Allah Itu Maha Pengampun

*sapu lantai*

*buang sawang*

*vacuum carpet*

Okey. Dah bersih sikit. Boleh dah nak kembali tulis kat blog ni. Gilalah, Sudah berbulan-bulan blog ni dibiar tak diusik. Menyedihkan betullah.

Kebelakangan ini, saya sudah 'stuck' dengan blog Ustaz Pahrol; Genta-Rasa. Berjam-jam masa dihabiskan untuk menghabiskan hidangan yang disajikan di dalam blog ustaz. Menu yang cukup perasa dalam keilmuannya, tazkirah, maninan emosi, dan sebagainya.

Bagi sesiapa yang tak mengenali atau belum berkenalan dengan hasil tulisan Ustaz Pahrol, silalah mulakan carian 'genta-rasa' dalam peranti elektronik anda. Insya-Allah, jika Allah izinkan, memang hati dan jiwa kita akan dibelasah; bukan lagi diketuk.

Benarlah, manusia itu sifatnya pelupa.

Ada yang lupa dimana dia letakkan kunci kereta. Sedang kalut nak ke tempat kerja, tiba-tiba tak berjumpa dengan kunci kereta. Cari punya cari, rupanya kunci kereta tu dah ada di tangan. Dalam genggaman tangan. Pernah terjadi pada saya.

Tapi paling teruk, manusia selalu lupa bahawa dia pernah tidak melakukan dosa.

Kata Rasulullah, semua anak adam itu melakukan dosa... dan sebaik-baik orang yang berdosa, ialah orang yang meminta keampunan Allah.

Dosa ialah perbuatan.

Macam yang Allayarham TG Nik Aziz pernah nukilkan; "Kaki kita ni, kalau masih lembut, terpijak duri sikit pun akan rasa sakit. Tapi kalau kulitnya sudah keras, pijaklah, mesti tak terasa apa".

Itulah hati. Kalau dahulu, nak buat dosa sedikit pun rasa bersalahnya datang menghambat. Rasa berdosa menjadi hantu.

Tapi jika sudah biasa dengan dosa, usahkan rasa bersalah, rasa berdosa pun tidak. Takut, jauh sekali.

Benar kata orang-orang tua kita, alah bisa tegal biasa.

Jelaslah, semua perkara mengambil masa. Ada yang baik, jika lama tidak dibuat, akan dilupakan. Ada yang jahat, jika dilazimi, akan dibudayakan.

Bukan salah kita kerana berdosa, tapi salah kita kerana tidak berhenti melakukan dosa.

Allah itu Maha Pengampun. Dosa kita yang 30 tahun lepas sekalipun Allah boleh ampunkan. Dosa yang kita ingat-ingat lupa pun Allah boleh ampunkan. Cuma sebagai hamba, kita patut buang sikit ego dan degil kita.

Kita yang selalu berdosa, dan kita tahu itu dosa. Cubalah berubah. Jika hati yang menjadi pusat di mana Allah memerhati itupun tiada rasa mahu simpati Tuhan, bagaimana diri nak berubah?

Kita manusia bukannya kuat. Kalau Allah tak beri kita hidayah, jangan kata nak baca al-Quran, nak sebut nama Allah pun lidah kita diharamkan!

Jangan sombong dengan Tuhan. Sekali-sekala, berhentilah ketawa dan berhentilah tersenyum. Fikir, adakah ketawa ini buatkan aku lupa Tuhanku?
Previous
Next Post »
1 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443