Hatinya membunga-bunga dan mula membayangkan syurga. Kononnya tidak mengapa jadi terasing, asal sahaja terasing dalam kebenaran.
Pernah tak ahli surau berfikir, mengapa orang ramai lebih selesa pergi ke kedai mamak berbanding pergi ke surau?
Pernah tak ustaz-ustaz yang duk marah orang yang tak datang masjid, berfikir, mengapa majlis ilmu tidak digemari berbanding majlis hiburan?
Pernah tak juga kita sendiri berfikir, kenapa kita lebih mudah mesra dan hormat dengan orang lain, tapi tidak dengan orang agama?
Terasa ada jurang yang dalam, atau pagar yang tinggi yang memisah antara kita dan mereka. Padahal kita sama-sama belum dijamin syurga dan sama-sama belum dijamin lepas dari neraka. Tapi mengapa ada tembok lutsinar yang saban hari makin menjarakkan antara kita dan mereka?
Jawabnya kerana ahli agama tidak mahu menjadi golongan popularis. Sebaliknya yang gigih untuk meraih sokongan dan sorakan ini ialah golongan yang para Islamis itu gelarkan sebagai "sekularis, atau liberalis".
"Habis orang awam semua dah mula mempertikaikan institusi pondok", keluhnya.
Padahal tiada siapa yang menyesatkan sesiapa. Itu hanya sebuah persepsi.
Hakikatnya, manusia ini seperti sekumpulan kucing yang kelaparan. Jika ada orang yang memberinya makan, maka orang itulah yang menjadi tuannya. Dia akan taat, manja, patuh dan sayang pada tuannya.
Begitu juga manusia. Hari ini, siapa yang menjadi pejuang isu rakyat golongan itulah yang menjadi wira dan ikutan rakyat.
Kita yang solat lima kali sehari ini, garu kepala sendiri. "Kenapa ideologi sesat sebegitu pun ada orang nak ikut?"
Padahal kita tak tahu yang sebenarnya pengikut dan penyokong mereka mengikuti mereka kerana merasakan ketua mereka ialah pejuang sebenar.
Kita ini benar, tapi tidak benar-benar berada di jalan dan penjuangan yang benar.
Maka, ustaz-ustaz yang bertempik, berhujah panjang lebar, dan apa-apa sekalipun, semua itu tak berguna dan tidak akan berjaya menawan hati masyarakat kerana masyarakat perlukan suatu yang lebih daripada sekadar syurga di akhirat, iaitu 'harapan' di dunia.
Kerana pihak yang benar tidak memberi harapan, maka masyarat akan terus mencari-cari hinggalah mereka bertemu dengan harapan tapi berada di padang yang salah.
Bahkan ada yang murtad kerana 'harapan' dan 'kasih-sayang' daripada Jesus. Salah siapa? Salah kitalah. Orang tu terkapai-kapai nak lemas. Kita yang konon baik ini sekadar bersimpati, tapi para missionary terjun pergi menyelamatkan.
Para Islamis,
1) Berehatlah daripada bergaduh sesama sendiri. Bila kita disibukkan untuk mencari kesalahan pihak yang kita gelar sebagai wahabi, pengganas, atau ahli kubur dan ahli bida'ah, maka kita akan terlupa dengan golongan yang bernama Liberalis dan Sekularis. Mereka semakin popular tapi tidak kita.
2) Orang Islam yang sebenar tidak hanya perjuangkan Islam di dalam solat dan ibadah rutin tetapi Islam yang sebenar ialah yang menjaga alam sekitar daripada pelombongan yang rakus atau pembalakan yang tamak. Juara kepada isu-isu rakyat sepatutnya milik orang Islam. Bukankah kita ini khalifah, jadi mengapa perlu sempitkannya hanya di masjid dan surau.
3) Dakwah golongan Islamis perlu dipelbagaikan tidak hanya di masjid dan surau.
4) Berikan harapan kepada semua orang. Dan tunjukkan kasih sayang kepada seluruh makhluk. Semua manusia ada peluang berubah menjadi baik. Jangan tutup pintu kasih sayang kerana dosa dan kesilapan orang dan jangan berhenti berikannya harapan untuk kembali ke pangkal jalan.
5) Bergaullah dengan semua orang, kerana mudah-mudahan mereka kenal Islam melalui sisi baik kita dan bukannya dari sisi jahat kita.
Orang kata Wahabi bahaya, saya tegaskan Liberalis lebih bahaya. Orang kata buat Bida'ah jenayah agama, saya kata Sekularis bahkan lebih besar jenayahnya.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443