Kata Nabi S.A.W, dua benda yang paling banyak menjerumuskan manusia ke dalam neraka adalah lidah dan kemaluan.
Dalam hadis yang lain, Nabi berkata yang kalau kita mahu berkata-kata, ucapkanlah perkara yang baik. Tapi jika tak mampu, maka diamlah.
Sebab lidah kita ni tak bertulang. Senang sangat tergelincir. Sebab tu Nabi mengingatkan kita supaya kurang bercakap, banyakkan beramal.
Termasuk banyak bercakap ini juga bercakap di Facebook, Twitter, Instagram dan mana-mana media sosial. Mungkin personaliti sebenar, ada orang tak banyak bercakap dengan orang, tapi di alam maya, merekalah juara debat. Itu pun sama-sama tak guna juga. Banyak menulis, banyak jugalah ruang untuk berlaku kesilapan dan kesalahan.
Saya tak pernah lagi jumpa orang alim, ahli akademik, dan tokoh masyarakat yang suka merepek dan merapu. Bergurau tu ada. Tapi tak ada yang bergurau secara melebih sampai menjatuhkan status sosial.
Teringat pula kepada Nabi S.A.W. Aduhai, jauhnya kita daripada akhlak Baginda. Baginda sebenarnya tak suka kita terlalu banyak bergurau dan melawak. Sebab itu Baginda melarang kita terlalu banyak ketawa. Tetapi Baginda dalam masa yang serupa, ada juga melawak. Kita pun tahu contoh-contoh yang ada.
Tapi semua tu menaikkan lagi hormat orang kepada Baginda. Bukannya menjatuhkan.
Marilah kita mencuba untuk banyakkan diam. Bila mulut tak buat bising, otak akan makin tajam. Mana tahu, dengan mengurangkan "huha-huha" ini, Allah jadi makin sayang kepada kita.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443