Doa dan nasihat.

Dalam hadis 40 susunan Imam Nawawi, ada sebuah hadis yang berbunyi, "Agama itu nasihat." Hadis itu menyenaraikan bentuk-bentuk nasihat itu; iaitu kepada siapa. Salah satunya ialah kepada orang awam seperti kita.

Dan hari ini, kita telah melangkah ke tarikh 4 Muharram 1433 Hijrah. Maknanya, sudah masuk hari yang keempat kita diberikan ruang dan peluang untuk bernafas di tahun yang baharu. Terima kasih kepada Allah.

Pertama sekali, artikel kali ini ditulis bukanlah untuk memecah belahkan masyarakat. Jauh sekali untuk saya membawa kalian kepada terjebak ke dalam perpecahan. Pun begitu, saya berada dalam keadaan separuh terpaksa untuk menulis artikel ini walaupun saya sedar, di sebalik kebaikannya, ada juga nilai-nilai yang kurang enak, terutamanya bertitik tolak kepada kesatuan ummah. Maka, saya merayu dan memohon dengan merendah diri agar kalian membaca susunan ayat ini dengan jiwa yang besar juga hati yang basah dengan mahabbah.

Saya mahu berbicara tentang satu isu cabang; doa akhir tahun dan doa awal tahun, sunnahkah?

Sejak saya masih di bangku sekolah hingga kini, di pelantar kerjaya... saya sudah terdedah dengan amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun. Dan pada hemat saya, ia memang satu amalan yang bagus. Tetapi... ada beberapa perkara yang bersabit dengan amalan ini yang seharusnya kita ambil sedikit masa kita, tarik nafas... dan kemudiannya sama-sama bermuhasabah.

Di dalam islam, asal kepada setiap perkara yang bukan ibadah ialah harus melainkan ada dalil yang mengharamkannya. Sebagai contoh; makan. Kita boleh makan apa-apa sahaja yang kita suka, kecuali bahan-bahan yang tertera dalil (bukti) pengharamannya, seperti babi, bangkai, darah, harta anak yatim, harta riba... dan lain-lain. Senarainya boleh tahan panjang juga tapi tetap... yang halal itu jauh lebih banyak untuk kita pilih mengikut selera kita.

Dan di dalam islam juga, asas kepada ibadah ialah haram, melainkan ada dalil (bukti) yang membenarkannya. Sebagai contoh; ibadah solat. Di mana dalilnya? Senaraikan sahaja. Dalam al-Quran ada... dalam hadis dan perilaku sunnah Baginda juga ada.

Tapi, untuk amalan membaca doa awal tahun dan doa akhir tahun, ada dalil tak?

Entahlah. Setakat yang saya belajar, saya bertanya, dan saya membaca... dalilnya ada. Cukup konkrit juga, iaitu pada ayat 60 surah Ghafir. Kata Allah, "Berdoalah kepada-Ku. Nescaya Aku akan perkenankan permintaanmu".

Juga pada ayat ke 186, surah al-Baqarah... Allah berfirman, "Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaku"

Nah! Dua dalil pun sudah cukup bukan? Tetapi... yang disebut ialah berdoa. Ya. Tidak disebut pula perkataan akhir tahu atau awal tahun? Aneh ya. Jadi... wujud atau tidak amalan membaca doa di awal tahun dan akhir tahun ini?

Saya tiada jawapan. Allah lebih mengetahui. Tetapi bagi saya, berpegang dengan kedua-dua ayat al-Quran di atas... saya cenderung untuk mengatakan bahawa tidak ada masalah sekiranya kita mahu membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun. Lebih-lebih lagi, para ulama silam di nusantara sendiri telah lama mengamalkan amalan ini bahkan mewariskan pula dari satu generasi ke generasi yang datang kemudiannya. Kebaikannya jelas terpampang; iaitu kita tak terlupa bahawa kita sedang melangkah ke tahun islam yang baharu... walaupun di saat-saat dan ketika yang lain, kita terdorong untuk lebih mengingati tahun masihi dan melupakan langsung tahun hijrah; tahun islam. Ada benar atau tidak kata-kata saya?

Cuba hadam.

Maka, dengan sendirinya kita tak boleh meletakkan sebarang hukum kepada amalan membaca doa akhir tahun/awal tahun ini. Pertama sekali, Allah menyuruh kita untuk memperbanyakkan doa. Dalam hadis bahkan disebut bahawa doa itu senjata muslim. Tetapi itu bukanlah dalil yang menyatakan bahawa kita wajib melafazkan doa akhir tahun dan doa awal tahun!

Sebabnya mudah. Tidak ada dalil yang khusus tentang itu. Bahkan, tahun islam itu sendiri mula disusun di zaman pemerintahan Umar al-Khattab, dan tidak pula direkodkan dalam mana-mana riwayat bahawa beliau, atau Saidina Usman, atau juga Saidina Ali ada mengamalkan doa khusus akhir tahun dan awal tahun. Tiadak bukan? Jika anda ada bertemu dengan dalilnya, silalah lampirkan. Saya sangat-sangat mengalu-alukannya.

Oleh sebab itu... sudah terang lagi bersuluh bahawa amalan berdoa itu ialah suatu yang dituntut sepanjang masa, tidak kiralah pada remang-remang akhir tahun atau di sayup-sayup awalnya tahun baharu. Lalu, timbul persoalan. Antara berdoa dengan tidak berdoa, mana yang lebih baik?

Jawab saya, berdoa adalah lebih baik DENGAN SYARAT... anda tidak hanya berdoa di awal tahun dan di akhir tahun sahaja. Selepas daripada melafazkan dua doa itu, anda sepi, membawa diri dengan rasa cukup... seterusnya membawa diri anda kepada satu makam yang tinggi- 'Aku tak perlu berdoa. Tak ada sebab aku perlu berdoa!'

Inilah dia masalahnya. Dan bagi sesetengah orang... ini masalah kecil yang membawa kepada perpecahan masyarakat. Tapi bagi saya, ia bukan perkara kecil dan ia juga bukan perkara yang membawa kepada perpecahan, asal saja kita faham agama ini. Islam bukannya agama tradisi- sebaliknya ia adalah agama yang sudah sempurna; ditinggalkan oleh seorang Rasul yang terakhir, al-Quran yang tak pernah silap dan sunnah-sunnah yang tak pernah tidak releven.

Saya cuma ditugaskan untuk membuka mata kalian, sebagaimana Nabi Ibrahim bertugas untuk membuka mata kaumnya. Saya mahu kita semua sedar semula, mengapa pada sebuah amalan yang tidak ada dalil yang jelas... kita berebut-rebut dan bersungguh-sungguh benar untuk melaksanakannya? Sedangkan pada amal-amal yang ada dalil yang jelas seperti tahajjud dan lain-lain, kita mundur dibelakang?
Berdoa ialah amalan sepanjang masa; tidak terhad kepada masa dan tempat. Berdoalah di mana-mana sahaja dan bila-bila sahaja. Dan awas! Jangan sesekali kita melatakkan hukum wajib kepada amal ini (iaitu amalan membaca doa awal tahun/akhir tahun) kerana sekiranya kita meletakkan hukum wajib atau haram pada sesuatu yang Allah dan Rasul-Nya tidak mewajib dan mengharamkan, maka kita telah 'menggubal' agama ini. Dan kita pada ketika itu telah berbuat kemaksiatan dan kerosakan yang sangat besar.
Itu bahan pertama. Dan ini pula ialah bahan kedua- Saya nak membawa kalian menilai antara dua komen ini.

salam. Silapnya kita, apabila sakit bertanyakan penyakit pada pharmacist. Apabila ingin mendapatkan maklumat tentang ubat, kita persoalkan pada doktor. Sepatutnya, apabila perlukan sesuatu hukum tanyalah pada pada yang pakar dlm syariah dan usul fiqh dan sumbernya dr yang pakar hadis. begitulah disiplin ilmu yg sebenrnya. para ilmuan kini lebih sibuk berbicara yg furuk yg tiada dlm mengharamkannya secara qat'i tanpa adanya disiplin. dan yg baru mengarang snaskah buku sibuk yg itu xboleh, yg ini tak boleh... tp tanggal 31disember, hampir tiada yg berbicara kenapa perlunya anak muda kita terlompat2, terkinja2 di dataran merdeka, di hampir semua stesen Tv. Tidakkah itu masalah akidah yg perlu dijauhi kerana meraikan tahun kristian?"

Ini komen kedua...

akh Iqbal Syarie, bagi azam yg faqir ini, dengan penuh hormat,adalah kurang baik menyebarkan video ini...takut menimbulkan perbalahan dan pecah belah.. sedangkan dalam buku Indahnya Hidup Bersyariat oleh Ust Ismail Kamus pun ada ditulis amalan ini... ianya amalan para ulama.. insyaAllah kheir.. hatta walau ianya bid'ah, ianya termasuk dlm bid'ah hasanah yg menepati usul syariat insyaAllah..kurang sopan jika nisbahkan amalan ini kpd syi'ah.. wallahua'lam.. peace =)
Kedua-dua komen ini ialah respon kepada sebuah video yang saya kongsikan di internet. Kalau teringin nak menonton, anda boleh menontonnya di sini. Dan kedua-dua komen adalah berkait rapat dengan mukaddimah artikel ini iaitu berkenaan dengan nasihat.

Komen pertama datang daripada seorang kenalan jauh saya. Entah mengapa, nasihatnya sangat tersasar. Sudahlah dia bertindak tergopoh-gapah tidak membaca komen-komen di atasnya, di mana sebelum beliau komen... saya dan teman-teman yang lain sudahpun selesai berbincang dan menemui kata putus, sebagaimana artikel yang baru anda baca di atas tadi.

Dan hamba Allah ini, dengan tidak memerhati (membaca), terus komen dan pada saya, komennya sangat kurang ajar. Mengapa perlu dia menyatakan 'baru karang senaskah buku sudah kecoh itu tak boleh, ini tak boleh'. Heh. Di mana kaitannya? Sejak bila saya jadi seperti golongan 'itu' yang sedikit-sedikit.... "ini tak boleh!", "ini bida'ah semua ni"... dan seumpamanya. Sejujurnya, ada tak saya begitu? Saya bukan ekstremis agama (insyaAllah) yang tugas saya seperti polis yang hanya tahu 'menghukum' orang. Saya bukan SB, jauh sekali penguatkuasa ISA yang tangkap orang tanpa bicara!

Inilah kali pertama saya bercakap tentang benda furuk, terus saya dilabel sebagai '...kecoh itu tak boleh, ini tak boleh'. Sedihnya!

Dan yang menambah garam pada luka ialah bilamana dia mengatakan 'tp tanggal 31disember, hampir tiada yg berbicara kenapa perlunya anak muda kita terlompat2, terkinja2 di dataran merdeka, di hampir semua stesen Tv. Tidakkah itu masalah akidah yg perlu dijauhi kerana meraikan tahun kristian?'. Soal saya, adakah pada matanya... saya begitu? Seakan-akan saya 'memilih' kemungkaran untuk dicegah. Semacam saya tak cegah semua, saya cegah benda-benda terpilih sahaja.

Sedih itu memanglah. Dan pada awalnya, saya tak mahu pun menulisnya disini. Saya mahu kambus, dan tutup rapat-rapat masalah ini hingga busuknya pun tak berbau. Tetapi ada sebabnya saya kongsikan di sini. Sebentar lagi anda akan tahu.

Berkenaan dengan komen kedua, walaupun adik saya Azzam Husni ini juga meninggalkan komen selepas perbincangan di Facebook kami menemui kata putus, tetapi saya berasa sangat sejuk di hati bila membaca kata-katanya. Mengapa?

Kerana saya boleh membaca kesopanan dan kejujuran adik Azzam ketika menulis komennya. Dan ia sebenarnya ialah satu elemen yang sangat penting iaitu hikmah. Dan inilah sebabnya saya membawa isu ini disini. Untuk kita nilai sendiri bagaimana bentuk-bentuk nasihat yang baik dan bagaimana pula bentuk-bentuk nasihat yang baik pada isinya, tapi buruk pada cara pemberiannya.

Dan saya tahu benar, bahawa walaupun sebaik manapun nasihat yang kita beri.... jika dicemari dengan kekasaran, salah faham, tidak benar, tidak jujur, dan lain-lain... maka orang tidak akan ambil peduli. Lebih menakutkan, ia juga boleh mengundang kepada rasa marah untuk bermukim di hati si penerima nasihat, seterusnya boleh membawa kepada tercetusnya perang dingin. Dan inilah salah satu sebab mengapa dakwah kita tak berkesan- iaitu kerana kita bodoh dalam seni memberi nasihat.

Berilah nasihat dengan lemah lembut. Cakaplah perkara-perkara yang berkaitan sahaja. Rendahkanlah diri anda semasa memberi nasihat. Jangan sesekali menaikkan diri anda. Dan paling utama, elakkan daripada bercakap tentang perkara yang tidak benar kerana ia adalah elemen fitnah yang terbesar. Bimbang-bimbang nasihat yang berpahala pada hukum asal... dikira berdosa pula selepas ia terlontar keluar dari balik dua kelopak bibir kita.

Dan peristiwa ini sangat besar pengajarannya kepada saya.
Terpulanglah kepada anda bagaimana mahu memahami artikel panjang ini kerana saya tak menulis untuk menjauhkan anda daripada Allah.
:) 
     
Previous
Next Post »
3 Komentar
avatar

memang ramai yang leka sampai terlupa untuk baca doa akhir/awal tahun Islam. terkejar2 bulan disember/januari yang tidak membawa apa2 faedah...

Balas
avatar

Iqbal, terima kasih. Entry ini secara tak langsung mengingatkan saya tentang hikmah dalam memberi nasihat. Selalu juga saya cuba utk memberi nasihat di blog, tapi kadang2 saya sendiri sedar ianya agak kasar. :).

Balas
avatar

Assalamualaikum.

Ada seorang pemandu yang memandu di dalam kegelapan malam.

Tiba-tiba keretanya ditahan seseorang.

"Ada apa encik?" tanya si pemandu.

"Awak bodoh. Kalau awak ikut jalan ini, kereta awak akan masuk gaung."

"Awak kata saya bodoh? Suka hati sayalah!" kata si pemandu sambil terus memecut kenderaannya.... dan keretanya pun terjun ke dalam gaung.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443