Perkongsian : Bersangka baik

Satu masalah yang timbul (lebih benar; ditimbulkan) masa proses dakwah ialah 'persangkaan'. Saya tidak gemar untuk menafikan suatu kebenaran, walau ia tepat terkena batang hidung saya. Suatu fakta yang jelas dilihat oleh biji mata zahir manusiawi. Kita terlalu mudah berbicara soal 'husnu dzon' tapi dalam masa yang sama, penghayatan kita seringkali bersanggahan dengan tutur kata kita itu.

Apa itu bersangka baik?

Di sana terletak pelbagai pentafsiran yang saya yakin, semuanya akan betul selagi ia tidak bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulallah.

Yang saya kurang berkenan ialah apabila kita terlalu menjunjung 'sangka baik' sehingga membawa kita kepada 'membutakan mata sendiri'. Saya sesekali tidak pernah diajar jua diperingatkan untuk membuat pembohongan kepada diri saya sendiri.

Saya letak sebuah situasi.

Satu ketika, kita berziarah ke rumah saudara yang paksi hidupnya condong ke barat (jauh dari islam). Lalu, disaat kita menghulur salam, tiba-tiba sahaja suara yang gamat di dalam rumah, serta merta bertukar senyap sunyi seperti tanah perkuburan.

Disaat dan ketika itu, kita akan memilih satu daripada dua bentuk persangkaan. Antara bersangka baik, atau bersangka buruk, yang mana satu akan kita pilih?

Bijak pandai yang faham tuntutan agama, pasti akan bersangka baik.

"Dia solat kot..."

"Dia tidur kot..."

"Dia bercakap dengan telefon kot..."

Itu jelas lebih murni daripada meletakkan sangkaan, "Biasalah... orang macam dia memang sudah ditutup hatinya. Langsung tak mahu mendengar nasihat-nasihat... bla.. bla.. bla..."

Saat mahu bersangka buruk, berjuta versi boleh kita reka.

Pun begitu, kita dapat lihat kepada suatu persamaan pada dua situasi berkenaan iaitu 'samar-samar'. Apa maksudnya?

Maksudnya, kita tidak melihat dengan mata kepala kita.

Jadi, disana harus kita letak pembahagi.

Jika seorang lelaki yang curi-curi makan tengahari di bulan Ramadhan, adakah kita masih memilih untuk bersangka baik sahaja?

Jika saya sudah lihatnya sendiri, saya akan bertanya. Ya, bertanya dahulu bukannya melulu menyerang.

Cuma suatu yang saya hairan. Disebalik kebijaksanaan kaum muslimin, masih ada yang sanggup menelan pembohongan diri sendiri. Sesudah jelas dilihat dan dibuktikan oleh lojik akal, juga dikuatkan dengan bisikan hati, masih lagi ada yang termagu-magu, terkeliru di suatu sudut, lalu membiarkan pesalah menari-nari diluar kandang. Kandang pesalah yang harus ditempati oleh si pelaku dosa, akhirnya kosong dan mengundang murka Ilahi.

Membiarkan pesalah disebalik bukti yang ada. Bukankah kita telah zalim?

Tunjang bagi semua, saya percaya, ialah hati.

Ya. Hati. Jika hati kita baik, maka persangkaan yang timbul juga baik-baik.

Saya suka membawa kita semua melihat bagaimana islam melayan 'persangkaan'. Di dalam hukum hudud, untuk ia terlaksana, si pesalah haruslah terbukti 100% bersalah.

Jika keyakinan hanya 90% dan selebihnya ialah keraguan, maka tergugurlah hukuman. Bukti harus solid dan kukuh.

Sama! Terlalu sama dengan kita, bahkan.

Selagi kita tidak melihat kecenderungan dan tidak dapat membawa bukti tentang kesahihan suatu sangkaan, lebih baik kita hanya membiarkan ia menikam-nikam jantung kita. Jangan ia diluah, kerana ia berkemungkinan keluar sebagai fitnah.

Lebih-lebih lagi jika ia kembali kepada persoalan hati. Hanya Allah dan si pemilik hati sahaja tahu isi yang tersurat dan tersirat di dalamnya. Lain-lain hanya suatu pembohongan belaka. Kerana itu, sesiapa yang mengaku mengetahui isi hati, ah, dia pembohong besar.

Kesimpulan.

Atas apa yang pernah berlaku dan mungkin akan kembali berlaku, saya menyeru kepada semua pembaca agar membudayakan sifat berbaik sangka. Selagi belum ada bukti, selagi itu kita tidak boleh mengheret sesebuah pihak ke dalam sebuah tanggapan, yang asasnya juga tiada.

Ia akan menjadi lebih parah jika perkara ini berlaku kepada kita : "Lebih baik membiarkan si pesalah terselamat daripada membiarkan hukuman dijalankan bukan kepada si pesalah"

Letaklah tangan pada dada. Tanya pada ia, mengapa sukar benar untuk kita bersangka baik?
Previous
Next Post »
8 Komentar
avatar

benar bagai dikata... berbaik sangkalah sentiasa... cuma kalau dah terang lagi bersuluh bahawa seseorang tuh berbuat salah, eloklah ditegur sebelum menjadi barah...

Balas
avatar

jika hatinya baik, maka baik le jasadnya...

Balas
avatar

kita kena positifkan minda.
terima kasih peringatan ini.

Balas
avatar

salam, saya perhatikan anda mengeja Rasulullah sbg 'Rasulallah'. Apa significan anda mengeja sebegini? mohon penjelasan...

Balas
avatar

sangka baik.kerap kali ingatkan diri sendiri supaya lebih bersangka baik.harapnya.InsyaAllah

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443