Akhowat Dari Surga


Allahuakhbar.....

Allahuakhbar.....

Laungan azan dari Masjidil Haram yang diputarkan oleh stesen radio IKIM.fm kedengaran syahdu. Sebiji kereta sedan berwarna putih bergelak perlahan, memasuki perkarangan masjid al-Hidayah. Terus saja kereta itu berhenti selepas memasuki sebuah ruang parkir.

Pintu dibuka cermat. Seorang anak muda melangkah keluar. Lelaki berusia suku abad itu menghela nafas kelegaan. Dengan masih berpakaian pejabat, dengan kemeja lengan panjang berkotak-kotak dan kasut kulit hitam berkilat, dia melangkah ke masjid. Sempat ekor matanya memandang sekeliling. Saat itu, orang yang datang semakin ramai. Mereka berpusu-pusu, semata-mata mahu menyahut seruan Ilahi pada senja permai itu.

Nuh al-Farobi melucutkan tali leher dan disimpan dalam kocek seluarnya. Disinsing lengan baju dan terus saja dia bersuci dan berwuduk. Menghampiri ruangan solat, sempat dia mencalit sedikit minya atar, memberi aroma senang dan tenang, selain melindungi bau keringat kering pada dirinya.

Dengan rasa rendah diri, takbir diangkat dan nama Allah, dibesarkannya. Usai solat dan berdoa bersama imam, dia bingkas. Sebenarnya, dia jarang-jarang ke masjid ini. Seringkali, surau kecil di apartmentnya saja yang dituju. Cuma hari itu, kesesakan di lebuhraya Damansara-Puchong menyebabkan dia terperangkap atas jalan raya hampir satu jam lebih. Dek kerana kecintaan kepada solat berjemaah, digagahi juga diri untuk singgah sebentar di tepi jalan, ke masjid ini.

Hanya hampir 10 minit dia meneruskan pemanduan, dia sudah memasuki satu lagi petak letak kenderaan. Empat blok bangunan empat tingkat tersergam di depannya. Yang pasti, salah satu daripada rumah-rumah itu, ialah rumahnya. Ya, rumah yang dibeli hasil keringat sendiri.

"Hei jantan! You ni betul-betul tak tahu malu! Hari-hari nak pinjam duit orang! You ingat i ni apa ha!"

Suara keras seorang wanita mengejutkan Nuh al-Farobi yang baru sahaja menyusun langkah untuk ke rumahnya di aras 3. Ditolehnya kearah suara keras itu. Nun, dilihatnya sosok tubuh seorang wanita dan seorang lelaki, bercakaran tidak jauh dari tempat keretanya diletakkan. Mungkin jika bukan kerana suara yang keras itu, pasti saja dia tidak perasan kewujudan mereka yang terlindung di balik gelapnya malam.

Nuh al-Farobi berhenti. Derap kakinya mati. Tertarik, bahkan hatinya rasa terpanggil untuk melihat dari kejauhan.

"Celaka!"

Kedengaran lelaki itu meninggikan suara. Pun, wajahnya tidak jelas kerana ditelan gelapnya malam.

"Kau ingat aku kisah sangat dengan kau? Taknak bagi sudah lah! Dasar perempuan murahan!", sambungnya lagi.

Nuh al-Farobi tersentap. Tidak disangka, dia akan melihat keadaan ini berlaku, depan matanya sendiri. Ya, bukan cerekarama, bukan juga montaj yang dibuat-buat.

Selepas mengherdik gadis didepannya, lelaki itu terus saja masuk ke dalam kereta. Pintu disentap kasar. Segera, dia memecut laju, meninggalkan si gadis tadi masih bercekak pinggang di situ.

Nuh al-Farobi pula kembali melangkah ke biliknya. Otaknya masih ligat dan berkisar memikirkan dua manusia tadi. Mungkin kerana khayal dan terlalu memikirkan tentang peristiwa tadi, tanpa sedar dia telah memanjat tangga hingga ke tingkat empat! Kesal dan sambil memarahi diri sendiri, dia kembali menapak lemah ke bawah, ke aras tiga.

Kala itu, dia bersisih dengan seorang gadis di tangga. Ya, itu ialah gadis tadi. Pakainnya sama, bahkan bentuk fizikalnya juga sama. Rambutnya ikal. Nampak terselah jelitanya walau hanya dipandang sekilas. Sebentar, pandangan mata mereka bertembung. Kelihatan wajah gadis itu kemerah-merahan, mungkin masih marah. Nuh al-Farobi segera berpaling menuju ke rumahnya. Dikelurkan kunci rumah dari poket seluarnya. Namun, dari ekor mata, dia perasan yang gadis tadi berada di belakangnya, tercegat memandangnya dari belakang.

"Ada apa cik?", tanya Nuh al-Farobi. Rasa tidak senang bercampur baru dengan kasihan.

Gadis itu memandang wajah Nuh al-Farobi tajam.

"Kenapa you tengok tadi?", tanyanya kasar.

Nuh al-Farobi kaget. Ternyata, tindakannya mencuri-curi lihat peristiwa tadi disedari gadis itu.

"Maafkan saya. Saya cuma risau kalau-kalau cik diperapa-apakan. Cuma itu saja. Saya tidak ada niat untuk mencuri dengar atau mencuri pandang", balas Nuh al-Farobi jujur. Sememangnya, itulah punca dia tercegat tadi, kerana dia bimbang jika pergaduhan dan maki hamun tadi bertukar menjadi pergaduhan fizikal. Sebagai lelaki, pasti dia tidak akan sanggup melihat wanita yang lemah disakiti dan dikasari.

"Huh... baiklah konon...", gadis itu merengus kasar sebelum dia kembali memanjat tangga ke tingkat atas, meninggalkan Nuh al-Farobi yang masih terkulat-kulat dibawah sana.

Malam itu, Nuh al-Farobi tersenyum sendirian. Dirinya masih memikirkan tentang peristiwa tadi. Dalam hati, dia berharap agar tidak akan ada lagi masalah sebegitu yang berlaku. Tidak di hadapannya.

***

"Pak cik tengok kamu kerja sudah bagus. Ada rumah sendiri... ada kereta sendiri. Tapi sayangnya, tiada isteri. Bila mahu kahwinnya?", usik Pak Ucop.

Pak Ucop ialah jiran Nuh al-Faorbi di Apartment Seri Kemucak. Dia dengan Nuh al-Farobi... ah, sudah seperti anak dengan ayah. Sangat akrab. Pak Ucop ialah seorang penjawat jawatan awam. Usianya sekali kali ganda usia Nuh al-Farobi. Pertemuan dan perkenalan mereka sangat istimewa. Kedua mereka bertemu di surau, di rumah Allah ini.

Dahulu, surau ini tidak punya komuniti yang jelas. Tidak juga punya ahli jawatan kuasa yang sah. Berikutan masalah yang timbul itu, Pak Ucop dan Nuh al-Farobi sepakat untuk sama menghidup dan mengimarahkan surau itu. Segala semakin terasa mudah kerana Pak Ucop yang walaupun sudah berusia tapi masih punya kekentalan semangat. Tambahan, dia juga ialah seorang anggota jemaah tabligh yang sentiasa mahu menghidupkan rumah Allah. Maka, dengan wang sendiri, juga dengan kudrat sendiri, dia tanpa lelah mengajak tetangganya ke surau. Berkat ikhlas dan kesungguhan, semakin hari semakin ramai yang berjemaah di surau yang sederhana itu. Hampir semuanya ialah orang muda, termasuklah Nuh al-Farobi. Pak Ucop juga imam yang diangkat secara sepakat oleh masyarakat disini. Tanpa ternafi lagi, Nuh al-Farobi sangat mengkagumi beliau.

"Saya bukan apa Pak Ucop... saya cuma menunggu akhowat dari syurga, barulah saya akan nikah..", balas Nuh al-Farobi sambil terdekah-dekah ketawa.

Pak Ucop juga tersenyum lebar dan sama ketawa. Mereka berdua sedang duduk bersila di tangga surau, melepaskan lelah membersihkan ruang solat sejak satu jam yang lalu. Itulah rutin mingguan Pak Ucop, membersihkan surau. Nuh al-Farobi hanya sesekali turut membantu. Itupun jika dia tidak punya program atau rancangan, hujung minggu begini. Bukannya apa, dia punya tidak kurang dua usrah kecil untuk diketuai. Itu belum lagi dikira lagi aktiviti-aktiviti tarbiyyah yang sedang dia jalani.

"Nuh... jodoh ni bukannya jatuh dari langit. Kena cari... kena usaha...", balas Pak Ucop. Suaranya kedengaran mendatar, tapi berbaur nasihat.

Nuh al-Farobi yang masih tersenyum mengangguk. Dia faham benar tentang konsep ikhtiar dan tawakkal. Ah, mana mungkin bulan bisa jatuh ke riba jika tidak dicapai ia?

"Itulah yang saya nak cakap... saya belum jumpa akhowat dari syurga lagi. Kalau pak cik jumpa, kenal-kenalkanlah... mana tahu ada jodoh ke..", kata Nuh al-Farobi separuh bergurau.

Pagi itu cuaca molek benar. Pansanya sederhana, tidak membakar. Nuh al-Farobi mencapai sebotol air mineral yang berada di hadapan dan dituangkan airnya ke dalam sebuah cawan kecil. Diteguk perlahan, menghilangkan dahaga, rentetan daripada lelah tadi.

"Pak cik ni mujur saja tak ada anak perempuan.. kalau ada, senang-senang pak cik kahwinkan saja anak pak cik dengan kamu...", balas Pak Ucop atau nama panjangnya, Ahmad Yusuf Omar. Dia tidak bergurau walau mulutnya tersengih lebar, menampakkan giginya yang masih tersusun kemas, bersih dan putih. Mungkin berkat amalan bersugi yang istiqomah dilakukan setiap kali menghampiri waktu solat.

Nuh al-Farobi tersenyum kelat. Tekedu dia, sungguh. Seketika, bunyi deruman kenderaan yang bertali arus di jalan besar yang hanya dipisahkan dengan satu tembok pagar yang tinggi, menguasai mereka. Nuh al-Farobi mengubah posisi kakinya, masih melayan perasaan. Pak Ucop juga sama.

"Eh... Nuh, tengok tu...", Pak Ucop mencuit bahu Nuh al-Farobi yang duduk berjulur kaki di sebelahnya.

Dari kejauhan, kelihatan seorang gadis berpakaian muslimah sedang berjalan laju kearah kereta Perodua Kelisa berwarna putih miliknya. Masih samar, tapi Nuh al-Farobi merasa seperti mengenali sosok tubuh gadis itu.

"Ehem.. lama pandang..", tegur Pak Ucop sambil berdehem-dehem. Dia ketawa lucu melihat reaksi dan riak wajah Nuh al-Farobi yang ternyata aneh.

Menyedari kesilapan diri, Nuh al-Farobi tersengih lagi. Dari hujung mata, dia melihat kereta Perodua Kelisa itu berlalu, hilang dari pandangan.

"Kalau muslimah macam tu, kamu suka tak?", Pak Ucop menguji. Dia memprovokasi anak muda di depannya.

"Er... manalah saya kenal dia tu siapa..", balas Nuh al-Farobi jujur.

Pak Ucop tersenyum penuh makna. "Pak cik kenal. Dia duduk di blok kamu juga. Takkanlah kamu tak pernah terserempak kot?"

Nuh al-Farobi menggeleng. "Rasanya ini kali pertama tengok perempuan berpakaian macam tu. Kalau jumpa perempuan melayu pakai baju singkat dan kain terbelah, ada juga selalu", jawab Nuh al-Farobi. Dia sebenarnya dihimpit kecewa melihat gadis watannya ramai yang sudah jauh berpaling daripada paksi hidup yang diajar oleh islam. Suatu yang jelas ialah pada segi penampilan mereka.

"Dia selalu datang rumah pak cik, belajar mengaji dengan isteri pakcik...", cerita Pak Ucop.

Nuh al-Farobi berasa berminat tiba-tiba. Wajahnya nampak berseri-seri. Tumpuan diberi, menunggu-nunggu Pak Ucop menyambung ceritanya.

"Budak perempuan tu nama dia Nasuha. Dulu, dia tak macam tu. Dia sebenarnya sudah lama duduk kat sini. Tapi dulu, dia memang macam kebanyakan gadis. Tahu enjoy saja. Tak belajar agama, bahkan jahil pula. Satu hari, dia insaf. Tapi sebabnya... pak cik tak tahu sebab dia tak cerita. Mungkin isteri pak cik tahu.."

"Macam mana dia boleh kenal dengan isteri pak cik pula?", tanya Nuh al-Farobi hairan. Dia bukannya tidak tahu, isteri Pak Ucop, Ustazah Zaleha ialah guru agama sekolah agama KAFA di sini. Pun, dia juga ada mengajar anak-anak jiran tetangga di sini mengaji. Segalanya dibuat percuma.

"Haa... yang itu kena tanya dekat dia lah", balas Pak Ucop ringkas sambil bibir mengulum senyum lebar. Nuh al-Farabi sama tersenyum. Seketika, senyuman mereka bersatu, menambahkan keindahan pagi hujung minggu itu.

Malam itu, saat mahu melelapkan mata, sekali lagi imbasan bayang gadis itu muncul. Sudah hampir 15 minit dia cuba melelapkan mata. Sudah berkali-kali juga dia mengubah posisi pembaringan. Tapi masih juga bayang gadis itu menyunsup mengganggunya. Akhirnya dia tekad. Dia ke bilik air, berwuduk lalu mengerjakan solat sunnat. Di akhir-akhir, dia berdoa agar dikurniakan ketenangan.

***

Petang itu sangat mendamaikan. Nuh al-Farobi yang lengkap berbaju sukan dan berseluar panjang mengerling kearah jam tangannya. Menghampiri jam 6 petang. Hajatnya, dia mahu bersukan. Biar sekejap, biar seketika, itu pun sudah memadai untuk badannya. Sedang mahu turun ke tangga, dia terpana. Ya, tidak keruan seketika.

Buat kali kedua, dia terserempak dengan si gadis yang kerap kali bayang-bayangnya muncul setiap sebelum tidurnya. Ya! Itulah gadis yang pernah bertegang urat dengan lelaki suatu ketika dahulu. Gadis itu jugalah yang merengus marah saat ketahuan dirinya menjadi perhatian dan gadis itu jugalah gadis berjubah labuh yang Nuh al-Farobi pandang pada hujung minggu dahulu, bersama Pak Ucop.

Tangga itu lebar, tapi keduanya tercegat. Yang mahu turun tidak berganjak keatas, yang mahu naik juga sama. Kedua insan itu memandang lantai, diam tanpa suara. Akhirnya Nuh al-Farobi memberanikan diri untuk turun. Itupun dengan pandangan matanya masih lagi disasarkan pada lantai simen sepanjang anak tangga iyu walhal ia kotor. Oh! langsung tidak enak dipandang lama-lama.

Saat mereka bertembung, gadis itu seakan-akan berbisik. "Terima kasih saudara.."

Lantas, langkah kaki Nuh al-Farobi mati. "Terima kasih untuk apa?", tanyanya perlahan. Dadanya berdebar-debar. Perasaaannya bercampur baur.

"Terima kasih...", ulang gadis itu. Kali ini kedengaran lebih kuat daripada tadi.

Belum sempat Nuh al-Farobi bertanya lebih jauh, gadis berkerudung hitam itu cergas memanjat tangga, laju dan terus lenyap dari pandangan Nuh al-Farobi. Ditinggalkan bersama persoalan-persoalan yang tidak terjawab, Nuh al-Farobi beristighfar dalam hati. Sedaya upayanya, curiga disingkir. Debar yang hebat tadi, dimatikan.

Petang itu juga, dia berjongging tidak lama, semangatnya hilang dek teringatkan akan peristiwa sebentar tadi.

***

"Nuh... tunggu sekejap..."

Pak Ucop separuh menjerit memanggil Nuh al-Farobi yang sedang menyarung selipar, mahu pulang ke rumahnya usai solat isyak malam itu.

Dia menoleh kearah Pak Ucop lalu tersenyum nipis. Lalu, dia kembali memanjat anak tangga masuk ke surau yang sederhana besarnya itu. "Ada apa pak cik?", tanyanya terus. Punggungnya sudah dilabuhkan di atas lantai, betul-betul bertentangan duduknya dengan Pak Ucop.

"Nah", Pak Ucop menghulurkan satu sampul surat berwarna coklat kepada Nuh al-Farobi. Berkerut-kerut dahi Nuh al-Farobi. Lambat-lambat, dia menyambut sampul surat itu.

"Apa ni?", tanyanya sambil membelek-belek sampul surat berwarna coklat itu.

Pak Ucop senyum lebar. Matanya tepat memandang Nuh al-Farobi. Kelihatan mata yang hitam pekat itu seakan-akan bersinar, gambaran dia sedang gembira. Ah, barangkali.

"Adalah. Dari seseorang. Jangan baca sekarang tapi baca di rumah saja ya", beritahu Pak Ucop. Dia menggaru-garu dahinya yang gatal digigit nyamuk.

"Aik... lain macam aje ni pak cik... Cakaplah... siapa yang bagi ni?", desak Nuh al-Farobi.

"Amanah. Tak boleh cerita. Kamu bacalah sendiri nanti ya", balas Pak Ucop sambil bibirnya masih mengukir senyuman lebar penuh makna.

Nuh al-Farobi akur. Dia menyimpan sampul itu dalam poket baju melayunya. Sebelum mereka berpisah di muka pintu surau itu, Pak Ucop sempat berpesan, "Jangan terburu-buru membuat keputusan ya. Timbang dahulu baik buruknya dan ingat... Allah mesti tetap menjadi matlamat". Nuh al-Farobi mendengar dengan teliti dan mengangguk-angguk, walau dia masih lagi dihambat keliru.

Di atas katil, sampul itu dikoyak penuh hati-hati. Tangannya menarik keluar isi sampul itu berupa sepucuk surat tulisan tangan. Perlahan-lahan lipatan kertas itu dibuka, cermat dan hati-hati. Satu per satu perkataan dibaca, tanpa ditinggal sepatah pun.

Assalamualaikum wahai saudara.

Maafkan saya jika layangan surat ini mengganggu dan membawa rasa yang tidak enak kepada saudara. Sungguh, surat ini tertulis pun selepas berkali-kali ia dipadam dan selepas berkali-kali juga ia bertukar ganti. Ah, terlalu sukar dan binggung untuk saya mulakannya. Tapi cukuplah jika saudara tahu sesungguhnya ia ada sebuah usaha kerdil daripada saya untuk belajar memberikan yang terbaik buat kehidupan saya.

Saudara yang saya kagumi,

Buat sekalian kalinya, saya memohon kemaafan. Saya tidak menulis untuk suka-suka melainkan selepas saya benar-benar tekad. Saya cuba menyoroti sirah dan perjalanan kehidupan Rasulallah s.a.w saat Baginda mengambil Saidatina Khadijah, seorang janda menjadi isteri dan pendampingnya.

Benar. Saya bukan Saidatina Khadijah. Jauh sekali memiliki keperawanan dan peribadi secantik beliau. Pun, saya sekadar mengambil ibrah daripada peristiwa itu untuk saya nyatakan bahawa saya sangat kagum kepada saudara. Jika Saidatina Khadijah mengirimkan sahabatnya, Nafisah untuk menyatakan hasrat hati, saya hanya mampu mengirimkan sepucuk surat. Itupun atas ihsan, sokongan dan bimbingan Ustazah Zaleha dan Pak Ucop.

Saudara,

Benar. Saya ialah gadis yang bertekak dan bertegang urat dengan seorang lelaki, suatu ketika dahulu. Saat saya melihat saudara duduk memerhati dari kejauhan, saya diburu rasa muak, marah dan malu yang bercampur-baur. Dan jika saudara masih ingat, saya sempat mengejek saudara masa di muka pintu rumah saudara. Ya, saat itu dan ketika itu, saya dikuasai marah dan jelek.

Namun, jawapan dan kata-kata saudara mengusik hati kecil saya. Malam itu saya benar-benar rasa tepukul. Saya rasa bersalah dengan diri saya. Saya mulai merasakan diri saya telah kehilangan sesuatu yang tersangat penting, iaitu hubungan dengan Allah. Mulai saat itu, saya mula mencari-cari kebaikan.

Saya sering memerhatikan saudara. Ya, itu pun secara tidak sengaja. Banyak yang saya kagum tentang saudara. Terlalu banyak. Tidak salah jika saya katakan bahawa saudara ialah punca saya mula mahu mendekati islam. Ya, saya jatuh cinta dengan peribadi saudara.

Maafkan saya... saya bukannya akhowat dari syurga yang bisa meminjamkan nur untuk dijadikan bukti kasih. Saya juga bukan akhowat dari syurga yang mampu melebarkan sayapnya, memberi sejuta rasa tenang. Saya cuma akhowat dari ambang binasa, yang bertatih untuk ke syurga.

Salam kemaafan,
Nasuha.

Nuh al-Farobi menatap lama tulisan-tulisan yang tersusun kemas atas kertas putih itu. Dadanya berombak-ombak. Debaran hebat dirasakan. Puas menatap isi kandungan surat itu, akhirnya ia kembali dilipat dan dimasukkan dalam sampul.

Nuh al-Farobi berbaring. Badannya yang tegap itu dirasakan seakan-akan melayang-layang. Bibirnya mengulum senyum yang hanya dirinya sahaja mengerti. Antara dengar atau tidak, dia berbisik seorang diri, "Nasuha, aku juga bukan ikhwah dari syurga untuk memiliki akhowat dari syurga... "

Malam itu, Nasuha datang dalam mimpinya buat pertama kali bersama jawapan kepada sebuah solat istikharah.

**********************************

(1)-Ini entry terakhir hingga hujung bulan ini kerana saya akan menduduki sebuah peperiksaan penting. Doakan saya. Terima kasih :)
 
Previous
Next Post »
24 Komentar
avatar

subhanallah...tak sangka jg kan..n alhamdulillah kalau ada yg dpt bertaubat n mjd lbh baik spt gds tu..

Balas
avatar

Allah. tahniah atas sebuah cerpen yang menarik.

tak sangka kan sebelum study pun boleh buat cerpen begini indah? haha.

tahniah sekali lagi.

Balas
avatar

MashaAllah..nice one! cpt2 sambung! :)
-actually lagi suka cerita yg mcm ni, bila soerg laki/pmpn yg soleh,b'temu jodoh dgn psangan yg pd asalnya ada sejarah hitam..bilamana baca 1 kisah tu watak2nya sgt sempurna, mcm xlogik plak rase.tahniah! :)

Balas
avatar

Assalam iqbal..:)
suka saya bce entry ni..:)

Gud Luck utk exam..:)

Balas
avatar

semoga berjaya dalam peperiksaan...=)

Balas
avatar

salam

indah cerpen ni. Moga dipermudahkan Allah menghadapi imtihan nanti insyaAllah

Balas
avatar

AdA PEngertian disebalik catatan neh saudara?

Balas
avatar

AdA PEngertian disebalik catatan neh saudara?

Balas
avatar

Best... pe2 pun, GOOD LUCK!!

Balas
avatar

akhowat dari syurga... mati senbagi pintu pertama nak jumap, kubur jalan menghala ke arahnya, hisab sebagai saringan... adoi laaaa moga dapat le jumpa

Ya Allah kumpulkan kami bersama- orang-orang yang soleh...

Balas
avatar

Alhamdulillah..

moga terus bertinta dlm myebarkn dakwah..

tQ

Balas
avatar

ingin menjadi salah seorang akhwat dari syurga :)

Balas
avatar

pergh..panjang ea cerpen ni
hjehhehehe
terbaca perenggan awal..
terasa hati sbb da lama da xsolat berjemaah kat surau..kekadang je :(

Balas
avatar

p/s:jemput share pandangan tuan berkaitan artikel terbaru...di blog sy..

Balas
avatar

hebat nashkah ni. nape iqbal tak hantar kat mana-mana penerbitan.

Balas
avatar

iqbal!terbaiklah!sempat lagi ye.heheh..gud luck.




*betul kata bro shameel tuh.karya ni kalau hntr kat mana2 pnerbitan mst best!

Balas
avatar

artikel yang hebat...masyaAllah kagum ana...teruskan menulis.


semoga tsabat dalam jalan ini juga, insyaAllah..

tertarik dgn ungkapan, Nasuha, aku juga bukan ikhwah dari syurga untuk memiliki akhowat dari syurga... "

Balas
avatar

masyaAllah~
indahnya.

bittaufiq wannajah fil imtihan, iqbal.

Balas
avatar

cantik jalan ceritanya
mabruk iqbal..

maat taufiq wa najah utk exam~

Balas
avatar

goodluck exam !! =D

ehhh. ke saya dah terlambat wish. erk. haha.

Balas
avatar

Salam alaik.

menarik. jalan cerita yang baik. walaupun pendek tapi terkesan.

tahniah! (=

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443