#58 Sebelah biji mata

Mata ialah anugerah yang tidak ternilai. Ia hadiah yang sangat mahal daripada Tuhan kepada manusia. Tiada seorang pun manusia celik yang perlu membayar sewa atas nikmat Tuhan yang ini.

Saya teringat sebuah kisah yang terjadi pada seorang ahli ibadah di zaman bani Israel. Kisah ini agak popular dan seringkali diceritakan di mimbar-mimbar dan pentas-pentas ceramah. Kita fokuskan kepada pengajarannya.

Ada seorang a'bid (kaki ibadah) yang kerjanya cuma beribadah. Dia beribadah di dalam gua. Di depan pintu gua itu ada sebuah pokok yang berbuah lebat. Selama bertahun-tahun dia beribadah. Siang dan malam, tiada penat. Dia tidak meninggalkan tempat ibadahnya. Tiap kali dia lapar, pasti ada buah-buah yang gugur bergolek ke hadapannya dan dia memakannya.


Akhirnya suatu hari, dia meninggal. Lalu Allah berseru kepada malaikat saat rohnya sedang ditarik, "Masukkanlah dia ke dalam syurga dengan rahmat-Ku".

Si a'bid itu terkejut. "Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga-Mu kerana ibadahku kepada Mu".

Dia terlalu yakin dengan diri sendiri. Kononnya ibadahnya sudah cukup untuk membuatkannya ke syurga.

Lalu Allah berfirman kepada malaikat, "Baiklah. Timbangkanlah amal ibadahnya".

Amal soleh a'bid itu ditimbang. Semua amal solehnya sepanjang dia hidup diletakkan di sebelah neraca, dan sebelah biji mata diletakkan di hujung neraca yang lagi satu. Ternyata sebelah biji mata itu lebih berat daripada amal ibadahnya bertahun-tahun.

Begitulah kita semua. Nabi S.A.W yang terlalu sempurna itu sendiripun berkata. "Bahkan aku sendiripun masuk syurga kerana rahmat daripada Tuhanku".

Sama-sama fikir. Nikmat yang Tuhan bagi kepada kita ini tidak boleh dihitung dengan nombor, dan tidak boleh ditulis dengan huruf. Terlalu banyak namun terlalu sedikit disyukuri. Dengan sebiji mata ini pun kita masih gagal untuk bersyukur, inikan pula anggota tubuh badan yang lain.

Jika semuanya Tuhan mahu buat perhitungan, maka menggelupurlah kita. Bayangkan apa jawapan kita bila soalan-soalan tentangnya ditanya nanti.

Bersyukurlah dengan sebiji mata kita. Jika sepanjang umur ibadah pun tidak mampu membayar harga sebiji mata, bagaimana dengan yang lain-lain.

Terima kasih ya Allah atas mata ini.
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443