'Drama King'

Beberapa minggu lepas, dalam satu pertemuan dengan adik-adik, salah seorang daripada mereka bertanya, "Apa pendapat abang tentang dua golongan manusia ini, yang golongan pertama ialah golongan yang suka solat berjemaah, suka baca al-Quran, suka buat amal ibadah tapi hilang sensitiviti dalam agama. Bila solat, baca Quran... tak ada apa-apa kesan bagi dia. Dan apa pendapat abang tentang golongan kedua yang jarang-jarang solat berjemaah, jarang-jarang baca al-Quran tapi bila mereka beribadah, hati mereka sangat terkesan"

Lama saya terdiam hingga muka adik tadi berubah payau sedikit. Mungkin dia bimbang saya tak menyukai soalannya. Tak. Saya cuma berfikir, dan terus berfikir. Rumitnya soalan ini.

Pertamanya, apa yang dimaksudkan dengan hilang sensitiviti dalam agama?

Adakah, dengan banyak perilaku buruk-buruk? Banyak terlibat dengan benda langha? Banyak terlibat dengan perkara melalaikan seperti mengata orang, mengumpat orang, dan mengosipkan orang? Adakah hilang sensitiviti itu kerana mengagung-angungkan hiburan yang tak sihat?

Jika maksudnya begitu, saya sekeras-keras mengiyakan. Memang selama ini, saya perhatikan ramai manusia yang begini. Dia rajin ke surau. Dia rajin membelek mushaf, tapi dia juga rajin ketawa mengekek bila mengata orang. Ironis bukan?

Dan saya pasti, sedikit sebanyak keburukan ini ada pada kita kerana kita sama sekali tak pernah sempurna.

Saya suka mahu menegaskan dan memperingatkan diri saya sendiri khususnya, bahawa sifat solat yang sempurna ialah ia dapat menjadi satu pagar yang memisahkan diri kita daripada kelakuan keji dan juga perbuatan-perbuatan mungkar.

Banyak solat, banyak puasa sunat, banyak baca al-Quran... tapi mungkin sahaja Allah belum terima amal mereka. Sebab jika amal itu diterima, kesannya kita boleh nampak. Paling jelas pada peribadi. Sebagai contoh, dalam bab haji. Kita sering didoakan supaya memperolehi haji yang mabrur. Tapi mabrur itu bagaimana? Adakah dengan selepas pulang ke tanah air, kita kembali kepada sikap kita yang seperti siamang itu? Bukankah tanda-tandanya ialah kita berterusan dalam kebaikan, sebagaimana kita di tanah suci dahulu.

Inilah yang dia tandanya amal yang diterima Allah- Allah melorongkan hati dan jiwa kita untuk sentiasa istiqomah dan berterusan di dalam ketaatan.

Saya juga akan mengatakan bahawa tak semestinya orang yang banyak solat sunat, banyak puasa sunat, dan banyak beramal itu sebagai baik dan orang yang kurang amal itu sebagai tak baik. Saya tak kata.

Kerana kita berada di zaman akhir, yang banyak benar fitnah. Banyak benar tribulasi dan mehnah pada kesihatan iman kita.

Ada orang yang terselamat bukan kerana dia punya iman yang kuat pun, tapi terselamat kerana dia tak terdedah dengan angin jahiliyyah. Ada orang yang umpama lalang, meliuk-liuk dipukul jahiliyyah bukan kerana tak ada iman, tapi kerana dia tak cukup kuat sahaja. Tapi orang begini adalah lebih baik kerana dia merasai nikmat taubat. Dia juga merasai nikmat penyesalan.

Jika kita telusuri sejarah, kita lihat Fudhail bin Iyyad juga pernah punya sejarah hidup yang kelam. Dalam sebuah kisah hidupnya, dia ialah seorang samseng. Dia suka mengganggu orang di jalanan hingga para penduduk berasa takut untuk melalui jalan itu sekiranya ada Fudhail di hadapan. Sanggup mereka berpatah balik dan mencari jalan alternatif. Lihat, betapa dahulu Fudhail ini sangat tidak disukai masyarakat.

Satu hari, dalam kebiasaannya mengganggu orang, dia memanjat rumah orang. Dan pada satu rumah itu, ada seorang wanita cantik yang sedang membaca al-Quran. Isi rumah itu sedang membaca ayat ini:

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ 

"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk dan tunduk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik" (al-Hadid ayat 16)

Lalu merembeslah keluar air mata Fudhail Bin Iyyad. Bibirnya merintih, "Ya Allah. Telah tiba masanya. Telah tiba masanya". Lalu dia bertaubat- taubat nasuha. Taubat sungguh-sungguh hingga tiada lagi daki jahiliyyah yang merintik. Semuanya diseka, semuanya dicuci dengan amal soleh dan pembaikian diri.

Itu suatu kisah yang sangat menakjubkan. Orang yang paling buruk, Allah pusing sedikit sahaja hatinya lalu dia berubah menjadi orang yang paling baik! Allah beri dia mendengar satu ayat al-Quran sahaja, dan hatinya terus sahaja berubah paksi. Sedang kita? Setiap sebulan khatam sekali bacaan al-Quran, tapi adakah ia benar-benar meninggalkan bekas dalam hati kita? Atau adakah kita membaca al-Quran, hanya wayang sahaja? Satu sandiwara menipu untuk menimbulkan titik-titik kekaguman dalam hati orang lain- kononnya aku lebih baik dari kamu.
Saudaraku. Suka saya saya mengingatkan tentang iblis. Dahulu, dialah penghulu semua malaikat. Dahulu, dialah ketua segenap ketaatan. Dahulu, dialah makhluk yang paling soleh. Tapi kerana satu keingkaran sahaja, Allah hinakan dia. Semasa Allah memerintahkan segenap malaikat untuk tunduk hormat (sujud) kepada Nabi Adam a.s, iblis enggan. Iblis ingkar! Kerana apa? Kerana dia merasakan dirinya adalah lebik baik daripada nabi Adam. Dia diciptakan daripada api, sedang Adam diciptakan dari tanah.

Hati-hatilah. Ada dua punca utama orang menjadi takbur. Pertama, kerana ilmunya dan kedua kerana amalnya. Mungkin kerana amal dia banyak, dia jadi hilang sensitiviti. Ada orang meminta-minta, dia rasa tak terpanggil untuk membantu. Jika ada orang perlukan nasihat, dia akan mencemuh dan mengherdik orang itu dahulu. Mungkin juga jika ada orang yang meminta tolong, dia akan berdolak-dalih.

Dan paling jelas, dia tak akan dapat menerima nasihat jika orang yang menasihatinya itu ialah orang yang lebih kebawah darjatnya berbanding dia, iaitu orang yang tak sehebat dia dalam beramal. 

Bukankah dahulu pernah berlaku satu kisah antara dua orang bani Israel. Satu orang alim, warak. Satu orang lagi fasik, bermaksiat. Ditakdirkan Allah, kedua-dua mereka ditemukan di satu jalan. Lelaki warak menarik wajahnya daripada memandang si fasik dan lelaki fasik itu menoleh ke arah lain- daripada memandang wajah si alim tadi. Tapi atas dasar apa?

Lelaki warak itu enggan memandang wajah lelaki fasik itu kerana lelaki itu terlalu banyak dosanya. Tiada langsung ketaatannya. Dan hatinya menyumpah seranah orang itu. Menyampah sungguh! Mual!

Manakala lelaki fasik dan banyak bermaksiat itu lain pula ceritanya. Dia menarik muka bukan kerana benci tapi kerana malu. Hatinya tak henti-henti mengeluh kesal, "Lelaki itu tak pernah buat maksiat. Setiap saat dia beramal soleh sedangkan aku tak pernah melakukan ketaatan"

Lalu apa Allah buat? Allah muliakan lelaki fasik ini berbanding lelaki alim tadi. Kepulan awan di langit memayungi lelaki fasik tadi. 

Inilah jawapan saya kepada adik saya itu. Secara tuntas, saya dan dia bahkan semua kita wajib berjaga-jaga. Bimbang-bimbang ada secebis takbur tertanam dan bermukim dalam jiwa hingga menjadikan kita berasa gah dan sombong hingga pada hilang sensitiviti dalam beragama.

Maka jika itu berlaku, kita sudah menjadi 'drama king'.

Tahniah.

********
Saya sebenarnya tak berpuas hati dengan jawapan bagi soalan adik ni. Walaupun dia senyum tanda puas hati, tapi saya tidak. Jadi saya harap kalian yang punya pendapat atau penerangan lanjut, silalah kongsikan di ruangan komen ya.

Terima kasih. Moga Allah merahmati kalian dengan rahmat yang melimpah ruah.
  
Previous
Next Post »
13 Komentar
avatar

thank for sharing!

Balas
avatar

Cukup, insyaAllah...tapi, jangan lupa "telinga yang paling dekat adalah telinga kita"...penerangan saudara sudah cukup jelas ...InsyaAllah..moga2 Allah memberi kefahaman dan hidayah kepada adik-adik tersebut. hanya Allah yang berkuasa. hanya dengan izin-Nya sahaja, seorang yang tidak mengerti akan memahami. masyaAllah, tarbiyah melalui pertanyaan...Teruskan menulis, ya akhi. pasti ada manfaatnya buat yang membaca.

Balas
avatar

insyaAllah ada manfaat penjelasan tersebut...mungkin apa yang berlaku dlm situasi di mana tidak berkesannya Al-quran itu adalah kerana tiada penghayatan di sebalik pembacaan yang dilakukan...kenapa? kerana mereka tidak kenal dgn Al-quran..

sama juga jika diibaratkan dengan solat, berapa ramai di atas muka bumi ini yang solat setiap hari tetapi tidak pun memahami apa yang mereka ucapkan di dalam solat...seringkali juga pemuda2 islam, bahkan ustaz2 malah ada juga imam2 yang mana solat seumur hidup mereka, sekadar membaca..malah mereka memandang ringan ttg perkara ini...sedangkan di dalam solat itulah kita meluahkan segalanya..memohon,meminta dan mengadu malah mengagungkan kebesaran Allah...

wallahu'alam...
perbetulkan sy jika ada tersalah...

Balas
avatar

Assalamualaikum...

Berbanyak terima kasih di atas perkongsian ini.

Balas
avatar

ini semacam neraca ikhlas.

bagi aku,
ikhlas tu kerja tuhan yang kira.

lagipun, apa rasionalnya kita membanding beza mereka berdua? tapi ialah, aku pun pernah terfikir benda ni, kalau dari mata manusia, dua dua serba tak kena,
yang tentang orang kuat amal tapi ada slack kat situ, itu mungkin saja ibrah bagi kita bahawa solat itu benteng bagi kemungkaran dan fasik, jadi kita tanya pula khabar solat kita.

yang buat amal sedikit tapi terkesan tu, kalau akulah, kadang kadang macam tu jugak, bila amal banyak tak efek, bila amal sikit ada efek pulak dah, pucuk pangkalnya aku ni iman tak konsisten, efek masa sembahyang/baca quran je lah, tapi bab menerapkan islam dalam hidup yang sebenar masih fail.

yang amal banyak itu Allah bagi kekuatan untuk berusaha, tapi Allah belum lagi bagi hatinya mudah tersentuh...
yang tersentuh banyak tu pulak Allah bagi kelebihan hati mudha tersentuh, tapi Allah tak bagi kelebihan dia kekuatan banyak beramal..

Allahuakbar.. aku macam terasa sendiri bila menaip ni..

Aku tak tahu aku taip apa ni, tapi itulah..

Okay aku dah boleh konsentret buat kerja sekarang.. terima kasih atas posting yang ini...

hehehehe

Balas
avatar

salam wbt.

rasanya.. glgn yg kedua tu lgi elok. rasanya. tak pasti, tapi mungkin.. ayt ni boleh meyakinkan kita lgi..


Menurut keterangan daripada Syarah Sahih Muslim:

“Amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada amalan yang banyak tapi terputus. Ini kerana amalan berkenaan menyebabkan seseorang itu melakukan ketaatan, berzikir, berwaspada dan mendampingkan diri kepada Allah secara berterusan.”




3 elemen penting dlm perkara ni. ilmu, ikhlas dan istiqomah :) jgn dikisahkan amalan mereka yg bertimbun atau hanya satu-dua-tiga.. yg bertaqwa & ikhlas tu shj boleh membezakan semua.. dan semua, hanya boleh dilihat oleh Allah swt.

ter'kesan' atau tidak amalan yg diamalkan itu, brdsrkn hati. hati yg sakit/kotor/gelap, atau sentiasa suci krn ada Dia di hati?

wallahua'lam.

Balas
avatar

Assalamualaikum,

Terima kasih atas perkongsian.

Balas
avatar

Entah kenapa, saya tak boleh tidak untuk komen juga post Akh kali ini. Memberi pendapat sekadarnya mengikut ilmu saya yang sungguh sangat terbatas.

Jazakallah Akh atas penerangan yang cukup mantop! banyak ilmu baru yg saya peroleh. Alhamdulillah. Barakallahu feek. Juga komen2 di atas, memberi nafas pada jiwa. Barakallahu feekum. ^_^

Menyentuh soalan yang Akh tinggalkan buat kami...
Saya jadi terbayang isu yang selalu digemburkan. Seringkali timbul soalan antara dia yg bertudung dan dia yg tidak bertudung, mana satu lebih baik? Katakan golongan pertama ibarat dia yg bertudung tetapi akhlak kurang. Dan saya teribarat golongan kedua seperti dia yg tidak bertudung/ krg menepati syarat tetapi mempunyai akhlak yg lebih baik. Saya kembali tanya diri sendiri, yg mana satu lebih baik? Dan saya tak dapat jawapan melainkan akan kata kedua-duanya baik. Kita tak berhak nak menilai manusia, kerana kita tak tahu apa dalam hati manusia, kerana kita tak tahu apa akan jadi pada masa yg mendatang. Mungkin kerana tudungnya, kelamaan Allah membuka hati untuk mempunyai akhlak yg lebih baik. Mungkin kerana akhlaknya yg baik walaupun tidak bertudung, suatu saat Allah bukakan hati untuk berhijab. Dan andainya ada sangkaan2 sebelum itu yg memberi judgement , hanya bertudung baik, yg x bertudung x baik, hakikatnya pada penghujung, semuanya salah. Penerangan Akh di atas dah sangat cukup. Allah pemilik hati kita, dalam sekelip mata dengan izin Allah dia yg kononnya dahulu plg jahat berubah umpama menjdi manusia yg plg baik. Atau sebaliknya...dan kita manusia x boleh duga...

Andai dikatakan golongan yang suka solat berjemaah, suka baca al-Quran, suka buat amal ibadah tapi hilang sensitiviti dalam agama itu lebih baik, mungkin benar kerana walaupun pada mulanya tiada sensitiviti, tetapi oleh kerana amal yg dilakukan, dengan izin Allah, hati lama-kelamaan terkesan. Mungkin juga tak benar kerana walaupun amal banyak dilakukan sehari-hari, hanya tinggal sia-sia tiada memberi kesan, ibarat air kosong yg dituang ke dalam gelas yg mempunyai retakan. Punya dua kemungkinan pada pengakhiran...dan kita x boleh duga...

Balas
avatar

Andai dikatakan golongan yang jarang-jarang solat berjemaah, jarang-jarang baca al-Quran tapi bila mereka beribadah, hati mereka sangat terkesan lebih baik, bimbang nanti ada berfikir “buat amal sedikit tidak apa, asalkan dapat beri kesan kepada hati dah cukup”. Kalau ada yang berfikir begini, melakukan amal sedikit dan memberi kesan serta menuntutnya istiqamah sehingga bisa menambahkan amal yang lain, Alhamdulillah. Tetapi bagaimana pula yg berfikiran sama, melakukan amal sedikit tetapi tiada memberi kesan dan akhirnya malas untuk menambahkan amal kerana berfikir “amal byk pun kalau x terkesan buat apa”. Saya lebih condong kepada pendapat ‘senshi’ di atas. Kita manusia, iman kita naik turun, terkadang waktu iman naik, baca Quran boleh menangis. Tetapi sewaktu iman menurun, tiada rasa apa2...Allah...=’(

Dan yg terbaik seharusnya kita sentiasa menambah amalan, di samping pada masa yg sama mujahadah dan bersabar dlm istiqamah melakukan ibadah, juga sedayanya cuba memaksa mata untuk menangis andai payah dan menggasak hati untuk terkesan walau susah, pendek kata sentiasa muhasabah. Harus melakukan amal yg banyak, kerana kita sendiri tidak tahu, antara amal2 yg banyak itu yg mana satukah benar2 ikhlas? Dan andainya melakukan amal yg sedikit, kita juga tidak tahu apakah amal yg sedikit itu sepenuhnya ikhlas krn Dia?

Apa yang boleh dikatakan sebagai kesimpulan akhirnya, kita hanyalah boleh mencontohi. Ketepikan yg jelik di pandangan, ambillah yg baik. Kerana dua2 golongan punya kelebihan. Seperti ‘senshi’ ckp juga, contohi golongan pertama yg melakukan amal ibadah yg banyak dan contohi golongan kedua yg apabila beramal memberi kesan terhadap hati. Yang mana lebih baik...apa yg akhirnya diri sendiri dpt drpd tarbiyah Akh melalui soalan, jawapan kpd persoalan itu hanya Allah yg tahu...

“biar nama tidak disebut manusia di dunia...siapa tahu, mungkin sahaja nama disebut di atas sana...”

p/s : Hah! Baru boleh hela nafas. Dan saya sekarang pun baru boleh fokus perkara lain. ^_^ hehe. (maaf Akh kalau komen ni terlebih sangat, saya mmg banyak bercakap, x puas dkt blog sendiri mari menyibuk di ruangan komen blog orang lain T__T asifah ‘ala kulli haal )

Balas
avatar

moga dijauhkan rasa takbur dalam diri. nampak baik tak semestinya baik.nampak jahat tak semestinya jahat.

Balas
avatar

Salam alaik. Ana nak tanya sikit siapa Fudhail bin Iyyad tu? Harap dapat beri maklumat. sangat dahaga tarbiyah...

Balas
avatar

salaam a'laikum warah matullah.

saudara iqbal yg dikasihi allah,

nak tanya. anda berbulatan gembira di mana ye..? bila kita boleh ketemu..? ;)

akhukum fillah,
inche gabbana

Balas
avatar

Jazakallahu kasiran akhi...
cukup bermanfaat

"Kita hanya penyeru bukan penghukum"

Biarkan nilaian seseorang manusia itu Allah yang tentukan kerana ia memang menjadi suatu rahsia...

"Aku tidak lihat pada zahir kamu, tetapi hati kamu"

Siapakah yang lebih baik? Tanyakan kepada diri, adakah aku sudah cukup baik untuk menilai siapa yang baik?
Wallahualam...

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443