November 5, 2014

Panduan untuk bercinta selepas nikah 1

Semua orang nak menikah, tapi sesetengah orang tak tahu cara nak menikah. Ramai yang stuck dekat bab 'mencari calon' tapi lebih ramai yang tersangkut pada fasa 'mencari dana'.

Zaman sekarang, ramai yang bercinta bagai nak rak, tapi akhirnya kahwin dengan orang lain juga. Cinta punya lama, kenal punya lama, tapi akhirnya bernikah tak lama, ada yang kena pukul, ada kena tengking setiap hari, dan tak kurang juga yang makan hati setiap saat. Yang diceraikan pun tak terkira banyaknya.

Masing-masing yang gagal itu mengeluh nasib diri, "Kan elok kalau aku tak kahwin dengan dia",

"Kan elok kalau aku kahwin dengan orang lain saja!"

"Dan kan elok kalau aku tak kahwin saja!"

Semua orang nak bahagia. Itu fitrah. Bukan setakat orang yang dah kahwin, yang belum kahwin pun mahukan bahagia. Tapi kebahagiaan itu Allah salurkan dalam bentuk perkahwinan. Sebab itu kita tengok orang kaya raya, yang ada segala benda atas dunia pun, mereka mahukan teman hidup. Jauh di sudut hati mereka, akan ada satu lubang kosong yang hanya mampu diisi tempatnya oleh seseorang yang bergelar isteri.

Persoalannya, bagaimana mahu mencari pasangan hidup yang baik?

Mudahnya, calon isteri atau suami yang baik tak perlulah banyak. Menjaga solat, menjaga aurat, jaga maruah, jaga kehormatan, hormat ibubapa, hormat orang tua, kasih kepada anak kecil, sopan dengan orang lain, tidak boros berbelanja, tidak cerewet, dan seumpana, itu antara sifat yang perlu ada kepada calon pasangan yang baik.

Jika pun tidak ada semua, kita tetap boleh bertoleransi untuk beberapa perkara. Yang penting, mereka mahu dan sedia untuk berubah. Kalau setakat mahu tapi tak sedia, pun tak boleh. Dan kalau setakat sedia, tapi tak mahu juga tak boleh.

Contohnya, kalau dia berkerja dalam suatu bidang yang terang-terangan mendokong riba', maka kemahuan dan kesediaannya untuk berubah ialah dengan dia mula mencari kerja baharu. Takkanlah nanti kamu mahu menyara keluarga kamu dengan pendapatan yang haram?

Sekadar peringatan, bagi manusia yang mengamalkan riba', mereka itu adalah musuh Allah dan Allah terang-terang mengumumkan mahu melancarkan perang dengan mereka.

Kemudian, sesudah memiliki calon yang baik (atau calon yang sedia dan mahu berubah jadi baik), stesen berikutnya ialah perjalanan menuju perkahwinan. Di sinilah ramai yang terkandas. Jalan ke arah perkahwinan ialah garis halus diantara jalan-jalan menuju zina. Mengapa saya sebutkan 'jalan-jalan', dan bukannya jalan zina?

Kerana mendekati zina itu bermula daripada daripada sekadar mata, mulut, hati, dan akhirnya, kemaluan.

Menjaga mata ialah keperluan yang penting. Begitu juga dengan menjaga anggota-anggota fizikal seperti mulut dan telinga. Memanglah bila sudah suka, kalau boleh kita mahu setiap saat memandanganya (walaupun tak cantik), mendengar celotehnya (walaupun suara tak sedap), dan berborak-borak dengannya.

Tapi soalannya, adakah kita mahu mengahwininya atau mahu 'tawar-menawar' dengannya?

Kalau betul sesuatu benda itu berharga dan kamu menghargai, memandang tinggi kepadanya, maka kamu akan membelinya terus, dan bukan tawar-menawar, untuk menjadikannya lebih murah!

Tapi akhirnya, siapa kata kamu langsung tidak boleh berhubungan dengan bakal isteri/suamimu?

Boleh. Tapi ada adab yang ketat perlu dipatuhi. Sedikit panduan bagi pria dan perawan yang mahukan berkat di mahligai cinta; tolong elakkan daripada bercakap tentang perkara yang tidak penting.

Jika mahu kenal, maka cukuplah jika perkenalan itu berlaku sekitar sehelai kertas A4 sahaja. Di atas kertas putih bersih itu, ada nama si jejaka, ada nama ibu dan ayahnya, berapa orang adik beradiknya, dimana pekerjaannya, bagaimana pola pendidikannya, kesihatannya, dan yang sekitarnya.

Pada akhirnya, tidak ada beza antara mengenalinya 2 tahun dengan mengenalinya 2 hari, kerana apa-apa yang patut kamu tahu tentangnya, yang orang lain mengambil masa dua tahun, kamu cuma mengambil masa dua hari sahaja!

"Bagaimana dengan sifatnya?"

Sifat peribadi, itu suatu yang peribadi. Jangankan hendak tahu, mungkin dia sendiri pun tak tahu bagaimana sifat peribadinya. Sebab itulah perlu ditanya kepada Yang Maha Tahu.

Ramai yang beranggapan perkahwinan itu memerlukan kepada dua individu yang punya minat, identiti, sifat, dan perangai yang hampir sama. Kononnya kalau seorang suka tengok bola, kedua-duanya perlu suka menonton bola sepak.

Tidak semestinya. Minat dan kegemaran, sekalipun kanak-kanak, pasti akan ada perbezaannya. Yang penting bukan sejauh mana kita sama, tapi sejauh mana kita boleh menerima perbezaan.

Banyak masalah yang timbul adalah kerana isteri/suami tidak boleh menerima perbezaan yang wujud dalam diri pasangan mereka.

"Kau isteri aku. Kau perlu ikut cakap aku", bentak si suami.

"Kau suami aku. Kaulah perlu dengar cakap aku", balas si isteri.

Si suami beranggapan bahawa 'keredhaan Allah terletak pada keredhaan suami' itu bermakna apa sahaja kata-katanya ialah perintah muktamad. Menolak bererti derhaka. Membangkang bererti memberontak.

Si isteri pula beranggapan cinta itu perlu seperti lembu dicucuk hidungnya. Apa saja yang dia mahu, suaminya perlu berikan. Makin banyak permintaanya dipenuhi, makin besarlah cinta itu.

Tapi akhirnya hakikatnya tidak begitu. Suami isteri perlu mencari the right balance between giving and forgiving. Menerima dengan hati yang terbuka, dan memaafkan dengan hati hati yang tulus.

Sebab itu sebelum kahwin, bila bakal isteri (sekarang sudah isteri), saya bertanya, "Apa benda yang paling awak harapkan selepas kahwin daripada saya?",

Maka jawapan saya ialah hormat. Bila ada hormat, maka semua ada. Tak ada hormat, semua pun tak ada. (malas nak elaborate lagi).

Saya dan isteri selalu berhubung dengan whatsapp saja. Tak pernah bercakap face-to-face. Tak pernah calling-calling. Tapi dengan whatsapp itu pun sudah memadai. Segala persiapan nikah dapat diselesaikan. Tak perlu pun untuk 'keluar bersama' atas niat mahu membuat persediaan kahwin.

Saya juga percaya, daripada kamu menghabiskan masa untuk memikat si dia (yang sudah tentu sudahpun terpikat sebab tu dia nak kahwin dengan kamu), lebih baik kalau kamu 'memikat' hati keluarganya dan sudah tentu keluarga kamu.

Kalau perangai kamu buruk, bukan setakat keluarga dia menolak kamu tapi keluarga kamu sendiri pun tak akan mahu membantu. Sebab itu jangan ego. Dengar nasihat, dengar tunjuk ajar. Tertutamanya cakap orang tua. Mereka mungkin tak ada idea yang segar macam kita, tapi apa yang mereka kata, ada benarnya.

(BERSAMBUNG...)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails