"Saya ada beramal dengan satu ilmu ni. Tak sampai seminggu, saya dah boleh terbang. Sungguh!"
Saya pandang muka penceramah tu. Tak ada tanda-tanda yang dia bergurau!
"Betul ni tuan-tuan. Saya boleh lompat dengan sangat tinggi. Macam terbanglah orang kata. Setakat tiang tu, memang senang je saya lepas", sambil tangannya menunding ke arah tiang di hadapan kami.
Tinggi!
Saya pandang muka para jemaah. Mereka terpinga-pinga. Ada yang tersenyum sendirian.
"Tap itu dulu lah. Masa saya muda dulu. Sekarang tak ada dah", penceramah itu senyum.
"Saya pun pelik. Ilmu apa yang saya belajar ni... Tak sampai seminggu beramal, dah dapat macam-macam. Jadi saya jumpa tok-tok guru, ustaz-ustaz, jadi mereka pun kata usahlah, tinggallah ilmu ni"
"Jadi saya pun tinggallah", dia bercerita lagi.
Saya memandangnya dengan pandangan polos. Niat di hati nak mendengar tazkirah, tapi tanpa sengaja terdengar cerita penglipur lara.
Saya bingung.
Bagaimana seorang yang bergelar Ustaz, diberi pentas untuk berceramah, dan menggunakan sumber dan harta surau, boleh diberi peluang untuk 'berjenaka' di pentas yang mulia itu.
Mungkin dia mahu mengajarkan moral. Seperti jangan belajar ilmu yang sembarangan, atau berhati-hati dengan perkara-perkara aneh dan ajaib.
Tetapi saya sangat merasakan yang ada beberapa perkara baik, lebih baik dibiarkan rahsia.
Kerana isu integriti. Tsiqoh.
Sejauh mana orang akan, atau mahu percaya kepada kita.
Jika aib kita yang dahulu tak siapa tahu, dibiarkan diketahui orang. Serupalah juga dengan orang yang mahu berhijrah.
Lebih baik jika cerita hijrah tidak disensasi kerana bimbang badai dan ribut fitnah mudah melanda hati.
Begitulah saya faham makna harmoni. Tak semua benda baik perlu kita cerita. Kerana takut kesannya tidak baik. Boleh membawa kepada fitnah, gaduh, caci maki, dan paling buruk, kafir-mengkafir!
Ingat pesan Nabi Yaakub kepada anak kesayangannya, Nabi Yusuf tatkala Nabi Yusuf datang bercerita akan perihal mimpinya kepada Nabi Yaakub.
"Rahsiakannya. Jangan beritahu tentang mimpimu ini kepada saudara-saudaramu"
Hati orang, kita tak tahu.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443