#57 Warak dan Syarak

Kali pertama saya mendengar tentang hukum warak dan hukum syarak ialah masa saya tinggal di Ara Damansara. Dah 5 atau 6 tahun yang lepas. Saya pun dah tak ingat ustaz mana yang sebut, tapi saya masih ingat lagi contoh-contohnya.

Hari ini, ada seorang tokoh agama yang agak terkenal, menulis di Facebook beliau tentang perbualan dia dengan rakannya tentang hukum pergi ke panggung wayang, dan hukum-hukum sampingan seperti menonton movie, memuat turun (download), dan sebagainya.

Pertama sekali, tidak adil untuk kita menghukum secara total bahawa haram menonton filem di panggung wayang. Lebih-lebih atas persangkaan ada penonton yang melakukan perkara tidak senonoh dan tidak bermoral di dalamnya, lalu jika kita berada di dalam panggung yang sama dengan mereka, kita juga dikira bersubahat dan berkongsi dosa.

Sebaliknya lebih elok jika pertimbangan itu dibuat secara personal. Bagi sesiapa yang rasa orang sebelah dia semuanya kaki maksiat, maka mungkin padanya haram itu teraplikasi. Tapi bagi yang nampak secara pasti kiri dan kanannya ialah kumpulan remaja sesama jantina, pasangan suami isteri, dan anak-anal kecil, maka atas asas apa maksiat akan berlaku?

Susahlah kalau kita nak implimen hukum kita ke atas orang lain.

Orang yang menjauhi panggung wayang kerana beranggapan itu sebagai sarang maksiat, maka hukum itu seharusnya terpakai kepada dirinya. Dan dia tak patut cuba menjustifikasikannya keatas pihak ketiga, kerana implikasinya sangat buruk.

Bayangkan jika dia menghukum panggung wayang sebagai sarang maksiat, maka apa yang terjadi kepada para pekerja dan petugas panggung? Bagaimana dengan adik bertudung yang jual tiket? Lelaki muda yang menjual bertih jagung dan minuman? Dan apa pula hukumnya kepada orang yang datang dengan suami, atau orang bujang yang datang tanpa niat mahu bermaksiat?

Bukankah ini juga salah satu radikalisasi pada agama.

Serupa juga dengan BR1M. Ramai orang anggap BR1M itu sebagai bantuan daripada kerajaan. Tapi ada yang menganggapnya sebagai wang rasuah.


Maka bagi yang mengaggapnya sebagai 'hadiah', maka ia akan kekal sebagai hadiah. Tapi bagi yang merasakan itu rasuah daripada Kerajaan bagi menarik undi, maka ia akan menjadi seperti apa yang disangkanya.

Peliknya, mulut saja berkata kerajaan merasuah undi rakyat, tapi tangan tetap menerima. Padahal duit yang sama, bagi orang lain halal, tapi bagi dia haram. Kerana orang lain anggap itu hadiah, dia anggap itu rasuah.

Serupa juga dengan bab makan. Kalau ikut hukum syarak, asal saja bahan itu halal dan penyediaannya juga halal, maka halal lah jadinya. Tapi kalau rasa nak menyusahkan diri sendiri, maka tanyalah tentang si penyembelih ayam, tentang perkakas memasak, tentang tukang masak, dan sebagainya.

Kalau nak jadi orang warak, jadilah si warak yang terpuji. Bukannya warak jadian yang dikeji.

Kita hanya dituntut untuk menghukum melalui hukum syarak. Melalui apa yang zahir, yang kita nampak. Jika kita mahu nilai tambah dalam agama, maka kita boleh bersikap berhati-hati dengan perkara halal. Supaya tidak terjerumus dalam syubhah dan haram.

Berhati-hati dengan yang halal ialah sangat terpuji. Tapi jika tak diimbangi dengan akal yang cerdas, bimbang orang akan menyampah dan boleh mencetuskan benci.

Samalah dalam isu apapun. Kalau kita mahu tinggalkan sesuatu kerana kita tak suka, maka tinggalkannya. Selagi tiada asas keharaman dan mudharat, maka tak perlulah diapi-api dan dibesar-besarkan menjadi isu.

Prinsipnya serupa dengan kaki sembahnyang. Jika menjadi Imam, maka bacalah surah yang sederhana dan berpada-padalah di dalam rukun solat. Kerana di belakangnya, ada orang tua, orang sakit, anak kecil, dan orang yang sibuk nak kerja atau kejar penerbangannya.

Tapi bila masa solat sendirian, bacalah surah yang panjang-panjang. Rukuk dan sujud pun biar lama-lama. Sebab masa itu, masa kita berhukum dengan diri sendiri sahaja.

Tapi kadang-kadang bila jadi Imam, bukan main 'gempak' solatnya tapi bila tiba masa solat sendirian, cukup dengan 'Inna a'toina' dan 'qul huwallahu ahad'. Tak pelik ke macam tu?

Kalau faham, baguslah. Kalau tak faham, saya pun tak tahu nak cakap macam mana lagi. Mungkin pepatah Inggeris "holier than thou" boleh dijadikan panduan.


Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443