Dalam isu anjing ini, semua orang cuba jadi juara. Baik pihak individu, tokoh pemimpin, atau badan berautoriti, semua mengimpikan kemenangan. Pihak media pula menjadi api dalam sekam. Tambah-tambah lagi media alternatif. Lagilah dia punya goreng tu sampai hampir saja berita itu menjadi hangit. Terlalu banyak minyak, terlalu marak api kebencian.
Bab pegang anjing, perbahasannya sudah beribu tahun diselesaikan oleh para ulama, ahli fiqah, ahli hadis, pakar budaya, pakar sejarah, ketua masyarakat, dan mufti negara. Hukumnya terang dan jelas. Tak perlu kanta pembesar. Tak perlu teleskop. Clear cut. Semua orang tahu.
Jika disentuh basah bertemu kering, atau kering bertemu basah, perlu sertu denga basuhan air tanah dan air bersih.
Tapi isu yang tular sekarang bukan lagi isu sentuhan. Tapi melarat kepada soal kasih, cinta, sayang. Soal membela, menjadikannya sebagai haiwan peliharaan, dan berbangga-bangga serta mempromosikan pula budaya yang janggal ini.
Ada yang ambil gambar.
Ada yang rakam video.
Persamaannya, untuk disebar luas dan provokasi kepada umat ini.
Kita suka haiwan. Itu sifat terpuji. Dalam teks agama pun banyak dikisahkan tentang balasan baik terhadap perbuatan ihsan kepada binatang. Ada pendosa yang diampunkan kerana perbuatan baiknya memberi minum kepada anjing. Ada ahli taat yang diazab kerana menzalimi haiwan dibelanya.
Dan ada hadis yang tidak ditolak daripada perawi yang mempermainkan lembu yang diternak. (Acah-acah nak beri makanan tapi dipermainkan). Bahkan ada juga hadis yang tidak diambil daripada orang yang suka menunggang kudanya dengan laju.
Berbuat baik kepada haiwan bukan sekadar kemanusiaan, tetapi petanda keagamaan.
Tapi dalam banyak kes, manusia menggunakan teks di luar konteks.
Seperti seorang tokoh liberal yang memetik teks al-Quran yang memperkisahkan pemuda-pemuda kahfi bersama anjing mereka. Jadi pada dia, ia adalah dalil. Solek sikit, potong sikit, tambah mana yang tak cantik, maka pufff... dalilnya boleh dipakai.
"Al-Quran mengiktiraf anjing. Kamu siapa, nak lebih berautoriti daripada al-Quran?"
"Kamu bukan Tuhan. Kamu bukan Nabi. Cis, dasar polis moral!"
Padahal dia lupa, anjing juga disebut di dalam al-Quran apabila Allah mahu menghina orang yang angkuh, sesat dan menjadi hamba kepada hawa nafsu. Allah menyindir mereka dengan perumpamaan seekor anjing yang lidahnya terjelir-jelir. Dihalaupun, menjelir. Dibiarkan, pun tetap menjelir.
Begitulah sesetengah kita.
Kita juga dilarang melihat sesuatu dalam kerangka yang sempit. Tetapi elemen manusiawi kita sering menyebabkan pandangan kita terhad kepada latar masa, tempat, dan budaya. Kerana kita sejak lahir dibiasakan dengan mazhab syafie maka memang secara lahiriah, kita cenderung berhukum dengan mazhab syafie.
Dalam mazhab kita, perbuatan 'sengaja' itu dikiran berdosa. Tapi dalam satu mazhab lain, ia cuma makhruh (sangat tidak elok).
Tapi sebagaimana saya sebut awal tadi, isu ini bukan lagi terbatas kepada keinginan 'I want to touch a dog' tetapi telah berkembang menjadi 'I want to live with a dog'.
Atau mungkin beberapa tahun lagi, 'with' itu boleh diganti dengan 'like'.
Islam dan keislaman di tanah air kita telah banyak berevolusi. Ada yang makin mirip sunnah, dan ada perkara yang makin jauh daripada sunnah.
Jika dahulu ibu bapa cukup marah anak gadisnya diusung jantan, tapi hari ini ibu bapa pula yang marah bila anak gadisnya tak mahu keluar dengan jantan.
Seperti itulah melayu berevolusi. Daripada bangsa yang cukup berhati-hati, menjadi bangsa yang melawan. Bukan melawan radikalisasi, tapi sebenarnya melawan nas dan hukum.
Budaya melayu dipandang enteng. Adat melayu dianggap remeh. Sebab itu jangan terkejut bila tokoh liberal, LGBT, atheis, dan seumpamanya, ialah orang melayu juga.
Orang yang tak suka agama 'yang lama'.
Orang yang suka agama yang 'dinilai semula'.
Orang yang rasa dirinya lebih faham agama.
Dan akhirnya jadilah seperti anjing yang menjelir lidahnya. Dinasihat, pun tetap menjelir. Dibiarkan, memang begitulah dia.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443