Perkongsian: Cinta Ilahi

Bulan february sangat dikait rapat dengan cinta. Ya, sinonim benar. Hanya satu, kerana dalam bulan ini, ada satu hari yang diraikan oleh manusia sejagat; Valentine's Day.

Definasi Cinta Bagi Saya.

Habiburrahman El-Shirazy telah lebih awal memberi makna cinta melalui watak Anna Attaufunnisa dalam novel Ketika Cinta Bertasbih. Bagi saya, definasi yang diberi sangat enak di telinga dan sangat indah di ruang fikir. Saya juga cenderung untuk memberi pengertian yang hampir serupa.

Bagi saya, cinta itu ialah 'tenaga'. Ia adalah daya penolak yang senantiasa menolak manusia untuk membuat sesuatu. Kerana itu, cinta boleh berubah paksi dan berubah sifatnya. Ia tidak kekal dan sentiasa baharu.

Jika saya melihat seseorang melakukan solat, saya tidak memandang yang dia melakukan kerana 'mahu' tetapi bagi saya, ia dilakukan kerana dia 'cinta'. Namun, harus disemak samada 'cinta' itu diberikan kepada Tuhan atau kepada yang lain. Bagaimana?

Solat jika niat mahu menunjuk, pastinya ia adalah 'cinta manusia' dan solat, jika ikhlas pula adalah kerana 'cinta Tuhan'.

Sama, seseorang yang berzina, bagi saya dia melakukannya bukan kerana dia 'mahu' tetapi yang signifikan ialah kerana dia 'cinta'. Cinta kepada nafsu.

Ironi dan tuntas, cinta yang sebenar pastinya diletakkan di bawah naugan Ilahi. Itu yang sebenar-benarnya.

Bagaimana Cinta Ilahi?

Jika seseorang memiliki cinta Ilahi, pasti dia akan melakukan apa-apa dengan ikhlas dan terbaik.

Saya suka dengan perkataan ini. "Menyukakan Allah". Pertama kali mendengar perkataan ini, seribu persoalan menghenyak minda sedar saya.

"Bagaimana Allah pun boleh disukakan?"

Nah! Jawapannya masih lagi asas dan tunjang. Ia adalah 'melakukan apa-apa yang disuruh dan meninggalkan apa-apa yang dilarang'. Namun, itu belum cukup bagi kita. Sebuah hadis dari dalam Himpunan 40 Hadis susunan Imam Nawawi ada menjelaskan tentang hakikat itu.

"Sesudah amalan wajib disempurnakan, seseorang hamba akan dianggap seakan-akan kekasih (kesayangan) Tuhannya apabila dia turut melaksanakan dengan jaya, amal-amal sunnatnya".

Cinta Ilahi. Itulah yang sering diwar-war, tapi penjelasan tentang itu masih kabur.

Cinta Utama dan Cinta Pertama.

Yang ini juga masih lagi persoalan asas. Kedua-dua membawa kita ke orbit yang sama, lapang fikir yang sama, dan dimensi yang sama. Ia adalah "cinta Ilahi".

Mungkin ada yang memberi definasi yang berbeza. Tapi sebenarnya ia adalah dua perkara yang serupa, cinta utama dan cinta pertama.

Siapakah cinta pertama kita?

Mungkin yang beri jawapan, ibu. Kerana ibu melahirkan kita.

Hakikatnya, cinta pertama kita ialah Allah. Mungkin ramai tidak tahu, bahawa sebelum kita diciptakan sebagai manusia lagi, Allah telah mengambil keterangan persaksian kita. "Bukankah aku ini Tuhanmu?". Semua kita menjawab, "Betul. Kami bersaksi!"

Bukalah surah Al-A'raf ayat 172 untuk melihat dengan lebih jelas tentang cinta pertama.

Cinta Utama, Bagaimana?

Sebuah hadis berstatus sahih yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan Muslim ada menceritakan. Orang yang layak dicintai selepas Allah dan Rasul ialah ibu kita. Sebanyak tiga kali ia diulang-ulang. Ibu! Ibu! dan Ibu!

