prioriti doa-doa kita.

Ketahuilah, ramai orang yang perlu kita masukkan nama-nama mereka dalam doa kita.

Mudah-mudahan, artikel ini menyentuh hati kita yang paling dalam untuk melihat dua sisi besar dalam keimanan dalam masyarakat kita. Pertama, corak dan cara kita memandang manusia. Daripada memandang dengan persepsi buruk, jengkel, dan berbaur menghukum, adalah lebih mulia kita bersimpati dengan mereka. Hadirkan dalam hati rasa, "Ya Allah, kesian mereka. Buat maksiat tanpa segan silu. Kau berilah mereka hidayah Ya Allah".

Keduanya, doa. Siapa tahu, orang itu kelak akan bertemu musibah. Contohnya, dilanggar kereta. Selepas sembuh, dia pun insaf. Dia merasakan bahwa dilanggar kereta itulah punca dia insaf dan kembali kepada Allah tetapi sebenarnya, kerana doa kitalah Allah jadi suka dan mahu dia insaf. Lalu, Allah suratkan untuknya sebuah kemalangan untuk menyucikan dosa silamnya dan memakaikannya kalung hidayah, untuk memacu hidupnya kearah yang lebih baik.

Bukankah semua kita bersaudara?
Jadi mengapa dengan saudara sendiri pun, kita kedekut untuk mendoakannya?

Juga, saya minta kalian berdoa kepada Allah agar Allah maafkan dan ampunkan saya, kerana saya amat lemah dalam dakwah. Hanya mampu memandang orang-orang itu dengan belas kasihan dan mendoakakannya sahaja. Moga satu hari nanti saya mampu lakukan yang lebih baik daripada apa yang saya mampu, hari ini.

Moga Allah ampunkan saya...
   

July 9, 2012

Ikhlas, pada pandangan saya.


saya masih tak merasakan keikhlasan hati dalam setiap apa yang saya lakukan. cthnya, solat. solat wajib 5 kali sehari, tapi saya masih tak merasai keikhlasan dalam melakukannya. apa pandangan ustaz?
Jika persoalannya ialah semata-mata pada perkara ikhlas, maka ketahuilah bahwa ikhlas itu umpama seekor semut hitam yang sedang merayap di atas seketul batu yang hitam di malam yang kelam. Mampu dilihat oleh mata-mata yang biasa?

Ah, mustahil!

Begitulah aku, pada hatimu dan begitulah kamu, pada hatiku. Masing-masing antara kita tak tahu seseorang yang kita pandang itu, ikhlaskah ataupun tidak. Yang tahu secara hakikatnya, ialah Allah. Adapun, kita sebagai hamba-Nya, boleh menilai tahap keikhlasan kita dengan beberapa bibit perkiraan.

Pertama sekali, orang yang ikhlas ialah orang yang takkan berasa sedih dan kecewa. Mengapa? Kerana sejak kali pertama dia melepaskan kepentingan-kepentingan yang lain selain daripada Allah dalam ruang hatinya, maka saat itulah dia telah melepaskan kebergantungannya dan fokusnya hanya tinggal untuk sebuah keputusan sahaja- Allah! Adakah Allah mahu menerima, atau adakah Allah mahu menolak?

Saat itu, radarnya sudah tak mampu mengesan ancaman manusia. Radarnya juga sudah tak mampu mengesan pujian seseorang. Amalnya tak meningkat seiring meningkatnya penghargaan dan pujian seseorang. Bahkan, amalnya juga tak menurun seiring cemuhan dan makian seseorang. Ikhlas telah membuatkan matanya buta daripada menonton lagak manusia. Ikhlas juga telah membuatkan telinganya pekak daripada mendengar bisik-bisik manusia. Kerana, ikhlas telah menyumbat ruang hatinya dengan kecintaan kepada Allah.

Ketahuilah saudaraku. Ikhlas itu matapelajaran yang mustahil akan dikuasai dalam tempoh yang seketika. Ikhlas tak datang dengan sekali dua perbuatan, tetapi ia datang seiring dengan fenomena hati dan jantung kita. Ia datang, dengan datangnya ilmu. Ia datang, dengan datangnya kefahaman. Dan ia datang, dengan datangnya iman.

Maka, maafkan saya. Saya mahu menyatakan beberapa perkara. Pertama, seorang yang tak merasakan seronok dalam beribadah, mungkin kerana imannya terluka. Ada torehan. Ada hirisan. Ada luka yang parah pada iman, yang mana luka itu adalah akibat torehan pisau maksiat.

Ya. Tidak akan duduk bersama, cinta pada maksiat dengan cinta pada taat. Umpama kita makan sepotong kek yang manis. Apakah manisnya sirap, akan terasa selepas kita menelan kek yang manis itu? Tidak. Kita takkan merasakan manis sirap itu, padahal kandungan gulanya tak berkurang pun.

