Fitrah


Ada satu hadis yang ringkas dan sering kita dengar… sebagaimana sabda Nabi SAW yang diriwayat oleh Imam Bukhari : “Tiada (seorang anakpun) yang dilahirkan kecuali ia dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua orang tuanyalah yang menyebabkan ia menjadi Yahudi, atau menjadikannya Nasrani atau menjadikannya Majusi (penyembah api).”

Ada banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari hadis yang pendek ini. Pertama, kita boleh lihat Allah tak sebut pun kalimah “...au yaslima ni hi...” yang bermaksud, “atau menjadikannya islam”. Persoalan mengapa, sebenarnya telah terjawab pada awal hadis itu iaitu ‘fitrah’.

Islam ialah agama fitrah. Ia adalah agama yang Allah jadikan sesuai dengan sifat semulajadi manusia, lalu manusia akan menerimanya sebagai suatu yang benar. Kerana itu, jika berlaku kematian kepada kanak-kanak yang belum mencapai usia baligh, Allah akan masukkan mereka ke dalam syurga. Walaupun jika yang meninggal dunia itu ialah anak orang bukan islam, tapi kerana dia belum lagi baligh, dia mati dan terus ke syurga. Indah bukan?

Dalam hadis tadi juga, kita perlu lihat bagaimana Rasulallah mengatakan ‘mengyahudikan’ dia. Cuba selidik. Adakah agama Yahudi itu, boleh kita anuti? Jawapannya tidak. Yahudi ialah agama untuk orang yahudi sahaja. Ia tidak boleh dianuti oleh orang yang bukan Yahudi. Orang islam, takkan boleh masuk agama Yahudi. Bahkan, orang lain pun sama. Ia agama yang khusus untuk bangsa Yahudi sahaja.

Lalu, apa maksud yang sebenar hadis ini?

Yang lebih tepat... ibubapa lah manusia yang bertanggungjawab untuk mencorak hidup kita samada kita akan mengikut telunjuk, cara dan sikap orang Yahudi, Nasrani dan Majusi. Heh... itulah yang parah!

Masa saya kanak-kanak, ibu saya akan ajar saya mengaji. Tiap-tiap malam kecuali jika dia uzur. Saya sebenarnya sangat bertuah. Pertama, saya tak pernah minta lahir daripada rahim seorang muslimah. Kedua, saya pun tidak pernah isi borang untuk diberikan didikan agama yang lengkap secara percuma. Semuanya rencana daripada Allah yang sangat sulit untuk dibongkar. Kesyukuran ini tidak seharusnya hanya berlegar kepada saya, kerana kalian juga bertuah kerana lahir dari rahim seorang ibu yang menganut ajaran islam. Bersyukurlah kerana ada orang mengeluh...

“Kamu untunglah... mak dan ayah saya lain. Mereka tak mengajar saya agama”, keluh seorang sahabat.

Saya hanya mampu senyum. Kita semua bersetuju bahawa islam ialah agama yang paling betul kerana ia datang dari Allah. Tapi, jika ada non-muslim bertanya tentang itu, kita akan jadi mati akal. Mati akal, tidak tahu bagaimana mahu bercerita bahawa islam itu agama yang sejati dan agama yang sebenar. Saya melihat kegagalan ini ialah kerana kita tidak bijak dalam melihat dan memahami maksud fitrah itu.

“Tetapi jika benar ia agama fitrah, mengapa ada orang islam yang murtad?”

Baiklah. Kita akan berbincang dan melihat kepada 2 punca pokok yang membawa kepada gugurnya iman itu tadi. Tapi buat masa sekarang, saya mahu memberi jawapan kepada maksud fitrah.

Pertama, prinsip islam ialah prinsip menjaga. Islam bersifat menjaga. Pada setiap umat islam, ada hak hamba kepada Tuhan dan ada hak hamba kepada dirinya. Islam datang dengan penjagaan yang lima (saya pernah sebut sebelum ini) iaitu menjaga akidah, menjaga diri, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta.

Setiap larangan Allah, segalanya ada kebaikan kepada manusia. Iya. Manusia menyukai hiburan, dan islam datang sebagai penjaga. Islam tidak halang manusia berhibur, tetapi untuk mendapat nikmat yang betul, islam menghalang manusia daripada berlebihan.

Ada remaja merungut kerana ibubapanya melarang dia berdansa di kelab-kelab malam. Ibubapa jenis yang faham agama, memang tidak akan teragak-agak untuk menghalang. Natijah atas larangan itu, si anak terselamat daripada budaya negetif. Si anak tidak merosakkan tubuh. Pernah kita bayangkan, mengapa islam melarang arak? Arak, dadah dan segala benda yang ‘lalok’? Ini adalah kerana jika manusia hilang kawalan keatas diri, maka dia terdedah kepada bahaya. Bukan sedikit manusia mati di jalan raya, dalam dirinya mabuk. Sama, bukan sedikit manusia yang tersungkur di tebing kematian, kerana mengambil dadah.

Bagaimana pula dengan kebaikan? Ada sesetengah kebaikan, dipandang oleh umat islam sebagai bebanan. Contoh yang paling dekat ialah solat dan menutup aurat. Dalam bab solat, bukan sedikit orang lelaki (mungkin kita, mungkin adik beradik kita) yang dengan tanpa rasa bersalah meninggalkan solat atas alasan, ia membuang masa, mengurangkan produktiviti, bahkan ada yang mengatakan bersolat itu sebagai buang masa.

Sedangkan dalam sains sendiri telah dibuktikan bahawa orang yang rajin bersolat, maka dirinya makin sihat. Solat ialah satu bentuk senaman yang memberi kerehatan kepada minda dan jasad. Dikala kita penat, kita berwuduk dan bersolat. Maka, ketika itu diri kita sedang mengumpulkan kembali cas-cas dalam badan yang telah hilang selepas seharian bekerja.

“Aku solat, tetapi tak sihat?”

Yang ini terletak kepada kejahilan kita dalam bersolat. Ada yang solat macam patuk ayam. Lagu semacam. Solat sebegitu memang telahpun Nabi S.A.W reject, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis. Ada pula orang yang solat secara main-main. Khusyuknya tiada langsung. Dalam sedang solat, fikirannya masih tidak dipisahkan dengan dunia. Masih dirinya memikirkan soal kerja, dan hal dunia. Kerana itu, otaknya tidak punya ruang dan peluang untuk berehat. Bagaimana ia hendak sihat?

Bahkan, ada juga manusia yang memang dirinya tidak menjaga diri. Perutnya makan segala benda. Mulutnya minum segala benda. Ini selalu berlaku kepada ‘geng masjid’ sendiri. Iyalah... tok imam, tok siak dan jemaah masjid itu kan sering dipanggil untuk bertahlil, doa selamat dan seumpamanya. Saat disajikan dengan makanan, mereka makan tanpa peduli. Akhir, diri ditimpa sakit.

Orang awam yang jahil dan pesimis dengan orang agama akan berkata sinis, “See... tok imam pun banyak kena penyakit. Padahal merekalah yang mengewar-warkan yang solat berjemaah itu membawa kepada kesihatan”

Nampak macam tidak masuk akal, tetapi hakikatnya... manusia sebegitu memang wujud.

Dalam bab menutup aurat, banyak benar hikmah yang Allah kurniakan. Bagi wanita, ia dapat melindungi rambut-rambut mereka, kerana dalam sains, hasil kajian menunjukkan bahawa sel rambut wanita itu lebih terdedah kepada kerosakan berbanding lelaki. Maka, islam datang sebagai menjaga kesihatan wanita dan menjaga maruah wanita daripada nafsu lelaki. Atas alasan apa lagi untuk wanita menolak kewajipan menutup aurat?

Fitrah Allah akan terus kekal di dalam suara hati kecil. Kerana itu, setiap kali kita bertemu dengan dua pilihan (baik dan jahat) maka hati kecil kita dua-dua akan berbalah. “Jangan buat begini”, “Buat saja!”

Kedua-dua suara itu ialah suara nafsu yanng ditunggang oleh syaitan dan suara fitrah yang diperkasakan oleh iman. Hanyalah kerana iman kita lemah, maka kita akan seringkali gagal dan dengan automatik, kita akan menangkan nafsu! Kita menangkan kekufuran! Kita belakangkan kata hati fitrah, dan kita belakangkan kata iman kita.

Jika nak tahu bagaimana, cuba pasang jam pukul 5 pagi. Niatkan dalam hati untuk bertahajjud. Maka selepas tersedar jam 5 pagi, kita akan mendengar dua bisikan itu. “Sambunglah tidurmu. Masih awal lagi” atau “Bangunlah... solatlah.. mohon ampunan-Nya”.

Ini satu contoh fitrah juga, kerana memang dalam surah al-Hujurat ayat 7 Allah katakan bahawa manusia diciptakan untuk menyukai kebaikan dan keimanan dan membenci kekufuran dan kajahatan. Maka, ia secara tak langsung menjawab persoalan mengapa industri makanan halal berkembang pesat di negara China padahal ia negara majorit non-muslim. Ia juga menjawab persoalan mengapa rakyat Sweden berdemonstrasi menentang kezaliman Zionis yang membunuh umat islam, sedangakan mereka non-muslim. Ia juga menjawab soalan mengapa masyarakat Eropah yang majoriti bukan islam mulai menyokong sistem kewangan islam. Kerana fitrah manusia... cintakan ajaran islam. Walaupun mulut mereka tidak menyatakannya, tapi hati mereka mengakui dan perbuatan mereka membuktikannya.

Namun yang demikian, satu persoalan telah timbul. “Mengapa ada orang islam murtad, jika benar islam agama yang fitrah?”

InsyaAllah. Saya akan jawab, dengan izin-Nya. Biiznillah.

   
Previous
Next Post »
5 Komentar
avatar

a'aa iqbal, selalu ada bisikan-bisikan tu.. eh lagi 2 minit la baru bangun, eh awal lagi la.. sedar-sedar orang dah azan subuh!... astarfirullahalazimm...

PS: Rugi pulak rasanya akak tak berkesempatan utk berkunjung ke ekspo buku islam.. kalau tak dapat akak tengok iqbal kasi talk;)

Balas
avatar

salam. mmg byk dugaan nak bgun tahajjud. hehe
sama la x dpt g ekspo tu. ada hal lain.

Balas
avatar

Salam alaik.

mashaAllah. sangat bermanfaat isinya,dengan ayat yang tersusun,Alhamdulillah, moga Allah terus memberi ilham dalam penulisan akhi untuk memberi ketukan-ketukan di setiap hati yang membaca.

jazakallahukheir.
may Allah bless.
:)

Balas
avatar

kalau stay up lambat, selalu akan niat, "nak tunggu subuhlah baru nak tido" then buatlah apa-apa semantara nak isi masa sampai subuh. tuptup dalam 5.30 selalu akan tertidur sendiri tak dapat nak ditahan-tahan.. haisyh..

kalau nak buat sesuatu yg baik, ada ja yg nak menghasut. gerun jugak kalau bayang syaitan dok berbisik-bisik kat telinga dan hati ni..

Balas
avatar

salam...saya diantara yg mdengr talk anta ,bagus...cuma saranan saya supaya anta lbh bersmgat slpas nie..sbb nmpk masih segan2...wallahualam...asif

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443