Parti syaitan.

Friend or foe?

Manusia sering bertindak pelik. Bibir menguntum kata-kata yang lain, sedang jasad bergerak merealisasikan perbuatan yang lain. Antara yang paling ketara ialah hubungan antara manusia dengan syaitan. Dari manusia pertama hingga manusia terakhir, semuanya akan mengakui bahawa syaitan itu musuh. Dari agama islam hinggalah kepada golongan yang tak punya agama, semua manusia ini akan mengatakan bahawa syaitan itu sebagai entiti yang jahannam, celaka dan sundal!

Tetapi anehnya, jika benar musuh, mengapa tidak ditentang? Jika benar benci, kenapa menanam benih sayang?

Banyak tempat di dalam al-Quran Allah terangkan dan ingatkan kita tentang bahaya serta kejahatan makhluk beranama syaitan ini. Banyak sangat. Antaranya di dalam surah Yassin yang selalu kita baca, dalam ayat 60: "Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu, anak cucu Adam agar tidak menyembah syaitan? Sungguh, syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu."

Sebagai musuh, syaitan tak ada kerja lain dah kecuali menyesatkan manusia. Antara 'membunuh' dan 'terbunuh', salah satu antara dua ini ialah sunnah sebuah peperangan! Tidak ada ruang untuk kita mempercayai makhluk ini, melainkan kesemua ruang itu ialah ruang untuk kita digoda, dihanyutkan dan seterusnya disesatkan dengan kesesatan yang mengerikan!

Bagaimana manusia disesatkan?

Seorang doktor, sebelum dia memberi ubat kepada pesakitnya, dia perlu terlebih dahulu tahu dan pasti tentang sakit yang dihidapi oleh pesakitnya itu. Tidak boleh agak-agak, tidak boleh juga untuk memberi secara membabi-buta. Penyakit yang dirawat dengan ubatan yang bukan diperlukannya bakal membawanya tersadung kepada kebinasaan yang lebih memeritkan. Sakitnya takkan kurang tapi bertambah.

Begitulah manusia. Mahu bahagia dan terselamat daripada tipu-daya dan godaan-godaan syaitan, haruslah tahu bagaimana dan dari lubang mana, jarum-jarum syaitan itu menusuk.

Mengajak manusia kepada kufur dan memusuhi Allah.

Ini langkah pertama. Kalau selesai, syaitan akan gembira dan berpesta sampai kiamat. Kalau sudah kufur, sudah syirik, sudah memalu gendang peperangan dengan Tuhan, maka pasti sudah baginya satu tempat dalam kawah neraka. Syaitan tak perlu runsing lagi, kerana manusia yang sudah disesatkan jauh begini, sudah pun diukir namanya sebagai sahabat, saudara, dan jiran dalam kawah bencana.

Kufur tak berlaku dengan susah. Memusuhi Allah juga tak sulit untuk berlaku. Cukup dengan kita menolak satu hukum daripada hukum-hukumnya atau memusuhi dan menyakiti para wali-Nya.


Mengajak kepada bida'ah.

Yang ini masalah besar! Sebabnya, manusia itu akan tertipu bahkan tersuntik dengan kuman sindrom syok sendiri. Dia fikirkan apa yang dibuatnya itu ibadah, padahal di sisi islam, amalnya itu tertolak. Saya tak katakan tentang bida'ah hasanah. Tidak. Tetapi yang jadi isu sekarang ialah bida'ah dholalah. Sesat!

Sebagai contoh, perbuatan yang langsung tak termaktub sebagai ajaran islam, seperti persandingan. Orang kata, itu tanda syukur. Padahal, dosa lagi. Entahlah, lain tempat lain bida'ahnya. Jadi saya tak boleh nak huraikan secara lebih.

Membuat dosa besar.

Bila syaitan tak berjaya membuakan hamba Allah itu menggelupur dalam ketaatan palsunya (bida'ah), maka syaitan akan membisikkan manusia untuk melakukan dosa besar. Dosa besar, sebagaimana yang kita belajar di sekolah dahulu, maksudnya ialah kesalahan yang dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis tentang hukumannya di dunia dan juga amaran tentang azab padanya di akhirat nanti.

Banyaklah. Daripada yang melibatkan diri sendiri, melibatkan anggota masyarakat, bahkan ada juga dosa besar yang tertindih kerana kerosakan yang kita cantas pada alam ini.

Dosa besar, sebagaimana perkataan 'besar' itu sendiri... kesan kemudharatannya juga besar. Makin besar mudharat, makin besarlah dosa itu. Inilah cara syaitan membunuh iman kita- iaitu dengan galakkan kita berbuat dosa besar. Kerana dosa besar ini selalunya saling berkaitan dan berantai. Kalau minum arak, selalunya berzina. Kalau berzina, selalunya bunuh orang. Kalau mencuri, selalunya mencederakan orang. Lalu penamatnya ialah bom. Letupan. Umat islam berpecah dan bermusuhan! Tiada lagi liang-liang persaudaraan, kerana sudah hilang kepercayaan sesama individu muslim sendiri.


Mengajak kepada dosa kecil.

Ada orang yang dia takut nak buat dosa besar. Orang macam ni sebenarnya belum selamat kerana syaitan tak kenal putus asa. Mereka tak ada rehat. Kalau diberikan rehat pun, mereka tak mahu rehat sebab mereka cuma ada satu matlamat- mahu berjiran dengan manusia dalam neraka. Bila kita dah bernaung di bawah kelab mereka, barulah mereka akan rehat dan berparti- seronok!

Bila seorang hamba tidak melakukan dosa besar, syaitan akan menjerumuskannya dalam dosa kecil. Ironinya, dosa kecil ini pada asalnya, tidak dahsyat kesannya. Tetapi bila sudah sebati, sudah 'istiqomah'... maka ia sudah sama dengan dosa besar. Mudharatnya sama. Sama-sama memerlukan kepada taubat nasuha, bersama janji yang ditarah pada sekeping hati- 'aku tak mahu buat lagi!'

Nak lari daripada dosa kecil ini jelas tak mudah. Tetapi, kesan daripadanya mudah untuk hilang hanya sekiranya kita lazimi istighfar. Dalam hadis banyak dinukilkan pesan Rasulullah tentang dosa kecil. Dosa kecil akan larut dalam kesegaran ketaatan. Cukup dengan banyakkan amal soleh, dosa kecil kita akan terhakis sendiri. Tapi awas! Jika lafaz istighfar bukan suatu yang tertancap pada bibir, bimbang juga kesan dosa kecil itu tidak tersirna. Akhirnya, hati pun jadi gelap berkarat!

Israf.

Israf ini maksudnya berlebih-lebihan. Lebih-lebih dalam apa? Semestinya berlebih-lebihan dalam perkara harus. Dalam fiqah kan ada lima hukum asas. Wajib, sunat, harus, makhruh, dan haram.

Wajib, bila buat dapat pahala. Bila ingkar dapat dosa. Sunat pula bila buat dapat pahala, tetapi kalau ditinggalkan tidaklah berdosa. Perkara harus pula ialah nak buat boleh, tak buat tak jadi masalah. Sedangkan makhruh ialah berlawanan dengan sunnat dan haram pula ialah berlawanan dengan wajib.

Ada lima, tapi daripada lima, hanya satu sahaja yang boleh buatkan manusia binasa iaitu mengerjakan benda haram. Maknanya, logik akal kita memberitahu bahawa jalan ke neraka hakikatnya lebih sempit berbanding jalan ke syurga kerana daripada lima jalan, hanya satu sahaja yang 'do not enter' tetapi manusia kan pelik... Yang tak boleh, yang itulah yang dia mahu.

