Mengapa kita rasa susah sangat nak solat? Dan mengapa kita rasa 'okey-okey' sahaja bila kita menginggalkan solat?
Benda ni menyedihkan sebenarnya. Kita berkeinginan masuk syurga tapi kita tak buat perkara paling penting di dalam agama, iaitu bersolat.
Pertama, apa hukum solat? Jawabnya fardu ain. Iaitu kewajipan yang dimestikan, yang tiada alasan untuk kita meninggalkannya.
Tak kiralah kita sakit, musafir mahupun darurat (seperti tak ada air, tak tahu kiblat, pakaian kotor, dan sebagainya).
Betapa seriusnya solat ni hinggakan di dalam medan peperangan pun kewajipan ini tak diangkat.
Tapi kita yang banyak masa lapang ini, pun tak bersolat.
Orang miskin, pengemis, gelandangan, dan muflis, pun masih wajib solat.
Sahabat Nabi S.A.W ada yang tiap kali lepas habis solat, dia cepat-cepat balik ke rumah. Sampaikan Nabi S.A.W pelik dan tertanya-tanya.
Tahu apa yang sahabat ini jawab?
"Aku dan isteriku hanya ada sehelai kain ini sahaja. Lalu jika aku nak bersolat, maka aku pakai dan sesudahnya isteriku akan pakai untuk bersolat".
Rasanya dalam dunia ni tak akan ada lagi orang yang miskin seteruk itu.
Tapi kita yang memiliki kerja yang bagus, gaji lumayan, rumah sendiri, kenderaan yang bagus, dan ada pula zuriat, masih tak mahu solat.
Alasan kita apa?
Orang sakit, adakah mereka diwajibkan solat? Jawapnya YA.
Ikut kemampuan mereka. Tak boleh berdiri, duduk. Tak mampu duduk, mengiring. Tak mampu mengiring, berbaring. Tak mampu bergerak langsung, cukup dengan pergerakan anak mata.
Selagi akal masih waras, selagi itu solat masih diwajibkan. Biarpun kaki dah kaku, tangan dah tak mampu.
Kita yang muda, sihat, dan sempurna anggota tubuh ini pun masih ego, sombong, dan tak terasa malu meninggalkan solat.
Aduhai, apa lagi alasan kita.
Semetelah bersolat pun, adakalanya seperti melepaskan batok di tangga. Asal buat, kata kita.
Ada yang solat tanpa toma'ninah. Solatnya laju seumpama 'bullet train'. Entah apa dia baca, kita pun tak dapat nak agak.
Pernah dahulu seorang pemuda bersolat di hadapan Nabi S.A.W. Selesai dia bersolat, Nabi S.A.W menyuruhnya untuk bersolat.
"Kamu belum bersolat", beritahu Baginda.
Pemuda itu pun mengulang bersolat. Sampai 3 kali. Akhirnya dia menyerah.
"Beritahu aku, apa kesalahanku dalam solat".
Rupanya solat itu tiada toma'ninah. Laju hingga hilang ketertibannya.
Ada pula yang bersolat tetapi fikirannya dibiarkan melayang. Hingga tak tahu apa yang dibaca. Jauh sekali memahaminya.
Jasadnya sedang bersolat tapi fikirannya berada di negara lain, sedang khayal dengan sejuta macam pekerjaan.
Kelalaian dalam solat sebegini sangatlah serius dan menerima ancaman azab neraka.
Solat yang sepatutnya dijaga dengan penuh waspada, rosak dalam sekelip mata.
Mana Allah tak marahnya.
Bersolatlah. Tak lama mana. Sedangkan Allah dah beri kita macam-macam atas dunia ni. Satu pun kita tidak bayar dan ganti.
Mungkin ibubapa kita sejak kecil tak pernah mendesak kita untuk bersolat. Itu salah mereka. Tapi kita bila dah dewasa ini, boleh fikir sendirilah sepatutnya.
Semoga Allah berikan kita hidayah dan taufik menuju ke syurga yang abadi.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443