Begitulah dengan taat. Jika seseorang itu banyak melakukan maksiat, baik maksiat zahir mahupun maksiat batin, maka dia takkan mampu untuk menghirup kemanisan taat. Jauh sekali, untuk merasai halawatul iman kerana halawatul iman ialah satu perasaan yang dibiaskan daripada warna cinta!

Cinta kepada Allah dan Rasul lebih daripada segalanya. Cinta ini menjadi pilar pertama, yang menanggung keluh dan resah sang pencinta. Kerana cintanya, dia tekad untuk meninggalkan semua perkara yang dibenci oleh kekasih yang dicintai. Kerana cintanya jugalah, dia tekun melaksanakan segala yang dicinta dan diperintah oleh kekasih yang dicinta.

Cinta, kepada saudaranya kerana Allah. Lapis warna cinta yang kedua ini mencelupnya ke dalam perasaan kasih, sayang, peduli, kasihan, membantu, dan lain-lainnya. Kerana kasihnya itu dilayarkan atas lautan kecintaannya kepada Ilahi, maka dia tahu bahwa dia perlu membawa saudaranya untuk pulang ke dakapan kasih Ilahi. Kerana ini, dia bersahabat.

Cinta, juga kepada satu kesedaran bahwa “Aku tak mahu kembali ke sisi jahiliyahku”. Maka, dia tak lagi menoleh ke belakang. Matanya hanya diarah ke hadapan, untuk esok yang lebih harmoni.

Itulah tiga warna cinta, yang membentuk perasaan manis dalam beriman. Inilah perasa yang membuatkan ketaatan menjadi lazat, dan membuatkan maksiat terasa pahit. Inilah juga perasa yang membuatkan seseorang itu damai, tenang, dan seronok dalam taat dan berbahang dalam maksiat.

Maka, apabila diri sudah mengecapi nikmat dalam ibadah, maka apa lagi yang mahu dipinta-pinta?

Itulah dia buah ikhlas. Manis dan segar.

Maka, tanamlah pohon cinta itu dengan benih ilmu. Siramkan dengan air kesungguhan dan bajai dengan doa. Insya-Allah, kemanisan taat itu akan dapat kita petik, satu ketika nanti.

Oleh itu, renung diri kita. Merasa kekurangan dalam ibadah, mungkin kerana kekurangan kita dalam tiga sudut itu. Kurang dalam ilmukah? kurang dalam kesungguhankah? Atau kurang dalam beriman?
  

July 5, 2012

Notis untuk AJK surau.

"Wahai pesuruh Allah. Bukankah kita ini berada di dalam kebenaran sedang para penyembah berhala, mereka itu semuanya sesat?"

Rasulullah mengangguk. "Kamu benar".

"Jadi, mengapa kita perlu berasa takut di dalam kebenaran islam kita, sedangkan mereka itu berbangga-bangga dan bermegah-megah, di dalam kesesatan mereka"

Mutiara yang terbuai keluar dari bibir lelaki itu membuatkan sang Rasul berfikir. "Jika begitu, apa yang berlegar dalam fikiranmu, wahai Umar?"

Lelaki tegap berjiwa satria itu menjawab dalam warna semangat, "Aku cadangkan agar kita keluar ke depan kaabah, dalam dua saf. Satu saf dipimpin olehku dan satu saf lagi akan dipimpin oleh Hamzah. Mari kita zahirkan kekuatan islam kita!"

Minoriti dalam kelompok, tak menjadikan barisan manusia yang terpencil itu lemah. Jiwa mereka dibakar dengan semangat kebenaran, yang sumbunya ialah lelaki itu, al-Faruq. Gelaran yang 'super' ini diselit kerana peristiwa agung, demonstarasi kuasa kaum terpencil.

Seringkali kita menatap barisan kata-kata sang murabbi agung,

Islam bermula sebagai (sesuatu yang) asing dan akan kembali menjadi (sesuatu yang) asing seperti awalnya. Maka berbahagialah orang-orang yang asing itu. (Hadis sahih riwayat Muslim, Tirmizi, Ibn Majah, al-Thabarani dan lain-lain)

Sebagai generasi yang membawa tajdid (pembaharuan) kepada sistem pemikiran songsang yang  akar kerosakannya sudah mengikat ke hujung ulu hati, sudah tentu perubahan yang diperjuang, mendapat tentangan. Kita sudah mengkaji dan menelusuri lipatan-lipatan sirah, di mana setiap gerak langkah yang dihayun oleh generasi awal itu, cuba dipotong oleh garis-garis jahiliyyah.

Barisan kepimpinan Quraisy yang setia bersuara untuk para potet bisu al-Latta dan al-Uzza, tak pernah berehat dalam membenci. Tokoh pembenci yang dipelopori oleh Abu Lahab, Abu Jahal, dan al-Walid ibn Mughirah bukan membenci kerana mereka meyakini tuhan-tuhan bisu mereka. Sebaliknya, segala keindahan pada Muhammad, mereka akui dan imani. Segala yang didengar dari bibir Muhammad, mereka yakini dan hayati. Al-Quran yang ditolak, bukannya ditolak kerana suspen dan keraguan. Tapi kerana sombong, ego, dan politik rimba yang diratah, semua yang putih dalam hati, dihitamkan.

Dengan kuasa yang disimpan di celah kuku jahannam, mereka tanpa belas menyiksa para saudara kita dalam keimanan, dalam golongan hamba. Bilal Ibn Rabah, siksaannya teruk. Khabbab Bin A'rat, parut di tubuhnya kekal untuk menjadi saksi di depan Tuhan. Sumayyah, darahnya akan mengalir sebagai saksi perjuangan akidah. Begitu juga suaminya, Yassir. Bahkan beberapa orang sahabat yang lain juga, yang teruk menahan siksa kerana dua kalimah; "Tidak ada Tuhan selain daripada Allah" dan "Muhammad itu adalah pesuruh Allah".

Derita dan payah, makanan yang setiap hari dijamah oleh orang yang beriman. Tapi, itu tak menjadikan mereka lemah. Sesekali tidak. Jika lemah dan kuatnya seseorang itu dinilai dengan kekuatan fizikal, ternyata para manusia yang beriman itu golongan yang jauh lebih kuat kerana walaupun jasad mereka sengsara, tapi sesekali pun tidak pernah terkeluar keluhan penyesalan. Mereka mengimani agama yang tulen ini, dengan seluruh jasad mereka. Walau kaki kiri dirantai, kaki kanan akan membisikkan semangat. Walau dada ditindihi batu, perut yang sama menderita sempat membisikkan agar bersabar. Begitulah, hingga para keparat yang mahu menyiksa jiwa orang beriman, tersiksa sendiri kerana dijerut emosi!

Soalan yang sama, kita cuba cungkil keluar daripada bab-bab awal islam; adakah mereka lemah?

Tidak! Sejak dahulu, hingga kini, kelemahan tak pernah berani dekat dengan islam!

Lemah dan gagah, tidak lebih hanyalah satu penafsiran sahaja. Ada manusia yang menafsirkan lemah sebagai kekurangan dalam persenjataan dan ketenteraan. Kerana itu, negara mereka dijajah. Umpamanya, Tanah Melayu, pada satu ketika dahulu. Ada juga yang menafsirkan kata lemah itu dengan sifat-sifat yang buruk. Umpamanya, putus asa dan berkeluh kesah.

Terpulanglah bagaimana anda mentafsir. Cuma, lihatlah bagaimana islam menafsirkan lemah.

Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. 
(Ali-Imran; 139).

Tanyalah pada Sumayyah, tanyalah pada Bilal, tanyalah pada Khabbab, tanyalah juga pada si kerdil Julaibib, tanyalah si hitam yang tidak kacak Saad ibn Muaz, juga tanyalah pada si buta Abdullah ibn Maktum, adakah segala kekurangan material, fizikal, dan kedudukan yang hina dalam masyarakat, membuatkan mereka berasa lemah dan sedih?

Saya yakin, mereka akan menjawab dengan semangat yang berbara dalam hati; "Kami semua telah dimuliakan dan dikuatkan oleh Allah, dengan islam!"

Islam boleh diibaratkan sebagai satu rumah. Sesiapa yang memasuki rumah itu, akan tertanggal segala kehinaan fizikal, material dan sosialnya, dan digantikan dengan keterpujian akhlak, keunggulan iman, dan ketinggian taqwa!
Seakan-akan, ada satu sifir daripada subjek matematik akhirat, bahwa orang yang tidak merasakan mulia dan kuat dengan keislamannya, itu tandanya bahwa dia belum benar-benar memasuki 'rumah' islam.

Saya terpanggil untuk menulis sesuatu tentang 'lemah' kerana saya mahu mengkritik satu badan surau di satu kawasan penempatan. Mungkin, surau di kariah anda juga ipar kepada corak pengurusan surau di kawasan yang saya akan sebutkan nanti.

Bukan sekali dua tapi sangat kerap, AJK surau menjalankan aktiviti meminta derma. Sebelum mula mengutip, mereka akan meletakkan notis, "Perhatian! AJK surau akan mengetuk pintu rumah untuk meminta derma".

Jika bulan itu derma untuk Palestin, bulan depan derma untuk Syria. Jika bulan depan untuk Syria, bulan berikutnya untuk Rohingya.

Persoalannya, adakah ia perbuatan yang salah? Omongnya, saya seakan-akan menghukumnya sebagai haram pula?

Jangan salah mengerti, wahai saudaraku yang aku cintai kerana Allah sekalian.

Memberi derma ialah satu perbuatan yang sangat terpuji. Tak perlu saya panjang lebarkan cerita tentang sedekah kerana tajuk itu telah saya huraikan dalam buku motivasi saya, "Bahkan, Kami Bersaksi" yang bakal terbit tak lama lagi insya-Allah.

Tapi, artikel ini saya karang untuk membuka kotak pemikiran kita kepada isu yang jauh lebih besar daripada isu memberi dan meminta sedekah; iaitu isu kekuatan islam di dada masyarakat.

Agama kristian dan Yahudi, dua agama itu begitu terpencil bagi saya. Saya tak punya banyak pengetahuan tentang dua agama itu. Tapi saya yakin, matapelajaran 'pengurusan kewangan' tidak diajar di dalam dua kitab rujukan mereka. Jikalah benar ada pun, saya yakin ia tidaklah lebih baik dan lebih bagus daripada apa-apa yang Tuhan sendiri ajarkan, di dalam al-Quran.

Agama ini sama sekali tidak pernah menolak material. Kerana itu, ada ibadah yang khusus berkenaan dengan material, iaitu zakat. Saya tidak sempitkan kepada wang, kerana zakat yang menjadi satu daripada kewajipan setiap muslim yang berkemampuan tidak terhad semata-mata kepada wang. Bahkan, ada beberapa pecahan daripadanya seperti perhiasan (emas), ternakan, tanaman, dan lain-lain.

Saya ingat lagi cerita kawan saya dari negari di bawah bayu, dua tahun lepas. Dia menjentik titik sedar saya dengan satu kisah keislaman lima orang warga tempatan di sana. Tiga darinya lelaki dan selebihnya wanita. Apa yang berlaku adalah, kelima-lima mereka mendapat tentangan yang dahsyat daripada keluarga mereka yang masih kekal dalam agama asal. Mereka dibuang daripada keluarga hingga mereka hilang segalanya di sudut dunia. Baik keluarga, mahupun harta. Dengan sehelai sepinggang, mereka cuba mengemis duit zakat yang diamanahkan kepada lembaga zakat, tapi apa yang berlaku, mereka terpaksa mengisi borang permohonan dan terpaksa menunggu hingga beberapa bulan untuk permohonan mereka diproses sebelum dicop oleh bapak menteri. Orang yang sudah berhari-hari berpuasa, dipaksa kebulur untuk beberapa bulan. Tak tahan, akhirnya tiga daripada mereka mengambil keputusan untuk pulang ke keluarga masing-masing dan mengemis ehsan mereka. Tapi ia harus dibayar dengan harga yang sangat mahal! Murtad.

Suatu yang wajib diberi secara segera, dilambatkan oleh perundangan yang menjerut. Akhirnya, jiwa-jiwa yang mahu dibersihkan dipaksa menyerahkan kesuciannya untuk diratah dengan pisau jahiliyyah. Hairan! Adakah para graduan subjek islam yang menghirup elaun dan gaji bulanan, menjadi potret bisu di dinding semata-mata?

Kita juga takkan mampu melupakan pedihnya jiwa, bilamana terbongkar di dada media berita seorang ibu tunggal yang putus asa mengemis hak zakat, hingga akhirnya terpaksa meminta bakti gereja. Tanpa banyak soal, pihak gereja yang dikatakan sebagai satu institusi yang mengancam akidah, nyata lebih pantas dan effisien untuk membantu walaupun yang terkapai-kapai hampir lemas itu, bukan dalam golongan mereka. Saya tak tahu apa agama ibu tunggal itu sekarang tapi besar harapan kita, dia masih kekal beragama islam.

Ini kisah dua atau tiga tahun lepas. Saya bercakap tentang yang lepas-lepas dan saya yakin, perubahan drastik kepada kebaikan telah dilakukan. Insya-Allah. Cuma, saya mahu mengambil pengajaran daripada sejarah. Mengambil ibrah daripada barah!

Terkilan. Hati kecil bermandikan rasa terkilan yang amat sangat, apabila melihat institusi surau yang ditegakkan atas rasa cinta agama, tidak dimanfaatkan dengan cara yang paling benar. Mengapa saya kata begitu? Saya ada alasannya, insya-Allah.

Pertama, kita beriktikad bahwa islam ialah agama kemenangan. Kekuatan. Kegagahan. Bahkan, kemegahan. Jika begitu, mengapa institusi yang menjadi wakil kepada komuniti muslim di satu-satu tempat, menjadi satu institusi meminta derma?

Sesetengah orang, boleh faham peri pentingnya sedekah. Tapi lebih daripada setengah yang lain, memahami yang sebaliknya. Mereka melihat perbuatan meminta-minta itu sebagai satu lambang kekurangan. Bukankah orang meminta-minta kerana dirinya kekurangan?

Lebih buruk adalah bilamana rumah-rumah mereka, kita datangi. Sudahlah kita mengganggu masa-masa peribadi mereka di dalam kamar, kita minta pula 'upah' daripada setiap langkah kaki dan ucapan salam tadi!

"Nah, RM 10", akhirnya wang berpindah milik, dan para AJK tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Bagi saya, 'terima kasih' yang diucapkan itu adalah bahasa lain kepada sorakan, kerana berjaya membuatkan si kaya memberi walaupun dalam terpaksa!

Adakah begini, generasi-generasi sebelum kita tontonkan?

Rasulullah, di saat menitipkan pada para sahabat Baginda agar bersiap-sedia untuk berjihad, ada atau tidak baginda mendatangi setiap satu keluarga daripada para sahabat muhajirin dan juga ansar, untuk meminta-minta sumbangan?

Setakat yang saya tahu, tiada. Paling menarik, beberapa orang lelaki yang sihat dan berkemampuan, bahkan mendatangi Rasulullah. Bukan untuk memberi, tetapi untuk merampas! Mereka membina tembok-tembok alasan, untuk menjauhi amal-amal soleh seperti infak dan jihad, dan Rasulullah memberi kata 'ya' atas permintaan mereka. Walau selepas itu, kita kenal mereka sebagai AJK persatuan munafik pimpinan Datuk Seri Abdullah Bin Ubay.


Kita lihat pelajaran yang lestari sejak dulu. Rasulullah, walaupun Baginda tahu bahawa dakwah ini memerlukan banyak wang, tapi baginda terlebih dahulu mencontohkan bahwa peluh dan air liur juga adalah satu sumber dakwah.

Lihat bagaimana Baginda mendakwahkan kaum kerabat Baginda di kaki bukit Safa. Seruan yang dilaungkan untuk bangsa yang dikasihi, dibalas dengan kata 'celaka' daripada Abu Lahab.

Juga lihat, bagaimana dakwah Rasulullah ke Taif. Berjejeran peluh suci baginda kelelahan tapi dibalasi dengan rejaman batu-batu dan najis-najis daripada kaum yang jahil itu.

Melihat fenomena dakwah di zaman kita, membuatkan saya sedih. Entah apa yang memacu kita, hingga kita boleh nampak harta dan wang lebih daripada selainnya. Seperti golongan manusia tadilah. Mengapa mereka boleh mengetuk pintu dan meminta sumbangan derma, sedangkan mereka lebih patut untuk mencontohi sunnah Rasulullah, mengetuk pintu dan berdakwah.

Lupakah kita pada sosok seorang lelaki tampan, Mus'ab bin Umair? Jika dalam syurga nanti, kita mampu berkata-kata dengan kayu, saya mahu kita bertanya kepada pintu. Pintu rumah siapakah di Madinah, yang tidak diketuk oleh wakil Rasulullah ini, untuk didakwahkan?

Jawabnya, tiada.

Semua penduduknya, baik yang berkelamin mahupun yang bersendiri, dihadiahkan dengan pengenalan tentang islam.

Sebagai manusia yang kerdil dalam 'rumah' yang besar, saya memandang bahwa kerosakan dan kelemahan kita adalah kerana kita mencuaikan solat. Kita tak berasa hebat, sebagaimana yang dirasakan oleh para sahabat Rasulullah kerana kita tak yakin dengan agama yang kita anuti ini. Bukti kelonggaran keyakinan ialah solat kita yang serba tak kena. Sunnah terbesar dalam solat, kita tinggalkan. Kita jadi alergi dengan perkataan 'berjemaah'. Kita jadi lembik bila mendengar perkataan 'rapat-rapatkan saf. Lurus-luruskan saf'.

Tapi kenapa AJK surau tak boleh nampak ini?

Saya tak salahkan institusi surau, kerana ia mungkin hasil celupan atau tarbiyyah daripada media massa. Kita boleh lihat di peti televisyen, iklan berupa peringatan-peringatan untuk kita membayar zakat. Segala macam bentuk kemudahan disediakan hinggalah kepada membina kaunter-kaunter zakat yang berfungsi 24jam sehari. Begitu juga dengan apa yang kita tatap di dada-dada akhbar. Banyak benar iklan yang memberi suntikan kepada kita untuk membayar zakat, hingga saya pasti, tiada seorang pun yang akan terlupa untuk membayarnya.

Tapi bagaimana pula dengan solat? Adakah di televisyen ada iklan untuk solat? Adakah di akhbar, ada promosi untuk berjemaah? Adakah kerana solat tidak ada kena mengena dengan duit dan harta benda, maka ia tak layak mendapat ruang untuk diiklankan di media massa?

Benda-benda ini perlu kita fikir-fikirkan, kerana kesannya sudah zahir, hari ini. Seorang boleh berdakwah atas nama sedekah atau zakat, tapi tidak mampu atas nama solat dan berjemaah!

Sebagaimana dinding-dinding itu sudah ditampal dengan notis 'kami akan mengetuk pintu rumah tuan-puan untuk meminta derma', maka saya akan tampalkan notis ini dalam hati-hati para AJK surau.

"Saya akan mengetuk hati-hati kalian supaya dapat melihat betapa besarnya ruang dan peluang untuk kalian mewarnai masyarakat dengan warna agama"
 


July 3, 2012

Menjemput bidadari.

Sesiapa yang merenungi pergerakan alam ini, pasti akan menemukan hakikat kekuasaan Allah S.W.T yang padanya, tiada satu bahasa pun yang dapat menjelaskan betapa hebatnya Tuhan yang memiliki langit, bumi dan segala yang di antara duanya.

Salah satu irama alam, yang ritmanya lirih dan rapi, ialah penciptaan makhluk-makhlukNya yang berpapasan dan berpasangan. Berpasangan, pada pandangan orang yang tidak meniliti, tidak akan membawanya kepada suatu yang lebih dalam daripada hanya sekadar 'kahwin dan membiak', tetapi jika kita cuba merenungi, kita akan melihat betapa berseninya Allah dalam melestarikan generasi manusia.

Yang mati, mereput. Yang lahir, membesar.

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. 
(Rum; 21)

Jika bukan kerana kita punya seorang ibu dan seorang bapa, kita takkan ada di layar kehidupan ini. Sekiranya kedua orang tua kita, dua-duanya ibu, maka mengikut hukum alam, kita akan kekal dalam bentuk cecair. Begitu juga jika kedua-duanya ialah bapa. Kekal kita dalam bentuk cecair. Tapi kerana atas talian dan jambangan kasih sayang antara dua entiti manusia bernama lelaki dan wanita itu, maka secara berperingkat, kita mengintai alam dunia. Kita, satu bangsa yang sebelum ini, tidak langsung dikenali, akhirnya sudah mula dikenali sesudah dipakaikan dengan gelaran kemuliaan- manusia.

Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut? (Al-Insan; 1)

Bersyukur kita kepada Allah kerana kita dijadikan sebagai satu makhluk yang dilahirkan daripada gugusan cinta; yang padanya, ada amanah yang saling merantai, antara ayahanda yang tegas memimpin, ibunda yang lembut membantu, dan anakanda yang taat mengikut. Satu keluara yang bahagia, asalnya ialah satu individu yang 'tumbuh' atas tanah masa.

Satu ketika itu, lelaki yang kita panggil sebagai 'abi' ialah seorang pemuda biasa. Satu ketika itu, seorang gadis yang kita panggil sebagai 'umi', juga ialah seorang wanita biasa. Tapi hari ini, mereka ialah orang luar biasa pada kita. Masya-Allah!

Jadi, bagaimana dua individu yang berasingan, boleh menjadi dua indvidu yang bersamaan? Juga, bagaimana dua individu yang biasa, boleh menjadi dua individu yang luar biasa?

Jawapnya, kesepekatan dan keharmonian ini lahir melalui satu institusi yang dimanakan sebagai institusi kekeluargaan.

Jodoh dan perkahwinan; tanah subur di mana kita bercucuk tanam.

Soal jodoh dan nikah, ternyata sudah menjadi satu isu yang hangat diperdebat oleh tokoh agama dan tak lupa juga, tokoh liberalisma agama. Salah satu ialah haq dan salah satu ialah batil. Kita tolak liberalisma dan sekularisma agama, hingga yang berdiri dalam hati kita ialah pilar yang bersandar kepada syariat.

Begitulah, soal jodoh bertempik pada langit pemikiran.

Kita ada bermacam cara untuk menarik bidadari dari kaki langit. Kita ada pelbagai pengalaman daripada drama yang dimaikan orang sekeliling kita, tentang cara mereka mengintai bidadari. Ada pelbagai cara. Tapi yang mana satukah cara yang dipertontonkan oleh generasi Sahabat, dan juga generasi Salafussoleh?

Ya. Kita mengakui bahwa jodoh ialah suatu perkara yang sudah ditetapkan semenjak kita lahir lagi. Kerana itu, lipatan sejarah menunjukkan bahwa ada manusia yang menukar status bujang pada usia yang muda. Ramai pula yang di usia pertengahan tapi ada juga yang kekal bujang sehingga di usia senja, bahkan tidak kurang pula, ada yang meninggal dunia tanpa sempat bernikah. Ini adalah kerana soal jodoh ialah satu sisi daripada kiub qada' dan qadar Allah taala.

Tapi yang menjadi masalah, ialah adakah dengan kita menerima hakikat yang jodoh manusia ialah satu sisi daripada skrip-skirp kehidupan yang dikarang oleh Allah, maka kita tidak perlu mencarinya?

Jika pemikiran kita sebegitu, maknanya kita sudah salah. Jodoh dan rezeki, saling merantai. Sebagaimana kita mencari rezeki, seharusnya begitulah kita mencari jodoh. Sebutir beras, dia takkan menjadi nasi jika kita tidak memasaknya. Sepinggan nasi, dia takkan menjadi makanan kita jika kita hanya merenungnya. Tanpa memakannya, maka kita dan lapar, takkan berpisah. Mahu atau tidak, kita perlu berusaha untuk mengunyah dan menelan. Kemudian barulah kata kerja 'makan' digunakan. 

Begitulah perkahwinan. Jika ada seorang lelaki dan seorang perempuan, antara keduanya tidak ada apa-apa jika tiada perbuatan yang namanya 'taaruf' dan 'nikah'. Selepas kita nikah, barulah kita akan menerbitkan kata kerja 'sayang-menyayangi hingga ke syurga'. Jika tanpa pernikahan, kasih sayang itu akan tetap kekal sebagai satu kata nama. Tiada perbuatan yang mencetus kepada nyalaan kelembutan kasih dan sayang itu.

Jadi, kita maklum bahwa jodoh, walaupun ia ketetapan, tapi ia tetap perlu diusahakan. Soalnya sekarang, usaha yang bagaimanakah, yang bergantungan di bawah pilar islam yang satu itu?

Kita tendang cara kelompok liberalisma. Kita juga sepak keluar, cara puak sekularisma. Kita hanya gunakan cara yang benar- cara islam.

Dalam agama ini, Rasulullah sebagai murabbi agung, telah mengajarkan manusia akan empat ciri kemanusiaan yang perlu diperhatikan di saat mahu memilih calon bidadari. Pertama, pakaian agamanya. Kedua, kecantikan. Ketiga, keturunannya dan akhir, hartanya. Seorang sahabat pernah dengan tegasnya menyatakan bahwa dia hanya akan memandang kepada faktor pertama; agama.

Dia meminjam kata-kata Rasulullah, yang pilihan manusia yang beragama ialah pilihan yang paling baik. Keberatan nilai 'baik' itu menjadi satu kosmetik yang mencantikkan calon bidadari itu. Tapi hakikatnya, semuanya berkadar terus antara baik, cantik, keturunan dan harta. Hanyalah agama itu, tingkatnya tertinggi.

Jodoh ialah pakaian cinta. Jika tiada cinta, maka rumah tangga akan rapuh. Cinta ialah peranan hati, yang mendapat input daripada mata. Manusia yang hanya melihat kepada faktor agama, dan membutakan matanya daripada melihat kepada faktor kecantikan, sebenarnya ialah golongan yang mendustai sunnah.

Sahabat bernama Jabir, saat menyatakan keinginannya untuk bernikah, terus sahaja ditanyakan samada beliau sudah melihat calon isterinya atau tidak. Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain. Untuk urusan pra-pernikahan, keharaman melihat wanita tanpa urusan terangkat, dan ditukar hukumnya menjadi harus.

Harus untuk melihat, sekadar pada rupa dan tapak tangan. Mengapa? Kerana tujuannya, agar timbul gejolak rasa suka, senang, tenang, dan gembira. Biar ada debarnya. Biar ada, suspennya! 

Bimbang-bimbang, jika kita wara' tanpa tempatnya, kita tak akan mampu untuk menundukkan mata lahiriah dan mata hati kita, hanya kerana alasan, 'isteri aku tak cantik!'

Jadi sahabat, ketahuilah bahwa agama memang penting tapi rupa paras, keturunan yang baik, sihat serta terpuji dan juga harta serta kedudukan sosial, bukannya tidak penting.

Selepas itu, kita lihat pula bagaimana Rasulullah berinteraksi dengan sahabat Baginda yang nanar kerana cinta. Lihat bagaimana Salman dan Abu Darda' mengepisodkan satu pengajaran cinta kepada kita.

Salman r.a, sebagaimana sahabat yang lain, juga jatuh cinta. Dia mengambil keputusan untuk menikahi gadis yang diminatinya itu. Lantas, dia meminta Abu Darda' yang merupakan sahabat baiknya untuk menjadi tukang bicara. Lalu, berangkatlah kedua mereka ke rumah bapa gadis itu. Di rumah bapa gadis itu, Abu Dara' yang memikul amanah sebagai tukang bicara, mula melemparkan jaring kata-kata.

"Sebagaimana yang kita tahu, Salman ialah salah seorang sahabat Rasulullah yang utama", mukaddimahnya terus sahaja kepada sosok Rasulullah.

"Sahabatku ini berkenan dengan anak gadismu dan dia ingin memperisterikan anak gadismu. Atas kiraanmu, bagaimana?", tanya Abu Darda' kepada bapa gadis itu.

Sebagai seorang lelaki soleh, bapa lelaki tadi jelas gembira atas lamaran daripada seorang sahabat yang utama di sisi Rasulullah, untuk anak gadisnya. Tapi tanpa terburu-buru, dia berkata, "Izinkan aku bertanyakan pendapat anak gadisku".

Lalu selepas meminta pandangan anak gadisnya, lelaki tadi menemui Abu Darda' dan Salman, lalu menyampaikan berita dari hati gadis; "Maaf, Salman. Anak gadisku tidak bersedia untukmu tetapi jika Abu Darda' juga punya hajat yang sama, maka anak gadisku berbesar hati untuk itu"

Salman menangis serta-merta. Kecewa? Ah, tidak. Sebaliknya, dia menangis kerana gembira. Walau pinangannya ditolak, dia nyata masih juga gembira kerana gadis itu meminati dan menyukai Abu Darda' lalu dia dengan bersungguh-sungguh, berkata kepada Abu Darda', temannya yang paling dia cintai;

"Ambillah segala persiapan yang telah aku siapkan ini dan jadikanlah ianya sebagai mahar dan kegunaan untuk pernikahanmu".

Masya-Allah. Hebatnya hasil tarbiyah Rasulullah, hingga para sahabat bukan hanya faham syariat dalam bercinta tapi juga faham hakikat cinta itu; 'cinta, tak semestinya memiliki!'.

Kisah dua sahabat karib ini langsung memberi kita satu pengajaran besar, bahwa usaha untuk menjemput bidadari haruslah seperti ini;

1- Persiapan.
2- Jumpa wali.

Siap, ialah seperti Salman yang dalam aspek dunia dan semestinya, aspek agama. Hari ini, ada yang sudah cukup harta, tapi tak cukup ilmu agama. Ada pula, duit tak cukup, tapi ilmu agama insya-Allah ada.

Untuk orang begitu, kita sarankan agar mereka bersabar. Perkahwinan ialah satu tempoh yang nikmatnya banyak, tapi ujiannya juga banyak. Jika tiada kewangan yang kukuh, kita risau kita akan pincang dalam meniti hari-hari bersama 'amanah' daripada Allah ini. Juga, jika ilmu agama kita masih cetek, juga kita takut kita akan pincang dalam melangkah alam penuh barakah ini.

Selepas merasakan diri sudah bersedia dari aspek fizikal dan agama, maka temuilah wali bagi anak gadis itu. Hakikatnya, gadis yang kita suka itu 'milik' keluarganya. 

Saya sengaja tak mahu menyentuh berkenaan dengan cara orang fasik bercinta. (Couple, dating etc.) Jika saya sentuh juga, artikel ini akan jadi makin panjang.

Yang saya mahu tekankan, ialah kerisauan kita tentang calon pasangan kita. 

"Betulkah dia seorang yang benar-benar baik?"

Lalu, untuk mendapatkan jawapannya, kita pun terjun ke dalam satu lumpur pergaulan yang berlebihan dengan si dia. Habis amal soleh kita terpalit dengan lumpur. Ghairah mahu saling mengenali, kita jadi gopoh dan gelojoh. Jika ditegur, yang sebenarnya tak boleh nak berhubung tanpa alasan dan tanpa urusan... kita menangkis dengan perisai alasan, "Kalau tak sembang-sembang, macam mana nak tahu dia baik ke tak!"

Jawabnya, jikalau kita saling mengenali selama 50 tahun pun, kita takkan mampu untuk mengenali peribadinya. Yang kita kenal sepanjang tempoh itu ialah lakonan demi lakonannya sahaja.

Manusia, bila jatuh cinta, mudah sekali untuk menjadi hipokrit. Jika selama ini dia cukup benci kepada kopi, cinta yang merasuknya telah menyebabkan dia juga menyukai kopi, kerana sel di otak telah memprogramkan; 'Dia suka kopi'. 

Jadi, nak tahu, kita boleh lihat pada rakan-rakannya. Tanya pendapat rakannya tentang dia. Tanya juga pandangan tetangganya tentang dia. Mereka punya jawapan yang tepat untuk kekaburan kita, kerana mereka ialah orang yang berada di sampingnya.

Sebagai penutup, ingin saya titipkan beberapa nasihat, khusus dan utama untuk diri saya;

1- Saya perhati, ramai manusia yang nak jadi baik kerana mahukan jodoh yang baik-baik. Rugilah sekiranya kita mahu menjadi Hatib dan Ummu Qais di zaman ini.

2- Kita terlalu banyak buang masa bercakap tentang cinta. Adakah para sahabat Rasulullah seperti kita? Adakah dengan melazimi perbicangan tentang jodoh, tentang ikhwah, tentang akhwat, islam dalam diri kita, makin gerhana?

3- Saya tetap merasakan bahwa baitul muslim, kedudukannya hanya selepas individu muslim. Ramai manusia yang tak baik mana, tapi bila cakap bab isteri solehah, meleleh air liur. Jadilah manusia yang baik terlebih dahulu, kerana Allah tak akan biarkan kita menzalimi dan dizalimi, jika kita sudah baik.

4- Masjid-masjid banyak yang masih kosong tak dihadiri. IPT, banyak program agama yang tak berjalan. Program dakwah mandul, kerana tiada jiwa-jiwa yang cukup kental untuk bersaksi. Mandul, kerana sumber kewangan kita juga mandul. Jangan gopoh hendak menikah, hingga tiada infak daripada kita untuk kelansungan dan kelestarian program jihad.

5- Jika kawal pandangan pun tak mampu, adakah kita akan mampu menjadi suami? 

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (Al-Furqan; 74)
   


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails