May 4, 2015

Sebelum berkata Ya dan Tidak.


Tahun 2009 atau 2010, saya pernah ikut seorang kawan ke sebuah 'forum'. Dia kata, forum pendidikan. Sebab itulah saya setuju untuk ikut. Siap dia datang untuk menjemput pula tu.

Alih-alih, bukanlah forum, tetapi majlis 'peng-rekrut-an' besar-besaran perniagaan MLM Score-A. Sepanjang hari asyik disajikan dengan janji-janji manis dan syurga 7 lapisan, maka saya juga seperti kebanyakan peserta yang ditipu, tertipu.

Akhirnya saya juga mendaftar.

Dan kerana saya bukan jenis yang suka 'mencari orang bawah', maka saya jadi 'orang gagal' dan rugi ribuan ringgit sebagai modal.

Saya serik. Berjanji dengan diri supaya akan lebih teliti dan tidak terburu-buru membuat keputusan. Sesama kawan pun, bukan boleh terlalu percaya. Ada yang bersahabat kerana berkepentingan. Tapi kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana pada akhirnya, kita sendiri yang perlu teliti dan membuat pertimbangan.

Bak kata bijak pandai, hidup ini satu percaturan. Kita buat keputusan yang salah, kitalah yang rugi dan menyesal nanti.

Cuma jika ada perkara-perkara positif dan kenangan manis, mungkin saya boleh petik kata-kata penceramah di dalam program tersebut, iaitu kata beliau, "Program kita ini ialah suatu jihad, satu ibadah dan menjanjikan pahala yang berterusan"

Saya diam. Menunggu apa lelaki berkot kemas itu mahu menambah.

"Kan kita tahu hadis yang kata, selepas kita meninggal dunia, ada 3 amalan yang namanya sedekah jariah. Iaitu anak-anak soleh yang mendoakan, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah. Dalam program ini, kita menyediakan portal pendidikan kepada anak-anak. Maka secara automatik mereka menjadi seperti anak-anak kita. Ilmu, sudah tentulah kerana ini program pendidikan. Manakala sedekah jariah pula kerana kita memberi manfaat kepada orang"

Begitu mudah dia merasional. Menjual hadis untuk mempengaruhi manusia. Makin ramai terpengaruh, makin tebal poket.

Hingga cerita dia makan lobster harga puluhan ribu kerana saja-saja teringin, membuatkan kita juga teringin untuk makan makanan yang berharga puluhan ribu, hingga terlupa orang yang mencari sisa makanan di balik timbunan sampah.

Benarlah kata orang, kematangan itu ialah suatu proses. Orang yang matang, orang yang belajar. Kata seorang, orang yang belajar ada 2 kelompok. Dia belajar daripada kejayaan orang supaya dia boleh ikut jalan kejayaan. Satu lagi, orang yang belajar daripada kegagalan orang lain. Dia melihat kegagalan dan kesilapan orang, supaya dia tidak terjatuh ke dalam lubang yang serupa.

Hidup akhir zaman ini, kita perlu banyak berhati-hati. Bukan sekadar berhati-hati agar tidak terjebak dalam benda maksiat dan dosa, tapi juga berhati-hati supaya tidak membuat suatu yang merugikan diri sendiri.

Bak kata seorang sahabat Nabi mengenai taqwa; taqwa itu umpama engkau berjalan di jalanan yang penuh dengan kaca. Engkau akan berhati-hati supaya nanti engkau tidak akan terpijak kaca itu.

Begitu juga dengan sebuah hadis daripada Rasulullah yang mafhum hadis, bahawa fitnah itu tidur. Jangan kita mengejutkannya.

Begitu juga dengan banyak lagi larangan antara supaya kita jangan mendekat-dekat dengan fitnah, kerana nanti kita akan terjatuh ke dalamnya.

Fitnah, juga maksudnya ujian atau musibah. Dan sebesar-besar musibah ialah musibah kepada agama.

Belajarlah daripada kehidupan.

Berhati-hati untuk berkata 'ya' dan berhati-hati juga untuk berkata 'tidak'. Bukan semua perkara perlukan keputusan segera. Adakala perlu berkata 'tunggu sekejap'.

Allah Yang Maha Adil memberikan kita akal fikiran untuk kita membuat keputusan. Tapi akhirnya nanti kita perlu sedar, bahawa setiap benda baik yang kita buat ada balasannya dan setiap perkara jahat yang kita buat, juga ada balasannya.

Akhirnya nanti kita sendirian di dalam kubur.
 

May 3, 2015

Allah Itu Maha Pengampun

*sapu lantai*

*buang sawang*

*vacuum carpet*

Okey. Dah bersih sikit. Boleh dah nak kembali tulis kat blog ni. Gilalah, Sudah berbulan-bulan blog ni dibiar tak diusik. Menyedihkan betullah.

Kebelakangan ini, saya sudah 'stuck' dengan blog Ustaz Pahrol; Genta-Rasa. Berjam-jam masa dihabiskan untuk menghabiskan hidangan yang disajikan di dalam blog ustaz. Menu yang cukup perasa dalam keilmuannya, tazkirah, maninan emosi, dan sebagainya.

Bagi sesiapa yang tak mengenali atau belum berkenalan dengan hasil tulisan Ustaz Pahrol, silalah mulakan carian 'genta-rasa' dalam peranti elektronik anda. Insya-Allah, jika Allah izinkan, memang hati dan jiwa kita akan dibelasah; bukan lagi diketuk.

Benarlah, manusia itu sifatnya pelupa.

Ada yang lupa dimana dia letakkan kunci kereta. Sedang kalut nak ke tempat kerja, tiba-tiba tak berjumpa dengan kunci kereta. Cari punya cari, rupanya kunci kereta tu dah ada di tangan. Dalam genggaman tangan. Pernah terjadi pada saya.

Tapi paling teruk, manusia selalu lupa bahawa dia pernah tidak melakukan dosa.

Kata Rasulullah, semua anak adam itu melakukan dosa... dan sebaik-baik orang yang berdosa, ialah orang yang meminta keampunan Allah.

Dosa ialah perbuatan.

Macam yang Allayarham TG Nik Aziz pernah nukilkan; "Kaki kita ni, kalau masih lembut, terpijak duri sikit pun akan rasa sakit. Tapi kalau kulitnya sudah keras, pijaklah, mesti tak terasa apa".

Itulah hati. Kalau dahulu, nak buat dosa sedikit pun rasa bersalahnya datang menghambat. Rasa berdosa menjadi hantu.

Tapi jika sudah biasa dengan dosa, usahkan rasa bersalah, rasa berdosa pun tidak. Takut, jauh sekali.

Benar kata orang-orang tua kita, alah bisa tegal biasa.

Jelaslah, semua perkara mengambil masa. Ada yang baik, jika lama tidak dibuat, akan dilupakan. Ada yang jahat, jika dilazimi, akan dibudayakan.

Bukan salah kita kerana berdosa, tapi salah kita kerana tidak berhenti melakukan dosa.

Allah itu Maha Pengampun. Dosa kita yang 30 tahun lepas sekalipun Allah boleh ampunkan. Dosa yang kita ingat-ingat lupa pun Allah boleh ampunkan. Cuma sebagai hamba, kita patut buang sikit ego dan degil kita.

Kita yang selalu berdosa, dan kita tahu itu dosa. Cubalah berubah. Jika hati yang menjadi pusat di mana Allah memerhati itupun tiada rasa mahu simpati Tuhan, bagaimana diri nak berubah?

Kita manusia bukannya kuat. Kalau Allah tak beri kita hidayah, jangan kata nak baca al-Quran, nak sebut nama Allah pun lidah kita diharamkan!

Jangan sombong dengan Tuhan. Sekali-sekala, berhentilah ketawa dan berhentilah tersenyum. Fikir, adakah ketawa ini buatkan aku lupa Tuhanku?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails