September 30, 2012

Kak, ini penjelasan saya.

Sabda Rasulullah S.A.W,“Seorang mukmin selalu dikelilingi lima musuh, iaitu seorang mukmin yang hasad, orang munafiq yang membenci, orang kafir yang memerangi, syaitan yang menyesatkan dan hawa nafsu yang menyeretnya". (Riwayat Tarmizi).

Artikel ini mengajak sidang pembaca untuk melihat kepada dua musuh yang terakhir, dimana keduanya ialah musuh yang tersembunyi. Tak mampu dilihat oleh mata kasar. Tak terperasan kehadirannya, oleh deria yang zahir.

Syaitan, bilamana kita katakan ia sebagai musuh, maka ia menyerang kita melalui banyak pintu dan banyak senjatanya. Satunya, ialah melalui pintu emosi kita. Dan senjatanya, ialah melalui perdebatan yang menjerat! Melalui senjata itu, syaitan merobek-robek ikatan ukhuwah kita. Syaitan membelah-belah halus, nilai kemanusiaan kita. Bahkan lebih buruk, syaitan membuatkan kita membenci saudara kita. Seislam dengan kita.

Maka, berhati-hatilah dengan jerat dan umpan syaitan ini. Kerana dalam agama ini, ada tempatnya kita wala' dan ada tempatnya kita bara'. Bercakap tentang wala' dan bara' ini pun panjang. Jadi untuk itu, saya rasakan belum masanya saya bercakap tentang itu, di sini. Kerana, ada hal dan urusan lain mahu saya ketengahkan.

Sejujurnya, saya kecewa apabila artikel saya yang lepas, mendapat feedback yang kurang harmoni...

Assalamualaikum Warahmatullah.
Saya setuju dengan saudara bahawa manusia itu dijadklan berbeza, jadi saya disini sebagai seorang tua mempunyai pendapat yang berbeza.
Pertama sekali, DS Najib memang berbeza dengan Firaun, DS Najib Islam dan mengaku Islam dan mengamalkan ajaran Islam sedangkan Firaun mengaku dia tuhan yang patut disembah.Kedua, pada hemat saya, DS Najib tidak menyuruh kita bersyukur kepada dia tetapi kepada Allah yang Esa.Ketiga, yang lebih zalim ialah Firaun kerana dia akan arahkan hukuman bunuh untuk mereka yang membantah dia, sebab itu Nabi Musa AS dikejar sendiri oleh Firaun untuk dibunuh.Tidak ada yang positif lansung tentang pendapat saudara, semuanya negatif, adakah saudara telah berlaku adil?Apa yang kita katakan akan mempengaruhi pemikiran orang, adakah saudara sanggup bertanggungjawab akan apa yang saudara perkatakan.Suka sekali dengan pandangan Usataz Zaharuddin dalam membincangkan isu ini di TV Al-Hijrah, ada yang positif dan ada yang negatif dan banyak juga cadangan yang bernas yang beliau utarakanWallahua'lam...hanya Allah yang lebih ketahui...
Jika saya ikutkan jeritan nafsu dan bisikan syaitan, saya akan mempersoal. Apabila saya mempersoal, saya dan dia akan terjerumus dalam perdebatan yang sia-sia. Sungguh, saya telah banyak kali dipesan oleh guru saya untuk tidak terlibat dalam mana-mana perdebatan yang sia-sia.

Tahukah kita, apa itu perdebatan yang sia-sia?

Ia adalah satu percanggahan dalam fikir, yang langsung tak membawa kepada amal soleh. Langsung tak membawa kepada bertambahnya amal, dan langsung tak membawa kepada meningkatnya taqwa. Langsung tidak!

Boleh sahaja saya mahu mencabarnya, "Cuba bawakan sedikit kata-kata saya, yang saya samakan DS Najib dengan firaun. Ada?"

Atau boleh juga saya mencabarnya dengan, "Ada tak perkataan saya yang menyatakan bahwa ada menteri yang menyuruh rakyat Malaysia bersyukur terhadap mereka? Lebih-lebih lagi, DS Najib. Ada saya kata yang DS Najib menyuruh begitu?"

Saya tak mahu. Saya tak mahu api makin marak. Jika dia beremosi, saya lebih berhak untuk beremosi kerana saya hanya menulis tentang kesyukuran. Langsung saya tak menyentuh tentang budjet 2013. Jauh sekali menyamakan seorang muslim, dengan kafir laknatullah! Tak ada.

Saya hanya bercakap tentang kesyukuran, kerana saya memerhatikan bahwa ramai yang masih keliru tentang makna syukur. Lebih-lebih lagi, dua golongan ini iaitu golongan artis dan ahli politik.

Artis Malaysia, apabila ditemuramah oleh wartawan, selalu sangat menyebutkan perkataan 'alhamdulillah'. Jika soalannya, "Bila mahu buat konsert duet dengan (nama artis perempuan yang seksi)?"

Dia lalu menjawab, "Alhamdulillah kami telah mendapat permit. InsyaAllah, minggu depan".

Tak nampak ke masalah tentang kefahaman, di situ?

Insya-Allah untuk mungkar. Alhamdulillah untuk maksiat. Saya rasa, itu bermasalah! Dan naluri saya menyatakan, mereka tak faham. Kerana itu, saya mahu jelaskan makna syukur yang sebenar, melalui artikel sebelum ini.

Begitu juga dengan ahli politik. Syukur, tetapi tak membantu gerakan islam. Syukur, tapi tak membantu rakyat miskin pedalaman Sabah dan Sarawak. Syukur, tapi tak pergi haji. Syukur, tapi tak menggunakan kereta ferrari ke masjid?

Kerana itu, saya mahu memberi penjelasan. Saya tak mahu mencabar hujah. Saya hanya mahu memberi penjelasan atas hujah.

(1)- Saya sama sekali tak bercakap tentang budjet 2013. Jika hanya kerana saya katakan bahwa saya merasakan ia sebagai satu bentuk 'bodekan' terhadap golongan muda, maka adakah itu telah menjelaskan seluruh pendapat saya?

(2)- Sama sekali saya tak menyamakan Malaysia dengan Mesir di zaman Nabi Musa A.S.

(3)- Sama sekali saya tak menulis tentang para menteri mengenakan hukuman kepada rakyat yang tak mengundi mereka di PRU. Saya tak tulis, kerana saya tak tahu. Saya tak tahu, kerana ia bukan bidang saya.

Saya hanya bercakap bila ada kena mengena dengan agama. Saya bukan editor Malaysiakini. Saya bukan admin page Kami Boikot Buletin Utama TV3 di Facebook. Bahkan saya juga bukan pembaca Harakah.

Saya seorang biasa. Hanya ambil peduli, tapi tidak perjuangkan politik. Saya hanya mahu memperjuangkan islam. Apabila isu politik ada kena mengena dengan agama, maka saya berkata-kata. Jika isunya hanya 'subsidi gula turun', saya takkan bercakap.

Tapi isunya sekarang, 'adakah kita tak bersyukur'?

Bila ada yang tak faham maksud syukur, maka perlulah ada yang memberi faham kepada orang yang tak faham itu. Kerana anda tak membuatnya, maka saya buatlah. Dan saya pun hanya tahu bahwa ramai yang tak faham maksud sebenar syukur selepas mendengar perkataan, "Kau ni tak reti bersyukurlah", selepas pembentangan budjet 2013.

(4)- Mungkin kerana saya ada menyebutkan,

"Jangan hanya kerana kita lama memegang kuasa, kita fikir kita di jalan benar. Kita fikir, Allah rahmati kita. Firaun yang zalim itupun lama memegang kuasa. Lebih lama daripada 55 tahun. Tapi adakah itu tandanya Allah rahmati Firaun, Allah benarkan firaun?"

Adakah kerana di sana ada perkataan firaun, saya telah menyamakan Malaysia dengan Mesir di zaman firaun?

TIDAK.

Kenyataan saya tercetus kerana ada yang berkata, "Allah bersetuju dan redha dengan UMNO dan BN. Kerana itu 55 tahun kami pegang kuasa".