Tapi, yang paling utama tetap Cinta Ilahi.

"Tiada ketaatan dalam perkara-perkara yang mendurhakai Allah"

Nah! itu tanda bahawa cinta Allah tetap yang utama.

Bercakap tentang itu, ramai kalangan kita tidak perasan bahawa kesempurnaan cinta Ilahi terletak pada yang kedua, iaitu cinta Rasul. Dalam ayat 31 daripada surah Ali-Imran, Allah berfirman; "Jika kita cintakan Allah, maka ikutlah Rasulallah s.a.w".

Ya, cinta Ilahi bukan hanya slogan semata-mata!

Saya suka menarik minat kalian untuk memahami cinta Rasulallah. Bagaimana, telahpun dijelaskan dalam ayat itu. "Ikutilah aku (yakni, Rasulallah s.a.w)"

Cinta Lain-lain.

Disebut dalam ayat 14 daripada surah Ali-Imran juga.

"Dijadikan indah di pandangan manusia kecintaan kepada wanita-wanita, anak-anak, harta benda, kuda pilihan, binatang ternak dan juga sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah ialah tempat kembali iaitu syurga"

Sambungan ayat itu juga indah. "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa, disedikan oleh Allah baginya beberapa syurga...(hingga akhir ayat)"

Tidakkah ia jelas bahawa antara semua cinta, cinta Ilahi itu utama kerana matlamatnya ialah syurga.

Cinta kepada wanita jika matlamatnya ialah syurga maka ia juga pecahan daripada Cinta Ilahi yang dihubungkan melalui perkahwinan.

Cinta kepada anak jika bermatlamatkan syurga juga ialah pecahan daripada Cinta Ilahi, melalui pintu kasih sayang sesama makhluk.

Cinta kepada harta benda sekiranya bermatlamatkan syurga, juga adalah pecahan daripada Cinta Ilahi jika dihubungkan dengan zakat dan sedekah.

Cinta kepada kuda pilihan (kenderaan) sekiranya bermatlamatkan syurga, juga adalah pecahan daripada Cinta Ilahi sekiranya dihubung melalui berulang-alik ke masjid dan majlis ilmu.

Cinta kepada binatang ternakan sekiranya bermatlamatkan syurga, maka turut berada di bawah Cinta Ilahi, itupun sekiranya dihubung melalui kesyukuran, korban dan sedekah.

Cinta kepada sawah ladang, juga menjadi pecahan daripada Cinta Ilahi jika bermatlamatkan syurga melalui cara memberi makan kepada orang miskin.

Kesimpulan.

Selepas kita memahami hakikat ini, siapa dapat menyangkal lagi bahawa core, fundamental dan basic kepada segala cinta ialah Cinta Ilahi?

Jika masih ada yang bersoal-jawab, ternyata paksi dan orbit cinta mereka berbeda dengan kita. Dan kalian yang punya kudrat, tariklah mereka kembali ke paksi ini- Cinta Ilahi.

Sebelum saya terlupa, hukum menyambut Valentine's Day ialah haram. *titik*
Previous
Next Post »
6 Komentar
avatar

dah lama tak merasa percintaan antara kekasih.single.
tapi cinta pada Illahi yang utama..

Balas
avatar

Cinta itu fitrah manusia... tetapi kita sering salurkannya melalui jalan yg salah dan membinasakan. Sedangkan asal fitrah itu adalah suci tetapi dinodai oleh perkara yang kotor.

Cinta berahi adalah fitrah sesama manusia yang perlu dibatasi dengan syariat yg telah ditetapkan demi kehormatan dan kemuliaan diri sendiri.

Sedangkan cinta ilahi adalah fitrah kita sebagai hamba yang sering mengharap perlindungan, perhatian dan rahmat drpd-Nya demi kepentingan hidup di akhirat sana.

Balas
avatar

the ultimate love-->xpernah dikecewakan

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443