Saya bukanlah orang yang terbaik untuk diajak berbicara tentang zuhud. Pertama dan utama, kerana zuhud itu ialah satu sifat, daripada sifat-sifat terpuji yang patut dipamer oleh setiap muslim. Tapi masalahnya, sifat ini belum tumbuh kukuh dalam diri saya.
Tetapi bukankah pesan Rasulullah jelas, 'sampaikanlah walau satu ayat'. Dan saya tidak bercadang untuk menulis satu ayat sahaja. Harap kalian sabar membaca.
Pernah saya tertanya-tanya, apa maksud sebenar zuhud?
Pada awalnya, saya beranggapan... zuhud itu ialah meninggalkan dunia. Saya selesa dengan anggapan saya, sehinggalah saya melihat pada beberapa orang ahli agama yang hidupnya selesa. Ada kereta besar, ada rumah yang selesa. Cuma belum mampu dilabel sebagai mewah sahaja.
Lalu saya bertanya kepada murabbi saya- zuhud itu bagaimana?
Jawabnya, zuhud itu bukanlah kita menolak dunia. Bukan juga kita meninggalkan dunia. Jauh sekali, kita memakai pakaian yang compang-camping, yang buruk-buruk. Tetapi zuhud yang sebenar ialah tidak meletakkan dunia di dalam hati, sebaliknya di tangan sahaja. Dengan itu... dunia ini mampu dikawal olehnya. Sebaliknya, orang yang tidak zuhud dengan dunia- akan dikawal oleh dunianya!
Refleksi yang paling baik untuk kita melihat kut-kut kita sudah memiliki sifat zuhud ialah dengan layanan kita kepada takdir. Apa yang terjadi, sekiranya rezeki yang ada pada kita ditarik? Contoh, wang kita hilang. Adakah kita akan berasa kecewa yang mendalam, dan adakah kita mampu bersabar? Orang yang zuhud dengan dunia, akan memujuk hatinya dengan berkata, 'semuanya milik Allah'. Bukankah Allah mengajar kita untuk melafazkan kalimah innalillahi wa innailahi raaji'un? (surah al-Baqarah ayat 156)
Kalau begitu maksud zuhud, adakah dengan kita berkereta mewah, makan di tempat-tempat mewah, berpakaian yang berjenama... itu melanggar sifat zuhud?
Bagi saya, ia terpulang. Terpulang kepada penerimaan hati kita pada kurnia Ilahi yang itu. Ada ramai ustaz yang ada kereta mewah. Pergi berceramah naik kereta tu. Pergi berdakwah naik kereta tu. Pergi surau masjid pun naik kereta tu. Jika kita tanya padanya, dia akan katakan yang dia mahu islam itu dipandang sebagai sebuah agama yang tidak pernah menghalang penganutnya untuk maju. Baguslah kalau begitu!
Tapi masalahnya sekarang ialah... bilamana orang yang ada kereta mewah, tetapi seinci pun tayar keretanya tidak berganjak untuk ke tempat solat! Bahkan, makin lalai dia dengan kurnia Allah itu!
Nah! Inilah dia asas zuhud, bagi saya- iaitu hati!
Di sungai buloh, ada seorang ulama yang rumahnya besar macam istana. Sungguh! Kalau ikut bahasa moden, besar gila! Dan kebiasaan rumah-rumah yang besar ialah ia akan meriah dengan hiburan, parti, dan segala macam benda-benda yang songsa. Tapi aneh. Rumah besar miliknya meriah dengan zikir, bercahaya dengan kuliah dan kelas pengajian agama, bahkan bercahaya dengan rahmat Allah.
Dan timbul persoalan yang sama- adakah pemilik rumah besar ini tidak zuhud?
Kerana itulah, para ulama sufi sering menegaskan bahawa maksud 'dunia' ialah segala sesuatu yang tidak memberi keuntungan untuk kehidupan di akhirat.
Kalau kereta mewah itu dapat membantu memulihkan pandangan songsang masyarakat kepada agama, maka di sana sudah ada pahala yang besar. Jika dengan kediaman mewah dan luas, boleh dimanfaatkan untuk aktiviti tarbiyyah yang jitu, maka di sana ada pahala yang besar. Dan sekiranya dengan pakaian berjenama mampu menjadikan seseorang itu lebih dekat dengan Allah, maka... silakanlah!
Tetapi... jangan lupa...
Dalam kitab Fikh al-aulawiyat karangan Syeikh Yusuf al-Qardhawi, beliau membawa kita untuk melihat kepada satu fenomena yang berlaku pada zaman ini dimana ada sesetengah kelompok manusia yang mampu untuk pergi haji dan umrah pada setiap tahun, tetapi bagaimana pula dengan tetangganya dan ummahnya?
Haji dan umrah memanglah satu ibadah yang sangat besar pahalanya, tetapi bagi mereka... itu bukanlah cabang utama dan bukan juga keutamaan baginya. Sebaliknya, keutamaan baginya ialah untuk bersedekah.
Perkara yang sama ditekankan dalam kitab bertajuk 'ibadah dalam islam', kalau tidak silap saya... penulisnya ialah Syeikh Yusuf al-Qardhawi juga. Kata beliau, setiap daripada kita punya keutamaan masing-masing. Bukannya kita nak kata ibadah yang lain itu tidak wajib dan tidak penting, tetapi pada keutamaannya... ada sedikit yang tersilap. Sebagai contoh, bagi seorang parajurit dan pejuang di medan perang. Ibadah-ibadah asas seperti solat dan puasa itu memanglah wajib, tetapi keutamaan bagi mereka ialah untuk mengalahkan musuh. Bagaimana kalau di medan perang, para syuhada' ini tidak membawa senjata sebaliknya membawa pen dan buku kerana mereka fikir, pahala untuk orang yang belajar itu besar?
Sama halnya dengan orang yang mengajar. Seorang ustaz contohnya, tetap wajib untuk solat, puasa, zakat dan haji. Tapi, keutamaan ibadahnya ialah untuk mengajar anak-anak kecil ini supaya mengenali Allah. Bagaimana lagaknya jika seorang murabbi yang seharusnya mengendong buku, terjun ke medah jihad?
Sama juga dengan orang kaya. Mereka wajib untuk beramal tetapi keutamaan bagi mereka ialah untuk bersedekah, membelanjakan harta itu di jalan Allah!
Nampak tak kaitannya antara kereta besar, rumah mewah, makan sedap-sedap, dan pakaian berjenama... dengan 'keutamaan' ?
Memang tak salah bersenang-senang dan memanjakan diri dengan dunia, tetapi itulah... bukankah lebih patut harta itu dibelanjakan untuk suatu yang lebih menjaminkan?
Tetapi bagi saya, kalau benar-benar kita ada lebihan duit... memang tak jadi masalah untuk kita memanjakan diri sedikit. Ya, sedikit! Cukuplah sedikit... kerana dalam ayat terakhir surah Ad-Dhuha, ada perintah Allah- 'dan atas nikmat Tuhanmu, hendaklah kamu nyatakan' (tafsiran 'nyatakanlah' itu bukan hanya dengan kita display tetapi mesti dengan bersyukur)
Maka, tak salah bukan?
Kalau kita perasan, sahabat-sahabat Rasulullah semuanya zuhud. Antaranya ialah Abdul Rahman Bin Auf, Saidina Usman, Saidina Umar, Saidina Abu Bakar, dan ramai lagi. Banyak kisah yang dipertontonkan kepada kita. Sebagai contoh, peristiwa perang tabuk yang mana mereka semuanya tanpa lengah dan keberatan, menyedekahkan harta-harta mereka untuk jalan Allah. Saidina Usman membelanjakan suku hartanya. Saidina Umar, separuh. Manakala Saidina Abu Bakar, semua hartanya termasuklah sebatang jarum yang sudah patah disedekahkan. Dia hanya meninggalkan kepada dirinya dan anak isterinya Allah dan Rasul-Nya sahaja.
Tekad dan yakinnya beliau dengan janji Allah!
Kita juga jangan lupa... bagaimana pahala yang diraih oleh Saidina Abu Bakar nanti adalah sangat besar! Hinggakan dikatakan nanti di timbangan mizan, pahala Saidina Abu Bakar itu adalah lebih besar daripada jumlah pahala yang terkumpul oleh segenap manusia daripada zaman Nabi Adam lagi!Fuhhh!
Salah satu sebabnya ialah dakwah. Daripada sepuluh orang sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga, enam orang daripadanya diislamkan oleh Saidina Abu Bakar. Itu satu.
Dan lagi satu, kerana tapak kepada Masjid Nabawi di Madinah adalah didirikan atas tanah yang dibeli oleh Saidina Abu Bakar daripada anak-anak yatim (saya lupa nama mereka). Dengan tanah yang dibeli oleh beliaulah, masjid nabi dibina. Umum telah mengetahui akan keutamaan ibadah di masjid nabi berbanding beribadah di masjid biasa. Sudahlah ibadah di sana pahalanya diganda, bahkan masjid itu juga tak pernah surut dengan kunjungan manusia yang beribadah di dalamnya, siang dan malam!
Ini adalah satu daripada yang disebut sebagai 'amal jariah yang berterusan pahalanya sampai ke liang kubur'.
Satu lagi, berkenaan dengan harta juga... saya pernah mendengar satu syarah hadis qudsi, berkenaan dengan tiga golongan manusia- syuhada', ulama, dan hartawan. Di depan Allah, dailog antara mereka terjadi. Orang yang mati syahid ini memohon untuk dimasukkan ke syurga terlebih dahulu berbanding dengan ulama dan dermawan ini. Katanya, "Aku mati kerana agamaMu". Lalu, ulama itu pula berkata dan memohon permintaan yang sama, untuk masuk syurga terlebih dahulu berbanding dua golongan itu. Katanya, "Orang yang mati syahid ini pun terjun ke medan perang kerana mereka menimba ilmu daripada kami. Kami yang mengajar mereka dan memotivasikan mereka" lalu orang ketiga, dermawan itu pula berkata, "Aku yang patut masuk syurga lebih dahulu kerana dengan harta yang telah aku sedekahkan inilah, mereka belajar... dan dengan dengan sebab itu jugalah, mereka mampu mengajar, dan dengan sebab itu juga... para syuhada' dapat berjuang dan mati syahid di jalan-Mu"
Dan Allah memasukkan orang kaya yang dermawan itu terlebih dahulu.
Saya suka membawa kita untuk merenung sebuah firman Allah dari dalam surah al-Anfal ayat 36-"Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi manusia dari jalan Allah, mereka tetap membelanjakannya. Kemudian harta yang dibelanjakan itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan ingatlah orang-orang kafir itu akhirnya dihimpunkan dalam neraka jahanam."
Orang kafir pun ada yang bersedekah, tahu! Tapi orang islam... oh! cukup kedekut!
Saya bukan mengata siapa-siapa, tapi mengata diri saya sendiri. Mengapa ya orang kita lebih suka makan di Mc Donald atau KFC sekurang-kurangnya sekali sehari, tetapi untuk membantu ekonomi orang islam, kita jadi teragak-agak?
Kita mengeluh yang ekonomi umat islam teruk! Mundur! Tetapi... kita sendiri yang tak mahu menyokong ekonomi orang kita. Jadi, salah siapa?
Oh ya. ada sebuah novel bertajuk Sigaraning. Kita patut baca, biar terbuka sikit biji mata...
Akhir sekali, saya mohon agar Allah selamatkan saya daripada sifat kedekut, dan Allah bantu saya untuk meletakkan dunia di tangan saya, bukannya di hati saya.
Doa yang sama saya panjangkan kepada kalian yang membaca, dan yang utama... kepada orang yang meminta saya menulis tentang ini :)
Oh ya! Sebelum saya terlupa, kalau anda mahu 'menambah' dan 'memperbetulkan', maka silakanlah.
7 Komentar
sangat bermakna artikel ini. terima kasih banyak2. :)
BalasbUKAN orang islam y kedekut orng melayu..err..lalalala ^^
Balasnon-muslim suka sedekah sebab nak dapat lebih ong kot! mungkin sebab tafar ekonomi muslim masih sederhana tapi ramai je Melayu yg kaya raya..
Balas*nanti review novel tu ye. :-)
Salam..
BalasSubhanallah! sukanya bace, akk mohon share ye..Moga ALLAH berkati usaha iqbal sokmo2, Jazakallah.
:)
Balaskefahaman bertambah.. ^^
Balasada benarnya. sifat pemurah ni bagus. ibarat pokok. makin kita cantas, makin rendang dan sihat pula ia.. berbuah pula akhirnya..
makin byk kita bagi, makin byk kta dpt. ^^ cumanya, ramai org xsedar benda ni, apatah lg org Melayu..
semoga ramai org Melayu yg mahu tlg sesama sendiri.. mcm org2 cina. :)
Article yang mantap. Penulisan yang sempoi.
BalasThumbs up!
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443