#72 Malam al-Qadr dan poligami

Hari ini 20 Jun 2017 bersamaan 25 Ramadhan 1438 hijrah. Sepatutnya bila masuk 10 malam terakhir bulan Ramadhan, orang hanya akan berpesan-pesan supaya membanyakkan amalan dan bersungguh-sungguh mencari malam al-qadr.

Tapi saya sengaja nak bercakap tentang poligami sebab tak ramai yang mahu kaitkan poligami dengan bulan ramadhan.

Saya selalu mendengar perbualan orang dewasa yang dah lama berkahwin dan beranak pinak, tentang gurau-gurau perihal 'buka cawangan baru'. Saya tahu mereka bergurau. Ketawa berhambur. Tapi dalam hati siapa tahu.

Salah satu falsafah puasa disebalik menahan makan dan minum, adalah menahan kemaluan daripada berjimak di siang hari.

Jimak suami isteri ini halal. Bahkan dalam beberapa situasi, berpahala pula.

Tetapi tidak di bulan Ramadhan. Jika berjimak pada siang hari, hukumannya bukan setakat berdosa dan perlu ganti (qada') tetapi perlu kafarah berupa berpuasa 2 bulan berturut-turut!

Jika ianya kesalahan yang ringan, mengapa 'hukumannya' begitu berat?

Melainkan kita perlu sedar, ini adalah kesalahan yang serius.

Di dalam hadis yang lain pula menyebutkan Nabi S.A.W apabila masuk 10 malam terakhir, Baginda akan 'mengikat kain ketat-ketat', sebagai petanda Baginda mahu fokus beribadah dan 'menjauhi' isterinya.

Suatu hari, saya dan isteri sedang berbaring menonton Tv. Tiba-tiba isteri saya memandang saya, lama. 

"Bang"

"Ya", mata saya masih di kaca televisyen.

"Abang nak kahwin lain tak?", soalnya tiba-tiba.

Saya terkejut bercampur hairan.

"Tak. Kenapa tiba-tiba tanya soalan pelik ni?", gesa saya.

"Tak ada apa-apalah", balasnya pendek. Riak wajahnya sukar nak dibaca.

Lalu saya pegang tangannya dan berkata dengan jujur, "Sayang, abang ada seorang isteri pun dah syukur sangat. Seorang isteri ini pun dah susah nak dijaga. Tak pernah terdetik pun abang nak kahwin lain".

Dia senyum. Saya anggap dia percaya.

Sunnah poligami ialah sunnah ekslusif. Ekslusif kepada orang yang mampu dan berkemampuan. Cukup masanya. Cukup pendapatannya. Cukup kematangannya. Cukup semua aspek.

Barulah boleh tambah cawangan.

Kadang-kadang abang-abang yang sibuk nak berpoligami ini, solatnya pun tunggang langgang. Hutang pun keliling pinggang. Kaki Weechat, Instagram, Facebook pula tu.

Mana takwanya?

Kerana itulah Ramadhan datang untuk didik nafsu kita. Pengajaran buat kita, bahawa benda yang halal pun perlu berpada-pada. Makan dan minum itu halal. Tapi haram semasa solat dan puasa.

Jimak dengan isteri pun halal, tapi haram semasa haid dan siang hari bulan Ramadhan. Untuk info, ada sesetengah orang cuba nak 'tipu' jadi dia makan dulu (ponteng puasa) kemudian baru jimak. Apa hukum orang macam ni?

Jawabnya, menurut jumhur ulama, orang itu masih dikenakan kafarah. Hanya pada sisi mazhab syafie sahaja orang itu tak perlu kafarah, cukup dengan qada' sahaja.

Saya berharap abang-abang yang bercita-cita untuk berpoligami, boleh menggunakan kesempatan berada di dalam bulan yang mulia ini untuk berfikir sejenak. Jika mahu mengikut sunnah, ikut betul-betul. Jangan bersikap selektif.

Kerana banyak dah masalah yang timbul kerana poligami. Kita tak mahu masalah yang sedia ada bertambah. Kita mahu makin selesai.

Fokus dan syukur dengan apa yang ada.

Jangan rakus kepada apa yang belum ada.
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443