October 31, 2016

#56 Kedah Juara

Saya peminat bola sepak. Ia adalah sukan yang paling saya gemari walaupun saya sebenarnya kaki bangku. Sedih juga kerana asal main saja, mesti saya terpaksa bermain sebagai pertahanan. Nak menggelecek lawan, tak reti. Nak menjaringkan gol, apatah lagi.

Pasukan kegemaran saya ialah Newcastle United, kelab bola sepak Inggeris yang saya telah sokong sejak saya kanak-kanak. Sekarang Newcastle Utd sedang bermain di liga Championship (liga kedua England) selepas tersingkir daripada lIga utama musim lalu.

Pemain-pemain lagenda seperti Alan Shearer, Gary Speed, Laurent Robert, Nolberto Solano, dan David Ginola suatu ketika pernah menjadi pemain-pemain pujaan saya.

Kawan-kawan selalu ejek, kata saya sokong kelab yang tidak konsisten. Mungkin mereka masih keliru makna sebenar menyokong. Sokong bukan ketika kuat, tapi dalam setiap kelemahan dan kekuatan. Bukan cuma berbangga jika menang, tapi menyumpah seranah jika kalah.

Saya percaya dengan kuasa sukan. Selain daripada menyihatkan badan, sukan juga boleh menjadi tali yang mengikat hati manusia. Sebagai contoh, kita boleh lihat kelab-kelab bolasepak utama dunia, setiap bangsa boleh bermain dalam satu pasukan. Masing-masing boleh berkerjasama untuk menjaringkan gol dan mengekang asakan pihak lawan.


Tapi dalam masa yang sama, ada beberapa perkara tentang sukan (terutamanya bola sepak) perlu kita perhalusi.

Pertama, budaya "betting". Semua orang tahu judi itu haram dan berdosa besar. Tapi tak ramai yang tahu, "betting" atau bertaruh juga ialah salah satu bentuk perjudian dan hukumnya juga haram.

Ada yang kata, "Kita bet teh tarik Mamak. Kalau Man Utd menang, kau belanja aku. Kalau Chelsea menang, aku belanja kau".

Walaupun sekadar seteguk teh tarik, judi tetap berlaku. Serupa juga jika ada pihak menganjurkan mana-mana pertandingan, dan setiap orang yang mahu menyertai pertandingan perlu membayar RM 50 setiap pasukan. Lalu daripada duit tadi, penganjur membeli hadiah bagi pemenang. Maka mereka bersaing merebut hadiah, dan akhirnya ada orang yang menang, dan ada pula yang kerugian. Kalau duit tu diguna untuk kos pengurusan, manakala hadiahnya pula daripada sumbangan daripada 'third party', maka itu harus dan tidak jadi judi.

Kedua, provokasi antara penyokong.

Provokasi ialah satu perkara yang kita perlu elakkan. Kerana ia seperti anai-anai yang memakan tembok kesabaran. Lama kelamaan, bila sabar sudah tiada, maka akan bertukar menjadi pergaduhan dan kekasaran fizikal.

Perkara sebegini sudah banyak kali berlaku tak kira di mana-mana hatta di Malaysia sekalipun sering berlaku. Segalanya akan bermula dengan perang mulut dan kemudian akan berlarutan hingga bergaduh dan merosakkan harta benda.

Sukan seharusanya menyatukan dan bukannya memisahkan.

Ketiga, ejekan dan sindiran.

Serupa dengan provokasi, mengejek dan menyindir juga adalah bunga-bunga perpecahan dan pergaduhan. Bahkan lebih teruk, ia menjadi benang-benang yang akhirnya membentuk budaya dan tabiat mencarut serta menghina. Hinggakan kita boleh tengok anak-anak kecil sendiri pun boleh berakhlak dengan akhlak yang buruk. Perkataan seperti bodoh, celaka dan mampus sudah menjadi biasa. Lebih malang, perkataan yang lebih kesat daripada itu seperti menyebut nama kemaluan (genitals) juga sudah ditutur tanpa ada rasa malu.

Adapun soal pakai seluar pendek dan nampak aurat (lutut), itu bukan urusan kita. Itu urusan antara mereka dengan Tuhan. Tapi rasanya beberapa tahun kebelakangan ini, pemain bola sepak di Malaysia pun ramai yang sudah ada kesedaran tentang aurat. Bahkan tidak melampau jika saya katakan majoriti sudah pun memilih untuk memakai 'seluar tight' yang melepasi lutut.

Cantiknya Islam, aspek sukan pun dititik beratkan. Tidak hanya kepada ahli sukan, tapi juga kepada penontonnya. Celah mana sekalipun, ada saja hukum dan disiplin Islam padanya.

Jika dahulu orang tua-tua kata permainan bola sepak ni haram dimainkan kerana permainan ini ditiru daripada peristiwa kepala Saidina Hussain yang dipenggal dan kepala di sepak-sepak oleh pembunuhnya. Tapi sekarang, kita boleh sanggah semua cerita merepek itu dengan yakinnya.

Bersukan digalakkan di dalam Islam. Badan sihat, otak pun cerdas. Maka tak adalah mudah-mudah nak percaya dan sampaikan cerita-cerita dungu.



October 29, 2016

#55 Kehidupan yang simple

Semua orang mahukan kehidupan yang mudah. Tidak komplikated. Bebas melakukan apa yang dia mahu dan bebas pergi mana-mana saja yang mereka suka. Tapi tak ramai yang faham bagaimana kehidupan yang mudah itu sebenarnya.

Kehidupan yang mudah bukanlah kehidupan tanpa usaha. Setiap benda yang kita mahu, ada harganya.


Pernah suatu ketika seorang alim berjumpa dengan kawannya dahulu sama-sama alim juga. Dia terkejut melihat keadaan sahabatnya yang nampak tidak terurus dan miskin. Dia tanya, "Apa yang menyebabkan keadaanmu begini?"

Jawab sahabatnya, "Kecintaanku pada akhirat dan kebencianku kepada dunia menyebabkan aku tidak mahu lalai mencarinya"

Orang alim itu berkata, "Kamu benar. Tapi bukankah Rasulullah S.A.W berkata, tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Mengapa kamu tidak mahu menjadi orang yang boleh memberi, tetapi menjadi orang yang menerima bantuan".

Sahabatnya itu insaf, "Kamu telah menyedarkanku".

Kehidupan yang simple, pertama, perlu tetap berpendapatan. Tidak sama antara berpendapatan tetap dengan tetap berpendapatan. Islam tak menyuruh kita ada kerja tetap, tetapi Islam menyuruh kita supaya berusaha dan tidak meminta-minta kepada orang.

Hinggakan Nabi S.A.W puji orang yang pergi ke hutan mencari kayu, dan memotongnya lalu dijual sebagai kayu api. Berusaha dengan kudrat sendiri jauh lebih baik daripada meminta dengan manusia.

Kerjalah apa sahaja. Jangan kejar glamour saja. Populariti tidak dapat membeli beras di pasaraya.

Kedua, hidup yang simple ialah bebas daripada pengaruh orang lain.

Manusia suka bercakap. Tapi bukan bermakna setiap cakap-cakap orang, kita perlu ikut. Orang keliling pasang ASTRO, kita terpengaruh. Orang keliling layan Akademi Fantasia, kita pun terpaksa layan. Orang lain menambah perabot dan perhiasan di rumah, kita pun tak mahu kalah. Akhirnya setiap yang orang buat, kita nak buat.

Maka hidup kita sampai bila pun tak akan tenang. Kita akan penat untuk memuaskan hati orang. Buat apa sahaja, mesti ada yang tak betul. Akhirnya memakan diri kita sendiri.

Ketiga, bebas hutang. Jika terpaksa berhutang, maka pilihlah pinjaman islamik. Dan jangan lupa beli polisi perlindungan takaful untuk hutang-hutang kita. Mudah-mudahan jika mati mengejut, takaful boleh cover segala hutang dunia kita dan semoga roh kita tidak ditahan oleh Malaikat daripada naik bertemu Ilahi.

Keempat, bijak berbelanja. Berbelanja ikut keperluan dan kemampuan. Jangan menambah hutang. Beli sesuatu yang benar-benar diperlukan. Bahkan perlu asingkan satu bahagian wang untuk sedekah sunnat dan zakat pendapatan. Ingat bahawa di dalam dompet kita, ada not-not kertas milik mereka yang meminta-minta dan tidak meminta-minta.

Kelima, menambah sahabat. Menjalinkan hubungan silaturrahim ialah suatu sangat elok dan dinilai baik oleh Islam. Bahkan dalam hadis disebut bahawa umur orang yang suka bersilaturrahim ini akan dipanjangkan Allah. Bila ramai sahabat, senang. Ada masalah, ramai yang boleh membantu.

Keenam, jauhi permusuhan. Jika ada orang buat tak baik kepada kita, bersabarlah. Jika tak mampu bersabar, maka jauhinya. Jika tidak boleh juga, maka gunakanlah lunas-lunas perundangan. Jangan bertindak melulu. Kekerasan fizikal bukan penyelesaian. Manusia yang jahat ialah manusia yang berpenyakit. Jika tidak mampu diubati, maka perlu dikuarintin.

Ketujuh, tegakkan Islam dalam kehidupan. Sempurnakan cycle kehidupan harian kita dengan seimbangkan antara tuntutan dunia dan tuntutan akhirat. Jika siang kita bekerja, maka malam kita beribadah dan berehat. Jangan terlalu gigih bekerja hingga tiada masa untuk melaksanakan ibadah sunnat seperti solat sunat, zikir, dan mengaji. Atau jangan juga terlalu asyik bersukan dan berhibur hingga dilalaikan daripada beribadah dan ingat Tuhan.

Kata Allah dalam surah al-Qosas, "Carilah apa-apa yang Allah berikan kepadamu untuk bekalan akhirat, tapi jangan pula kamu lupa bahagianmu di dunia".

Akhirat itu destinasi abadi kita. Rumah kita buat selamanya. Dunia cuma rumah tumpangan kita. Belum ada lagi manusia yang dikafan bersama tiang dan bumbung rumahnya. Tapi siapa kata kita tak boleh berseronok, berehat, dan bergembira di dalam rumah dunia kita sekarang?

Yang penting, siapkan bekal. Keretapi yang membawa kita ke alam barzakh bila-bila masa saja akan bergerak. Tiket dah dibeli, takut tuannya saja masih tertidur lagi.


October 28, 2016

#54 Permusuhan 1000 tahun Islamis dengan Popularis.

Ada orang dia seronok mendengar hadis, "Islam datang sebagai suatu yang asing, dan akan kembali menjadi asing".

Hatinya membunga-bunga dan mula membayangkan syurga. Kononnya tidak mengapa jadi terasing, asal sahaja terasing dalam kebenaran.

Pernah tak ahli surau berfikir, mengapa orang ramai lebih selesa pergi ke kedai mamak berbanding pergi ke surau?

Pernah tak ustaz-ustaz yang duk marah orang yang tak datang masjid, berfikir, mengapa majlis ilmu tidak digemari berbanding majlis hiburan?

Pernah tak juga kita sendiri berfikir, kenapa kita lebih mudah mesra dan hormat dengan orang lain, tapi tidak dengan orang agama?

Terasa ada jurang yang dalam, atau pagar yang tinggi yang memisah antara kita dan mereka. Padahal kita sama-sama belum dijamin syurga dan sama-sama belum dijamin lepas dari neraka. Tapi mengapa ada tembok lutsinar yang saban hari makin menjarakkan antara kita dan mereka?

Jawabnya kerana ahli agama tidak mahu menjadi golongan popularis. Sebaliknya yang gigih untuk meraih sokongan dan sorakan ini ialah golongan yang para Islamis itu gelarkan sebagai "sekularis, atau liberalis".


Ada seorang tradisionalis (dia belajar pesantren) merungut kerana pengaruh yang kuat daripada golongan neo-salafi dan pseudo-salafi.

"Habis orang awam semua dah mula mempertikaikan institusi pondok", keluhnya.

Padahal tiada siapa yang menyesatkan sesiapa. Itu hanya sebuah persepsi.

Hakikatnya, manusia ini seperti sekumpulan kucing yang kelaparan. Jika ada orang yang memberinya makan, maka orang itulah yang menjadi tuannya. Dia akan taat, manja, patuh dan sayang pada tuannya.

Begitu juga manusia. Hari ini, siapa yang menjadi pejuang isu rakyat golongan itulah yang menjadi wira dan ikutan rakyat.

Kita yang solat lima kali sehari ini, garu kepala sendiri. "Kenapa ideologi sesat sebegitu pun ada orang nak ikut?"

Padahal kita tak tahu yang sebenarnya pengikut dan penyokong mereka mengikuti mereka kerana merasakan ketua mereka ialah pejuang sebenar.

Kita ini benar, tapi tidak benar-benar berada di jalan dan penjuangan yang benar.

Maka, ustaz-ustaz yang bertempik, berhujah panjang lebar, dan apa-apa sekalipun, semua itu tak berguna dan tidak akan berjaya menawan hati masyarakat kerana masyarakat perlukan suatu yang lebih daripada sekadar syurga di akhirat, iaitu 'harapan' di dunia.

Kerana pihak yang benar tidak memberi harapan, maka masyarat akan terus mencari-cari hinggalah mereka bertemu dengan harapan tapi berada di padang yang salah.

Bahkan ada yang murtad kerana 'harapan' dan 'kasih-sayang' daripada Jesus. Salah siapa? Salah kitalah. Orang tu terkapai-kapai nak lemas. Kita yang konon baik ini sekadar bersimpati, tapi para missionary terjun pergi menyelamatkan.

Para Islamis,

1) Berehatlah daripada bergaduh sesama sendiri. Bila kita disibukkan untuk mencari kesalahan pihak yang kita gelar sebagai wahabi, pengganas, atau ahli kubur dan ahli bida'ah, maka kita akan terlupa dengan golongan yang bernama Liberalis dan Sekularis. Mereka semakin popular tapi tidak kita.

2) Orang Islam yang sebenar tidak hanya perjuangkan Islam di dalam solat dan ibadah rutin tetapi Islam yang sebenar ialah yang menjaga alam sekitar daripada pelombongan yang rakus atau pembalakan yang tamak. Juara kepada isu-isu rakyat sepatutnya milik orang Islam. Bukankah kita ini khalifah, jadi mengapa perlu sempitkannya hanya di masjid dan surau.

3) Dakwah golongan Islamis perlu dipelbagaikan tidak hanya di masjid dan surau.

4) Berikan harapan kepada semua orang. Dan tunjukkan kasih sayang kepada seluruh makhluk. Semua manusia ada peluang berubah menjadi baik. Jangan tutup pintu kasih sayang kerana dosa dan kesilapan orang dan jangan berhenti berikannya harapan untuk kembali ke pangkal jalan.

5) Bergaullah dengan semua orang, kerana mudah-mudahan mereka kenal Islam melalui sisi baik kita dan bukannya dari sisi jahat kita.

Orang kata Wahabi bahaya, saya tegaskan Liberalis lebih bahaya. Orang kata buat Bida'ah jenayah agama, saya kata Sekularis bahkan lebih besar jenayahnya.

#53 Stress dan bunuh diri.

Beberapa hari lepas, hangat di media sosial tentang orang membunuh diri di Jambatan Pulau Pinang. Yang menjadikannya disebut-sebut ialah kerana sebelum dia membunuh diri, dia sempat meninggalkan nota di Facebook.

Panjang lebar dia bercerita tentang masalah-masalahnya. Satu per satu rasa tidak puas hati diluahkan. Dan akhirnya, ada sebuah nasihat kepada PAS supaya kembali bersatu dengan blok pembangkang.

Tentang hukum, kita cuma boleh kata, "Semoga Allah mengampunkan dan merahmatinya". Orang dah meninggal. Bab dosanya biarkan dia dan Tuhannya. Allah itu Maha Pengampun, dan dalam masa yang sama, Allah juga Maha Adil. Semua orang harapkan rahmat Allah. Kita yang masih hidup ni kena beringat bahawa membunuh diri ialah perbuatan yang sangat salah dan tidak menyelaikan apa-apa masalah.


Cuma nak disebut di sini ialah tentang pengurusan tekanan (stress). Semua orang akan ada masalah. Ada orang diuji dengan masalah wang, ada pula masalah kesihatan. Ada juga yang masalah keluarga, dan ada pula kerana politik dan perundangan.

Apabila berdepan dengan masalah, kita perlu mengingati kembali bahawa setiap masalah itu datang daripada Allah. Sebagaimana nikmat yang juga datang daripada Tuhan yang sama.

Manusia sering lupa pada nikmat. Saat diuji, pasti akan bertanya, "Mengapa aku? Kenapa bukan orang lain? Orang lain lagi jahat daripada aku tapi tak kena pun",

Tapi kalau diberi nikmat, mulut kita tak ada pula nak mempersoalkan, "Mengapa aku? Mengapa bukan orang lain!".

Nikmat Tuhan sebenarnya terlalu banyak, dan ujiannya sebenarnya terlalu sedikit. Yang menjadikan hati kita sesak bila diuji ialah bila kita memandang kepada orang lain. Orang yang dituduh atas kesalahan tak sampai RM 200 ringgit, jika dia memandang kepada orang yang mencuri RM 2.6 Billion, memanglah dia akan susah untuk redha.

Kita selalu baca di dalam surah al-Fatihah, "maa liki yau mid din", maksudnya Tuhan yang menguasai hari pembalasan. Secara tak langsung kita yakin bahawa ada hari pembalasan. Bahkan kita juga yakin, di saat itu Hakim dan juri bukan manusia yang boleh dibeli dengan wang, tetapi Hakim pada hari itu ialah Allah, Tuhan Yang Maha Adil.

Kita sering dizalimi di dunia. Ada hak yang tidak dipenuhi. Ada hukuman yang tidak setimpal. Ini kerana dunia ini sendiri menjunjung perundangan Lord Reid, bukannya keadilan Syariah. Dari satu sudut, padan muka kepada kita sebab benci sangat dengan hukum syariah.

Tapi satu sudut yang lain, kitalah yang sengsara kerana susah hendak mendapat keadilan. Curi 2 tin sardin kena penjara, tapi rasuah hampir 2 juta ringgit, boleh lagi pergi minum kopi.

Membunuh diri tak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Contoh terdekat ialah sahabat kita itu. Tulis nota panjang-panjang, adakah 'pemimpin' dan 'pemerintah' yang seorang itu akan 'terasa'? Usahkan hendak sentap, hendak baca pun mungkin tidak. Percayalah bahawa kezaliman di dalam dunia akan sentiasa wujud. Terlepas satu, akan pergi kepada satu lagi.

Yang kita boleh lakukan cuma menegakkan keadilan di dalam diri. Perjuangkan keadilan, dan berpegang teguh dengannya. Jangan zalimi sesiapa kerana kita akan berurusan dengan Tuhan atas kezaliman kita kepada makhluk-Nya.

Percayalah, orang yang songlap dan kaki rasuah, di dunia ini sahaja mereka boleh ketawa. Maka biarlah mereka ketawa puas-puas. Tidak lama lagi giliran kita pula mentertawakan mereka.

October 26, 2016

#52 Biarkan, jangan ditegur.

Ada orang yang tak boleh ditegur. Bila ditegur, makin menjadi-jadi nakalnya. Seperti kanak-kanak yang belum matang walaupun rambutnya sudah tidak hitam. Sayang sekali kerana mereka ini bukan calang-calang golongan. Ada yang menjadi contoh rujukan. Setiap detail kehidupan, banyak mata yang memerhati. Penuh minat dan jadi inspirasi.

Maka teguran dan nasihat terbaik untuk mereka ialah dengan tidak menegur. Nasihat baginya cuma di dalam doa. Biar jadi antara Tuhan dan kamu berdua.

Saya tak mahu berkata siapa-siapa. Saya cuma mahu ambil contoh, seperti seorang lelaki yang memakai rantai. Kita menegurnya dengan berkata, "Tuan, lelaki tak boleh pakai rantai. Berdosa".

Kita bersangka baik konon-konon dia akan berkata, "Oh yakah. Terima kasih mengingatkan",

Padahal yang sebenar, "Siapa awak nak tegur saya. Jaga tepi kain sendirilah".

Kalau dia nak menang mulut sahaja tak apa lagi, tapi kerana jiwa rebel dan alahan yang teruk kepada agama, maka esoknya dia pakai dua utas rantai pula. Jika masih ditegur, dia pakai rantai emas pula!

Di pihak kita memanglah kita sekadar geleng kepala. "Orang nasihat tak nak dengar", keluh kita.

Tapi di pihak mereka, mereka berasa bangga berjaya membuatkan kita 'geleng kepala'. Mereka bersorak kerana merasa seakan-akan telah beroleh kemenangan moral sedangkan mereka sebenarnya sudah makin tenggelam dan kelemasan.

Niat kita mungkin baik. Tapi kita sudah menjadi "haters" baginya. Dan "haters" bagi kawan-kawannya juga.

Begitu juga perempuan yang tidak menutup aurat. Pertama sekali, siapa kita untuk menegur mereka. Setiap orang suka jika kritikan atau nasihat dilakukan secara peribadi, bukannya di khalayak umum. Semua orang tak suka dimalukan, sekalipun orang itu sendiri tak ada rasa malu.

Jika kita bukan siapa-siapa, hanya kebetulan ternampak dia, maka elok diberikan keutamaan kepada orang yang dia senangi untuk menegurnya. Kerana kita tak mahu, daripada elok-elok bencikan tudung, kebencian dan kekecewaannya berlarutan kepada benci kepada orang agama, atau benci kepada agama itu sendiri.

Seperti yang terjadi kepada sahabat dan saudara kita dalam gerakan liberal dan sekular. Mereka sebenarnya tidak benci pun kepada Allah dan Rasul. Mereka cuma ada pengalaman pahit berurusan dengan ahli agama, badan agama, atau insitusi keagamaan seperti JAKIM, mahkamah syariah, dan sebagainya.

Tetapi kerana siri kekecewaan yang berlarutan, jiwa mereka meronta-ronta untuk melawan dan mengubah hukum Tuhan.

Jiwa rebel itu benar-benar wujud. Ada yang sekadar mempertikaikan badan agama, tapi ada yang sampai mempertikaikan agama itu sendiri!

Maka bila berdepan dengan manusia gaya ini, lebih baik kita diam. Biarkan luncai terjun dengan labu-labunya. Jika Luncai pandai berenang, InsyaAllah dia dan labu-labunya pun tak akan tenggelam. Tapi jika kita ghairah sangat nak selamatkan Luncai, bimbang-bimbang hulubalang raja akan nampak, lalu dengan kita sekali dibawa mengadap Raja dan dituduh bersubahat dengan Luncai menipu Raja.


Nasihat itu baik. Tapi kadangkala tidak memberi nasihat juga baik. Guna akal untuk menilai situasi.



#51 Pedofilia

Pedofilia ialah istilah baharu pada saya. Sebelum ini saya tak pernah tahu pun kewujudan golongan ini. Tak pernah terdetik langsung wujudnya manusia sejahat ini.

Pedofilia ialah sebuah penyakit seksual. Mungkin tidak melampau jika kita katakan bahawa ia adalah sebuah penyakit mental. Kegilaan yang tidak terjangkau dek akal. Bagaimana mungkin seorang orang dewasa tergamak untuk menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran bagi mereka melampiaskan nafsu!

Jika kita membaca sejarah, rupa-rupanya jenayah seksual ini bukan suatu yang baharu. Bahkan sudah ribuan tahun dicatatkan kes-kes sebegini. Ada yang berjaya mendapat keadilan tetapi lebih ramai yang tidak.

Bila bercakap tentang jenayah seksual, saya teringat pada sebuah kisah yang menyayat hati berlaku di zaman Nabi. Kisah ini disebutkan oleh Imam Ghazali dalam kitab Mukasyafah al-Qulub.

Suatu hari, Saidina Umar mendatangi Rasulullah S.A.W sambil teresak-esak. Lalu Rasulullah pun bertanya, mengapa Umar menangis sebegitu. Umar R.A pun berkata, tadi dia ada bertemu dengan seorang pemuda dan pemuda itu menangis dengan sangat teruk. Rasulullah S.A.W kemudian memanggil pemuda itu lalu bertanyakan punca dia menangis. Maka berlakulah dialog antara pemuda itu dengan Rasulullah S.A.W.

"Wahai anak muda, mengapa kamu menangis?"

"Aku telah melakukan dosa yang sangat besar", jawabnya penuh kesal.

"Adakah dosamu atau arasyh Allah yang lebih besar?", soal Baginda.

"Dosaku lebih besar", akuinya.

"Adakah dosamu lebih besar, atau rahmat Allah lebih besar?"

"Maha Suci Allah. RahmatNya adalah lebih besar", akur pemuda tadi.

"Ceritakan kepadaku apa yang telah kau lakukan", pinta Rasulullah.

Pemuda itu menggeleng. "Tapi aku malu padamu Ya Rasulullah"

"Tak apa. Ceritakannya saja", pinta Baginda. Lalu pemuda itu pun membuka mulut.

"Aku bekerja sebagai seorang penggali kubur. Suatu hari, aku telah menanam mayat seorang wanita ansar. Pada sebelah malamnya, aku pergi menggali kuburnya untuk pergi mencuri kain kafannya. Ketika aku mahu pergi, syaitan telah menggodaku. Aku tertarik dan nafsuku bergelora melihat mayat wanita itu lalu aku kembali untuk menjimaknya. Selepas puas, aku pun mahu pulang. Tiba-tiba mayat wanita itu berseru kepadaku, 'Celakalah kamu. Kamu telah meninggalkan aku dalam keadaan auratku terbuka dan dalam keadaan junub, menghadap Tuhanku'. Aku takut lalu lari".

Mendengarkan perkataan lelaki itu, Rasulullah S.A.W berpaling dan enggan memandang pemuda itu.

Akhirnya pemuda itu pun pergi ke suatu tempat dan dia bertaubat bersungguh-sungguh. Menangisi dosa dan kesalahannya, hingga selepas beberapa hari, datang perkhabaran daripada malaikat Jibril bahawa taubatnya diterima.

Beberapa pengajaran untuk kita,

1) Bahawa di dalam diri kita ada nafsu yang liar, dan di keliling kita ada syaitan yang licik. Jika bukan kerana Allah pelihara kita, mungkin kita juga akan 'kerasukan' hingga boleh melakukan perkara yang tak terjangkau oleh akal.

2) Sebuah dosa akan sentiasa membawa kepada dosa yang lebih besar. Seperti rantai yang bersambung. Dalan cerita diatas, lelaki itu sebenarnya cuma mahu mencuri kain kapan tetapi berakhir dengan menyutubuhi pula. Ada orang dia pecah rumah sebab nak mencuri saja tapi bila tengok di dalam rumah ada gadis, dia merogol pula. Dan kerana takut gadis itu membuat repot polis, dia membunuhnya pula! Dosa kecil yang dibuat tanpa ada rasa bersalah akan menyebabkan hati kita cukup kental untuk membuat dosa besar!

3) Taubat perlukan suasana. Ramai yang kata sudah bertaubat, tapi tersungkur pada dosa lama kerana suasana yang tidak membantu. Kerana itu jika nak bertaubat, elok jika kita asingkan diri daripada suasana kita yang sekarang. Jika perlu deactive Fb, Tweeter atau IG, maka lakukannya. Kita tak mahu taubat yang dibuat main-main.

Api tak akan marak tiba-tiba. Tetapi jika ada bahan yang elok untuk dibuat bakar, maka ia akan marak memakan apa sahaja.

Begitu juga pedofil. Mereka tak akan terus dengan rogol tetapi mereka bermula dengan menonton aksi-aksi ringan di dalam Tv sebelum bertukar kepada aksi-aksi jijik di pentas pornografi.

Selepas kita faham, adakah kita masih akan berkata 'okey' bagi adengan erotik di dalam drama melayu?

October 25, 2016

#50 Figur melayu apologetik

Nampaknya isu halal JAKIM dah mulai reda selepas beberapa hari. Maka saya rasa inilah masa yang seseuai untuk kita memberi penerangan. Macam orang yang sedang mengamuk. Bila tengah mengamuk, kita cakap apa pun dia tak akan terima. Tapi bila dia sudah sabar dan bertenang, barulah dia akan mendengar dan berfikir dengan waras semula.

Orang kata, "Alah nama saja. Tak akan kurang keislaman saya kerana nama sesuatu benda".

Hari ini, dalam keratan akhbar Berita Harian, sudah berada di pasaran burger daging babi dengan nama "P. Ramly". Jika kita merasakan benda ini sebagai perkara kecil maka usah salahkan anak kita jika termakan daging babi hanya kerana nampak perkataan "Ramly". Barangkali mereka terlepas pandang pada huruf "P" dihadapan atau mungkin tak nampak perkataan "pork". Itu kan cuma kesilapan kecil (yang sepatutnya boleh dielakkan dengan lebih awal).


Melayu yang apologetik kadangkala lebih laju daripada The Flash.
Tempoh hari, ada beberapa figur melayu iaitu tokoh agama dan selebriti Tv yang sudah berhijrah, yang menjadi minyak yang memarakkan lagi serangan kepada JAKIM. Ini bukan kali pertama mereka bersikap begitu. Dan tak mustahil, akan berulang lagi.

Kita terlalu sukar untuk bersangka baik. Sebaliknya kita bersikap kebudak-budakan. Sepak terajang dahulu, tanya kemudian. Bila sudah terluka, baru sibuk mencari ubat.

Begitulah sebagaimana yang terjadi terhadap aplikasi Pokemon Go. Sejujurnya saya pun pernah main permainan itu dahulu tetapi sudah hampir sebulan juga saya berhenti. Bukan kerana haram, tapi kerana bosan.

Kontroversi mengenai permainan ini bermula apabila media (sudah berulang kali) mengambil nasihat Mufti secara salah. Sudah beberapa kali ditegaskan oleh mufti bahawa secara peribadi, beliau menyarankan agar permainan ini dijauhi. Bukan meletakkan terus label haram padanya.

Sejak hari pertama lagi saya tahu bahawa atas kapasiti beliau sebagai seorang mufti, adalah amat mustahil beliau akan mengeluarkan hukum sewenang-wenangnya. Sebagaimana permainan komputer yang lain seperti Dota dan COC, Pokemon Go juga tertakluk kepada disiplin yang serupa.

Setiap benda ialah halal kecuali terpalit dengan elemen yang haram seperti perjudian, erotik, dan perkara-perkara yang tidak bermoral lain. Ia juga akan menjadi haram jika mendatangkan mudharat kerana kesan ketagihan. Antaranya seperti lalai dan cuai daripada tugasan.

Malang sekali, bukan seorang dua yang menghentam mufti. Tapi mufti ialah mufti. Tidak membalas cacian dengan cacian. Hari ini kita lihat sendiri, apa yang dah jadi dengan permainan Pokemon Go ini? Hanya segelintir yang masih bermain. Yang berteriak seperti gorilla di hutan dahulu pun sudah tidak main. Sekadar seronok mengikut orang mencaci maki institusi Mufti.

Saya cadangkan anda meminta maaf kepada beliau secara personal. Itu pun jika anda mahu belajar daripada kesilapan.

Hal yang sama berlaku dalam polemik menterjemah kitab Bible ke dalam bahasa Malaysia. Sesetengah orang berkata dengan bangga, "Takkanlah akidah engkau selemah itu?"

Padahal kita lupa bahawa kita hidup bersama orang lain. Ada antara kita yang memang mudah terpengaruh. Ada pula yang mempunyai pengalaman buruk dengan bangsa melayu (dan islam). Mereka adalah sasaran mudah untuk dipesongkan. Ada juga orang yang terdesak dan memerlukan bantuan segera, hingga akidah pun boleh digalang ganti.

Manusia, luarannya sahaja nampak gagah tapi dalamannya mungkin rapuh.

Ada pihak mahu jadi juara dengan menyokong agenda terjemahan. Seolah-olah tiada kesan buruk. Sebaliknya mereka menyalahkan pula golongan yang lemah dan tertindas kerana tidak kuat akidah seperti mereka. Tetapi bila ditanya apa yang telah para apologetik ini perjuangkan kepada golongan yang mereka panggil lemah ini, jawabnya tiada. Sekadar mengkritik. Dan akan terus mengkritik.

Islam tak akan bertambah maju jika umatnya hanya pandai mengkritik. Semua benda salah. Semua benda tidak betul. Kita sahaja yang betul. Ya, hanya kita yang betul, betul-betul berpenyakit!

Nasihat saya, jika selepas ini ada lagi isu sensasi yang timbul melibatkan apa-apa saja, kita cuba untuk;
1- Bertenang dan jangan terikut-ikut orang ramai.
2- Cuba mencari ruang untuk bersangka baik kecuali ada bukti mengatakan sebaliknya.
3- Tunggu cerita daripada kedua-dua belah pihak.
4- Jangan 'share' jika ia boleh mengaibkan sesiapa.
5- Jadi seperti air yang memadamkan api, bukannya seperti minyak yang memarakkan lagi.

Jangan terlalu laju hingga menjadi bahan ketawa pula. Apa tidaknya, makan coklat cadbury pun boleh minta untuk buat 'tukar darah'. (Blood transfusion). Semoga kita menjadi melayu yang matang, bukan melayu apologetik.

October 24, 2016

#49 Untold story of Islam and terrorism

Modern days, we heard a lot about terrorism. Honestly, i am saddened by this. No soul is less valueable than others. Adding insult to injury, the name of Islam is spoiled because the terrorists claim themselves as a muslim whislt there are nowhere close to be one.


Muslim woldwide suffered from multiple slanders and accusations. That also involves physical attack especially on Muslim living in Europe.

The likes of al-Qaeda, ISIS, Daesh, Boko Haram, Taliban, and few others, are a disgrace. They are satan impersonating a man!

Please let me prove to you that real teachings of Islam is based on peacefulness. It is total opposite to what those millitants are claiming and yelling.

Firstly, Islam behold one's soul. In one hadith, prophet Muhammad said, if two person are arguing over something, and they start a fight and kill his enemy, the killer and deceased both will go to hell.

This raises the eyebrows of sahabah (companion of prophet Muhammad). They asked Prophet Muhammad, "If the killer goes to hell, then we understand. But why the deceased also will go to hell?"

Then Prophet Muhammad replied, "Isn't he determined to kill his enemy too?"

(This hadith is narrated by Bukhari and Muslim).

There also few verses in al-Quran where Allah condemn killings and any barbaric act. Thus, i found nothing that link Islam with terrorism.

Some people define "good" as "less evil than others". Hence, they came out with statistics of genocide from past centuries. One example will be the genocide during World War 1. The death toll is 17 millions with over 20 millons were left wounded, and this has nothing to do with Muslim.

However i don't feel this "me is less evil than you" game works. It still does not justify the killings!

As a muslim myself, i am confused and shock to hear about blood spill involving Muslim. Until i realize, they are not a Muslim. A false claim with a foul intention. They embraced another teachings and doctrine, but claimed that as Islam. A lot of people has ben fooled and deceived. Others resisted, and killed.

If we study about terrorism, we can see the similar trend among them. First, they are thirst for power. They are willing to do everything in order to gain political control of a territory. This involves killings and torturing the innocents.

Second, they are spreading fears amongs the people. Hence, their people will not resist them and will always follow their order.

Third, they discourage education. For them, education is enemy. When people getting well educated, they can think of right and wrong. Those millitant dislike when people tell that their act is wrong, so they want their people to stay dumb and never questioned them.

These are few distictive traits of a terrorists organisation regardless of its archipelago. I dont really interested to elaborate more on this because i only interested in dismantling the 'terrorist' remarks away from Muslims.

I love to repeat, the act of terrorism has nothing to do with Islam. They just simply use religion as their sword to slaughter their enemy, and as a shield to silence the critics. For years, religion has been abused to gain support from their dumb-ass followers. They bargain the God's name to sanction their act. This is real savage!

Once, prophet Muhammad S.A.W told that there was a lady who has a cat as her pet. She abandoned her cat until it dies from hunger. Thus Prophet Muhammad said, the lady will be punished by God.

Also, there was a prostitute that been welcomed to heaven because she helped a thirsty dog by giving her some water. God love her action thus He forgave her and give her a ticket to enter paradise.

These two beautiful story teaches us that showing compassion toward animal is a good deeds and to be cruel to them, is a sinful act and punisable by God. Thus, how about amongs ouselves? Surely that doing good among human being is more rewarding, and doing bad to one of us is more punishable.

Please don't trust everything you read. We have brain. We must think. We are not Donald Trump.



#48 Semoga Tuhan bimbing, sungguh?

Apa yang saya bakal tulis ini ialah satu pandangan yang tidak popular. Mungkin mengundang kritikan. Tetapi saya terbuka untuk dikritik dan diperbetulkan jika perlu.

Di dalam dunia ni, kita perlu menerima hakikat bahawa bukan orang Islam sahaja yang baik tetapi ramai orang bukan islam yang baik. Di Malaysia sendiri, yang jadi juara dalam ranking jenayah pun ialah orang islam. Ada 'bin' pada namanya. Tetapi kita membantah keras dan tidak bersetuju dengan mereka.

Di antara orang bukan Islam yang baik ini, kita boleh lihat titik peluh mereka memperjuangkan kehidupan yang lebih baik terhadap orang lain. Saya kerap mengintai 'post' Facebook saudara Kuan Chee Heng. Setiap aktiviti kemanusiaan dan kemasyarakatan yang dia serta pasukannya buat, semuanya akan dimuat naik ke profil Fb nya.


Saya baca komen netizen yang pelbagai. Ada yang berterima kasih, memuji, dan kagum dengannya. Tak kurang pula ada yang berazam untuk turut serta menjadi manusia yang baik sepertinya.

Tapi ada segelinitr umat Islam yang meninggalkan komen, "Semoga Encik Kuan diberikan hidayah masuk ke dalam Islam".

Bukan sekali dua, tetapi sudah berkali-kali.

Ada beberapa isu yang timbul yang perlu kita bincangkan. Seperti saya tegaskan tadi, kita bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree). Patahkan hujah dengan hujah.

Pertama, hormati agama dan kepercayaan orang. Cuba kita bayangkan, jika seorang lelaki Hindu atau lelaki Kristian berkata kepada kita, "Semoga kamu diberi petunjuk untuk masuk dalam agama Hindu", atau "Semoga Jesus membimbing kamu ke jalan yang sebenar", apakah yang kita rasa. Mungkin kita akan tersenyum kelat di depan orang, tapi jauh di sudut hati, jika kita tidak marah sekalipun, kita pasti tidak akan selesa bukan.

It takes two to tango. Jangan minta orang hormat kepercayaan kita jika kita tidak mahu menghormati kepercayaan mereka.

Kedua, jika sungguh, maka sungguh-sungguhlah! Jika kita betul-betul mahukan hidayah kepada seseorang, maka caranya bukanlah dengan 'berdoa' di Facebook atau dihadapannya. Sebaliknya bangunlah bertahajjud, buat solat hajat, dan berdoalah bersungguh-sungguh dengan menyebut namanya. Biar jadi rahsia antara kita dengan Tuhan. Bukannya menjadi persepsi antara kita dengan masyarakat. Budaya berdoa di media sosial ialah perlu dihentikan.

Ketiga, adakah apabila kita menulis, "Semoga Allah bukakan hati kamu untuk menerima Islam", itu bermakna kita sudah berdakwah? Belum lagi. Di zaman Rasulullah S.A.W, Baginda bukan semata-mata meminta manusia meninggalkan syirik tetapi Baginda menunjuk dan menerangkan. Bahkan disebut di dalam Hadis, ramai para pemimpin dan ketua agama telah datang ke Madinah untuk bejumpa Baginda untuk berbincang hal agama. Kadangkala perbincangan itu berlarutan hingga beberapa hari. Hujah dilawan dengan hujah kerana makanan akal ialah bukti bukannya cerita-cerita.

Benar, ada beberapa situasi, Baginda mengutuskan surat sahaja. Antaranya kepada pemimpin-pemimpin negara di sekitar Tanah Arab seperti Raja Rom, raja Parsi, raja Habsyah dan juga Bahrain. Tapi di dalam suratnya ada seruan supaya mentauhidkan Allah dan penerangan-penerangan tentang Islam. Bukan ajak sekadar ajak, akhirnya menjadi seperti melepaskan batuk di tangga.

Ada pepatah arab, "Orang yang tidak memiliki tidak dapat memberi".

Kerana itulah saya selalu menegaskan bahawa Islam itu bermula dengan diri kita sendiri. Kita tengok orang melakukan maksiat dan meninggalkan kewajipan, tapi itu 'kubur' dia. Kubur kita ialah maksiat dan ketaatan kita. Kita cuma berkewajipan untuk memberitahu dan mengajak. Dia mahu atau tidak mahu, itu urusannya dengan Allah.

Tapi sebelum kita dapat 'memberi' kepada orang, kita sendiri dahulu perlu 'memiliki'. Mari mulakan hari ini. Kita fahami agama sendiri. Mudah-mudahan jika niat kita ikhlas, Allah pilih kita untuk menjadi jalan hidayah kepada orang lain juga.

Kerana sesungguhnya kita ini tidaklah lebih baik daripada orang lain.

October 23, 2016

#47 The untold story about haram

It has been a while since i last wrote in english. This is solely because i am not very confident with my petty english. However i feel the urge to write something in English hoping that i can enlighten those with poor command in bahasa Malaysia.


One of the biggest confusion hacked by Malaysian, is the haram remarks. This remarks has been widely used as a mocking tool to fuel the hate fire. Very few understand what is haram, but very often we see people uses this term recklessly either to ridicule people or to bully them.

What i can say is, ignorance leads to bigotry.

With all due respect, please let me explain what is haram, how does it is applied, and how significant is this haram things to do with muslims.

In simpler words, haram means something prohibited either directly by the scripture or by the interpretation by muslim scholars and experts of the scripture. It also means something you are not sanctioned to do. Illegal and illicit.

It is applied to all muslims in general regardless of the ranks and social status. A crown prince or a peasant son, both are bound to the same set of rules. Islam really emphasize on justice. Thus, any kind of discriminantion or special treatments have no place in Islam.

I also realize that people are misinformed about the haram-ness of something. Haram can be due to several factors;

1- Scripture.
This based on Al-Quran and Sunnah. Al-Quran is the main reference for muslim together with Sunnah. For info, al-Quran is the words of God and Sunnah is something that been potrayed by prophet Muhammad. It is classified in 3 groups, things that he spoke, things that he done, and things that he agreed upon.

2- Interpretation of the scripture.
This is for the new upraising issues such as investment tools. Last few decades we have nil mode of investment unlike nowadays. Onto this, only the ulama' and mufti are sanction to provide fatwa.

3- Harm
Everything that can cause harm is considered as haram. This is parrallel to one of the Islamic priciples which is you cannot harming youself nor others.

4- Cause and effect.
There are a few things that are halal initially but turn out to be haram due to wrong execution. For example, eating halal food is permissible thus halal. But to consumed it excessively, this can leads to haram.

5- Diversion.
Haram also subjected to things that if being done, can leads to damages. For example, man and women (non-marriage couple) are prohibited to stay together in afraid of them commuting adultry. This is not a restriction but just as a preventative measure to avoid a more damaging sins.

6- Socially ill.
It is also haram for things that stir the harmony and create havoc in society. For example, married coulpe are allowed to cling or fondly be in romantic (or erotic) moments with their couple, but must be in private. While in public, they must behave and excercise modesty. This is to preserve the morale and good behavior of the younglings (especially) as they see and learn from their observation throughout the sosiety.

In a nutshell, these haram things are applied on 5 distictive subjects.

A) To safeguard the faith. Hence anything that can confuse, divert, or shackle the faith, deemed as haram.

B) To safeguard own health. Thus any harmful substance is haram to be consumed. Sugar is halal in general, but it is haram for diabetic patient because it has direct effect to their health. Same goes to motorcyclist who ride recklessly. If he try to beat off the red lights and smashed by the incoming cars, his action is haram. You cannot put your life at stake!

C) To safeguard one's wealth. Steal, robbery, and corruptions, these are few examples of wrongdoings. Not only it is criminal offence, it is also haram and punishable by law.

D) To safeguard the family ties. Thus Islam prohibit adultry and incest. Abandoning your family members either the parents or children is also haram. Same goes to abortion.


E) To preserve the mental health. Thus Islam classify drugs, alcohols and any substances that can cause direct loss of mental ablility as haram. Including ketum, fyi.

Hence, the statement "Semua benda haram!" (All things are haram in Islam) is totally unacceptable and wrong. In fact, all things are halal and permissable except if it interfere with the things i mentioned earlier.

My explaination is plain and only touches only the surface. If you want to get a deeper information, kindly ask. I am reachable through my personal emel iqbalsyarie@gmail.com. As what i emphasize earlier, i am neither the best Muslim nor an expert. I don't have a very deep understanding about Islam but i am accountable to explain and wipe away any misunderstandings and confusion about Islam.

Hopefully i am able trigger your interest to know more about Islam.


October 22, 2016

#46 Jangan tunggu Yatim

Hari ini semua orang bercakap tentang hukum memakan harta anak yatim. Pada sisi positif, masyarakat menjadi semakin cerdik. Tetapi harga yang dibayar untuk mendidik masyarakat tentang kebajikan anak yatim ini sangat mahal. Kasihan kerana ada pihak yang perlu derita dahulu sebelum masyarakat membuka mata akan hukum ini.

Pernah dalam satu situasi, Rasulullah S.A.W bersabda, "Aku dan orang yang menjaga kebajikan anak yatim, umpama begini di hari kiamat", sambil Baginda merapatkan dua batang jari Baginda.

Nak beritahu bahawa besarnya pahala dan istimewanya kedudukan para pelindung anak yatim ini. Bahkan dalam situasi yang lain, Baginda kata orang yang mengusap kepala anak yatim anak diberikan pahala.

Namun begitu, perlu untuk diingatkan bahawa bukan anak yatim sahaja ada hak, sebaliknya semua orang ada hak-hak mereka. Dan kita tidak boleh mengkhianati hak mereka sekalipun kita benci dan tidak suka.

Sebagai contoh, seorang bapa yang mempunyai lima orang anak. Walaupun ada anaknya yang dia lebih sayang berbanding yang lain, dia tetap dituntut untuk berlaku adil kepada kelima-lima mereka. Jika setiap seorang berhak mendapat 2 helai baju, maka anak yang paling nakal dan bermasalah itu juga berhak mendapat 2 helai baju juga.

Setiap hak, berhak. Jika ada hak yang ditahan, maka itu ialah pengkhianatan.


Sahabat Nabi bernama Abu Darda' pernah dipersaudarakan dengan Salman al-Farisi. Mereka sangat akrab. Suatu hari, Salman pergi menziarahi Abu Darda' di rumahnya. Dia berjumpa dengan isteri Abu Darda', dan isteri Abu Darda' itu mengadu kepada Salman.

"Wahai Salman. Kamu kawan baik suamiku. Tolong nasihati Abu Darda' kerana dia sudah hilang minat dan sudah tidak peduli lagi dengan dunia".

Salman faham. Dia meminta untuk bermalam di rumah Abu Darda'. Pada saat makanan dihidangkan, Abu Darda' tidak mahu makan.

"Kamu makanlah. Aku berpuasa".

Salman enggan. "Aku tidak akan makan selagi kamu tidak mahu makan bersamaku",

Lalu Abu Darda' pun menjamah makanan itu bersama tetamunya.

Di waktu malam, Abu Darda' mahu bangun untuk mendirikan solat tetapi ditahan oleh Salman.

"Tidurlah dahulu. Malam masih terlalu muda".

Abu Darda' pun tidur. Kemudian tak lama, dia kembali bangun untuk solat. Dan Salman menghalangnya dan menyuruhnya tidur dahulu. Beberapa kali, sampailah di penghujung malam, mereka berdua pun bangun untuk bersolat.

Kemudian, Salman R.A berkata kepada Abu Darda' R.A, "Wahai saudaraku, ketahuilah bahawa Tuhanmu ada hak keatasmu, kamu ada hak ke atas dirimu sendiri, dan isterimu juga ada hak keatas dirimu. Maka berikanlah hak-hak ini kepada mereka yang berhak".

Siang itu, Abu Darda' menceritakan hal itu kepada Rasulullah S.A.W dan Baginda mengiyakan Salman.

Kisah ini epik. Tersemat indah di dalam kitab hadis, supaya kita belajar bahawa setiap manusia ada hak yang wajib dipenuhi.

Perbuatan menahan hak ialah perbuatan yang salah.

Ada orang, dia bela kucing tapi dia tak beri kucing dia makan hingga mati kelaparan. Ada orang dia bela kambing tapi tak dibuat kandang hingga kambing-kambingnya merosakkan tanaman dan mengotorkan halaman jiran.

Mereka tak nampak bahawa haiwan yang dipelihara pun ada hak. Hak untuk diberi makanan dan perlindungan. Hak jirannya supaya tidak dicemari dan diganggu.

Ada orang, dia minum air mineral tapi botolnya ditinggalkan di atas meja. Tak dibuang di dalam tong sampah. Ada orang dia pergi solat jumaat tapi parkir kereta menghalang laluan orang. Padahal ini semua ialah hak-hak yang perlu diselesaikan.

Mereka cuma nampak hak rakyat Kelantan untuk mendapat royalti minyak. Tapi tak berapa nak nampak hak orang asli untuk tinggal di hutan yang tidak digondol.

Atau mereka cuma nampak hak orang miskin untuk mendapatkan wang zakat, BR1M atau apa-apa bantuan. Padahal mereka juga ada hak untuk diberikan bantuan personal atas kapasiti kita sebagai jiran.

Ketahuilah bahawa setiap hak adalah tanggungjawab.Dan setiap tanggungjawab ialah amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah.

DS Najib sebagai ketua negara, akan ditanya oleh Allah tentang hak-hak rakyat yang untuk hidup selesa. Dia akan menjawab. Kita juga bahkan akan ditanya soalan yang sama, kerana kita juga ada hak yang berhak dipenuhi, dan amanah yang punah jika tidak berhati-hati.


October 21, 2016

#45 Jihad Jahad

Saya sedang memandu pulang dari kerja saat suara Syeikh Nuruddin sedang berkumandang di corong radio.

"Betul tak cerita yang Nabi dan para sahabat baru balik dari Perang Tabuk, lalu Nabi berkata yang mereka baru pulang dari jihad kecil kepada jihad besar iaitu melawan hawa nafsu? Minta tolong Syeikh jelaskan", tanya seorang pemanggil dari balik telefon.

Jawapan Syeikh Nuruddin agak panjang tapi sebenarnya padat.

Pertama, kata Syeikh Nuruddin, hadis ini tak kuat. Saya pun buat carian google, memang ada ulasan ulama yang menyatakan hadis ini lemah. Bahkan Imam Ibn Taimiyah mengkomentar yang hadis di atas tidak berasas. Maknanya apa yang Syeikh Nuruddin katakan ialah seiring dengan ulama lain kata. Hadis ni tak kuat.

Namun begitu, sambung Syeikh Nuruddin lagi, sekalipun ni tak kuat dari segi periwayatan, tetapi dari sudut kandungan, ia betul.

Jika jihad perang, kita boleh nampak musuh. Kita boleh rancang strategi. Tahu nak serang dari arah mana, dan tahu nak bertahan di sudut mana. Kita boleh menghunuskan sejata dan menghancurkan mereka.


Sebaliknya jihad melawan hawa nafsu, musuhnya ialah diri kita sendiri. Kita tak nampak nafsu tapi kita tahu ia ada. Ia wujud dalam bentuk keinginan-keinginan yang jahat, dan sifat-sifat keji yang kadangkala automatik kita lakukan.

Sebab itulah melawan hawa nafsu ini bukan perkara yang mudah. Hawa nafsu takkan dapat dibunuh. Ia cuma dapat ditawan dan dijinakkan. Dan nak jinakkan nafsu, kita perlukan kesungguhan dan keazaman yang tinggi.

Banyak benda haram yang nafsu suka dan banyak benda bersifat perintah Tuhan yang nafsu benci. Kalau tiada jihad, maka kita akan jadi jahad (baca; jahat). Kerana itulah kita perlu mulakannya dengan diri kita hari ini.

Semoga kita menang di dalam jihad ini.

October 20, 2016

#44 Kelancungan dalam bermazhab

Di dalam bilik darjah, guru ialah figur terhormat. Lazimnya mereka lebih tahu, pandai dan arif tentang subjek yang diajarnya berbanding dengan audiennya. Namun dalam beberapa situasi, guru tadi boleh tersilap. Tetapi kesilapan guru adalah amat sedikit berbanding dengan kesilapan anak murid.


Ada orang pernah tanya saya, jika ustaz sesama ustaz dan ulama sesama ulama bergaduh, mana satu pihak yang perlu diikuti?

Maka jawab saya, ikutlah yang lebih baik akhlaknya. Kerana akhlak ialah buah kepada Iman yang sebenar. Di dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W bersabda bahawa Baginda diturunkan ke dunia ini adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Ulama mengkritik ulama, itu bukan perkara baharu. Sebagai contoh, Imam Ibnu Jauzi pernah mengkritik kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali dengan kritikan tajam seperti "palsu" dan "batil".

Tetapi dalam masa yang sama, beliau tetap mengiktiraf Imam al-Ghazali dan karyanya sebagai karya yang baik.

Namun apa yang menyedihkan, beberapa tahun kebelakangan ini, ada individu yang belum layak bergelar ulama', tergamak untuk mengkritik ulama lain dengan akhlak yang buruk. Mereka suka memberi gelaran yang tidak enak, bahkan mentertawa dan bersikap sinis kepada mereka.

Sekalipun ulama itu telah meninggal dunia sekalipun.

Golongan ini berslogan, "mari kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah", tetapi akhlak mereka jauh panggang dari api dengan Quran mahupun Sunnah.

Para Imam mazhab sebagai contoh, benar mereka bukan maksum. Mungkin ijtihad mereka ada kesilapanya. Mungkin juga ijtihad mereka sesuai pada suatu zaman, tapi tidak sesuai kepada zaman dan kelompok masyarakat yang lain dan baharu.

Tetapi itu bukan bermakna para Imam mazhab ini lebih bodoh daripada kita. Hingga ada yang mempersendakan pula apa yang diajar oleh Imam mazhab ini.

Mereka rasa mereka layak untuk mengambil Quran dan Sunnah dengan kedua belah tangan mereka. Padahal mereka bukannya alim pun. Belajar baru setahun dua. Kitab yang dibaca baru beberapa. Tapi senang nak berkata, "Pendapat si fulan ini tidak tepat. Yang tepat adalah... begini... begini...".

Kelompok yang menolak mazhab ini juga selalu memetik kata-kata Imam Syafie di luar konteks. Contohnya, "Jika kamu berjumpa dengan hadis yang sahih, maka itulah pandanganku".

Apakah mereka rasa Imam Syafie berijtihad semborono hingga beliau meninggalkan hadis sahih. Adakah mereka juga lupa bahawa para pengikut dan anak murid Imam Syafie juga adalah orang yang hebat-hebat yang menguasai pelbagai cabang ilmu dan sangat dalam kefahamannya pada agama.

Imam Nawawi sebagai contoh. Siapa kita nak dibandingkan dengan Imam Nawawi. Kita ni setakat Imam dalam solat sahaja. Itu pun mazhab bacaan tahu satu saja, cara Imam A'sim. Tapi berlagak bukan main!

Saya tak ada masalah orang nak talfiq (campur adukkan) mazhab. Tapi saya bermasalah kalau orang sengaja melakukannya kerana mahu bermudah-mudah dalam agama. Dan saya bermasalah, bila orang awam pun dah pandai 'mengusik' Imam mazhab.

'Level' kita jauh berbeza. Imam Syafie pernah satu ketika menunggang kuda. Tiba-tiba dia ditahan oleh seorang lelaki. Lelaki itu bertanya, "Wahai Imam, kuda yang kamu tunggangi itu ada berapa kaki?".

Mungkin saja dia bergurau, tetapi Imam Syafie tidak. Dia turun dari pelana dan mengira satu per satu kaki kudanya kemudian barulah dia menjawab, "Ada empat".

Pemuda yang bertanya itu pula kehairanan. "Kenapa kamu turun mengira? Tentu sahaja kakinya empat!".

Lalu dijawab, "Aku bimbang jika aku terus menjawabnya empat, Allah tiba-tiba menghilangkan satu kakinya. Maka aku telah berbohong kepada kamu".

Kejujuran dan ketelitian Imam Syafie itu terlalu luar biasa. Agak-agak orang sebegitu akan melakukan sesuatu keputusan secara membuta tuli jugakah?

Mari menjadi manusia yang sedar diri. Kita ini terlalu bodoh untuk "kembali kepada al-Quran dan Sunnah" melalui cara kita sendiri. Para Imam mazhab sudah terlebih dahulu memegang tangan dan membimbing kita melalui jalan al-Quran dan Sunnah.

Tapi kita berlagak. Kata kita, jalan itu panjang. Kita nak 'short-cut'. Maka kita jadi selektif dalam beragama. Apa yang kita suka, kita ambil. Yang susah, kita biar dahulu. Kita mencari-cari yang mudah dan muat dengan saiz nafsu sendiri.

Terpulanglah jika kita masih mahu menolak mazhab dan berkeras dengan pegangan falasi kita. Asalkan jangan hasut orang untuk terjun dari kapal mazhab syafie ini juga. Kapal ini di laluan yang betul. Kapal-kapal lain seperti Hanafi, Hambali dan Maliki juga menuju ke arah yang sama. Tapi kalau selain kapal-kapal itu, belum tentu.

Kerana lautan ini dalam. Jika karam, lemaslah jawabnya.

#43 Pembulian kepada JAKIM.

Semalam ialah hari yang sangat menyedihkan. Berbondong-bondong manusia tak mengira bangsa, warna kulit, fahaman politik, dan juga agama, bersatu hati menghentam dan mengkritik sebuah badan agama bernama JAKIM.

Puncanya cuma satu iaitu pretzel dog.


Kerana seketul pretzel dog, sebuah badan autoriti agama digegar. Mungkin bila sudah datang Dajjal sebenar (sebelum kiamat), kesemua badan autoriti agama akan diroboh dan dihancurkan pula.

Saya tak ada agenda tersembunyi. Saya cuma bersimpati dengan kekeliruan umat Islam hari ini.

Pertama, kita terlalu mudah dipermainkan oleh media alternatif. Macam drama melayu juga, seorang bapa ada 2 orang anak. Kakaknya baik lalu lebih disayangi oleh bapa. Maka adiknya dengki. Lama kelamaan, dengki itu membuahkan benci dan permusuhan. Lalu dia pun memikirkan bagaimana caranya untuk membuatkan si bapa hilang percaya kepada kakaknya. Satu ketika, dia nampak kakaknya keluar dengan lelaki. Dia ambil gambar tu lalu ditunjukkan kepada bapanya.

Dengan bersungguh-sungguh dia beritahu, "Sumpah ayah! Siti nampak Kakak berjalan dengan lelaki mana entah tadi. Mereka pergi menyewa masuk ke sebuah hotel bajet. Siti nampak dengan mata kepala Siti sendiri. Macam tak percaya Kakak sanggup buat macam tu".

Padahal Kakak dia sebenarnya keluar berlima dalam satu kumpulan. Tapi tadi dia ditinggalkan rakan-rakannya dan lelaki itu kembali ke belakang untuk mendapatkannya kerana takut dia tersilap jalan. Lelaki itu pun sebenarnya rakan sekuliah dan mereka pun keluar untuk mencari bahan bagi projek berkumpulan mereka.

Itu drama moden. Drama klasik pun dah ada. Saidatina Aisyah R.A pernah ikut Rasulullah di dalam sebuah peperangan. Tetapi ada sebuah insiden menyebabkan dia tertinggal (dipendekkan cerita). Dia mengambil keputusan untuk menunggu di tempatnya tadi dengan harapan tentera Islam tersedar yang dia tertinggal lalu mereka kembali untuk mendapatkannya. Tiba-tiba ada sahabat Nabi bernama Safwan Bin al-Muattal R.A ternampak Aisyah. Dia beristighfar dan memuji Allah. Dia cepat-cepat tarik untanya dan menyuruh Aisyah R.A untuk duduk di atas untanya. Lalu dia menarik unta itu. Sepanjang perjalanan ke Madinah mereka diam sahaja. Tak ada perbualan yang berlaku. Masuk sahaja ke dalam Kota Madinah, orang munafik pun nampak. Lalu api fitnah mula dibakar,

"Isteri Nabi Muhammad S.A.W berzina dengan seorang sahabatnya!"

Ada orang percaya. Dan menyebarkannya kepada orang lain.

Kembali kepada Pretzel Dog.

Media alternatif dan para munafikun sedang bekerja. Dan kerja mereka cermat dan halus. Apa tidaknya, isu halal yang besar ini pun berjaya disempitkan oleh mereka. Mereka tak mahu pandang apatah lagi fokus tentang faktor kebersihan, audit asingan terhadapat pusat kawalan dan distribusi, outlet,  bahan mentah, faktor teknikal dan lain-lain lagi. Sebaliknya mereka hanya fokus kepada 'dog' itu.

Mereka tahu umat islam sensitif dengan anjing. Jadi isu pretzel dog ialah target mudah buat mereka. Padahal antara nasihat JAKIM ialah agar nama itu ditukar kerana faktor kesopanan dan bukannya kerana nama itu membawa nilai haram. Sekalipun semua orang maklum bahawa 'dog' tidak bermaksud anjing, tetapi ia tetap suatu nilai tambah jika namanya ditukarkan kepada sosej. Sekadar nilai tambah kepada penduduk muslim kerana muslim ialah konsumer terbesar di Malaysia. Sekadar nilai tambah. Penyedap telinga.

Kedua, siapa mengharamkan siapa?

JAKIM tak pernah kata pretzel dog tu haram. Tapi umat islam telah awal-awal "mengharam jadah-kan" JAKIM.

Tiada sijil halal tidak bermakna tidak halal. Cuma bila ada sijil halal maka itu ialah nilai tambah dan pengiktirafan daripada pihak berautoriti.

Ketiga, pada akhinya kita mencari logo HALAL JAKIM juga.

Hari ini banyak makanan yang tidak halal tetapi diletakkan logo halal yang palsu. Ini kerana para pengeluar makanan ini tahu yang konsumer terbesar ialah muslim. Jika muslim boikot sesuatu produk, maka kesannya sangatlah signifikan. Oleh kerana mahu mendapatkan jualan dan kepercayaan, mereka sanggup menipu dengan cara-cara yang keji seperti menampal logo palsu.

Sebaliknya bila kita nampak logo halal yang JAKIM keluarkan, maka hati kita pun senang sebab kita dah tahu benda tu dah diiktiraf dan telah melalui sistem kawalan dan audit yang ketat. Pada penghujungnya, kita sendiri yang dimudahkan.


Sekarang, mari renungkan mengapa kita tidak boleh berlebihan menghentam JAKIM dan mana-mana badan agama.

Pertama, badan autoriti tidak membuat keputusan atas kapasiti sendiri. Mereka ada panel yang punyai latar belakang dan kepakaran yang pelbagai.

Kedua, supaya ada sebuah keputusan. Salah faham dan kekeliruan ialah suatu yang sering berlaku. Kerana itulah bila ada kekeliruan, perlu ada pihak ketiga untuk membuat pengesahan. Contohnya jika ada 2 orang membuat pertuduhan. Seorang kata dia nampak bahan haram diletakkan dalam makanan. Seorang lagi menafikan. Maka badan agama akan berperanan untuk menyiasat dan memberikan keputusan terhadap apa yang dipertuduhkan.

Ketiga, supaya tak membuka lebih besar ruang untuk Islam diperlekeh. Orang asyik menyalahkan autoriti agama sebagai memberi imej yang buruk kepada Islam. Padahal yang sebenarnya, 'orang yang menyalahkan' itu sebenarnya ialah imej Islam yang lebih buruk. Autoriti agama berperanan menjaga hal ehwal umat Islam di Malaysia. Supaya jika ada isu yang timbul, akan ada penyelesaiannya. Jika semua orang mahu membuat solusi sendiri, maka masalah baharu akan timbul. Dan akhirnya, semua orang akan cenderung untuk berfatwa sendiri dan menolak keputusan pihak berautoriti dan berilmu dengan jawapan, "Mengapa saya perlu ikut Islam awak, sedangkan saya ada Islam saya".

Keempat, retak-retak kecil ini akan merobohkan status Islam di Malaysia. Puak liberal agama pasti akan tersenyum dalam tidur mereka apabila institusi agama di Malaysia ini tiada. Sekarang ni mereka jangankan boleh tidur malam, nak mengantuk pun tak boleh. Bila sudah tiada institusi agama yang ada kuasa untuk membuat penguatkuasaan, maka lebih mudahlah bagi mereka untuk menjalankan agenda liberal mereka. Dan langkah pertama mereka dalam menjayakan agenda ulung ini adalah dengan menghasut umat islam supaya benci dan hilang kepercayaan kepada institusi agama ini.

Kelima, kerana badan autoriti agama di Malaysia bukanlah sehebat yang disangka. JAKIM sendiripun bidang kuasa mereka terhad. Bukannya boleh campur tangan dalam isu pentadbiran pun. Serupa juga dengan institusi mufti. Orang Islam yang keliru, akan terus menyalahkan mufti atas semua salah laku ahli politik kita. Contohnya dalam isu 1MDB. Mereka tak pernah penat memfitnah mufti kononnya mufti bersetuju dengan rompakan ini. Perlu kita ingat, kita ialah negara umat Islam bukannya negara Islam. Kita mengamalkan demokrasi bukannya syura. Kita menggunakan undang-undang yang diilhamkan oleh Lord Reid, bukannya undang-undang syariah yang diilhamkan daripada Quran dan Sunnah. Badan autoriti agama kita dah terlalu lama menjadi sasaran orang Islam yang jahil. Kita yang celik ini takkan mahu terjun bersama-sama mereka juga.

Kesimpulannya, saya juga ada banyak perkara yang tidak bersetuju tentang autoriti agama. Terlalu banyak pemerkasaan dan penambah baikkan yang perlu dilakukan. Tetapi sebagai umat Islam di Malaysia, saya tidak sanggup menaiki perahu yang sama, yang dinaiki oleh orang yang memusuhi Islam. Saya tak sanggup untuk berdiam diri menghancurkan agama sendiri, di tanah air sendiri.

Setidak-tidaknya saya percaya kepada kuasa 'menerangkan'. Enlightening, explaining, dan preaching.

Saya mahu dan akan buat itu. Jika anda mahu bersama-sama saya, mari kita mulakannya dengan diri sendiri. Tapi jika anda percaya bahawa perbuatan mengkritik, memperlekeh, menghina, memperbudak, dan 'troll' badan agama dan autoriti agama ialah perbuatan yang mendatangkan manfaat dan kebaikan, makan teruskanlah. Cuma, semoga berjaya.

October 19, 2016

#42 Pengalaman bercakap dengan Tuhan

Saya nak kongsi sebuah cerita. Mohon baca sampai habis.


Ada seorang lelaki, dia nak pergi kerja. Semasa dalam kereta, dia berkata dalam hati, "Ya Allah, selamatkanlah perjalanan aku. Aku dah lambat ni".

Dia memandu dengan kelajuan sederhana dan berhati-hati. Bila sampai di tempat letak kereta, dia cakap dalam hati, "Ya Allah, ampunilah aku". Sekadar ucapan rawak.

Dia angkat beg dan mula berjalan. Sambil melangkah, hatinya berkata, "Ya Allah, janganlah ada benda yang tak elok berlaku harini".

Dalam perjalanan ke pejabat, dia bersisih dengan ramai orang. Semua orang bergegas untuk 'punch card'. Tiba-tiba dia berpapasan dengan seorang amoi cantik yang memakai skirt paras lutut. Hatinya pun berkata, "Astaghfirullahal azim. Adoi Ya Allah. Pagi-pagi dah ternampak perempuan seksi".

Dia cepat-cepat melepasi perempuan seksi tadi. Walaupun ada keinginan untuk memandang, tapi dia terasa berdosa dan takut kepada Allah.

Di pejabat, dia mula bekerja. Dia bekerja, bekerja dan terus bekerja sehingga dia terasa penat. Dia duduk bersandar dan mencapai botol air mineralnya. Dia berkata dalam hati, "Aduh Ya Allah. Penatnya. Banyak lagi kerja tak selesai ni".

Kemudian mulutnya pun meneguk air.

(Tamat cerita).

Mungkin kita tak perasan bahawa salah satu perbezaan antara Tuhan kita dengan Tuhan agama lain ialah Tuhan mereka merupakan patung-patung yang disembah di tempat-tempat tertentu seperti kuil, gereja, dan tokong.

Tapi Tuhan kita tidak duduk di mana-mana tempat. Tuhan kita wujud tanpa memerlukan tempat. Dia boleh nampak kita di mana-mana kita berada dan Dia boleh dengar kata-kata kita di mana-mana pun kita berbisik. Bahkan Dia boleh baca hati kita, sekalipun kita tidak mengingati-Nya.

Tuhan tak perlu kepada ruang. Masjid besar atau surau usang, itu ruang untuk manusia bukan untuk Tuhan.

Tuhan tak perlukan masa. Subuh, zuhur, isyak, itu semuanya masa untuk manusia. Siang kita bekerja malam kita tidur.

Tuhan sentiasa ada. Bila-bila masa, di mana saja.

Tak seperti orang lain yang perlu ke gereja atau tokong untuk berdoa, kita boleh berdoa dalam setiap keadaan. Orang kata doa itu perbuatan mulut. Saya kata doa itu perbuatan hati. Doa yang sebenar ialah apa yang kita cakap dan minta dalam hati. Bercakap dengan hati, dengan Ilahi.

Kalau kita banyak bercakap dengan manusia, manusia pun boleh jemu. Silap-silap boleh kena marah kalau tersalah cakap. Tetapi Tuhan tidak begitu. Tuhan tidak jemu dan tidak akan bosan dengan kita.

Kalau kita banyak meminta tolong manusia, manusia akan marah. Mula-mula memang tolong tapi akhirnya akan lari. Tetapi Tuhan tidak begitu. Makin banyak kita minta, makin sayang Tuhan pada kita. Makin banyak kita berharap pada-Nya, makin dekat Dia dengan kita.

Sebab itulah HATI ini sangat penting. Kerana hubungan antara manusia dengan Tuhan ialah hubungan hati. Kerana itu sangat penting bagi kita untuk menjaga kesucian hati. Kerana HATI ialah mulut yang tidak berlidah. Cakap-cakapnya akan sampai terus kepada Tuhan.

Itulah zikir dan doa, zat dan nutrisi bagi agama. Supaya bila kita sudah terbiasa bercakap dengan Tuhan, iman kita makin sihat. Agama kita makin kuat. Lalu kita akan nampak yang Tuhan itu hebat.

Jangan sembang lebat.

Tapi bisu di depan Tuhan.

October 18, 2016

#41 Langkah Pertama.

Kita selalu dengar,

"Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama".

Langkah pertama itu penting. Ada orang dia mahu menyeberang jalan, tapi dia takut memijak tanah. Jadi sampai kiamat pun dia tak akan sampai ke seberang jalan.

Begitu juga jalan ke syurga. Ada orang mahu berubah. Mahu jadi baik. Mahu jadi soleh. Tapi dia terlalu takut untuk mencuba.

Takut orang cakap apa.

Takut nanti hilang kawan.

Takut nanti hilang pekerjaan.

Takut kena ejek.

Takut orang mengata.


Jangan salah faham. Kita tak dituntut untuk menjadi malaikat. Tuhan jadikan malaikat tiada nafsu. Kerana itulah malaikat hanya buat kebaikan. Tak pernah ingkar dan tak pernah terdetik berbuat dosa.

Sedangkan kita ada nafsu. Liar dan ganas pula nafsu kita. Kerana itu adakala kita terbuat dosa, terbuat salah. Tetapi adakah kesilapan kita pada hari semalam menyebabkan kita putus asa untuk menjadi orang yang baik hari ini?

Jangan risau. Semua orang ada kerisauan yang serupa. Tapi semua kerisauan itu langsung tak ada asasnya.

Mulakan dengan benda yang mudah-mudah dahulu.

Contohnya dengan solat. Saya tahu bahawa tidak mudah nak menjaga solat. Tapi itulah asas kekuatan kita untuk berubah. Masuk saja waktu, terus solat. Jangan tunggu-tunggu lagi. Memanglah masa solat tu panjang, tapi kita selalu ditipu olehnya. Nanti mulalah kawan-kawan ajak keluar, atau ada kerja nak buat, atau mungkin juga kecemasan, lalu mulalah kita meninggalkannya dengan alasan 'tak sempat'.

Umur kita makin meningkat dewasa. Kalau dahulu, apa yang kita buat kesannya hanya kepada kita. Tapi bila dah tua ni apa yang kita buat memberi kesan secara langsung kepada ahli keluarga kita.

Kita perlu jadi orang baik supaya anak-anak kita mempunyai teladan yang baik untuk mereka ikut. Berapa lagi masa yang kita ada di dunia ini untuk kita terus lalai. Berapa banyak lagi kesilapan dan kesalahan yang hendak kita lakukan, barulah kita ada rasa bersalah kepada Tuhan.

Berubah, tak perlu tunggu orang lain. Lain orang, lain ajalnya. Adik beradik kembar yang lahir sama-sama pun matinya tak sama. Ada yang umur panjang, dapat hidup lama. Ada yang umur pendek, kalau tak sempat berubah maka hilanglah peluangnya.

Kita perlu bersyukur kerana kita masih ada peluang untuk bertaubat. Orang lain tak bertuah seperti kita.

Mari,

Jangan tengok orang. Tengok diri kita. Gali kubur kita sendiri dahulu. Jangan sibuk kubur orang. Mulakannya hari ini. Mulakannya dengan diri.

October 17, 2016

#40 Calon suami sempurna

Dalam artikel yang lepas, saya ada kongsikan 10 ciri-ciri lelaki yang tidak boleh dijadikan suami. Dalam artikel ini, saya akan kongsikan pula ciri-ciri suami ideal yang kalau ada pada lelaki itu, jangan lepaskan dia.

Tak perlu banyak. Cukup 3 sahaja. Kalau ada lebih, itu bonus. Kalau pekerja yang berdedikasi boleh layak menerima bonus, perempuan yang baik juga layak menerima bonus daripada Allah.


Ciri-ciri lelaki ideal yang pertama ialah dia menjaga solat fardu. Tak payah sembang pasal solat sunat, tahajjud, qiamullail, atau solat kat masjid lagilah, dapat yang jaga solat fardu pun dah cukup baik.

Kenapa penting solat fardu ni?

1- Solat ialah pembeza antara muslim dan kufur.
2- Solat adalah tiang agama. Siapa yang mendirikan solat, dia mendirikan agama tapi siapa yang meninggalkan agama, dia meruntuhkan agama.
3- Solat ibarat kepala bagi badan. Tak ada kepala, badan akan mati.
4- Solat dapat mencegah diri daripada perkara keji (jenayah seksual) dan mungkar (jenayah umum).
5- Nabi S.A.W kenal umat Baginda melalui cahaya yang terpancar daripada anggota wuduk dan solat. Orang yang tak solat jangan berharap syafaat Nabi.

Banyak lagi point tapi saya rasa elok kalau saya kongsikan dalam artikel khas tentang solat.

Kedua, bertanggungjawab terhadap diri sendiri.

Maksudnya dia boleh menguruskan diri sendiri, kewangan, dan kerjaya. Tanggungjawab itu juga termasuklah mengurus stress dan emosi. Jika di dalam konflik, kita boleh lihat tindakannya menangani masalah.

Ada orang masalah kecil pun dia tak boleh uruskan. Bahkan masalah yang kecil tadi boleh jadi berat dan meleret kerana sikapnya yang negetif seperti panas baran, terlalu suka bersangka buruk, suka membuat kesimpulan sendiri, terburu-buru dalam membuat keputusan, dan pentingkan diri sendiri.

Ada pula orang yang masalahnya besar, tetapi kerana dia matang, dia dapat mengawal diri dan menyelesaikannya. Ini kerana dia punyai kematangan, kesabaran, kebijaksanaan, tak cepat melenting, dan sebagainya.

Kenapa tanggungjawab kepada diri sendiri adalah penting?

1- Kalau diri sendiri pun tak boleh jaga, agak-agak dia boleh jaga kamu tak?
2- Kalau tak ada tanggungjawab, dia akan hidup dalam dunia "aku". Semua benda nak kena ikut cakap dia (cara dia). Cara orang lain semua tak betul.
3- Supaya dia bukan menjadi "Maharaja" dalam rumahtangga. Duduk saja. Semua benda nak orang lain buatkan. Mahu orang berkorban untuknya tapi dia tak sedia untuk berkorban.
4- Supaya nanti bila dah kahwin, dia tahu siapa kawan dan siapa isterinya. Tak adalah nanti dia main DOTA, futsal atau memancing sampai lupa anak bini. Biar seimbang. Tak perlu buang kawan, tapi tak pula buang anak dan isteri.
5- Orang yang bertanggungjawab dengan diri ialah orang yang mendepani masalah, bukannya lari daripada masalah. Orang yang cuba lari daripada masalah sebenarnya ialah orang yang sedang mengumpul masalah. Itu yang dah jadi arwah (baca: dah meninggal) pun masalah tak selesai lagi. Banyak sangat kata 'tunggu dulu'.
6- Bertanggungjawab juga bermaksud mendahulukan orang lain daripada diri sendiri. Contohnya kalau hujung tahun dapat bonus 3 bulan gaji, ada orang yang tukar sport rims Myvi atas alasan dah lama mengidam. Ada pula yang guna duit bonus tu untuk bayar deposit rumah 10% supaya keluarga dapat tinggal di rumah yang lebih luas dan selesa. Kalau kamu, nak pilih lelaki yang macam mana?
7- Lelaki yang bertanggungjawab juga akan menjaga rahsia rumah tangga. Dia tak puas hati dengan kamu, dia cerita pada kamu bukannya kepada kawan-kawannya. Bukan setakat aib kamu terjaga, aib keluarga kamu (mertua dia) pun selamat dengannya. Pendek kata, dia bukan kaki mengumpat.
8- Orang yang bertanggungjawab tahu akan keutamaan (priority). Pelik sangatlah kalau i-phone 7 boleh beli, tapi nak 'menghalalkan' hubungan bukan main lagi menyalahkan mak bapak letak harga hantaran tinggi.

Ciri ketiga lelaki ideal ialah dia bukan hidung belang.

Ada orang dia tak kisah suami dia ada ramai teman wanita. Bahkan dia bangga pula konon-kononnya suami dia "hot stuff". Terpulanglah. Asalkan suami kamu bukannya kaki zina, kaki amoi atau kaki pinoy. Mana tahu, tiap-tiap hujung bulan kata outstation rupanya ke Siam menternak virus HIV.

Petanda seseorang itu bukan kaki perempuan adalah:

1- Dia tidak menilai seseorang hanya pada rupa paras dan fizikalnya saja.
2- Dia menghormati wanita dan memandang tinggi kepadanya. Bukan memandang wanita sebagai hamba, objek pemuas nafsu, atau orang gajinya.
3- Dia berusaha menasihati dengan cara yang lembut tapi tegas. Tidak mendiamkan perkara yang salah, tapi tidak juga terlalu kasar hingga meninggikan suara apatah lagi menggunakan kekerasan fizikal.

Macam saya sebut awal-awal tadi, ada 3 benda ni cukuplah. Jangan terpengaruh dengan drama tv3 pukul 7. Ada sebab mengapa Tok Wan kita kat kampung pesan suruh tutup Tv waktu maghrib. Syaitan memang banyak berkeliaran waktu itu.

Salah satunya, syaitan yang bergayut di mata dan berbisik di telinga kita, supaya lelaki di dalam Tv itu nampak serba sempurna, tetapi lelaki yang bernama suami itu adalah serba kekurangan.

Hiduplah dalam dunia sebenar. Bukan dunia novel. Rumahtangga tidak akan bertahan lama kerana cinta sahaja. Cinta akan layu. Rindu akan pudar. Kalau tak dibaja dengan ilmu, dan disiram dengan tanggunghawab, kita akan tengok pasangan paling romantis dalam dunia sekalipun akan bercerai.

Orang kata perlu ada persefahaman dalam rumah tangga. Tapi faham sahaja kalau tak bertindak, maka akan jadi seperti ayam. Ada sayap tapi tak boleh terbang.

Kesimpulannya, cari yang bersolat, ada rasa tanggungjawab, dan juga menghormati wanita.

Jangan sembang pasal nak jadi imam kalau nak jadi makmum pun tak reti.

Jangan haraplah nak jaga isteri dan anak, kalau diri sendiri pun terabai.

Dan jangan haraplah nak hormat pada isteri dan keluarga, kalau pandang perempuan sahaja pun penuh dengan imaginasi keji.



#39 Perempuan dan pembunuh di parkir kereta.

Alhamdulillah, baru ada masa nak kembali menulis. Minggu lepas kami balik kampung. Busyro Maisarah pula tiba-tiba saja demam. Jadi memang agak penat juga nak melayan karenah budak kecil ni.

Semalam baru saya ada peluang nak buka Facebook. Selepas membelek-belek beberapa posting, mata saya tertumpu kepada sebuah berita ngeri yang berlaku di Terengganu. Seorang lelaki mati ditetak dan ditikam dengan parang di parkir kereta sebuah premis kerajaan.

Rupa-rupanya di bunuh oleh teman lelaki adiknya sendiri.

Lebih menyayatkan hati, isterinya pula sedang sarat mengandungkan anak sulung mereka. Anak yang dinanti-nanti itu bakal menyapa dunia tanpa sempat melihat wajah bapa kandungnya, seorang wira.

Secara personal, saya tidak kenal siapa pembunuh dan siapa mangsa. Tetapi besar pengajaran dan pengorbanan yang boleh diambil pengajaran daripada arwah ini. Dia seorang wira.

Pertama, tanggungjawab kepada ahli keluarga.

Agama Islam sangat melindungi wanita. Wanita berada di bawah jagaan wali (pelindung). Wali-wali itu adalah bapanya, datuknya, abang-abangnya, dan saudara lelakinya. Si mati ini telah menjalankan tugasnya sebagai wali dengan baik.

Tidak seperti kebanyakan suami, bapa, dan saudara lelaki yang memilih untuk menjadi dayus terhadapat orang dibawah jagaan mereka, si mati ini pula ialah seorang yang tegas dan berprinsip.

Sesetengah orang yang dayus, jangankan nak menegur isteri atau anak perempuan sendiri, nak ambil peduli pun tidak. Lebih-lebih lagi sesama adik beradik.

"Biarlah, dia dah besar. Pandailah dia jaga diri"

"Lantaklah dia. Dia dah boleh fikir sendiri. Janji tak menyusahkan orang"

Padahal selepas ibubapa, adik-beradiklah manusia yang paling rapat dengan kita. Tetapi zaman kini, adik beradik dah menjadi golongan yang asing. Yang salah tidak boleh ditegur, kalau ditegur bawa berbalah pula. Keras kepala, keras hati!

Kedua, bersungguh-sungguh mencegah dan bukannya menjaja air liur saja.

Ada orang, dia tegur bila adik beradik dia bermasalah. Tapi tegur setakat tegur. Bila si bermasalah tu tidak mahu menerima teguran, mulalah dia kata,

"Lantak engkau lah! Yang penting aku dah cakap. Jangan lepas ni kalau  jadi apa-apa kau nak salahkan aku pula!"

Dalam berita, diceritakan bahawa si mati ada menasihati adik perempuannya. Tapi biasalah perempuan, lebih banyak percaya kepada Syaitan daripada kepada bapa dan abang sendiri. Saya tak maksudkan adik si mati ini, tapi saya bercakap secara general. Kepada orang lain.

Dah banyak cerita dalam akhbar, anak gadis dilarikan teman lelaki dan nasib mereka berakhir sebagai pelacur, perempuan simpanan, mangsa pemerdagangan orang, atau juga mayat yang sudah busuk. Puncanya serupa, iaitu ditipu syaitan bernama 'abang sayang' hinggakan keluarga sendiri pun dibuang.

Perempuan, mahalkan dirimu! Takkan 10 orang lelaki memujuk rayu, semua 10 orang itu mahukan kamu?

Apa si mati ini buat, dia sanggup pergi ke jabatan agama untuk menyemak status pernikahan teman lelaki adiknya. Zaman sekarang bukan ibadah saja orang mintak dalil, nak 'beri nasihat' pun kena ada dalil. Mungkin kerana itu dia sanggup bersusah-payah dari Kelantan pergi ke Terengganu untuk membuat semakan status pembunuh itu.


Ketiga, perempuan oh perempuan.

Ini bukan kes pertama dan tak akan jadi yang terakhir. Saya pun tak tahu mengapa perempuan susah sangat nak mengenali lelaki jahat ini bagaimana. Mungkin sedikit senarai semak untuk anda,

Kalau lelaki itu layak menjadi suami;

1- Dia menjaga solat. Lelaki yang tak jaga solat 5 waktu sehari, tak layak untuk jadi suamimu. Sedangkan perintah Allah semudah solat pun dia abaikan, kamu apatah lagi.

2- Dia seorang 'sex maniac'. Kalau dia asyik minta gambar, mesej lucah (atau isyarat lucah), bertanya soalan-soalan yang menaikkan nafsu, seperti saiz baju dalam, warna baju dalam, pakai baju apa, rambut panjang mana, dan seumpanya, maka tinggalkan mereka. Dia pervert!

3- Dia seorang yang hanya fokus kepada fizikal. Bila berbual, maka dia hanya bercerita tentang perkara-perkara fizikal seperti kurus, gemuk, cantik, mekap, kosmetik dan seumpamanya. Atau tentang pakaian, kasut, dan aksesori. Nanti kamu dah tak cantik, sedialah untuk dibuang.

4- Dia jahil. Antara kejahilan lelaki ialah bila dia pakai perhiasan wanita seperti rantai dan gelang. Apapun alasannya, tetap haram. Kalau dia tak tahu, itu petanda dia jahil. Bila dia jahil, ajak dia pergi mendengar ceramah ustaz di masjid. Kalau dia enggan, maka tinggalkannya. Jahil yang boleh diajar itu bagus. Jahil yang tak mahu belajar, itu musibah.

5- Dia layan ibubapanya dengan buruk. Cuba tanya tentang ibubapanya. Kalau mulutnya pun dah bercerita yang tak elok pasal ibubapa sendiri, tangan dan kakinya lebih-lebih lagilah. Terhadap orang yang melahir dan membesarkannya pun dirasakan 'menyusahkan', kamu lebih-lebih lagilah.

6- Dia peduli tak dengan agama. Kalau kamu tahu dia solat jumaat pun tak pergi, atau bulan puasa pun ponteng, maka tinggalkannya. Itu petanda dia langsung tidak kisah dengan agama. Bahkan, menghina dan mengejek agama. Kalau dia tak ada rasa nak ejek dan menghina agama, dia tak akan beritahu kamu. Dia akan buat jahat sorok-sorok, bukanya 'open-open'.

7- Dia ada buat simpanan tak. Orang kaya bukanlah orang yang buang duit. Dia belikan kamu macam-macam pun, bukan petanda dia kaya. Tetapi kaya sebenar ialah jika bijak menguruskan duit, bukannya main belanja saja. Jika kamu tengok dia tak cerdik menguruskan wang, maka nasihatinya. Kalau dia berkeras, maka tinggalkannya. Nanti kalau dia susah, tiada wang simpanan, silap-silap kamu pun dia mahu jual!

8- Dia sukakan agama atau bencikannya. Nak tahu, mudah saja. Cuba ajak dia pergi ceramah agama. Kalau dia nak, alhamdulillah. Kalau dia tak nak, cuba lagi lain kali. Tapi kalau dia kutuk dan memburukkan alim ulama, itu petanda memang dia bencikannya. Maka, tinggalkan manusia seperti ini. Sebab syaitan sahaja yang benci ulama.

9- Perwatakannya bagaimana. Yang ini tak boleh nak 100% pasti kerana memang sebelum kahwin, dia akan pakai topeng dan main wayang. Ada yang waktu bercinta, nampak saja penyayang tapi dah bergelar suami isteri, hari-hari makan penampar. Silap cakap sikit, kena jerkah. Kalau lelaki lain pun dia pukul, isteri di rumah lagi mudah dipukul. Sebab itu bengis, kurang ajar, provokatif, itu semua akhlak syaitan.

10- Lebih elok jangan couple. Bercinta sahaja selepas nikah. Bagaimana nak bercinta selepas nikah? Jawapnya, jangan bercinta sebelum nikah. Jadi perempuan yang dicintai oleh Allah, maka Allah akan berikan kamu seorang suami yang mencintai dan dicintai oleh Allah juga. Memang tak mudah, tapi itu sahaja jalannya.

Kesimpulannya, mari kita jadikan kematian brother ini sebagai suatu yang menghidupkan kita. Jadi lelaki, biar bertanggungjawab. Jadi perempuan, biar mahal.

October 14, 2016

#38 Raja dan rakyat biasa.

Hari ini orang sibuk berbicara tentang 2 isu. Pertama, kematian Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej. Kedua, Sultan Kelantan bakal ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong yang baru.

Allahuakhbar! Daulat tuanku.

Saya tahu ini cuma kebetulan, tapi saya masih mahu bercerita tentangnya. Petang tadi saya menonton rancangan Tv Al-Kuliyyah di tv3. Pada akhir rancangan, mereka memutarkan sebuah lagu yang sangat membuatkan bulu roma saya tegak.

Orang kaya mati, orang miskin mati.
Raja-raja mati, rakyat biasa mati.

Diulang beberapa kali rangkap lirik ini.

Terasa hingga ke ulu hati.

Pada akhirnya, yang kaya pun matinya tiba-tiba. Yang miskin juga serupa.

Bahkan yang bergelar Raja pun akan mengalami pengalaman yang serupa.

Walaupun seluruh negara berdoa agar kita tidak mati, tapi kita pasti akan mati juga.

Mungkin ini tazkirah kepada kita yang masih hidup supaya kita 'menghidupkan kehidupan'.

Supaya kita berusaha jadikah kehidupan ini berharga kerana pada penamatnya, semua orang akan sama dan serupa. Di dunia bolehlah kaya tapi di akhirat belum tentu. Di dunia mungkin papa kedana tapi di akhirat tidak semestinya.

Mungkin kita perlu diam seketika dan hayati video ini. Moga-moga kita tersedar.



#37 Beban penulis

Hari kiamat nanti, akan ada segolongan manusia yang datang kepada Allah dengan amal soleh yang sangat banyak. Tapi tiba-tiba amal itu menjadi seperti abu yang ditiup oleh angin. Berterbangan.

Itulah perumpamaan orang yang menulis. Di Facebook, di media sosial, di keratan akhbar, dia menulis sejuta macam nasihat dan peringatan. Nampak macam berpahala, tapi mungkin saja akan jadi seperti debu yang diterbangkan oleh angin.

Antara punca mengapa saya pernah berhenti menulis terutamanya selepas berkahwin adalah kerana saya sendiri rasa takut akan diazab oleh Allah kerana bercakap (menulis) sesuatu yang diri sendiri tidak lakukannya. Tidak berupaya.

Rasa hipokrit. Munafik.

Pung pang tarbiyyah orang lain tentang dosa pahala, tapi diri sendiri pun langgar. Paling memalukan, ajak orang buat amalan-amalan ahli syurga tetapi diri sendiri tak buat.

Jijik.

Kata orang jauh dari agama, tapi sebenarnya diri sendiri dan isteri pun sama tak peduli pasal agama. Kutuk orang kata orang malas belajar agama, tapi keluarga sendiri pun serupa.

Hipokritnya diri ini.

Mungkin saya patut berhenti menulis lagi, kerana bimbang tangan yang hina ini akan mengotorkan agama suci ini.

October 13, 2016

#36 Isteri gangster

Ada sebab mengapa Allah turunkan al-Quran. Selain sebagai sumber hukum, al-Quran juga ialah kitab sejarah. Banyak kisah tentang umat terdahulu diceritakan di dalam al-Quran.


Antara yang paling menarik ialah kisah perihal rumahtangga di dalam Surah at-Tahrim. Perihal isteri nabi Nuh dan Luth yang antagonis dan A'siyah isteri Firaun, si protagonis.

Kisah Nabi Nuh misalnya, selama 950 tahun dia berdakwah tetapi yang beriman dengannya cuma segelintir. Lebih malang lagi, anak dan isterinya sendiri pun tidak beriman dengannya. Dalam peristiwa banjir besar, anak Nabi Nuh yang sudah terdesak itu pun masih lagi enggan untuk masuk ke dalam kapal Nabi Nuh.

Betapa ego, sombong dan arogan beliau.

Serupa juga dengan Nabi Luth. Isteri Nabi Luth sendirilah yang menjadi tukang pukul gendang, yang menaikkan nafsu gay-gay di kalangan kaum Nabi Luth untuk menyerbu kepada tetamu-tetamu baginda.

Benda macam ni susah kita nak fikir dengan kepala otak kita. Sepatutnya isteri menjadi orang yang paling patuh, taat, hormat, dan memandang tinggi kepada suami. Rahsia suami semua dalam poket dia. Tetapi Allah nak tunjukkan kepada kita, suami yang soleh tahap Nabi pun boleh dapat Isteri derhaka.

Itu Nabi. Manusia yang paling baik. Kita ini jangan kata nak banding dengan Nabi, nak banding dengan sebutir pasir yang melekat pada pakaian Nabi pun belum layak. Apa dosa yang kita tak buat, hingga kita boleh rasa kita layak mendapat isteri solehah persis Khadijah dan Aisyah.

Teringat pesanan Ustazah Norhafiza Musa, kalau isteri derhaka dengan suami, bukan isteri sahaja yang berdosa tapi suami pun MUNGKIN ada dosa yang berkaitan. Walaupun dia pun tak sedar.

Betapa ramai suami yang mengeluh isteri mereka derhaka, tak hormat suami, tak uruskan rumahtangga dengan baik, tinggikan suara, tidak berkhidmat untuk suami, tidak memudahkan urusan suami, dan macam-macam lagi keluhan.

Tapi mungkin dia terlupa yang dia juga tak ikut perintah Allah, selalu buat dosa, tak uruskan rumah tangga, dan macam-macam lagi habit buruk.

It takes two to tango. Perempuan baik kan untuk lelaki baik.

Tapi kalau kita dah buat semua yang Allah suruh dan dah ikut semua yang Rasulullah tunjukkan, maka anggap sajalah isteri derhaka ini sebagai ujian. Jika meka tak tahu bersyukur, kita serahkan dia kepada Allah. Kalau kita menangis kerana hati terluka, kita beritahu sahaja pada Allah.

Isteri juga ialah ujian, sebagaimana Dia menguji Nabi-nabinya.

Sebagaimana kita juga ialah ujian kepada mereka.

Tuhan nak tengok adakah kita mampu bersabar dan bersyukur. Atau adakah kita pun layan dia sama seperti layanannya kepada kita.

Demi Allah, bersabarlah. Kerana bukan mudah nak bahagia.

#35 Aduh Kassim!

"Aduh Kassim",

Petikan daripada filem klasik Ibu Mertuaku. Saya ingat inilah antara penyebab nama Kassim selalu melekat dalam kepala saya. Asal saja ada orang nama Kassim, mesti saya teringat pada Kassim Selamat.

Kasihan Kassim, ditipu oleh ibu mertuanya.

Kasihan Kassim, hingga buta kedua-dua biji matanya.

Terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil daripada filem lakonan Tan Sri P. Ramlee ini. Tidak akan saya sebutkannya satu per satu, cuma saya mahu ambil satu sahaja iaitu "aku tidak suka anakku berkahwin dengan ahli muzik!".

Entah apa dosa ahli muzik hingga mereka dibenci sebegitu rupa. Namun, pada tahun 1962 (tahun filem ini ditayangkan) kerjaya sebagai ahli muzik adalah sangat asing. Tak ramai yang mencari rezeki dengan bermain muzik dan tak ramai yang menghargai dan meminati muzik. Permintaan terhadap muzik masih rendah dan belum lagi diterima oleh semua masyarakat.

Selepas 54 tahun, kita dapat situasi yang sama juga berlaku. Ada bahan baharu yang menjadi ikutan masyarakat. Seperti muzik pada tahun 1962, bahan baharu ni masih asing pada sesetengah orang. Ada pihak yang membencinya dan ada pihak yang memperjuangkannya.

Bahan baharu yang saya maksudkan ialah aliran pemikiran liberal.

Apa itu liberal? (Boleh lihat definasi pada gambar yang saya kongsikan).


Mungkin dalam bahasa mudah, mereka memperjuangkan idea baharu dan menentang (challange) idea dan pegangan tradisional.

Liberal sahaja belum tentu berbahaya tetapi Muslim-Liberal, sudah tentu bahaya!

Ativis liberal ini bukan sahaja mengkritik hal-hal berkaitan perlembagaan tetapi mereka mulai mengkritik agama. Pada pandangan mereka, Islam itu agama yang boleh ditafsir tanpa disiplin yang ketat.

Bahkan pada mereka, Islam yang ada sekarang pun ialah Islam yang salah. Al-Quran perlukan penafsiran semula kerana banyak hukum hakam dalam al-Quran tidak logik dan tidak sesuai (dengan kepentingan diri mereka).

Kerana itu kita boleh dengar desas-desus, "Rambut tak wajib ditutup kerana dalam al-Quran tak disebut rambut".

Atau "Solat jumaat patut dibuat pada hari sabtu kerana hari sabtu orang cuti"

Dan paling kurang ajar, "Kenapa kami perlu mengikuti Islam kamu?"

Islam terbuka kepada kajian, kemaskini, dan penafsiran semasa. Kerana Islam akan tepat (fit into) pada setiap zaman dan keadaan. Tetapi penafsiran itu bukanlah boleh dibuat oleh kita.

Semborono!

Aktivis Liberal ialah seumpama pelayar yang tersesat di lautan nafsu. Tak tahu mana nak dituju. Jadi mereka lebarkan sahaja layar dengan harapan angin akan membawa mereka ke pelabuhan tetapi sebaliknya mereka dibawa makin jauh ke tengah lautan.

Islam ialah agama ilmu. Bukan untuk ditafsir mengikut cita rasa sendiri. Boleh dipotong sana sini, ditambah garam dan rencah sendiri.

Apa yang kita risaukan ialah anak muda kita sendiri pun sudah diracun oleh idea ini. Semua benda dalam agama mereka pertikai. Bahkan ulama dan mufti pun digelar kambing dan lembu.

Aduhai anak muda. Buangkan ego mu. Jangan hidup seperti babi di hutan. Semua benda mahu disondol!




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails