Kita masih terkejut dengan berita kematian seorang penuntut UPNM yang meninggal dunia kerana dibuli oleh rakan-rakannya. Sedang umat islam berbondong-bondong memenuhi surau dan masjid untuk solat tarawih, rupanya di dalam saf itu ada ibu bapa yang telah pun melahirkan seorang pembuli. Mungkin juga seorang pembunuh.
Ini bukan kali pertama kes buli membawa kepada kematian. Ini juga tak mungkin akan jadi yang terakhir walaupun kita semua tidak mahu ia berlaku lagi.
Buli sudah dianggap budaya. Adakalanya, diberikan permit dan diberi hukum 'sah'.
Kita mengecam keganasan. Tapi ironinya, kita menyokong dan bersorak untuknya. Asalkan bukan kita mangsanya. Hipokrit bukan.
Saya bagi contoh. Beberapa hari sebelum itu, kita telah pun dikejutkan dengan kematian seorang lelaki akibat dibelasah oleh orang ramai di sebuah pasaraya. Rupa-rupanya cuma berlaku salah faham sahaja. Bukan mencabul tetapi tersalah bilik air.
Sebelum itu lagi, berlaku kemalangan jalanraya di salah sebuah lebuhraya utama di Malaysia. Kemalangan itu meragut nyawa seorang bayi berusia tiga tahun. Hasil penelitian daripada rakaman video 'dash cam' daripada salah seorang pengguna jalan raya lain (saksi), jelas mangsa telah dilanggar oleh suspek. Namun begitu, suspek terlebih dahulu membuat laporan polis menyatakan yang mangsa lah yang mula-mula melanggar kereta suspek hingga membawa kepada kemalangan. Padahal bukti menyatakan sebaliknya.
Itu baru contoh-contoh yang diambil dalam tempoh selang beberapa hari. Belum lagi cerita pasal pasangan suami-isteri yang mengganas dan menunjukkan isyarat jari tengah diikuti insiden membaling kasut kearah kereta mangsa yang berpunca hanya kerana berebut parking.
Satu soalan. Apa dah jadi dengan masyarakat kita? Di mana hilangnya kewarasan akal hingga damai tidak boleh dicari, tapi keganasan menjadi pilihan.
Masyarakat kita semakin ganas. Baik lelaki mahupun perempuan. Baik yang berdarah muda mahupun yang dah dimamah usia. Kesabaran hanya mainan bibir sahaja. Susah nak dijelmakan.
Ada sebuah pesanan ringkas daripada Rasulullah S.A.W, "Jangan marah".
Sangat pendek tapi bermakna. Kemarahan boleh menyebabkan dua orang bergaduh. Kemarahan juga boleh menyebabkan dua negara berperang. Marah itu api yang membakar kita dari dalam. Zahirnya kita baik-baik sahaja, tapi sebenarnya kita sedang sedikit demi sedikit dimamah dendam. Hingga akhirnya kita tidak lagi dapat menyelamatkan diri kita sendiri.
Marilah di dalam bulan yang mulia ini, kita mengkoreksi diri sendiri. Banyak kerosakan dan kebinasaan yang timbul kerana marah. Kita manusia, memang adakalanya akan marah. Lebih-lebih lagi jika hak kita dilanggar. Tapi marah bukanlah penyelesaian, sebaliknya marah ialah rekah-rekah yang jika tidak segera ditutup dengan sabar dan bertenang, boleh membunuh diri sendiri dan orang di sekeliling kita.
Bertenanglah. Ikut langkah ini jika anda sedang marah.
1- Diam dan jangan bercakap. Bimbang nanti akan keluar perkataan yang tidak sepatutnya.
2- Abaikan orang yang membuat kita marah. Jangan dilayan provokasi. Sedangkan anjing pun penat jika menyalak tanpa henti, apatah juga manusia.
3- Cari alasan untuk tidak marah. Dan alasan yang paling kukuh ialah bila kita ingat balik yang Rasul kesayangan kita berpesan kepada kita supaya jangan marah. Pesan siapa lagi yang kita nak ikut jika bukan Baginda. Bukankah kita cinta dan sayang Baginda?
4- Cuba untuk memahami situasi orang yang marahkan kita. Contohnya, ada orang yang marah kita tanpa alasan yang munasabah. Berbanding bertekak dengannya, kita memilih untuk diam dan dengar sahaja. Rupa-rupanya, orang itu marah kerana dia sedang dilanda masalah keluarga atau masalah kewangan yang teruk.
5- Fokus melakukan sesuatu yang lain. Sibukkan diri dengan sesuatu agar emosi kita terisi dengan perkara lain. Tidaklah nanti kita terus dihantui oleh sesuatu yang bakal menjadi racun kepada diri sendiri.
6- Tarik nafas dalam-dalam. Mengawal pernafasan juga terbukti dapat membantu manusia mengawal dirinya.
7- Solat dan zikir. Jadikan solat kita sebagai wasilah atau perantara untuk kita 'mengadu' dan 'bermanja-manja' dengan Allah. Allah tahu masalah kita. Allah cuma mahu kita 'mengadu'.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443