Panjang lebar dia bercerita tentang masalah-masalahnya. Satu per satu rasa tidak puas hati diluahkan. Dan akhirnya, ada sebuah nasihat kepada PAS supaya kembali bersatu dengan blok pembangkang.
Tentang hukum, kita cuma boleh kata, "Semoga Allah mengampunkan dan merahmatinya". Orang dah meninggal. Bab dosanya biarkan dia dan Tuhannya. Allah itu Maha Pengampun, dan dalam masa yang sama, Allah juga Maha Adil. Semua orang harapkan rahmat Allah. Kita yang masih hidup ni kena beringat bahawa membunuh diri ialah perbuatan yang sangat salah dan tidak menyelaikan apa-apa masalah.
Cuma nak disebut di sini ialah tentang pengurusan tekanan (stress). Semua orang akan ada masalah. Ada orang diuji dengan masalah wang, ada pula masalah kesihatan. Ada juga yang masalah keluarga, dan ada pula kerana politik dan perundangan.
Apabila berdepan dengan masalah, kita perlu mengingati kembali bahawa setiap masalah itu datang daripada Allah. Sebagaimana nikmat yang juga datang daripada Tuhan yang sama.
Manusia sering lupa pada nikmat. Saat diuji, pasti akan bertanya, "Mengapa aku? Kenapa bukan orang lain? Orang lain lagi jahat daripada aku tapi tak kena pun",
Tapi kalau diberi nikmat, mulut kita tak ada pula nak mempersoalkan, "Mengapa aku? Mengapa bukan orang lain!".
Nikmat Tuhan sebenarnya terlalu banyak, dan ujiannya sebenarnya terlalu sedikit. Yang menjadikan hati kita sesak bila diuji ialah bila kita memandang kepada orang lain. Orang yang dituduh atas kesalahan tak sampai RM 200 ringgit, jika dia memandang kepada orang yang mencuri RM 2.6 Billion, memanglah dia akan susah untuk redha.
Kita selalu baca di dalam surah al-Fatihah, "maa liki yau mid din", maksudnya Tuhan yang menguasai hari pembalasan. Secara tak langsung kita yakin bahawa ada hari pembalasan. Bahkan kita juga yakin, di saat itu Hakim dan juri bukan manusia yang boleh dibeli dengan wang, tetapi Hakim pada hari itu ialah Allah, Tuhan Yang Maha Adil.
Kita sering dizalimi di dunia. Ada hak yang tidak dipenuhi. Ada hukuman yang tidak setimpal. Ini kerana dunia ini sendiri menjunjung perundangan Lord Reid, bukannya keadilan Syariah. Dari satu sudut, padan muka kepada kita sebab benci sangat dengan hukum syariah.
Tapi satu sudut yang lain, kitalah yang sengsara kerana susah hendak mendapat keadilan. Curi 2 tin sardin kena penjara, tapi rasuah hampir 2 juta ringgit, boleh lagi pergi minum kopi.
Membunuh diri tak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Contoh terdekat ialah sahabat kita itu. Tulis nota panjang-panjang, adakah 'pemimpin' dan 'pemerintah' yang seorang itu akan 'terasa'? Usahkan hendak sentap, hendak baca pun mungkin tidak. Percayalah bahawa kezaliman di dalam dunia akan sentiasa wujud. Terlepas satu, akan pergi kepada satu lagi.
Yang kita boleh lakukan cuma menegakkan keadilan di dalam diri. Perjuangkan keadilan, dan berpegang teguh dengannya. Jangan zalimi sesiapa kerana kita akan berurusan dengan Tuhan atas kezaliman kita kepada makhluk-Nya.
Percayalah, orang yang songlap dan kaki rasuah, di dunia ini sahaja mereka boleh ketawa. Maka biarlah mereka ketawa puas-puas. Tidak lama lagi giliran kita pula mentertawakan mereka.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443