June 27, 2013

Allah Sebagaimana Yang Saya Kenal.

Bila kita ajukan soalan, Apakah masalah yang menimpa umat islam zaman ini, maka kita boleh mendapat markah penuh kerana banyaknya jawapan yang kita boleh senaraikan.

Antara yang kita boleh katakan ialah kita mengalami masalah akidah. Pada saya, inilah masalah terbesar yang perlu diatasi dari akar umbi. Adapun masalah ibadah, akhlak, sosial, penghayatan, pergeseran antara jemaah islam, pengurusan yang lesu, dan sebagainya ialah masalah-masalah yang lebih bersifat cabang dan ranting.

Sebenarnya bila bercakap tentang akidah, saya sendiri masih ragu-ragu dengan pengangan akidah saya. Adakah ia sudah cukup mantap sebagaimana dalam Surah Ibrahim, diibaratkan sepertimana pokok yang baik yang akarnya mantap dan menancap jauh ke dasar tanah.

Adakah saya sudah begitu iman saya?

Jelas sekali belum. Nak memiliki iman yang sempurna, prosesnya tak berjalan sehari atau cukup dengan siri kuliah dan ceramah. Ini proses dakwah dan tarbiyyah yang panjang. Bukan kerana birokrasi yang renyah, tapi kerana fitrah membina iman, ia memang memakan masa.

Bila bercakap tentang Iman, perkara yang paling dasar ialah keyakinan kita kepada Tuhan. Persoalan siapa Tuhan kita, Siapa diri kita, dan apa hubungan kita dengan Tuhan, ialah soalan-soalan yang perlu kita jawab dengan mantap.

Siapa Tuhan Kita?

Allah wahyukan di dalam bacaan 'basmallah' dan pada mula surah al-Fatihah, Allah ialah Rabb al A'lamin. Allah ialah Tuhan kepada seluruh alam ini.

Kalau kita search perbahasan ulama tentang kalimah basmallah itu pun kita akan dapati betapa sangat panjang penerangan dan perbahasan pada kalimah 'Rabb' itu sendiri.

Allah ialah Tuhan seluruh alam. Bukan Tuhan kepada orang islam sahaja sebaliknya kepada seluruh alam termasuklah orang kafir, tumbuh-tumbuhan, haiwan, udara, langit, bintang-bintang, cakerawala, dan termasuklah juga jin dan syaitan.

Maka, difahami bahawa Allah ialah malikil mulk. Raja bagi seluruh penguasa. Sebagai Raja, maka sudah tentulah segala titah perintahnya wajib dipenuhi. Sebab itulah angin pun ikut cakap Allah. Hujan pun ikut cakap Allah. Bumi yang berputar atas paksi ikut cakap Allah. Binatang-binatang yang hidup melata ikut cakap Allah, bahkan syaitan iblis pun ikut cakap Allah (kecuali sekali sahaja iaitu semasa perintah sujud hormat kepada Adam A.S)

Kalau kita baca lagi al-Quran, kita akan jumpa sifat-sifat Allah yang dinyatakan sendiri oleh-Nya. Berkenaan dengan sifat-sifat Allah, kita perlu ingat bahawa kita wajib mengenal Allah kerana itulah permulaan kepada penyembahan kita.

Realitinya bagaimana seseorang mampu sampai kearah yang dia mahu tuju, jika dia tidak pun tahu, apa yang dia mahu tuju!

Begitulah dengan kehidupan beragama kita. Kita perlu kenal Allah. Nak kenal dengan apa? Ya, berbagai. Ada yang kenal dengan mempelajari sifat-sifatNya. Ada yang kenal dengan mempelajari asmaul husna, dan ada juga yang mengenal Allah melalui penelitian kepada nas-nas Quran dan Hadis.

Ada orang marah kita ajar dan belajar silibus sifat 20. Kata mereka, ini ialah bid'ah. Nabi tak pernah buat.

Masya-Allah! Jahat sekali tuduhan ini jika diluahkan atas tujuan mahu mengangkat diri. Memang tak wajib belajar sifat 20, tapi yang wajib ialah kenal Allah. Silibus sifat 20 cuma wasilah atas salah satu cara yang memudahkan masyarakat. Ia bukan direka-reka tapi ia diambil daripada al-Quran dan sokongan al-Quran.

