Tak percaya? Cuba tanyakan soalan, "Adakah kerajaan kita zalim?"
Maka kita akan dapat dua trend jawapan.
Penyokong Barisan Nasional akan berkata, "Kerajaan cuma melakukan apa-apa yang perlu untuk menjamin kelestarian dan kestabilan negara"
Manakala penyokong Pakatan Rakyat pula akan berkata, "Kerajaan Barisan Nasional zalim!"
(kita abaikan satu golongan lagi iaitu golongan yang tak mahu ambil peduli lansung soal politik)
Apabila kita ada dua pandangan yang berbeza, maka sewajibnya kita kembali kepada sumber rujukan utama kita sebagai umat islam iaitu al-Quran dan Hadis. Sewajibnya, soalan 'zalimkah' itu kita jawab mengikut ukuran al-Quran dan hadis.
Barulah kita dapat lari daripada persepsi, perselisihan, dan kita dapat menemukan jawapan yang muktamad bagi persoalan ini.
Dalam al-Quran, ada beberapa teladan daripada kisah ketua-ketua kerajaan daripada umat terdahulu. Antara yang semua orang maklum adalah kerajaan Firaun dan juga kerajaan Nabi Sulaiman.
Ada juga kerajaan-kerajaan seperti Jalut dan Talut, kerajaan Nabi Yusuf, kerajaan dalam kisah pemuda kahfi, kerajaan dalam kisah ashabul ukhdud, kerajaan Namrud, dan beberapa lagi yang sedikit asing pada kita.
Kita ambil dua yang common sahaja untuk perbandingan. Kerajaan Nabi Sulaiman dan kerajaan Firaun.
Kita tengok bagaimana Firaun memerintah.
Pertama, Firaun menindas (masa itu ialah bangsa Yahudi). Mereka menindas dengan menidakkan hak, memperbodohkan, memeras ugut, memperhambakan, dan sebagainya.
Kedua, kerajaan Firaun membuat perlembagaan yang tak masuk akal seperti setiap anak lelaki yang lahir akan dibunuh.
Ketiga, dalam kerajaan Firaun ahli sihir, pemuzik, dan pengampu diberi tempat yang istimewa di sisi pemerintah.
Keempat, kerajaan Firaun memiliki pasukan tentera yang patuh kepada pemerintah secara membabi buta.
Kelima, kerajaan Firaun memiliki pemerintah yang ego, mengaku dirinya sebagai Tuhan, takabbur, dan sombong.
Jika lima ciri ini wujud dalam pemerintahan kita pada hari ini, maka itu petanda ada 'zalim' yang perlu diubati.
Kemudian kita lihat pula kerajaan Nabi Sulaiman.
Pertama, pemerintahnya sangat merendah diri, soleh dan taat kepada Allah.
Kedua, pemerintahnya bijak menyelesaikan masalah rakyat jelata serta bersedia mendengar keluhan dan permasalahan mereka.
Ketiga, pemerintahan itu dihormati bukan ditakuti apatah lagi dibenci.
Keempat, pemerintah itu sangat berhati-hati dalam menggunakan aset dan kekuasaannya agar dia tidak menganiaya walaupun kepada seekor semut.
Kelima, pemerintah itu sentiasa bercita-cita untuk menyebarkan agama islam kepada kerajaan jiran.
Jika wujud ciri-ciri ini, maka itu petanda kepada wujudnya keadilan.
Adil juga boleh dilihat dalam sejarah, melalui teladan para Anbiya' dan khilafah yang mengikut acuan para Nabi. Kita boleh ambil contoh bagaimana telitinya para sahabat Nabi dalam menguruskan harta negara sampaikan ada mereka yang bergelar ketua negara tetapi tidak memiliki apa-apa pun kecuali beberapa helai pakaian dan beberapa keping roti sahaja.
Ada pemimpin yang tak tidur malam semata-mata mahu memastikan urusan rakyatnya terjaga.
Ada yang sanggup bergelap di tengah-tengah malam kerana takut sekiranya pelita yang memancarkan api itu digunakan untuk kepentingan peribadi, bukan untuk negara.
Ada yang pakaiannya hanya sepasang, yang tiap-tiap kali lepas solat di masjid, dia terpaksa bergegas pulang kerana isterinya memerlukan pakaian yang dipakainya untuk dia menutup aurat dalam solat.
Sampai macam tu sekali takutnya mereka untuk menjamah sesuatu yang diamanahkan kepada mereka, yang bukan untuk mereka miliki.
Hinggakan jika susah, biar pemerintah yang susah dahulu.
Dan jika senang, biar pemerintah yang terakhir sekali.
Saya teringat balik kepada satu peristiwa yang berlaku pada diri saya. Semasa saya baru sahaja keluar daripada kereta (balik daripada kerja), seorang kanak-kanak dalam likungan 10-11 tahun datang kepada saya,
"Pak cik, boleh tak beri saya sedikit duit? Emak sudah 2 hari tak masak nasi. Beras dekat rumah dah habis. Tak ada duit nak beli"
Saya cukup kenal dua budak perempuan itu. Adik-beradik. Tiap kali kalau surau ada buat jamuan atau kenduri, mereka pasti akan tebalkan muka untuk meminta makanan untuk dibungkus dan dibawa pulang. Bukan satu bungkus. Bukan dua bungkus, tapi lima bungkus!
"Satu untuk ayah, satu untuk emak, dua untuk adik, dan satu lagi untuk kakak"
Saya tak rasa kalau di rumah kita ada makanan, kita nak meminta-minta sebanyak itu dengan orang.
Demi Allah,
Masih terlalu ramai orang yang susah di Malaysia. Dalam kejiranan kita sendiri pun mesti ada satu atau dua keluarga yang miskin. Hidupnya serba kekurangan dan tidak mencukupi. Anak orang lain pergi sekolah pakai kasut baru, anak dia pakai kasut yang sama sejak 3 tahun lepas. Anak orang lain lepas sekolah pergi kelas tuisyen, anak dia lepas sekolah terpaksa tolong emak berniaga kuih di tepi jalan.
Lepas tu datanglah 'orang kerajaan' memberikan 'saman' kerana si ibu tidak ada duit untuk mendapatkan lesen berniaga.
Kemudian, datang pula cukai yang pelbagai. Segala macam subsidi mahu ditarik. Petrol dan gula, kedua-duanya macam oksigen bagi orang susah. Perbezaan 20 sen mungkin nampak kecil, tapi bagaimana dengan orang-orang yang hidup mereka hanya 'mampu menyimpan 20 sen'?
Rakyat yang sedia susah, tambah disusahkan.
Umpama seseorang yang ditikam perompak, dua kali. Tikaman pertama yang mencederakan dan tikaman kedua yang membunuh!
Bertaqwalah kepada Allah.
Abu Dzar R.A, seorang lelaki yang berani menyatakan keislamannya di tengah-tengah kota Mekah (masa awal islam) dan dibelasah hingga separuh mati oleh orang kafir, pernah meminta agar dia diberikan sedikit jawatan dalam pemerintahan islam.
Lelaki sebaik dan sehebat itupun dinasihati oleh Rasulullah S.A.W, “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah, sementara kepimpinan adalah amanah. Dan sesungguhnya pada Hari Kiamat ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambil dengan haknya dan menunaikan apa seharusnya ia tunaikan dalam kepemimpinan ini"
Maka sebagai rakyat jelata, izinkan saya berpesan,
Jika sekiranya tujuan kamu menjadi pemerintah adalah untuk memudahkan kehidupan kamu dan kaum keluargamu sahaja, dan menyusahkan kami orang kebanyakan, maka kezalimanmu akan menolakmu masuk ke dalam azab yang hina.
Dan jika kamu yang membuang kertas undi juga membuang undi dengan maksud mahu mengangkat pemimpin sebegitu, sedang kamu mengetahui, maka kamu telah bersubahat dengannya.
Allah suruh kita saling bantu-membantu dalam urusan kebaikan.
Allah yang sama jugalah yang mengharamkan kita bantu-membantu dalam soal kerosakan dan kezaliman.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443