October 29, 2016

#55 Kehidupan yang simple

Semua orang mahukan kehidupan yang mudah. Tidak komplikated. Bebas melakukan apa yang dia mahu dan bebas pergi mana-mana saja yang mereka suka. Tapi tak ramai yang faham bagaimana kehidupan yang mudah itu sebenarnya.

Kehidupan yang mudah bukanlah kehidupan tanpa usaha. Setiap benda yang kita mahu, ada harganya.


Pernah suatu ketika seorang alim berjumpa dengan kawannya dahulu sama-sama alim juga. Dia terkejut melihat keadaan sahabatnya yang nampak tidak terurus dan miskin. Dia tanya, "Apa yang menyebabkan keadaanmu begini?"

Jawab sahabatnya, "Kecintaanku pada akhirat dan kebencianku kepada dunia menyebabkan aku tidak mahu lalai mencarinya"

Orang alim itu berkata, "Kamu benar. Tapi bukankah Rasulullah S.A.W berkata, tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Mengapa kamu tidak mahu menjadi orang yang boleh memberi, tetapi menjadi orang yang menerima bantuan".

Sahabatnya itu insaf, "Kamu telah menyedarkanku".

Kehidupan yang simple, pertama, perlu tetap berpendapatan. Tidak sama antara berpendapatan tetap dengan tetap berpendapatan. Islam tak menyuruh kita ada kerja tetap, tetapi Islam menyuruh kita supaya berusaha dan tidak meminta-minta kepada orang.

Hinggakan Nabi S.A.W puji orang yang pergi ke hutan mencari kayu, dan memotongnya lalu dijual sebagai kayu api. Berusaha dengan kudrat sendiri jauh lebih baik daripada meminta dengan manusia.

Kerjalah apa sahaja. Jangan kejar glamour saja. Populariti tidak dapat membeli beras di pasaraya.

Kedua, hidup yang simple ialah bebas daripada pengaruh orang lain.

Manusia suka bercakap. Tapi bukan bermakna setiap cakap-cakap orang, kita perlu ikut. Orang keliling pasang ASTRO, kita terpengaruh. Orang keliling layan Akademi Fantasia, kita pun terpaksa layan. Orang lain menambah perabot dan perhiasan di rumah, kita pun tak mahu kalah. Akhirnya setiap yang orang buat, kita nak buat.

Maka hidup kita sampai bila pun tak akan tenang. Kita akan penat untuk memuaskan hati orang. Buat apa sahaja, mesti ada yang tak betul. Akhirnya memakan diri kita sendiri.

Ketiga, bebas hutang. Jika terpaksa berhutang, maka pilihlah pinjaman islamik. Dan jangan lupa beli polisi perlindungan takaful untuk hutang-hutang kita. Mudah-mudahan jika mati mengejut, takaful boleh cover segala hutang dunia kita dan semoga roh kita tidak ditahan oleh Malaikat daripada naik bertemu Ilahi.

Keempat, bijak berbelanja. Berbelanja ikut keperluan dan kemampuan. Jangan menambah hutang. Beli sesuatu yang benar-benar diperlukan. Bahkan perlu asingkan satu bahagian wang untuk sedekah sunnat dan zakat pendapatan. Ingat bahawa di dalam dompet kita, ada not-not kertas milik mereka yang meminta-minta dan tidak meminta-minta.

Kelima, menambah sahabat. Menjalinkan hubungan silaturrahim ialah suatu sangat elok dan dinilai baik oleh Islam. Bahkan dalam hadis disebut bahawa umur orang yang suka bersilaturrahim ini akan dipanjangkan Allah. Bila ramai sahabat, senang. Ada masalah, ramai yang boleh membantu.

Keenam, jauhi permusuhan. Jika ada orang buat tak baik kepada kita, bersabarlah. Jika tak mampu bersabar, maka jauhinya. Jika tidak boleh juga, maka gunakanlah lunas-lunas perundangan. Jangan bertindak melulu. Kekerasan fizikal bukan penyelesaian. Manusia yang jahat ialah manusia yang berpenyakit. Jika tidak mampu diubati, maka perlu dikuarintin.

Ketujuh, tegakkan Islam dalam kehidupan. Sempurnakan cycle kehidupan harian kita dengan seimbangkan antara tuntutan dunia dan tuntutan akhirat. Jika siang kita bekerja, maka malam kita beribadah dan berehat. Jangan terlalu gigih bekerja hingga tiada masa untuk melaksanakan ibadah sunnat seperti solat sunat, zikir, dan mengaji. Atau jangan juga terlalu asyik bersukan dan berhibur hingga dilalaikan daripada beribadah dan ingat Tuhan.

Kata Allah dalam surah al-Qosas, "Carilah apa-apa yang Allah berikan kepadamu untuk bekalan akhirat, tapi jangan pula kamu lupa bahagianmu di dunia".

Akhirat itu destinasi abadi kita. Rumah kita buat selamanya. Dunia cuma rumah tumpangan kita. Belum ada lagi manusia yang dikafan bersama tiang dan bumbung rumahnya. Tapi siapa kata kita tak boleh berseronok, berehat, dan bergembira di dalam rumah dunia kita sekarang?

Yang penting, siapkan bekal. Keretapi yang membawa kita ke alam barzakh bila-bila masa saja akan bergerak. Tiket dah dibeli, takut tuannya saja masih tertidur lagi.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails