Perkataan 'pondan', bila ditangkap oleh telinga, terasa sangat bahang negetifnya. Bayangkan pula bagi orang yang dituduh pondan. Diejek dan ditertawa. Pastinya lebih sedih, malu, tertekan dan terhina.
Golongan ini serpihan kecil daripada pecahan masyarakat kita. Walaupun kita tak suka tapi hakikat kewujudan mereka tidak boleh dinafikan.
Mereka hidup dalam kalangan kita.
Mereka manusia, juga seperti kita.
Mereka ada hak yang sama sebagaimana kita.
Dan mereka juga ada tanggungjawab yang sama seperti kita.
Tidaklah kita ini lebih mulia daripada mereka. Begitulah sebaliknya.
Lihatlah bagaimana Islam dan kemodenan membuat rumusan.
"All men are equal".
Cuma bezanya ialah jalan cerita dan penamatnya nanti.
Ada lelaki lembut yang insaf dan bertaubat. Akhirnya menjadi lelaki sejati.
Ada juga yang memilih untuk hidup dalam dunianya. Mungkin masih belum cukup kuat melawan nafsu dan berdepan dengan kenyataan.
Tapi malang sekali, ada yang memilih untuk berjuang dalam lumpur. Menegakkan benang yang basah. Benangnya pula bergulung-gulung, tak nampak hujungnya.
Mereka inilah yang kononnya mahu menjadi 'fighter'. Kononnya mahu memperjuangkan hak mengamalkan cara hidup yang sangat canggung dengan nilai keagamaan dan tata tertib ketimuran.
Mereka melawan nas agama secara berdepan-depan. Seakan-akan bersedia menyarung sarung tangan, mahu mengajak Tuhan bertinju.
Jika ada yang berani-berani cuba menasihat, maka mereka juga berani membalas dengan 'nasihat'.
Berbeza dengan 'pondan' yang menjadi pekerja seks di hotel bajet. Di kamar kecil, kotor dan berbau hamis. Benar, kerja mereka terkutuk. Tetapi ada satu beza antara mereka dengan golongan 'fighter' ini.
Iaitu kebanggaan dan kemegahan.
Analoginya serupa dengan orang yang ponteng puasa. Ada yang sebulan tak pernah puasa, tapi dia makan sorok-sorok. Tapi ada yang berbangga dan menunjuk-nunjuk dengan cara makan di tempat awam. Dia bangga berjaya ponteng puasa. Dia puas, bila masyarakat mengecamnya.
Tidak seperti pondan yang menjual tubuhnya. Yang ada kerunsingan, rasa bersalah, dan keinginan untuk mendapatkan masa hadapan yang lebih baik.
Di saat mereka mahu melelapkan mata, hati mereka bersoal, "Sampai bila".
Bukan seperti saudarnya, yang sedang sibuk berbangga dengan "jantina" baharunya.
Berdosa, itu manusia.
Tapi bila berbangga, bongkak, 'show off',berlagak, dan mendabik dada dengan dosa, itu sudah bukan manusia.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443