#48 Semoga Tuhan bimbing, sungguh?

Apa yang saya bakal tulis ini ialah satu pandangan yang tidak popular. Mungkin mengundang kritikan. Tetapi saya terbuka untuk dikritik dan diperbetulkan jika perlu.

Di dalam dunia ni, kita perlu menerima hakikat bahawa bukan orang Islam sahaja yang baik tetapi ramai orang bukan islam yang baik. Di Malaysia sendiri, yang jadi juara dalam ranking jenayah pun ialah orang islam. Ada 'bin' pada namanya. Tetapi kita membantah keras dan tidak bersetuju dengan mereka.

Di antara orang bukan Islam yang baik ini, kita boleh lihat titik peluh mereka memperjuangkan kehidupan yang lebih baik terhadap orang lain. Saya kerap mengintai 'post' Facebook saudara Kuan Chee Heng. Setiap aktiviti kemanusiaan dan kemasyarakatan yang dia serta pasukannya buat, semuanya akan dimuat naik ke profil Fb nya.


Saya baca komen netizen yang pelbagai. Ada yang berterima kasih, memuji, dan kagum dengannya. Tak kurang pula ada yang berazam untuk turut serta menjadi manusia yang baik sepertinya.

Tapi ada segelinitr umat Islam yang meninggalkan komen, "Semoga Encik Kuan diberikan hidayah masuk ke dalam Islam".

Bukan sekali dua, tetapi sudah berkali-kali.

Ada beberapa isu yang timbul yang perlu kita bincangkan. Seperti saya tegaskan tadi, kita bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree). Patahkan hujah dengan hujah.

Pertama, hormati agama dan kepercayaan orang. Cuba kita bayangkan, jika seorang lelaki Hindu atau lelaki Kristian berkata kepada kita, "Semoga kamu diberi petunjuk untuk masuk dalam agama Hindu", atau "Semoga Jesus membimbing kamu ke jalan yang sebenar", apakah yang kita rasa. Mungkin kita akan tersenyum kelat di depan orang, tapi jauh di sudut hati, jika kita tidak marah sekalipun, kita pasti tidak akan selesa bukan.

It takes two to tango. Jangan minta orang hormat kepercayaan kita jika kita tidak mahu menghormati kepercayaan mereka.

Kedua, jika sungguh, maka sungguh-sungguhlah! Jika kita betul-betul mahukan hidayah kepada seseorang, maka caranya bukanlah dengan 'berdoa' di Facebook atau dihadapannya. Sebaliknya bangunlah bertahajjud, buat solat hajat, dan berdoalah bersungguh-sungguh dengan menyebut namanya. Biar jadi rahsia antara kita dengan Tuhan. Bukannya menjadi persepsi antara kita dengan masyarakat. Budaya berdoa di media sosial ialah perlu dihentikan.

Ketiga, adakah apabila kita menulis, "Semoga Allah bukakan hati kamu untuk menerima Islam", itu bermakna kita sudah berdakwah? Belum lagi. Di zaman Rasulullah S.A.W, Baginda bukan semata-mata meminta manusia meninggalkan syirik tetapi Baginda menunjuk dan menerangkan. Bahkan disebut di dalam Hadis, ramai para pemimpin dan ketua agama telah datang ke Madinah untuk bejumpa Baginda untuk berbincang hal agama. Kadangkala perbincangan itu berlarutan hingga beberapa hari. Hujah dilawan dengan hujah kerana makanan akal ialah bukti bukannya cerita-cerita.

Benar, ada beberapa situasi, Baginda mengutuskan surat sahaja. Antaranya kepada pemimpin-pemimpin negara di sekitar Tanah Arab seperti Raja Rom, raja Parsi, raja Habsyah dan juga Bahrain. Tapi di dalam suratnya ada seruan supaya mentauhidkan Allah dan penerangan-penerangan tentang Islam. Bukan ajak sekadar ajak, akhirnya menjadi seperti melepaskan batuk di tangga.

Ada pepatah arab, "Orang yang tidak memiliki tidak dapat memberi".

Kerana itulah saya selalu menegaskan bahawa Islam itu bermula dengan diri kita sendiri. Kita tengok orang melakukan maksiat dan meninggalkan kewajipan, tapi itu 'kubur' dia. Kubur kita ialah maksiat dan ketaatan kita. Kita cuma berkewajipan untuk memberitahu dan mengajak. Dia mahu atau tidak mahu, itu urusannya dengan Allah.

Tapi sebelum kita dapat 'memberi' kepada orang, kita sendiri dahulu perlu 'memiliki'. Mari mulakan hari ini. Kita fahami agama sendiri. Mudah-mudahan jika niat kita ikhlas, Allah pilih kita untuk menjadi jalan hidayah kepada orang lain juga.

Kerana sesungguhnya kita ini tidaklah lebih baik daripada orang lain.
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443