Minoriti; aku benar-benar rindukan saat itu!

Bagaimanakah rasanya menjadi minoriti?

Menjadi minoriti dalam institusi pengajian.

Menjadi minoriti dalam organisasi pejabat.

Bahkan, menjadi minoriti di bawah bumbung rumah sendiri.

Rasanya bagaimana?

Ia adalah satu perasaan yang tidak enak. Ya, saya pasti semua orang tidak menyukainya.

Tetapi, minoriti yang saya maksudkan itu bagaimana?

Ia berkisar tentang soal agama dan penghayatan di sebalik nilai-nilai agama.

Jika di kelas, mungkin anda yang minoriti ini akan disisihkan. Suara anda tenggelam. Buah fikiran anda ditolak. Atau mungkin, telinga anda akan sentiasa panas menerima ejekan dan sindiran-sindiran?

Dalam organisasi, mungkin anda akan diberikan layanan yang buruk. Mungkin juga anda tidak mendapat faedah-faedah yang seharusnya anda juga dapat. Atau mungkin setiap hasil kerja anda akan ditolak, atau diterima pun, hanyalah selepas dimaki dan dibebel panjang lebar.

Di rumah sendiri, itu paling perit. Syukur, saya tidak berpeluang merasai, tapi saya mendengar dari banyak sumber dengan lafaz yang pelbagai.

Layanan ibubapa yang double-standard lah...

Adik-beradik yang bersikap dinginlah..

atau mungkin, di herdik dengan terang-terangan dan terus-terusan?

Segalanya berpunca dari sebab yang satu- MINORITI

Saya simpulkan bahawa hampir kesemua bentuk tekanan yang diterima oleh golongan ini ialah kepada mental mereka. Fizikal, kebanyakannya tidak diusik. Sedikit pun tidak dicuit. Yang dirobek-robek, ialah emosi mereka.

Saya suka mengulang-ulang kata-kata ini; "Jangan bercakap tentang perjuangan kalau takut dengan implikasi"

Ya, menjadi minoriti bukan bererti kita tenggelam!

Saya tertarik dengan satu kisah yang diselitkan di dalam al-Quran. Oh! Dua kisah sebenarnya.

Kisah pertama ialah berkenaan Bani Israel yang dizalimi oleh Jalut dan tenteranya. Mereka berdoa supaya Allah mengirimkan seorang untuk memimpin mereka. Orang itu ialah Thalut. Sejak dari awal, mereka berbantah-bantah dengan pelantikan Thalut sebagai ketua, sedangkan itu ialah perintah daripada Allah. Dengan sisa amarah dan berat hati, berangkatlah sebilangan daripada mereka untuk berperang dengan Jalut. Ujian demi ujian Allah turunkan untuk menguji iman mereka. Salah satu ujian yang menggagalkan ramai manusia ialah ujian 'ketahanan iman'. Hanya sebilangan kecil sahaja yang kental hati mereka, taat pada perintah Allah. Lalu, dengan sebilangan kecil inilah Allah mengurniakan kemenangan. Yang paling indah, al-Quran ada menitipkan kata-kata segelintir orang yang beriman itu; "Betapa banyak kelompok kecil yang mengalahkan kelompok besar dengan izin Allah! Dan Allah bersama dengan orang-orang yang sabar."

Kisah itu terlalu indah dan misteri dan terdapat dalam surah al-Baqarah mulai ayat ke 246.

Satu lagi kisah yang memotivasikan diselitkan dalam ayat 65 dan 66 daripada surah al-Anfal.

Subhanallah...

Ini Bukan Peperangan.

Fokus artikel ini bukannya seruan kepada jihad al-Qital. Saya tidak meminta kalian menajamkan pedang. Saya tidak minta kalian mempersiapkan kuda perang. Yang difokus dalam artikel ini ialah 'menajamkan' ilmu pengetahuan dan 'mempersiapkan' kekuda kesabaran.

It is not about quantity.

Apabila orang mula mengatakan islam tidak mementingkan kuantiti tetapi kualiti, saya tidak tahu mahu bersetuju atau tidak. Yang pasti, nas-nas yang banyak... mengatakan bahawa umat mutaakhir (zaman ini) sangat ramai, persis buih-buih di laut. Dan ya, ia juga lemah seperti buih. Dengan bayu yang lembut sahaja pun ia akan lenyap. Sekadar itu.

Tapi, dalam masa yang sama, golongan 'minoriti' tidak sesekali wajar disamakan sebagai 'buih' itu. Minoriti, walaupun bilangannya sekerat dua, tapi akar mereka harus kuat. Cengkaman pada dasar bumi juga harus kukuh.

Golongan minoriti ini perlu menjadi 'pokok' yang rendang. Akarnya menunjang jauh ke dasar tanah. Dedahannya kukuh menampung langit. Dan pepucuk daunnya menghijau, melahirkan permai. Sedar atau tidak, 'pokok' ini ada tugas! Ya. Tugasnya ialah untuk memberi perlindungan kepada manusia dan haiwan. Itu tugas saya dan kalian, yang mengaku sebagai golongan minoriti.

"Jangan bercakap tentang perjuangan kalau takut dengan implikasi"

Pandangan saya jatuh pada sebatang pokok rambutan yang rendang. Dedaunnya memenuhi setiap ranting, meneduhkan manusia yang berehat di perdunya. Di hujung-hujung, bebuah rambutan melebat. Warnanya merah garang, membangkitkan selera. Setangkai demi setangkai ia dicantas dan dibaham oleh manusia-manusia yang rakus, tanpa sedikit pun mereka faham erti 'terima kasih'. Ah! Berlalu datang sang algojo. Di tangannya sebilah parang panjang. Dibenam parang tajam itu ke dahan pokok rambutan.

Saya seakan-akan mendengar pokok itu menjerit lantang. Sakitkah kamu wahai pokok rambutan? Ya. Dia sakit... tapi dalam kesakitan, saya pasti pokok rambutan masih akan senyum kerana dia tahu, buahnya dimakan orang. Dia bahagia kerana dia tahu, dedaunnya yang melebat itu memberi segar manusia daripada panahan cahaya matahari. Dia gembira, kerana dia tahu sekejap lagi sang algojo tadi akan menggunakan dahan dan reranting yang ditetak putus darinya untuk dijadikan kayu api. Pokok rambutan itu gembira kerana dia tahu, walaupun dia lemah namun dia dapat memberi manfaat.

Kalian dan kita... walaupun minoriti, walaupun disakiti, walaupun dicerca dimaki, jangan sesekali kita ralat untuk memberi manfaat kepada manusia lain.

Solusi.

Hanya satu sahaja penawar bagi kesakitan 'dicantas' iaitu sabar dan taqwa. Itulah dia 'istimewa'. Kerana taqwa ialah pembeza, maka ia juga ialah kunci bagi penyambungan antara iman dan kufur. Maksud saya, jika seorang itu bertaqwa, dia sedar bahawa dalam keadaan dia menjadi 'minoriti' di pundaknya ialah tanggungjawab berdakwah.

Lama-kelamaan, yang minoriti tadi akan menjadi majoriti.

Demi Allah, aku benar-benar rindukan saat itu!

 
Previous
Next Post »
7 Komentar
avatar

alhamdulillah. insyaAllah, artikel ni mampu beri kekuatan pada golongan minoriti. minoriti mungkin sikit, tapi x seorang. Allah bersama orang2 yang meneguhkan agama-Nya. jzkk..

Balas
avatar

entri ni membuatkan nis berfikir panjang.
hmmmm

Balas
avatar

sy dr glongan minoriti yg xmnyumbang apa2 mungkin T.T

Balas
avatar

Saya memerlukan komentar dan pandangan berkaitan dengan artikel baru yang saya tulis di blog saya.Mungkin saudara mempunyai pandangan dan komentar yang berbeza dengan saya dan diharapkan sama2 kita berkongsi pandangan dan komentar itu kearah kebaikan.Sekian terima kasih.

Balas
avatar

Assalamualaikum.

Terima kasih atas perkongsian

Balas
avatar

nice entry iqbal...entry ini buat sy berfikir...quality lebih penting dari quantity..jd biar pun minority tp quality ttg islam itu hebat dan sanggup berjuang n berdakwah demi Islam walaupun dgn jumlah yg sedikit...

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443