October 28, 2012

Alasan-alasan kita

Kita membuka kembali lipatan Sirah, dengan cahaya di tengah Kota Madinah menjadi laman ceritanya. Seorang lelaki, namanya Jadd Bin Qais. Saatnya perang Tabuk, dengan lawannya nanti ialah bangsa Romawi. Seruan jihad dilaungkan dan dinyalakan. Longgokan-longgokan infak, diperluaskan. Persiapan perang, digiatkan.

Lelaki itu datang kepada ketuanya. Dengan hati yang melarat menderita, dia berkata kepada lelaki mulia itu, “Ya Rasulullah. Berilah keringanan kepadaku. Sungguh, aku ini manusia yang mudah tergoda dengan kecantikan gadis-gadis Rom. Aku takut, keberadaan aku dalam legasi perang ini akan membuatkan aku terjerumus di dalam fitnah. Takut-takut, aku tak mampu mengawal diriku”.

Lelaki mulia itu berpaling seraya berkata, “Baiklah. Aku izinkan kamu”.

Topeng kemunafikan yang disarung ternyata takkan berjaya membuatkan Tuhan keliru, tersilap dan tidak mengenali makhluk ciptaan-Nya. Sebagai jawapan dari langit, turunlah satu bahasa yang runcing;

Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: "Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah ". Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab Jahannam meliputi orang-orang yang kafir. (At-Taubah 49)

Orang munafik ialah orang yang hidup dalam alasan. Makan berpinggankan alasan. Mandi bersabunkan alasan. Tidur juga beralaskan alasan. Alasan itulah yang menjadi perisai bagi mereka daripada menjauhi kewajipan dan alasan itu jugalah yang membuatkan mereka licik!

Surah At-Taubah benar-benar menjadi salah satu surah favourite untuk saya tadabburi. Salah satu sebab utamanya adalah kerana kepadatan kisah dan pengajaran kepada umat manusia berkenaan dengan satu kelompok manusia yang bersifat musang, dalam kandang ayam.

Orang munafik, apabila datang satu seruan dan perintah untuk mereka meninggalkan kesedapan dan kelazatan dunia menuju kelazatan akhirat, mereka akan berasa berat hati. Bukan hanya hati, tapi juga punggung. Sehabis daya, dipergiatkan dan diperah otak memikirkan helah dan alasan untuk tidak ikut berperang di jalan Allah. Jiwa yang penuh dengan keraguan dan kedustaan, mana mungkin akan sanggup untuk bersusah payah demi agama. Padan muka. Akhirnya, Allah sendiri tidak mahukan manusia sebegitu menjadi hamba-hamba yang istimewa dan dijanjikan ‘istana’ derita buatnya di punggung neraka.

Apa yang saya nak sebutkan di sini ialah sifat orang munafik yang suka membuat alasan untuk meninggalkan kewajipan dan meneruskan kemaksiatan, sebenarnya sedikit demi sedikit menitis masuk ke dalam peribadi kita.

Di zaman Rasulullah, orang munafik ada yang cerdik dan ramai yang bodoh. Yang cerdik, antaranya ialah Abdullah Bin Ubay. Kerana hasutannya, 300 orang yang pada awalnya turut serta dalam pasukan prajurit islam, berundur. Yang kurang cerdik pula, golongan yang datang kepada Rasulullah dan membuat alasan, “Rumah kami terbuka dan tidak dijaga. Kerana itu, izinkanlah kami untuk tinggal dan tidak ikut berperang”.

Mereka sangka alasan itu dah cukup cerdik. Tapi sudah semestinya, orang bodoh takkan merasakan dirinya bodoh. Dan alasan yang paling bodoh, bagi saya, ialah alasan lelaki itu; “Janganlah kamu, wahai Rasulullah, menjerumuskan aku ke dalam fitnah!”

Hari ini, ternyata kita mewarisi bayang-bayang Jadd Bin Qais. Bila datang seorang penyeru,
dengan menyeru kepada makruf dan mencegah kita daripada mungkar, mulut dan hati kita bekerjasama membina perisai alasan.

Paling hebat, kita tempa perisai kita dengan menggunakan besi-besi yang diambil daripada dasar al-Quran itu sendiri!

“Bro. La’ ikhra ha fiddin. Tidak ada paksaan dalam agama. Jadi biarlah kami nak beromen pun. Allah sendiri kata tak ada paksaan. Yang kau sibuk-sibuk nak paksa kami bertaubat ni kenapa?”

Tak pernah jumpa kerangka alasan sebegini? Jika tak pernah, anda akan jumpa jika anda ikhlas mahu menjadi kader dakwah.

Manusia yang jahil, sewenang-wenangnya memetik firman suci Tuhan dalam al-Quran untuk menjadi benteng yang menjaga kepentingan nafsunya! Tapi jangan hairan, apabila saya kata bahwa orang jahil yang menggunakan al-Quran sebagai cap halal bagi kemaksiatannya bukan hanya orang yang duduk tepi longkang sambil memeluk gitar, tapi yang lebih ramai ialah golongan manusia yang bercermin mata, memakai baju kemeja berjejalur, tali leher bergaris-garis, sambil tangannya memegang briefcase!

Ketahuilah, wahai orang-orang yang tersilap, bahwa sesungguhnya ayat ini ada asbabun nuzul (sebab penurunan) yang kita perlu tahu.

Mari kita lihat apa yang diceritakan oleh Ibnu Abbas, sebagaimana yang ditulis oleh Ibnu Katsir di dalam kitab tafsirnya; ‘Ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki Ansar dari kalangan Bani Salim ibnu Auf yang bernama Al-Husaini. Dia mempunyai dua orang anak lelaki yang beragama Nasrani, sedangkan dia pula seorang muslim. Maka dia bertanya kepada Rasulullah, “Adakah boleh aku memaksa mereka berdua memeluk agama islam? Kerana sesesungguhnya kedua mereka telah tekad tidak mahu memeluk agama apapun kecuali agama Nasrani”

Maka Rasulullah pun menjawab, dengan membacakan satu ayat yang baru diturunkan oleh Allah itu melalui perantara Jibril. Al-Baqarah ayat 256.

Maka jelas, bahawa yang dimaksudkan dengan ‘tak ada paksaan’ ialah tidak ada paksaan terhadap orang yang bukan islam untuk memeluk agama ini, dan bukannya tidak ada paksaan kepada orang islam untuk mereka sesuka hati dan sembereno membakul sampahkan ajaran-ajaran dan undang-undang dalam agama ini!

Hal ini ditegaskan dengan pendapat para ulama yang menyatakan wajib untuk diperangi orang-orang kafir itu, sehingga kepada dua jalan; mereka memeluk agama kita, ataupun mereka membayar jizyah kepada kerajaan islam. Tidak ada paksaan untuk memeluk agama ini, kerana mereka dibenarkan untuk beribadah dan mengamalkan ajaran agama mereka. Asal saja mereka patuh, dengan membayar jizyah.

Orang islam, sudah semestinya tidak layak untuk menggunakan alasan ini. Siapa kata kita tak ada paksaan untuk taat di dalam agama? Jika tidak, mengapa orang yang murtad, perlu dihukum bunuh jika tidak bertaubat? Jika tak, mengapa orang yang berzina dihukum sebat bagi mereka yang belum bernikah, dan dihukum rejam bagi yang sudah bernikah? Jika tak, mengapa golongan yang tidak membayar zakat diperangi masa pemerintahan Abu Bakar?

Mengapa ada sistem carrot and stick dalam agama ini, jika benar ada satu bahasa bernama ‘suka hati akulah’ sebagai salah satu tiangnya?

Jadi, jawapan kita mudah saja.

“Kamu salah faham ni. Yang sebenarnya, apabila kita sudah memeluk agama islam, kita ada kewajipan-kewajipan kita. Kita ada paksaan-paksaan daripada Tuhan, yang perlu kita patuhi. Umpama kita pergi ke Jepun. Kita perlu untuk patuh dengan undang-undang mereka. Kita tak bolehlah sesuka hati berbuat tanpa batasan. Begitulah hidup kita atas muka bumi ini. Bumi ini satu negara yang besar. Diperintah oleh satu raja yang Maha Berkuasa. Sebagaimana seharusnya sesebuah negara itu ada perundangannya, bumi ini juga punya undang-undangnya. Semua itu diperincikan satu per satu dalam dua sumber utama, al-Quran dan as-Sunnah. Maka, jika kita tak mahu patuh pada undang-undang bumi, maka usah tinggal di bumi! Duduklah di galaksi yang lain daripada bumi!”

Ada juga yang apabila diajak untuk melakukan tugas sebagai khalifah di muka bumi, dia beralasan; “Aku belum cukup ilmu lagi. Tak layak nak amar makruf nahi mungkar. Nanti bila aku sudah pandai, insya-Allah aku akan melakukan kewajipan ini. Nanti aku boleh ceramah dah, insya-Allah aku akan mulakan. Jangan risau. Aku tahu dakwah ni wajib”.

Heh, saya suka mengungkapkan semula apa yang Ustaz Salim A. Fillah pernah katakan di dalam buku ‘saksikan bahwa aku seorang muslim’; 
“Ketahuilah, jika dakwah hanya ceramah, maka dunia hanya perlu lidah, tak perlu anggota badan yang lain!” 
Juga, adakah benar tanggapan ‘saya belum pandai’ itu lesen besar untuk kita dikecualikan daripada kerja-kerja agama? Sudah tentu tidak. Kerana jika pemahaman yang songsang ini diaplikasikan dalam sejarah, maka kita akan lihat bahwa kerja-kerja islam hanya akan dinisbahkan kepada beberapa orang tokoh sahaja. Tapi yang jelas, tiada seorang pun muslim sejati yang mengelak daripada amanah agama ini dan telah jelas juga, tiada seorang muslim sejati pun yang bersembunyi di balik kerudung alasan! 

Tak lain dan tak bukan, ‘saya belum pandai’ hanyalah satu bahasa gedik kepada kata-kata, ‘saya belum mati’ kerana bersandarkan kepada kata-kata ulama salaf (yang seringkali kita faham sebagai hadis, tapi rupanya ia ialah kata-kata ulama salaf), “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”.

Jika sistem sekolah, daftar masuk darjah satu dan daftar keluar pula darjah enam. Kiranya, atas kertas pendidikan sekarang, darjah satu ialah tempoh awal belajar dan darjah enam ialah tempoh habis belajar untuk sistem pendidikan rendah. Makna, lepas habis belajar barulah kita pandai.

Begitulah seorang muslim belajar. Jika diibaratkan ‘buaian’ itu sebagai awal-awal belajar, maka akhirnya nanti ialah ‘liang lahad’. Sesudah graduate dalam liang lahad, barulah ‘saya belum pandai’ akan menjadi ‘saya sudah pandai’. Kan?

Tapi memang kita nak tunggu sampai jasad ini kaku, barulah kita mahu buat kerja agama?

Saudaraku yang kukasihi kerana Allah.

Saya sebenarnya boleh sahaja menyenaraikan alasan-alasan manusia yang keras hatinya. Keras hatinya kerana tak suka melakukan apa yang Allah suruh sebaliknya mencintai pula akan apa-apa yang Allah larang. Teringat saya kata-kata Ustaz Pahrol di radio IKIM, bahwa manusia yang melakukan dosa ini ada empat peringkat.

Pertama, dia melakukan dosa dan dia merasa bersalah. Ini golongan yang akan bertaubat, kerana rasa bersalah itu menjadi bahang neraka yang sentiasa membuatkan dia rasa terbakar. Golongan kedua ialah golongan yang melakukan dosa, dan dia merasa biasa. Ini golongan yang profesional, iaitu golongan yang kompeten dalam melakukan dosa. Kerana sudah melazimi dan membudayakan dosa, kelakuan buruk itu menjadi kebiasaan baginya. Lalu, lenyaplah rasa bersalah dan diganti dengan rasa biasa.

Golongan ketiga pula ialah golongan manusia yang melakukan dosa, dan berasa seronok, cinta, dan manis dalam dosanya. Ini golongan manusia yang menanam bunga kasih sayang daripada najis dosa. Akhirnya, pohon yang tumbuh itu mengikat dirinya dengan dosa itu. Ini golongan yang merbahaya, kerana perasaan manis itu menyebabkan mereka tak mampu berhenti daripada terus menghisap walaupun dalam masa yang sama, dia tahu manis itu bukannya manis madu, sebaliknya manis itu ibarat manis air kencing si pesakit kencing manis!

Golongan terakhir dan paling buruk pula ialah golongan yang melakukan dosa, dan dia turut memperjuangkan dosa itu! Dilaburkan wang yang banyak untuk mempromosi dan mengangkat temasya dosa itu ke peringkat tertinggi. Habis segala keringat diperah demi mencapai misi jahiliyyahnya itu.

Dan golongan kedua hingga keempat inilah, golongan yang paling suka menolak ajakan kepada kebaikan. Mula-mula, beralasan seperti orang munafik. Akhirnya, berperang menentang dakwah, seperti halnya orang kafir!

Nah! Kita pilih nak jadi golongan yang mana satu. Seruan daripada Allah dan daripada Rasul-Nya sudah terlalu lama dibiarkan tak bersahut. Dan hari ini, saya sendiri mengajak anda kepada perubahan.

Jika masih mahu beralasan, buatlah. Jika mahu isytiharkan peperangan, isytiharkanlah. Tetapi jika mahu menyatakan kesediaan untuk berubah, maka ketahuilah saya adalah antara orang yang paling gembira dengan keputusan ini. Insya-Allah, saya dan rakan-rakan sedia membantu semampunya.

Saya sudahi naskah ini dengan satu doa;

"Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terlebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun, Maha Penyayang". (Al-Hasyr 10)

Besar harapan saya, agar kita dapat berjiran di syurga firdaus.
Kita-kita, semuanya. Insya-Allah.
    

October 24, 2012

Saya berniat.

Niat yang baik, akan dituliskan satu pahala.
Bila dibuat, dituliskan pula sepuluh pahala.
Sedang niat yang buruk pula, tidak akan dituliskan lagi dosa.
Jika dibatalkan, ditulis pahala tapi jika direalisasikan juga niat yang tak baik itu, hanya akan ditulisakan satu dosa.

Selalu kita dengar kan?

Kerana terlalu kerap dan terlalu dibajai dengan kefahaman, "Cukuplah dengan berniat sahaja", maka kita semua menjadi seorang muslim dengan hanya berniat. Hanya berniat nak buat baik, dan kita tersenyum puas, "Alhamdulillah. Sudah satu pahala".

Benarkah begitu? Benarkah cukup dengan niat? Benarkah agama islam ini berdiri dengan niat baik para penganutnya sahaja?

Bagi saya tidak. Jika sempurna dengan hanya berniat, maka cukuplah sekiranya kita berniat sahaja untuk solat. Tak payah bersolat. Hanya niat. Jika hanya cukup dengan berniat, tak perlulah kita makan. Hanya berniat untuk makan. Tak payah masak. Tak payah menyuap.

Jika cukup hanya dengan berniat, tak payah berak! Cukup dengan berniat nak buang air besar!

Tapi tidak begitu. Kita makan. Kita ke tandas. Kita bergaul dengan isteri. Kita bekerja. Semuanya aktiviti ini dijalankan secara sedar. Secara fizikal. Secara zahir. Secara realiti. Dijalankan oleh jasad-jasad kita. 

Maka, begitulah seharusnya niat yang baik. Jika kita berniat mahu bangun solat tahajjud, maka apa yang kita buat untuk realisasikan niat mulia kita itu? Sudah tentu dengan tidur awal, dengan kunci penggera, dengan meminta orang kejutkan kita, dan bermacam cara lagi. Tapi jika kita berniat untuk bangun tahajjud, tapi sengaja tidur lambat, sengaja tak mahu pasang penggera, bahkan apabila sudah terjaga pun tapi sambung tidur... maka apakah itu masih lagi dikira niat baik?

Saya pernah mendengar satu syarah hadis, di masjid Sri Petaling tiga tahun lepas. Ustaz itu kata, bukan semua niat baik berpahala dan bukan semua niat buruk tidak menjadi dosa. Dia lalu mengelaskan beberapa bentuk niat. Serasa saya, ada dalam enam atau tujuh betuk niat. Saya tak ingat semuanya, tapi antara yang saya ingat adalah, "Jika seseorang itu berniat untuk melakukan dosa dalam keadaan dia tak berkemampuan untuk melakukannya, maka niatnya itu pun sudah menjadi dosa sepertimana dosa yang dia niatkan".

Saya cuba mencari hadis itu, dan semalam, seorang sahabat membacakan hadis itu daripada Kitab Mutakhab Hadis yang sering dibaca dalam majlis taklim jemaah tabligh. Mungkin kita boleh mempersoalkan tentang status hadis. Saya sendiri tak tahu status hadis itu. Sahih ataupun dhaif. Tapi di sana, ada beberapa point yang menyokong.

Dalam surah Az-Zumar ayat ketiga, Allah ada menceritakan perihal orang-orang kafir Quraisy yang mempunyai niat yang baik, di sebalik kesyirikan mereka. Kita maklum, bahwa syirik ialah dosa yang paling besar dan dijamin tempatnya dalam neraka. Tapi orang-orang kafir itu, walaupun dijamin tempatnya dalam neraka, tapi mereka sebenarnya berniat baik. Sayangnya, niat baik itu Allah tolak kerana bercanggahan dengan perbuatan mereka.

Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya (berhala-berhala itu) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya". (Az-Zumar;3)

Jika niat sahaja baik, tapi proses tak baik, jadi sampah juga.

Juga, disaat Firaun mahu ditenggelamkan dalam laut, dalam tercungap-cungap dia berkata, "Aku percaya tidak ada Tuhan selain daripada Tuhan yang dipercayai oleh bani Israil, dan aku termasuk orang-orang muslim (berserah diri)"

Kata-kata yang termuntah keluar selepas runtuh tembok ego, dirakam dalam ayat 90 surah Yunus. 

Benar, Firaun mahu melakukan kebaikan. Mahu mempercayai Allah. Tapi Allah tolak niat baiknya. Allah tak terima. Kerana perkataan yang baik itu diluah keluar di saat dan di ketika Firaun itu sedang melakukan keganasan dan kejahatan! Dia sedang memburu orang beriman.

Dan dengan itu, manakan mungkin bersatu niat yang baik dengan perbuatan yang keji serta jahat.

Pernah satu ketika, berita tentang dua orang yang berbunuhan dibawakan kepada Rasulullah. Lantas baginda bersabda, "Yang membunuh dan yang terbunuh, kedua-duanya masuk neraka". Para sahabat bingung. "Bagaimana mungkin yang terbunuh juga akan masuk neraka, Ya Rasulullah?"

Lalu Baginda menjawab, merungkai kemusykilan para sahabat Baginda, "Bukankah yang terbunuh itu juga berniat mahu membunuh saudaranya?"

Melalui peristiwa itu, kita dapat belajar bahwa bukan semua niat jahat itu, dikira kosong. Orang yang kedua, belum lagi berbuat dosa. Dia belum membunuh. Dia tak sempat membunuh pun, kerana dia sudah terbunuh. Tapi kata Rasulullah, dia akan dihukum kerana niat jahatnya tadi.

Ini mengingatkan saya kepada satu kisah yang mahsyur, yang berlaku di zaman bani israil berkenaan dengan dua beradik. Si abang yang soleh dan kaki ibadah dan si adik yang jahat dan kaki maksiat. Dek kerana terlalu lama dan terlalu banyak ibadah, terdetik dalam hati si abang, "Aku ni dah banyak buat ibadah. Kalau aku buat maksiat sekali, Allah mesti tak akan kisah". 

Sedang si adik pula sebaliknya. Dalam hati adiknya, timbul satu perasaan halus, "Aku dah banyak sangat buat maksiat sedang abangku tak pernah buat maksiat sekalipun. Aku malu. Aku mahu bertaubat".

Ditakdirkan Allah, si abang pun berjalan turun dengan niat mahu bermaksiat dan si adik pula memanjat tangga dengan niat mahu berjumpa abangnya dan mahu bertaubat. Di saat itu, si abang terjatuh dan melanggar adiknya dan akhirnya kedua-dua mereka meninggal dunia. Lalu, si abang yang banyak beribadah itu akan dimasukkan dalam neraka sedang si adik yang banyak bermaksiat itu akan dirahmatkan dengan syurga.

Ya. Benar. Ini kisah israilliyat yang saya sendiri tak dapat nak cari sumbernya. Cuma, kita ambil pengajarannya. Pengajarannya ialah sebagaimana yang kita sering baca, dalam hadis ke 4 daripada 40 hadis susunan Imam Nawawi;

Demi Allah Dzat yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya setiap kalian ada yang beramal dengan amalan penghuni syurga hingga jarak antara dia dengan syurga hanya sehasta (dari siku sampai ke ujung jari). Lalu suratan takdir mendahuluinya sehingga ia beramal dengan amalan ahli neraka, maka ia pun masuk neraka. Ada juga di antara kalian yang beramal dengan amalan penghuni neraka hingga jarak antara dia dan neraka hanya sehasta. Lalu suratan takdir mendahuluinya, sehingga ia beramal dengan amalan ahli syurga maka ia pun masuk syurga.

Niat jahat mungkin menyebabkan kita ke neraka!

Ada juga dalam kitab sahih Muslim, hadis yang menceritakan tentang pembunuh yang membunuh 99 tambah satu nyawa. Dia mahu bertaubat, lalu disuruh oleh orang alim agar berhijrah ke satu penempatan baharu. Dalam perjalanan, dia meninggal dunia dan berlakulah perbahalan antara malaikat rahmat dengan malaikat azab. Lalu Allah pun memerintahkan diukurkan jarak di antara tempat yang mahu dituju dengan jaraknya daripada tempatnya. Manakah yang lebih jauh?

Dalam riwayat yang lain, diceritakan bahawa Allah sendiri yang mendekatkan jarak yang dituju oleh pembunuh tadi, hingga niatnya mahu bertaubat telah menyebabkan dia diampunkan, walau dia membunuh 100 jiwa.

Jika dia hanya berniat mahu bertaubat tanpa berusaha, agaknya adakah Allah akan terima?

Kesimpulan saya, saya merasakan bahawa tidak cukup untuk kita sekadar memasang niat, dan kita sudah diberikan pahala. Hari ini, kita cukup kuat berpegang dengan hadis, "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu, tapi melihat kepada hati-hati dan AMALAN KAMU".

Kita baca hadis tu separuh, dan terlupa rupanya ada sambungan, "dan amalan kamu".

Kita terlupa, lantas dengan selamba berkata, "Aku ni hati baik".

Saya percaya bahawa hati dan jasad perlu bekerjasama. Tak mungkin hati boleh baik jika jasad kita jahat. Saya percaya, bahawa yang dimaksudkan dengan niat yang baik akan diganjarakan pahala ialah bila mana kita berniat nak solat berjemaah maghrib, maka bila dengar sahaja azan, kita pun segera mandi dan bersiap-siap. Tapi tiba-tiba motosikal kita pancit terpaksa dipam dahulu lalu sampai-sampai sahaja ke surau, orang dah habis solat lalu kita terpaksa solat sendirian. Solat itu insyaAllah dikira 27 lagi.

Berbeza dengan orang yang berniat nak solat berjemaah, tapi saat dia sudah mendengar azan, dia masih melayan Facebook dan tak ada urgency untuk bersiap. Keluar bilik air, dia tengok jam. "Laaa... dah pukul 8 dah. Tak sempat aku nak berjemaah".

Orang itu main-main! Jika betul berniat, kenapa melanggari niat itu?

Begitu juga dengan orang yang berniat buruk. Dia tak memiliki peluang buat dosa. Dia tak ada duit. Tak ada awek. Tapi dalam hati, dia berniat, "Kalau aku ada awek, aku nak dating dengan dia hari-hari" atau berniat, "Nanti aku ada duit lebih, aku nak beli rokok".

Dia tak ada peluang. Dia tak ada kemampuan. Dia tak ada rezeki. Tapi dalam tak memiliki itupun dia masih berniat nak bermaksiat. Maka, boleh jadi dia akan termasuk dalam golongan yang Rasulullah pernah bersabda sebagai 'kefakiran yang menyebabkan kekufuran'.

Mungkin ada yang tak bersetuju dengan artikel saya, dan masih berpegang dengan pandangan bahawa setiap niat jahat tak berdosa, dan setiap niat baik walaupun main-main, berpahala. Oleh itu, mari bawakan hujah anda. Kita berbincang secara ilmiah. Saya jahil. Saya mahu belajar. InsyaAllah, saya akan terima pandangan jika ia memiliki nilai ilmu.

Dan sungguh, Allah lebih mengetahui atas segala-galanya.

    

October 19, 2012

Berbeza sangatkah dengan sekolah agama.


Dalam derap langkah kami ke masjid untuk solat jumaat tadi, saya dan seorang teman rapat, berbual-bual. Dia bertanya kepada saya,

"Aku perasan la kan, kenapa budak sekolah agama kadang-kadang lagi teruk daripada budak sekolah biasa?"

Saya tersenyum. Soalannya itu ialah soalan yang sama, pernah bermain dalam fikiran saya satu ketika dahulu.

"Sebab culture shock kut", jawapan ringkas saya.

"Takkanlah. Mereka tu kan terdidik nak buat baik masa di sekolah dulu. Takkanlah teruk sangat culture shock, sampai keluar aja sekolah jadi entah apa-apa", dia jelas tak berpuas hati dengan jawapan ringkas saya.

Saya tersenyum lebar, lalu saya menjelaskan.

Kita kawan dengan ramai orang, kita akan jumpa dengan bermacam ragam. Bermacam pengalaman. Bermacam pengajaran. Antara pengalaman yang paling berharga itu, ialah pengalaman yang datang daripada pemerhatian kita atas kesilapan-kesilapan orang. Sebab itu bijak pandai pernah berkata, "It's good to learn from our mistake, but it's best to learn from others mistake".

Betul bukan? Maka, terimalah dan hayatilah artikel ini sebagai satu bentuk pelajaran. Mudah-mudahan kita bersama-sama dapat mengambil pengajaran.

Saya dengan jujurnya dan tegas, menyatakan bahwa saya tidak sesekali bermaksud mahu merendah-rendahkan budak sekolah agama. Tapi, sepanjang saya bersahabat, lebih banyak produk yang 'kurang elok' daripada produk yang berkualiti, yang saya temui. Mungkin kerana saya yang masih kurang berkawan, tapi selalunya, yang baik-baik ini saya temukan daripada jiwa seorang lelaki biasa. Sekolah sekular. Bukan anak tok imam. Bukan pelajar jurusan agama.

Maka, saya membuat konklusi sendiri, bahwa baik dan buruk manusia itu, berkadar langsung dengan peluang-peluang yang Allah sediakan untuknya. Peluang-peluang itu, hakikatnya ialah satu ujian daripada Allah, untuk menguji setiap yang bergelar manusia.

Ada orang, kita nampak baik. Soleh. Taat. Memang dia soleh. Kita akui itu. Tapi sebenarnya dia jadi baik begitu kerana dia tidak diuji, dan tidak ada peluang untuk berbuat dosa serta maksiat. Macam budak sekolah agama. Memang di sekolah, mereka baik-baik. Solat berjemaah. Melazimi mathsurat. Tercelup dengan kehidupan muslim. Tapi bila keluar daripada suasana itu, apa yang terjadi sebenarnya?

Dunia luar, hakikatnya ialah dunia yang kejam. Dunia yang menoreh-noreh, menghiris-hiris halus, kepingan-kepingan iman dalam diri kita. Dunia yang terlalu menguji.

Ada orang, cukup sensitif terhadap couple. Dia cukup tak senang tengok orang lain ada teman lelaki atau teman wanita. Tapi atas dasar apa? Atas dasar agama?

Tidak. Tapi atas dasar, tak ada orang yang berkenan padanya! Cubalah nanti, bila ada perempuan yang menggoda, atau ada lelaki yang memikat, yang garang itupun boleh jadi lembut dan tewas!

Ada orang, dia boleh menjaga solat fardunya kerana dia belum diuji dengan pekerjaan. Masa belajar, dialah imam. Dialah bilal dan dialah juga siak. Tapi sesudah disibukkan sedikit sahaja dengan pekerjaan, siapa imam pun dia tak kenal. Bilal dan siak, lagilah dia tak kenal siapa orangnya.

Ada orang yang cukup menjaga pandangan kerana belum diuji dengan kebebasan. Cubalah nanti apabila dia memiliki sendiri telefon pintar, boleh melayari internet, silap-silap, matanya berair-rair bukan kerana tersentuh atau hiba membaca hadis, tapi berair-rair kerana ghairah melayari laman pornografi.

Memang.

Memang tiada malaikat dalam kalangan manusia. Tapi tak bermakna itu menjadi dalil bahwa kita diizinkan untuk berbuat dosa nan maksiat.

Ada pula manusia yang kita lihat biasa-biasa. Mengaji pun tak lancar. Cara mandi wajib pun baru nak belajar (konon kita dah belajar masa sekolah rendah dulu). Pakai baju kemeja biasa. Pakai kopiah pun jenis biasa-biasa. Baca majalah pun majalah Solusi (kita mungkin baca kitab ulama muktabar).

Tapi orang itu sebenarnya lebih jujur, ikhlas, tulus, dan beradab daripada kita!

Mereka hormat kita. Tunduk. Senyum.

Tapi tidak kita, kepada mereka. Kerana kita kan budak baik! Budak sekolah agama!

Sedang mereka sebenarnya ialah manusia-manusia yang tercari-cari peluang, dan bukannya manusia-manusia yang dihidangkan peluang untuk melakukan kebaikan!

Kita sering berbangga dengan status kita. Yang anak kepada Imam, berbangga dengan ayahnya. Yang menjadi ibu kepada Ustaz popular, berbangga dengan anaknya. Yang berjiran dengan Imam Muda, berbangga dengan jiran. Yang menjadi penuntut Universiti Islam, berbangga terhadap pendidikannya. Padahal, itu semua sampingan. Cuma nilai tambah yang tidak pun menambahkan kemuliaan di hadapan Allah pun!

Alhamdulillah.

Saya bersyukur sangat kerana Allah beri saya hidayah untuk saya kembali mengenali diri saya yang sebenar. Saya bukan budak baik. Ada masa silam. Ada dosa semalam. Ada kotoran, najis maksiat, debu dosa. Ada semua keburukan-keburukan itu.

Dan saya mengenali tahap iman saya bagaimana. Kerana itu saya berdoa sentiasa agar apabila Allah berkehendak mahu menguji saya, maka saya pinta agar Allah berikan dan limpahkan saya dengan kesabaran serta kesyukuran, supaya ujian-ujianNya bukan menyebabkan saya berubah watak. Kerana saya sudah melihat betapa ramai yang gagah, tapi sebenarnya lemah. Hanya sekadar satu ujian sahaja, dia berubah sikap.

Saya bersungguh-sungguh berdoa agar Allah berikan saya lulus untuk ujian-Nya, kerana satu yang pasti, hidup ini sendiri sebenarnya satu ujian yang tidak dapat tidak, akan kita tempuhi juga.

Goodluck!

Nota kaki: Sekolah agama dengan pendidikan agama ialah dua elemen berbeza. Carilah perbezaannya. Di sana ada jawapan bagi keraguan kita.

  

October 17, 2012

Masih makan karipap lagi.


Masih makan karipap lagi. Depan TV. Melunjur kaki. Menonton drama melayu.

Itulah kita: manusia yang sehari-harian, mengunyah karipap di depan TV, menonton drama Melayu.

Manusia, ialah makhluk yang cukup aneh. Sebagaimana mereka cepat melupakan masalah, secepat itu jugalah mereka melupakan Allah.

Telah datang kepada saya, beberapa individu yang diintai masalah. Menangis. Mengeluh. Meratapi. Tapi sesaat selepas Allah hilangkan masalahnya, dia terlupa dia pernah menangis. Dia terlupa dia pernah mengeluh. Dia tak ingat, yang dia pernah meratap.

Saya geram dengan orang begini.

Kerana mereka seakan-akan bertuhan, apabila di dalam masalah sahaja. Apabila kesenangan, Tuhan ditinggalkan. Umpama madu. Habis madu, bersepah-sepah dibuang!

Allahurabbi.

Mungkin saya melampau dalam berkata begini. Tapi saya nak bawa diri kita melihat diri kita sendiri. Siapa kita, dua bulan yang lalu?

Siapa kita, di malam 1 Ramadhan?

Siapa kita, di 10 akhir Ramadhan?

Siapa kita, di 1 Syawal?

Semua kita pernah berjanji dengan diri kita: "Aku mahu jadi baik, Ya Allah!"

Dan ia dibuktikan dengan solat-solat kita, di malam-malam Ramadhan. Wah! 20 rakaat. Banyaknya! Dibuktikan pula dengan bangkit awal kita di dinihari Ramadhan. Wah! Awalnya! Ditambah pula dengan sedekah-sedekah kita. Wah! Banyaknya!

Tapi soalnya, di mana kedudukan kita sekarang?

Kenapa bulan Ramadhan, kita boleh berjemaah di masjid tapi habis Ramadhan, kita solat pun di akhir-akhir waktu.

Kenapa di bulan Ramadhan, kita boleh bangun seawal jam 5 pagi tetapi sesudah habis Ramadhan, solat subuh kita jam 7 pagi?

Kenapa di bulan Ramadhan, boleh bersedekah tetapi di luar Ramadhan, duit habis memenuhkan nafsu serakah?

Itu baru bila Allah uji kita dengan bulan Ramadhan. Belum lagi diuji dengan masalah-masalah lain. Ada yang lepas putus cinta, fruss menonggeng, boleh ingat Allah. Bergelen-gelen air mata menangis:

"Ya Allah. Aku redha jika dia bukan Kau ciptakan untukku"

Nak termuntah!

Lepas tu konon berazam, "Ya Allah. Aku mahu mencintai-Mu seorang sahaja."

Tapi tak lama, jumpa buaya lain, tertipu lagi.

Main drama ya dengan Allah?

Dalam bulan Ramadhan, dah janji nak jadi baik!
Bila diuji, dah janji nak buat soleh!
Dah diselesaikan masalah segala, bersyukur dan berjanji taknak buat masalah lagi!

Tapi itulah.

Masih makan karipap, depan TV sambil tengok drama Adam dan Hawa.

Cukuplah jika kita dapat malu dengan diri sendiri!


SUMBER: 1001 resepi.

nota kaki: Tak jemu kan, makan karipap hari-hari?
 

October 14, 2012

Bahwa aku telah berseru!

Saya tertarik dengan satu kalam daripada Ustaz Hasrizal di fan page beliau. Pada saya, beliau memang seorang agamawan yang Allah kurniakan dengan hikmah yang besar. Moga hikmahnya terbias kepada kita juga. Kata beliau; Apabila ditimpa ujian, ramai yang bertanya “Mengapa aku” tetapi bila diberi nikmat, mengapa tidak pula bertanya “Mengapa aku”? 

Ia membuatkan saya teringat kepada satu firman Allah;

Adapun manusia, apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, serta- merta dia berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!". Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta mengeluh dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!" (Al-Fajr 15 dan 16)

Sungguh. Kita terlalu cepat melatah. Sekiranya apa yang kita mahukan tidak tertunai dan tidak diberi oleh Allah, kita berburuk sangka dengan-Nya. Putus asa untuk terus memerah ketaatan. Kita taat kepada Allah seperti ketaatan seorang pekerja kepada majikannya. Kita bekerja hari-hari dengan perkiraan, hujung bulan gaji mesti masuk. Atas perkiraan bahwa ada keutungan segera yang akan diperoleh, kita dimotivasikan untuk bergerak ke tempat kerja dengan meninggalkan segala kenikmatan di rumah. Maka sekiranya perkiraan itu tidak tercapai, maka menyerbulah segala macam persangkaan yang buruk terhadap majikan kita. Bencilah! Menyampahlah! Dan akhir sekali, “Saya resign!”. Jika begitulah hubungan kita dengan Allah, maka kita akan bermasalah besar kerana ketaatan yang kita lunjurkan ialah ketaatan yang bersyarat!

Padahal, Allah ialah Tuhan Yang Maha Kaya. Dia mampu memberi segala-galanya yang kita mahu. Kerana itu, diciptakan syurga kepada hamba-Nya. Nanti kalau dah masuk syurga, apa benda yang kita nak semua akan kita dapat. Tak payah meminta pun. Lintas saja keinginan dalam hati, benda tu dah ada depan mata.

Tapi dunia ini bukan syurga. Kerana di dunia, Allah tidak akan memberi segala-gala yang hamba-Nya mahu, sebaliknya Allah memberi kepada hamba-Nya, segala yang hamba-Nya perlukan agar nanti kita tidak punya alasan untuk berdebat dengan Allah sekiranya kita dimasukkan dalam golongan ahli neraka. Tiada alasan.

Antara kurnia Allah yang paling besar ialah hidayah dan taufiq. Ini keperluan. Jarang sekali ia menjadi kehendak (yang dicari oleh manusia). Hidayah dan taufiq ialah syarat utama untuk kita bahagia di dunia dan di akhirat. Tetapi ramai yang rabun, tidak nampak kepentingannya. Mereka tidak meminta untuk diberi petunjuk, sebaliknya mereka meminta agar dibanjiri harta (murah rezeki), panjang usia (boleh enjoy lama), diberi kesihatan (untuk enjoy juga), dan macam-macam kehendak lagi yang kadangkala merepek-repek dan tidak perlu. Semuanya tak lepas daripada kepentingan-kepentingan dunia!

Tiga tahun saya tinggal di satu daerah di antara Shah Alam dengan Petaling Jaya. Di daerah damai ini, saya melihat banyak peristiwa yang jika saya ingat-ingat semula, saya akan sebak sendiri. Betapa bertuah dan beruntungnya saya hingga saya tertanya sendiri, “Kenapa aku, Ya Allah?”

Saya melihat betapa berharganya nilai hidayah. Dengan hidayah, seseorang sanggup untuk taat kepada-Nya walaupun terpaksa melalui jalan yang sukar. Tapi jika tanpa hidayah, seinci pun seseorang itu takkan mampu untuk mendekati ketaatan, walaupun dia mempunyai sejuta macam kemudahan. Bahkan jika dibentangkan jalan yang seluas-luasanya pun kepadanya, belum tentu dia akan maju kehadapan. Semuanya kerana hatinya tidak dicahayai oleh hidayah.

Sesiapa yang mahu diberikan kebaikan oleh Allah, maka diberikan kepadanya kefahaman dalam agama. (Riwayat Muslim)

Kefahaman dalam agama tidak bererti ketinggian pengetahuan dalam agama. Tahu dan faham ialah dua perkara yang tak sama. Jika seseorang tahu, belum tentu dia faham tetapi jika seseorang itu faham maka sudah tentu dia tahu. Inilah yang membuatkan darjat seseorang itu berbeza di sisi Allah.

Saya bagi satu situasi. Siapa antara kita yang tidak tahu bahawa mengerjakan solat fardu secara berjemaah bagi lelaki, hukumnya fardu kifayah dan dibalasi dengan 27 kali ganda pahala? Saya yakin semua orang tahu. Tapi kenapa bukan semua orang mahu ke masjid atau surau untuk berjemaah? Nak kata tak tahu, mereka tahu. Cuma satu. Mereka mungkin tak faham.

Ramai yang berkata, “Kau bolehlah datang kuliah selalu. Rumah dekat dengan surau”.Tak kurang juga yang bergurau, “Kau lahir dari keluarga yang baik. Memang patutlah kau baik. Aku orang biasa-biasa je”.

Paling menarik, “Kau budak sekolah agama. Aku bukan budak sekolah agama!”. Uik! Sampai macam tu sekali manusia dibeza-bezakan!

Allah memberi hidayah bukan atas kapasiti dekat atau jauhnya kita dengan pusat ilmu atau rumah ibadah. Masa saya tinggal di daerah -yang saya tak mahu sebutkan namanya itu- saya memahami bahawa bukan jarak yang menjadi sebab seseorang itu mampu hadir ke solat berjemaah, tetapi sebabnya ialah kekuatan iman. Kerana jika dikira jarak, maka saya akan katakan hampir semua orang yang tinggal di apartmen saya itu akan turun untuk berjemaah. Dekat sangat, kerana surau itu terletak di tengah-tengah dan dikelilingi oleh blok-blok yang bersusun megah. Bahkan, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa jika muazzin melaungkan azan, semua orang akan mendengar panggilan Ilahi ini.

Tapi kenapa yang menyahut seruan Allah itu, hanya pecahan yang kecil sahaja? Sangat minoriti. Padahal, semua mendengar seruan azan itu.

"Sesiapa yang suka untuk menemui Allah di hari akhirat nanti sebagai seorang muslim, hendaklah dia memelihara solat setiap kali diserukan kepadanya, kerana menegakkan solat berjemaah itu ialah 'sunanul huda'. Sesungguhnya Allah telah mensyariatkan kepada Nabi mu beberapa sunnah. Sekiranya kamu enggan berjemaah dan lebih suka solat bersendirian di rumah, maka kamu telahpun meninggalkan sunnah Nabimu. Jika kamu meninggalkan sunnah Nabimu, maka tentulah kamu sesat". (athar Abdullah Bin Mas’ud).

Dalam masa yang lain, acap kali saya melihat orang islam singgah ke surau. Bukan untuk solat, tapi untuk menggunakan tandas. Dah sampai tu! Ini bukannya tak sampai, tapi dah sampai. Tapi kenapa hatinya tidak tergerak untuk menunaikan solat? Jelas, ini bukannya isu dekat atau jauh tetapi ini isu iman.

Hidayah juga bukan dinilai atas kapasiti ilmu. Jika perkiraannya atas selembar sijil, maka berduyunlah ustaz-ustaz di daerah ini akan melakukan kerja dakwah. Ini tak berlaku. Setidak-tidaknya, tidak berlaku di daerah terpencil itu. Tak payah kata dakwah, solat berjemaah pun payah nak nampak batang hidung para agamawan yang punya ilmu agama di bawah kopiah mereka ini. Kelibat mereka hanya senang untuk dilihat di kedai kopi. Jika bukan menonton perlawanan badminton atau bola sepak, mereka akan bersembang sambil mengetuk-ngetuk meja.

Hidayah bukan atas perkiraan siapa makin berilmu, dia makin baik. Tak semestinya begitu, walaupun Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa para ulama ialah pewaris para nabi. Tapi pewaris nabi apa kebendanya jika sunnah Nabi yang utama seperti solat berjemaah pun tak buat, sebaliknya buat benda lagho pula. Menyedihkan!

Hidayah juga kayu ukurnya bukan atas faktor perdu kekeluargaan. Banyak keluarga yang dikepalai oleh ibubapa yang baik-baik. Haji dan hajjah. Si bapa berjanggut panjang. Berkopiah setiap masa. Ibunya pula bertudung labuh. Tapi bila keluar bersama anak menantu, anaknya berbaju ketat dan membiarkan rambutnya berbogel manakala menantunya yang lelaki pula berseluar pendek dan menampakkan kepala lutut. Tidak enak sungguh untuk dipandang, tapi itu realiti.

Nabi Luth dan Nabi Nuh, isteri dan anak mereka juga tidak beriman, padahal Luth dan Nuh ialah Rasul yang diutuskan oleh Allah.

Bahkan ada banyak situasi yang berlaku dalam masyarakat sejak dahulu hingga kini, ibubapanya tunggang terbalik tetapi si anak baik macam malaikat. Ini membuktikan bahawa hidayah bukan suatu yang diukur atas pertalian darah.

Sekarang, renung diri kita. Apa baiknya kita ini? Apa hebatnya kita ini, sampai Allah mahu berikan kita kemuliaan dengan kita menjadi seorang muslim yang komited dengan agama. Komited dengan agama sudah tentu bukan dengan bila dengar azan, kita buat tak reti. Komited dengan agama juga bukan dengan bila nampak masalah dalam masyarakat, kita buat tak nampak. Komited dengan agama juga bukan dengan sentiasa menimbulkan alasan untuk lari daripada kewajipan. Tidak.

Jika kita tidak mahu menjadi orang islam yang komited dalam agama, mengapa membaca bab ini? Bab ini mahu menceritakan tentang betapa besarnya nikmat diberi hidayah dan betapa besar keutamaan untuk meminta Allah berikan kita hidayah!

Allah boleh pilih sesiapa sahaja untuk menjadi tetamu istimewa-Nya dalam syurga. Tapi kenapa Allah pilih kita? Tidakkah kita rasa beruntung? Pertama, kita sudah dilahirkan sebagai seorang yang beragama islam. Kedua, kita diberi pula kesedaran dan hidayah. Padahal, ramai lagi manusia yang hanyut dan lalai. Adakah kita mahu ikut mereka? Mahu hanyut, mahu lalai, padahal Allah sudah berikan petunjuk kepada kita?

Saya mahu membetulkan pemahaman kita yang senget berkenaan konsep hidayah. Ramai antara kita yang suka menyorok di tirai alasan, “Aku bukannya tak nak berubah, tapi belum sampai seru lagi. Belum dapat hidayah lagi”, sambil tersenyum sumbing, memotretkan kedegilan.

Seru belum sampai? Hidayah belum dapat? Betul ke macam tu?

Jangan. Jangan fitnah Allah. Jangan fitnah Rasulullah. Jangan!

Sesungguhnya seru dan hidayah, sudah 1400 tahun yang lampau bergema. Mungkin gemanya sahaja yang berbeza. Mungkin lirihnya sahaja yang tak sama. Tapi mesejnya tetap lestari. Seruannya tetap asli- mengajak manusia kepada Allah Yang Maha Penguasa.

Penyanyi, Farah Asyikin pernah berkongsi di rancangan televisyen TV al-Hijrah, tentang saat-saat awal dia berubah dan menyarung tudung, seterusnya menutup aurat zahir beliau. Ketika ditanya bagaimana dan mengapa hatinya mula tergerak untuk insaf, dia menceritakan;

“Saya seakan-akan melihat ada lintasan di depan mata saya, yang menunjukkan dosa-dosa silam saya. Ia seakan-akan satu layar maya, yang memutarkan semula khilaf-khilaf saya. Ia suatu yang sangat aneh. Jika saya cerita, mesti orang susah nak percaya. Tapi itulah yang berlaku”.

Dan itulah yang kotak fikiran saya rakam daripada temubual beliau. Sudah semestinya dia tidak bercakap 100% sama dengan apa yang saya tulis. Tapi mesejnya memang saya ingat sungguh-sungguh. (Kak Farah, saya minta maaf ya ada tokok tambahnya).

Seorang artis lain, Yatt pula menceritakan pengalaman beliau saat melakukan solat sunat taubat, beliau merasakan seperti dahinya terlekat pada muka sejadah hingga beberapa ketika. Dalam masa yang sama, dia juga dipertontonkan dengan layar maya, dosa-dosa silamnya. Ini cerita dari surat khabar. Tak percaya, boleh tanya tuan punya badan.

Dua contoh yang cukup istimewa, tentang dua wanita yang juga sangat istimewa, dan dijadikan istimewa oleh Allah. Mereka berdua, diberikan petunjuk dan hidayah melalui cara yang luar biasa. Fenomena yang cukup ajaib dan sukar hendak diceritakan dengan lisan, apatah lagi logik akal manusia yang singkat ini.

Mereka bertuah. Kerana dibawa masuk seketika dalam kondisi ghaib, mereka tersedar daripada lena dan dosa kelmarin. Tapi sebenarnya itu langsung tidak boleh menjadi hujjah bahawa hidayah itu mesti datang dalam bentuk yang aneh-aneh sahaja!

Jangan sampai terdetik dalam hati kita;

“Selagi belum bermimpi kena bakar dengan api neraka, selagi itulah aku tak perlu berubah. Aku okey lagilah tu!”

Jangan!

Tidaklah patut manusia berasa hairan (takjub) bahwa Kami telah mewahyukan kepada seorang lelaki dari jenis mereka (Nabi Muhammad, dengan berfirman kepadanya): "Berilah amaran kepada umat manusia (yang ingkar, dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka. (Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan menyampaikan berita yang mengembirakan) berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu: "Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang terang nyata." (Yunus 2).

Islam bukan agama yang didirikan atas dasar hairan. Islam ialah agama yang solid. Tiangnya daripada hujjah yang mantap, bukan daripada lidi emosi. Atapnya daripada dalil yang mapan, bukan daripada kapas persangkaan.

Adakah apabila melihat awan membentuk kalimah Allah, baru kita mahu beriman? Adakah kita menunggu corak bulu-bulu di badan kambing untuk membentuk kalimah Muhammad, baru kita percaya tentang kerasulan Baginda? Apakah kita tertunggu-tunggu kita bermimpi, diberi lintasan atau melihat logamaya tentang kejelekan-kejelekan kita, barulah kita mahu bertaubat? Atau adakah kita mahu menunggu datangnya ribut Tsunami dalam keadaan kita ketakutan sambil berlindung di dalam masjid, dan berharap ombak raksasa yang sebesar bukit itu memukul lembut tanpa sikit pun mencemarkan masjid, barulah kita mahu akur bahawa islam agama yang sebenar? Jika tidak pun, adakah kita mahu menunggu fenomena sejadah bersolat, barulah kita mahu bersolat?

Kenapa perlu dikaitkan hidayah dengan fenomena-fenomena aneh, misteri, mistik, dan paranormal ini? Tidakkah kita mahu meniru perangai orang kafir yang menunggu-nunggu keajaiban dan perkara-perkara aneh timbul di hadapan mereka, barulah mereka mahu berkata, “Allah telah memberikan aku hidayah!”

Adakah dengan tidak menimbulkan ketakjuban dan kehairanan, bererti hidayah belum sampai?

Hidayah dan seruan sudah berkemundang sejak dahulu. Sejak kita baligh, sampai sekarang. Saat kita tidur, makan, bekerja, bersama keluarga, setiap usia kita yang berlalu, tidak terpisah kita dengan seruan dan hidayah.

Bezanya, kita memilih untuk memejamkan mata hati dan menutup telinga nurani. Kita sendiri yang melupakan, tidak menyambut, mengabaikan, dan membakul sampahkan petunjuk-petunjuk dan seruan-seruan itu!

Dan tidak datang kepada mereka peringatan serta pengajaran yang dari (Allah) Ar-Rahman, melainkan mereka tetap berpaling mengingkarinya. (Qaf 2).

Hidayah sudah lama menari-nari di depan kelopak matamu. Seru yang ditunggu, sudah lama berdesir di cuping telingamu. Jika kali ini kamu masih bertangguh dan beralasan, ketahuilah bahawa aku berlepas diri daripada kewajipanku.

Lembaran kertas ini menjadi saksi, bahwa aku telah berseru!

Moga Allah memberiku lebih banyak peluang


Berkali-kali saya diingatkan agar ikhlas. Ingatan yang dititip daripada orang yang lebih dewasa daripada saya, sampailah orang yang lebih muda daripada saya. Terlalu ramai yang saling memperingatkan tentang nilai keikhlasan.

Haruslah. Wajarlah.

Kerana ikhlas ialah satu perkara yang terlalu penting. Kita tak mahu setiap titik peluh kita, berakhir dengan debu yang beterbangan. Kita juga tak mahu setiap kejayaan yang kita raih bersama sekuntum senyum, menjadi satu kemenangan yang tiada nilai di sisi Allah. Kita tak mahu setiap titis air mata yang mengairi mata, kering daripada penilaian Allah.

Kita tak mahu itu.

Saya sedang memujuk hati. Entah mengapa, bermacam-macam lintasa hati yang buruk bermain dalam fikiran ini. Bermacam persangkaan yang tak elok, melingkar benang fikiran.

Kecewa. Kecil hati. Sedih. 

Sedang seharusnya, orang yang ikhlas dalam amalannya, dia tak pernah sedih. Kerana dia tahu, dia beramal kerana Allah, bukan kerana manusia. Kerana dia juga tahu, dia beramal kerana mahu memuaskan hati Allah, bukan memuaskan hati manusia!

Itulah. 

Saya memujuk hati dan bersangka baik;

Mungkin kalian sudah alim, maka kalian sudah tak perlu membaca e-book saya. 

Saya mohon kepada Allah, agar Allah nyahkan rasa kesal dalam lubuk hati saya kerana tidak menjual sahaja manuskrip itu. Saya sedang belajar ilmu ikhlas. Dan akan terus belajar, sampai saya mati. Harapnya, saya akan mati sebagai mukhlisin, kerana orang yang ikhlas sahajalah, orang yang kalis pada setiap godaan dan racun syaitan!

Terima kasih Allah,
Kerana memberiku peluang untuk beramal lagi.

Kerana saya tahu, ikhlas itu umpama susu yang lembut lagi bergizi. Di kirinya darah, di kanannya najis. Tapi najis yang kotor, darah yang hanyir, tak memberi kesan kepada sifat susu. Saya mahu memiliki sifat susu. Biar apapun suasana, biar apapun penerimaan, tak akan merubah visi dan misi.

Allah Maha Menilai, cukuplah jika saya pahat itu dalam hati.

    

October 7, 2012

Innalillah...

24 April 2011. Kiranya, sudah setahun lebih berlalu usia perkenalan saya dengan adik Tiqa. Dan hari ini, nama itu sudah termasuk dalam senarai manusia yang dipanggil pulang ke sisi Allah Yang Maha Penyayang.

Sedih.

Tak ada perkataan yang lebih tepat, untuk saya gambarkan rasa yang menebal dalam hati ini. Saya mengenalinya semasa usianya 15 tahun. Tika itu, adik comel yang periang serta peramah ini masih keliru, "Tiqa sudah islam ke bang?"

Daripada nama yang diwarisi keluarga, Sandy Monica, dia memilih nama baharu, Atiqah sebelum  secara rasmi, memetik satu nama yang cukup indah. Cukup sempurna. Qaisara Humaira.

Saya mengenali adik Tiqa sebagai seorang adik yang subhanallah.... cukup-cukup tabah! Kecintaannya kepada islam, tak pernah saya temui pada manusia lain yang seusia dengannya. Dia jatuh cinta dengan islam, tanpa paksaan. Dan ya, sejak bila cinta itu perlukan paksaan, kan?

Saya terlewat mendapat berita tentang kematiannya. Keterlawatan yang sangat mengecewakan! Lalu saya kembali membaca mesej-mesej antara kami lama dahulu di Facebook.

Ah, betapa saya teringat bahwa pernah satu masa dahulu, Tiqa bertanya tentang Allah. Tentang Rasulullah. Dan saya tak terasa pun masa berlalu, dan penat di hujung jari, menaip jawapan-jawapan dengan sabar. Sungguh, saya bahagia berkongsi!

Saya tak lupa, betapa dahulu Tiqa selalu mengeluh tentang ibunya yang masih beragama kristian, yang tak senang dengan keintiman Tiqa dengan agama islam. Mujur bapanya, walaupun bukan islam juga saat itu, tidak setegas ibunya. Tiqa selalu mengeluh tentang ibunya dan dalam masa yang sama, memuji bapanya.

Terngiang-ngiang, keseronokan Tiqa di saat berjaya melakukan solat. Saya terbayang betapa dia gembira dan seronok saat dihadiahkan dengan kain telekung, oleh pembantu rumah bapanya yang dia anggap seolah-olah sebagai ibunya sendiri.

Allahu...

Bergenang air mata ini.

Teringat juga, bagaimana Abang Stefen, abangnya pernah memberi SMS, "Tiqa hilang dari hospital".

Terkejut. Saya tahu adik saya ini tak sihat. Tiqa selalu mengeluh, tentang dozen ubat yang perlu ditelan. Menangis dia semata-mata mahu menelan. Nak termuntah, itu katanya. Dan saya memujuk, dan dia mengiakan, "Baiklah bang. Tiqa janji Tiqa tak buang ubat-ubat lagi".

Saya juga teringat, semasa dia tengok gambar saya di Facebook, dia kata saya hensem. Saya balas, "Mana ada. Biasa-biasa je" lalu dia mengajar saya, "Jangan cakap macam tu. Cakaplah alhamdulillah".

Allahu...

Dik, abang tak mampu mengawal air mata dari keluar.

Tak terlupa juga, betapa gembiranya Tiqa disaat berita novel saya bakal terbit, diterima. Dia teruja. Sangat teruja. Satu perkara yang dia kata, "Moga Tiqa sempat baca novel abang Iqbal".

Dan saya yang tak memahami, bertanya, "Kenapa Tiqa cakap macam tu. Tiqa nak pergi mana?"

"Penyakit Tiqa ini kan umurnya tak panjang".

Allahu...

Sebenarnya banyak lagi kisah Tiqa, dalam diari kehidupan saya. Banyak yang saya kagumi daripada adik angkat saya ini.

Pertamanya, ketabahannya.

Saya tak pernah bertemu anak gadis sehijau usianya, yang begitu mencintai islam, sepertinya, dalam bangsa saya. Tak pernah! Di usia sehijau itu, anak gadis kita lebih cenderung kepada Facebook, kepada boyfriend, kepada macam-macam. Tapi tidak kepada Sandy Monica.

Dia mahu dalami islam, dalam penjara keluarga.
Dia mahu mencintai islam, dalam jalur yang terbatas.

Ketabahannya inilah yang membuatkannya mulia, di mata saya. Siapa sangka, dalam susuk tubuh kecil molek, juga dalam jasad yang sering menggigil kesakitan akibat bisa penyakit hati (kanser hati kalau saya tak silap), rupanya ada padanya, sekeping hati yang cukup teguh. Hati yang saya yakin, orang dewasa, matang, dan sihat seperti kita juga tidak memilikinya.

Allahu...

Dik, maafkan abang kerana tak benar-benar menjadi seorang abang angkat yang baik. Kita berkenalan di Facebook, dari blog. Adik sebagai pembaca. Abang, sebagai penulis. Dan adalah satu yang sungguh mengecewakan abang, sebagai penulis, kerana adik tak lagi mampu membaca tulisan-tulisan abang lagi.

-----

Seperti kebiasaan kita menerima berita kematian, kita pasti akan meminta orang mendoakan kepada si mati. Tapi saya, saya tak mahu meminta kalian doakan beliau. Cuma sebagai saudaranya, doakanlah seikhlasnya. Kerana saya yakin, adik kita yang baru memeluk agama islam ini tak perlu pun pada doa-doa kita, kerana dia sedang berada di satu taman daripada taman-taman syurga. InsyaAllah.

Dia meninggal di hari Jumaat. Sayyidul ayyam. Ada 7 hari dalam satu kitaran minggu, tapi Allah memilihnya untuk meninggal dalam hari mulia ini.

Allah juga memiliki kawalan penuh atas masa, dan Allah memilih untuk memanggilnya di saat dia sedang berjuang untuk mendalami islam!

Sedang kita yang masih hidup ini,

Apa yang kita buat untuk kita impikan satu kematian yang mulia?

Sungguh, saya bukan menangis kerana meratapi pemergiaannya. Cuma saya manusia biasa yang mempunyai satu elemen kesedihan, lalu saya menangis. Tapi yang sebenarnya, saya tangisi perjuangannya. Dia telah berjuang, dengan seluruh upayanya lalu dengan perjuangan ini, Allah menariknya untuk mendakap rahmat-Nya.

Selamat berehat, Tiqa.
Moga Allah menempatkanmu ke dalam jiwa-jiwa yang solehah, adikku.
   

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails