Kalau orang yang tak solat, tak mahu puasa, itu saya rasa munasabah juga. Mana tahu memang sifat dirinya yang tidak mahu mengikut agama. Tapi yang puasa tanpa solat, itu pelik.
Tapi tak bolehkah orang tak bersolat, mahu berpuasa?
Soalan ini sama macam, boleh ke orang tak menutup aurat tapi bersolat, atau orang yang ber'couple' tapi bersolat.
Islam itu agama rahmat kepada seluruh alam. Termasuklah manusia. Islam juga agama wahyu. Pedoman kita adalah al-Quran dan hadis. Al-Quran dan hadis ini juga tidak boleh ditafsirkan secara melulu oleh kita. Kita tiada kredibiliti, ilmu, dan pemahaman tentang kedua-duanya, melainkan para ulama.
Sebab tu kita kena dengar apa kata ulama. Tak semestinya ustaz.
Puasa tanpa solat, hukumnya sah puasa tu. Selagimana kita tak buat perkara-perkara yang membatalkan puasa. Tapi bab pahala puasa, itu sesiapa pun tak boleh jawab kerana disebut dalam hadis qudsi, Allah berfirman yang maksudnya, "Puasa adalah bagi-Ku, dan Aku sahajalah yang akan mengganjarkannya".
Maknanya tak seperti solat berjemaah yang dapat 23 hingga 27, atau baca al-Quran satu huruf dapat satu 'hasanah', puasa kita ni Allah simpan sebagai satu rahsia. Sempurna puasa kita, sempurnalah pahala puasa itu.
Jika seseorang itu puasa tapi tak solat, dia tidak ada tanggungjawab untuk mengganti (qada') puasa yang ditinggalkan itu. Tiada juga keperluan untuk membayar fidyah (jika melangkau tahun).
Tapi jika solat ditinggalkan, kewajipan mengganti solat masih ada, seiring dengan kemampuan. Itu pendapat muktamad mazhab Syafie.
Ada sesetengah ustaz kurang sensitif dan tak cermat. Mereka berkata, "Sia-sia saja puasa tapi tak solat".
Padahal yang sepatutnya kata sia-sia atau tidak itu ialah Nabi sahaja. Dan Nabi dah lama wafat. Walaupun pada dasarnya, memang nampak seperti sia-sia, tapi tidak wajar ayat negetif sebegitu keluar daripada mulut kita.
Dalam banyak hadis, diceritakan bahawa amalan yang mula-mula ditanya di padang mahsyar nanti adalah Solat. Jika solat gagal, maka amalan lain tidak akan dikira. Dah fail. Tetapi jika solat lulus, barulah akan ada pertanyaan tentang amalan-amalan yang seterusnya.
Mungkin ramai orang menggunakan hujah logik daripada hadis ini untuk menghukum 'sia-sia' atas amalan orang lain.
Hati-hati. Berkemungkinan besar syaitan telah berjaya membuatkan kita 'mensucikan' diri sendiri. Kita tertipu seolah-olah pintu syurga dan pintu taubat orang lain tetutup, hanya pintu syurga kita sahaja terbuka.
Padahal kan lebih elok kita dakwah dan mengajak kepada solat. Manusia ni asasnya semua baik tapi seringkali mereka berbuat dosa kerana malas, degil, dan terikut dengan ajakan nafsu, syaitan, dan kawan-kawan yang nakal.
Sebab itu kita perlu dakwah. Suatu ketika Nabi pernah memberitahu para sahabat, tentang kelebihan dakwah. Baginda membuat perumpamaan, dapat dakwah orang, itu adalah lebih baik daripada unta merah. Di negara arab, unta merah ini bukanlah berwarna merah, tapi hanyalah kemerah-merahan. Tapi unta ini ialah kualiti yang terbaik. Baka terbaik. Jadi kalau dibandingkan dalam metafora, unta ini menggambarkan nilai yang amat besar. Terlalu tinggi, dan menjadi idaman dan rebutan orang.
Begitulah dengan ganjaran dakwah. Harini kita tak nampak dengan mata kasar, jadi kerana itu juga kita masih malas-malas nak ajak kawan kita bersolat. Kita lebih suka menggunakan elemen menyindir dan mengutuk mereka, kerana dengan itu, kita boleh melepaskan geram, dendam, dan boleh membuatkan diri kita rasa bongkak seolah-olah kita ni lebih baik daripada dia pula.
Padahal kita sendiri pun tak tahu, solat kita yang mana Allah terima. Mujur jika ada. Nauzubillah jika tiada.
Mari jadikan Ramadhan ini sebagai batu loncatan kepada diri kita untuk semakin bersemangat mengerjakan solat. Jika ada solat yang kita pernah tinggalkan, niatkan agar semua hutang dibayar dalam bulan ini.
Moga kita keluar daripada bulan ini dengan solat yang sempurna dan puasa yang diterima.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443