Ada yang cakap macam tu. Saya tak mahu sebutkan saja.

Ayat itu jelas bercanggah dengan kefahaman islam. Islam meletakkan 'kuat' itu sebagai kuat iman. Dalam agama ini, kekuatan tak dinilai dengan harta yang banyak, ataupun bilangan pengikut yang ramai. Sebelum islam, semasa di medan Badar, tentera islam berjumlah 313 sedang kuffar ialah 1000 orang. 313 orang itu juga bahkan tak punya kelengkapan perang yang lengkap. Serba daif, sedang musuh mereka bukan hanya ramai, tapi punya kelengkapan perang yang cukup. Sempurna!

Tapi material dan amaun, takkan mampu mengalahkan taqwa.

Begitu juga masa perang uhud. 700 melawan 3000 orang. Kerana ada sebahagian kecil terpanar kepada ghanimah, Allah berikan sedikit kucar-kacir dalam kem pasukan islam, sebelum Dia memberi kemenangan kepada pasukan Uhud.

Bahkan dalam perang Hunain, Allah sendiri berfirman; "Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri."

Sebagaimana ramai pengikut, bukannya indikator kepada benar, maka lamanya memerintah juga bukan indikator kepada benar. Selagimana al-Quran dijunjung, Sunnah dipegang, maka itulah al-Haq. Itulah benar. Siapa-siapa pun boleh jadi benar. Tak kiralah menteri, mahupun tukang sapu sampah. Semua boleh berada di pihak yang benar (haq) jika dia berpegang dengan prinsip al-Quran dan Sunnah.

Mungkin juga, perkataan Firaun itu tidak sedap didengar.

Jika begitu, saya mohon ampun dan maaf. Saya mahu gunakan ayat, "Macam Muammar Ghadafi", atau "Macam Husni Mubarak", tetapi kedua-dua individu itu kita tak pasti bagaimana pengakhiran mereka. Boleh jadi mereka bertaubat. Jadi saya tak mahu terlajak dalam menghukum mereka, jadi saya guna ambil firaun sebagai contoh kerana firaun itu telahpun jelas salah.

Sedang dua diktator yang saya sebutkan diatas, kita tak tahu keadaan sebenar mereka.

(5)- 'tak ada yang positif langsung pada pandangan saudara. Semuanya negetif'

Saya langsung tak bercakap tentang budjet. Saya hanya bercakap tentang kesyukuran. Bagaimanakah syukur itu yang sebenar.

Allah beri kita mata. Jika kita guna mata untuk melihat mungkar, maka layak kita digelar orang yang tak bersyukur.

Allah beri kita mulut. Jika kita guna untuk mengumpat, maka kita tak bersyukur.

Begitu juga jika kerajaan beri kita RM 500 semasa BR1M dahulu. Jika kita gunakan wang itu untuk sewa pelacur, maka kita tak bersyukur.

Sebaliknya apabila dibentangkan budjet, ada yang tak bersetuju, maka kata-kata, "Kau ini tak bersyukurlah" saya kira kurang tepat.

Dan itulah saya bahaskan, dalam artikel lepas. Saya tak menyentuh langsung perihal budjet. Saya hanya menyentuh perihal kesyukuran.

Syukur ialah bilamana kita gunakan apa-apa yang Allah beri untuk kita semakin dekat dengan Dia. Bila Allah beri amanah, kuasa, dan jawatan, orang yang bersyukur wajib gunakan jawatan, amanah, dan kuasa untuk mendaulatkan islam. Itulah yang seharusnya, jika benar kita ini bersyukur.

Saya sudah delete komen kakak saya tadi kerana saya takut, dia akan berasa kecil hati dan rendah diri. Saya tak mahu dia rasa seperti dimalukan. Sungguh saya tak ada niat untuk memalukan siapa-siapa. Saya pun tak tahu berapa ramai orang yang akan baca artikel ini. Dan saya juga tak tahu kut-kut ada orang bersetuju dengan saya, mahu melawat blog akak tadi. Tika itu, saya takut ziarah itu kerana tujuan yang sinis, bukan kerana niat yang manis.

Memandangkan hari ini ahad, saya mahu menambahkan tulisan saya.

 1)- cerita kawan saya yang tinggal di Sabah, pernah dahulu ada sekumpulan anak muda kristian memeluk agama islam. Lalu, mereka pun dibuang keluarga. Jadi orang gelandangan. Dihalau tanpa satu sen pun duit. Dihalau keluar, tanpa secebis pun bekal. Menjadi seorang saudara baru yang papa kedana, jelas bukan suatu yang mudah. Jadi mereka buntu. Sebagai muallaf, di mana mereka mahu dapatkan bantuan untuk TERUS HIDUP? lalu mereka semua ke pejabat agama, dan mahu meminta sedikit wang zakat. Saat itu, mereka tiada wang. Tempat tinggal pun tiada! Lalu di pejabat zakat, mereka disuruh untuk mengisi borang. Usai menghantar borang, mereka dipesan; "Kamu kena tunggu dalam beberapa bulan untuk borang ini diproses". Bayangkan! Orang itu sudah dibuang keluarga. Tertekan mental mereka. Bukan sekadar itu, tiada duit pula! Bahkan, tempat tinggal pun tiada. Dalam keadaan teruk begitupun masih perlu tunggu berbulan-bulan? Jadi, sebahagian besar daripada sekumpulan anak muda itu memilih untuk kembali ke pangkuan keluarga mereka, dan kembali memeluk agama kristian. Hanya sebahagian kecil yang masih kental imannya, dan orang itu terpaksa berjuang untuk terus hidup.  
(2)- Cerita daripada sahabat saya, Ustaz Fadzli yang menjalankan kerja islam di pedalaman Sabah juga. Pernah dia mengislamkan seorang penduduk tempatan, dan selesai majlis pengislaman, lelaki itu berkata kepada ustaz. "Saya sudah lama sebenarnya mahu masuk islam. Hari ini baru ada orang masuk kampung kami, islamkan kami". Lalu ustaz itu pun bertanya, mengapa dia tidak pergi sahaja je pejabat agama. Tak payah tunggu-tunggu. Lalu dijawab oleh lelaki itu, "Saya sudah banyak kali ke pejabat agama tetapi sampai saja ke sana, saya dihalau kerana hanya memakai singlet, seluar pendek, dan berkaki ayam. Saya orang miskin. Orang kampung. Inilah saja pakain yang saya ada. Mereka di pejabat agama menghalau kerana mereka fikir saya datang untuk meminta sedekah".
(3)- Cerita semalam, seorang ustaz berketurunan Iban yang 10 tahun memeluk islam. Dia berdakwah di Sarawak. Kata beliau, beliau dan pasukannya telah berjaya mengislamkan satu keluarga rumah panjang di Sarawak. Lalu dia dan pasukannya pun pergilah ke pejabat agama, mahu memohon sedikit dana dan bantuan agar disediakan surau kecil dan dihantarkan seorang ustaz untuk mengajar golongan muallaf ini setiap minggu. Tapi dengan hampa, mereka diberitahu bahwa duit zakat tidak ada. Sudah habis.
Mungkin anda akan nampak bahwa saya seperti mengutuk pusat zakat. TIDAK. Pusat zakat hanya sebuah institusi. Ia hanya satu bangunan. Tak diberi taklifan hukum oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan staf yang terlibat. Walaupun mereka berakal, tapi mereka pun hanya menjalankan tugas seperti yang ditugaskan. Jadi, mungkin ini salah saya. Salah saya kerana saya hanya mampu menulis, tapi tak berbuat apa-apa.

Hanya pandai menunjukkan, "Hei, disana ada masalah", tapi saya tak menuju kepada masalah tersebut, untuk menyelesaikannya.

Itu salah saya.

Tapi sebagaimana yang disebutkan oleh Ustaz Zaid Muhammad Tandang, tapi sebelum itu, saya mahu perkenalkan bahwa ustaz Zaid ini ialah muallaf. Baru 10 tahun memeluk islam. Dia sering keluar di TVal-Hijrah melalui program Studio Muallaf. Dialah antara individu yang sedang aktif berdakwah di kawasannya di Sarawak.

Kata Ustaz Zaid Tandang, "Dakwah perlukan wang ringgit. Tapi bukan lagi daripada badan berwajib. Mereka tak mampu memberi bantuan untuk dakwah ini. Maka, seharusnya tuan-tuan inilah yang menyumbangkan harta tuan-tuan untuk kerja dakwah di sana. Tuan-tuan mungkin tak mampu ke sana (Sarawak) untuk berdakwah. Kami akan pergi. Biar kami berada di barisan hadapan. Jika kami mati, biarlah. Tak apa. Biarlah kami mati, dalam dakwah ini".

Jika sesiapa yang pernah ke pedalaman Sabah dan Sarawak, kita nilailah sendiri bagaimana keadaan umat islam disana. Ada yang 20 kali masuk agama islam, kerana pendakwah di sana 'bekerja' untuk makan. Selepas mengucap syahadah, beri kain pelikat dan sejadah satu keluarga sehelai, maka Thats it! Dah islam. Yahoo!

Sebab itulah kristian di sana bergerak pesat. Tak tahulah saya daripada mana mereka punya dana, hingga di kiri kanan, ada sahaja gereja. Banyak sangat gereja. Tapi masjid?

Tanyalah Ustaz Fadhli Yusof itu, betapa peritnya beliau dan rakan-rakan berusaha mencari dana SENDIRI untuk membina masjid, bagi kegunaan muallaf di Sabah. Masjid untuk beribadah, pusat pendidikan, kemasyarakatan, dan juga ekonomi.

Maka, saya menyeru kepada semua penjawat awam yang membaca artikel ini, bahwa kalian yang bakal menerima bonus, supaya tak kedekut untuk menyumbang kepada kerancakan aktiviti dakwah disana. Juga kepada golongan muda yang bakal menerima RM 250, atau juga rebate RM 200 untuk smart phone anda, anda jangan lokek untuk menyumbang kepada islam.

Orang kristian yang kaya, tak kedekut menyumbang untuk dakyah.
Orang islam yang kaya, saya tak tahu nak komen bagaimana. Nanti macam-macam pula saya dituduh lagi.

Innocence of Muslim, filem itu tidak dibiayai oleh Amerika pun. Sebaliknya, ia ditaja oleh grup Yahudi. Begitulah dengan dakwah kita di Sabah Sarawak. Sebagaimana pembenci agama islam tak memerlukan dana daripada kerajaan Amerika untuk mereka membenci, maka kita juga tak perlu dan tak harapkan juga dana daripada kerajaan Malaysia untuk kita menyatakan kita cinta kepada agama. Kerana kita faham, kerajaan Malaysia terlalu sibuk untuk memberi tumpuan kepada apa yang berlaku disana. Kerana itu, dana pun sempit, sesempit perhatian kita kepada apa yang berlaku.

Media pun tak ambil peduli.

Sempit semuanya.

Semua orang ambil tak tahu, ambil tak peduli.

Ketahuilah, jika kalian masih lagi teragak-agak untuk menyumbang, maka saya akan terlebih dahulu berada jauh dihadapan untuk menyumbang. InsyaAllah, sebagaimana pesanan Ustaz Fadhli kepada saya agar saya persiapkan diri dengan ilmu, maka inilah yang saya persiapkan.

Mudah-mudahan Allah terima niat saya seterusnya pilih saya untuk menjadi watak yang lebih daripada sekadar 'pemerhati'.
   

September 29, 2012

Pak menteri, tolong ajarkan saya erti kesyukuran!

Allah mencipta manusia, berbeza-beza. Dia jadikan naluri, selera, kecenderungan, dan pendapat manusia, berbeza-beza. Ada antara kita suka makan ayam dan ada juga yang sukakan ikan. Tak semua hanya makan ayam, dan tak semua hanya makan ikan. Ada juga manusia yang Allah jadikan kulitnya hitam rambutnya hitam. Ada pula yang Allah jadikan, kulitnya putih, rambutnya pun putih!

Variasi. Memang takkan sama. Bahkan, apabila satu kumpulan manusia dibawa ke atas puncak bukit, setiap daripada mereka akan memandang kepada titik yang berbeza-beza. Ada yang memandang ke hutan nan hijau. Ada yang memandang ke awan nan memutih. Ada pula yang memandang kepada sungai nan biru. Ada juga yang memilih untuk tidak memandang, mematikan pandangan.

Begitulah manusia, bila mereka punyai pandangan dan buah fikir.

Sebagai Tuhan, Allah mempunyai kuasa yang mutlak. Supreme power. Kuasa yang total. Kuasa yang penuh. Maka, tidak menjadi masalah sedikitpun untuk Dia menjadikan setiap manusia serupa. Muka sama. Selera sama. Kehendak sama. Keinginan sama. Macam binantang. Sama. Langsung tak jadi kesukaran untuk Allah melakukan begitu!

Tapi ada sebab Allah jadikan manusia berbeza-beza. Supaya alam ini lestari. 

Bahkan, jika Allah mahukan satu alam ini menyembah hanya kepada Dia, bukan kepada Jesus, bukan juga kepada Buddha, bukan juga kepada dewa, itu pun tak jadi masalah. Boleh sangat jika Dia mahukan seluruh umat manusia beragama islam. Tetapi ada sebabnya Allah tidak jadikan alam ini begitu.

Begitu juga dengan apa-apa yang berlegar dalam kotak fikiran kita. Allah boleh jadikan fikiran kita sama. Pandangan kita sama. Tak saling berlanggaran. Tidak saling berlawanan. Tapi Allah tak buat begitu. Allah buat kita saling berbeza pandangan. 

Inilah isunya!

Dalam bab makan pun, manusia sudah berbeza pandangan, inikan pula dalam bab yang lebih besar, seperti bab kehidupan dan pengurusan negara.

Selepas menilai budjet 2013, kita boleh melihat perbezaan pandangan yang timbul, terlalu banyak. Ada yang positif dan ada yang negetif. Bahkan ada pula yang tak mahu ambil peduli tentang bagaimana kewangan negara ditadbir. 

Saya sendiri punya pandangan peribadi. Jika ditanya, jawapan saya ialah berikut:

"Saya melihat ini sebagai satu bentuk pujukan daripada DS Najib dan pihak kerajaan, untuk menarik sokongan daripada golongan pemuda-pemudi yang berada di atas pagar".

Saya ada hujah yang menyokong. Tapi kerana saya tak mahu dipanggil 'penghasut', maka saya tak akan sebutkannya disini. Juga, saya tak mahu rakan-rakan saya daripada UMNO yang menyokong kuat DS Najib, meninggalkan blog saya tanpa sempat membaca apa yang saya mahu tuliskan ini.

Saya terkilan. 

Bukan terkilan dengan DS Najib dan barisan kepimpinan Malaysia pada perbentangan budjet.

Saya cuma terkilan apabila ramai antara kita mudah-mudah dan mentah-mentah dituduh "TIDAK RETI BERSYUKUR", hanya kerana mereka memilih untuk bersikap kurang positif terhadap budjet ini.

Hingga timbul dalam fikiran saya, "Adakah kalian lebih bersyukur daripada kami?"

Apapun, terima kasih kerana mengajak kami bersyukur. Bersyukur ialah benda besar. Terlalu besar bahkan, sekiranya kita melihat apa yang Allah firmankan dalam ayat 7, surah 14 (surah Ibrahim).

Ambil masa untuk belek terjemahan al-Quran. Lihat maksudnya. Lihat maknanya. Apa kata Allah?

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".

Kata Allah, apabila manusia bersyukur, Allah akan tambah nikmat-Nya kepada kita. Tetapi jika kita tidak bersyukur, Allah tak tarik nikmat itu. Tidak semestinya. Ada manusia yang makin dia tak berterima kasih kepada Allah, makin banyak pula yang Allah beri. Sebaliknya, yang sebenarnya, Allah ancamkan manusia yang tak bersyukur itu dengan azab yang pedih. 

Ya. Allah takkan tarik. Allah tak buruk siku macam sesetengah kita. Cuma Allah mahu kita berfikir dua tiga kali, akan kesannya jika kita enggan bersyukur, iaitu azab yang amat dahsyat!

Saya juga teringat akan satu hadis, bilamana Rasulullah S.A.W bersabda, bahwa manusia yang tidak berterima kasih kepada manusia lain, maka dia tidak berterima kasih kepada Allah!

Berterima kasih, ialah satu akhlak yang mulia. Akhlak Rasulullah S.A.W. Pernah satu ketika dahulu, seorang Yahudi menghadiahkan kepada Rasulullah buah limau yang sangat masam. Tujuannya ialah untuk memalukan dan mengenakan Baginda.

Baginda meraikan pemberian dan hadiah itu, walaupun Baginda tahu ada suatu yang tak kena pada pemberian itu. Lalu, di hadapan para sahabat dan orang Yahudi itu tadi, baginda makan buah limau yang tersangat-sangat masam itu. 

Seulas dijamah, dengan senyum.
Seulas yang lain, juga dengan senyum.
Hingga habis, juga dengan senyum.

Maka marahlah dan kecewalah Yahudi itu tadi, hingga dia pun berlalu dengan hati yang meluap-luap marah, kerana tak berjaya mengenakan Nabi Muhammad. Sesudah Yahudi itu berlalu, para sahabat yang kehairanan pun bertanya, "Wahai Rasulullah. Sesungguhnya kamu, apabila diberikan hadiah, tidak pernah langsung kamu makan sendiri-sendiri. Kamu sentiasa sahaja berkongsi dengan kami. Tetapi masa kamu memakan buah limau itu, kamu langsung tidak memberikan sedikit kepada kami. Mengapa?"

"Limau ini terlampau masam. Aku bimbang jika kamu makan, wajah kamu akan berkerut atau meludahnya, dan itu mungkin akan membuatkan si pemberi tadi, terasa hati".

Itu akhlak yang sangat tinggi nilainya, tapi malangnya, ia makin pupus. 

Bersyukur, ialah tuntutan yang besar. Banyak sekali ayat al-Quran yang membahaskan tentang syukur. Saya petik satu sahaja, iaitu firman Allah dalam ayat 185, surah Al-Baqarah.

Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Saya kira, ayat ini famous sangat masa bulan Ramadhan dahulu. Hampir setiap hari, pasti ada saja ustaz yang menghujahkan ayat ini. Tapi mereka hanya menyentuh yang didepan-depan, iaitu berkenaan dengan bulan Ramadhan ini bulan turunnya al-Quran. Jadi, ustaz pun mengajak kita untuk bertadarrus al-Quran, sepanjang bulan Ramadhan. Itu sahaja, kan?

Tak sentuh pun portion akhir ayat yang sama, iaitu tentang syukur.

Dalam ayat ini, kita boleh nampak hubungan yang cukup akrab dan istimewa di antara ibadah puasa, berzikir, ketaatan, dan juga syukur. Syukur ialah ibadah. Yup. Semestinya ia ibadah. Ibadah kepada siapa?

Allah, semestinya. Kita beribadah kepada Allah. Kita tak beribadah kepada bapak menteri. Kita sembah Allah. Kita tak sembah bapak menteri.

Syukur ialah berterima kasih. Bukan hanya berterima kasih, seperti pengemis mendapat sekeping wang RM1. Bukan juga berterima kasih seperti seorang pekedai yang menerima not RM50 oleh pembeli. Dan juga bukan terima kasih, seperti terima kasih seorang anak saat mendapat syiling 20sen untuk membeli gula-gula. Tidak!

Syukur adalah lebih daripada sekadar tersenyum dan mengucapkan, "Terima kasih".

Sebaliknya, syukur ialah kita menggunakan pemberian itu tadi untuk membuatkan kita dekat dengan Allah S.W.T. Saya teringat, bahwa ada satu ayat dalam surah al-Qasas, dari ayat 77. Firman Allah:

"Dan carilah pahala akhirat dengan apa-apa sahaja yang Allah berikan kepada kamu di dunia ini"

Inilah dia kesyukuran; iaitu bilama kita dapat menggunakan pemberian-pemberian daripada Allah untuk taat. 

Kerana itu, kita tak boleh kata orang kaya sahaja perlu taat. Orang miskin, tak perlu. Tidak. Kerana baik yang kaya mahupun yang miskin, semua kita mendapat kurnia daripada Allah. Adapun yang kaya, bentuk ketaatan mereka ialah dengan ibadah orang kaya. Mereka perlu berzakat, bersedekah, dan menyelesaikan urusan kaum muslimin yang miskin. Sedang orang miskin, syukurnya ialah dengan bersangka baik, tidak putus asa, berusaha dan seumpamanya.

Timbul persoalan, adakah bilamana kita berkata bahwa syukur itu ialah kepada Allah, maka kita tak perlu lagi untuk bersyukur kepada manusia?

Samakah syukur kepada kepada Allah, dengan syukur kepada manusia?

Yang sebenarnya, ia hanyalah berterima kasih. Dan seutama-utama terima kasih ialah dengan kita berusaha menyedarkan manusia akan erti syukur kepada Allah! 

Ada orang kaya yang memberi, dengan bermaksud mahu dipuji dan dibalasi. Orang ini ialah orang yang mengungkit. Pemberian-pemberiannya sama sekali bukan suatu ibadah, kerana ibadah ialah untuk Allah balasi dan ganjari, bukan manusia yang balasi. Apatah lagi bila timbul slogan 'ini masa balas budi'. 

Eh, balas budi kepada Allah, tak mahu pula?

Ada pula orang kaya yang memberi kerana syukur. Dia berterima kasih kepada Allah, dan dia tahu tuntutan Allah kepadanya. Kerana itu, dia memberi.

Oleh itu, sama-samalah kita menyoal diri kita. Adakah kita memberi kerana syukur, atau adakah kerana sebaliknya?

Dan kita pula yang menerima.

Adakah akidah kita masih betul, ataukah ia sudah rosak? Kerana, sejak bila menteri kita, Allah lantik sebagai Tuhan?

Setahu saya, hanya Allah yang memberi rezeki. Tak tahulah saya kut-kut ada dalam mana-mana kitab sekular nan liberal, bahwa selain Allah, masih ada pihak-pihak yang boleh memberi rezeki.   Jika ada, kongsikanlah dengan saya ya?

Jadi, syukur ialah kepada siapa?

Allah. 

Kepada siapa?

Allah.

Tapi ini langsung tidak bermakna kita perlu menjadi manusia yang tidak reti berterima kasih. Ingat itu. Allah suruh kita jadi hamba yang pandai berterima kasih. Dan terima kasih itu ialah dengan kita membantu mereka yang zalim.

Membantu orang zalim? Betul ke membantu orang zalim? atau tersilap sebut, membantu orang yang dizalimi. Lupa huruf 'di' kut?

Taklah. Bukankah dalam hadis, Rasulullah S.A.W suruh kita supaya membantu kedua-dua mereka, iaitu yang dizalimi dan yang menzalimi. Yang dizalimi, semua orang tahu nak bantu macam mana. Antaranya, BR1M, mungkin?

Tapi membantu orang zalim inilah ramai orang tak tahu. Caranya ialah dengan kita mengentikan kezalimannya. Memberinya sedar. Membuatkannya insaf. 

Jangan hanya kerana kita lama memegang kuasa, kita fikir kita di jalan benar. Kita fikir, Allah rahmati kita. Firaun yang zalim itupun lama memegang kuasa. Lebih lama daripada 55 tahun. Tapi adakah itu tandanya Allah rahmati Firaun, Allah benarkan firaun?

Kalian menyuruh saya bersyukur. Jadi saya persoalkan, syukur yang bagaimana?

Kerana kalian tak mampu menjawabnya, maka nah, saya tolong jawabkan.

Syukur ialah dengan menjalankan amanah. Syukur, dengan mendekatkan diri kepada Allah. Syukur, dengan menggunakan nikmatNya di jalan yang betul. Syukur, dengan menjauhkan saudara kita daripada neraka.

Syukur,
Dengan menjadi orang bertaqwa.

Terima kasih DS Najib atas budjet 2013. InsyaAllah saya akan bersyukur, dengan cara saya.

Insya-Allah, sebagaimana saya diingatkan oleh para menteri untuk bersyukur, saya juga mahu mengingatkan para menteri di Malaysia untuk turut bersyukur.

Kerana syukur ialah ibadah, maka soalnya ialah; sejauh mana kita TELAH beribadah?
         
------

Sebelum saya terlupa, silakanlah muat turun e-book ini. 
    

September 23, 2012

Free download e-book Bahkan, Kami Bersaksi!


Sukacitanya, saya menjemput kalian untuk muat turun (download) e-book terbaru saya yang bertajuk 'Bahkan, Kami Bersaksi!'. Download dan baca, jangan hanya download saja. Dah baca tu, amalkanlah pula ilmu dan informasi yang ada dalamnya. Yang baik, amal-amalkan. Yang buruk, sempadan-sempadankan diri kita. Bila sudah amalkan pula, jangan simpan-simpan. Kongsi dan promosikan pula dengan kawan-kawan. Biar mengalir hasanah itu.

Tak susah pun hendak berkongsi. Cuma cakap, "Eh, aku ada e-book nak kongsi dengan kau. Free saja. Nah, aku bluetooth kat kau".

Sepatutnya, ia dibukukan tapi panjang ceritanya.

Pendekkan!

Okey. Okey. Pendeknya, alhamdulillah. Jadi e-book. Percuma, insyaAllah. Bukannya apa. Saya sebenarnya sudah cukup kaya dah. Tak mahulah jual-jual ni. InsyaAllah cukup kaya dah. Jadi, saya harap sangat ramai orang yang akan boleh membaca e-book ni. Bukan baca sekadar baca. Tapi baca dan amal, seterusnya akan menjadi pahala buat saya yang menulis, kalian yang membaca, dan kita semua yang promote dan kongsikannya.

Terima kasih banyak-banyak.

Moga kita menjadi manusia yang menyampaikan daripada Baginda, walau satu ayat...

Oh ya. Anda boleh muat turun di sini. Fail pdF.



 

September 19, 2012

Istiqomah: Warna citra lestari. (SIRI #1)


Nota: Artikel ini bersiri. Ini adalah siri pertama. Justeru, anda dilarang untuk 'jump into conclusion' selepas menamatkan bacaan untuk artikel ini.

--------------------------------------------------

Suatu ketika, seorang lelaki bernama Sufyan Bin Abdullah r.a mendatangi Rasullullah S.A.W dan bertanya, “Ya Rasulullah! Nyatakan untukku sesuatu tentang Islam dengan satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau”. 

Rasulullah lalu membalas, “Katakanlah: Aku beriman kepada Allah, kemudian istiqomahlah”.

Alhamdulillah. Sekarang, kita sedang berbicara tentang istiqomah. Satu nilai yang wajib dimiliki oleh setiap manusia yang mengaku dirinya beriman. Orang yang memiliki istiqomah, yang mengalir menjalari pembuluh darahnya dan memenuhi derap jantungnya, orang itu ialah orang yang beruntung. Bahkan, dia orang yang terselamat daripada ancaaman-ancaman dan racun-racun yang bakal memusnahkan iman, hingga kepada sel yang terakhir.

Istiqomah dan ikhlas, hubungan antara keduanya sangat rapat. Hanya orang yang ikhlas sahaja mampu istiqomah dan hanya orang yang istiqomah sahaja dapat mengikhlaskan dirinya.

Saya mula menulis bab ini selepas saya menonton satu video di YouTube. Video temubual seorang bintang bola sepak kelab Newcastle United, Demba Ba. Umum sudah maklum, Demba Ba ialah seorang pemain bola sepak yang beragama islam. Dalam video yang saya tonton, seorang wartawan bertanya kepada beliau, “Tell me a secret about you”.

Awalnya, dia nampak teragak-agak. “What secret?”

“It can be anything. Your personal life, your career… anything”.

Lalu sambil tersenyum, Demba Ba berkata, “I’m addicted to syrup. Strawberry syrup”.

Temubual terus berlansung dan saya juga sudah tidak berminat untuk terus bercerita tentangnya. Cuma, saya mahu kita melihat kepada satu perkara iaitu addiction ataupun ketagihan.

Istiqomah ialah konsistensi. Ia adalah keupayaan manusia untuk melakukan ketaatan dalam agama, secara terus menerus. Manakala ketagihan pula ialah perasaan gemar dan teringin benar terhadap sesuatu, yang ia menjadi rutin pula.

Ya. Memanglah ketagihan tak sama dengan istiqomah. Tapi hubung kaitnya dapat kita lihat. Jika seseorang itu ketagih dengan sesuatu, maka dia akan ‘istiqomah’ dalam melakukan apa yang dia gemar itu. Contoh, jika seseorang itu ketagih menonton bola sepak, maka dia akan ‘istiqomah’ menjadi penunggu kedai mamak kerana mahu menyokong pasukan kegemarannya. Ya. Saya tahu perkataan istiqomah tidak sesuai digunakan disini. Bahkan, memang tak pernah orang guna pun perkataan ini. Tapi begitulah maksudnya. Jika benar suka dan minat, maka ia akan melahirkan tunas-tunas kesepakatan antara akal dan jasad, bagi membuahkan apa yang disuka dan diminati itu.

Saya telah terlanjur bercerita tentang Demba Ba. Jadi saya rasa saya akan terus bercerita tentang beliau, dan tentang rakan-rakan beliau. Untuk pengetahuan anda, saya penyokong kelab Newcastle United sejak di bangku sekolah lagi. Sudah tentulah saya bukan termasuk dalam kelompok yang fanatik. Nak tengok perlawanan secara langsung pun, sekali dalam enam bulan kut baru kelibat saya ada di kedai-kedai mamak. Saya cuma minat dan suka kerana saya manusia. Tapi saya juga hamba kepada Allah, selamanya bukan hamba kepada figur-figur yang diangkat manusia itu. Bersama ini, saya titipkan pesanan kepada sahabat-sahabat lelaki semuanya, jangan jadikan apa-apa yang kita suka dan minat itu lebih besar kapasitinya di dalam hati, berbanding dengan perjuangan islam.

Musim 2011/2012, kelab Newcastle United diwakili oleh empat orang pemain bertaraf bintang yang beragama islam. Mereka adalah Papiss Cisse, Demba Ba, Hatem Ben Arfa dan Cheik Tiote. Sudah tentu bilangan ini jauh lebih ramai berbanding dengan kelab-kelab lain di rantau itu.

(Demba) Ba dan (Papiss) Cisse, dua lelaki ini telah menarik perhatian dunia dengan melakukan sujud syukur di atas padang selepas menjaringkan gol. Saya ingat lagi bagaimana terujanya saya selepas kali pertama melihat ada pemain bola yang bersujud syukur selepas menjaringkan gol. Orang itu ialah Demba Ba. Mungkin perbuatan melakukan sujud syukur di atas padang ialah suatu tindakan yang kelihatan kecil. Remeh pada sesetengah orang. Tapi ketahuilah, pada sesetengah yang lain yang memerhati, baginya itu suatu perbuatan yang besar. Baik pada falsafahnya mahupun pada hikmahnya. Tersembunyi di balik gegak gempita sorakan penonton yang teruja apabila hero mereka menjadi savior, menyelamatkan wang yang mereka pertaruhkan di meja judi.

Istiqomah dalam agama, salah satu definasinya ialah merasa bangga dengan keislaman. Jika bukan kerana perbuatan sujud itu, saya yakin bahwa saya dan kalian sampai sekarang takkan tahu yang dua buah mesin penjaring gol ini rupa-rupanya seorang muslim, yang dipotretkan sebagai seorang muslim yang komited, berbangga, dan benar-benar menjernihkan iktikadnya.

Cuba kita berada di dalam kasut yang sama seperti mereka. Di saat kita gembira, kepada siapa kita mahu lepaskan kegembiraan itu? Boleh jadi macam-macam. Mungkin kepada orang-orang yang rapat dengan kita, dan jarang-jarang gembira itu dikongsi dengan ketawaddukan seorang hamba kepada pencipta.

Saya belajar. Bukan hanya tengok dengan hati yang kosong dan kemudiannya, tersenyum sumbing. Tak. Saya melihat, ada dakwah yang mahu disampaikan oleh dua penyerang berbisa yang menyarung jersi hitam putih ini. Mereka mahu mempekenalkan islam kepada dunia.

Sebelum ini, kita sinis bila berbicara tentang bola sepak. Tirih hati kita menghukumnya sebagai melalaikan dan merosakkan. Setidaknya hari ini, kita sudah boleh mengubah sedikit pandangan berat sebelah ini dengan menitipkan rasa bertuhan, walaupun di padang bola. Ya, rasa bertuhan.

Kita tinggalkan lelaki-lelaki Senegal ini. Kita melihat kepada rakan mereka dari negara jiran, Cheik Tiote. Saya pernah menonton satu dokumentari, juga di laman YouTube tentang beliau. Bila ditanya tentang perlawanan yang bakal dihadapi, dia menjawab dengan yakin bersama seuntai perkataan yang mengikatnya dengan Allah- “Insya-Allah”. Dalam keretanya juga disangkut rantai tasbih dari manik, juga untuk dia berteriak kepada dunia dalam bahasa bisu, “Lihatlah, aku beragama islam”. 

Kisah Yaya Toure bahkan lebih menarik. Selepas kemenangan kelab Manchester City melawan Newcastle United, dia disuakan champagne (arak) lalu sambil berseloroh, dia berkata kepada rakannya, Joleon Lescott yang menyuakannya arak itu kepadanya, “No. No. I don’t drink cause I’m a muslim”.

Klip ini tersebar dalam satu rancangan yang dibuat secara langsung. Dan perbuatannya yang dengan penuh izzah, berkata, “I’m a muslim” berjaya menyapu tisu pendengaran di hujung tiub telinga.

Kita boleh lihat watak istiqomah yang dilakonkan oleh seorang hamba kepada Tuhan, yang mana wajib untuk kita contohi. Yaya Toure memakai mahkota istiqomah, dengan hiasan permata kesungguhan dan komitmen beliau untuk menjauhi larangan Allah. Kadangkala saya aneh. Orang islam yang berdiri di tengah-tengah masyarakat yang rosak moral, boleh menjadi lebih baik dan mulia berbanding orang islam yang berada di dalam komuntiti islam.

Contohnya di Malaysia, tanah air yang kita cintai inilah. Belek sahaja surat khabar di setiap pagi, pasti akan ada kes jenayah yang melibatkan orang islam berbangsa melayu. Jika bukan dengan kes bunuh membunuh, samun menyamun, pasti akan terdengar ngerinya tangisan daripada rakyat yang dibunuh emosinya dan moralnya. Pendek kata, ia suatu yang sangat berbeza dengan yang berlaku di luar negara. Contohnya di U.K sendiri. Kita lihat orang islam di sana sangat komited dalam menyucikan akidah mereka. Najis-najis jahiliyyah sedaya upaya dikikis. Sanggup naik turun mahkamah, bagi mempertahankan nilai-nilai agama.

Itulah yang kita pelik, hingga sesekali, timbul juga persoalan di kepala saya. Adakah kerana kita melayu, kita menjadi muslim kelas kedua dan ketiga? Boleh jadi juga, kerana mungkin kerana kita mempertuhankan bangsa berbanding agama, Allah hinakan kita dan muliakan bangsa lain.

Jangan main-main dengan bab bangsa dan kemuliaan. Jangan kerana tubuh kita besar, kita berasa hebat. Jangan kerana hidung mancung, kita rasa kita hebat. Tak hebat mana. Jangan menganggap kulit kita mulus, rambut kita coklat, dan mata kita biru, kita lebih cantik dan dimuliakan berbanding orang lain. Tidak. Jika yang cantik-cantik itupun Allah tak pandang sebagai mulia, apakan pula jika berhidung pesek, berkulit sawa matang, dan bertubuh kecil seperti bangsa ini?

      

September 11, 2012

Semua tertinggal...


Masa zaman sekolah, saya selalu tertinggal buku. Terutamanya masa saya sekolah rendah. Bila tertinggal buku (biasanya buku teks), cikgu akan tanya, "Mana buku awak?". Saya, dengan cuaknya menjawab, "Tertinggal kat rumah, cikgu".

Lalu tiap kali itulah cikgu saya akan membalas, "Bagus. Tinggal lagi kat rumah. Nak suruh mak baca? Nak suruh rumah baca? Biar nanti rumah jadi pandai, kamu tak pandai-pandai".

Ambik!

Itu cikgu perempuan. Cikgu lelaki, lagi teruk. "Kalau kamu punya ***** boleh cabut, mesti dah tertinggal kat rumah!"

Biasalah. Cikgu lelaki...

Apapun isunya, saya rasa terpanggil untuk menulis satu nota refleksi, untuk saya terutamanya. Saya melihat, dan menilai dengan teliti, betapa sebenarnya ramai manusia yang 'tertinggal buku teks di rumah'.

Hehe.

Begini, saya ada kereta. Orang lain pun ada kereta. Bezanya mungkin kereta saya buruk (alhamdulillah. Buruk-buruk pun kereta ayah kasi pinjam). Itu tak payah ceritalah. Tapi yang saya nak cerita, kereta saya tak ada tasbih-tasbih yang tersangkut tu. Tak ada surah Yassin atas dashboard. Tak ada semua tu.

Kerana utas tasbih, saya simpan dalam poket. Kerana mushaf al-Quran, saya simpan dalam beg. Saya tak simpan dalam kereta! Kenapa?

Kerana saya tak mahu kereta saya sahaja yang sibuk 'bertasbih'. Saya tak mahu kereta saya sahaja sibuk 'membaca' al-Quran. Saya mahu, diri saya yang sibuk bertasbih dan saya mahu diri saya yang sibuk membaca al-Quran.

Hari ini, kita punya resourse yang terlalu banyak untuk kita berjaya sebenarnya. Sumber yang besar, untuk kita berjaya di dunia dan juga sumber yang besar, untuk kita berjaya di akhirat. Tapi yang kita nampak mestilah dunia kan? Kan moto kita, "dunia diutamakan, pencapaian dititikberatkan"?

Sumber untuk kita berjaya di dunia, kita ada sekolah. Kerana semua orang merasakan pendidikan itu penting, maka semua orang hantar anak mereka ke sekolah. Yang miskin, sanggup bekorban sehabis daya untuk itu hingga ramailah ibubapa yang sanggup berlapar, asalkan anaknya dapat bersekolah.

Untuk kehidupan dunia juga, kita ada rumah. Kerana semua orang sedar yang jika dia tak memiliki rumah, dia terpaksa merempat, maka dia akan bersusah payah juga mencari rumah.

Untuk kehidupan dunia juga, kita perlukan makanan. Kerana semua orang sedar kepentingan makanan, maka tidak ada seorang manusia pun yang duduk diam dan menunggu makanan disuap. Sebaliknya, baik yang miskin atau yang sudah bergelar jutawan, tetap lagi mencari harta untuk menyumbat perut.

Itu untuk dunia. Untuk akhirat?

Kita ada al-Quran. Tapi di mana sebenarnya kita tinggalkan al-Quran?

Ada beberapa tempat yang berkemungkinan. Di dinding, sebagai pelaris atau hiasan. Di dalam kereta, sebagai eksesori. Di dalam majlis-majlis peringkat antarabangsa, sebagai lambang kemegahan. Di dalam masjid, sebagai lambang yang diri kita rupa-rupanya masih islam. Dan kemungkinan berikutnya, di dalam agenda perubatan, iaitu kerana jin dan syaitan sudah berani mengganggu kita.

Sedangkan al-Quran fungsinya lebih besar daripada sekadar hiasan, pelaris, pemanis, penghalau jin syaitan dan seumpamanya.

Hari ini juga, kita ada sumber yang sangat besar untuk berjaya iaitu perkembangan pesat pusat pengajian agama. Mudahnya, surau-surau dan masjid-masjid. Kerana dunia diutamakan, kita pun malaslah nak ke masjid surau ni. Duduk dengar kuliah ustaz karang, berdarah pula telinga ni karang.

Jadi, duduklah kita di depan laptop, melayan Facebook. Stalk perempuan/lelaki yang terang-terang hukumnya tak boleh. Laungan azan menjentik telinga pun, dibiarkan berlalu. Dalam hati hanya berkata, "Oh, dah azan dah" lepas itu, sambung Facebook.

Jadi, yang pandai nanti ialah sejadah, kolah, kubah, dinding, langsir, selipar, dan tabung masjid. Kita pula bila nak tahu halal-haram ni?

Saya bukan membebel. Saya cuma bertanya kepada diri saya. "So, bila lagi?"

September 7, 2012

Audit di dunia.

Saya sebenarnya bersetuju dengan pepatah inggeris; "Don't judge a book by its cover" tapi dalam masa yang sama, saya tidak boleh menafikan bahwa dalam banyak situasi, 'the cover will portrait its content'. Yang dizahirkan memang tidak seratus peratus menggambarkan yang tersembunyi. Tapi dengan melihat yang zahir, kita sendiri sudah boleh membuat penilaian akan apa yang disembunyi itu.

Contohnya, memilih makanan di mana-mana kedai. Kita sendiri boleh menilai mana satu makanan yang berkualiti dengan hanya melihat kepada rupa makanan itu. Kita tidak perlu merasa, untuk kita tahu kualiti makanan itu. Cukuplah dengan melihat pembalutnya, kita sudah ada gambaran awal tentang kualiti isinya.

Begitu juga manusia. Muslimin atau muslimat yang aurat terjaga rapi, sudah tentu memiliki satu nilai tambah, yang tiada pada pihak yang tidak menjaga auratnya dengan sempurna. Nilai tambah itu dipotretkan pada komitmen yang dipacu agar sifat muslim sejati, dapat dijana. Taat kepada semua perintahNya, dan patuh atas segala laranganNya. Bukankah itu taqwa?

Pun begitu, masih terlalu awal untuk kita mengatakan bahwa lelaki yang berjanggut itu, menyimpan janggut kerana ikutkan sunnah. Kita tak tahu isi hatinya, maka persoalan itu tak perlu kita timbulkan. Masing-masinglah menjawabnya.

Begitu juga wanita bila bertudung. Terlalu awal untuk kita berkata, "Mereka ini lebih baik berbanding wanita lain" kerana kita pun tak tahu apa asas mereka bertudung. Ada kerana fesyen, dan bila ibadah didirikan atas ransangan nafsu, maka kesan yang tersangat buruk terpanar di tengah masyarakat. Apa dia? Persepsi yang buruk atau lebih tepat, menjadi satu fitnah kepada agama!

Mengapa boleh sampai menjadi musibah, perkara ibadah?

Kerana perintah Tuhan, didirikan atas logik nafsu. Maka, yang berjanggut adakalanya lebih jahat daripada yang tidak. Yang bertudung, adakalanya lebih gedik daripada yang tidak!

Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari (moga Allah kurniakan kepada tuan guru kita, usia yang berkat dan kesihatan yang baik untuk terus menyebarkan ilmunya) seringkali berkuliah di Surau al-Hakim, Subang Bestari. Kebetulan, memang tempat saya tinggal sekarang, tidak jauh dengan tempat di mana kuliah bulanan Syeikh dijalankan. Maka, tiap kali Syeikh berkuliah, alhamdulillah saya mampu duduk di dalam majlis, menatap wajah indah seorang abdi ilmu, sambil mengutip hikmah beliau.

Kata Syeikh satu ketika dahulu, "Kita jangan tertipu dengan penampilan seseorang". Terang beliau, jika kita membawa datang seorang pemain bola sepak Sepanyol ke Malaysia, kita pakaikan padanya jubah, kita beri padanya tasbih di tangannya, dan kita hitamkan sedikit dahinya agar nampak seakan-akan orang yang tekun ibadah, adakah dengan itu, pemain bola sepak itu telah menjadi orang beriman?

Begitulah juga dengan wanita syiah Iran. Kita lihat mereka memakai jubah. Cukup elok menutup aurat bahkan ramai yang memakai purdah. Zahirnya, memang mereka kelihatan cukup 'beriman' tetapi cerita Syeikh, semasa beliau belajar di Mekah dahulu, wanita-wanita yang berpurdah inilah yang menyembunyikan najis-najis dan dicampakkan oleh mereka najis-najis itu ke kuburan para sahabat terutamanya Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a dan makam Saidina Umar r.a. Jadi, apakah itu tanda iman?
Sumber gambar.
Sebenarnya, sudah terlalu lama saya menyimpan beberapa persoalan yang tak terluah. Tak tercetus. Saya hairan, mengapa apabila seseorang yang tidak bertudung, mula memakai tudung, kita kagum dan menganggap mereka sebagai orang yang berhijrah?

Benar, dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari, Rasulullah memaksudkan bahwa selepas legasi hijrah ke kota damai, Madinah... sudah tiada hijrah susulan. Yang ada cuma penghijrahan spiritual daripada buruk kepada baik.

Benar. Yang itu memang ada.

Cuma saya persoalkan, mengapa kita mengangkat tinggi makna 'tudung' sedangkan topik taubat, berubah kepada kebaikan, hijrah dan seumpamanya adalah jauh lebih lebar daripada lebarnya tudung yang dipakai.

Saya bagi satu situasi.

Saya tak pernah menjadi mahasiswa IPT tapi saya pernah masuk ke kolej kediaman sebuah universiti tempatan. Di sana, saya lihat ramai mahasiwa dan mahasiswi yang bersosial. Berkawan seperti tiada sekatan. Bergurau senda, bergelak ketawa seperti sama jantina. Yang membuatkan saya tergeleng kepala ialah bilamana yang terlibat ialah gadis bertudung, dan lelaki berjanggut.

Kenapa saya fokus tentang janggut? Kerana ada rakan Facebook kata, ciri lelaki beriman ialah lelaki berjanggut!

Pelik bukan? Entah daripada mana penilain sebegitu boleh ditimbulkan. Bukan budak sekolah, tapi orang dewasa sendiri pun berfikiran begitu. Inilah yang saya cakapkan. Manusia suka menilai manusia lainnya, dengan penilaian zahirnya. Yang mendedahkan aurat, terus sahaja dianggap teruk dan yang bertudung labuh atau berjambang serta janggut, terus 'dituduh' sebagai warak. Belum tentu. Belum lagi...

Saya mengenali seorang kakak. Masa kami berkenalan, dia seorang yang tidak menutup aurat. Rambutnya dilepaskan untuk tatapan. Pakaiannya singkat, terdedah. Tapi menariknya, dia berubah dengan arus yang lembut. Tidak dengan ombak. Permulaannya, dia mula menonton rancangan keagamaan di televisyen. Kemudian, mula membaca bahan bacaan keagamaan di majalah dan novel. Sedikit demi sedikit, dia berubah hingga kini, sudahpun bertudung dengan istiqomah.

Tahniah kepada kakak itu. (mungkin dia sedang membaca pujian ini).

Cuma saya nak kongsikan, bahwa fasa perubahan kita perlulah harmoni. Mulakan perubahan dengan perkara yang paling besar, iaitu solat. Jaga dan perbaiki solat kita. Kemudian, jaga pula  hubungan kita dengan ibubapa. Ramai yang tidak tahu, bahwa dosa derhaka ibubapa sangatlah besar hingga pernah seorang ustaz di dalam cermahnya menegaskan bahwa selepas syirik, inilah dosa yang paling berat. Kemudian, barulah dengan aspek-aspek kehidupan, termasuklah pergaulan kita dan penampilan kita.

Sudah tentu kita, sebagai wanita yang bertudung labuh dan lelaki yang menyimpan janggut, tak mahu orang berbisik-bisik, "Harap saja pergi usrah tiap-tiap minggu. Tapi simpan jantan (atau simpan betina)".

Kasar kan? Tapi itulah bisik-bisik orang yang kita tak tahu!

Kita sudah memakai imej islam. Menyarung uniform seorang muslim dan muslimat. Maka, kita tak boleh lari daripada menjadi titik tumpuan. Setiap kali peperiksaan, kita adalah antara figur yang akan diteliti. Malanglah bagi seorang muslim atau muslimat, apabila dia mengambil keputusan peperiksaan, orang berbisik, "Harap saja selalu datang surau. Tapi periksa dapat markah corot. Kuat sangat tahajjud lah tu".

Tak mahu bukan? Kerana kata-kata itu bukan hanya mencalar maruah kita, tapi paling parah, ia mencalar nama agama sendiri. Persepsi orang terhadap 'komited dalam agama' menjadi songsang. Ia adalah situasi sama yang pernah berlaku dahulu di mana bekas presiden Tunisia, Habib Bourguiba dan menteri-menteri beliau (kuncu-kuncu) keluar secara lansung di kaca televisyen di siang hari bulan ramadhan, dan makan secara selamba bersama mesej, "Berpuasa menyebabkan produktiviti kita rendah. Jadi, baik jangan ikut perintah Tuhan!"

Itu kesilapan rakyat Tunisia kerana gagal untuk menunjukkan kepada dunia, "Bila aku bersama islam, aku makin baik, makin elok, dan makin sukses".

Kita yang ada kesedaran, sudah sampai masanya pula untuk kita pula menujukkan kepada dunia, "Bila aku bersama islam, aku mulia, bermakna, dan berjaya!"

Oleh itu, bersama kita menjaga akhlak kita dan dalam masa yang sama, menjaga prestasi kita. Jadikan islam sebagai platform untuk kita berjaya mengenggam awan Tuhan, dan jangan sesekali jadikan islam sebagai alasan untuk kita tersungkur!

Ingat!
Kita sedang diaudit. Kerana itu, jangan jadi spoiler.


September 4, 2012

Menilai dari kulitnya

Saya tertarik dengan sebuah komen yang dilemparkan oleh seorang pembaca blog ini, di artikel Tragedi Di Bazar Ramadhan. Kata pembaca yang menggunakan nama samaran Ali, "Ini penyakit orang baik, pabila menganggap orang lain bermasalah. Di (dia menyebut nama satu institusi pengajian tinggi yang ada perkataan islam dalam namanya), perempuan-perempuan yang tudung labuhlah yang selalu mencuri di kantin kolej".

Sebenarnya ini bukan kali pertama dan mustahil akan jadi yang terakhir, untuk kita terjerumus dalam kemelut penampilan diri. Kita keliru akan identiti dan kita keliru akan realiti.

Dalam isu ini, satu persoalan timbul.

Mengapa orang yang berpakain menurut syarak, mencuri?

Maka, kita boleh menimbulkan beberapa keraguan yang munasabah. Antaranya, adakah pakain begitu mendorong mereka mencuri? Kerana, tudung yang dilabuhkan menyebabkan mereka boleh memasukkan barang curian mereka di dalamnya.

Atau, adakah ia masalah iman individu tersebut?

Saya lebih cenderung untuk mengatakan bahwa kotoran ini terhasil daripada faktor dalaman, bukannya faktor luaran (penampilan). Ramai gadis yang menutup aurat dengan sempurna. Tapi menapa ada antara mereka yang boleh mencapai taqwa tapi dalam masa yang sama, ada juga yang makin jauh larut dalam lalai? Pernah atau tidak kita cuba menimbulkan soalan-soalan sebegitu dalam diri kita?

Samalah seperti kita bertanya: Kenapa orang lain solatnya boleh membuatkan dia dekat dengan Allah tapi solat kita, membuatkan kita makin dekat dengan maksiat?

Ini mengingatkan saya kepada satu kes. Telah lama berlaku dahulu, iaitu penyebaran video lucah eorang ustazah bersama warden sekolah asrama (kekasihnya). Menariknya, dia bukanlah ustahhzah biasa tetapi memakai tudung labuh nan terpelihara. Timbul rasa hairan. Bagaimana tergamak untuk dia masih menelusuri jalan yang keji (sebagaimana Allah iktirafkan dalam al-Quran, zina itu keji gila) sedang dia berpenampilan sebagai seorang muslimah?

Ini benda aib. Sangat aib. Memalukan. Menyakitkan. Membusukkan. Ia ibarat tumpahan nila dalam sebelanga susu. Hilang sekelian putih. Padam sekalian jernih.

Hingga, yang sempit fikirannya makin menyempit!

"Aku pakai ketat pun aku baik".

"Aku couple pun, aku solat tak tingal"

Kita terlupa kepada apa yangsering diingatkan kepada kita, agar kita menerima islam sebagai kaffah. Kaffah, ertinya seluruh. Tidak suku. Tidak juga separuh. Seumpama sebiji kek Kita tidak memotongnya kepada bahagian-bahagian kecil dan mula menimbang-nimbang, potongan yang mana satukah yang kita mahu makan dan yang mana pula mahu kita beri kepadaorang lain makan. Tidak begitu.

Islam, kewajipan untuk kita larut dalam ketaatan tidak boleh diswastakan. Kita tak boleh suruh orang lain buat benda yang kita sendiri perlu buat. Macam solat. Semua orang perlu dirikan. Tidak boleh kita pinta orang lain buat untuk kita. Begitu juga berpakain menutup aurat. Baik laki-laki mahupun perempuan. Setiap individu perlu melihat dan merenung, apa yang sering menampal kulit tubuh kita? Menurut piawaikah, atau melanggarnya?

Kita setuju. Jangan menilai sebuah buku dengan hanya kulitnya. Tapi manusia bukanlah buku. Nak atau tidak, apa yang kita pandang pada seseorang, itu juga termasuk dalam sisem nilai.

Islam datang dengan dua perintah utama. Buat, dan Jangan Buat. Setiap yang datang dengan label 'buat', dikira berpahala. Ia pula terbahagi kepada dua bahagian, wajib dan sunat. Manakala perintah yang datang dari bab 'jangan buat', ia hanya satu bahagian sahaja iaitu tinggalkannya!

Berpakain ialah benda yang kita nampak. Kita nilai. Contoh penilaian kita, "Amboi, cantiknya tudung hang". atau "Wah. Hensem dan segak bergaya kau dengan jaket tu".

Itu enlaian zahir sedangkan penilaian yang lebih besar dan gempak, ialah bilama ia menjadi satu acuan kepada pembentukan taqwa.

Ini disebut oleh Allah sebagai 'wa libasut taqwa za likal khair' yang bermakna, pakain taqwa, itulah yang terbaik.

Pakain ialah benda yang kita lihat. Nampak. Begitulah juga taqwa. Kita boleh nampak pada orang itu. Tapi sudah tentulah apa yang kita lihat dan pandang, ia tak bersifat muktamad. Kita tahu apa yang tersembunyi, bukan?

Saya boleh memanjangkan penulisan ini. Tapi banyak masalah yang saya hadapi sekarang, hingga saya terpaksa meletakkan titik noktah di sini. Apapun, saya cuma mahu menyatakan bahwa benar, Allah tak melihat penampilan kita. Benar, Allah tak melihat jelita atau hodoh kita. Benar, Allah memandang kepada hati. Tapi, Allah juga melihat kepada amalan-amalan kita. Salah satu perkara pokok, ialah pakain kita. Sejauh mana ia menutup aurat?

Kalau yang pakai seksi pun nak claim dia orang baik, maka apa gunanya Allah menerima korban hasih ternakan berupa haiwan yang gemuk dan sihat, berbanding korban hasil tanaman yang layu dan rosak, seperti dalam kisah Qabil dan Habil itulah.

--------

Saya menaip dengan menggunakan Asus Transformer Pad TF300. Tak selesa untuk menaip. Rasa rugi pula membelinya. Haishh....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails