Brader parut berapi dan berotot macam kereta kebal.

Kongsi

>> February 21, 2012

assalamualaikum..apa pendapat saudara iqbal mengenai solat di awal waktu secara bersendirian dengan solat bkan di awal waktu berjemaah..mana satu yang lebih bagus sebenarnya?
Waalaikumussalam. Memang ada satu hadis sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Ibnu Mas'ud pernah bertanya kepada Rasulullah, "Apakah dia amalan yang paling baik?" Lalu Rasulullah menjawab; Solat diawal waktu, kemudian berbakti kepada ibubapa, dan kemudian berjihad di jalan Allah."

Kalau baca satu hadis ini sahaja, memanglah kita akan kata yang solat diawal waktu itu ialah utama. Tapi jangan lupa, hadis yang menyatakan tentang kepentingan solat berjemaah adalah lebih banyak. Antaranya, ialah hadis yang menceritakan tentang kambing dan serigala. Jika tidak wujud falsafah berjemaah dalam segala aspek; ibadah mahupun kemasyarakatan, maka yang berlaku ialah kambing tu akan diterkam oleh serigala. Dan serigala bagi manusia ialah syaitan.

Sejujurnya, saya bukanlah orang yang belajar secara khusus tentang hadis. Saya orang awam, bukan orang khusus. Saya tukang baiki kapal terbang, bukannya ustaz yang berkuliah di Mesir atau Jordan, apatah lagi Madinah. Tapi setakat yang saya belajar (hadiri kuliah, baca kitab hadis, dan tanya ustaz), saya tak pernah nampak yang solat berjemaah ini suatu yang ringan. Tak pernah!

Sampaikan nabi sendiri pernah kata; Aku teringin mahu membakar rumah orang-orang tidak menunaikan solat berjemaah, hanyalah kerana aku kira kanak-kanak dan mereka yang uzur di dalamnya.

Tak adalah sampai bakar rumah, tapi terasa seakan-akan mahu sahaja. Sebenarnya, Nabi Muhammad, iaitu Nabi yang sama kita selawatkan kepadanya, yang kita sambuti tarikh kelahirannya, yang kita kata kita umatnya... (ya! Nabi yang sama!) mahu kita memandang besar pada solat berjemaah!

Masa soalan ini diterima oleh saya, saya cuba mahu berbincang dengan sahabat saya. Dia orang tabligh. Bukan sekadar itu, dia juga ahli jemaah tabligh yang sangat komited dengan jemaah. Kalau ikut jawapan dia, mudah sahaja.

"Rasulullah pernah bersolat sendirian tak? Dalam perang, solat berjemaah (solat khauf). Dalam kesibukan, solat berjemaah. Dalam bermusafir, solat berjemaah. Dalam kesenangan. solat berjemaah. Dalam sakit, solat berjemaah. Hanya ketika nazak (hampir wafat), disaat Baginda dah tak mampu untuk bangkit dari berbaring, ketika itulah baru Baginda mewakilkan Abu Bakar untuk menjadi imam, juga bagi solat berjemaah!

Bahkan dikatakan Rasulullah hanya bersolat sebanyak 6 kali sahaja secara tidak berjemaah. Hanya enam kali!

Rasanya kita tak perlu bincang benda ini dengan ilmiah. Sebab makin banyak kita bercakap tentang ilmu, makin berat kita mahu berpegang dengan pendapat Imam Syafie' yang tidak menghukum wajib bagi solat berjemaah (hanya fardu kifayah). Sebab itu, tak perlulah kita pergi lebih dalam.

Tapi saya cuma nak kata satu. Kita kata kita sayang nabi... kata sayang agama... kata sayang saudara seagama kita... kata nak masuk syurga... nak hidupkan sunnah... dan kata macam-macam lagi! Jadi, kenapa memilih untuk solat sendiri?

Saya bukan orang pertama, dan takkan jadi orang terakhir yang akan berbicara tentang solat berjemaah beserta kepentingannya. Cuma saya nak tanya, buat apa anda baca artikel ini, jika anda tak terasa nak sahut perintah Allah?

"... dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk"- al Baqarah ayat 43.

Pautan: Hati kami keras, lebih keras daripada batu. Jadi tak perlu nak cakap lagi dah. Kami dah tahu...

------------------------------------------
macamana kita nak bina keberanian dalam diri untuk amar ma'ruf nahi mungkar?
Mintalah kepada yang memiliki kekuatan tu. Siapa? Allah :D

Saya suka dengan tadabbur surah al-Muzammil, surah ke 73. Dalam surah itu, Allah perintahkan Rasulullah untuk bangun- solat malam dan juga membaca al-Quran.

Okey. Dah dapat jawapan?

Solat malam, baca Quran. Solat malam...baca Quran. Tahajjud... tilawah. Bangun solat malam... baca al-Quran. Ulang dan teruskan ulang. Kerana Rasulullah yang kita cintai, disaat Baginda menerima wahyu, baginda tidak terus diperintahkan untuk menyampaikan dakwah, tetapi baginda diperintahkan untuk membina kekuatan dalaman atau spiritual, dengan bangun solat malam.

Biar ada hubungan yang cantik, indah, jelas, dan kemas dengan Allah!
Dan disanalah baru dapat kekuatan; terus daripada Tuhan Yang Maha Perkasa!

Pun begitu, saya mengakui bahawa amar makruf nahi mungkar itu bukanlah benda yang mudah nak dibuat. Ia hanya mudah dicakap. Bila tengok muka brader, tengok parut dia, tengok muscle dia, kita nak tegur, "Bang, dah maghrib ni..." pun akan jadi serba salah. "Kalau aku tegur dia marah tak?"

Jadi macam mana? "Instead of kata kata dia, "Bang, melepak apa lagi maghrib-maghrib ni? Pergi balik rumah! Solat!"... kita boleh kata, "Bang, surau jom?". Abang tu mesti akan senyum macam kerang busuk. Dalam hati, dia akan kata, "Kau ni bangang ke apa? Aku pakai seluar pendek... peluh-peluh ni... kau ajak ke surau? Berilah aku keringkan badan aku dulu, mandi-mandi dulu ke..."

Lepas senyum, kita angkat tangan, kita beri salam dan belah ajalah. Nak tunggu apa lagi. Brader ganas tu akan pandang kita dengan pandangan yang membunuh, tapi lepas bayang-bayang kita hilang dari surau, maka dia pun akan terfikir, "Er... betullah. Dah maghrib. Nak kena solat pula lepas ni."

Kita kena ingat. Manusia ni suka 'melihat' dan barulah mereka boleh 'percaya'. Orang zaman sekarang bukan macam orang zaman nenek moyang kita. Apa ustaz kata, mereka angguk saja percaya. Orang zaman sekarang, kalau ustaz tu kata 'betul', dia nak tengok ustaz tu buat tak apa yang dia kata.

Kalau ustaz tu kata haram, ustaz tu buat juga tak yang haram tu. Samalah dengan pendakwah.

Seperkara, kekuatan tu datang melalui kretiviti dan kepetahan kita. Cuba kalah kita kata, "Assalamualaikum bang. Akak dengan abang ada masa tak? Saya tak berniat nak kacau abang dengan akak, tapi ada benda yang saya berminat nak kongsi dengan abang dan kakak petang ni. Maafkan saya ya/ Boleh tak saya nak tanya? Abang dengan akak dah nikah?"

Aku pandang kau. Kau pandang aku. "Er... belum lagi dik."

"Eh ye ke? Saya ingat abang dengan akak dah kawin. Saya nak kongsi dengan abang dengan akak fasal nikah kawin. Bahagia orang yang nikah kahwin ni bang. Saya baru baca kat internet... orang yang dah nikah kawin ni... Allah beri bla...bla... bla..., dapat elak zina...bla...bla..bla... sebab zina ni mudah sangat terjadi...bla..bla..bla... Selain itu bang, akak... orang yang bernikah kahwin ini juga Allah beri beri jaminan rezeki... bla...bla...bla..."

Pendakwah! Ingat. Kalau nak approach orang awam yang kita tak kenal, jangan direct sangat. Pusing-pusing, lenggang-lenggok dulu, biar dia tak nampak kita macam nak kata, "Kau salahlah bodoh! Orang islam mana boleh dating! Mana boleh berdua-duaan! Zina! Dosa besar! Neraka!!"

Biar dia nampak, "Ooo... rupa-rupanya salah kami buat ni. Sepatutnya kami nikah... sepatutnya kami bla...bla...bla..bla..."

Dan paling utama- jangan lupa senyum! Kerana senyum bukan sahaja memberi kekuatan kepada kita, tetapi memberi kekuatan kepada orang yang kita nak tegur.

Walaupun dia kata, "Kau bodoh!", kita senyum saja. "Ya, saya memang tak cerdik. Maafkan saya. Tapi bang... bla...bla..bla...." (sambung ceramah).

Dan kalau dia dah bengang, barulah kita blah. Tapi sebelum berambus dari pandangan dia, jangan lupa untuk meminta maaf. Mana tahu hati dia akan tercuit. Apa kita fikir orang yang muka jenis samseng jalanan ni tak ada hati, tak ada perasaan? Mereka manusia juga! Kita berlalu secara aman, kerana lain kali kalau kita berselisih dengan dia, kita boleh cuba lagi dakwah dia! :D

Orang takkan marah kalau kita dakwah dia dengan lembut, dengan hemah, dengan sopan. PERCAYALAH!
   
Orang cuma akan berasa jengkel kalau kita berdakwah dengan 'bergaya'. Jangan sesekali fikir yang orang yang mendakwah itu lebih baik daripada orang yang didakwah. Then only kita boleh faham apa saya maksudkan dengan 'bergaya.'

   

Read more...

Buku-buku saya.

Kongsi

>> February 19, 2012

Seorang ustaz (namanya saya rahsiakan) pernah memberitahu, bahwa dia pernah menerima bayaran sebanyak RM1500 untuk satu sesi kuliah maghrib di suatu kawasan orang kaya-kaya (tempatnya juga saya rahsiakan). Kata ustaz itu juga, "Sekali itu saja saya berkuliah di sana kerana datin-datin di sana telah awal-awal lagi pesan pada saya, jangan cakap tentang aurat; kami sensitif. Saya tak suka jadi ustaz yang dicucuk hidung. Orang suruh cakap A, kita cakap A. Tak ada maruah. Sebaliknya kalau benda itu haram, kita cakaplah haram. Kalau dosa, kita beritahulah dosa."

"Tapi, duit RM1500 tu tetap saya ambil. Lepas tu saya cakaplah kepada datin-datin tu; 'maafkan saya datin. Saya dah tak boleh berkuliah di sini kerana rosak hati saya datin. Datin semua carilah ustaz lain, yang mengajar agama ikut telunjuk datin".

----------------------------------

Banyak benda yang saya tertarik dengan cerita ustaz ini. Pertama, tentang prinsip. Yang betul, kita cakap betul walaupun orang tak suka, walaupun orang benci. Yang salah, kita cakap sahaja salah. Tak perlu nak dicucuk hidung, nak ditungggang-tunggang.

Kedua, saya tertarik dengan ucapan kedua ustaz itu. "Duit RM 1500 tu tetap saya ambil. Dah orang bagi, ambil sahajalah." Kenapa ustaz itu ambil wang tadi, sedangkan dia tak berkenan dengan datin-datin yang memilih dalam beragama?

Kerana saya nampak, bahawa duit sebenarnya ialah satu elemen yang penting dalam agama. Tanpa duit, dakwah pun tumpul. Jadi, ustaz tadi... bila dia mengambil RM 1500, upahnya berceramah... dapatlah dia gunakan amaun yang besar tadi untuk memperbaiki kehidupannya, dan juga memperbaiki masyarakat. Wang yang diberi, dia gunakan sebagai satu lagi bentuk dakwah, selain dengan dakwah lisannya.

Allah berinya potensi dan kelebihan dalam memberi ucapan umum. Sedang setiap kelebihan manusia kan bervariasi.
---------------------------------------------

Saya juga melihat wang sebagai elemen yang penting. Penting; dalam meneruskan kelansungan hidup, ibadah, dan dakwah.

Dan ini juga ialah salah satu sebab saya menulis novel. Baik Transit Cinta, mahupun Dia Yang Kunikahi; kedua-dua saya tulis kerana dakwah. Kerana saya cintakan dakwah, tetapi saya tidak ada sesuatu apapun yang boleh saya laburkan untuk jalan ini, melainkan sedikit kebijaksanaan dalam mengarang cerita!

Maka, terlahirlah blog ini, dan terlahirlah dua novel saya.

Orang bertanya, "Kalau novel tu untuk dakwah, kenapa tak beri free sahaja?"

Maka, situasi saya sama dengan situasi ustaz tadi. "Kenapa nak ambil upah bila berceramah?"

Jawabnya, kerana apa-apa yang kami terima bukan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk jalan dakwah ini juga.

Dahulu, blog saya pernah diletakkan iklan nuffnang. Lama jugalah, sehingga ada orang tegur: "Iqbal, blog awak islamik, tetapi ada iklan-iklan yang berasaskan produk yahudi (nestle), dan ada gambar-gambar seksi (iklan pusat peranginan). Jadi saya fikir, tak patut untuk blog dakwah dan blog islam turut sama mempromosikan benda-benda begini."

Saya terima cadangan beliau. Saya hentikan iklan. Tapi tak pernah orang nak tahu mengapa saya pasang iklan nuffnang. Allah sebagai saksi- Saya mahu wang yang diterima, digunakan untuk agama ini. Saya dapat sedikit sahaja; lebih kurang RM82. Dan syukur, duit kita (hasil pageview dan klik anda pada iklan), telah saya lorongkan kepada pembinaan sebuah sekolah agama (atau madrasah, saya sendiri tak ingat) dan duit itu, yang syubhah, kita gunakan untuk binaan-binaan yang ada hubung kait dengan maslahat awam (contoh; tandas atau jalan raya di sekolah atau madrasah tadi).

Bab rezeki, saya rasa saya dah cukup. Saya tak memerlukan duit nuffnang, sampaikan saya nak anggap duit itu sebagai sumber rezeki saya pula! Itulah yang saya hairan dengan masyarakat kita- katanya mahu islam tertegak, tetapi tak ada sumbangan pun pada agama ini. Disaat para mudir menyeru, "Kami sedang membina maahad tahfiz di bla...bla...bla... jadi kami mohon sumbangan daripada tuan-tuan untuk kita sama-sama membantu perjuangan islam bla...bla..bla..."

Tapi kita sedekah berapa? RM1. Bukan saya nak mempertikai, tetapi kenapa untuk agama, kita sumbangkan 'tahi kuku' tetapi untuk kepentingan diri sendiri, kita menunjal ke awan?

Itu satu.

Seperkara, memang kalau saya kaya... saya akan hadiahkan setiap seorang yang saya rasa perlu, novel-novel saya. Ya! Saya akan beri percuma. Tetapi saya tak kaya. Saya tak mampu nak beri semua. Sebab itu saya suruh anda beli.

"Tapi nanti kita kayakan syarikat, bukannya akan untungkan agama pun!"

Saya tegaskan disini; bahawa setiap kali anda membeli buku-buku saya, 7.5% daripada harga buku anda (harga semenanjung Malaysia), ialah royalti bagi saya. Kiranya, jika anda membeli satu naskah novel DYK, saya mendapat kurang lebih RM 1.425 sen (atau mudah kira, RM1.50) dan jika anda membeli satu naskah Transit Cinta, saya juga akan mendapat RM1.50 juga bagi setiap naskah. Banyak?

Tak banyak. Sedikit.

"Jadi sebab tu kami tak nak beli, sebab kalau Iqbal guna duit royalti untuk dakwah pun, cuma RM1.50 sahaja daripada wang kami tu yang digunakan untuk dakwah. Baik kami gunakan untuk benda lain."

Lihat cara orang 'miskin' berfikir. Melihat kepada sesuatu yang dekat. Baiklah, saya akan jernihkan kekeruhan ini. Mohon kita berlapang dada.

Pertama, inilah sebabnya saya menulis untuk JS Adiwarna. Istimewanya syarikat ini, kami tidak mengkayakan boss-boss syarikat hingga ada yang bergelar Datuk, Datin, atau apa-apa. Syarikat Jemari Seni, dan sekutunya, JS Adiwarna (yang saya sedang menulis dengannya sekarang) ialah salah satu syarikat penerbitan yang berbakti kepada masyarakat. Salah satu program kami ialah, "Sayang nak buku" yang mana kami akan pilih beberapa sekolah yang kami kira layak untuk kami sumbangkan buku-buku kami. Kerana itu, ada buku-buku kami yang boleh ditemui di kutubkhanah sekolah, kerana bagi kami, pemilihan bahan bacaan yang berkualiti kepada generasi muda adalah sangat penting.

Dan pepatah arab ada berkata, "Hanya orang yang memiliki sahaja yang mampu memberi." Nampak hubung kaitnya?

Saya juga ialah penulis jenis kedua- yang menulis untuk menyampaikan mesej dan dalam masa yang sama, meraih sedikit royalti. Saya boleh sahaja menulis dengan syarikat X, kerana syarikat X ialah syarikat buku yang tersohor di negara kita ini! Paling bayak di gedung buku! Boleh sahaja, tapi saya yang tak hendak. Kenapa? Kerana saya tak nak kayakan Datuk X. Saya nak memberi kepada masyarakat, bukan kepada individu!

Saya sebenarnya terkilan bila orang duk minta buku free sahaja. Terkilan tapi saya tak zahirkan (sampailah malam ini). Apa kalian kira saya menulis sehari? Saya tak buat rujukan? Saya tak penat, tak lelah? Ingat mudahkah mahu kaitkan nas-nas agama dengan situasi yang saya reka? Tak mudah. Kerana tak mudahlah saya jadi pasif dalam bab mahu mengkritik karya orang. Sebab saya sendiri dah merasa peritnya, maka saya tahu juga perit hati kita bila hasil kerja kita dikritik- untuk menjatuhkan!

Kritikan membina ialah satu hal yang lain.

Saya, saya tak mampu untuk berceramah... untuk mendatangi pintu ke pintu... tapi saya cuma mampu menulis. Harapan saya besar di sebalik karya-karya saya: untuk kembali merubah cara kita memandang agama.

Saya tak tahu berapa jauh karya saya boleh pergi, tetapi saya cuma tahu satu perkata- saya memerlukan sokongan kalian!

Jangan berkira sangat untuk beli buku-buku saya. Anda tak mengkayakan saya pun. Anda juga tak mengkayakan syarikat yang menerbitkan buku-buku saya, JS Adiwarna. Mereka cuma ambil cukup-cukup makan sahaja untuk teruskan hidup, yang mana pada akhirnya, disumbangkan kembali kepada masyarakat.

Simbiosis. Sinergi.

Kita perlu ingat, manusia itu sifat dan minatnya tak sama. Ada suka kopi, ada suka teh. Ada suka strawberry, ada suka ceri. Tapi yang pasti, kita semua ada titik persamaan. Salah satunya ialah minat yang sama; iaitu novel. Dan perlu diingatkan juga, bukan semua perkara boleh kita sampaikan dalam bentuk tulisan ilmiah. Ada beberapa situasi dan keadaan, benda-benda ilmiah ini tersangat berat dan sukar dihadam oleh akal kita yang dangkal ini. Jadi, ia memerlukan contoh. Dan untuk contoh itu hadir, kita tak boleh menggadaikan prinsip agama dengan cara melakonkan di layar perak. Tidak.

Mungkin mesej sampai jika ada lakonan atau pementasan, tapi disana, agama kita tergadai. Ada adengan buka aurat, ada adengan pegang tangan, dan lain-lain. Tetapi jika ia disusun dalam kisah yang memikat, mengikut acuan imaginasi penulis, dengan izin Allah, mesej akan sampai dengan jelas. Kali ini, ia terus memukul tembok hati!

Sekali lagi, belilah. Saya memang tak kaya mana tapi saya tak kebulur dengan duit royalti. Cuma saya memandang tinggi pada nilai-nilai yang saya cuba terap dan perjuangkan dalam karya saya. Mesej-mesej saya dan pesan-pesan saya... segalanya adalah lebih bernilai daripada sekeping cek yang diatasnya tertera nama saya.

Jika anda berat nak membaca, apa salahnya belikan untuk adik-adik anda, sepupu-sepupu anda, atau kawan-kawan anda?

Kita boleh beli macam-macam untuk anak-anak kita. Kita hadiahkan benda-benda mahal, tapi kadangkala tidak bermanfaat; tidak ada untung akhirat, bahkan merosakkan pula anak-anak kita. Apa salahnya kita ubah tradisi? Kita beri buku?

Tapi perlu diingat- bagi remaja yang jauh dengan agama, agak mustahil mereka mahu mencapai buku agama, tetapi novel tarbiyyah yang berselindung di balik 'cover' cinta, insya-Allah ia mampu menarik kembali mereka!

Saya mahu 'menyerang pemikiran' anak-anak kita, sebagaimana kita telah biarkan Yahudi telah menyerang pemikiran anak-anak kita!

Tapi saya perlukan kalian. Kita ubah adat kita.
Wake up!
              

Read more...

Dari balik kantung emel.

Kongsi

>> February 18, 2012

Saya jarang menerima emel daripada pembaca. Tapi baru-baru ni, ada juga yang sudi menghantar emel, yang mana isi kandungannya saya rasa berbaloi untuk dikongsikan kepada semua pembaca Bayyinat.
------------------------
assalamualaikum wbt (^.^)

maaf kalau tiba-tiba inche iqbal menerima emel mengejut ini. jangan terkejut banyak-banyak ye. memandangkan kita sebaya berdasarkan tahun kelahiran, maka sy tak tahu nak panggil apa sebab nanti takut inche iqbal tak selesa pula. jangan risau, sy tak pandai mengorat orang. *macam yg kat entry tu*
Saya tak terkejut pun. Saya juga selesa kalau orang panggil saya Iqbal, bukannya gelaran-gelaran atau nama-nama yang selain daripada Iqbal.
sy baru je terbaca blog anda baru-baru ini dengan izin Allah. sy juga tiba-tiba rasa seronoknya membaca kisah anda yg telah mendapat pencahayaan beberapa tahun yg dulu itu. kiranya, memperbaiki diri dengan jalan yg lebih selamat dan istiqamah.

oleh itu, sy nak tanya la kan, macam mana mula-mula nak mendalami islam dengan sedalamnya seperti sekarang? bukan hanya sekadar melakukan yg wajib tp memperbaiki lg yg wajib itu. 
Alhamdulillah. Senang dan ringan rasa hati saya bila ada hamba Allah yang menganggap tulisan saya ada nilai. Saya, hakikatnya menulis kepada diri saya. Mahu menasihati diri saya seterusnya mendidik jiwa saya. Syukurlah bila tempias itu terkena kepada orang ramai juga. 

Berkenaan dengan soalan bagaimana saya mendalami islam, saya boleh jawab tetapi saya tak boleh jawab dengan detail kerana sebagai orang yang beriltizam dengan jalan ini, berahsia itu penting. Berhati-hati pula ialah perisainya. Hilang sifat berhati-hati, maka mudahlah musuh menyerang. Jadi, sebagai jawapan mudah; nak mendalami islam memerlukan kepada prinsip ini- "...tanyalah kepada orang yang tahu, jika sekiranya kamu tidak mengetahui." (al-Quran, surah Al-Anbiya ayat7).

Kalau sekadar belajar dengan Tuk Guru YouTube, Tuan Haji Google, Ustaz Blog, tak jadi. Nak dalami agama, perlu kepada hubungan dan komunikasi dua hala. Banyak kali saya diingatkan agar berguru dengan manusia, bukan berguru dengan internet atau apa-apa selain manusia. Kerana alasan mereka mudah lagi benar; Bukan semua bahan yang kita baca dan tonton itu betul dan benar. Jadi sangat penting untuk kita perkukuhkan agama dengan bimbingan orang-orang yang dipercayai kebenaran agamanya. Bergurulah. 

Saya sebenarnya mana pernah ada guru yang betul-betul. Cuma saya suka mendengar ceramah agama (antara maghrib dan isyak). Bila ustaz dah nak habis ceramah, saya pun akan angkat tangan dan bertanya. Nak malu apa? Nak takut apa? Yang jahil itu kita, bukannya ustaz tu. Dan kerana sudah selalu sangat approach ustaz-ustaz, hubungan kami makin erat dan makin erat. Hingga dapat bertukar-tukar nombor telefon pula. Macam ni lagi mudah- kalau ada curiosity, boleh consult ustaz (walaupun tanya ustaz, tapi tak masuk TV9).
Boleh ya?
sy sedang belajar di IPTS tapi malangnya kat tempat sy belajar memang kurang aktiviti seperti ceramah-ceramah berkaitan islam. kadang-kadang jeles tengok mereka yg dah lama ditarbiyah.hehe
Ya. Saya tak nafikan bahawa kurangnya aktiviti keagamaan di IPT sebenarnya ialah suatu kekurangan atau suatu kerugian yang amat besar. Jika anda mampu, apa kata anda sendiri yang kejutkan orang atasan atau paling tidak, persatuan pelajar yang memegang urusan agama di IPT anda. Mereka mungkin sedang tidur, tak nampak kerugian atas kelewahan mereka daripada menggenggam peluang yang ada pada mereka.

Tapi kalau tak mampu, penting untuk anda mencari lubang-lubang lain bagi mendalami agama. Salah satu caranya ialah dengan memanfaatkan sepenuhnya internet ini. Saya pun banyak mendapat perincian daripada internet. Bila ada ustaz menyebut tentang satu perkara yang saya tak farmiliar, saya akan cuba cari di internet. Kalau tak dapat, bulan depan (sebab kuliah bulanan), saya akan tanya semula (jika ada peluang, selalunya ustaz zaman sekarang ni sibuk. Habis ceramah, terus nak balik).
so, macam mana permulaan yg dilakukan anda waktu permulaan dulu?
boleh tak bagi beberapa rutin harian yg wajib dilakukan bagi mengukuhkan lagi iman kita?
Kita tak sama. Saya lelaki dan anda perempuan. Sebagai lelaki, masa saya mula-mula sedar, saya mulakan perubahan saya dengan menanamkan kecintaan kepada solat berjemaah dan kepada masjid atau surau. Segala apa yang hubungan rapat dengan surau, saya akan turut sama terlarut mencintanya. Daripada itulah saya tersedar bahwa ilmu agama juga penting dan saya mula memandang besar pada agama.

Tentang rutin harian, memang tidak ada lain; solat berjemaah. Itu sahajalah yang masih mengikat saya. Tapi saya lelaki. Lelaki memanglah dituntut gila-gila (baca: sangat-sangat) untuk solat berjemaah di masjid atau surau. Tetapi wanita, anda mungkin perlu mulakan rutin dengan memperbaiki solat (daripada segi rukun dan khusyuk) dan mendalami al-Quran. Baca teks arab, dan baca terjemahannya bersama. Di sana, hati kita akan terbuai (jika niat kita ikhlas mahu dekati Dia). Kerana al-Quran ialah kata-kata Allah, maka al-Quran adalah sebaik-baik bahan untuk kita baca, jauh lebih mulia dan utama daripada blog-blog agama.
lagi satu, agak-agak available lagi tak kalau nak baca "antara dua bidadari"? tu pun baru terbaca penawaran di blog inche. mungkin boleh tambah lagi ilmu. hehe.
Erkkk.. tu cerita lamalah cik. Saya dah novelkan dah pun, dengan tajuk Dia Yang Kunikahi. Terbitan JS Adiwarna. Dan sekarang, anda boleh dapatkan novel itu dengan novel terbaru saya, Transit Cinta. Situasi dan jalan cerita Transit Cinta rasanya sangat sesuai dengan anda. Ya, tak ternafi lagi. Cocok benar!
akhir kata, terima kasih kalau inche iqbal terbaca emel ini dan sangat lah berbangga sekiranya inche sudi membalas emel ini. sy hanya mencuba nasib, kalau Allah redha, mungkin akan mendapat maklumbalas yg baik Insha-Allah.
jzkk :)
Allah... bila baca part ni, saya seperti merasakan yang anda terlalu menyanjung saya. Jangan! Saya takut. Saya bukannya ulama atau para jundullah yang sibuk dengan dakwah, yang matanya tak memandang selain jalan ini. Saya lelaki biasa. Ada masa tulis blog. Ada masa baca blog. Dan ada masa juga untuk mengarang novel. Saya, Iqbal Syarie yang biasa-biasa saja. Saya takut bila anda atau sesiapa sahaja mengangkat saya lebih daripada orang biasa. Tersegan saya bila membaca kisah Imam Ghazali yang tanpa ragu-ragu melepaskan jawatan rektor Universiti Al-Azhar apabila orang ramai menyanjung-nyanjungnya.

Saya mahu lama kekal menjadi penulis, jadi saya perlu bantuan kalian untuk tidak praise saya, tapi pray untuk saya.
                     

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP