Ikhwah Dari Langit

Kata orang… sakit itu tanda kasih sayang dari Tuhan. Tapi bagi Liyana, lain pula halnya. Hari ini dia menangis lagi. Sakit akibat dipukul, dikasari, dan diherdik oleh suaminya, dirasakan hingga ke tulang yang paling dalam. Dalam nafas yang dihembus bersama rasa sengal yang menyucuk-nyucuk di seluruh sendi tubuh, dia bergerak perlahan-lahan ke dapur.

Ya, dia masih perlu memasak untuk Akmal, suami yang tidak pernah belajar menghargai isteri. Malam semalam, lelaki itu seperti kerasukan. Entah apa yang tidak kena pada Liyana hingga dia terduduk, merintih menahan sakit diganyang oleh suami yang seperti sudah hilang akalnya. Sebabnya hanya satu, iaitu pintu dibuka sedikit lambat saat Akmal pulang. Ya, hanya itu!

Liyana mengesat air mata yang mengalir di luar sedar. Dia yang masih hijau, dipaksa oleh ibu dan bapanya untuk bernikah. Ya, saat lamaran daripada keluarga Akmal datang, dia baru sahaja selesai dengan kuliahnya di kolej. Belum pun sempat mahu mengecapi kebebasan menuai hasil peluh sendiri dengan bekerja, ibu dan bapanya berkeras agar lamaran daripada anak kepada usahawan perabot itu segera diterima. Liyana terhimpit. Pun, desakan yang tidak henti itu mengheret dirinya kepada suatu kisah gelap. Ternyata… apa yang diimpi, hanya sebuah ilusi. Akmal, ternyata jauh daripada ciri suami idaman.

Sambil memotong bawang, sekali lagi fikiran Liyana menjauh. Dia terkenangkan sikap suami yang dinikahi sejak 6 bulan yang lalu. Akmal, seperti kebanyakan pemuda, memang molek penampilannya. Bicara dan tutur katanya juga lembut. Cuma, penghayatan agamanya sahaja yang kurang.

“Saya harap Liyana boleh membantu saya mengenali islam”

Kata-kata berupa sebuah janji memikat ditabur secara terbuka. Akmal, seorang usahawan yang berjaya. Di usia muda, dia sudah punya aset yang berkepuk-kepuk. Cuma, ia bukan yang Liyana impikan. Yang Liyana cari cuma sebuah cinta yang ikhlas kerana Tuhan. Tepat! Itu ialah cita-citanya sebagai isteri, iaitu agar dapat berpimpin tangan dengan sang suami ke dalam syurga.

Hanya tinggal impian yang keputusannya samar-samar. Cuma…

Kurang 2 jam lagi, Akmal akan pulang. Hujung minggu itu, dia memberitahu Liyana bahawa dia punya hal. Liyana hanya mengangguk. Hendak ditanya… dia tidak sanggup kerana dia tahu, hanya hamburan dan siri-siri ejekan dan makian sahaja yang akan diterima, jawapan bagi soalan-soalannya.

Menghampiri waktu zuhur, Liyana sudah sedia dengan pakain solat. Dia duduk bertelenggu di atas sejadah hijau, hadiah pemberian sahabat tercinta, Fatin semasa hari graduasi dahulu. Dia berzikir perlahan, bersama sebuah kesabaran yang ditinggikan agar diri sentiasa tabah untuk melayan lelaki kasar yang sudah diangkat sebagai suami.

Rakaat pertama hingga rakaat ketiga, Liyana khusyuk mengadu kepada Tuhan. Berdiri sahaja dalam rakaat yang terakhir, bunyi ketukan bertalu-talu di muka pintu. Walau rumah teres itu luas dan punya dua tingkat, bunyi ketukan itu terlalu kuat hingga kedengaran jelas oleh dua telinga Liyana yang masih dalam solat, di tingkat atas. Lantas, khusyuk tadi terjejas dan dia bersegera menyudahkan solat. Usai, dia berkejaran turun dengan telekung masih rapi menutup badan yang kemerah-merahan, lebam dipukul jantan rakus itu.

“Weii!! Lambatnya buka pintu!! Kau ingat aku baru seminit ke kat luar tu ha?!”

Itu ayat pertama terkeluar dari mulut lelaki berbaju-T Polo yang berdiri dimuka pintu. Wajahnya menyinga. Jelas di balik kaca matanya, biji mata lelaki itu dijengil penuh amarah dan murka. Sekilas, lagaknya mirip seekor singa yang sedang sedia untuk membaham rusa.

Liyana terkedu. Herdikan itu dirasakan seperti halilintar membelah awan malam. Segera dia memohon kemaafan, dengan rendah hati dan penuh rasa bersalah.

Akmal ternyata tidak sabar. Ditolak kasar tubuh kecil Liyana. Bersama telekung putih bersih, tubuh itu terjelupuk menahan sakit akibat tolakan kasar. Air mata jernih itu keluar lagi. Kali ini, tanpa suara, tanpa kata-kata. Yang kedengaran hanyalah nuasa-nuasa sebuah keperitan pada fizikal dan jeritan sebuah hati yang remuk, juga berkecai-kecai.

Akmal tidak memandang isteri yang disakiti. Hanya rengusan dilepas, cukup untuk mengambarkan betapa dirinya jelek dengan wanita yang setiap malam dipaksa menjadi teman tidurnya.

“Aku nak makan”

Suatu perintah daripada maharaja. Lagaknya bersahaja, seakan-akan tiada sekelumit rasa bersalah menyakiti isterinya. Akmal sudah duduk di meja makan, membelek-belek telefon bimbit. Liyana yang masih tersedu-sedu diatas lantai bingkas ke dapur, menyiapkan makan tengahari buat sang suami. Segalanya dilakukan dengan seikhlas dan serela mungkin. Ya, sedaya upayanya.

Mujur selera Akmal hari itu kena. Dia tidak menengking seperti selalu, seperti masa-masa lidahnya merasa tidak kena pada lauk masakan Liyana. Berselera dia makan, tanpa diajak si isteri untuk sama menjamah. Liyana, dirasakan tidak layak makan semeja. Hanya tugasnya melayan. Dan memang selama ini, Akmal telah menghadkan ‘fungsi’ Liyana hanya pada itu. Hanya sebagai pelayan!

“Abang nak tambah?”, Liyana cuba melunakkan suara walau hatinya masih lagi menangis.

Akmal mengangguk. Lalu, nasi putih diletakkan di dalam pinggan kaca yang masih bersisa dengan makanan. Tanpa sepatah perkataan, tangan kasar lelaki itu kembali laju, menyuap makanan ke dalam mulut.

Kekenyangan, Akmal duduk di ruang tamu menonton televisyen. Jam sudah menunjukkan pukul 2 petang. Lagi, dirinya belum pun dibersihkan. Apatah lagi bersolat zuhur. Belum!

“Abang tak nak mandi dan solat dulu ke?”, tanya Liyana lembut . Dia nampak cantik walau dengan hanya berpakain santai. Ah, depan suami sendiri, takkan tidak boleh?

Akmal menoleh kepada Liyana yang sudahpun mengambil tempat di sofa, sebelahnya cuma. Jelas di wajahnya, dia meluat. Biji mata dijegelkan, marah diasak dengan soalan. Atau mungkin, memang dirasakan perempuan itu seperti suatu yang jijik. Ah, sampai begitu sekali!

“Hei. Kau sibuk-sibuk ni kenapa? Suka hati aku lah bila-bila aku nak pergi”, balasnya kasar. Sambil menghempaskan alat kawalan jauh ASTRO, dia merengus lalu bangkit laju ke tingkas atas, meninggalkan Liyana tercongok menahan debar dan kesedihan diherdik sebegitu kasar. Buat kesekalian kalinya, dia menangis lagi. Ah, air mata wanita itu benar-benar murah hari itu.

******

“Aku nak kawin lagi satu”

Kata-kata Akmal itu menyebabkan Liyana merasakan jiwanya separuh mati. Tidak berkelip matanya memandang Akmal. Majalah Solusi yang sedang ditatap, terlepas dari genggaman dan terjatuh atas ribanya.

“Abang… kenapa?”, tanyanya sayu. Ada sebuah getaran di balik suaranya.

“Aku tak suka kau. Aku suka orang lain”, jawab Akmal sombong.

Menitis air mata Liyana. Laju ia merembes keluar, seperti empangan yang pecah. Tersangat dirinya tidak menyangka bahawa perkara sebegini akan menimpa dirinya. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa episod gelap ini akan menimpanya. Pun, dia sama tidak menyangka mimpi ngeri ini akan menghantui kehidupan sementaranya. Ya, dia tidak mampu berkata apa-apa.

Malam itu, dikala Akmal sedang enak tidur sambil berdengkur kuat, Liyana tersungkur di telapak kasih Ilahi. Dipanjangkan sujudnya hingga basah sejadah wa telekungnya. Sungguh-sungguh dia mencampakkan pengaduan kepada Tuhan. Hanya kepada Dia.

Akmal tidak bergurau. Ternyata dia benar-benar punya perempuan lain. Dia punya cinta yang lain, juga punya kasih yang sudah bertukar. Hampir tiap hari dia akan pulang lewat malam sehingga Liyana akan tersengguk-sengguk di ruang tamu, menunggu suaminya pulang. Liyana murung. Dia merasakan bahawa Akmal semakin benci kepadanya. Masakan tidak. Dalam sehari, pasti akan lebih dari sekali, dia dipukul. Jika tidak pun, dia akan dimaki dan dihambur dengan kata-kata kesat yang sama sekali tidak terlintas dan layak untuk diucap oleh manusia berakal. Akmal, dia terkecuali.

Kesedihan itu tidak dikongsi bersama ibu dan ayahnya, jauh sekali ibu dan bapa mertuanya. Ibu dan ayahnya, sama sekali tidak peduli akan hal rumah tangganya. Dahulu pun, saat mahu bernikah, dia dipaksa terus-terusan walau hatinya kosong untuk lelaki itu. Namun, selepas akad, hatinya dirantai penuh kepada suaminya. Dia tahu, dia yakin bahkan dia percaya… syurga untuknya ada pada lelaki itu.

Izzati!

Hanya Izzati yang tahu tentang kepincangan dan bebanan dalam otak yang malar. Izzati ialah jirannya. Dia ialah anak kepada Encik Hamid dan Puan Hasnah. Mereka tinggal di sebelah rumahnya. Selepas beberapa kali mereka bertukar-tukar senyum, Liyana menegur Izzati yang baru sahaja pulang dari aktiviti kokurikulum.

Ternyata gadis yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini, sifatnya sangat peramah. Tanpa mengambil masa yang panjang, mereka sudah menjadi akrab. Liyana, saat ketiadaan teman berbicara, juga bosan tanpa aktiviti, pasti akan berbual-bual dengan Izzati. Itupun sekiranya anak jirannya itu sudah pulang dari sekolah.

Izzati pula suka berceloteh. Hampir tiap hari, dia akan ke rumah Liyana, menemani perempuan yang sudahpun dianggapnya seperti kakak. Kebetulan, dirinya tidak punya kakak. Liyana senang. Kewujudan Izzati dalam hidupnya dirasakan sedikit sebanyak memberi ceria. Setidak-tidaknya, dia ada teman untuk berbicara. Jika dengan Akmal, jawapannya pasti tidak. Akmal di rumah, sikapnya sesekali tidak jauh beza dengan syaitan bisu yang hanya membuka mulut bersama-sama kerahan caci maki yang sangat menghiris perasaan.

“Akak! Kenapa sampai macam ni sekali?”. Izzati cemas melihat wajah Liyana yang lebam-lebam. Patutlah kakak angkatnya itu tidak keluar-keluar saat dipanggil. Sudah dua hari dia mengelak untuk bertemu, cuma hari itu, Izzati berjaya memujuk.

Liyana tersenyum pahit. Jam di dinding bergerak pantas, sambil menunjukkan pukul 3 petang. Akmal, pengurus di sebuah syarikat perabot terkemuka di tanah air tidak akan pulang sehingga jam 7. Cuma selepas terang-terangan dia punya teman wanita, pulangnya sukar dijangka. Paling awal pun sebelum tengah malam.

“Akak okey. Sikit aje ni…”, balas Liyana, cuba bermanis muka.

“Sikit apa ni kak! Samapi lebam-lebam ni. Ni… tengok ni..”, Izzati mengetap bibir. Tangannya yang halus memegang tangan Liyana yang kemerahan.

“Aduh…”, spontan Liyana mengaduh sakit. Tangannya lebam dan membengkak. Nampak jelas ia kesan pukulan yang kasar.

“Ha… kan… orang baru pegang saja ni…”, Izzati mengeluh. Dia bersimpati. Nampak benar di balik bulat biji matanya, ada manik-manik halus bergenangan.

“Akak… sampai bila macam ni?”, tanya Izzati lagi. Sebenarnya, sebagai jiran yang hanya terpisah dengan sebuah tembok pagar setinggi 2 meter, dia dapat mendengar dengan jelas dari jendela biliknya suara-suara Akmal berteriak kasar. Bukan sekadar itu, pernah dua kali dia nampak dengan mata kepalanya Akmal memukul dan melayan Liyana dengan kasar. Ya, walau di luar rumah pun… Akmal tidak peduli untuk melempiaskan amarah!

“Sampai bila? Sampai dia berubahlah…”, balas Liyana sambil ketawa kecil. Dia tidak berseloroh. Hatinya benar-benar mengharap dan berdoa agar itu menjadi sebuah kenyataan. Dirinya itu, walau perit dizalimi, namun hatinya masih terikat pada lelaki itu. Ya, suaminya.

Izzati mencebik, sedikit mencuka wajahnya. “Akak, kenapa tak minta fasakh aje?”

Liyana tersenyum lagi. Lebar, seakan-akan mendengar cerita lawak pula!

“Akak memang boleh kalau nak minta fasakh dik… tapi for what?”, Liyana bermain dengan persoalan.

Berkerut dahi gadis yang baru mencecah usia 16 tahun itu. “Untuk apa lagi… untuk bebaslah! Akak berhak untuk bahagia... akak juga berhak untuk mendapat kasih sayang”, ujar Izzati. Dia bersemangat kerana baginya, jawapan balasnya itu kukuh.

Liyana masih nampak tenang di balik bibir merahnya yang lebam kebiruan. “Bagaimana kalau akak katakan akak sedang bahagia dan sedang dikasihi?”

“Huh. Akak tak boleh tipu la…”, balas Izzati laju.

“Sungguh! Akak rasa bahagia dengan nikmat kesabaran. At least, akak dapat pahala kerana janji Allah memang begitu. Akak juga dapat merasakan kasih sayang Allah. Tiap-tiap malam, tiap-tiap saat, akak akan ingat kepada Allah dan merintih, merayu serta berdoa kepada-Nya. Jika akak terlalu bahagia di alam rumah tangga, mungkin akak akan jadi lupa Allah. So, what to worry. Allah kan ada untuk akak. So… kita jangan cakap pasal benda ni lagi la Zati ye…”, kata Liyana lembut. Air mukanya yang jernih memancarkan rasa tenang kepada Izzati.

Izzati mengangguk. “Okey… tapi ini last. Akak nak sabar sampai bila?”

Liyana senyum. “Sampai dia berubah, atau sampai akak dilepaskan”

***

Akmal menguap luas. Baru setengah jam tadi dia menghabiskan secawan kopi ‘O’ di kafe pejabat, tapi sudah badan terasa penat tak bermaya. Sejak kebelakangan ini, prestasi kerjanya jatuh mendadak. Itu dia tahu, bahkan dia sedar dari mana puncanya. Segala kerana dia sudah acap benar pulang lambat ke rumah.

Ah, untuk apa pulang awal-awal jika yang menanti di rumah, hanya seorang perempuan kudis yang hina? Itu fikirnya.

Akmal, tamat sahaja waktu pejabat, akan terus keluar bersama teman wanita barunya. Suzana, gadis genit yang bermata galak telah beberapa kali menjadi temannya di ranjang. Gadis cantik, bergaya dan moden itu jauh benar sifatnya dengan Liyana, isterinya. Perbezaan yang mencapai tahapan 360 darjah itu sentiasa menjadikan Suzana indah di mata Akmal.

Suzana bukannya orang lain. Dia ialah setiausaha peribadi Akmal juga. Ya, hubungan intim antara mereka tidak disorok-sorok. Di pejabat sahaja, pekerja-pekerja Akmal sudah naik muak dengan tindak tanduk mereka berdua yang lebih romantis daripada pengantin baru, kadangkala.

Salah seorang yang memendam rasa kesal ialah Syed Imran. Syed Imran ialah teman rapat Akmal. Tapi itu sejarah. Ya, cerita itu hanya boleh dikenang-kenang kerana Akmal sudahpun membuang Syed Imran jauh-jauh. Dia dengan bongkak dan bangga, mengisytifarkan bahawa Syed Imran bukan lagi seorang rakan. Sekadar teman sekerja dan ada noktah disitu.

Puncanya tidak banyak, juga tidak puncak.

“Mal… kau kan dah kawin, kenapa aku tengok kau masih boleh main-main dengan Suzana?”, tanya Syed Imran lembut. Hari itu, seingatnya… ialah hari terakhir mereka duduk semeja, makan tengahari bersama.

Akmal yang sedang enak menikmati ayam goreng tersentak. Diletakkan sudu dan garfunya atas meja. Wajahnya ketat, juga tegang. “Kenapa?”, tanyanya.

“Bukan apa Mal… aku kesian pada Liyana. Dulu kau cerita, hubungan kau berdua tak baik. Jangan macam ni Mal. Seorang suami punya tanggungjawab kepada isteri. Liyana itu amanah dari Allah kepada kau. Ingat tu..”, Syed Imran bersuara, lembut tapi tegas. Tangan kanannya memegang cawan berisi air sirap, lalu disuakan straw ke bibirnya.

“Amboi… pandai betul kau berceramah ya ustaz… yang kau tu bukannya kahwin lagi! Apa kau tahu!”, Akmal meninggikan suara. Marah benar lelaki itu.

Syed Imran terkejut. Melihat Akmal berang sebegini, pastinya bukan petanda yang baik.

“Sabar Mal. Aku bukannya apa… aku beri nasihat sebagai seorang kawan saja. Liyana tu budak baik. Ada didikan agama. Graduan bidang agama. Suzana pula… dia tu pisau cukur Mal. Dia nak harta kau aje…”, balas Syed Imran perlahan. Dadanya berombak sedikit, menahan rasa yang sejuta.

Akmal menghentak meja kuat. Serta-merta, orang ramai yang sedang menjamu selera keliling mereka terkejut. Tidak sampai satu saat, Akmal dan Syed Imran menjadi perhatian. Tunduk wajah Syed Imran, malu dan segan melihat beberapa kerat manusia berbisik-bisik. Pastinya tentang mereka.

“Kau ni penyibuk betul kan! Aku tahu la macam mana nak layan bini aku. Aku tahu la macam mana nak jaga diri aku. Yang kau sibuk sangat ni apa hal?”, kasar dan sarat dengan amarah.

Syed Imran merasakan darahnya mendidih. Hampir dia bersuara dengan nada yang sama. Hanya… hatinya berselawat, memberi sejuk dan tenang yang meredakan.

“Sabar Mal… Sabar… Aku cuma nasihat aje…”

“Pegi mampus dengan nasihat kau! Sekali lagi aku dengar… aku akan pastikan muka kau pecah!”, ugut Akmal kasar. Lantas dia berdiri dan terus keluar dari kedai makan berhawa dingin itu.

Syed Imran terkedu. Hanya istighfar dan selawat menjadi pemujuk.

*******

“Sayang… kita minum-minum malam ni…”

Suzana merengek manja. Kepalanya meletok di dada bidang Akmal. Tangannya dan tangan Akmal, seakan bersambung. Mesra yang melampau, lagaknya tak tumpah seperti suami dan isteri.

“U mean… alcohol?”, tanya Akmal.

“Yes. U ni penakut lah… tak pernah pun minum-minum. Kenapa? Takut dengan bini?”, ejek Suzana.

Akmal terdiam. Dirinya rasa tercabar, bahkan rasa tehina pula apabila nama Liyana, dbangkitkan.

“Siapa kata i takut! Okey... Kita tengok sapa yang mabuk dulu!”, balasnya sambil mengetab bibir lalu disambut dengan derai tawa menggila oleh Suzana. Mereka hanyut, akhirnya.

Jam 1 pagi, Liyana masih tercogok di atas sofa lembut dari Itali yang indah menghiasi ruang tamu rumah teras dua tingkat itu. Dari ekor mata, jelas kelihatan riak kerisauan di balik wajah putih suci itu. Risaunya bertempat. Akmal masih belum pulang!

Peti televisyen ditatap dengan pandangan yang kosong. Fikirannya tidak turut, gemalai ia hilang bersama runsing dan cemburu. Masih kukuh dalam hatinya, rasa kasih dan hormat kepada Akmal walau layanan yang diterima, saling tidak tumpah seperti penjaga zoo melayan haiwan. Ya, tidak jauh bezanya.

Ketukan di pintu disambut dengan hela nafas lega. Dibuka perlahan. Liyana terkejut bukan kepalang. Disangka Akmal yang muncul tapi sangkaannya meleset. Dua orang anggota polis berpakaian seragam tercegat di muka pintu. Liyana lekas menyorokkan tubuhnya yang sedikit terdedah. Dia kehairanan sendiri.

“ Assalamualaikum puan”, sapa salah seorang anggota polis yang bermisai tebal.

Dari balik daun pintu, Liyana menjawab salam. “Kenapa encik?”, tanyanya tidak sabar.

“Begini puan. Tapi pertamanya, kami harap puan dapat bersabar ya…”, kata seorang yang lain pula.

Liyana berdebar-debar. Dia seperti dapat membuat tekaan akan apa yang bakal dituturkan oleh anggota polis itu. Pastinya tidak baik. Pastinya tidak elok! Sangkaannya begitu!

“Suami puan, Encik Akmal Hakim kemalangan tadi. Dia melanggar lampu isyarat. Keadaannya kritikal. Wanita yang bersamanya pula sudah meninggal di tempat kejadian. Mengikut butir-butir peribadi, wanita itu beranama Cik Arwa Suzana”, beritahu anggota polis berkumis tebal itu. Pelahan saja suaranya, tetapi di telinga Liyana, ia tidak tumpah seperti paluan halilintar. Tepat ia membakar hatinya yang paling dalam.

Lemah. Liyana hampir-hampir terjelupuk dengan berita itu. Hanya zikirnya yang berantai, membantunya untuk kuat.

Dua jam kemudian, Liyana tersedu-sedu dalam pangkuan ibunya. Dirinya kini ialah seorang janda.

****

“Adam dah tidur, sayang?”

Liyana tersenyum manis. Anak sulungnya, Syed Adam nampak tenang dalam pelukannya. Bayi lelaki yang baru mencapai usia 2 bulan itu sihat. Comel pula, bahkan. Liyana berhati-hati meletakkan bayi comel itu diatas tilam. Seketika, Adam merengek mungkin merasa keenakan tidurnya terganggu.

Liyana tersenyum bahagia. Di sisinya, Syed Imran sebagai suami yang tidak henti memberi bahagia. Bersamanya, Allah kurniakan Syed Adam sebagai penyambung keturunan dan InsyaAllah, bakal menjadi saksi diatas sebuah kesabaran wanita bernama ibu.

Liyana menggenggam erat tangan suaminya. Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah akan kamu dustakan?
Previous
Next Post »
40 Komentar
avatar

Allah. Tersentuh aku baca. Doakan aku dapat kecekalan seorang isteri seperti Liyana. Allah!

Balas
avatar

erm... Agak pantang klau bace or tgk cite bekaitan isteri didera tapi tetp gigih bace smpai abiz dan phm maksud kisah nie. Thankz

Balas
avatar

ya Allah.. tabah sungguh liyana tu..
:)

Balas
avatar

kalau di pondok cinta ni mungkin cerita khayalan tetapi saya pernah mendengar kisah benar tentang ini..amat menyayat hati..sehingga bila diceritakan kepada saya,saya menitiskan airmata..

Balas
avatar

Bestnya cerita ni...
liyana tu sgt tabah!
semoga boleh jd cekal sptnya...
aaamiin :))

Balas
avatar

sy semangat nak baca sebab ade nama saya. hihi. =) kita harus percaya yang Allah itu MAHA ADIL. jgn menyalahi takdir kerana setiap dugaan ade hikmah yg tersirat. meredhai adalah yg terbaik.

Balas
avatar

aishhh.. terdetik hati ni menginginkan yg sama. tpi pantaskah diri ini utk mjadi stabah liyana.. :)

Balas
avatar

rasa macam 1st time sampai disni..tapi terus terpikat hati. teruskan menulis.kami membaca!

Balas
avatar

syed imran tu ikhwah dari langit??? kurang sesuai laa tajuk dia. lebih berkisarkan liyana. saya nak berkisarkan ikhwah yang rajin buat kerja dakwah.

Balas
avatar

happy ending,sgala aturan ALLAH
ada hikmahnya,lambat atau cepat..

Balas
avatar

segala peraturan hidup ada hikmahnya..tabah dan sabar hadapi segala dugaan..salam kenal jua buat iqbal :)

Balas
avatar

kita jarang berfikiran positif untuk terima sesuatu negatif dan lihat hikmahnya. sama cam sakit atau satu teguran yang sepatutnya dianggap sebagai tanda orang sayang kat kita. banyaknya kita fikir, orang benci atau dengki kat kita

Balas
avatar

fatin liyana izzati.

haha. ok. :p

jangan la saya jadi macam ni nanti. huk3. btw. nice story. :)

Balas
avatar

iqbal lepas ni boleh publish novel~ ;) saye nak beli~

Balas
avatar

nice story indeed (=

nanti blh buat novel, keep it up!

Balas
avatar

alhamdulillah :) disbalik kepahitan akhirnya muncul kemanisan idOp . .
teruskan berkarya lg ya En.iqbalsharie :))

Balas
avatar

Menarik. Teruskan berkarya jika dengan cara itu dapat membebaskan rindu didada.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443