#56 Kedah Juara

Saya peminat bola sepak. Ia adalah sukan yang paling saya gemari walaupun saya sebenarnya kaki bangku. Sedih juga kerana asal main saja, mesti saya terpaksa bermain sebagai pertahanan. Nak menggelecek lawan, tak reti. Nak menjaringkan gol, apatah lagi.

Pasukan kegemaran saya ialah Newcastle United, kelab bola sepak Inggeris yang saya telah sokong sejak saya kanak-kanak. Sekarang Newcastle Utd sedang bermain di liga Championship (liga kedua England) selepas tersingkir daripada lIga utama musim lalu.

Pemain-pemain lagenda seperti Alan Shearer, Gary Speed, Laurent Robert, Nolberto Solano, dan David Ginola suatu ketika pernah menjadi pemain-pemain pujaan saya.

Kawan-kawan selalu ejek, kata saya sokong kelab yang tidak konsisten. Mungkin mereka masih keliru makna sebenar menyokong. Sokong bukan ketika kuat, tapi dalam setiap kelemahan dan kekuatan. Bukan cuma berbangga jika menang, tapi menyumpah seranah jika kalah.

Saya percaya dengan kuasa sukan. Selain daripada menyihatkan badan, sukan juga boleh menjadi tali yang mengikat hati manusia. Sebagai contoh, kita boleh lihat kelab-kelab bolasepak utama dunia, setiap bangsa boleh bermain dalam satu pasukan. Masing-masing boleh berkerjasama untuk menjaringkan gol dan mengekang asakan pihak lawan.


Tapi dalam masa yang sama, ada beberapa perkara tentang sukan (terutamanya bola sepak) perlu kita perhalusi.

Pertama, budaya "betting". Semua orang tahu judi itu haram dan berdosa besar. Tapi tak ramai yang tahu, "betting" atau bertaruh juga ialah salah satu bentuk perjudian dan hukumnya juga haram.

Ada yang kata, "Kita bet teh tarik Mamak. Kalau Man Utd menang, kau belanja aku. Kalau Chelsea menang, aku belanja kau".

Walaupun sekadar seteguk teh tarik, judi tetap berlaku. Serupa juga jika ada pihak menganjurkan mana-mana pertandingan, dan setiap orang yang mahu menyertai pertandingan perlu membayar RM 50 setiap pasukan. Lalu daripada duit tadi, penganjur membeli hadiah bagi pemenang. Maka mereka bersaing merebut hadiah, dan akhirnya ada orang yang menang, dan ada pula yang kerugian. Kalau duit tu diguna untuk kos pengurusan, manakala hadiahnya pula daripada sumbangan daripada 'third party', maka itu harus dan tidak jadi judi.

Kedua, provokasi antara penyokong.

Provokasi ialah satu perkara yang kita perlu elakkan. Kerana ia seperti anai-anai yang memakan tembok kesabaran. Lama kelamaan, bila sabar sudah tiada, maka akan bertukar menjadi pergaduhan dan kekasaran fizikal.

Perkara sebegini sudah banyak kali berlaku tak kira di mana-mana hatta di Malaysia sekalipun sering berlaku. Segalanya akan bermula dengan perang mulut dan kemudian akan berlarutan hingga bergaduh dan merosakkan harta benda.

Sukan seharusanya menyatukan dan bukannya memisahkan.

Ketiga, ejekan dan sindiran.

Serupa dengan provokasi, mengejek dan menyindir juga adalah bunga-bunga perpecahan dan pergaduhan. Bahkan lebih teruk, ia menjadi benang-benang yang akhirnya membentuk budaya dan tabiat mencarut serta menghina. Hinggakan kita boleh tengok anak-anak kecil sendiri pun boleh berakhlak dengan akhlak yang buruk. Perkataan seperti bodoh, celaka dan mampus sudah menjadi biasa. Lebih malang, perkataan yang lebih kesat daripada itu seperti menyebut nama kemaluan (genitals) juga sudah ditutur tanpa ada rasa malu.

Adapun soal pakai seluar pendek dan nampak aurat (lutut), itu bukan urusan kita. Itu urusan antara mereka dengan Tuhan. Tapi rasanya beberapa tahun kebelakangan ini, pemain bola sepak di Malaysia pun ramai yang sudah ada kesedaran tentang aurat. Bahkan tidak melampau jika saya katakan majoriti sudah pun memilih untuk memakai 'seluar tight' yang melepasi lutut.

Cantiknya Islam, aspek sukan pun dititik beratkan. Tidak hanya kepada ahli sukan, tapi juga kepada penontonnya. Celah mana sekalipun, ada saja hukum dan disiplin Islam padanya.

Jika dahulu orang tua-tua kata permainan bola sepak ni haram dimainkan kerana permainan ini ditiru daripada peristiwa kepala Saidina Hussain yang dipenggal dan kepala di sepak-sepak oleh pembunuhnya. Tapi sekarang, kita boleh sanggah semua cerita merepek itu dengan yakinnya.

Bersukan digalakkan di dalam Islam. Badan sihat, otak pun cerdas. Maka tak adalah mudah-mudah nak percaya dan sampaikan cerita-cerita dungu.



Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443