"Kenapa abang jalan laju sangat ni", isteri saya mengomel. Dia terpaksa mempercepatkan langkah.
"Panas", jawab saya sepatah.
Petang tadi memang terasa benar bahang dari sang matahari. Rasa kulit macam terbakar pun ada.
"Alaa bang, baru panas dunia", isteri saya cuba mengusik. Padahal dia pun dah mula berpeluh.
"Memanglah panas dunia, sebab tu abang jalan laju-laju. Abang nak berlatih 'jalan laju' hari kiamat nanti"
Perbualan kami tentang panas terik, mati di situ. Dah sampai di bazar. Sekarang mata kami yang lebih sibuk, mencari juadah yang berkenan oleh tekak.
--------------
Pernah suatu hari, ada bunyi yang amat dahsyat di langit hingga para penduduk Madinah merasa takut dan risau. Para sahabat Nabi pergi mendapatkan Rasulullah S.A.W. Baginda bertanya, "Tahukah kamu apakah bunyi itu?"
Para sahabat menjawab, "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui".
Lalu Baginda bersabda, "Bunyi yang dahsyat itu ialah bunyi batu yang mengenai dasar neraka selepas 70 tahun ia dilontar dari permukaannya". (Hadis riwayat Muslim)
Semua orang tahu, kematian bukan penamat.
Kematian cuma perpindahan alam. Dari alam dunia kepada alam barzakh. Tempat di mana bagi orang baik-baik, mereka akan dapat berehat dengan aman. Tetapi bagi orang jahat, sepanjang masa mereka akan dipukul dan disiksa. Ular besar, kala jengking, lipan, dan binatang berbisa setiap masa akan menyengat dan mendera.
Kita keseorangan. Tak ada suara untuk menjerit meminta tolong. Tak ada teman untuk kita tumpang simpati.
Yang ada cuma amalan kita sehari dua di dunia ini. Jika baik, baiklah. Jika tidak, terima sahajalah.
Selepas kita dibangkitkan selepas tiupan sangkakala, kita akan dikumpulkan di padang mahsyar. Di sana, semua manusia akan panik. Matahari akan sejengkal dari atas ubun-ubun. Ada yang berpeluh sampai dia lemas di dalam peluhnya. Tetapi ada yang Allah beri tumpang berteduh di bawah arasy.
Mereka itu dijaga oleh Allah. Siapakah mereka. (Nanti saya kongsikan tentang tujuh golongan yang mendapat naugan arasy)
Dipendekkan cerita, bermulalah proses hisab. Allah S.A.W akan menjadi hakim. Setiap keadilan akan ditegakkan dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya. Tiada sesiapa pun akan terselamat daripada keadilan Allah.
Dipendekkan lagi cerita, akan tiba saatnya manusia melintasi titian sirat. Disebutkan oleh Rasulullah S.A,W, lebih halus daripada sehelai rambut tapi lebih tajam daripada mata pedang. Di hujung sana, sayup-sayup kelihatan syurga melambai-lambai. Tapi di bawah sana, api neraka mengaum-ngaum bersedia untuk menyambar penghuninya.
Ada orang, dia melintas sepantas kilat. Tak sempat mata untuk berkelip, kaki dah berdiri di depan pintu syurga.
Ada orang dia bergerak sepantas tiupan angin. Ada yang sepantas larian kuda perang.
Ada juga yang berjalan seperti orang yang mabuk. Sikit saja lagi mahu tergelincir, namun tetap berjaya sampai.
Tapi....
Ada juga yang tidak mampu berjalan.
Rantai dan cangkuk menyambarnya dari bawah.
Dialah ahli neraka.
Aduhai diri.
Hidup di dunia untuk apa.
Sibuk dengan banyak urusan, untuk siapa.
Janganlah nanti kita menangis, "Alangkah baik jika aku ini cuma tanah".
Kerana tiada siapa akan mengelap air mata kita lagi.
Kita sendiri.
Nafsi...
Nafsi...
Ya Allah,
Kasihanilah kami yang jahil dan bodoh ini.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443