Celupan.

         
Siapa kenal dengan Michael H. Hart? Saya yakin ramai yang tak kenal. Tapi jika saya beritahu tajuk buku yang dia karang, pasti kita tahu. Beliau ialah penulis buku The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History yang mana di dalam buku ini, beliau menyenaraikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai manusia yang paling hebat, paling berpengaruh, dan paling berkarisma.

Itu dia, seorang yang bukan islam. Menurut beliau, Nabi Muhammad bukan sahaja berjaya dalam sudut keagamaan, tetapi Baginda berjaya memahat kejayaan- mengeluarkan gelap daripada matahari hingga sinarnya melepasi awan kemurungan sebuah tamadun jiwa.

Orang arab di zaman Baginda dikenali sebagai Jahiliyyah bukanlah kerana mereka bodoh. Mereka tak jahil. Dalam kalangan mereka, ada ahli muzik, pemidato, penggiat seni, pedagang, dan berbagai. Tapi jahiliyyah mereka tercermin pada perilaku mereka. Anak perempuan dibunuh. Judi dan arak sebagai kemegahan. Peperangan dan permusuhan sebagai warisan. Merompak dan menyamun sebagai pekerjaan. Gadis sunti sebagai alat mainan. Ah, pendek kata mereka ialah kalangan manusia yang rosak!

Tapi, kedatangan Rasulullah berjaya mengubah alam gelap menjadi bercahaya, indah tanpa peri. Bahkan, sinarnya berjaya lolos pada jaring angkasa hingga bertebaran cahanya menerangi pelusuk buana, hari ke hari. Dan dari mana kejayaan ini datang? Jawapannya cuma satu; ittiba'ir rasul. Mengikuti jejak langkah Rasulullah S.A.W.

Saban tahun, kita menyambut maulidurrasul. Kita memuja, kita menyanjung. Tetapi kita sering terlupa bahawa Baginda bukan diutus untuk kita puji dan kita puja semata. Baginda tak diutus untuk kita sanjung dan kita junjung juga. Sebaliknya peranan Baginda adalah jauh lebih besar. Baginda diutus untuk kita turuti, kita contohi. Jika hanya untuk disanjung-sanjung dan dipuja-puja, cukuplah dengan Allah ciptakan pemain bola sepak atau artis sahaja. Tapi itulah.... Rasulullah ialah seorang manusia yang mutlak menjadi pemimpin kita; tanpa ternafi lagi.

Saudara semuanya.
Kita maklum bahawa setiap jiwa yang mengucap syahadah... mereka semuanya sedang memintal janji untuk menjadikan Allah sebagai satu-satunya sembahan, dan dalam masa yang sama, mengulum sepakat untuk menjadikan Muhammad Bin Abdullah sebagai ikutan; yang mana setiap satu yang dilakukan olehnya, turut sama kita lakukan.

Tapi dalam dunia ini, memang wujud satu golongan manusia yang bersyahadah tetapi taknak ikut Rasulullah. Syahadahnya kosong daripada penghayatan dan pembuktian. Yang ada cuma kalimah-kalimah yang terbentuk daripada liang-liang nada sahaja. Siapa mereka ini?

Mereka ialah golongan munafik. Apa yang Rasulullah suruh mereka buat, mereka taknak buat; cuba bersembunyi dibawah kelambu alasan. "Rumah kami terbuka dan tak dijaga", "Kami tak larat", "Panas terik", "Aku takut nanti aku terjerat dalam fitnah perempuan Rom yang cantik-cantik", dan macam-macam.

Mengapa berlaku penafian atas arahan? Jawabnya, kerana disana ada keraguan. Dan bagaimana keraguan ini mengikat sendi tubuh daripada mendakap ketaatan? Jawabnya, kerana tika itu, imannya telah rosak. Telah mereput.

Kerana yang pasti, jika sekiranya kita ini orang yang yakin dengan Rasulullah, maka kita pasti akan ikuti Baginda. Saya ulang, kita pasti akan!

Allah terangkan dalam ayat 31 surah ali-Imran bahawa sesiapa yang mencintai Allah, maka dia hanya tinggal dengan satu pilihan sahaja untuk dia jujur dalam cintanya, iaitu dengan mengikuti Rasulullah! Tak ada cara lain lagi.

Adapun orang kafir Quraisy, mereka mahu mendekatkan diri dengan Allah dengan cara yang salah, serong, dan songsang. Allah rakamkan dalam ayat 3 surah Az-Zumar. Orang kafir ini... saat mereka ditanya mengapa perhambaan diri mereka suburkan kepada patung-patung... mereka pun menjawab; "Kami tidak menyembah patung berhala ini melainkan agar kami semakin dekat dengan Allah"

Cara mereka salah, langsung tertolak. Dusta! Batil! kerana yang hanya tertinggal, ialah ikut Rasulullah. Maka, kita dah jelas dengan sejelas-jelasnya bahawa mengikuti Rasulullah bukan lagi sunat, bukannya kita boleh pilih nak buat atau tidak... sebaliknya ia adalah kewajipan dan kemestian; jika sekiranya kita benar-benar mahukan syurga!

Yang tak faham... akan beranggapan: Tak perlulah nak ikut semua...
Habis? Kalau kita tak ikut Nabi, kita nak ikut siapa?
Jawablah. Kita nak ikut siapa?

Dan siapa lagi yang tinggal padanya syafaat untuk kita tagih, tali dan pelampung untuk kita menjengah syurga?

Saudaraku,
Disaat Allah memerintahkan kita sesuatu perkara, kita kena ingat... bahawa setiap suruhan Allah, padanya wujud kejayaan dan keuntungan. Tiada satu yang merugi. Tiada satu yang mengurangi! Sama dengan bab ittiba'ir rasul. Bila Allah perintahkan kita untuk mengikuti nabi-Nya, maka sudah tertanam mata pena, bahawasanya Dia akan memberikan kita dua bentuk kebaikan; Kebaikan di dunia yang fana, juga kebaikan di akhirat yang abadi.

Di dunia, Allah akan beri kita lima kebaikan utama:

•Cinta dari Allah (مَحَبَّةُ اللهِ)
•Rahmat dari Allah (رَحْمَةُ اللهِ)
•Hidayah dari Allah (هِدَايَةُ اللهِ)
•Kemuliaan (اَلْعِزَّةُ)
•Kemenangan (اَلْغَلَبَةُ)

Dan di akhirat, Allah akan berikan kita juga lima kebaikan utama:

1.Mendapatkan Syafaat (اَلشَّفَاعَةُ)
2.Keceriaan Wajah (نُضَارَةُ الْوَجِهِ)
3.Mendampingi Rasulullah (مُجَاوَرَةُ الرَّسُوْلِ)
4.Bersahabat dengan Orang-orang Soleh (مُصَاحَبَةُ)
5.Kemenangan (اَلْفَلاَحُ)

Saya akan ulas satu persatu, dari masa ke masa. Buat masa ini, tanamkan azam. Bulatkan niat. Kukuhkan kemahuan. Jangan lupa menggigit cita-cita, ikut Nabi!
          
Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

Barakallah,

moga senantiasa thiqah di jalan Rasulullah, dan para salaful ummah

minal habbah tansya' as-syajarah :)

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443