Baik. Kembali kepada israf. Apa contoh benda harus? Makan. Ya, makan itu harus pada asalnya. Tetapi akan jadi suatu yang bahaya jika kita berlebih-lebihan dalam makanan. Kita terdorong untuk membazir (membazir itu amalan syaitan), membawa kepada rasa tidak syukur, membawa kepada terbinanya sifat mazmumah dan lain-lain.

Apa lagi? Facebook juga harus. Tetapi jika sekiranya tidur lewat kerana Facebook, dengan chatting dengan perempuannya... main gamenya... stalk profile orangnya... apakah masih kekal keharusan berFacebook? Tidak! Tidak!

Hati-hatilah kerana ini adalah antara jarum syaitan yang paling tajam. Baik orang yang ikut tarbiyyah mahupun yang tak ikut tarbiyyah, semua dah badly injured kena tikam.

Beramal dengan amalan yang tidak afdhol.

Susah-susah sangat, syaitan akan kata, "Kau beramal sahajalah". Betul ni! Bila semua usahanya buntu, akhirnya syaitan memang akan suruh kita beramal. Baikkan syaitan?

Eh? Angguk kenapa? Setuju saya kata syaitan baik?

Tak! Mereka makhluk yang licik! Kerana memang mereka menyuruh kita beramal, tetapi beramal dengan amalan yang tidak afdhol. Contohnya, solat. Saya ambil contoh solat kerana solat ialah amalan manusia yang pertama sekali Allah akan hisab di akhirat nanti. Lulus solat, maka amalan lain akan menyusul. Sebaliknya jika gagal dalam solat, maka Allah sudah tidak akan pandang amalan kita yang lain walaupun hebat macam mana pun! Itu yang kita patut takut sekarang ini. Ini tidak. Kita takut tak jumpa jodoh, takut dapat pasangan hidup yang tak soleh, takut tak dapat kerjalah, takut macam-macam, tapi tak takut jika kurang bekal akhirat.

Untuk itu, saya rakamkan kata-kata seorang tabi'in, Salamah Bin Dinar- "Aku hairan melihat orang yang giat bekerja untuk tempat yang akan ditinggalkan, tetapi enggan bekerja untuk tempat yang akan didatangi."

Kembali kepada solat. Syaitan akan menyuruh kita solat, tetapi dengan membisikkan kepada naluri kita, "Asal solat sudahlah. Tak payah nak ke masjid.Sudahlah jauh. Penat saja. Lagipun dalam hadis pun ada kata yang solat di awal waktu itu ialah amalan yang terbaik kan"

Lalu kita pun angguk. Yalah, betul juga. Lalu bila dengar saja azan, kita pun solat. Waktu tu syaitan bershuffle seronok sebab berjaya menipu kita. Itu belum lagi dengan menyucuk ulu hati kita dengan perasaan riak, ujub, dan takabbur. Bukan main lagi syaitan melobi kita, memuji kita, hinggakan kita beribadah tidak lagi kerana Allah sebaliknya kerana nuansa-nuansa samping itu yang mana akhirnya, kita terbinasa walaupun kita banyak beramal.

Dalam islam, ada prioroti dan keutamannya. Ada sesetengah situasi, amal ini paling afdhol. Dalam situasi lain, lain pula amalan yang afdhol pada tika itu. Semua ini perlu kepada ilmu, kepada pengajian. Dan syaitan akan membisikkan sekali lagi kepada kita, "Cukuplah dengan baca artikel di blog sahaja, tak payahlah yang dengar ustaz atau ustazah membebel."

Kesimpulan.

Undilah parti malaikat. Jangan undi parti syaitan yang bergabung dengan nafsu. Mudah-mudahan, kerajaan hati kita akan dipacu oleh keberkatan.
   
Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

Salam'alaik...

Subhanallah, lama sungguh tidak tinggalkn jejak kt sini, apapun alhamdulillah...terima kasih iqbal atas tulisan yg sentiasa memberi suntikan dijiwa, Moga ALLAh berikan kebaikan yang banyak bt kamu dik..Allah Yaftah Aleik

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443