July 28, 2013

Tajdid VS. Takfir

Umat islam di nusantara perlukan pencerah, bukannya pengkafir. Tajdid, bukannya takfir.

Kita dapati suasana beragama dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia ini sangatlah tidak harmoni. Ada yang taat, macam malaikat. Ada yang jahat, macam jin pula. Cuma yang menariknya, sejahat-jahat manusia pun, bila sampai solat sunat aidil fitri, dia akan datang punya.

Yang jahat selamanya tak akan jahat. Kita dapati trend masyarakat, bila sudah mencapai usia pencen, dia akan mula mahu dekati institusi masjid. Mula akan rajin solat, mula bersedekah walaupun sedikit, dan seumpamanya.

Tak tahulah kenapa, tapi seakan-akan jerat syaitan, "Nanti kau dah tua barulah kau beramal ibadah. Ni waktu muda ni enjoy lah dulu", benar-benar berkesan.

Ramai yang terjerat. Dan ramai yang terperangkap dan mati di dalam jerat.

Itu golongan hitam. Golongan putih lain pula masalahnya. Memanglah sejak muda tak banyak buat dosa besar, tapi banyak pula terjebak dengan bid'ah.

Tetapi nak menangani masalah bid'ah dalam masyarakat, kita perlu menjelaskan dan bukannya mengkafirkan mereka. Bukan juga memaki hamun, dan bukan juga melabel yang bukan-bukan.

Bila berlaku pertembungan antara idea baru dengan lama, maka senjata yang paling utuh untuk menyalahkan satu pihak ialah dengan menggelarkannya sebagai wahabi. Tidak. Bukan semua orang yang kata, "Itu salah" ialah Wahabi.

Pada saya, wahabi itu bukanlah orang yang selepas salam kedua (habis solat), dia tak meraup muka. Nak tergelak baca satu keratan akhbar Metro, luahan seorang gadis yang risau nak berkahwin sebab tunangnya disangka wahabi (sebab tak raup muka lepas solat).

Hoi. Tak raup muka tak jadi wahabi, sebab memang ada ulama kata ini sunnah dan ada ulama kata tidak sunnah. Sebenarnya selepas salam pertama, dah selesailah solat kita. Jadi nak raup muka ke, nak raup kaki ke, atau punggung ke, ikut sukalah.

Yang jadi wahabinya ialah bila dia nampak orang raup muka, dia melenting, "Ini bid'ah!".

Kita juga tak jadi wahabi kalau kita buang bacaan 'sayyidina' di dalam selawat kerana ulama masih membenarkan penambahan perkataan 'sayyidina' kerana ia ucapan yang baik dan sanjungan.

Tapi kita akan jadi wahabi bila kita merah biji mata, timbul urat di leher, "Ini bid'ah! Nabi tak ajar!"

Kita juga tak akan jadi wahabi kalau kita suka pakai kain rida' (selempang) pada bahu kita kerana ada riwayat menyatakan Rasulullah juga selalu ada kain selempang dan sebahagian berpendapat, itu sunnah Saidina Umar. Saya pun jarang-jarang pakai cuma kalau sejuk (subuh), saya pakailah sangkut kat belakang.

Yang jadi wahabinya ialah bila kita mempersendakan orang kata orang berfesyen!

Kita tak jadi wahabi kalau tak minat dengan qasidah. Kita minat Najwa Latif, oh silakan. Tapi yang jadikan kita wahabi ialah kita menyamakan majlis pujian kepada Rasulullah itu seakan-akan sama dengan konsert artis dan hiburan yang biasa kita dengar.

Kita tak akan jadi wahabi kalau kita tak mahu solat tarawih 20 rakaat. Kita nak buat 8 saja, lepas tu nak balik rumah tengok Master Chef (lepas tu berharap nak masuk syurga). Tapi yang jadikan kita wahabi ialah bilamana kita iktikad bahawa sunnah Rasulullah ialah 8 rakaat padahal disebutkan dalam banyak riwayat, Rasulullah solat tarawih sampai ke waktu sahur walaupun hanya 8 rakaat. Qiam baginda membaca surah al-Baqarah, Ali-Imran, An-Nisa dan al-Maidah. Kemudian rukuk Baginda sama lama dengan berdiri qiam Baginda. Sujud Baginda pula sama lama dengan rukuk dan qiam tadi.

Hinggakan Huzaifah r.a yang mahu ikut solat bersama Nabi, tidak tahan lamanya solat nabi. Begitu juga dengan kata Aisyah, nabi solat sampai bengkak kaki sebab lama.

Jadi yang soheh ialah 8 rakaat sampai hampir kepada sahur, bukan 8 rakaat pukul 9.30 malam (tapi claim diri kita ikut sunah Nabi).

Kita juga tak jadi wahabi kalau bab kematian, kita tak bacakan (sedekahkan) bacaan al-Fatihah kerana Imam Syafie' rahmatullahialaih sendiri berpendapat tak sampai bacaan al-Quran kepada orang mati. Walau bagaimanapun jumhur ulama menyatakan sampai.

Yang jadi wahabinya ialah bila mana dia menyalahkan perbuatan orang lain yang membacakan al-Quran dengan kata-kata sinis dan sindiran-sindiran yang kurang ajar seperti, "Orang mati pun kita boleh SMS dan pos pahala", atau kata-kata, "Lepas ni kita buat je dosa banyak-banyak. Nak mati nanti kita tinggalkan harta banyak sikit, kita upah orang bacakan al-Quran kepada kita",

Dan yang paling kurang ajar,

"Kita jimak isteri kita, kita niatkan pahala jimak tu kepada orang mati. Kan kita boleh main pos-poskan pahala?"

Kita juga tak jadi wahabi kalau tak mahu dibacakan talkin kerana talkin kepada orang mati ialah semasa nafasnya yang terakhir. Dah mati, tak payah talkin. Cuma dibuat di Malaysia ini adalah untuk menjadikan tazkirah kepada orang hidup supaya orang yang menghantar mayat ke kuburan benar-benar mendapat peringatan.

Cuma yang jadikan kita wahabi bila kita dengan kasar menyatakan ini bid'ah, sesat, dan syirik.

Kita juga tak jadi wahabi kalau hari raya pertama (1 Syawal), kita tak pergi ke kubur. Memang bagus pun tak pergi ziarah kubur lepas solat raya, kerana itu bukan ajaran islam. Islam tak kata 1 Syawal sebaliknya bila-bila masa sahaja terutamanya waktu malam.

Tapi waktu malam banyak pocong (sangka kita). Menziarahi, yang sunnah nya ialah ziarah orang hidup bukannya ziarah orang mati. 1 Syawal ialah hari gembira bukan hari menangis di tepi kubur. Cuma kita faham kita ni tinggal di bandar. Jadi kebetulan 1 Syawal itulah hanya masa yang kita ada untuk ziarah, jadi kita pun ziarah. Cuma jangan iktikadkan bahawa ziarah kubur ialah sunnat khusus 1 Syawal saja, kerana jika kita iktikad begitu barulah kita bid'ah dan sesat.

Cuma wahabi ini mereka tak bersangka baik sebagaimana kita bersangka baik. Kalau tanpa memberi penjelasan, terus dia kata kita bid'ah, maka itulah dia wahabi.

Kita juga tak dikira wahabi kalau tak mahu baca Yasin malam jumaat kerana bukannya sunnah khusus pun hari jumaat baca Yasin. Yang khusus ialah surah al-Kahfi. Nak baca, boleh tapi jangan iktikadkan yang perbuatan itu sebagai wajib ataupun sunat yang khusus sahaja.

Tak baca Yasin, tak boleh. Sampaikan kuliah maghrib pun cancel semata-mata nak baca Yasin. Kalau itu berlaku, maka kita dah salah.

Tapi yang lebih salah ialah bila tanpa berfikir panjang, kita halang pula orang lain baca Yasin dengan menggelar mereka melakukan bid'ah dan kesesatan.

Kita juga tak jadi wahabi kalau lepas solat berjemaah, kita tak zikir secara lantang dan kuat. Itu bukan benda wajib. Cuma yang jadikan kita wahabi ialah kita melarang zikir secara lantang hinggakan mereka yang berbuat demikian kita tuduh sebagai bid'ah dan sesat, seterusnya membawa kepada pergaduhan walaupun tinggal satu kariah saja.

Tak nak zikir lantang-lantang, kau lah jadi imam.

Kita juga tak jadi wahabi kalau pada malam nisfu sya'ban, kita beramal ibadah seperti biasa sahaja kerana kita beranggapan tak ada keistimewaan pada malam ini. Memanglah. Mana ada namanya malam tukar kitab. Tak berasas sekali kata-kata kononnya ini malam tukar kitab. Kitab amalan kita satu saja, bukannya setiap tahun tukar. Puasa pada hari ini juga tidak khusus. Kalau kata nisfu sya'ban disunatkan berpuasa maka kita sudah salah dan ada harapan puasa itu tertolak. Ini adalah kerana Rasulullah tak mengkhususkan surah apa yang kita perlu baca pada malam itu, dan tak juga mengkhususkan amalan apa yang perlu.

Cuma ulama kita yang memahami dan tidak bermaksud mahu menyusahkan kita, memberi garis panduan kepada kita. Itu saja.

Tapi bila dah sampaikan menyalahkan perbuatan, amal ibadat orang lain dengan menghukum bid'ah dan sesat kepada orang, maka itu dah melampau.

Okey. Penat dah menulis.

Cuma dapat saya simpulkan, kita akan jadi wahabi dalam tiga hal. Pertama, jika kita cepat melatah. Sikit-sikit nak kata orang buat bid'ah, nak kata orang sesat dan menyesatkan, dan paling berat, menghukum kafir kepada orang.

Kedua, kita akan jadi wahabi bila kita kurang ajar, mempersendakan ulama-ulama kita. Antara yang sering menjadi bahan persendaan ialah Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari, dengan gelaran ahli bid'ah. Begitu juga dengan Habib-habib, juga dikatakan ahli bid'ah. Ustaz Azhar Idrus, dikatakan raja lawak, dan macam-macam lagi. Wahabi juga banyak mentertawakan fatwa Imam Syafie seperti hukum batal wuduk bila bersentuhan dengan isteri, dan seumpamanya. Wahabi juga mempersendakan orang-orang yang belajar akidah sifat 20 dengan gelaran orang yang belajar sifat 20 sebagai "Akidah pun tak betul, akhlak lagilah tak betul".

Ketiga, kita juga akan menjadi seperti Wahabi jika kita sentiasa merasa kita sahaja yang betul. Bersikap bongkak, takabbur, sombong, dan ghuluw. Merasakan "Aku saja yang ikut Nabi", seakan-akan mengatakan aku sahaja yang betul. Menggelarkan diri sendiri sebagai ahli sunnah yang sebenar, padahal ahli sunnah yang bagaimanakah kalau suka mencerca ulama, menghukum kafir kepada orang jahil, dan bertekak serta membawa kepada perpecahan dalam masyarakat?

Inilah tiga ciri wahabi yang saya kenal. Jika tidak ada tiga ciri ini, maka itu ialah golongan ahli sunnah yang sebenar. Golongan mujaddid. Sang pencerah kepada ummah.

Wallahua'lam. Kalau ada yang nak naik angin, saya nak tanya, "Ada tak tiga ciri ni kepada kamu sampai kamu nak terasa yang kononnya saya bercakap fasal kamu?"

:)
 

July 23, 2013

Jangan kafirkan saya

Betul kata Nabi kepada sahabat, "Jika kamu ditakdirkan umur panjang, kamu akan dapati berlaku perselisihan yang hebat dalam kalangan umatku".

Saya bukan orang yang layak nak menghurai permasalahan yang besar ini. Saya tak ada kelulusan. Tak ada pendidikan yang cukup. Cuma saya nampak ada beberapa perkara yang saya perlu luahkan juga. Kalau tidak, saya tak puas. Hati saya akan sakit dan jiwa saya pun akan sakit.

Jadi baik saya luahkan juga.

Pada saya, ada beberapa permasalahan hukum agama yang kita perlu simpan sendiri-sendiri.

Contohnya, beberapa bulan lepas, ada seorang ustaz menulis di laman Facebook peribadinya, bahawa kalau ada jemaah tabligh datang ziarah ke rumahnya, dia akan menyuruh mereka pulang. Tambahnya lagi, kalau jemaah tabligh tu faham agama, dia pasti akan pergi dengan sukarela. Ini kerana ada ayat al-Quran di dalam surah al-Hujurat dan surah An-Nisa' berkenaan dengan tetamu. Kalau tuan rumah tak beri izin masuk, tetamu kena pergi.

Ini memang hukum. Tapi ada berlambak hadis daripada Rasulullah S.A.W yang menyuruh kita untuk memuliakan tetamu yang datang, bukannya suruh dia balik.

Antara hadis yang saya ingat ialah pesan Nabi, "Jangan kamu meremehkan kebaikan sekalipun dengan menyambut tetamu dengan wajah yang manis".

Jika dia tak mahu atau tidak bersedia untuk menerima tetamu, maka tak perlu risau apa-apa. Memang ada kelonggaran untuk menolak tetamu. Bahkan bagi kaum wanita, haram pula hukumnya kalau membawa tetamu yang tidak disukai suaminya masuk ke dalam rumah.

Menolak tetamu, betul. Tapi memuliakan tetamu, juga betul. Saya takut kalau ustaz yang ramai follower tu buat kenyataan sebegitu, orang awam akan melulu berhukum, hinggakan setiap tetamu yang dia tak senangi, dia akan suruh balik. Lebih-lebih lagi kawan-kawan kita daripada jemaah tabligh sebab mereka datang untuk menceritakan tentang kebesaran Allah dan ajak kita pergi masjid.

Berasap telinga kita!

Tapi kalau yang datang tu, datang untuk menceritakan tentang promosi hari raya, buat direct selling, buat kaji selidik, atau jiran datang ajak mengumpat, kita tidak pula bermasalah untuk mendengar!

Baru-baru ini juga heboh tentang isu tahlil. Sebenarnya benda ni dah dibincangkan lama dah. Cuma datang budak-budak baru ni, terus dia kata bid'ah! Sesat! Nabi tak buat!

Sejujurnya, kalaulah kita nak gunakan alasan 'Nabi tak pernah buat' untuk kita mengharamkan sesuatu yang baik dan tidak ada hukum yang qat'i (putus), maka saya rasa itu tidak betul.

Kita bukan bercakap pasal solat subuh 7 rakaat. Tujuh rakaat tu memang baik, tapi menyalahi hukum asal yang telah diputuskan. Maka, baik-baik pun, sesat.

Tapi kita bercakap tentang berzikir dan meniatkan pahala itu untuk disedekahkan kepada si mati. Saya nak tanya sikit dengan puak-puak Wasabi ni... pahala-pahala ni, siapa yang bagi?

Allah ke manusia?

Allah kan. Jadi ikut suka Allah lah Dia nak beri atau tidak. Kita cuma niatkan sahaja. Kalau diizinkan sampai, maka untunglah orang yang berzikir tadi dan si mati yang diniatkan. Tetapi kalau tak sampai, maka tak ada sesiapa yang rugi dan sesat di dalam kes ini kerana kita meminta dan merayu kepada Allah, bukanya kepada makhluk!

Ada tak orang bertahlil sebut kalimah syirik? Semua sebut kalimah tauhid!

Sedangkan Nabi S.A.W ketika melintasi perkuburan dua orang yang diazab, salah seorang kerana istinjak tak betul dan seorang lagi sebab suka mengumpat, Nabi S.A.W ambil ranting pokok dan pacak pada kubur kedua orang tadi.

Sebab apa Nabi S.A.W pacak? Sebab nak main-main? Nak cantikkan kubur?

Sebab kata Nabi, ranting dan daun-daun itu akan berzikir serta memohonkan keampunan kepada si mati yang sedang disiksa itu.

Antara manusia dengan ranting pokok, manakah makhluk yang lebih mulia? Jelaslah manusia. Ini Allah sendiri yang kata dalam surah Al-Insan. Kalau pokok pun boleh berzikir dan meminta keampunan kepada orang mati, takkanlah kawan-kawan si mati serta saudara-mara si mati tidak dibenarkan untuk mendoakan dan memintakan keampunan kepada orang mati pula?

Begitu juga dengan menyedekahkan bacaan al-Quran kepada orang mati. Jumhur ulama kata boleh, walaupun ada pendapat yang kata tidak sampai. Imam Syafie kata tidak sampai pahala kepada si mati, tapi saya jamin Imam Syafie tak kata bahawa membaca al-Quran untuk tujuan itu, bid'ah dan sesat lalu masuk neraka!

Wasabi je yang melebih-lebih. Sikit-sikit mahu menggelar orang ahli bid'ah. Ahli bid'ah tu ialah ahli neraka, maka atas mandat siapakah puak-puak ini nak memasukkan seorang muslim masuk neraka?

Sama juga dengan baca Yassin malam jumaat. Adakah baca Yassin itu salah? Surah Yassin ni dari bible ke? Atau dari veda, sampaikan boleh jadi kesalahan jika kita membacanya pada malam jumaat?

Yang salah cuma bila masyarakat merasakan yang baca Yassin itu wajib sedangkan hukumnya bukan wajib sebaliknya cuma sunat sahaja, sama seperti membaca surah-surah lain dalam al-Quran. Cuma kebetulan masyarakat kita dah terbiasa dengan membaca surah Yassin hingga ada yang jatuh cinta dengan surah ini.

Kita jangan lupa, di zaman Rasulullah S.A.W masih ada dahulu, ada seorang sahabat yang tiap kali bersolat pasti dia akan baca surah al-Ikhlas. Nabi tak buat macam tu. Nabi baca je surah-surah lain.

Jadi pada perkiraan kita, sahabat ni dah buat sesuatu yang nabi tak buat!

Lalu dirujuk kes ini kepada nabi. Nabi tanya, "Mengapa kamu selalu sangat membaca surah al-Ikhlas?"

Jawab sahabat itu, "Aku sangat mencintai surah ini"

Nabi tak marah. Sebaliknya kata Nabi, "Kecintaanmu kepada surah al-Ikhlas ini akan memasukkan kau ke dalam syurga".

Begitu juga dengan membaca selawat dan doa kepada air, lalu mengambil keberkatan atas doa dan selawat itu. Ada orang kata perbuatan tu ialah perbuatan sia-sia. Al-Quran diturunkan untuk dibaca!

Lalu bagaimana puak ni mahu berhukum dengan kisah seorang sahabat Nabi yang mengubati seorang musyrik dengan bacaan surah al-Fatihah?

Apa dia ingat ustaz-ustaz ni baca mantera kah?

Ada juga yang cakap, itu perbuatan memperdagangkan agama. Jadi saya cabar ustaz-ustaz itu untuk jangan terbitkan buku. Kalau nak juga, jangan ambil keuntungan daripada penjualan buku-buku mereka. Kata mereka golongan yang jujur dengan agama, jadi mengapa buat buku ambil untung? Jual sahajalah dengan harga modal cetakan dan kertas saja.

Begitu juga dengan bina masjid dan menjemput ustaz-ustaz mereka. Tak payah ambil upah. Itu kan namanya memperjualkan agama? *sarcasm*

Oh ya. Kalau menurut mereka, kuliah maghrib dan kuliah subuh pun ialah bid'ah sebab Nabi S.A.W tak pernah mengkhususkan waktu untuk majlis taklim. Tak semestinya lepas maghrib dan tak semestinya lepas subuh. Bila-bila masa saja wahyu turun dan bila-bila masa saja para sahabat dan arab badwi akan datang bertanyakan persoalan agama kepada Baginda.

Sejujurnya, saya cuma terkilan. Terkilan dengan aliran pemikiran baharu ini yang kononnya mengikut jejak golongan salaf, tetapi cukup senang hati dan suka-suki nak mengkafirkan orang, mencela orang, dan melabel orang sebagai sesat.

Kita hidup di Malaysia. Kita kena faham corak kehidupan beragama orang di Malaysia. Ada yang taat macam malaikat dan ada yang jahat macam setan. Kenapalah kita terlalu sibuk nak bertekak dalam benda kecil dan cabang, padahal ada benda yang besar kita patut bahaskan.

Contohnya, rumah urut, pusat pelacuran, kasino, kilang arak, konsert, dan gejala sosial. Kenapa kita tidak memandang perkara-perkara itu sebagai perosak akidah anak-anak kita? Kenapa kita tak rasa yang benda-benda itu akan menjerumuskan manusia masuk neraka, lebih banyak keberangkaliannya berbanding dengan yang berzikir dan baca Quran ini.

Saya rasa hidup kita ini, kita perlu banyak bersangka baik dengan Allah. Bila kita berdoa, kita bersangka baik Allah akan makbulkan. Bila kita berzikir, kita bersangka baik yang Allah akan beri kita ganjarannya dan bila kita baca-Quran serta sedekah, kita sangka baik Allah akan sampaikan sedekah dan bacaan kita.

Kalau awal-awal lagi kita dah sangka buruk dengan Allah, maka memang tak payahlah berdoa, baca Quran, dan lain-lain tu.

Satu yang terakhir, kalau masih kita fikir perbuatan tahlil, mendoakan si mati, bacakan Quran dan zikir untuknya ialah perkara bid'ah, sesat dan syirik, maka wasiatkan awal-awal sebelum mati supaya jangan ada seorang pun yang mendoakannya, memohonkan ampun kepadanya, menyedekahkan bacaan zikir dan al-Quran kepadanya, bila dia mati.

Selesai masalah.

Kalau kita tak mahu, silakan. Tapi jangan sampai kafirkan orang ya.

Bak kata Ustaz Hasrizal, jangan jadi 'ultra' salafi.
 

July 21, 2013

Bulan Muhasabah.

Bulan Ramadhan ialah satu bulan yang mulia dan istimewa. Kemuliannya bahkan disebut-sebut dalam al-Quran dan hadis.

Salah satu kelebihan bulan ini ialah, bulan ini bulan yang terbaik untuk kita refleks diri kita. Bulan terbaik untuk kita mengenali siapa diri kita yang sebenar-benarnya. Ini adalah kerana 11 bulan kita yang lalu, diterjemahkan di dalam perangai kita selama satu bulan ini.

Bulan Ramadhan mempunyai banyak nama panggilan. Antaranya ialah bulan ibadah. Kerana di sepanjang bulan ini, kita dapati umat islam sangat ghairah untuk beribadah. Ini dimotivasikan oleh hakikat pergandaan pahala, sebagaimana sabda Rasulullah, setiap amalan sunnat akan diganjarkan dengan pahala seperti mengerjakan amalan fardu dan setiap amalan fardu di bulan ini pula akan diganjarkan seperti 70 amalan fardu di luar Ramadhan.

Tetapi di dalam tawaran yang sebegitu hebat pun, masih ramai yang tidak merasakan yang dia perlu bersungguh-sungguh.

Dalam keadaan pintu syurga dibuka seluas-luasnya, pintu neraka ditutup serapat-rapatnya, para bidadari syurga berdandan secantik-cantiknya pun, masih ramai yang tak merasakan ada urgency untuk dia beramal ibadah.

Ini ialah satu muhasabah yang baik untuk kita menilai, apakah hati kita masih celik ataupun sudah buta.

Jika di dunia, bila ada jualan diskaun 50%, 70%, berebut-rebut kita. Ada yang sanggup bertolak-tolak. Sanggup menyusahkan diri, dan sanggup mencederakan diri sendiri dan orang lain.

Saya ingat lagi masa Baskin Robbins beri ais krim percuma, dahulu. Tak ingat sebab apa, tapi ramai yang post gambar, menunjukkan lautan manusia yang sanggup beratur dari hujung semata-mata mahukan SATU SKOP ais krim percuma. Padahal kalau dia ke kedai runcit, beli satu bekas ais krim, dia boleh makan untuk seminggu dan harganya pun tak sampai RM 10 pun!

Sama juga masa Mc Donalds berikan burger percuma, berduyun-duyun manusia beratur untuk mengambilnya sedangkan mereka tahu, syarikat makanan segera itu ialah syarikat yang menjana ekonomi israel. Secara tidak langsung, dana yang disalurkan itu menjadi peluru tabur yang menembusi dada-dada orang beriman.

Yang terbaru, gelagat penyokong bola sepak Kelantan yang sanggup merempuh pintu stadium semasa perlawan akhir Piala Malaysia antara JDT dengan Kelantan.

Tetapi keghairahan, kesungguhan, dan kecekalan hati yang sama, tidak ditunjukkan dalam amalan kita di bulan Ramadhan.

Lima hari yang pertama, mungkin kita dapati ramai manusia masih tekun dan bersemangat untuk mendirikan malam-malam mereka dengan ibadah. Tetapi bagaimana dengan hari-hari selepasnya?

Surut, sedikit demi sedikit. Kerana kita buta hati. Kita tidak rasakan ganjaran-ganjaran yang Allah janjikan melalui amal soleh kita itu sebagai suatu yang bernilai.

Kita tak rasakan yang kita ni banyak dosa, hinggakan bila Allah kata dia mahu mengampuni hamba-hambaNya, kita berasa seolah-olah "Kalau nak ampunkan pun tak apa, tak ampunkan pun tak apa".

Padahal untuk urusan dunia, RM 1 pun kita berkira. Tapi urusan pahala, kita tak kisah pun kalau sedikit. Kalau tak dapat pahala pun kita tak kisah!

Lebih buruk, apabila ada janji "Pembebasan daripada api neraka", umat islam di Malaysia makinlah tak merasakan ghairah. Seolah-olah namanya sudah dipadam daripada senarai ahli neraka.

Hari ini, matahari berada terlalu jauh daripada kita. Perjalanan ke matahari memakan masa jutaan tahun cahaya. Pun begitu, kita merasa bahang dan merasa tidak selesa dengan kepanasannya.

Lalu di padang mahsyar, Allah S.W.T akan dekatkan matahari dengan ubun-ubun kepala kita. Tak dapat dibayangkan peritnya, hingga ada yang nanti tenggelam dalam peluhnya sendiri. Jijik, geli, dan kotor.

Sekarang, kita memandang sinis dengan tawaran-tawaran syurga, maka di hari itu, Allah sendiri akan memandang sinis kepada kita!

Yang lebih teruk lagi, di dalam bulan ini pun, masih terlalu ramai manusia yang melakukan dosa maksiat baik secara tersembunyi mahupun secara terang-terangan. Baik dosa kecil, lebih-lebih lagi dosa besar.

Ini muhasabah kepada kita, di kala syaitan dibelenggu dan dirantai daripada menggoda manusia, rupa-rupanya diri kita sendiri sudahpun 'disyaitankan'. Kita boleh menilai sendiri, betapa banyaknya makanan yang telah kita berikan kepada nafsu kita di 11 bulan yang lalu sampaikan nafsu kita menjadi sangat-sangat ganas, liar, degil, dan kuat.

Apabila kita suka buat dosa, malas nak buat ketaatan, lemah dan letih untuk mempelajari agama, maka itu petanda bahawa nafsu kita telahpun dikawal oleh syaitan. Biarpun bukan sepenuhnya, tetapi mungkin 'half way there'.

Justeru, bulan ini ialah bulan terbaik untuk kita melemahkan nafsu kita. Nafsu seksual, nafsu makan, nafsu material, nafsu kerehatan, dan bermacam-macam lagi.

Nafsu yang ganas dan liar ini, perlu dijinakkan dengan paksaan. Kita perlu paksa diri kita untuk taat. Jika kita suka buka aurat, bulan inilah bulan terbaik untuk kita menutup aurat dengan sempurna. Bukan lagi bertudung, tapi berbaju ketat. Bukan lagi bertudung, tapi singkat. Bukan lagi bertudung, tapi berpakaian yang menarik perhatian.

Tetapi bertudung, longgar, labuh menutup bentuk badan dan dada, serta tidak menarik perhatian lelaki hidung belang.

Jika kita dahulu malas nak membaca al-Quran, malas nak baca buku-buku agama, malas nak mendengar kuliah dan tazkirah, maka di dalam bulan inilah kita perlu paksa diri kita untuk sungguh-sungguh baca al-Quran, dan menuntut ilmu.

Begitulah seterusnya.

Kita jangan lupakan juga, bahawa di saat mahu berbuka puasa dan di waktu bersahur, kedua-dua waktu itu ialah sangat mustajab untuk berdoa. Oleh itu, basahkanlah bibir kita dengan meminta kepada Allah hidayah.

Kalaulah bukan kerana Allah beri kita hidayah, maka kita memang akan menjadi seperti orang kafir. Bezanya, nama kita islam. Kita kahwin dengan tok kadi, bukan paderi. Kita mati, ditanam di perkuburan islam.

Itu sahaja beza islam yang diberi hidayah dengan islam tanpa hidayah. Orang yang tidak diberi hidayah ini hanya kerana dua sebab; pertama kerana dia yang menolak hidayah itu sendiri dan yang keduanya ialah kerana dia tidak meminta pun kepada Allah untuk diberikan hidayah!

Di baki Ramadhan ini, saya berpesan kepada diri saya terutamanya agar tidak lagi main-main. Sungguh-sungguhlah melakukan ketaatan. Hadirkan rasa syukur dan bertuah kerana Allah masih pilih kita untuk masuk di bulan ini dan masih dikuatkan hati kita untuk melakukan semua kebaikan.

Dan di dalam doa-doa kita, sertakan saya, lelaki yang banyak berdosa dan jahil ini. Semoga Allah sentiasa berikan saya hidayah dan matikan saya sebagai seorang muslim sejati.

 

July 6, 2013

Malu ala Nabi

Diriwayatkan, Rasulullah adalah lebih pemalu daripada anak gadis.

Malu, kata ulama, ialah satu perasaan yang mendorong manusia untuk meninggalkan maksiat dan menghalang manusia daripada tidak menunaikan hak orang lain.

Disebutkan dalam hadis yang lain pula, Rasulullah menyampaikan antara isi pesanan para anbiya' sebelumnya, "Jika kamu tidak malu maka berbuatlah sesuka hatimu".

Malu dalam hidup ini dapat dilihat dalam beberapa keadaan dan situasi. Kalau dicontohkan daripada Rasulullah, kita lihat beberapa contoh.

Antaranya, Rasulullah tak pernah meminta-minta kepada makhluk sekalipun Baginda sangat memerlukan. Baginda lapar, tapi tak pernah meminta-minta jauh sekali mengemis. Baginda kehausan, tapi tak ada pun meminta-minta daripada orang. Baginda kalau nak meminta, Baginda minta daripada Allah.

Rasulullah juga tak mengadu masalahnya kepada orang. Bukan macam kita umatnya. Ada sedikit masalah, semua orang akan terkena tempias. Mungkin kita fikir yang kita seorang sahaja yang punya perasaan. Lebih-lebih lagi di alam Facebook dan Twitter. Ada masalah sikit, ada tak puas hati sikit, pasti akan tulis di laman sosial kita itu.

Cuba lihat dalam peristiwa hadisul ifk. Peristiwa fitnah yang terpalit kepada Saidatina Aisyah, isteri yang nabi sayang, yang dituduh melakukan hubungan sulit dengan seorang sahabat yang mulia lagi bertaqwa, Safwan. Nabi tak bising. Nabi diam sahaja. Baginda menyimpan kesedihan Baginda jauh ke dalam hati baginda. Tak ada sikit pun tindakan yang melulu selain hanya pasrah menanti jawapan wahyu daripada Allah yang Maha Tahu.

Dalam satu peristiwa lain, diceritakan bahawa isteri Baginda yang mulia, Aisyah r.anha memuji-muji sikap para wanita madinah dengan menyatakan bahawa merekalah sebaik-baik wanita.

Yang pemalu, tetapi tidak dalam urusan akhirat (urusan menuntut ilmu).

Satu ketika, Nabi S.A.W sedang berehat di rumah sambil berbaring dan betis Baginda terdedah. Datang Saidina Abu Bakar, lalu dilayan. Datang Saidina Umar, dilayan juga sebaiknya. Lalu datang pula Saidina Ustman, lalu sebelum Uthman masuk, Baginda menutup betis Baginda lalu melayan tetamu itu dengan sebaiknya juga.

Perbuatan Baginda itu menimbulkan tanda tanya kepada Aisyah.

"Wahai Rasulullah, mengapa semasa ayahku (Abu Bakar) dan Umar masuk, kamu membiarkan sahaja betismu terdedah tetapi bila Uthman masuk, kamu menutupnya?"

Lalu jawab Rasulullah, "Mana mungkin aku tidak malu kepada Uthman sedangkan para malaikat pun malu dengannya".

Malaikat malu dengan Uthman kerana Uthman ialah seorang lelaki yang sangat pemalu dan lemah-lembut.

Sebenarnya sifat malu dalam diri kita ini Allah ciptakan agar dimuliakan dengan kemuliaan seorang manusia.

Malu menghalang kita daripada melakukan maksiat, baik di belakang orang, dan lebih-lebih lagi untuk melakukannya di depan orang!

Malu juga mengalang kita daripada menunjukkan kelemahan kita, baik di hadapan orang, dan jauh sekali di hadapan musuh!

Kerana itu jika berhadapan musuh, ada benda yang haram diizinkan dan ada benda yang ditutut, tiba-tiba saja diharamkan.

Contohnya, sombong. Di dalam kehidupan kita, sombong diharamkan dan sangat-sangat dicela. Bahkan ada amaran keras menyatakan orang yang memiliki kesombongan diharamkan syurga untuknya.

Tetapi apabila berdepan dengan musuh di medan pertempuran, kita perlu menunjukkan kekuatan dan kehebatan kita. Biar musuh gerun. Biar musuh patah semangat.

Tetapi sikap malu atau takut, diharamkan bila berdepan dengan musuh. Sebab itulah disebutkan dalam 7 dosa besar yang Nabi sabdakan, lari daripada medan perang itu juga salah satunya.

Orang yang tak ada sifat malu, dia sebenarnya tak ada maruah.

Contohnya, orang yang kuat merajuk. Sikit-sikit merajuk. Sikit-sikit merajuk. Maka, sudah dia sebenarnya telahpun menjatuhkan harga dirinya sendiri. Sepatutnya dia merasa malu untuk senang-senang merajuk, atau untuk menunjukkan rajuknya.

Orang yang panas baran pun begitu. Sepatutnya dia rasa malu untuk menghamburkan amarahnya di depan orang. Sebab kalau salah sikit saja nak terus menengking, maka terus-terang, memang orang akan pandang hina kepada orang yang panas baran ni.

Begitulah seterusnya. Orang yang suka mengumpat, suka mencarut, bahkan yang suka menunjuk-nunjuk pun.

Kalau anak gadis, yang suka ambil gambar dan upload. Kalau dia memiliki rasa malu, dia tak akan buat begitu kerana dia akan bimbang jika dia berlebihan dan melampau, dia akan dikatakan sebagai gediks atau terlalu 'terbuka' hingga lelaki-lelaki biasa pun boleh nak memuji-muji cantiknya.

Lelaki pun sama. Kalau ada sifat malu, maka dia pun tak akan berlebihan dalam meminati seorang gadis. Dia tak akan sampai menjadi 'stalker' kepada gadis yang dia minat itu.

Wallahua'lam.

Malu yang kontemporari, mungkinkah?
 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails