Cerpen: Akhirat dalam dunia

Sebuah lukisan lama yang tergantung kemas di dinding rumah kecil itu dipandangnya lama. Gambar deretan kedai lama tahun 60-an memberi seribu macam pengertian dan makna, membangkitkan memori insan-insan yang berkesempatan hidup di zaman itu.

Fadhil Azizi tersenyum sendiri. Masih terngiang-ngiang di telinganya cerita-cerita daripada arwah datuknya tentang zaman awal selepas merdeka dahulu. Dahulu, masyarakat hidup serba dhaif. Teknologi terhad, bahkan tidak juga sehebat dan segarang kini. Datuknya, Tok Ali dibesarkan di kampung. Ya, benar-benar orang kampung. Terpaksa berjalan kaki sejauh 10 kilometer sehari untuk ke sekolah, mandi sungai, memancing ikan sembilang sebesar tapak tangan dan bermacam-macam lagi perkara yang hampir semuanya tidak pernah Fadhil Azizi buat.

"Fadhil tersenyum sorang-sorang ni kenapa?"

Satu suara wanita yang serak-serak menjentik halwa telinga Fadhil Azizi. Lantas dia berpaling ke arah suara itu.

"Taklah. Fadhil cuma teringat dekat arwah atuk...", balas Fadhil Azizi sambil tersenyum. Matanya kelihatan seperti tertutup saat dia melemparkan sebuah senyuman indah buat wanita tua yang berjalan lambat-lambat ke ruang tamu lalu duduk di sofa, sebelahnya. Tangannya yang berkedut memegang erat sebuah gelas, yang Fadhil Azizi yakin, dalamnya ialah susu.

"Nenek tak tidur lagi ke?", tanya Fadhil Azizi kepada wanita tua itu. Wanita itu ialah neneknya, Hajah Esah. Ya, wanita itu ialah isteri kepada arwah datuknya yang sudah lebih setahun pergi mengadap Ilahi.

"Entah. Nek belum dapat tidur lagi...", balas Hajah Esah sambil menghirup susu yang masih berasap dalam gelas yang dipegangnya kemas. Wajahnya yang sedia berkerut, nampak semakin ketara kedutannya saat bibir tuanya bertemu dengan bibir gelas. Mungkin kerana minuman itu masih panas, barangkali begitu.

"Nenek gembira tengok kamu...", tiba-tiba Hajah Esah bersuara, sayu. Gelas tadi diletakkan di atas meja kayu. Matanya yang jelas sudah kabur dimamah usia yang lanjut, memandang tepat kearah cucunya. Cucunya yang sentiasa dirindui, cucu yang juga selalu muncul dalam mimpi, juga cucu yang selalu bermanja dengannya suatu ketika dahulu.

"Maafkan saya nek..", Fadhil Azizi bungkam. Ditundukkan kepalanya memandang lantai lantaran diburu rasa bersalah. Tanpa rasa berat hati, dia mengakui kesalahannya. Dia gagal untuk melawat neneknya sejak 3 tahun yang lepas. Puncanya tetap satu, iaitu dia berada jauh di bumi Madrid, Sepanyol. Dia melanjutkan pelajarannya dalam bidang kejuruteraan pembuatan di sana.

Kerana kos hidup yang tinggi, ditambah pula dengan bantuan biasiswa yang sentiasa tidak mencukupi, Fadhil Azizi hanya mampu menangis di atas sejadah saat kerinduan kepada datuk dan neneknya memuncak. Bahkan, saat dikirimkan khabar daripada bapanya tentang kematian arwah datuknya, Fadhil Azizi hanya mampu menyambut dengan tangis.

Empangan air matanya pecah, juga hatinya. Terkapai-kapai tangannya mahu pulang ke bumi tercinta. Cuma, dia manusia yang tidak diciptakan dengan sayap. Ah, sekiranya punya sayap, pasti dia akan rela terbang beribu batu untuk pulang.

Kini, selepas 3 tahun dia mengutip mutiara ilmu di bumi Andalusia, dia pulang juga akhirnya dengan sebuah kekesalan iaitu dirinya hanya sempat bertemu dengan batu nisan arwah datuknya.

"Tak apalah Fadhil... Nenek faham. Apapun, nenek rasa bersyukur dan seronok sangat kamu sudah pulang semula..", luah neneknya. Dimaniskan kembali wajah tuanya, membangkitkan aroma ceria kembali pada isi rumah itu.

Mereka berbual mesra beberapa ketika sehingga Hajah Esah menguap beberapa kali. Akhirnya, dia ke kamar, meninggalkan cucunya yang masih setia duduk di sofa kayu di ruang tamu, melayan kenangan yang pernah muncul antara dia dengan arwah datuknya. Tanpa sedar, dia menangis sendirian di hadapan lukisan klasik di dinding sana.

***

"Fadhil... bangun... bangun.."

Fadhil Azizi yang sedang enak melingkarkan tubuhnya dalam selimut tersedar apabila merasa sentuhan di kakinya.

Dengan malas-malas dan susah payah, dia cuba membuka mata. Dilihatnya, wajah Tok Ali sedang tersenyum tenang, duduk di hujung kakinya.

"Fadhil... bangun. Nak masuk waktu subuh dah ni..", suaranya lembut, memecah hening pagi di Kampung Seri Kekwa.

Fadhil Azizi yang ketika itu masih lagi bersekolah rendah, duduk. Dia mengesat-ngesat matanya. Rasa mengantuk masih kuat memburu, hingga hampir-hampir saja dia kembali ke pembaringan sebelum suara datuknya sekali lagi menyeru dia untuk berganjak ke bilik air. Akhirnya dia bingkas jua.

Dari rumah kayu beratap zink dan bercat putih, mereka berdua berjalan seiringan ke masjid al-Hamdaniyyah yang cuma kurang seratus langkah sahaja. Fadhil Azizi memakai baju sebanyak tiga lapisan! Bukannya apa, di kampung ini, subuhnya luar biasa sejuknya hingga kadangkala ia menikam hinga terasa di hujung-hujung tulang. Berbekalkan sebuah lampu suluh yang perlu diketuk-ketuk sedikit untuk ia memancarkan cahaya, mereka berselawat perlahan, diketuai oleh Tok Ali pastinya.

Subuh itu, sebagaimana  juga waktu-waktu solat yang lain, diimamkan oleh Tok Ali. Ya, dia ialah imam di kampung ini. Ketua dalam segala yang berkaitan dengan agama.

Tok Ali, lelaki tua yang kaya dengan senyum serta cantik dengan budi, bukannya orang yang terpelajar pun. Itu yang diberitahu kepada Fadhil Azizi.

"Atuk ni tak sempat nak belajar. Tak pernah ada peluang nak belajar pun. Sejak kecil sudah masuk hutan. Membesar di sana, bersabung nyawa untuk membesar dengan dikelilingi oleh binatang buas dan berbisa. Ah, terlalu besar bezanya antara zaman atuk dahulu dengan kamu sekarang ni..."

Fadhil Azizi terenyum sebentar. Ternyata apa yang dibicarakan itu benar.

Selesai solat subuh berjemaah, dia, datuk dan juga neneknya bersarapan. Bersarapan bersama, dengan erti kata yang lain, Fadhil Azizi akan turut serta bersama datuknya ke dusun sebentar nanti! Pastinya dia tidak boleh tidur selepas solat subuh, seperti kebiasaanya selalu.

Ubi kayu rebus dimakan bersama kelapa dan dipadankan pula dengan kopi panas. Ah, nikmatnya terasa sampai ke hujung kerongkong!

Tidak lama selepas bersarapan, Fadhil Azizi menyarung sehelai seluar panjang. Tali kasut diikat kemas, lalu dicapainya sehelai tuala kecil, dibelit pada lehernya. Cuti persekolahan itu benar-benar mahu dihabiskan bersama datuk dan nenek. Ini bukanlah kali pertama, bukan juga yang kedua dia menghabiskan cuti bersama dua insan yang melahirkan dan membesarkan bapanya, bahkan sejak dia masih bayi lagi, dia banyak dibesarkan di sini, di kampung ini kerana ayah dan ibunya sering ke luar negara atas urusan kerja. Lalu, dia banyak benar merasa kasih sayang daripada dua insan ini. Mereka terlalu istimewa, bahkan.

"Fadhil... tolong atuk...", pinta Tok Ali lembut. Dia memikul sekarung baja, untuk ditabur pada anak pokok yang baru sahaja belajar untuk meneroka langit. Deretan anak-anak pohon langsat, tersusun kemas, menunggu untuk diberi baja dan juga siraman.

Pagi itu, kerja Fadhil Azizi tidak banyak, sekadar membantu mengurus anak-anak pokok itu. Datuk dan neneknya, lebih berat bahkan. Kerja cangkul mencangkul, walau jerih, masih tetap mampu ditanggung oleh tulang-temulang mereka yang sudah berusia. Ya, mereka masih kuat, masih sihat.

Menghampiri tengahari, mereka beriringan pulang. Fadhil Azizi tidak berehat lama. Baru sahaja matanya mahu tertutup dek asyiknya dengan pupuk-pupuk angin di bawah perdu pohon rambutan, Tok Ali bersuara kuat dari jendela.

"Sudah lah tu Fadhil... pergi siap-siap. Zuhur tak lama lagi..."

Dengan senyuman hambar, terus sahaja lelaki tertubuh kecil itu ke bilik air.

Malam, selesai solat isyak, Fadhil Azizi akan belajar kitab dengan datuknya. Walaupun Tok Ali bukan orang yang pandai membaca tulisan rumi, tetapi dia cukup hebat dalam membaca dan menulis tulisan jawi. Kitab kuning, usang bahkan, ditatap lama oleh Fadhil Azizi. Matanya yang bujur, sekejap dijegilkan, sekejap dikecilkan pula. Iya! Itu masalahnya. Kitab lama, tulisannya pun lama, bahkan kecil. Pun begitu, bimbingan daripada Tok Ali sekali pun tidak memberatkannya, bahkan memudahkan pula. Semuanya.

"Fadhil tahu apa itu dunia?", Tok Ali cuba memerangkap.

Fadhil Aizizi tergelak kecil. Segera dilengkup mulutnya dengan tangan, menahan tawa dari terus berjela.

"Apa soalan atuk ni? Siapa tak tahu dunia? Dunia itu, semua inilah...", jawab Fadhil Azizi sambil kedua belah tangannya diangkat sambil kepalanya menoleh ke kiri dan ke kanan.

"Kalau begitu, apa itu akhirat?", tanya Tok Ali lagi. Dia kini tersenyum, pasti tersirat.

"Akhirat, itu perkara yang belum berlaku", balas Fadhil Azizi pula.

"Jika begitu, apa beza dunia dengan akhirat?"

Diam. Serta merta lelaki bertubuh kecil yang sedang memakai baju nipis berwarna biru itu diam. Diam bukan bererti dia mati akal, cuma otaknya sedang  bekerja keras untuk menggali sebuah jawapan. Berkerut kerut dahinya, walau tadi ia tenang.

"Dunia, segala yang ada sudah ada, tapi akhirat, belum ada", akhirnya jawapan itu terluah.

Tok Ali ketawa kecil. Senyumannya meleret. Anak murid kepada Tok Guru Haji Ibrahim Kuala Semberang itu memandang cucunya. Tajam dan tenang.

"Kurang tepat itu. Jika akhirat belum ada, mengapa Rasulullah s.a.w berpesan agar kita mencari akhirat? Adakah ia bererti, kita, mencari suatu yang tidak ada?"

Tersentak Fadhil Azizi. Wajahnya berubah rasa. Tergamam dia sebentar. Bukan apa, dia cuma tidak terfikir, bahkan tidak pula menyangka akan itu.

Lama dia terdiam. Sesekali memandang lantai dan lama memandang wajah tenang Tok Ali.

"Akhirat itu ialah segala-gala yang membawa kita untuk mendekati dan mengenali Baginda s.a.w. Kerana itu, ia sentiasa wujud sejak di dunia lagi, dari dahulu sampailah akan datang", terang Tok Ali lembut.

Fadhil Azizi mendengar dengan teliti. Sesekali kepalanya diangguk-angguk sedikit.

"Akhirat sentiasa ada. Contoh ialah komputer. Zaman atuk dulu, mana ada komputer! Kalau ada pun, itu pada zaman ayah kamu. Orang selalu fikir yang komputer ini ialah dunia. Ya, memang pada sudut pandang zahir, komputer ini sifatnya duniawi. Tapi menurut pengertian ulama sufi, itu ialah akhirat sekiranya kita menggunakan komputer tadi untuk memperkasakan diri kita dengan kefahaman islam", terang Tok Ali lagi.

"Sama juga dengan kereta. Orang sebut-sebut yang kereta ialah sifat dunia. Tidak salah. Tapi ia juga bekalan ke akhirat sekiranya ia digunakan untuk kebaikan"

"Kerana itu Allah berfirman dalam ayat 77 pada surah Al-Qasas. Kita dituntut untuk mencari akhirat, iaitu mencari redha Ilahi dengan setiap benda yang ada pada kita. Kereta, komputer, emas, telefon... apa-apa saja boleh dijadikan bekal akhirat, jika matlamat dan niatnya ialah ke sana".

Fadhil Azizi tersenyum. Dia faham, benar-benar dia mengerti. Malam itu, dia belajar suatu benda baru yang membawa dirinya mengenali dunianya.

"Fadhil nanti besar nak jadi apa?", tiba-tiba saja Tok Ali bertanya.

"Engineer", balas Fadhil Azizi laju. Senyuman manis melekat di bibir.

"Baguslah jika Fadhil minat itu. tapi ingat kata atuk tadi... walau kita menuntut ilmu dunia, ia akan menjadi pulangan berbentuk pahala yang menggunung jika kita gunakan untuk mencari akhirat. Jadilah engineer yang menyumbang kepada islam...", Tok Ali memegang bahu Fadhil Azizi. Pandangan mata mereka bertembung. Nampak benar ada kesungguhan di balik sinar matanya yang berkaca-kaca itu.

Fadhil Azizi mengangguk, menguntai janji.

"Ni... atuk nak beri satu benda ni...", Tok Ali bangun.

"Atuk nak beri apa?", tanya Fadhil Azizi hairan. Kepalanya didongak keatas, memandang datuknya yang sudah berdiri dan berpusing.

"Tunggu jap... atuk nak ke bilik..", balas Tok Ali lalu beredar meninggalkan Fadhil Azizi yang masih duduk bersila atas lantai du ruang tamu itu.

Kesempatan itu digunakan untuk berfikir. Ya, dia berfikir dan sedang menghadam ilmu-ilmu baru yang diterima daripada datuk tercinta.

"Kriiinnnggggg!!!" "Kriiinnnngggg!"

Bunyi telefon di meja mengejutkan Fadhil Azizi. Hajah Esah yang sedang membuat adunan kuih tepung pelita menjerit perlahan di dapur, menyuruh Fadhil Azizi menjawab telefon. Segera Fadhil Azizi ke menganggkat ganggang.

"Assalamualaikum..", dia membuka bicara.

"Waalaikumussalam...", kedengaran satu suara garau di hujung talian. Suara yang sentiasa dirindu, suara bapanya!

"Ayah... kenapa telefon malam-malam buta ni? Takkan baru seminggu Fadhil kat sini, ayah sudah rindu?", tanya Fadhil Azizi sambil berseloroh. Dia ketawa kecil.

"Seminggu apanya? Dua tahun dah...", balas ayahnya penuh curiga.

"Er...", Fadhil Azizi terdiam. Dia hairan, bahkan. Segera dia bertanya, "Ada apa ayah?"

"Ayah nak beritahu, tapi ayah harap Fadhil dapat bersabar banyak-banyak ya nak. Ayah minta maaf", sayu suara ayahnya.

Serta-merta Fadhil Azizi diburu rasa cemas. "Kenapa ayah?"

Senyap sebentar. Satu keluhan berat terdengar di hujung talian.

"Atuk baru meninggal setengah jam yang tadi. Dia rebah masa orang baru habis solat jumaat tadi...", terang ayahnya.

"Haa?", Fadhil Azizi terkejut.

"Atuk ada dengan saya sekarang! Apa ayah merepek ni? Saya kan dekat kampung!", Fadhil Azizi bersuara keras. Dia hairan dan terkejut, bukannya sedikit!

"Astaghfirullah... sabar nak.. Mengucap... Fadhil kan dekat Madrid sekarang...", ayahnya memujuk, sayu.

Sekelip mata, ruang tamu rumah kayu itu berubah. Sekelilingnya, bukan lagi kayu-kayu tapi dinding batu. Pakaiannya bukan lagi kain pelikat, tapi seluar panjang tebal. Ya! Dia di bumi Andaluasia!

"Atuk meninggal?"

"Atukk....!!!"

"Atukk...!"

"Atuuuuuuukkkkkkkkkkkkkk!!!"

"Ya Allah.. Fadhil.. bangun.. Bangun...", Haja Esah menggoyang-goyangkan tubuh Fadhi Azizi yang sedang berbaring di atas sofa. Tangan lelaki itu bergerak-gerak, pastinya tanpa sedar.

Fadhil Azizi tersedar apabila merasakan namanya dipanggil-panggil dan bahunya ditolak kasar. Matanya terbuka, luas dan penuh dengan tanda tanya. Matanya basah sedikit, kesan menangis.

"Ya Allah... kamu mimpi apa sampai terjerit-jerit ni?", tanya Hajah Esah. Dia sedang dalam pakain solat. Telekung putih bersih membalut tubuh tuanya. Dia duduk bertentangan dengan Fadhil Azizi yang masih nampak kehairanan dan sedikit terpinga-pinga.

"Saya mimpikan atuk...", perlahan Fadhil Azizi bersuara. Sayu. Hampir-hampir air matanya tumpah tapi tetap ditahan ia.

Hajah Esah tersenyum kelat. "Sabarlah ya... InsyaAllah atuk sedang berehat di alam sana. Dah la.. Fadhil bangunlah ya. Sudah pukul 5 pagi ni. Setengah jam lagi masuk waktu solat subuh dah..."

Fadhil Azizi yang sedang duduk bersila di sofa yang menjadi tempat tidurnya malam itu mengangguk-angguk.

Hajah Esah berdiri. Sebelum dia pusing, dia sempat berkata, "Lagi satu... kenapa Fadhil tidur di ruang tamu. Bilik kan ada.. Ish.. kamu ni memang... Sudahlah... sekarang kamu pergilah solat. Doakan atuk. Pastinya dia sedang menunggu-nunggu doa daripada kita..."

Fadhil Azizi mengangguk lagi. Saat bayang-bayang neneknya tenggelam di balik pintu, Fadhil Azizi teresak-esak sendiri. Tanpa tanda, tanpa jemput dan tanpa dibuat-buat, air matanya tumpah.

"Atuk... Fadhil rindukan atuk..."

Pagi itu, Fadhil Azizi memanjatkan doa istimewa buat arwah datuknya dengan harapan. Dia rindu, terlalu rindu...
Previous
Next Post »
8 Komentar
avatar

dunia yang semakin tua

kita pon dah semakin pelupa

Balas
avatar

kampung seri kekwa.... hmm, bagus2!! teruskan :)

Balas
avatar

kamu dah tulis banyak cerpen.mudahan-mudahan satu hari nanti ad rezeki publish buku buat kompilikasi nvel pilihan dan tulisan Iqbal Syarie.ameen.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443