Aku, Mesir dan Mati.

Aku, Mesir dan Mati.
Mesir bermandikan darah. Serius.

Tadi aku tengok video perempuan berniqab kena tembak dengan sniper masa tengah merakam sesuatu. Masya-Allah. Hancur hati ini, selumat-lumatnya.

Bukan pasal dia perempuan. Aku pun bukannya kenal dia tu siapa. Tak tahu pun muka dia sebab dia pakai niqab. Tapi bila kena tembak tepat di leher (atas dada), maka kemungkinan besar dia mati di tempat kejadian.

Sekarang ni nyawa orang boleh dibuat main. Tembak sana-sini. Tembak orang yang tak bersenjata. Tembak orang yang tak mampu melawan. Tembak orang yang tidak menyerang.

Hantu syaitan pun tidak sekejam ini. Mana pernah dengar cerita syaitan bunuh orang seramai ini, sekejam ini?

Apa yang berlaku ni membuatkan aku terfikir jauh, memikirkan umur dunia.Sedar tak sedar, semakin banyak tanda-tanda besar nak kiamat. Fitnah yang makin membusuk dan kritikal.

Kat Malaysia pun sama. Hampir tiap-tiap hari cerita nyawa orang terbang dengan cara yang zalim. Kena tembaklah, kena tetaklah, kena langgarlah, kena belasahlah, dan macam-macam lagi.

Sampai aku terfikir, mungkin aku lepas ni? Iyalah. Kita tak tahu bila dan bagaimana kita akan mati. Memanglah seboleh-bolehnya kita nak mati dalam ibadah. Kalau tidak mati dalam sujud atau dalam solat, mungkin mati dalam membaca al-Quran atau berzikir. Atau tidak pun, mati dalam perjalanan nak ke masjid atau majlis ilmu.

Tapi itu sebenarnya tak penting. Yang penting ialah bagaimana hendak mati dalam husnul khatimah. Bagaimana nak mati dalam keadaan bahagia.

Mati yang bukan sedang buat dosa atau sedang hendak berbuat dosa. Hari tu, ada kes kemalangan sebuah kereta yang meragut nyawa 4 orang. Dua lelaki, dua perempuan. Couple.

Kita mengucap panjang. Bukan kita nak kata dia mati dalam keadaan tak baik. Tapi kita takut, kita mati sedang dalam keadaan tekad nak buat maksiat atau menghampiri maksiat. Mati semasa berdating, tak sama mati suami-isteri.

Ada satu lagi kes melibatkan orang muda ialah mati masa nak pergi jumpa kekasih. Nak teman awek dia pergi shopping. Sedangkan kita pun tahu bahawa yang menentukan nasib kita nanti ialah di penghujung amalan kita.

Ada kisah seorang abid dengan kaki maksiat. Ahli ibadah ni sudah bertahun-tahun beribadah tanpa meninggalkan tempat ibadahnya. Si kaki maksiat ini pula sudah bertahun-tahun buat maksiat tanpa menjejakkan kakinya sekali pun di tempat ibadah.

Lalu, lama kelamaan, si abid ni pun rasa, "Eh aku ni dah banyak sangat buat ibadah. Apa kata aku buat maksiat sekali. Saja nak cuba"

Dalam masa yang sama, si kaki ibadat ini pula terfikir, "Hmm... aku ni dari dulu lagi buat dosa. Tapi Allah tak azab pun aku. Aku nak bertaubatlah. Aku nak berhenti buat ini semua"

Lalu dijadikan cerita, si abid ini mati semasa berjalan nak pergi buat maksiat dan si kaki maksiat ini pula mati semasa sedang berjalan untuk ke tempat si abid tadi, untuk bertaubat.

Ini kisah israiliyat tapi kita boleh terima kerana pengajarannya yang baik dan tidak bercanggahan dengan hadis sahih.

Hadis sahih yang aku maksudkan itu ialah hadis pasal lelaki yang telah bunuh 99 orang dan seorang abid (100 orang semuanya). Dia bercita-cita nak bertaubat lalu dia pun berhijrahlah meninggalkan persekitarannya yang tak sihat menuju ke sebuah tempat yang penduduknya soleh-soleh.

Dalam riwayat Imam Muslim, dikisahkan bahawa tempat dia mati tu dekat dengan tempat yang dia nak tuju jadi roh dia digolongkan dalam roh-roh orang beriman.

Dalam riwayat yang lain pula, tempat dia mati sebenarnya lebih dekat dengan tempat asal dia, tetapi Allah dekatkan jaraknya ke tempat orang beriman itu lalu masa diukur-ukur jaraknya, sah dia lebih dekat ke tempat yang dia nak tuju tu dan dia pun dimasukkan dalam kalangan orang beriman.

Aku sampai sekarang asyik teringat-ingat kata seorang ustaz, "Kita ni baik kerana kita belum diuji. Bila dah diuji, silap-silap kita pun akan jadi serupa macam orang lain".

Takut. Sangat takut, kut-kut hati ini dah hilang rasa gerun pada azab Allah. Hari-hari bersolat, hari-hari baca al-Quran, hari-hari berzikir, tapi tak ada rasa geli dan takut nak buat dosa.

Lalu, masa tengah buat dosa tu, Allah cabut nyawa. Nak kata apa?

Nauzubillah.

Kita ni, sebabkan masih muda, aku baru 23 tahun, kita rasa macam lambat lagi nak mati. Cita-cita dan angan-angan kita panjang. Kita ada banyak hajat kepada dunia. Nak kerjalah, nak berumah tanggalah, nak kumpul hartalah, dan seumpamanya.

Hakikatnya, cuba kita renungi orang eksiden masa tengah keluar dating. Agak-agaknya dia tahu tak dia akan kemalangan di jalan itu, dan di masa itu?

Kalau dia tahu, komfem dia akan lalu jalan lain dan keluar pada waktu lain.

Samalah, kalau kita tahu bila masa kita mati, maka sudah tentu waktu tu kita allocate untuk beribadah. Tapi tak ada seorang pun tahu bila dia akan mati.

Nah, itu masalahnya. Sama-samalah selesaikannya.

Bagaimana?

Istiqomahlah buat baik dan buat taat. Kita berharap dengan Allah moga-moga berkat istiqomah kita buat benda baik itu, Allah tak akan hinakan kita dengan kematian dalam rangka bermaksiat.

Kita tak tahu siapa pergi dulu, siapa pergi kemudian. Yang dah pergi, sama-samalah kita doakan untuknya keampunan. Yang belum pergi, sama-samalah buat dakwah. Sekecil-kecil dakwah yang kita boleh buat ialah kita doa sungguh-sungguh supaya Allah beri hidayah dan taufiq kepada orang yang kita nak dakwah itu.
 

Kasi beres.

Kasi beres.
Tiap kali saya driving je, saya mesti akan tune kepada station radio IKIM. Rasa seronok je bila memandu sambil dengar radio IKIM. Bukan itu saja, ilmu pun dapat kerana ada banyak program bual bicara agama yang dijalankan. Ustaz-ustaz yang dijemput pun bukannya calang-calang orangnya. Okey, saya bukan nak promosikan stesyen radio ini pun. Bukannya saya digaji pun. Cuma pada saya, perkara yang baik-baik, baiklah kalau dikongsi. Mudah-mudahan selepas ini kita diberikan kekuatan untuk mengubah hiburan kita kepada hiburan yang lebih mesra kepada hati- hiburan yang mendidik hati.

Saya cuma nak kongsi apa yang saya dengar dalam radio IKIM sebagaimana yang disebut oleh Ustaz Muhammad Bin Abdullah Al-Amin. Seorang pendengar wanita menelefon ke konti, lalu bertanya Ustaz Muhammad,

"Ustaz, minta pandangan ustaz. Dulu masa saya bujang dan belum kahwin, saya ada banyak masa untuk buat ibadat. Nak solat sunat, nak baca al-Quran, tapi lepas dah kahwin, saya susah nak buat ibadat macam dulu sebab nak kena layan suami dan anak. Macam mana tu ustaz?"

Saya suka dengan jawapan Ustaz Muhammad. Jawapannya pendek, tapi buatkan saya berfikir panjang.

"Ibadah ini bukannya hanya solat dan baca Quran saja. Skop ibadah ni luas. Ada 5 bentuk ibadah di dalam islam. Pertama, ibadah sendiri. Seperti solat, baca Quran, berzikir, dan qiamullail. Keduanya, ibadah dalam bentuk kekeluargaan. Iaitu suami yang mencari nafkah yang halal untuk tanggungannya dan isteri yang berkhidmat buat suami dan anak-anaknya. Ketiga, ibadah dalam bentuk masyarakat seperti membantu jiran tetangga, berziarah, dan menganjurkan program-program kemasyarakatan dan majlis ilmu. Keempat, ibadah dalam bentuk negara, seperti polis dan askar yang berkhidmat untuk menjaga ketenteraman awam. Dan terakhir, ibadah dalam bentuk ummah. Ini skopnya yang paling besar, seperti membangunkan ekonomi, membantu saudara kita yang ditindas di Syria, Palestin, dan juga saudara islam kita yang miskin seperti di Somalia dan Kemboja".

Sebab itulah kadang-kadang kita tengok ada orang yang ibadah sendiri-sendirinya cukup baik, tapi ibadah kekeluargaannya teruk. Ada yang ibadah kemasyarakatannya pula yang baik, tapi ibadah sendirinya tak baik. Macam orang yang mengajurkan majlis agama. Dialah yang cari ustaz, berikan sumbangan, tapi dia tak datang pula.

Dan macam-macam.

Apa-apapun, kita sebenarnya perlu baik dalam kelima-lima ibadah itu. Kita tak boleh nak jadi ahli sufi sahaja, tapi kebajikan anak-isteri, terabai. Kita juga tak boleh nak jadi orang yang berjasa kepada masyarakat sahaja, tapi dengan Allah, kewajipannya tak lengkap. Begitu jugalah kalau kita nak ikut delegasi bantuan ke negara umat islam yang bergolak, sekalipun itu ibadah bentuk ummah, tetapi kita tak boleh abaikan masyarakat kita dan ahli keluarga kita. Macam mana? Iaitu dengan kita biarkan jiran-jiran kita kelaparan, tapi jiran yang jauh nun di negara orang, kita bantu pula.

Hidup ini biar seimbang. Dalam hadis pun ada disebutkan sabdaan Rasulullah bahawa sebaik-baik urusan ialah urusan yang berada di garis pertengahan. Biar hak kita kepada Allah beres, hak kepada keluarga pun beres, hak kepada masyarakat pun sama, hak kepada negara pun selesai, dan hak kepada ummah pun... kita selesai juga.

Hah. Itulah yang sepatutnya. Barulah terlaksana tuntutan abid' dan khalifah.

Setuju?
 

Sembang dengan kawan

Sembang dengan kawan
Malam semalam, saya sempat ziarah kawan yang duduk di UM. Kawan kepada kawan. Banyak hal yang kami sembangkan. Dari lepas isyak sampailah pukul 12 malam kitaorang berborak.

Antaranya, perkara yang seorang lelaki di usia 23 tahun dah mula kena fikir. Iaitu tanggungjawab.

Haish.

Patutlah ramai yang tak mahu jadi dewasa. Mahu kekal jadi kanak-kanak kerana hakikatnya, perkara ini memang menyerabutkan kepala otak. Memikirkan tentang pelajaran, pekerjaan, dan seterusnya berkeluarga. Tapi saya tak mahulah kongsikan sebab ia terlalu privasi. Borak-borak orang bujang.

Satu yang kami sembangkan ialah tentang minat. Saya setuju betul kata-kata kawan tu, "Setiap orang kalau kau perasan, ada minat mereka masing-masing".

Dia minat DOTA. Sanggup tak tidur malam semata-mata nak main DOTA. Adakah dia tergila-gilakan DOTA? Mungkin pada kita macam itulah. Pada orang yang minat, mereka tak rasa gila. Mereka rasa biasa saja.

Ada orang yang suka marathon. Macam bekas teman serumah saya. Tiap kali ada event sekitar Lembah Klang ni, dia mesti akan sertai. Kalau di rumah sewa kami pula dia selalu bersenam. Pastu kalau tengok aksesori miliknya pun banyak. Kasut sukannya juga ada macam-macam jenis dan beberapa pasang.

Saya rasa dia gila (obses) dengan marathon, tapi tidak bagi dia. Sebab itu minatnya.

Ada juga kawan-kawan yang suka memancing. Pada saya, mereka ni pun gila sebab sanggup ambil cuti semata-mata nak mencari lubuk ikan. Tunggu berjam-jam untuk ikan makan umpan mereka sampaikan kadang-kadang seharian pun ikan tak menyambar. Lepas tu habis duit pula untuk joran, tali, mata kail atau umpan.

Ada juga yang jenis suka tengok wayang. Ada filem baru saja mesti dia mahu ke panggung. Itu pun saya rasa gila.

Ada juga spesis hantu novel. Rumah penuh dengan novel sampaikan kalau rumah terbakar,  antara kain baju dengan novel, novel yang diselamatkan dulu. Sebab apa? Sebab minat.

Lalu kami sama-sama simpulkan bahawa,

Tak kisahlah apa minat kita sekalipun, apa kecenderungan kita sekalipun, apa hobi dan keinginan kita sekalipun, tolong pastikan apa-apa yang kita suka, cinta, dan minat itu tidak terlibat dengan perkara dosa.

Sebagai contoh mudah. Orang muda-muda yang "bercouple". Kerjanya asyik nak berdating sahaja. Berjanji temu ke hulu dan ke hilir. Bukannya mereka tak tahu itu dosa. Tapi bila hati sudah suka dengan dosa, maka dosa pun rasa manis dan seronok.

Maka sebenarnya penting bagi kita untuk memulakan tradisi yang baik dan sihat dalam diri kita. Contohnya, jika kita tahu diri kita ini cenderung kepada perempuan maka kita kenalah ambil langkah proaktif supaya kecenderungan itu kita dapat kawal. Contohnya dengan kita memulakan tradisi bersukan, main futsal atau badminton... atau mungkin dengan kita memulakan tradisi atau budaya membaca.

Atau paling tak tahu nak buat apa pun, tidur.

Kerana sesungguhnya tidur itu jauh lebih baik daripada buat dosa.

Apapun, kita wajib berhati-hati dengan minat kita itu. Sekalipun apa yang kita suka itu ialah perkara yang harus dan tidak haram (contohnya suka permainan video) tapi sekiranya kita berlebih-lebihan hingga mengabaikan kewajipan, maka itu juga ialah dosa dan kecurangan atas amanah yang diberikan kepada kita.

Lagi-lagi kalau kita seorang pelajar. Bukan kata kita perlu menghadap buku 24 jam. Robot pun akan rosak kalau seharian bekerja tanpa rehat. Manusia lagilah. Cuma kalau kita tak tunaikan amanah kita sebagai pelajar dengan belajar bersungguh-sungguh, maka apa jawapan kita terhadap amanah yang kita pikul daripada penaja (biasiswa) dan juga ibubapa kita?

Dalam khutbah terakhir Rasulullah masa ibadah haji 'selamat tinggal', Baginda berpesan,

"Berjaga-jagalah kalian dalam urusan yang harus pada kalian kerana syaitan sudah berputus asa untuk menyesatkan kalian dalam perkara besar jadi mereka berusaha untuk menyesatkan kalian dalam perkara yang kecil pula".

Jadi berhati-hatilah. Nak seronok, boleh. Nak gembira pun boleh. Tapi dalam seronok, dalam gembira, dosa-pahal tetap akan dikira. Banyak dosa, neraka. Banyak pahala, insyaAllah syurga.