#60 Adakah wanita lebih baik bertudung?

Ada dua soalan. Pertama, adakah wanita lebih baik bertudung? Kedua, adakah wanita bertudung itu lebih baik?

Soalan pertama, jawabnya ya. Sebagai wanita Islam, lebih baik jika kita patuh, taat, dan ikut sahaja dengan perintah agama. Soal patuh atau tidak, itu kita jangan bicarakan lagi. Yang penting, kita beriman dahulu. Yakini dan redha bahawa wanita Muslim wajib menutup aurat dengan sempurna. Wajib berhijab, dan wajib berpakaian longgar.

Bagi soalan kedua, jawabnya "tidak semestinya". Ada beberapa sebab mengapa kita tidak boleh memberikan jawapan kepada soalan itu.


Pertama, siapa kita untuk "judge" (menilai) orang.

Kedua, bagaimana kita memahami makna "baik" dan "kebaikan".

Bagi sebab yang pertama, kita bukan siapa-siapa untuk menilai orang lain. Kita cuma nampak apa yang zahir. Kita tak tahu secara dekat, pasti, dan detail sisi-sisi kehidupannya. Kita tak tahu kesusahannya, kekesalannya, kesedihannya, dan perjuangannya (struggle). Maka, kita bukan orang yang layak untuk memberi penilaian.

Sebaliknya, kita cuma memberitahu. Kita diarahkan oleh Tuhan supaya meningatkan, memberitahu, mengajar, dan berkongsi. Sama sekali kita dilarang keras oleh Tuhan daripada menghukum dan menilai seseorang.

Kerana itu, kita mengingatkan. Tutuplah aurat. Kerana itu perintah daripada Tuhan.

Kedua, kita sendiri pun kadangkala keliru dengan definasi baik. Lawan kepada baik ialah jahat. Orang yang melakukan kejahatan, ialah orang yang tidak baik. Kejahatan itu tergolong kepada dua iaitu 'fahsyak' dan 'mungkar'.

Fahsyak ialah kesalahan yang berbentuk nafsu dan pengaruh seks, keseronokan, dan kebebesan. Antaranya seperti dadah, zina, menonton porno, berhibur yang melalaikan, dan semua bentuk kejahatan yang didorong oleh nafsu.

Manakala mungkar ialah kesalahan general dan bersifat jenayah. Seperti pemarah, bergaduh, merosakkan harta awam, derhaka, dan sebagainya.

Di dalam Islam, bukan setiap kesalahan adalah sama dan serupa. Sebagai contoh, memaki orang. Mengeluarkan bahasa atau isyarat lucah dan mencarut, adalah berdosa. Tetapi jika mencarut dan mengeluarkan kata-kata lucah kepada Ibu bapa, guru, dan adik beradik, kesan dan dosanya adalah lebih besar.

Begitu juga dalam ketaatan. Antara orang yang lancar membaca al-Quran dengan orang yang masih gagap dan sedang belajar membacanya, orang yang gagap dan kesukaran itu lebih dihargai di dalam agama kerana pertama, dia membaca al-Quran dan kedua, dia menanggung kesusahan untuk belajar membacanya.

Maka dengan tegas saya menyatakan bahawa dosa, kesalahan, mahupun kebaikan orang lain, itu semua bukannya tugas kita untuk menilainya. Kita cuma lidah yang menasihat dan sahabat yang membimbing.

Kesimpulannya, sekali lagi saya merayu agar wanita Muslim menjaga aurat dan maruah diri. Bukan kerana saya lelaki atau kerana saya 'tergoda'. Saya seorang lelaki Muslim. Patut malu dengan Allah jika dengan rambut perempuan sahajapun sudah bermasalah.

Sebaliknya, menutup aurat ialah tuntutan agama. Anda tak perlu terburu-buru. Yang pertama, perlu redha dahulu. Jangan dipertikaikan hukum Tuhan. Kedua, tinggalkan dan buang (jika mampu) pakaian yang seksi, ketat, dan mencolok mata. Ketiga, barulah berjinak-jinak dengan hijab.

Dan semua itu perlu dimulakan dengan solat yang dijaga terlebih dahulu. Jaga solat, insyaAllah semua urusan kita Allah akan jaga. Tinggal solat, maka usah hairan jika ditinggalkan Tuhan.



Previous
Next Post »
4 Komentar