Jadi tak perlulah kita nak membid'ahkan orang... apatah lagi mahu mengkafirkan orang sesuka hati sebab kita takut, kita ingat kita kenal Allah, tapi sebenarnya kita tidak.

Kerana itu saya pilih tajuk "Allah sebagaimana yang saya kenal" kerana saya bukan pelajar khusus bidang usul dan saya juga perlahan-lahan sedang belajar. Cuma ini sedikit perkongsian dengan harapan, jika ada yang saya salah boleh dibetulkan dan apa yang saya betul boleh dipanjangkan.

Allah, pada saya ialah pemilik. Allah memiliki segalanya. Sedangkan manusia, tidak memilki langsung. Apa yang ada pada kita hari ini contohnya harta, anak pinak, tanah ladang, kesihatan, pancaindera, dan banyak lagi, semua itu ialah benda yang Allah beri pinjaman kepada kita.

Sebab itulah Allah boleh tarik balik pemberiannya bila-bila masa sahaja yang dia suka. Kerana itulah bila berlaku musibah, kita diajar ucap Innalillahi wa inna ilaihi raajiun, iaitu supaya kita boleh tenangkan diri kita dan ingatkan diri kita, bahawa kita ini tidak memiliki apa-apa pun. Kita cuma meminjam. Adat meminjam, bila pemiliknya mahu ambil semula, maka kita kenalah pasrah dan redha!

Adapun orang yang akidahnya tak betul, dia tak redha denga takdir, akan menyalahkan takdir, dan bersangka buruk dengan Allah!

Allah yang saya kenal, ialah Tuhan yang Pemurah dan Penyayang.

Bentuk kemurahan itu ialah dengan menghitung segala nikmat yang Allah beri. Cubalah, nescaya tak terhitung. Bahkan, jika mahu membanding, apa yang Allah beri adalah jauh lebih banyak daripada apa yang Allah belum beri. Cubalah bandingkan diri kita dengan orang lain.

Berapa ramai orang yang cacat; bisu, buta, kudung, padahal kita sempurna. Berapa ramai pula yang tiada ibu ayah padahal kita membesar cukup dengan kasih sayang daripada keduanya. Berapa ramai yang hanya makan sekali sehari sedangkan kita membuang-buang sisa makanan. Kita tak rasa betapa pemurahnya Allah sampaikan kita hilang rasa terhutang budi dengan-Nya.

Allah yang saya kenal, Maha melihat, mendengar, dan mengetahui.

Sebab itulah kita perlu rasa gerun. Allah Maha Melihat. Dia nampak setiap perbuatan kita baik yang dilakukan oleh kita secara terangan mahupun sembunyi. Tak ada satu saat pun Allah lalai dan tak ada satu saat pun perbuatan kita terlepas daripada pengetahuan-Nya. Sebab itu kita perlu rasa diperhatikan (muroqobah). Patut rasa malu, takut, dan risau jika Allah marah.

Selain itu, kita juga perlu banyakkan mengadu dan merayu kepadanya kerana Dia maha mendengar. Nak minta, mintalah dengan Allah. Nak menangis, meraung, dan meluahkan rasa, luahkan kepada Allah.

Allah Maha Melihat, sebab itu kita kena cantik di depanNya. Ada orang yang cantik depan manusia tapi hodoh di sisi Allah. Kenapa? Kerana Allah bukan memandang kepada fizikal kita, tapi Allah memandang hati dan amal perbuatan kita. Jadi, jangan rasa rendah diri dengan manusia. Manusia tak ada syurga-neraka. Allah, ada.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha adil.

Sebab itulah perkara yang sekecil-kecilnya pun akan dihisab dan timbang, baik amal soleh mahupun amal buruk. Jadi sebagai hamba, kita dilarang daripada memandang kebaikan itu suatu yang kecil. Benda yang kecil seperti senyum ataupun mengutip sampah atau membuang mudharat dari jalan, mungkin itulah amalan yang boleh membuatkan manusia masuk ke dalam syurga.

Begitu juga dengan perbuatan jahat seperti buang sampah merata-rata, balik kerja awal, memandu kereta secara ganas sampai menyusahkan orang, semua itu mungkin juga boleh menjadi sebab Allah murka denganNya.

Maka, kita perlu sentiasa termotivasi untuk melaksanakan pahala dan menjauhi dosa.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha mulia.

Kemuliaan itu hak Allah. Sedangkan manusia, kita ini diberi kemuliaan. Kemuliaan yang paling asas ialah kemuliaan kerana dapat menjadi manusia. Kemudian, kemuliaan menjadi orang islam. Hinggakan al-Quran sebutkan bahawa yang paling mulia antara kita ialah yang paling tinggi taqwanya.

Sedangkan Allah, kemuliaan-Nya tak tergugat. Kalaulah kita dan seluruh penduduk bumi murtad, kemuliaan Allah takkan terjejas jatuh. Dan jika kita dan seluruh penduduk bumi beriman sekalipun, kemuliaan Allah tak akan meningkat.

Cuma yang menjadi persoalan ialah nasib kita. Kalaulah kita memilih untuk jadi umat islam yang pasif, yang merasa cukup tak perlu belajar agama, tak perlu dakwah, tak perlu ikut tarbiyah, dan lain-lain, maka kitalah yang rugi. Allah tak rugi apa-apa.

Agama Allah tetap yang paling tinggi. Islam pun tetap akan menang. Cuma rugilah jika kita tak jadi salah satu kerikil dalam pembinaan bangunan yang besar ini.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha pedih azabnya.

Sebab itulah kita kena takut. Takut nak buat dosa. Takut nak meremeh-remehkan kebaikan. Takut untuk meninggalkan ketaatan. Takut kalau dimasukkan ke dalam neraka, kerana nereka Allah itu pedih. Siksaannya keras hinggakan siksaan yang paling ringan pun sampai mendidih otak. Itu pun bukan untuk kita. Nauzubillah.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha pengampun dan menerima taubat.

Sebab itu saya tak pernah berputus asa dengan hidup. Melakukan kesilapan, pada saya ialah perkara biasa. Cuma ia jangan diperbiasakan. Agama sentiasa menawarkan harapan. Yang berputus asa cuma orang yang kafir sahaja.

Maka, wajib kita untuk sentiasa memperbaiki diri kita. Allah memberi harapan, maka kita jangan putus harapan. Allah bukan mahu melihat kita ni berjaya atau tidak membebaskan diri kita daripada rantai-rantai maksiat, tapi Allah cuma menilai usaha kita. Bila kita bersungguh-sungguh mahu dekatkan diri dengan Allah, maka Allah lebih-lebih lagi mahu bersungguh.

Umpama kita ini berjalan kearahnya, dan Allah berlari kepada kita!

Selain itu, kita juga perlu selalu dan mudah memberi maaf. Jangan berdendam dan selalulah berlapang dada. Mengapa? Kerana kita dengan dengan Allah pun kita mahu Allah ampunkan! Orang yang tak mencintai, tak akan dicintai. Begitulah orang yang susah memberi maaf, ah, maka susah jugalah dia akan diberikan maaf.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha Bijaksana.

Kita perlu yakin dengan takdir. Ada benda yang kita fikirkan baik kepada kita, tapi rupanya ia buruk kepada kita. Ada juga hal yang kita rasakan buruk kepada kita tapi sebenarnya ia baik buat kita. Sebab itulah kita dianjurkan untuk selalu melakukan istikharah. Bukan dalam hal jodoh, tapi dalam segala hal dan urusan.

Kita juga perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah. Dalam setiap musibah, pasti ada hikmahnya. Bahkan yang sebenarnya bukan hanya dalam musibah, tapi dalam nikmat juga ada hikmahnya. Oleh itu wajib untuk kita bersyukur ketika dalam nikmat dan bersabar bila dalam ujian.

Nikmat bukan petanda rahmat dan musibah juga bukan pentanda bala. Penting untuk kita bersangka baik dengan Allah. Allah ialah penulis skrip kehidupan. Kita cuma pelakonnya. Cuma kita perlu ingat bahawa takdir, qada' dan qadar kita, semuanya sudahpun ditentukan sejak 40 hari kita di dalam kandungan.

Namun begitu, takdir juga boleh diubah, iaitu melalui beberapa amalan seperti bersilatur rahim, bersedekah dan berdoa. Selain itu, kita juga wajib beriman dengan konsep usaha. Allah memberikan sesuatu sesuai dengan usaha hamba-Nya. Kita wajib berusaha bersungguh-sungguh, kerana kesungguhan kita juga ialah pahala.

Allah memberi mudharat dan manfaat.

Makhluk tak boleh beri manfaat. Makhluk juga tak boleh beri mudharat. Makhluk tak ada kuasa. Yang ada kuasa cumalah Allah sahaja. Makhluk cuma perantara. Allah jadikan perantara-perantara ini untuk memudahkan kita. Contohnya, makanan. Bukan makanan yang beri kita kenyang, tetapi Allah. Makanan ialah makhluk. Makhluk tidak berkuasa.

Begitulah kita dalam urusan harian kita. Tidak ada kebaikan walaupun satu yang berlaku melainkan semuanya dengan izin Allah. Dan tak akan ada mudharat walaupun satu, berlaku melainkan dengan izin Allah juga.

Contoh paling mudah, kematian. Siapa suka mati? Siapa yang cari mati? Rata-rata kita membenci kematian. Kalau boleh tunda, kita akan tunda. Tapi apabila malaikat maut datang menjemput, adakah kita boleh menahan? Adakah kalau kita membayar dan mengupah seratus atau seribu orang doktor pakar, kita boleh hidup selamanya?

Maka jangan kita meminta selain daripada Allah dan dalam masa yang sama, jangan kita takut dengan makhluk Allah, terutamanya dalam bab bercakap yang benar. Jangan takut soal rezeki. Rezeki ialah kurnia Allah. Allah yang beri rezeki bukannya makhluk. Makhluk pun menagih daripada Allah, maka mana mungkin mereka boleh mendabik dan sombong?

Apapun, sebenarnya banyak lagi yang saya boleh tulis. Pun begitu, saya merasakan cukup dengan begini sahaja. Nanti mungkin kita akan bercakap tentang ibadah pula. Wallahua'lam.
   

June 22, 2013

Fokus!

Setiap orang mahu berjaya dalam setiap lapangan kejayaan. Tapi tidak semuanya berjaya. Setiap hari, ada sahaja yang gagal. Bahkan ramai yang berputus asa lalu menganggapi kejayaan cuma adalah sebuah mimpi yang hanya muncul ketika tidur.

Sebenarnya tanggapan begitu adalah salah. Kita diciptakan oleh Allah untuk berjaya. Cuma  kejayaan yang Allah maksudkan ialah 'masuk ke dalam syurga'.

Adapun manusia, mereka mempunyai berbagai-bagai tanggapan dan persepsi tentang kejayaan. Ada yang mengatakan kejayaan itu ialah bila mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Ada yang kata, dapat pekerjaan yang baik. Ada yang kata dapat jawatan yang tertinggi. Dan ada pula yang berkata, dapat memiliki harta yang banyak.

Adapun kejayaan-kejayaan yang manusia harapkan itu bukanlah suatu yang terlarang. Ia masih ada dalam fitrah kejadian kita. Allah S.W.T sendiri yang menciptakan fitrah-fitrah sebegitu untuk wujud dalam diri kita. Tujuannya jelas, iaitu supaya manusia menjadi khalifah atas muka bumi ini.

Jika tidak, maka matilah dunia ini. Tiada orang akan mahu berusaha. Tiada orang akan mahu membuat inovasi. Tiada orang yang mahu membuat modifikasi, dan seumpamanya.

Bila kita bercakap tentang kejayaan di dunia, kita tak lepas daripada bercakap tentang sikap. Sebenarnya, sikap kita inilah yang menentukan kejayaan kita. Kejayaan sinonim dengan usaha. Kejayaan bukan warisan.

Seorang anak jutawan tidak boleh dianggap berjaya jika dia hanya goyang kaki dan makan hasil titik peluh bapanya.

Begitu juga seorang anak raja yang tidak mungkin akan dianggap berjaya jika dia hanya mewarisi takhta, bukannya meluaskan empayarnya.

Hendak berjaya, al-Quran telah menyatakan secara jelas, bahawa setiap manusia perlu fokus. Melalui ayat daripada surah Ali-Imran, Allah menyatakan bahawa kejayaan (kekuasaan) itu datangnya daripada Allah. Dia boleh memberinya kepada sesiapa yang Dia mahu dan Dia juga boleh mencabutkan daripada sesiapa yang Dia mahu.

Saya pernah mengikuti kursus motivasi masa sekolah menengah dahulu. Penceramahnya dengan konsisten berkata; Untuk berjaya, kita perlu mengubah sikap kita.

Dan saya yakin dan pasti, hampir semua kursus motivasi yang ratusan ringgit sampailan ribuan ringgit pun yurannya, pasti akan menyeru perkara yang sama iaitu transformasi sikap.

Inilah yang saya katakan tadi, iaitu fokus.

Orang yang berjaya ialah orang yang fokus dengan apa yang dia mahu. Dia tahu apa yang dia mahu. Dia tahu apa yang dia perlu buat untuk mencapat apa yang dia mahu. Dia juga tahu apa halangan-halangan yang akan menghalangnya daripada mencapai apa yang dia mahu.

Kita ambil contoh perompak yang mahu merompak bank.

Dia tahu dia nak rompak bank mana yang dia mahu rompak. Dia juga tahu peralatan apa yang dia perlukan. Dan dia juga akan menyiapkan diri dengan segala bentuk perkara supaya dia tidak tertangkap.

Begitulah orang yang nak berjaya dalam dunianya.

Dia perlu tahu apa yang dia mahu. Macam saya, saya mahu cepat-cepat menjadi jurutera kejuruteraan pesawat. Saya letakkan target masa saya, dan saya perhatikan dan teliti dengannya. Saya juga menyiapkan segala sumber yang saya perlukan seperti bahan rujukan dan segala istrumen yang membantu pemahaman.

Dan seterusnya.

Tapi apa yang berlaku, akan datang hasutan-hasutan dan halangan-halangan yang mana jika kita tidak menolak mereka, maka merekalah yang akan menolak kita jatuh daripada landasan ini.

Antaranya kemalasan, kesibukan, sakit, kekurangan wang, kehilangan barangan, dan seumpamanya. Inilah yang perlu kita fikirkan; bagaimana mahu mengelak perkara ini daripada berlaku.

Nak masuk syurga pun begitu. Kita perlu fokus. Perlu 'nampak' syurga dari dalam minda sedar kita.

Maka, bila kita sudah tahu kita mahukan syurga maka kita akan buat perkara-perkara yang bersesuaian dan dirasakan perlu untuk mencapai syurga.

Juga apabila datang hasutan dan perkara yang boleh menyebabkan kita lari daripada matlamat syurga, maka kita akan cepat-cepat menolaknya dan tidak akan membiarkan hasutan itu menguasai kita.

Jika mungkin sesekali kita terkeluar daripada trek, tetapi kerana kita fokus dan tahu ke mana kita mahu tuju, maka kita akan cepat-cepat masuk semula ke dalam trek itu tadi dan takkan membiarkan kaki kita berlari melalui jalan yang salah, seterusnya menuju ke desinasi dan penamat yang salah.

Jadi, jika ditanya saya bagaimana mahu fokus pula, maka jawab saya, mintalah kepada Allah. Kerana fokus ialah tugas hati dan hati manusia pula berbolak balik.

Dan Allah, Dialah yang memegang hati.

June 13, 2013

Perisai daripada musuh

Musuh kita sejak zaman berzaman ialah syaitan. Semenjak penciptaan Nabi Adam A.S, syaitan telah memainkan peranan yang besar dalam meniupkan tipu daya dan permusuhan.

Bermula dengan kisah penghalauan daripada syurga sampailah kepada pembunuhan yang pertama, gerombolan syaitan ini berhari-hari mendapat kejayaan yang baharu.

Ada-ada sahaja anak adam yang disesatkan, ditipu, dan diperdaya.

Demi Allah, memang bisikan, pujukan, dan tipu daya syaitan ini kuat. Asal ada ruang sahaja walaupun kecil, pasti dia akan datang berbisik ke telinga dan hati kita. Syaitan sungguh takpernah putus asa untuk menjerumuskan kita dalam kesesatan.

Jika rancangan A gagal, syaitan mempunyai berbelas-belas lagi langkah dan trik yang mahu dilakukan kepada kita.

Cuma bila kita baca al-Quran, kita dapati bahawa sebenarnya tipu daya syaitan itu amat lemah sebenarnya. Ada dalam surah An-Nisa'.

Dan dalam ayat yang lain, Allah kata syaitan takkan mungkin dapat menyesatkan orang yang mukhlisin (ikhlas semata-mata Allah).

Maka jelaslah bahawa keikhlasan kita dalam apa-apa sahaja perbuatan, akan menutup ruang bagi bisikan-bisikan syaitan. Dan keikhlasan terbesar kita ialah keikhlasan kita untuk menjadi seorang muslim.

Merasa bertuahnya dipilih untuk beriman, akan menyebabkan kita merasa rendah diri. Tindak-tanduk kita akan disertakan dengan syukur dan rasa terhutang budi. Rasa berterima kasih kepada Allah kerana memberi kita kekuatan untuk membuat amal. Rasa terhutang budi kerana dipinjamkan kekuatan bagi menjauhi maksiat dan larangan.

Seterusnya, berharap dan meminta hanya kepada Allah. Terkesan dan memikirkan dengan serius pandangan Allah kepadanya, bukan pandangan dan tindakan makhluk kepadanya.

Sumpah, syaitan tak penat nak ganggu kita. Maka kita mestilah tak berehat untuk menewaskannya!

Dalam hadis kata, serigala cuma akan membaham kambing yang berseorangan, dan begitu jugalah syaitan yang akan membaham manusia yang tidak mahu berada dalam jemaah yang berjalan kearah taqwa.

Marilah perhatikan diri kita.

Sudah kuatkah perisai yang kita persiapkan bagi menepis pedang-pedang syaitan?

June 10, 2013

We think too much

We just think too much. Beyond our power, sometimes.

Nak fikir pasal makan, pasal kerja, pasal sewa rumah, pasal kereta, pasal kahwin, pasal anak bini, pasal belajar, pasal... macam-macam. Dan kadang-kadang, kerana terlalu memikirkan, kita jadi super-serabut. Rasa macam nak kembali jadi budak kecil.

Atau rasa nak jadi macam kucing, atau macam ayam, macam kambing, macam lembu, atau juga macam pokok.

Tapi kalau kita di Syria, di Gaza, di Palestin, di Rohingya, di Somalia, di mana-mana tempat yang sedang bergolak, kita dah takkan serabut, tertekan dan stress macam ni dah.

Kita cuma akan fikir, esok aku boleh hidup lagi tak? Boleh makan lagi tak? Boleh senyum lagi tak? Boleh bersama dengan orang yang aku sayang lagi tak?

Dan, boleh tak aku berjumpa dengan sahabat-sahabat aku yang lain, yang sudah bergelar syuhada'?

Boleh tak esok aku nak mencium bau syurga? Boleh tak esok aku nak direhatkan daripada keganasan dan penderitaan ini?

Itulah bezanya kita di Malaysia dengan mereka di sana. Kita sibuk bersiap untuk hidup, mereka sibuk bersiap untuk mati.

Kadang-kadang saya cemburu dengan mereka sebab saya tak semudah itu akan aman daripada kekusutan dunia.

 

June 8, 2013

"Doakan ana dapat iman yang qowiy"


Saya risau dengan kondisi iman saya. Turun, dan menurun. Lemah, dan rasanya makin lemah. Iman umat akhir zaman kata Nabi, pagi-pagi ada petang-petang menghilang. Dalam kalimah yang lain pula, Baginda menyatakan bahawa iman umat ini nipis, senipis kulit bawang.

Saya risau, kerana saya tahu saya juga sedang dikupas-kupas oleh ujian demi ujian, per hari. Susah betul nak lari daripada dihantui dosa.

Maka benarlah kata orang, nak berubah itu tak susah. Tapi nak kekal dalam perubahan itu susah.

Kerana agama menawarkan harapan. Bila kita dalam masalah, memang fitrah kita akan mencari Tuhan. Bila kita sakit, bibir kita akan mekar menyebut asma’ Allah. Bila kita sedih, jiwa kita dengan sendirinya terpujuk dengan sifat rahman dan rahim Allah. Bila kita dalam kekangan, dalam tekanan, dalam dilema, dan apa-apa juga kesusahan, memang jiwa kita menjerit-jerit meminta;

“Ya Allah, bantulah aku”

“Ya Allah, tolong aku”

“Kalau bukan kepada-Mu, maka siapa lagi yang boleh membantu aku?”

Tapi hakikat perjalanan mahu menjadi baik, kita bukan hanya perlu berubah tapi kita juga perlu berhijrah. Inilah yang dimaksudkan dalam hadis baginda, bahawa delegasi hijrah dari Mekah ke Madinah sudah berlaku dan takkan berlaku lagi, tapi delegasi hijrah jiwa, ia akan berterusan sampailah ke hari kiamat.

Hijrah yang dituntut kepada kita ialah penghijrahan jiwa. Daripada yang buruk kepada yang baik. Yang ragu-ragu kepada yang yakin. Yang main-main kepada yang serius. Tapi semua ini easier said than done.

Kita ini banyak sekali dipengaruhi oleh persekitaran. Ulama buat tamsilan (perbandingan), hati kita ini macam buah mangga. Walaupun rasanya masam, tapi jika lama direndam dalam air garam, rasanya akan bertukar masin macam jeruk mangga.

Itulah kita. Jika suasana keliling kita suasana yang sihat, yang membantu iman kita untuk kukuh, maka memang iman kita akan sentiasa terjaga. Tapi jika sebaliknya, maka iman kita akan lemah dan akhirnya mungkin tertanggal.

Suasana yang dimaksudkan pula bersifat reletif. Kita perlu menilai banyak perkara. Antaranya bila kita di rumah, kita di tempat kerja, kita di dalam perjalanan ke tempat kerja, dan seumpamanya.

Juga kita perlu nilai muamalat harian kita. Bagaimana interaksi kita sesama manusia. Bagaimana corak pergaulan kita dengan opposite gender kita. Bagaimana pula dengan ikhtilat kita. Ada tak kita ikut disiplin-disiplin yang Islam telah tetapkan?

Sebab itulah antara benda yang pertama Rasulullah buat selepas Baginda diangkat menjadi ketua Madinah, Baginda memperkasakan sistem masjid. Baginda ajak bahkan memerintahkan para sahabat untuk memahat hati mereka kepada masjid.

Bahkan dalam hadis, Baginda menyatakan bahawa tempat yang paling disukai oleh Allah ialah masjid dan tempat yang paling dibenci pula ialah pasar. Mengapa pasar? Adakah kalimah ‘pasar’ itu hanya kerana aktiviti beli-belah? Atau adakah ‘pasar’ kerana sifatnya?

Maka ulama bahas dan mereka menyimpulkan, bahawa pasar ini menjadi tempat yang dibenci ialah bukan kerana urusan jual-beli. Tidak. Jual beli hukumnya tetap harus. Cuma yang dibenci ialah cara para kapitalis itu membuat urusan jual beli. Mereka menipu, tidak jujur, dan paling utama, pasar-pasar ialah tempat manusia sibuk mencari habuan dunia hinggakan ramai yang lupakan akhirat.

Hari ini, kita telah membawa suasana pasar ke dalam kehidupan kita. Kita tak jujur dalam tindakan. Kita menipu. Kita buang rasa malu dan kehormatan serta kemuliaan kita sebagai muslim, dan muslimah. Dan paling teruk, kita lupa kepada Allah. Ingat Allah cuma bila solat. Itupun masa solat tu pun kita masih berfikir yang bukan-bukan!

Sejujurnya, saya sendiri risau dengan keadaan diri saya. Kita sebenarnya boleh nak menilai kondisi iman kita. Iman ialah tunjang kepada amal. Jika iman kita kuat maka kita mesti akan gigih beramal. Jika iman kita menurun, maka itulah yang terjadi kepada saya... sehinggakan amalan yang kita pernah istiqomah selama ini, entah mengapa, tidak lagi mampu istiqomah.

Sumpah saya malu, bila seorang ikhwah yang dihormati, yang soleh, yang alim, menghantar satu mesej di Facebook, “Akhi karim, tolong doakan ana supaya diberikan iman yang qowiy macam antum”

Yes. I wish I have one. A big heart, full with iman.

Allah, risaunya kalau saya mati tanpa iman.
  

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails